Khamis, 25 Mac 2010

INI BARU BETUL....PATUT JADI TELADAN....JANGAN CAKAP MACAM HEBAT...BERI HUKUM BERPILIH2...

Brunei lebih takut laknat Allah



2010/03/24

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei): Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Zain Serudin menolak usul ahli Parlimen, Goh King Chin supaya zon khas jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam.

Zain menegaskan, andai ia diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan.


“Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja tapi semua yang berada di negara ini.


“Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak.


“Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran,” tegasnya. - AP




ini di malaysia....



Kasino nelayan, petani diserbu


MASZELY menyoal salah seorang daripada sebelas kaki judi yang ditahan dalam operasi di Sekinchan semalam.


SEKINCHAN - Tindakan pasangan suami isteri yang menjadikan rumah banglo dua tingkat mereka sebagai 'kasino mini' sejak sebulan lalu untuk petani dan nelayan terbongkar apabila diserbu di Kampung Baru di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 8 malam itu, seramai sembilan petani termasuk pasangan terbabit ditahan ketika sedang asyik berjudi.

Selain tangkapan, polis turut merampas wang pertaruhan berjumlah RM8,000.

Pemilik premis itu turut memasang dua buah kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Pegawai Pencegahan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Supritendan Maszely Minhad berkata, ketika serbuan, kesemua suspek yang berusia di antara 38 hingga 63 tahun cuba melarikan diri.

"Pemeriksaan mendapati rumah tersebut dilengkapi dengan beberapa bilik khas yang disediakan untuk petani dan nelayan melepaskan lelah sambil berjudi selepas seharian bekerja.

"Siasatan awal mendapati rumah tersebut dijadikan tempat untuk berjudi sejak tiga minggu lalu," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan semalam.


Cikgu Jabar gesa wakil Bebas ‘lompat’ letak jawatan

Ismail Hashim

SEPANG, 28 Mac: Bekas wakil rakyat Bebas tiga penggal berturut-turut di Dun Batu Laut, Haji Mohd Jabar Mohd Yusof, 73, menggesa wakil Bebas yang lompat parti meletakkan jawatan dan menyerahkan semula kepada rakyat untuk pilihan raya semula.

Beliau ketika ditemui di kediamannya di Batu Laut, dekat sini berkata, amat tidak wajar mereka membawa kerusi itu kerana dipilih rakyat bukan berdasarkan nama peribadi tetapi atas nama parti, dalam hal ini tentulah kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat (PR).

Beliau memenangi kerusi Batu Laut pada tahun 1974, 1978 dan 1982 yang kini dikenali sebagai Tanjung Sepat dan diyakini merupakan rekod sejarah yang belum dapat dipecahkan oleh mana-mana pemimpin bebas di negara ini serta diakui banyak pihak, kemenangan calon Bebas selama tiga penggal berturut-turut adalah yang amat sukar dilakukan.

"Perbezaan antara saya sebagai wakil rakyat Bebas dengan wakil rakyat itu adalah kerana saya memang calon Bebas dalam pilihan raya dan menang manakala mereka pula menang atas nama PKR dan melompat parti untuk menjadi Bebas," tegasnya yang lebih dikenali dengan nama mesra Cikgu Jabar (gambar) kerana menjadi pendidik di situ lebih 20 tahun sejak tamat belajar.

Meskipun setiap wakil rakyat yang melompat itu, ujarnya, mempunyai agenda peribadi tersendiri adalah lebih baik kerusi itu dikembalikan kepada rakyat untuk mereka memilih wakil rakyat baru.

Dalam pertemuan itu, beliau banyak menceritakan pengalamannya semasa berkhidmat kepada rakyat dengan amanah tanpa mengira penduduk di kawasannya dari mana-mana parti, semuanya akan dilayan sama rata dan paling utama adalah keikhlasan setulusnya tanpa mengharapkan apa-apa balasan daripada mereka.

Cikgu Jabar menghimbau kembali detik-detik bersejarah bagaimana beliau menyaksikan sikap Adun-Adun Umno ketika isu pemecatan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor ekoran beberapa isu yang menyelubungi suasana dan akhirnya Datuk Harun digugurkan begitu sahaja lantaran sikap dan penyakit bangsa Melayu yang dipusakai sejak zaman Hang Tuah iaitu hasad dengki dan khianat.

