Jumaat, 2 Oktober 2015

SUAMI YANG KEDEKUT

Jangan TAKUT belanja ISTERI!

Artikel dari majalah IK: Inspirasi Kejayaan

Tersenyum lebar kakak-kakak dan isteri-isteri membaca topik Bro Razzi kali ni kan… semua suka semacam je. Tengok tuhh… dah hint kat suami masing-masing dan suruh hafal, well… sememangnya artikel Razzi kali ni khas untuk semua, especially nak-nak dekat raya ni kan

Bagi yang sudah bertahun-tahun follow penulisan Razzi semenjak 2006, dari buku-buku dan ebook-ebook saya, dari blog Brother Love dan facebook, pasti tahu apa yang selalu saya bentangkan. Santai dalam panas, macam tengah berjemur kat tepi pantai gitu…

So, SUAMI! Husbands and what a great father you’re… juga harus senyumlah bila membaca saranan saya ni. Bukan apa, sememangnya kita tahu tanggungjawab seorang suami dan betapa banyak perbelanjaan di dalam sesebuah rumahtangga. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah memiliki anak-anak yang bersekolah. Persediaan masuk sekolah pun dah ribu-ribu.

NAMUN, janganlah sesekali merasa gusar atau takut untuk berbelanja kepada keluarga especially isteri. Secara logiknya, setelah isteri yang bertungkus lumus menjaga rumah serta anak-anak, menyiapkan segala keperluan suami dan sebagainya, “She deserved a great treatment from her husband!.” 
Pesan ibu saya :“Esok Razzi kahwin, janganlah takut belanja isteri dan anak-anak, InsyaAllah! berkat dan akan bertambah lebih banyak rezeki nanti!”
Aduuuh!! kalau seorang ibu sudah berpesan sebegitu, takkan kita mahu mengabaikannya? Sesuatu yang baik dan membawa berkat ini sewajarnya kita ikuti dan amalkan. Lagi pun, sesungguhnya, setiap anak-anak kita itu, sedari dalam perut ibunya lagi, Allah telah meletakkan rezekinya sendiri. Begitu juga, si isteri. Rezekinya telah ditetapkan – Inilah yang kadang-kadang tu kita sering terlupa.

Mungkin dalam tiba-tiba kita mendapat rezeki yang banyak. Lantas kita fikir semuanya adalah dari usaha kita seorang diri. Sebenarnya, rezeki yang banyak itu adalah KOMBINASI dari rezeki anak-anak dan isteri yang disalurkan melalui kita.

Sebab itu sering orang kata, “Rezeki anak-anak”… sebenarnya mereka terlupa tentang rezeki dari ‘membina masjid’ itu, iaitu rezeki perkahwinan dan rezeki dari isteri yang dikahwini.

Jadi, JANGANLAH TAKUT untuk BELANJA ISTERI, walaupun isteri mempunyai pendapatannya sendiri. Kalau isteri nak belanja suami, Alhamdulillah!… jika tidak, kita belanja dia banyak-banyak! Hahaha  – manalah tahu, lagi banyak kita belanja isteri, lagi banyak Allah curahkan rezeki dan menambahkan keuntungan buat kita, isteri pun pasti bertambah sayang!

Daripada si suami ni asyik belanja kawan-kawan nak menunjuk dia banyak duit, lebih baiklah belanja anak-anak dan isteri. Sesetengah suami pulak ada yang suka belanja kat entah sapa-sapa dan awek mana. Hmm, ada baiknya belanja isterilah, dah memang sah-sah milik kita. Daripada belanja perempuan mana ni, belakang kita dia melaram dengan jantan lain, kita tak tahu. Buat rugi duit kita je.

PERINGATAN: Amboi, suka sangatlah tu si isteri mendengarnya! TAPI, kena ingat juga isteri-isteri tu… maksud belanja isteri disini BUKAN belanja isteri yang boros dan suka menghabiskan duit suami, sehingga melampaui kemampuan suami.

Tetapi, belanja isteri yang baik, penyayang, solehah, bijak mendidik anak-anak, pandai berjimat, mengurus rumah tangga dan menghormati suami. Kalau isteri yang membazir dan suka menunjuk-nunjuk tu, buat Tuhan tarik rezeki kita lagi ada lah.

So, sebagai seorang suami amatlah berkat berbelanja untuk anak dan isteri. Janganlah sesekali merasa takut habis duit atau menganggap perbelanjaan buat isteri itu satu beban yang memudaratkan. Selalu percaya, dengan berbelanja pada isteri, InsyaAllah! rezeki kita akan bertambah lagi.

Love,Razzi Rahman @ Brother Lovewww.razzirahman.com


Suami jangan kedekut dan berkira sangat dengan isteri sebab isteri buat macam2 tugas untuk suami dan anak2 di rumah. Isteri beranak anak kita, bagi susu pada anak pulak, basuh berak anak, jaga anak, basuh baju, masak makanan, buat air kopi, sapu sampah, kemas rumah, layan suami, dan macam2 lagi .... Kan banyak kerja isteri buat tu!
Asalnya isteri tidak wajib memasak, buat air, sapu sampah, basuh baju suami .... Tapi, apabila suami suruh, baru isteri wajib taat suami. Sebab tu isteri boleh minta upah dari suami. Oleh itu, mana2 perempuan yang buat kerja rumah, dia berhak menuntut bayaran daripada suami dia.
Dah banyak mana kena bayar? Yang moleknya suami bayar RM1500 sebulan pada isteri. Tu dah kira murah. Tengok pelayan di restoran, gaji katakan RM800, tapi dia tak masak pun, cuma ambil oder saja. Tukang sapu, gaji RM600 cuma sapu sampah je. Orang gaji jaga anak saja, kena bayar RM500. Dah berapa dah jumlah tu. Tapi kerje2 tu semua isteri sorang yang buat.
Jadi sebab dah tahu ni, nanti para isteri bolehlah cakap pada suami, "Ustaz Azhar kata boleh mintak upah dengan suami. Jadi saya nak la dalam RM1500 sebulan..."
( Ustaz Azhar Idrus )

Isteri mengeluh suami kedekut
Isteri mengeluh suami kedekut
Oleh:Nadia Mingguan Wanita
Ada isteri menuduh suaminya kedekut manakala suami pula menuduh isteri boros menggunakan wang suami. Kalau suami dan isteri saling melempar tuduhan bahawa pasangannya kedekut atau pemboros, siapa betul?

Masalah begini sering berlaku dalam rumah tangga sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan. Masing-masing menegakkan benang basah walaupun mengetahui sikap itu tidak disenangi pasangan.

Perlu diketahui bahawa di antara hak isteri yang paling utama ialah memberikannya nafkah. Menafkahi isteri adalah bentuk ibadah dan taqarub paling besar yang boleh dilakukan seorang hamba. Nafkah itu sendiri mencakupi makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, dan segala yang diperlukan oleh isteri baik jasmaninya mahu pun rohaninya.

Namun masih ada isteri mengeluh kerana suami dianggap kurang dalam menafkahinya. Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa lelakilah yang berkewajipan memenuhi keperluan wanita. Itu catatan pertama. Oleh sebab itu, lelaki juga memiliki hak kepemimpinan dan keutamaan dibandingkan wanita, kerana lelaki jugalah yang memberi nafkah kepada mereka, dalam bentuk mahar atau wang belanja. Allah berfirman:

“Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.”

Banyak dalil-dalil daripada kitab, sunah yang sahih dan ulama yang menyebut mengenai wajibnya bentuk pemberian nafkah dan tanggungjawab itu terletak di bahu lelaki yang bergelar suami dan ayah.

Firman Allah :  “…Dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara yang maaruf. Seseorang tidak dibebani melainkan menurut kadar kesanggupannya….”(Al-Baqarah : 233)

Demikian juga firman Nya:

“….dan apabila mereka (isteri-isteri yang ditalak) dalam keadaan hamil, berikanlah kepada mereka nafkah sehingga mereka bersalin…”(Ath-Thalaq : 6)

Seorang suami wajib memberikan nafkah kepada isteri dan keluarganya serta semua yang berada dalam tanggungannya, sebagaimana ditegaskan dalam hadis Jabir bin Abdullah r.a bahawa Nabi s.a.w menyatakan:“Bertakwalah kepada Allah dalam memelihara wanita, sesungguhnya mereka itu adalah tawanan bagi dirimu; kamu memiliki mereka dengan amanah kepada Allah dan kamu halalkan kemaluan mereka dengan kalimatullah, maka hak mereka atas dirimu adalah hendaknya kamu memberi mereka nafkah dan pakaian dengan cara yang baik.” (HR. Muslim VII : 183)

Dalam hadis Muawiyyah in Hidah disebutkan bahawa dia berkata: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah: “Apa hak seorang isteri terhadap diri suaminya?” Baginda menjawab: “Hendaknya  kamu memberi makan sebagaimana kamu makan, dan memberi pakaian sebagaimana kamu berpakaian, janganlah kamu menjelikkan  wajahnya dan jangan kamu memukulnya.” (HR. Abu Dawud  & Ibnu Majah)

Hadis ini menjelaskan bahawa memberi makan dan menyediakan pakaian adalah wajib. Dan kewajiban itu tentu tergantung kemampuan suami. Namun kerana Nabi s.a.w telah menjadikan itu sebagai hak isteri terhadap suaminya, maka adalah wajib hukumnya, ada ataupun tidak. Maksudnya, ketika suami tidak mampu memberikan nafkah kepada isterinya, nafkah itu menjadi hutang yang harus ditunaikan pada waktu lain sebagaimana kewajipan-kewajipan lain.

Dalam hadis Abu Hurairah diriwayatkan bahawa dia berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda, ‘Apabila seorang di antara kamu pergi dan mencari kayu bakar, lalu menjualnya, untuk mencukupi keperluannya kemudian dia sedekahkan, itu lebih baik daripada dia meminta kepada orang lain, diberi ataupun tidak. Kerana tangan yang di atas itu lebih baik daripada tangan yang dibawah. Namun mulailah daripada orang yang berhak engkau nafkahi’.” (HR. Muslim)

Para ulama bersepakat tentang wajibnya memberi nafkah kepada isteri bagi seorang suami, kalau mereka mampu, kecuali bagi isteri yang berbuat nista. Nabi pernah bersabda : “Apabila seorang Muslim memberikan nafkah kepada keluarganya, sementara ia menghisab diri, maka itu akan menjadi sedekah baginya.” (HR. Bukhari I : 136)

Menafkahi keluarga menurut ulama adalah wajib. Islam menyebutnya sebagai sedekah, kerana dikhuatirkan orang-orang akan menyangka bahawa dengan melakukan yang wajib itu, mereka tidak memperoleh pahala. Padahal mereka telah mengetahui pahala daripada amal sedekah, agar mereka tidak mengalihkannya kepada orang lain, sebelum mereka mencukupi keperluan keluarga. Maksudnya mendorong mereka agar mendahulukan sedekah yang wajib daripada sedekah sunnah.

Nabi bersabda : “Satu dinar yang engkau nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau keluarkan untuk membebaskan budak, satu dinar yang engkau berikan kepada fakir miskin, dan satu dinar yang engkau berikan sebagai nafkah keluargamu; yang terbaik di antaranya adalah yang engkau berikan sebagai nafkah isterimu.” (HR. Muslim II :692)

Jadi seorang suami akan dianggap kedekut apabila dia melalaikan kewajipannya mencari nafkah, meskipun isterinya tidak pernah menuntut atau mempunyai hartanya sendiri. Selama suami mampu dan berkesempatan, dia wajib mencari nafkah demi anak dan isterinya. Bila tidak, dia disebut sebagai kedekut lebih-lebih lagi apabila suami itu mempunyai kemampuan tetapi kurang memperhatikan keperluan isteri dan anaknya. Sebaliknya dia menghambur-hamburkan hartanya di luar rumah untuk kesenangan peribadi.

Lain halnya bila suami belum mampu mencukupi keperluan keluarga, setelah dia berusaha mencari nafkah namun belum mendapatkan kesempatan memperoleh rezeki yang mencukupi. Atau dia mengawal pemberian kepada anak isterinya untuk tujuan bersama yang lebih utama. Seperti menyimpang wang untuk keperluan kecemasan, membiayai kos perubatan atau membeli peralatan dan keperluan rumah tangga yang hanya boleh dibeli dengan cara menyimpan sebahagian daripada pendapatan.


Santai Sabtu : Kisah Suami Kedekut.


Sepasang suami isteri, dah lama kahwin tapi tak ada cahaya mata. Si suami teramatlah kedekut, bukan setakat taik idung masin, taik mata pun masin gak.

Salah satu aktiviti tahunan mereka ialah mengunjungi satu pameran udara.

Tahun pertama, si isteri nak sangat naik sebuah pesawat ringan. Pergilah mereka berjumpa dengan pilot pesawat tu. "Encik, berapa saya kena bayar untuk menaiki pesawat ni?" tanya si suami. "Tak mahal encik, cuma RM50 untuk satu pusingan" jawab pilot tu. "Uuiishh.. mahalnya, tak jadi la saya nak naik" jawab si suami lalu menarik tangan isterinya berlalu dari situ. "Alaa... abang ni, RM50 pun nak berkira, Setahun sekali je bang, dah lama saya nak naik pesawat camtu" rayu si isteri dengan nada manja dengan harapan si suami akan ubah fikiran. "Jangan nak ngada-ngada, RM50 tu banyak benda lain kita boleh beli". Kecewalah si isteri atas sifat kedekut suaminya. Bukannya tak mampu,dalam bank melambak lagi duit dia.

Tahun kedua, mereka pergi lagi. Si isteri sekali lagi memujuk suaminya untuk menaiki pesawat tu. Berjumpalah mereka dengan pilot tu, pilot yg sama tahun lepas. Tapi kali ni, bayaranya dah jadi RM80. Apa lagi sekali lagi kecewa lah si isteri tadi.

Tahun ketiga, mereka pergi lagi. Si isteri tadi awal-awal lagi dah pujuk si suami untuk menaiki pesawat ringan tu. "Baiklah, kalau bayaranya kurang dari RM30, kita naiklah"kata suami yang membuatkan si isteri menarik muka masam kerana dia tahu bayarannya pasti akan meningkat lagi tahun ni. Mereka menuju ke pesawat yang sama macam tahun lepas dan jumpa ngan pilot yang sama juga. Seperti yang dijangkakan, bayaranya dah jadi RM100. Segeralah si suami menarik tangan isterinya berlalu dari situ. Si pilot tadi yang kesiankan si isteri yang saban tahun mengimpikan untuk menaiki pesawat tu memanggil mereka semula. "Encik, berapa yang encik sanggup bayar?". "Aku cuma nak bayar bawah RM30 ajer" jawab si suami.

Setelah berfikir seketika, berkatalah si pilot tadi "Baiklah, encik boleh naik pesawat tu dengan bayaran RM20 sahaja tapi dgn satu syarat". Gembiralah si suami tadi, RM20 ajer "tapi apa syaratnya". "Semasa di udara, encik dan isteri encik tak boleh Mengeluarkan satu suara pun. Kalau bersuara juga, saya akan kenakan bayaran RM10 bagi setiap perkataan yang keluar dari mulut encik atau isteri encik" jawab pilot tadi sambil tersenyum. "Baiklah saya setuju" jawab si suami dengan yakin. Maka, naiklah mereka akan pesawat tu. Pilot tadi pun ada niat lain sebenarnya. dia nak ajar si suami yang kedekut tadi.

Dia pun buat lah aksi-aksi akrobatik yang diakui membahaya. Macam-macam aksi dia buat, tapi hairan gak dia sebab suami isteri yang duduk kat belakang dia tak menjerit pun. Dia cuba lagi buat aksi-aksi yang merbahaya, berpusing-pusing pesawat tu, tapi still senyap gak. Setelah muslihat dia tak berjaya, pilot tu pun mendaratkan lah pesawat dia. Rasa rugi pulak sebab cuma boleh dapat RM20 ajer. Bila dah mendarat, cuma si suami yang turun dari pesawat tu. "Ehh? mana isteri encik?"tanya pilot tu terkejut. "Dia dah jatuh masa kau pusing-pusing pesawat tadi" "Hahh apasal tak cakap". "Kalau aku cakap nanti kena tambah bayaran lak" jawab si suami sambil menghulurkan RM20 kepada pilot tadi dan terus berlalu...

Suami kedekut keluar duit belanja

Dalam perjumpaan kami baru-baru ini di sebuah restoran dalam sebuah pusat rawatan terkemuka di Kuala Lumpur, Baizura memberitahu mengapa wanita zaman sekarang (bermula sejak tahun 70-an hingga kini) banyak yang terpaksa berkorban untuk membahagiakan keluarga, sedang orang yang sepatutnya berkorban adalah kaum lelaki iaitu si suami.
Setelah menjamu selera Baizura memulakan ceritanya, katanya, ''rata-rata dari apa yang saya pernah baca dalam akhbar, kaum wanita iaitu isteri yang banyak berkorban untuk suami dan anak-anak, berbanding wanita zaman emak saya dulu ayahlah yang berkorban segala-galanya demi kebahagiaan keluarganya terutama anak-anak.
''Macam ayah saya dia bekerja mencari rezeki, ibu saya suri rumah sepenuh masa membesarkan kami lima beradik, saya lihat ayah berkorban wang ringgit unuk menghidupkan kami, memberi makan, menyediakan wang untuk kami bersekolah hinggalah kami menyambung pelajaran hingga ke peringkat tertinggi selagi mampu.
''Dan beliau sentiasa mengambil tahu hal kami walaupun kini dia tahu kami sudah ada keluarga, tetapi beliau sentiasa mengambil berat, mengharapkan yang terbaik untuk anak-anaknya.
''Dulu masa saya kecil, saya lihat dengan mata saya sendiri, setiap bulan ayah akan serahkan semua gaji atau pendapatannya dalam sebulan kepada emak, sambil berkata, ''Mah ini gaji abang sebulan, kau jimat-jimatlah buat belanja makan minum, dan jangan lupa duit saku dan perbelajaan sekolah anak-anak. Pandai-pandai kaulah berjimat. Cukup tidak itulah semua gaji abang." Itu kata ayah, dan emak ambil sambil berjanji akan berbelanjaan sebaik mungkin.
''Emak tak pernah minta duit dari ayah hinggalah hujung bulan bila ayah dapat gaji baru. Cukup atau tidak pandai-pandai emaklah berjimat, kadang tu mak suruh kami berjimat belanja sekolah untuk kegunaan esok hari. Kami diajar menabung demi pelajaran kami nanti, begitu kata emak.
''Setiap hari bila nak pergi kerja ayah akan minta duit dari emak. Biasanya ayah akan minta RM5 sehari, cuma sekali ayah minta lebih atau kurang apabila ditangannya masih ada duit berbaki. Ayah akan kata hari ini abang minta RM3 aja sebab semalam masih ada baki. Emak tak pernah merungut kalau duit tak cukup, dan ayah tak pernah minta lebih.
''Berkat suami isteri baik berpakat, saling percaya mempercayai, iaitu ayah percayakan emak apabila menyerahkan sebulan gajinya, dan emak pulak pandai berjimat maka hidup mereka aman damai, malah mereka boleh beli tanah di kampung dan sebuah lagi tapak rumah. Kalau nak ikutkan gaji ayah berapa sangat, tak sampai pun seribu, ketika itu, tetapi kami 5 beradik semua bersekolah, dan bekerja kini.
''Tapi peliknya zaman ini, kami suami isteri bekerja, tapi suami saya selalu mengeluh tak ada duit, malah melepaskan semua tanggungjawabnya kepada saya, seolah-olah saya ketua keluarga, dia jadi isteri. Saya pernah berbincang dengan suami saya beri gajinya kepada saya, taulah saya mengurus dengan baik, kerana kalau tidak pun semua urusan rumah dia tolak pada saya. Tapi dia tak mahu bagi. Dia nak buat sendiri, sedangkan dia selalu tak ada duit.
''Alasannya tak ada duit kerana kena bayar ansuran rumah murah yang dibelinya di kampung, saya pun ada beli rumah sendiri. Kalau dia kata kena bayar ansuran kereta, saya pun ada kereta, kita sama-sama ada tanggungjawab. Apa yang penting cara kita berbelanja, malangnya bila suami tak jujur pada isteri memang dia tak ada duit. Suka sorok, suka cakap tak ada duit, maka Allah makbulkan permintaannya.
''Pada saya kalau kita gaji tak banyak, baiklah kita berpakat, susah sama susah, senang sama senang, malangnya, macam suami saya dia cuma bayar sewa rumah, sebab rumah saya belum siap sementara rumahnya jauh di kampung. Bab lain dia tak ambil peduli.
''Kalau nak dikira perbelanjaan yang terpaksa saya uruskan lebih banyak daripada sewa rumah, dalam pada itu dia mahu saya sediakan makan minum yang sedap-sedap, walaupun makan sekali waktu malam, tetapi belanja memasak lebih mahal dari kita beli lauk yang sudah siap.
''Lagi satu perangainya yang kurang elok dia terlalu berkira apa juga perbelanjaan yang dikeluarkan rumah kami anak beranak, macamkan dia takut duitnya habis. Bayangkan semasa kami baru berkahiwn dahulu, dia masih belum dapat tukar kerja ke KL. Lebih setahun saya hidup sendirian macam orang belum kahwin. Sebab suami saya tak bagi duit belanja atau sara hidup kepada saya walau sesen pun.
''Alasannya duitnya habis kerana terpaksa turun naik ke KL, jadi kalau saya ikut dia pindah bekerja di negerinya, tentu duitnya tak banyak habis. Masalahnya kerja saya tak boleh berpindah atau bertukar macam kerja dia, bermakna saya kena berhenti kerja. Nak cari kerja baru umur macam saya ketika itu bukan mudah berbanding pekerjaannya boleh bertukar ke KL pada bila-bila masa sahaja sebab ada cawangan dan boleh bertukar.
''Malangnya kerana saya tak mahu bertukar maka dia jadikan saya sebagai alasannya tak ada duit nak bagi nafkah walaupun saya isterinya. Katanya saya bekerja maka tanggunglah diri sendiri. Kalau nak duit sara hidup ikut dia pindah ke negerinya.
''Kerana waktu itu baru setahun kami berkahwin dan saya pulak baru hamil, maka semua alasannya saya diamkan, lagi pun saya masih nak bekerja. Saya terpaksa bersabar, dalam pada itu saya berusaha kumpul segala keperluan bila kami bersedia duduk serumah nanti.
''Akhirnya suami saya dapat pindah ke KL, dan kami cari rumah sewa, takkan nak duduk rumah emak selamanya. Bila pindah, saya lengkapkan semua keperluan rumah, dari sekecil-kecil sebatang sudu hinggalah sebesar-besarnya, perabot dan kerusi meja. Semua lengkap, semua saya usahakan sendiri, sama ada saya beli tunai atau pun saya bayar ansuran. Suami saya masuk rumah cuci kaki.
''Saya kira bila semua dah lengkap tentulah dia sebagai suami akan merasa senang hati untuk mengeluarkan belanja kepada benda-benda lain selain dari bayar sewa rumah, rupanya tidak dia masih tunggu saya siapkan hingga saya terpaksa minta duitnya berulang-ulang kali. Kerana waktu itu saya hampir bersalin, maka saya terpaksa mengikut kehendaknya, sebab tak kuasa nak gaduh, lagi pun malu pada jiran tetangga, duduk rumah flat jiran pasang telinga.
''Semasa bersalin, setengah bayaran duit hospital, upah bidan mengurut, ubat-ubat dalam pantang, lampin pakai buang, susu bayi, semuanya saya kena siapkan, termasuklah pakaian untuk bayi semua saya terpaksa beli dan sediakan semasa sebelum bersalin lagi.
''Bila saya minta suami belikan dia akan kata tak ada duit. Itulah alasannya sepanjang masa apabila saya minta duit. Memang sakit telinga, tetapi saya terpaksa bersabar takkan nak gaduh semasa dalam pantang depan mak bapak tentulah memalukan, lagi pun saya tak mahu jatuhkan maruah suami kita.
''Sebenarnya itulah perangainya dari mula kahwin, hinggalah kami ada dua orang anak. Kalau tak ada duit saya kata berhentilah merokok, sebab masa mula kahwin dulu dia memang tak merokok, tetapi sekarang dah mula merokok balik, ada pulak duit dia beli rokok tu.
''Untuk mencukupkan belanja rumah saya buat kerja sambilan, saya harap dia ikut contoh saya belajar cari duit lebih, tetapi dia lebih suka tidur bila habis kerja. Dia tak suka berusaha. Saya ambil ansuran untuk anak-anak dia marah, katanya menghabiskan duit, sedangkan itu simpanan untuk masa depan anak-anak bila besar nanti ditakdirkan dia perlukan duit untuk belajar.
''Hari berlalu terlalu cepat kini sudah lebih 5 tahun kami berkahwin, saya rasa perangainya tak mahu berubah, hinggakan bawa anak berjalan pun dia tak mahu sebab takut anak minta belikan makanan yang mahal-mahal, dia lebih suka duduk memerap dalam rumah.
''Kerana kesiankan anak-anak, sesekali saya ajak suami keluar berjalan, dia pasti ikut sebab dia tahu saya akan keluar belanja makan, tetapi kalau saya ajak dia keluar dan minta dia keluar belanja, dia akan buat pekak.
''Saya memang pening dengan perangai suami yang kedekut kepada keluarga, adakah ini salah ibu bapa, saya rasa tidak, sebab adik beradik lelakinya semuanya berjaya dalam hidup kerana mereka bertanggung jawab kepada keluarga terutama ibunya.
''Sebab itu saya lihat hidup mereka senang dan mewah. Tak macam suami saya nak hulurkan duit pada emak pun kedekut. Saya selalu ingatkan dia kalau mahukan keberkatan hidup di dunia dan akhirat dia mesti jaga ibunya dan anak-anaknya dengan baik. Itu amanah Allah tak miskin kita jaga kebajikan ibu sebaliknya akan mendapat ganjaran yang lebih dari Allah.
''Sebenarnya saya tak tahu dan tak faham perangai suami saya yang terlalu kedekut ini, kalau tak cukup duit berterus terang, jangan sorok pada isteri. Berunding dan bercerita kalau ada masalah, barulah ada keharmonian dalam keluarga, bukannya bawa hal masing-masing.''
Demikian cerita Baizura tentang suaminya kerana dia juga bukan berjawatan tinggi, dan tidak mampu untuk menanggung beban yang banyak.

Pesanan Uztaz Azhar Idrus kepada Suami

Ustaz Azhar Idrus: Panduan Suami Baik

* Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.
* Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.
* Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa.
* Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.
* Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.
* Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari ?
* Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.
* Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.
* Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.
* Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.
* Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.
* Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.
* Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuaratmenarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.
* Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?
* Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.
* Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumahtangga terancam.
* Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera
* Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
* Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.
* Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri.
* Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.
* Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.
* Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.
* Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.
* Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.
* Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.
* Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.
* Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.
* Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.
* Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.
* Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

* Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka, endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.
* Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.
* Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.
* Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?
* Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.
* Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.
* Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.
* Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.
* Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.
* Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.
* Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.
* Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.
* Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yang isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.
* Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.
* Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pandapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.
* Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.
* Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.
* Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.
* Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.
* Urus stres dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.




kata orang, money can't buy you happiness. atau money is not everything. tetapi, jika dengan cinta sesuatu rumahtangga itu boleh bahagia, manakan pula boleh timbulnya krisis apabila wang belanja tidak mencukupi, gaji suami tidak diketahui isteri, isteri tidak diberi wang oleh si suami?


sudah acapkali kita membaca kisah tentang pergolakan yang berlaku antara suami isteri. pada kali ini, kami bawakan isu suami yang tidak memberi nafkah zahir kepada isteri, aka kedekut dengan isteri. masalah ini pernah diutarakan oleh seorang forumer kita seperti di pos #2.

“BERKORBAN apa saja...harta ataupun nyawa... itulah kasih mesra.. sejati dan mulia...”

Itu antara bait lagu yang dinyanyikan oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan sehingga kini, ia masih lagi segar di minda dan boleh lagi diingati oleh peminat pelakon lagenda ini. Bait lagu yang merdu itu jika dihayati mampu meninggalkan kesan yang mendalam dan memberi pengajaran terutama kepada pasangan suami isteri kerana jelas menunjukkan pengorbanan tidak ternilai daripada pelbagai segi dalam menempuh alam perkahwinan yang penuh pancaroba ini.


Ia juga membangkitkan perasaan untuk saling tolong menolong antara suami isteri demi mencapai kebahagiaan yang diinginkan sepanjang hayat. Perkahwinan bukanlah untuk hidup bersama saja, namun setiap perkara yang berlaku perlu dikongsi demi keutuhan rumahtangga.


Ketika zaman ibu bapa kita dulu, bapa dilihat lebih banyak berkorban untuk menyara anak dan isteri manakala ibu pula menggalas tugas dengan menguruskan makan minum di rumah. Suami akan keluar mencari rezeki untuk membesarkan anak, menyediakan wang persekolahan dan sebagainya.


Lebih mengharukan, sebilangan suami pada zaman itu sanggup menyerahkan gaji bulanannya untuk isteri memandangkan mereka lebih bijak menguruskan perbelanjaan rumah tangga. Cukup atau tidak wang itu, isteri perlu membahagikan untuk keperluan dapur dengan perbelanjaan sekolah dan sebagainya. Jelas menunjukkan suami tidak culas menghulurkan sebahagian besar gajinya. Berkat hidup saling berpakat dan bertolak ansur ini dengan gaji yang tidak sebesar mana, ada juga yang mampu membuat tabungan demi masa depan keluarga.



Namun, senario suami isteri bekerja, sekarang adalah lumrah dalam masyarakat moden. Isteri dilihat mampu meringankan beban kewangan suami, sesuai dengan tuntutan keperluan yang semakin meningkat. Namun harus diingatkan wang gaji isteri sepatutnya digunakan sekadar untuk menampung dan bukannya menanggung keseluruhan perbelanjaan rumahtangga.


Tidak dinafikan, apabila isteri sudi menghulurkan bantuan meringankan beban, ada segelintir suami yang sudah mula berada dalam zon selesa kerana tidak perlu bersusah-payah dan lebih teruk mereka melepaskan sepenuhnya tanggungjawab kepada isteri. Apabila terjadi perkara begini, isteri perlu menanganinya dengan segera.


Jika keadaan menjadi semakin teruk, Islam membenarkan isteri untuk mengambil harta suami tanpa pengetahuan suami, tetapi hanya sekadar memenuhi keperluan isteri, anak serta pembantu, jika ada. Jika ia dikesan oleh suami dan menimbulkan pergaduhan, isteri boleh memaksa suami memberikan nafkah melalui perintah Mahkamah Syariah.


Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud “Tidak mengapa engkau mengambil sekadar keperluan dengan cara yang makruf.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari).



Bagi seorang wanita bekerjaya, Linda, 35, (bukan nama sebenar), 10 tahun hidup bersama orang yang paling dicintainya, beliau tidak pernah merasai suaminya seorang yang bersifat pemurah dan sanggup berkorban untuk dirinya semata-mata. Katanya, walaupun beliau mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang agak tinggi, namun beliau juga teringin untuk merasai nikmat suami menghulurkan nafkah kepadanya walaupun jumlah yang diberikan adalah sedikit.


“Saya tidak pernah berkira sangat kerana tidak mahu rumah tangga yang dibina berkecai begitu saja kerana persoalkan sikap kedekutnya. Bayangkanlah, selama ini suami saya tidak pernah membelikan sehelai baju sebagai hadiah kerana dia tahu saya mampu untuk membelinya sendiri. Bila tiba Aidilfitri, dia beri duit untuk beli keperluan anak, tapi jumlahnya tidak pernah mencukupi dan saya terpaksa menampung semua perbelanjaan berkenaan. Dia hanya lebihkan keluarganya saja. Saya faham dia masih ada ibu dan seorang adik OKU yang terpaksa dijaga. Namun, biarlah adil dengan anak dan isterinya juga,” katanya yang sering berkecil hati dengan perangai suaminya itu.


Linda berkata sehingga sekarang, suaminya tidak pernah membangkitkan untuk membeli rumah sendiri kerana sudah selesa tinggal di rumah ibunya walaupun kini sudah mempunyai tiga anak,” katanya. Tambahnya lagi, banyak lagi keperluan asas yang belum dipenuhi, kereta yang ada tidak mampu lagi memuatkan jumlah keluarganya yang ramai termasuk ibu dan adiknya. Disebabkan terlalu tertekan dan sering didesak suaminya menukarkan kereta lebih besar, akhirnya Linda sendiri yang mengeluarkan wang sakunya untuk membeli kereta baru.


“Malah, jika saya ke luar negara tidak pernah lupa beli hadiah istimewa, tapi bila dia pergi ke luar negara, jarang beli barang mahal kecuali kemeja-T saja. Saya terpaksa pendamkan perasaan itu kerana tidak mahu kerana sifat kedekut suami, rumah tangga kami menjadi porak-peranda. Biarlah selagi saya mampu menggunakan duit sendiri untuk berbelanja,” katanya.



Menerima nasib sama, Aisyah, 30, (bukan nama sebenar), suaminya sering memberi alasan tidak mempunyai wang yang mencukupi kerana perlu membayar ansuran rumah dan juga keretanya, sedangkan beliau juga mempunyai tanggungan sama membayar kereta dan rumah. Katanya, beliau pernah bersuara kepada suaminya untuk menguruskan wang gajinya, namun ditolak dengan alasan tahu menguruskan sendiri. Malangnya suaminya tidak pernah jujur, malah sering mengatakan tidak mempunyai duit dan sering sorok pendapatannya.


“Saya fikir, bila kita sepakat menguruskan semua gaji secara bersama, hidup tidak akan susah kerana kita saling bekerjasama. Tapi yang dia tahu hanya bayar sewa rumah yang kami duduk sekarang, yang lain dia tak ambil peduli. Dengan anak juga terlalu berkira. Takut sangat duitnya habis bila keluar dengan kami. Lebih menyedihkan ketika bersalin hampir semua bayaran hospital, upah bidan dan keperluan bayi disediakan olehnya. Setiap kali minta duit daripada suami, alasannya dia tidak mempunyai wang. Sakit hati bila fikirkan semua itu, tapi disebabkan tak mahu bergaduh, saya terpaksa bersabar lebih-lebih lagi ketika berpantang,” kata ibu seorang anak ini yang bosan dengan sikap kedekut suaminya itu.


Beliau berkata, sehingga ini tiada jalan penyelesaian terhadap suaminya yang suka menyimpan gajinya dan tidak berterus terang.



INFO: Panduan menabung ketika susah dan senang
* Rancang perbelanjaan lebih awal sebelum memperoleh gaji.
* ‘Bayar’ kepada diri sendiri dulu (buat simpanan wajib seperti saham dan sebagainya).
* Belanja pada waktu perlu saja dan jadilah pengguna yang bijak.
* Jangan terikut budaya orang lain. Tingkatkan pemikiran kita, tetapkan pendirian dan bangga dengan siapa kita dan apa yang kita ada.
* Didik ahli keluarga untuk hidup bersederhana.
* Tetapkan perbelanjaan untuk keperluan saja.
* Muhasabah.


Petua rumah tangga bahagia
* Sering melakukan kegiatan bersama seperti makan, berjalan, membeli-belah, beriadah dan mandi bersama.
* Galakkan isteri tidur di atas lengan suami. Isteri yang penyayang akan berada di belakang bahu sebelah kanan suami ketika berjalan.
* Kreatif mencipta suasana harmoni dan tenang dalam rumahtangga.
* Sekiranya ada pergaduhan atau pertengkaran, cuba ingat kembali kenangan manis ketika bercinta dan berbulan madu.
* Suami kena lebih mesra dengan keluarga mentua kerana sekiranya rumah tangga menghadapi masalah, ibu bapa mentua boleh menasihati.
* Suami jangan tumpu perhatian berlebihan kepada dunia luar berbanding keluarga sendiri.
* Sentiasa berlembut segi percakapan, layanan kepada pasangan dan pergaulan sesama ahli keluarga.
* Sekiranya ada masalah, bawalah berbincang. Jangan bertengkar dan masing-masing menegakkan pendapat sendiri.
* Ketua rumah tangga yang bijak sentiasa ada perancangan jangka panjang untuk ahli keluarganya.
* Keluarga Islam amalkan sembahyang berjemaah bersama ahli keluarga.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan