Kisah 7 Pemuda Ashabul Kahfi Ditidurkan Selama 309 Tahun Di Dalam Gua
بِسۡـــــــــمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ
Kisah
Ashabul Kahfi (أصحاب الكهف) merupakan suatu kisah benar mengenai 7
orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua. Di dalam Al-Quran, dari
ayat 9 hingga 26; Surah Al-Kahfi, diceritakan
kisah beberapa orang pemuda beriman yang telah melarikan diri ke sebuah
gua dan bagaimana Allah سبحانه وتعالى tidurkan mereka selama 309 tahun.
Jika difikir secara logik akal, maka kisah dan cerita tentang Ashabul Kahfi
termasuk suatu kejadian pelik, luar biasa dan menakjubkan. Tiada
manusia yang dapat menjelaskan bagaimana ada orang yang boleh tidur
sehingga ratusan tahun tanpa makan dan minum. Namun bagi orang yang
beriman dan meyakini Allah سبحانه وتعالى bahawa tiada yang mustahil jika
Allah سبحانه وتعالى mengkehendakinya demikian.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman;
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩
“Adakah
kamu menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘Ashabul Kahfi’ (penghuni
gua) dan ‘Ar-Raqiim’ termasuk antara tanda-tanda kekuasaan Kami yang
menakjubkan?” (Surah Al-Kahfi; Ayat 9)
.
.
Dimanakah Terletaknya Gua Ashabul Kahfi
.
Telah menjadi perdebatan daripada zaman berzaman mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul Kahfi.
Banyak tempat mendakwa dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di
Jabal Qassiyyun, Syria dan Gua di Ephesus (Tarsus), Turki. Namun Gua
Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf) yang terletak di Abu Alanda,
kira-kira 7 km dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah
yang lebih menepati ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.
Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada menyatakannya sebagai batu bersurat.
Walau bagaimanapun, Allah سبحانه وتعالى
tidak menunjuk dan menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka
bersembunyi. Sebab utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi
umat Islam kerana Allah سبحانه وتعالى hanya mahu hamba-Nya mengambil
iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah mereka.
.
Namun begitu berdasarkan ayat 17 surah al-Kahfi,
dapat kita ketahui kedudukan sebenar pintu gua yang menjadi tempat
persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.
Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan)
Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka
engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
.
.
Kisah Pembuktian
.
Ashabul Kahfi bukanlah kisah epik jenaka,
dongeng atau suatu cerita rekaan manusia. Sejarah kejadian tersebut
sebenarnya mempunyai hubungan erat dengan kegelisahan Nabi Muhammad ﷺ.
Iaitu semasa ditanya oleh beberapa orang Yahudi untuk membuktikannya
bahawa Baginda memang seorang Nabi Utusan Allah سبحانه وتعالى.
.
Orang-orang Yahudi bertanya Rasulullah ﷺ, “Wahai
Muhammad! Tolong ceritakan kepada kami tentang kisah 7 pemuda yang rela
mengasingkan diri untuk mempertahankan keyakinannya kepada Allah سبحانه وتعالى.
Jika engkau sanggup menceritakan dengan benar, maka kami juga akan
mengikuti ajaranmu dan menjadi sebahagian daripada orang Islam.”
Lalu Nabi Muhammad ﷺ memohon pertolongan
pada Allah سبحانه وتعالى dan selepas 15 hari kemudian baginda mendapat
wahyu tentang penjelasan kisah Ashabul Kahfi atau cerita mengenai 7
pemuda yang ditanyakan oleh orang Yahudi tersebut. Penjelasan mengenai
kisah Ashabul Kahfi ini terdpat pada Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26,
di dalam kitab suci Al-Quran.
.
.
Kisah Ashabul Kahfi
.
Sebagaimana yang telah dikisahkan
turun-temurun. Pada asalnya penduduk sebuah negeri itu beriman kepada
Allah سبحانه وتعالى dan beribadat mengEsakanNya. Namun keadaan berubah
selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus (Decius).
Raja kufur dari Rom ini, memerintah
secara kejam dan kuku besi. Sesiapa yang menentang keinginan raja, maka
samalah seperti ingin mengakhiri hidupnya lebih awal. Dia memaksa rakyat
di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah سبحانه وتعالى
serta bertukar kepada agama kufur dan menyembah batu berhala yang
dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan raja tersebut
terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu.
.
Dalam pada itu terdapat sekumpulan pemuda
beriman enggan tunduk dengan tekanan Raja Diqyanus yang kafir. Di
tengah-tengah kekufuran raja, bangsa dan kaum mereka, kesemua tujuh
pemuda tersebut secara sembunyi-sembunyi tetap beriman kepada Allah
سبحانه وتعالى. Mereka teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun
menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat
demikian.
.
Pengesahan keberimanan pemuda-pemuda ini dinyatakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam firmanNya;
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّۚ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; Sesungguhnya
mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan
Kami tambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 13)
.
Kepercayaan dan keyakinan 7 pemuda ini
terus bertahan sehingga kemudiannya sampai ke pengetahuan raja dan
akhirnya mereka dipanggil mengadap Raja Diqyanus.
Di hadapan raja yang zalim itu, mereka
dengan penuh berani dan bersemangat, petah berhujah mempertahankan iman
dan prinsip aqidah yang mereka yakini. Pemuda-pemuda tersebut mengakui
bahawa hanya ada satu Tuhan yang layak disembah dan diminta pertolongan.
DIA-lah Allah سبحانه وتعالى yang Esa, Yang Maha Menguasai alam beserta
isinya yang kekal abadi dan tidak akan ada sebarang kekurangan, DIA-lah
tempat kita meminta pertolongan dalam susah atau senang, suka mahupun
duka.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman dan menceritakan peristiwa mereka berhujjah;
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًاۖ لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ هَـٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ آلِهَةًۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا ﴿١٥
“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan dan menegaskan tauhid): “Tuhan kami adalah Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan) langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan selain Dia, sesungguhnya jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang amat
jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai
tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan
yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim
daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah سبحانه وتعالى?” (Surah Al-Kahfi; Ayat 14-15)
.
Raja Decius dan pengikut-pengikutnya
terkejut dan gagal menjawabnya. Walaupun tidak mampu membalas
hujah-hujah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman tersebut, raja yang
kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad daripada agama
mereka.
Raja Diqyanus menggunakan kekuasaan yang
ada padanya untuk mengancam dan memaksa para pemuda meninggalkan agama
mereka, jika dalam tempoh 2 hari para pemuda tersebut gagal membuat
demikian dan tidak mahu mengubah keyakinan mereka dengan segera, maka
mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dijatuhi hukum mati.
.
Ramai ‘mufassirin’ (ahli tafsir) generasi
salaf dan ‘khalaf’ (generasi awal Islam dan generasi yang
terkemudiannya) yang menyebutkan, para pemuda tersebut terdiri daripada
anak-anak raja Rom dan orang-orang terhormat mereka yang bersatu kerana
iman. Mereka tidak takut dengan ancaman itu dan telah bertekad untuk
saling bantu-membantu dan mempertahankan keimanan mereka hingga titisan
darah terakhir. Bagi mereka lebih baik mati menggenggam iman daripada
mengikuti jejak raja yang menyekutukan Allah سبحانه وتعالى.
.
Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama
mereka, pemuda-pemuda tersebut bermesyuarat sesama sendiri untuk mencari
satu keputusan muktamad. Kumpulan pemuda itu akhirnya membuat
kesepakatan untuk bersembunyi.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman ;
وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا ﴿١٦
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah سبحانه وتعالى,
maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan
dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk
menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 16)
.
Akhirnya mereka memutuskan untuk lari
bersembunyi dan berlindung ke suatu tempat tersorok di kawasan
pendalaman. Berangkatlah mereka bertujuh ke kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua untuk dijadikannya tempat bersembunyi dan di pintu gua itulah mereka berdoa sebelum memasukinya.
Allah سبحانه وتعالى berfirman pada ayat 10, Surah Al-Kahfi;
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا
“(Ingatkanlah peristiwa) ketika sekumpulan pemuda pergi ke gua, lalu mereka berdoa:
.
Menurut para ulama’ Ashabul kahfi
(penghuni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada
tujuh orang pemuda bernama;
- Tamlikha (تمليخا)
- Maksalmina (مكسلمينا)
- Marthunus (مرطونس)
- Nainunus (نينونس)
- Saryunus (ساريونس)
- Zunuwanus (ذونوانس)
- Falyastathyunus (فليستطيونس)
.
Dan semasa dalam perjalanan ke gua itu,
ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir
(قطمير). Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha
iaitu salah seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut.
Anjing itu turut bersama-sama dengan
mereka berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut. Oleh kerana
keletihan, ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada di
sekitar pintu gua.
.
Keesokan harinya raja memerintahkan agar
segera membawa para pemuda untuk dihukum mati, tetapi arahan raja kejam
ini menemui kegagalan kerana para pemuda telah menghilangkan diri dan
sukar ditemui. Seluruh rakyat dikerahkan untuk mencari para pemuda yang
dianggap menderhaka itu.
.
.
Pencarian
.
Pencarian pun bermula, mereka diburu oleh
para pembantu setia raja. Mereka bukan sahaja diburu oleh tentera Rom
bahkan turut diberi tekanan oleh penduduk tempatan yang berpegang kuat
terhadap agama nenek moyang mereka. Sesiapa di kalangan mereka yang
mampu mencari dan membawa pemuda-pemuda tersebut ke hadapan, raja telah
berjanji untuk memberikan hadiah dan kenaikan pangkat.
Ada sekumpulan pencari dan pegawai
kerajaan yang akhirnya menemui sebuah gua di kawasan pedalaman. Tetapi
oleh kerana gua itu dianggap sangat menggerunkan, mereka takut untuk
memasukinya.
FirmanNya lagi;
وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“…dan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua. Dan jika kamu melihat mereka, tentulah kamu akan berpaling melarikan (diri) dari mereka, dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi rasa gerun takut kepada mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
.
Demi menyenangkan hati raja, para pegawai
kerajaan melaporkan bahawa mereka telah menyusuri semua tempat di
negeri tersebut dan telah menutup sebuah gua dengan tujuan sekiranya
para pemuda tersebut berada di dalam, maka mereka tidak akan boleh
keluar dan akan mati kelaparan.
Itulah batas logik manusia yang mempunyai
kuasa dan merasa paling hebat berbanding dengan yang lain, padahal kita
semua mengetahui bahawa terdapat suatu kekuatan yang tidak mungkin
boleh ditakluki oleh kuasa akal dan fikir manusia. Dialah Allah سبحانه
وتعالى yang tak akan membiarkan orang-orang membuat kerosakan dan
penderitaan kepada hamba-hamba yang dikasihiNya.
.
.
Jasad Terpelihara
.
Sementara itu di dalam gua, kesemua tujuh
pemuda tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah سبحانه
وتعالى. Mereka telah ditidurkan oleh Allah سبحانه وتعالى dengan
nyenyaknya dalam gua tersebut untuk sekian lama.
.
Allah سبحانه وتعالى berfirman tentang mereka di dalam gua;
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١
“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 11).
.
Allah سبحانه وتعالى ingin menzahirkan
bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini.
Maka Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur
dalam jangka masa yang sangat lama iaitu selama 309 tahun: tiga ratus
tahun (dengan kiraan ahli kitab / Tahun Masihi) dan tambah sembilan
tahun lagi (dengan kiraan kamu / Tahun Hijrah).
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا ﴿٢٥
“Dan
mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun
(dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun
lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Surah Al-Kahfi; Ayat 25)
.
Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa
makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah سبحانه وتعالى, badan dan
jasad mereka tidak hancur atau rosak. Dengan kuasaNya juga, kedudukan
gua tempat persembunyian ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah
utara secara tidak langsung telah memelihara pencahayaan, pengudaraan
dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad itu.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit, condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu.
Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan)
Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah
yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka
engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat
menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
.
Allah سبحانه وتعالى sengaja memberi ilham
kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut
sedangkan mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah سبحانه وتعالى
telah menetapkan aturannya. Bahkan Allah سبحانه وتعالى menyatakan
bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu, nescaya kita
tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci Allah Yang Maha
Bijaksana.
FirmanNya lagi;
وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِۖ وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“Dan
engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami
balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah
kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka
mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu
menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan
melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan
terhadap mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
.
.
Kebangkitan
.
Masa terus berlalu, zaman pun telah
berganti dari beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin oleh
raja kejam dan musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju
dan bebas dalam menjalani keyakinan agama masing-masing.
Apabila sampai tempoh yang ditetapkan
Allah سبحانه وتعالى (300 + 9 tahun), mereka pun dibangunkan.
Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut mereka terasa lapar,
dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa lama mereka
tertidur. Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa sehari
atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur
dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ ۖ قَالُوا۟ لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ ۚ
“Berkatalah
salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di
sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini) sehari atau setengah
hari…..” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19)
.
Atas rasa lapar itu, lalu sebahagian
daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar
bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda
bernama Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan
diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Firman Allah سبحانه وتعالى menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;
وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُم بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا ﴿١٩﴾ إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا ﴿٢٠
“Maka
suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa wang
perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling
baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan
itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah
sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika
mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu
dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika
demikian nescaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19-20)
.
Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak
mereka. Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan,
mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota
mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi
halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa
kepada Allah سبحانه وتعالى.
Walaupun Allah سبحانه وتعالى menyatakan
dalam ayat di atas bahawa para pemuda tadi amat berhati-hati dan
berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain kerana mereka menyangka
raja yang memerintah negeri masih lagi raja kafir yang dahulu, namun
Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka
diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukkan akan keagungan
kekuasaan dan kehebatanNya.
.
Semasa pemuda-pemuda Ashabul Kahfi itu
dibangkitkan Allah سبحانه وتعالى selepas tidur selama 309 tahun, suasana
negeri telah banyak berubah. Kebetulan Raja dan pemerintah negeri
merupakan orang yang beriman kepada Allah سبحانه وتعالى, begitu juga
dengan kebanyakan rakyatnya.
Namun masih
terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu dan
mempertikaikan tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu
bagaimana Allah سبحانه وتعالى boleh menghidupkan orang yang telah mati?
Apatah lagi yang telah beribu malah berjuta tahun lamanya dimakan tanah.
Maka bertepatanlah masanya Allah سبحانه وتعالى membangkitkan Ashabul Kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih lagi ragu-ragu.
.
Firman Allah سبحانه وتعالى;
وَكَذَٰلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah سبحانه وتعالى menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)
.
Pendedahan ini berlaku semasa orang ramai
bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati.
Allah سبحانه وتعالى telah mendedahkan perihal pemuda-pemuda Ashabul
Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan.
Pemuda yang keluar menuju ke pasar
mencari makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke
kota. Dia berasa hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya
yang berubah sama sekali, tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.
.
Dalam terpinga-pinga itu, akhirnya sampai
juga dia ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan. Namun
penjual hairan dan pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini.
Penduduk kota yang telah kehairanan melihat keadaan dia dan mereka
semakin syak apabila melihat wang perak yang dibawanya ialah wang yang
sudah berzaman tidak digunakan lagi.
Dia telah disyaki menjumpai harta karun
lalu dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam perbualannya,
maka terbuktilah kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah pemuda yang
lari dari kepungan raja pada tiga abad yang silam. Mereka mengetahui
akan peristiwa itu, daripada cerita yang masyhur dan telah disedia
maklum oleh orang ramai. Larinya pemuda-pemuda itu kerana tidak rela
menjual agama mereka kepada raja yang zalim dan memaksa mereka untuk
menyembah batu.
.
Lalu salah seorang di antara mereka berkata kepada pemuda tersebut: “Janganlah
kamu khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan tadi. Raja itu sudah
mati 300 tahun yang lalu. Raja yang memerintah sekarang ini adalah
seorang raja mukmin yang soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang ini orangnya beriman seperti mana yang kamu imani.”
Barulah pemuda itu sedar dan insaf akan
apa yang sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat jelas
serta dengan alasan dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah
bahawa mereka berada dalam gua bukan semalam atau setengah hari tetapi
sudah tiga abad lamanya.
.
Orang ramai kemudiannya membawa pemuda
tersebut mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama itu.
Betapa terkejutnya raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya,
raja memeluk pemuda dengan juraian air mata yang tak terhingga.
Seketika suasana istana menjadi sangat hening dan terharu oleh kehadiran
pemuda yang luar biasa tersebut.
Raja yang soleh ini kemudian menjelaskan
kepada pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati 309 tahun yang
lalu. Selepas mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu mengajak para
pembesarnya dan semua orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul Kahfi
bersama wakil pemuda itu, untuk menjemput dan bertemu dengan kesemua
pemuda tersebut, apalagi mereka sedang menunggu dengan kelaparan dalam
gua, di samping ingin mengetahui keadaan di gua dan untuk mendengar
kisah sebenar mereka.
.
Setelah mereka keluar dari gua itu,
mereka disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam
istana dan diberinya tempat di istana yang indah itu. Tidak lama
kemudian walaupun raja berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap
tinggal di istana, tapi kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan
tetap memilih untuk kembali ke gua semula.
Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja: “Kami
ini sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi kerana kami
sudah melepasi beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia,
malah negeri dan binaan besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya;
yang kami lihat sekarang ini adalah serba baru. Kami pun puas hati
melihat raja dan penduduk yang hidup di negeri ini sudah sama-sama
beriman kepada Allah سبحانه وتعالى.”
Di hadapan orang ramai, para pemuda ini
menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى, jangan sesekali tunduk kepada sesiapa yang mengajak pada jalan
kesesatan dan kemusyrikan.
.
Tidak lama kemudian selepas mereka
memberi ucapan selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman
itu. Para pemuda lalu sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah
سبحانه وتعالى agar menurunkan rahmatNya dan agar Allah سبحانه وتعالى
mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah. Sejurus selepas mengucapkan
doa itu mereka merebahkan badan di tempat pembaringan lalu menghembuskan
nafas mereka yang terakhir dengan tenang dan tenteram. Termaklumlah
bahawa Allah سبحانه وتعالى telah mengambil roh pemuda-pemuda itu dan
kembali kepadaNya untuk selama-lamanya.
Keadaan dan kejadian itu, menjadi asas
yang amat kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah
سبحانه وتعالى, Tuhan yang Maha Kuasa. Mereka makin percaya bahawa janji
Allah سبحانه وتعالى itu benar belaka dan Hari Qiamat serta akhirat
itupun benar semuanya.
.
Sepeninggalan para pemuda itu, orang
ramai lalu berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan
sewajarnya agar mereka sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci
itu. Ada yang mencadangkan supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu
sebagai kenangan. Manakala Raja mencadangkan agar sebuah masjid (rumah
ibadat) dibinakan di sisi gua itu supaya dari dalam masjid itu orang
ramai dapat sama-sama menyembah dan membesarkan nama Allah dan sentiasa
insaf akan kebesaran Allah سبحانه وتعالى.
.
Hal ini diceritakan Allah سبحانه وتعالى dengan firmanNya;
فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًاۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا ﴿٢١
“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah سبحانه وتعالى
jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang
berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya
kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)
.
.
Penutup
.
Allah سبحانه وتعالى menerangkan kisah Ashab al-Kahfi
ini bukanlah sesuatu yang ganjil dan menghairankan jika dibandingkan
dengan ayat-ayat lain. Banyak lagi kejadian lain seumpamanya yang
menunjukkan kekuasaan Allah سبحانه وتعالى, Yang Maha Kuasa mengatur alam
menurut kehendak-Nya tanpa ada yang mampu menandinginya seperti
penciptaan langit dan bumi serta segala yang ada di alam ini lebih
mengagumkan lagi.
Sepertimana dikatakan Prof. Hamka; Maksud
ayat al-Kahfi ini adalah apakah engkau menyangka atau manusia menyangka
bahawa manusia yang dicipta Allah tertidur beratus tahun di dalam gua
yang sunyi terpencil itu sudah sebahagian daripada kuasa Allah سبحانه
وتعالى? Padahal banyak lagi takdir Allah سبحانه وتعالى di dalam alam ini
yang lebih menakjubkan dan lebih ganjil.
Pada hakikatnya, kisah yang penuh
pengajaran ini masih belum cukup untuk menarik perhatian umum. Justeru
marilah kita melakukan amal kebaikan dan menjadikan kehidupan sebagai
suatu cita-cita luhur bagi meraih kebaikan dunia atau akhirat.
Insya‘Allah…
.
.
والله أعلم بالصوابWAllah سبحانه وتعالىu A’lam Bish Shawab
(Hanya Allah سبحانه وتعالى Maha Mengetahui apa yang benar)
.
.
Artikel Berkaitan:Fadhilat Doa Ashabul Kahfi (Klik Di Sini)
KISAH ASHABUL KAHFI ~ 7 PEMUDA TERTIDUR 309 TAHUN
man
E-mail Print PDF
Lokasi Gua Ashabul Kahfi terletak kira-kira 7km dari pusat bandar Amman, Jordan. Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali dengan Ar-Raqim kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim di kawasan tersebut. Perkataan Ar-Raqim juga disebut di dalam Al-Quran dan Ahli Tafsir menafsirkan Ar-Raqim sebagai nama anjing dan ada yang menyatakan ia sebagai batu bersurat.
Kahf Ahlil Kahf merupakan lokasi sejarah yang membuktikan kebenaran kisah di dalam Al-Quran iaitu di dalam Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga 26. Ayat di dalam Surah tersebut menceritakan bagaimana 7 orang pemuda yang beriman kepada Allah melarikan diri ke sebuah gua dan Allah menidurkan mereka selama 309 tahun Qamariah (300 tahun Shamsiah) sehingga mereka tidak dapat dibangunkan oleh suara apa sekalipun.
Firman Allah; “Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah ‘ashabul kahfi’ (penghuni gua) dan ‘ar-raqiim’ (anjing mereka) termasuk antara tanda-tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan? (Ingatlah) tatkala pemuda-pemuda itu mencari tempat berlindung ke dalam gua lalu mereka berdoa: “Wahai Tuhan kami berikanlah rahmat kepada kami dari sisi-Mu dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami (ini)”. (al-Kahfi: 9)
Ashabul kahfi (penghuni-penguni gua) yang dimaksudkan dalam ayat di atas, menurut para ulama’- terdiri dari tujuh orang pemuda iaitu;
Maksalmina
Tamlikha
Martunus
Bainunus atau Nainunus
Sarbunus
Dzunuanus
Kasyfitatanunus
Bersama mereka seekor anjing bernama Qitmir mengekori mereka. Pemuda-pemuda ini beriman kepada Allah di tengah kekufuran kaum dan bangsa mereka. Identiti mereka sebagai pemuda yang beriman diakui oleh Allah dengan firmanNya;
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk”. (al-Kahfi: 13)
Menurut ahli sejarah, kisah ini berlaku pada zaman sebelum kedatangan Islam di satu negeri bernama Afsus yang terletak di Turki (ada pendapat menyatakan di Jordan, dan ada juga mengatakan di Syria). Asalnya penduduk negeri itu beriman kepada Allah dan beribadat mengesakanNya.
Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama Diqyanus. Raja ini menganut fahaman kufur/berhala dan dia memaksa rakyat di bawah pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah yang dibawa Nabi Isa a.s. dan bertukar kepada agama kufur/berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut dengan ancaman dan seksaan raja itu terpaksa akur dengan arahan yang zalim itu. Namun tujuh pemuda beriman tadi tidak mahu tunduk dengan tekanan raja kafir itu. Mereka tetap teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin terancam dengan berbuat demikian. Akhirnya mereka dipanggil mengadap raja itu.
Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan penuh berani dan bersemangat berhujjah mempertahankan iman dan prinsip aqidah Ilahi yang mereka yakini. Allah berfirman menceritakan peristiwa mereka berhujjah;
“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan hujjah kepada raja): ”Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?”. (al-Kahfi: 14-15)
Walaupun tidak mampu menjawab hujjah-hujjah yang mantap dari pemuda-pemuda beriman ini, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras mahu mereka murtad dari agama mereka. Ia memberikan tempoh beberapa hari kepada mereka. Jika selepas tempoh itu pemuda-pemuda ini tetap berkeras, maka mereka akan dimurtadkan secara paksa atau akan dibunuh. Kerana sayangkan aqidah dan agama mereka, pemuda-pemuda ini bermesyuarat sesama mereka untuk mencari keputusan yang muafakat. Apakah tindakan yang sepatutnya diambil untuk mempertahankan diri dan juga agama mereka? Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi dan berlindung di dalam gua di kawasan pedalaman/kampung.
Firman Allah; “Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan memberi bantuan yang berguna”. (al-Kahfi: 16)
Mereka lari ke pedalaman di kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat sebuah gua dan di situlah mereka bersembunyi dan berlindung. Kebetulan semasa perjalanan mereka ke situ mereka telah diekori oleh seekor anjing bernama ar-raqiim. Maka anjing itu turut bersama-sama dengan mereka berlindung dan menetap di gua itu. Di dalam gua itu mereka diberi ketenangan dan ketenteraman oleh Allah.Allah telah menidurkan mereka dengan nyenyak dalam gua tersebut.
Firman Allah menceritakan tentang mereka di dalam gua;
“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di dalam gua itu bertahun-tahun lamanya”. (al-Kahfi: 11).
Allah ingin menzahirkan bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka Allah telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa yang amat lama iaitu selama 300 tahun (mengikut perkiraan tahun Masihi) atau 309 tahun (mengikut tahun Hijrah).
“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun)”. (al-Kahfi: 25)
Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan dan minum, tetapi dengan kuasa Allah, badan dan jasad mereka tidak hancur dan musnah. Bahkan Allah menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua itu nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur.
“Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka”. (al-Kahfi: 18)
Setelah sampai tempoh yang ditetapkan Allah (iaitu 300 tahun atau 309 tahun), mereka dibangunkan. Ketika mereka bangun mereka sendiri tidak menyedari bahawa mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama. Mereka menyangka mereka hanya tidur dalam masa sehari atau separuh hari sahaja.“Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah berapa lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini) sehari atau setengah hari….”. (al-Kahfi: 19)
Sebaik bangun dari tidur mereka, mereka terasa lapar. Maka sebahagian dari mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke Bandar bagi mencari sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.
Firman Allah menceritakan cadangan sebahagian dari mereka itu;
“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi ke kota dengan membawa uang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya jika mereka dapat mengetahui tempatmu, niscaya mereka akan melempar kamu dengan batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian niscaya kamu tidak akan beruntung selama-lamanya”. (al-Kahfi: 19-20)
Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka. Walaupun dalam keadaan yang gawat dan susah serta kelaparan, tetapi mereka masih berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya mencari dan memilih makanan yang bersih dan halal. Ini menandakan bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan kita supaya bertakwa kepadaNya sedaya yang kita mampu, dalam keadaan mana sekalipun, sama ada senang atau susah.
FirmanNya; “Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta ta`atlah; dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu”. (at-Taghabun: 16)
Walaupun Allah menceritakan dalam ayat tadi bahawa pemuda-pemuda amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan diketahui orang lain–kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih raja yang dulu dan kafir kepada Allah, namun Allah telah mentakdirkan supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi menunjukan kekuasaan dan kehebatanNya. Kebetulan semasa pemuda-pemuda ashabul kahfi ini dibangkitkan Allah setelah tidur 300 tahun lamanya, suasana negeri telah banyak berubah. Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman kepada Allah. Begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam negeri itu yang masih ragu-ragu tentang kebenaran kiamat; mereka masih ragu-ragu; bagaimana Allah boleh menghidupkan orang yang telah mati? Apatah lagi yang telah beribu bahkan berjuta tahun lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah membangkitkan ashabul kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu lagi.
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya mereka mengetahui bahwa janji Allah menghidupkan orang mati adalah benar, dan bahwa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya”. (al-Kahfi: 21)
Allah mendedahkan perihal pemuda-pemuda ashabul kahfi itu semasa wakil mereka itu datang ke kota hendak membeli makanan. Ia merasa hairan melihat keadaan kota dan penduduknya berubah sama sekali. Penduduk kota pula merasa hairan melihat keadaan wakil itu dan mereka semakin syak apabila mereka melihat wang perak yang dibawanya ialah wang zaman dahulu yang sudah tidak laku lagi. Ia dituduh menjumpai harta karun lalu dibawa mengadap raja yang beriman dan mengambil berat hal agama. Setelah mendengar kisahnya, raja dan orang-orangnya berangkat ke gua ashabul kahfi bersama wakil itu, lalu berjumpa dengan pemuda-pemuda itu sekeliannya dan mendengar kisah mereka.
Sejurus kemudian pemuda-pemuda itu pun dimatikan Allah sesudah memberi ucapan selamat tinggal kepada raja yang beriman itu dan orang-orangnya. Raja mencadangkan supaya sebuah masjid didirikan di sisi gua itu. Sementara itu ada yang mencadangkan supaya mendirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan.
Hal ini diceritakan Allah dengan firmanNya;
“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka) berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (yakni pihak raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka”. (al-Kahfi: 21)
Saya nak tanya..akhirnya tugu peringatan tu dibuat ke?
BalasPadam