"Kerana tiga penyakit inilah kita dapat saksikan bagaimana keadaan orang Melayu sekarang ini jadi begini... Hang Tuah yang kuat membodek diagungkan, Hang Jebat yang membela kematian Hang Tuah pula yang menjadi mangsa konspirasi," jelasnya lagi serius.

Menurutnya, meskipun beliau Bebas tetapi kerana membela nasib Datok Harun di ketika itu, beliau telah didatangi oleh ketua siasatan dari cawangan khas polis setiap minggu selama setahun.

Malah beliau juga mengakui tidak terlepas dari menjadi mangsa ugutan 'kerat, gunikan dan humbankan ke laut, langgar dan diracun' selepas menang penggal pertama dan bersyukur kerana selamat dari semua ujian berat itu selama tiga penggal menjadi wakil rakyat Bebas.

Cikgu Jabar berharap semua rakyat khususnya orang Melayu akan segera menilai semula keadaan semasa dan perkembangan politik yang berlaku dalam negara dan melakukan pilihan terbaik bagi memastikan kesinambungan kejayaan dan keamanan sebenar dapat dijayakan selama-lamanya.





Penamaan waris mesti ikut faraid

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/03/29

KUALA LUMPUR: Islam tidak pernah melarang seorang ayah membahagikan hartanya kepada mana-mana anak yang difikirkan wajar ketika hayatnya, namun dia perlu meninggalkan satu pertiga daripada harta itu sebagai simpanan sebelum kematiannya.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd Awal, berkata tindakan seorang lelaki mengamuk kerana tidak dinamakan sebagai pewaris harta ayahnya adalah tidak wajar mengikut ajaran Islam. Katanya, bukan bermakna apabila mana-mana anak tidak dinamakan sebagai penerima harta, dia akan terlepas daripada menerima bahagiannya, memandangkan Islam mengutamakan keadilan dan pembahagian harta mestilah mengikut faraid.
“Dalam Islam memang ayah dibenarkan untuk membahagikan hartanya ketika dia masih hidup tapi peruntukan juga menyebut si ayah mesti tinggalkan satu pertiga daripada hartanya tadi untuk tujuan dan kegunaan tertentu. “Supaya apabila si ayah meninggal, harta ditinggalkan boleh digunakan untuk menyelesaikan urusan pengebumian, membayar hutangnya dan baki daripada itu diserahkan kepada waris untuk diagihkan mengikut faraid. “Bermakna, mana-mana penama yang tertinggal daripada menerima harta mengikut faraid akan turut memperoleh bahagian termasuk anak, isteri dan ibu serta ayahnya sekiranya masih ada,” katanya.





Tanda jauh dari Allah



2010/03/29

KUALA LUMPUR: Wanita pemarah yang gagal mengawal tahap emosinya, terutama di khalayak umum adalah gambaran wanita yang sudah hilang sifat pemalunya sekali gus kurang keyakinan kepada Tuhan.

Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rubiah K Hamzah, berkata Nabi Muhammad SAW pernah bersabda apabila wanita semakin hilang rasa malunya, menunjukkan tanda dunia semakin menghampiri akhir zaman. Katanya, ini kerana Allah SWT sudah mengurniakan sifat pemalu dalam diri setiap wanita tidak kira remaja mahupun anak perempuan sebagai pendinding yang akhirnya membimbing mereka menjadi muslimah sejati serta menjaga perlakuan. “Jika seseorang wanita itu gagal mengawal nafsu marah apatah lagi boleh mengamuk di tempat umum, bermakna dia sendiri sudah semakin pupus sifat pemalunya, gambaran kepada didikan yang tidak sempurna yang akhirnya menandakan masyarakat semakin runtuh. “Dalam Islam, wanita dijadikan pemalu. Marah pula memang perkara biasa tapi jangan lupa ia juga tanda jauhnya hubungan dengan Allah dan kesucian dalam hati itu sudah sangat sedikit. “Kita sepatutnya bijak mengawal marah dan ia sebenarnya boleh dikawal dengan air wuduk dan bersujud lama ketika bersolat. Masalahnya, ramai orang tidak mampu mengawal marah, juga tidak bijak melepaskannya dalam bentuk baik,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai seorang gadis sanggup membelasah teman lelakinya selepas dia dikatakan tiba-tiba naik angin dan mengamuk dengan memaki serta memukul mangsa di depan khalayak. Tindakan gadis itu timbul selepas dia didakwa berang dengan teguran dan nasihat teman lelakinya yang juga seorang penghantar surat berusia 20-an ketika mereka bertemu di pusat beli-belah di Putrajaya, Rabu lalu. Wanita terbabit turut bertindak biadap apabila mengugut mengupah rakannya supaya merogol ibu dan adik perempuan mangsa. Takut dengan ugutan itu, mangsa membuat laporan polis.



Gerabak keretapi berasingan untuk lelaki, wanita

Mac 31, 10 7:15pm
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bercadang untuk mewujudkan gerabak berasingan untuk penumpang lelaki dan wanita bagi perkhidmatan komuternya dalam usaha meningkatkan keselesaan para penumpangnya.

Presiden KTMB Aminuddin Adnan berkata tinjauan yang dijalankan oleh KTMB menunjukkan 60 peratus penumpang KTM Komuter terdiri daripada kaum wanita dan selebihnya lelaki.

Katanya jika keretapi komuter mempunyai tiga gerabak, satu gerabak akan diperuntukkan untuk mereka yang berkeluarga serta warga emas dalam usaha KTMB mewujudkan keselesaan penumpang serta meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Bagaimanapun sebelum melaksanakan cadangan tersebut, ia perlu diperincikan bagi mengelakkan sebarang isu lain yang akan timbul, katanya kepada pemberita selepas melancarkan program “Customer Service Star Award 2009” dan program Ikhlas Dari Hati di sini hari ini.

Aminuddin berkata, langkah pengasingan gerabak ini telahpun dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara di Eropah.

Sementara itu, beliau berkata perkhidmatan komuter KTMB akan mendapat 38 set gerabak unit gandaan elektrik (EMU) yang baru dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatannya.

Beliau berkata KTMB juga akan membaiki 15 set EMU yang lama dan usaha ini diharapkan dapat mengatasi masalah keretapi lambat tiba serta isu perjalanan dibatalkan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan bila KTMB akan mendapat gerabak EMU baru itu, yang mampu meningkatkan jarak masa ketibaan antara satu komuter dengan satu komuter yang lain selama 7.5 minit.

Penambahan gerabak itu adalah untuk menampung pertambahan penumpang komuter yang dijangka meningkat kepada 300,000 penumpang setiap hari, katanya.

Mengenai program Ikhlas Daripada Hati itu ia merupakan program KTMB yang memberi penekanan kepada tiga nilai perkhidmatan cemerlang iaitu empati, mesra dan ikhlas (EMI) yang akan diamalkan oleh kakitangan KTMB bermula esok hingga 31 Mei ini dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan KTMB, katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh program itu, seluruh kakitangan KTMB akan memakai butang lencana “Ikhlas Daripada Hati” sebagai tanda komitmen dalam memberi perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggan.

- Bernama





Tugu: PAS syukur Umno henti amalan syirik

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 April: PAS mengucapkan syukur kepada Allah Taala kerana akhirnya Umno/BN mengumumkan akan berhenti melakukan upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara yang jelas perbuatan syirik dan khurafat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (gambar) berkata, pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam membuktikan dakwaan PAS selama ini bahawa perbuatan itu adalah dosa besar Umno kepada Allah adalah benar.

Zahid yang juga Naib Presiden Umno, mengumumkan semalam bahawa upacara memperingati Hari Pahlawan tidak akan dilakukan di Tugu Negara lagi mulai tahun ini dan akan dipindahkan di Putrajaya dalam bentuk majlis yang berbeza.

Idris berkata, PAS tegas menolak amalan meletakkan bunga dan bertafakur di Tugu Negara setiap 1 Julai sempena Hari Pahlawan, dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 juga telah mengeluarkan fatwa berhubung isu itu bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

“Rakyat, khususnya kaum Melayu selalu bertanya. Apa beza PAS dan Umno, dua-dua parti yang dipimpin Melayu dan Islam, kenapa tidak boleh bersatu?” katanya yang menghargai pemberhentian amalan khurafat itu.

Justeru, ujarnya PAS berharap, isu Tugu Negara itu membuka mata rakyat bahawa PAS dan Umno memang jelas berbeza walaupun Umno mengaku Islam tetapi mereka jelas menolak syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah.

“Isu ini juga jelas membuktikan bahawa Islam dan politik tidak dapat dipisahkan. PAS yakin, Umno akhirnya mengambil keputusan ini setelah tertekan bila mana PAS serius membawa isu ini hinggalah ke pentas politik,” ujarnya lagi.

Menurutnya, walaupun Umno mempunyai biro agama dan menteri agama, tetapi mereka mengambil masa 23 tahun untuk memahami Fatwa Majlis Kebangsaan.

“Hakikatnya perkara ini tidak perlu dibawa ke Majlis Fatwa jika Umno benar-benar memahami Islam dan berjuang atas nama Islam.

“Walaupun Umno bangga mengatakan mereka berjaya membawa syiar Islam dengan wujudnya Tabung Haji, pusat zakat, masjid-masjid besar dan sebagainya, tetapi 23 tahun mereka menafikan fatwa syirik yang dikeluarkan Majlis Fatwa,” katanya.

Jelasnya, Allah sendiri memperingatkan dalam Al-Quran, bahawa semua dosa besar akan diampunkan kecuali syirik dan jelaslah bahawa saranan Majlis Fatwa itu serius dan Umno-BN telah menyesatkan rakyat dengan melakukan upacara syirik itu sejak tahun 1963 iaitu tarikh tugu itu dibina dengan kos RM1.3 juta ketika itu.

PAS, jelasnya menghormati pengorbanan dan jasa pahlawan negara.

Oleh itu, katanya PAS mahu majlis kesyukuran dan tahlil serta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga pahlawan yang telah gugur menjadi program rasmi sempena Hari Pahlawan, bukannya bertafakur dan membazir duit untuk meletakkan bunga di tugu yang tidak bernyawa itu.

Tambahnya, PAS juga berharap agar Umno menghapuskan semua amalan syirik dan khurafat yang mereka lakukan termasuk amalan menepung tawar dan menabur beras kuning seperti yang dilakukan oleh Datuk Ismail Sabri dalam Majlis Pelancaran Van Umno Bahagian Wangsa Maju, minggu lepas.

“PAS yakin rakyat semakin cerdik dan melihat siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam dan siapa sebenarnya yang mengkhianati Islam,” ujarnya.



Ragut: Apa halangan kembali kepada hukuman al-Quran
Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR, 6 April: Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) (gambar) meminta kerajaan menyatakan kesediaan untuk mengkaji hukuman yang bersumberkan al-Quran, al-sunnah dan ijmak ulama dalam mengatasi masalah jenayah ragut yang semakin berleluasa di negara ini.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini ingin tahu apakah halangan yang dihadapi kerajaan dalam melakukan hukuman sedemikian.

"Sekiranya KPI tidak tercapai, adakah kerajaan bercadang mengkaji hukuman yang bersumberkan al-Quran, al-sunnah dan ijmak ulama dan sekiranya tidak, apakah halangannya," soalnya.

Beliau menyoal demikian selepas mendengar jawapan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman (BN-Masjid Tanah) yang memberitahu bahawa kerajaan telah memasukkan kes ragut ini yang merupakan jenayah jalanan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) KDN yang telah dipertanggungjawabkan bagi mengurangkan kejadian kes itu sebanyak 20 peratus menjelang akhir tahun 2010.

Timbalan Menteri, bagaimanapun tidak menjawab soalan itu secara tepat.

Dalam soalan asal, Dr Mariah beliau meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan jumlah laporan kes ragut lima tahun terakhir ini, jumlah kematian terkini mangsa ragut, jumlah peratus kes yang yang dapat diselesaikan iaitu peragut ditangkap hingga didakwa dan dihukum.

Beliau juga ingin tahu rancangan jangka panjang kementerian untuk memastikan negara ini bebas daripada jenayah ragut.

Timbalan menteri dalam jawapannya memberitahu, jumlah kes ragut yang dilaporkan bagi tempoh lima tahun terakhir ialah 9,617 kes dilaporkan pada 2005, sejumlah 11,074 kes (2006), 11,106 (2007), 8,205 (2008) dan 9,687 (2009).

Manakala, jumlah kematian melibatkan kes ragut pula, empat kematian dilaporkan pada tahun 2005, satu (2006 dan 2007), dua (2008) dan lima (2009).

Mengenai kes yang dapat diselesaikan iaitu peragut ditangkap hingga didakwa dan dihukum, beliau berkata, pihak polis tidak mempunyai statistik dengan secara terperinci.

Bagaimanapun, menurutnya, berasaskan takrifan yang dibuat oleh Interpol, bilangan kes ragut yang berjaya diselesaikan oleh pihak polis ialah sebanyak 5,325 kes atau 55.4 peratus bagi tahun 2005, 4,264 kes (38.5 peratus 2006), 4,339 kes (39.1- 2007), 3748 (45.7-2008) dan 4234 (43.7-2009).


Tahniah Chew Fun, anda memang berprinsip
S Wahab

Saya hormati keputusan Datin Paduka Chew Mei Fun kerana sanggup meletakkan semua jawatan beliau dalam kerajaan dan parti kerana tidak boleh menerima seorang yang terlibat dengan skandal memimpin parti MCA.

Terbukti beliau seorang yang berprinsip dan teguh pendiriannya.

Saya mencabar semua pemimpin MCA terutama Pergerakan Wanita MCA supaya mengikut jejak langkah Mei Fun kerana tidak ada gunanya berjuang dalam sebuah parti yang dipimpin oleh seorang yang tidak bermoral dan tidak berintegriti.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya menolak parti yang dipimpin oleh pemimpin yang mempunyai skandal dan kontroversi.

Rakyat juga seharusnya memberi amaran kepada pemimpin-pemimpin bawahan parti-parti ini komponen BN supaya mereka sedar bahawa pemimpin parti mereka bermasalah dan wajar ditolak serta merta

Sebagai langkah pertama, rakyat Hulu Selangor mesti menggunakan kesempatan yang ada menolak calon BN pada , PRK Hulu Selangor pada 25 April.

Berikan isyarat kepada mereka bahawa parti-parti komponen BN dan BN sendiri sudah tidak laku dan rakyat sudah muak dan mual dengan skandal, rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan sebagainya.

Sekali lagi syabas kepada Datin Paduka Chew Mei Fun. Saya syorkan kepada beliau supaya cepat-cepat menyertai PR supaya kita dapat sama-sama berjuang menyelamatkan Malaysia dari BN.


* Tulisan di atas adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Harakahdaily.net. Harakahdaily.net tidak bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi daripada tulisan berkenaan



Bernikahlah kerana itu wajib
- SRI DIAH

apabila ayahanda kami tidak mahu bernikah baru selepas arwah bonda kami meninggal pada Januari 2009, kami adik-beradik bergilir-gilir memujuknya.

“Bukan sebab kami tak sayangkan mak tapi sekarang, kami lebih sayangkan masa tua abah" itulah antara kata-kata saya pada ayahanda.

Ayahanda yang sudah menginjak ke usia 75 tahun diam sahaja. Tapi selaku imam di kawasannya, saya tahu apa yang ada dalam fikirannya. Perkahwinan kali kedua setelah kematian isteri adalah sesuatu yang membawa pahala, apalagi yang bakal dikahwini adalah seorang janda.

Sementara itu tujuh anak-anaknya tidak membantah. Malah kami menggalakkan pula! Betul, bukan kerana kami tidak sayangkan bonda yang telah tiada. Tapi kalau kita sayangkan sangat orang yang telah tiada, apakah dia boleh hidup semula untuk membahagiakan kita? Ini kerana yang pergi tetaplah pergi, tidak akan kembali lagi.

Kami memberi ayahanda peluang memilih siapa sahaja calon yang sesuai. Tetapi dengan syarat, jangan anak dara. Nanti kami pula yang jatuh cemburu. Jadi ayahanda sebut sahaja siapa, kami adik-beradik akan pergi meminang, siapkan hantaran dan kendalikan majlis nikah kahwin.

Sampai begitu sayangnya kami kepada ayahanda memandangkan dia sudah berusia, hidup sendirian di rumah besar dan tiada teman untuk berbual serta mengurus makan pakainya. Kami adik-beradik pula, semuanya sudah ada rumah sendiri sebaik sahaja mendirikan rumah tangga.

Kelmarin apabila membaca berita tentang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, 61, bernikah dengan bekas Setiausaha Pergerakan Puteri UMNO, Bibi Sharliza Mohd Khalid, 40, di Gentam dekat Kuala Pilah, Negeri Sembilan saya mengucap syukur.

Perkahwinan adalah berkat. Paling penting, jangan fikirkan apa cakap orang yang banyak negatif daripada positifnya. ADUN Bagan Pinang seorang duda setelah kematian isterinya, Puan Sri Hazizah yang dulu amat mesra dengan saya, jadi memang layaklah beliau berkahwin baru.

Alhamdulillah dengan sekali lafaz akad nikah, samalah dengan ayahanda saya yang menikahi seorang balu, Hajah Gayah. Wanita ini adalah jiran kami semasa saya masih kecil.

Dulu-dulu , sekali dia suap nasi ke mulut anaknya, satu suap lagi untuk saya.

Jadi jodoh telah mempertemukan kami menjadi sebuah keluarga yang besar. Tujuh adik-beradik, saya kini beradik tiri dengan tujuh lagi adik-beradik lain dan jumlah cucu ayahanda bukan lagi 20 orang, hampir 30 orang jadinya.

Saya tidak faham kenapa masih ada anak-anak yang menghalang perkahwinan ibu dan bapa setelah kematian salah satu pasangan mereka. Bukankah itu satu fitrah yang telah dinafikan? Jangan fikirkan nafsu mereka, tapi fikirkanlah hal kebajikan mereka. Hal sakit pening, hal kebersamaan dan teman berbual.

Apakah takut harta jadi rebutan? Ataukah bimbang adik-beradik tiri akan menjadi 'lebih sudu daripada kuah’? Jika anda telah menjadi seorang yang bijak pandai hasil didikan ibu dan bapa, kini anda haruslah berfikir bijak untuk membalas jasa mereka.

Kepada yang sudah bernikah kena ingat, dulu ayah ibu kita bersetuju dengan pilihan kita dan menikahkan kita. Kalau dulu mereka tidak bersetuju, macam mana? Mujur kini kita telah hidup bahagia hingga mempunyai sebuah keluarga yang sempurna.

Kini apabila ayah atau ibu yang kesepian dan inginkan pasangan menemaninya sementara dia menanti hari mati apakah kita patut bertindak menghalangnya pula?

Jika kita menghalangnya, memang kitalah anak yang tidak pandai bersyukur dan menidakkan fitrah seorang manusia yang di dalam tubuh badan kita, ada darahnya mengalir.


Wanita perlu sentiasa ditemani mahram



2010/04/22

KUALA LUMPUR: Wanita perlu sentiasa berhati-hati dengan persekitaran dan perlu ditemani mahram terutama ketika perlu berjumpa seseorang lelaki secara peribadi biarpun doktor yang merawatnya, supaya tidak mudah menjadi sasaran 'manusia pelik' yang mempunyai nafsu luar biasa.

Perunding Psikologi K&A Applied Psychology Consultancy (KAPC), Khairol Anuar Masuan, berkata wanita perlu sentiasa peka dengan persekitarannya dan tidak mudah mempercayai orang, apalagi yang membabitkan tubuhnya.


Beliau berkata, ini kerana ada lelaki yang mempunyai nafsu pelik yang pelbagai, dikenali sebagai 'fetish' atau 'voyeur', dan mereka hanya merasa puas secara seksual selepas mengintai perlakuan atau melihat barangan peribadi milik wanita.


Katanya, ada pelbagai minat seksual yang kadang-kala wanita tidak terfikir, antaranya ada lelaki terangsang apabila melihat wanita mengandung, wanita berpakaian jururawat atau pramugari dan tidak kurang pula boleh terangsang apabila melihat wanita berlagak ala lelaki atau ‘tomboy’.


“Mungkin pelik pada kita tetapi ada lelaki yang melihat beg wanita pun boleh rasa terangsang, apalagi jika melihat pakaian dalam yang dijemur di ampaian.


“Ada pula yang melihat kasut atau stokin wanita pun boleh terangsang, oleh itu wanita perlu sentiasa berhati-hati atau lebih baik ditemani mahram ke mana-mana supaya tidak menjadi mangsa lelaki yang bernafsu pelik seperti ini.


“Bukan setakat mencabul, malah ada rekod yang menunjukkan lelaki bernafsu pelik ini boleh sampai tahap merogol kerana tidak dapat membendung nafsu mereka,” katanya.


Beliau merujuk laporan Harian Metro semalam mengenai seorang lelaki yang menyamar doktor dan merayau di wad bersalin ketika waktu melawat, semata-mata untuk mencabul wanita mengandung.



Koc komuter untuk wanita



2010/04/28

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan koc komuter khusus bagi penumpang wanita bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang mulai hari ini.

Gerabak yang bertemakan ‘Wanita Sahaja Sepanjang Masa’ boleh dikenal pasti menerusi pelekat merah jambu pada tingkap dan pintu komuter.


Menurut KTMB, lokasi koc di platform dapat dikenal pasti melalui kain rentang yang dipasang pada platform serta tiang platform yang berwarna merah jambu.


“Namun penumpang wanita tidak diwajibkan menggunakan koc ini kerana mereka boleh memilih untuk menggunakan koc biasa yang lain,” menurut kenyataan KTMB.


Statistik KTMB menunjukkan 60 peratus pengguna perkhidmatan komuter terdiri daripada wanita.


Kanak-kanak lelaki berumur kurang daripada 12 tahun yang membuat perjalanan bersama ibu atau keluarga wanita mereka juga dibenarkan menaiki koc merah jambu ini.


Koc untuk wanita diletakkan di bahagian tengah komuter manakala koc di hadapan dan belakang adalah koc biasa yang boleh digunakan bersama penumpang lelaki dan wanita.


Menurut KTMB, penyediaan koc khusus untuk wanita adalah bertujuan memberi keselesaan dan jaminan keselamatan kepada penumpang wanita daripada risiko gangguan seksual atau terpaksa bersesak-sesak dengan penumpang lelaki. — Bernama




NEGARA

81 laman web lucah disekat


ADA laman web berunsur lucah terlepas daripada tindakan selepas moderator laman web itu mentafsirkan ia tidak menyalahi undang-undang sesebuah negara. - Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 165 aduan sejak Januari hingga Mac lalu berhubung kandungan laman web atau blog yang melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Daripada jumlah itu, sebanyak 90 aduan merujuk kepada kandungan berunsur lucah, 72 aduan bersifat mengancam atau jelik manakala tiga kes didakwa memaparkan maklumat atau bahan palsu.

Antara tindakan yang telah dilakukan ialah menutup 81 laman web yang didapati mengandungi unsur lucah seperti menawarkan video aksi lucah dan perkongsian cerita lucah dengan teman berbual.




NEGARA

Selesa, selamat dalam koc khas wanita


TREN komuter yang dikhaskan untuk penumpang wanita mula beroperasi bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang semalam.


KUALA LUMPUR - Suasana penumpang lelaki dan wanita berasak-asak menaiki komuter pada waktu puncak tidak lagi kelihatan semalam apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mula melaksanakan sistem koc mengikut gender.

Projek perintis di laluan Sentul-Pelabuhan Klang itu terbukti berhasil apabila 95 peratus penumpang wanita dalam soal selidik KTMB semalam menyifatkan ia berjaya memberi keselesaan serta jaminan keselamatan daripada menjadi mangsa penyeluk saku dan gangguan seksual.

Tinjauan Kosmo! bersama para pegawai KTMB yang diketuai Pemangku Pengurus Besar Perkhidmatan Kaunter, Mohd. Hider Yusoff semalam mendapati, perkhidmatan baru itu menjadi tarikan kepada lebih ramai penumpang wanita menaiki komuter.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan