Isnin, 25 Mei 2015

SEMUA NAK DINIAGAKAN....TERMASUK AGAMA...SEBAB CINTA DUNIA ...UNTUK BERIAK-RIAK@MENUNJUK2 DENGAN MANUSIA

















HADIS 28: UJIAN DAHSYAT TERHADAP IMAN

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah saw. bersabda; "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi, kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir, atau (Syak Perawi Hadis) seseorang yang masih beriman diwaktu petang, kemudian pada esok harinya, dia sudah menjadi kafir. Ia telah menjual agamanya dengan sedikit dari mata benda dunia." (Riwayat Muslim)

Keterangan:
Hadis ini menerangkan kepada kita betapa dahsyat dan hebatnya ujiaan terhadap iman seseorang diakhir zaman. Seseorang yang beriman di waktu pagi, tiba-tiba dia menjadi kafir diwaktu petang. Begitu pula dengan seseorang yang masih beriman di waktu petang, tiba-tiba pada esok paginya telah menjadi kafir. Begitu pantas dan cepat perubahan yang berlaku.

Iman yang begitu mahal boleh gugur di dalam godaan satu malam atau satu hari sahaja, sehingga ramai orang yang menggadaikan imannya kerana hanya hendak mendapatkan sedikit dari harta benda dunia. Dunia lebih dicintai di sisi mereka daripada iman.

Dan menurut riwayat Ibnu Majah, beliau menambahkan, "kecuali orang yang hatinya dihidupkan Allah swt. dengan ilmu". Mudah-mudahan Allah swt. menjadikan kita di antara orang yang berilmu dan mengamalkan ilmunya, sehingga dengan itu Allah Swt. akan menyelamatkan iman kita dari ujian yang dahsyat ini.


Penyakit Hati Ujub, Riak, dan Takabbur

penyakit hatiPenyakit Hati

Terdapat perbezaan antara ujub, riak dan takabbur. Apa yang selalu menjadi kekeliruan kita ialah untuk membezakan 3 penyakit hati ini. Ya, terdapat perbezaan antaranya.

Ujub

Jika yang dibicarakan adalah berkenaan dengan UJUB, maka kita perlu untuk memahami bahawa ujub ini timbul dalam hati. Ujub ini adalah lintasan-lintasan kecil yang membisikkan bahawa “aku sedang berbuat baik”, “aku hebat mampu berbuat sedemikian”, atau “wah, baik juga rupanya aku.”
Selalunya, ujub ini hadir sebegitu.
Maksud saya, ujub hadir ketika melakukan kebaikan.
Contohnya, tiba-tiba, minggu itu kamu berterusan menjadi orang pertama yang masuk ke surau pada waktu Subuh, hati-hati sahabat, bimbang akan hadir ucapan hati sebegini:
“Wah, mantap jugak aku rupanya, direct bangun paling awal nie.”
Maka, UJUB telah menjelma.
Juga, hati ini akan cenderung untuk memuji diri sendiri terhadap kelebihan yang ada. Ketika mempersembahkan jawapan di papan putih, ketika memberi ucapan di atas pentas, ketika azan dan menjadi imam, ketika mengalunkan bacaan Quran malah ketika menaip status di Facebook atau tweet di Twitter.
“Eh, ramainya like status aku, hebat juga ya, baru 5 minit sudah 100 like.”
“Bukan calang-calang, setiap tweet aku pasti saja ada yang retweet atau favourite.”
Itu, UJUB.

Riak

Beza pula dengan RIAK. Riak merupakan perbuatan yang menunjuk-nunjuk. Secara mudahnya, ketika sedang melakukan amal atau apa sahaja, ketika itu hadir dalam hati niat untuk menunjuk.
Bermakna, riak ini akan terjadi apabila wujud seseorang yang lain. Tidak akan terjadi riak jika tiada siapa yang kita mahu tunjuk, contohnya kamu hidup di sebuah pulau yang hanya kamu di situ.
Kamu melangkah masuk ke dalam surau, baru sahaja ingin melabuhkan punggung untuk duduk tiba-tiba masuk ustaz warden, sebagai Ketua Ibadah, nanti apa pula dia cakap, jadi kamu pun mula solat sunat Rawatib.
Nampak? Ayat “nanti apa pula orang cakap” yang timbul itu sudah cukup untuk membuktikan kamu hanya menunjuk-nunjuk.
Orang yang riak, selalunya tidak istiqomah. Apabila ada faedah, dia akan buat, apabila tiada, dia tidak buat. Maksudnya di sini, jika dia dapat tunjukkan pada orang, dia akan buat, jika tidak, dia tidak buat. Contoh di asrama, selalunya dia akan turun surau awal pada waktu Subuh, tetapi minggu itu, seluruh ahli biliknya pulang ke kampung, dia bukan setakat bangun lewat, malah hanya solat Subuh di biliknya sahaja.
Itu, RIAK.
Tetapi kena ingat, pada orang istiqomah pun riak ini boleh berlaku.
Contoh di surau lagi, setiap malam Khamis akan diadakan qiamullail, setakat ini kamu masih tidak terlepas lagi tetapi minggu itu kawan ajak tidur di rumahnya. Kamu menolak semata-mata tidak mahu terlepas qiamullail itu. Maklumlah, seluruh penghuni tahu kamu masih tidak terlepas lagi. Soalan saya, tidak boleh qiamullail di rumah kawannya saja? Jika dia beralasan di rumah kawannya payah nak bangun dan tiada ‘skuad’ yang mengejutkan seperti di asrama, itu lain cerita. Tetapi, selalunya dia bangun sendiri dengan menguncikan jam dan dia mampu sahaja bangun awal walau di mana pun, mengapa tidak tidur sahaja di rumah kawan dan qiam sahaja di sana?
Jelas RIAK di situ.

Takabbur

Sekarang, TAKABBUR. Ini juga perbuatan hati, dan merupakan penyakit. Seperti ujub, cuma takabbur ialah berasakan kamu adalah lebih hebat dari lainnya. Ujub, kamu puji diri sendiri. Takabbur, kamu bandingkan kamu dengan yang lain dan tinggikan dirimu. Lagi advance!
Dan juga lagi teruk.
Kamu lihat, semua orang adalah lebih rendah darimu dan kamu lebih mulia.  Bayangkan, kamu merupakan seorang pemidato yang hebat malah pernah menjuarai di peringkat kebangsaan. Satu masa, kamu menghadiri kursus pidato bersama kawan-kawan yang baru sahaja berkecipung dalam bidang ini. Jika wujud rasa dalam hati bahawa kamulah yang paling hebat, maka takabbur mula menguasai.
Natijahnya, kamu berasa tidak puas hati apabila orang lain yang menjadi ketua dan bukannya kamu. Kamu berasa, bukankah kamu yang memiliki pencapaian yang paling tinggi antara yang lainnya? Mengapa dia pula yang ketua? Ketika ada yang menegur kamu bahawa kamu salah pada sekian-sekian, kamu melenting dan tidak mahu terima malah tergamak berasa yang menegur itu memandai-mandai. Maklumlah, kamu peringkat kebangsaan, dia baru nak mula.
Itu, TAKABBUR.
Juga berlaku takabbur ini jika terdapat perbezaan bangsa, warna kulit dan negara. Di Malaysia, di negara sendiri, tiba-tiba seorang warga asing dari Bangladesh menegurmu kerana memotong barisan di ATM. Kamu pekakkan telinga dengan anggapan jijik dan selekehnya orang yang menegurmu itu.
Jelas benar takabbur di situ.
Takabbur ini sememangnya rasa dalam hati. Jika yang tebal sangat tu, mungkin sehingga ucap dengan lisan.
”Kau siapa nak tegur aku? Kau baru ijazah, aku dah Master kot..”
Sudahlah meninggi diri, merendahkan orang pula.
TUNTASNYA, ini semua penyakit hati. Gambaran ini sudah cukup untuk menggambarkan betapa buruknya sifat ini dan pelakunya. Syaitan itu sangat licik. Kadang-kadang tanpa sedar, kita telah bersifat dengan ujub, riak, takabbur dan penyakit hati yang lainnya.
Ketika melangkah masuk untuk beribadah, kamu mula berasa kamu hebat. Itu UJUB. Masuk pula seorang kawan, kamu sengaja lamakan ibadah itu atau zahirkan ibadah itu dengan suara atau sebagainya, itu RIAK. Ketika melihat kawan itu tidak beribadah seperti kamu, kamu berasa kamu lebih hebat dan mulia darinya, itu TAKABBUR.
Sia-sia sudah ibadahmu itu.
Malah, Allah dan Rasul melaknatnya.
Moga saya, moga saya, moga saya dan kalian dapat mengamalkan apa yang baik, dan meninggalkan apa yang buruk.
Wallahu ta’ala ‘alam bissowaab..
Sumber asal: http://aku-azharian.blogspot.com

Thursday, 21 April 2011

RIYA' / MENUNJUK-NUNJUK

Riyak berasal dari perkataan arab iaitu ‘ro’a’ yang bermaksud melihat. Maka riya’ pula bermakna memperlihatkan.  Dalam istilah Islam pula bermakna menunjuk-nunjuk dalam melakukan sesuatu amalan, beramal kerana mengharapkan sesuatu balasan duniawi, yang dilakukan secara tidak ikhlas dan penuh kepalsuan.

Riyak bermaksud sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.  Melakukan sesuatu ibadah untuk menunjuk-nunjuk kepada manusia bahawa dia seorang yang rajin beribadah dengan tujuan ingin mendapat pujian manusia, pangkat atau harta daripada segala manfaat dunia. 

Riyak berlaku hasil dari hati yang TIDAK IKHLAS. Iblis dan Syaitan menjalankan kerja-kerja menghiasi amalan-amalan kita dengan sifat riyak agar kita mudah menjadi terkenal dengan habuan dunia yang menyeronokkan dan sementara.  Itulah di antara janji-janji Iblis yang penuh dengan kepalsuan.

Dari Ibnu Mas’ud dari Nabi S.a.w, baginda bersabda, “Tidak akan masuk syurga barangsiapa yang di dalam hatinya terdapat kesombongan sebesar biji zarah (atom) sekalipun.” Hadith Riwayat Muslim

Riyak dikategorikan sebagai syirik kecil adalah antara perkara yang paling ditakuti oleh Nabi SAW menimpa umatnya kerana syirik ini sangat halus dan kurang disedari oleh manusia yang melakukan ibadah. Dosa syirik tidak diampunkan Allah (secara automatik) maka hendaklah bertaubat nasuha agar diampuni dosa ini.

Kenapa riyak dikatakan syirik?Kerana kita meletakkan manusia setaraf dengan Allah. Sepatutnya sembahyang kita dan segala ibadah kita hanya kepada Allah tetapi kita lakukan kerana manusia. Maka kita letakkan manusia setaraf dengan Allah pada ibadah. Sebab itu riyak dianggap sebagai perbuatan syirik. 


Ketahuilah bahawa riyak ini sebagai contoh adalah usaha oleh dirimu sendiri untuk mencari kedudukan di hati orang lain agar dihormati, disegani dan dipuji serta dipuja yang bertujuan untuk menampakkan dirinya kepada orang lain agar diketahui kehebatannya, kebaikannya, perjuangannya, dan amalnya. Betapa ramai manusia binasa dengan nafsu  rasa ingin dipuja ini. Mereka lupa bahawa apa yang mereka ada itu adalah kerana izin ALLAH SWT.. Jika ALLAH mengatakan TIDAK! Maka tiada satu pun pada mereka.

Mereka gemar melakukan perbuatan-perbuatan amal seperti solat dan sebagainya ini adalah semata-mata kerana riyak iaitu ingin mendapatkan pujian semata-mata. Riyak adalah mengharapkan keduniaan semata-mata dan bagi menjaga status dirinya dengan melakukan amal-amal kebaikan untuk mendapat pujian. Antara contoh-contoh riyak adalah :
1-      Melakukan amal soleh dan berakhlak mulia semata-mata mahu mendapat pujian dari masyarakat.
2-      Memakai pakaian yang zuhud padahal dirinya bukan orang yang zuhud dalam hatinya.
3-      Berpura-pura benci kepada keduniaan padahal ia menyesal jika terlepas melakukan perkara yang menguntungkan.
4-      Melakukan amal solat dan sedekah jika dilihat orang.

Ada juga segelintir orang, status terkini di facebook dan di blog-blog gemar diisi dengan menceritakan diri sendiri telah melakukan kebaikan itu, kebaikan ini,berpuasa,qiamullail, bersedekah, hebat itu dan ini dan sebagainya. Tidak salah untuk menunjukkannya agar orang lain turut mengikuti, namun Islam menganjurkan agar merahsiakan segala amalan baik kerana takut perasaan riyak akan timbul.Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, “Serendah-rendah riyak adalah syirik.


Nabi Muhammad Saw berkata : Aku tidak bertanggung jawab kepada orang-orang yang bersifat Riya’
Nabi Muhammad Saw berkata dalam hadistnya yang mulia : 
Siapa orang yang berpuasa hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’,
Siapa orang yang sholat hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’, 
Siapa orang yang bersedekah hanya ingin di lihat orang maka itu adalah Riya’.( Al Imam Ahmad )



Sepertimana firman Allah Ta'ala;
Maka weil (satu lembah di dalam neraka jahannam disediakan) bagi orang-orang yang sembahyang tetapi lalai iaitu mereka yang riyak (menunjuk-nunjuk).-Surah Al-Mauun Ayat 4-

Jika bagi mereka yang sembahyang pun masih lagi dijanjikan neraka weil jika dia lalai daripada mengingat Allah apatahlagi bagi mereka yang meninggalkan sembahyang.

Sembahyang dan ibadah yang banyak dilakukan oleh seseorang itu kalau tidak dapat dihayati maka rasa kehambaan pada seseorang itu tidak akan lahir. Rasa bertuhan tidak akan timbul. Maka ibadah yang semacam ini bukan sahaja tidak dapat melahirkan orang yang merendah diri dan berkasih sayang tetapi akan lahir daripada sembahyang dan ibadahnya yang banyak itu sifat-sifat sombong dan riyak, sum'ah dan ingin dipuji, rasa diri bersih dan tidak takut dengan Tuhan. Oleh itu sembahyang dan ibadah yang sepatutnya menghubungkan diri seseorang hamba dengan Khaliqnya atau Tuhan, sebaliknya telah menjadi hijab seseorang hamba itu dengan Tuhannya. Dosa seperti inilah biasanya seseorang itu mati tidak berampun kerana dia tidak tahu atau tidak merasa membuat dosa. Akhirnya manusia itu mati di dalam suasana su'ul khatimah kerana dia rasa dia membuat baik bukan membuat dosa dan derhaka. Rupanya dia membuat dosa di atas saluran yang baik. Membuat dosa dan derhaka di dalam berbuat taat. Lahirnya nampak taat tapi batinnya derhaka.Mereka bersembahyang dan beribadah bukan untuk memusnahkan mazmumah tapi dengan ibadah itulah dia menyuburkan mazmumah.


Yang sebenarnya hakikat semuanya ini bermula dengan niat. Jika murni niatnya maka tiadalah menjadi masalah namun sekiranya ada kesamaran lebih baik dirahsiakan amalan-amalan baik ini supaya tidak rosak dan diredhai Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda mafhumnya, “Amalan seseorang itu ditentukan oleh niatnya. Oleh itu, setiap orang mendapat apa yang diniatkannya. Itulah sebabnya, orang yang berhijrah kerana Allah dan rasulnya, hijrah itu adalah kepada Allah dan Rasulnya. Tetapi bagi sesiapa yang berhijrah dengan niat hendak mendapatkan keuntungan di dunia atau pun bagi mendapatkan isteri, dia mendapat apa yang diniatkannya semasa dia berhijrah.” Riwayat Bukhari dan Muslim.

Cara yang terbaik semestinya merahsiakan amalan baik kita agar ia terpelihara dari sifat riyak kerana ia akan menjadikan amalan baik kita sia-sia, serta turut menjatuhkan kita ke dalam golongan yang syirik. Biar Allah saja mengetahuinya kerana niat kita beribadah hanya untuk mencari keredhaanNya.

Firman Allah Taala, mafhumnya:“Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat akan Kami tambah keuntungan itu baginya dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia Kami berikan kepadanya sebahagian dari keuntungan dunia dan tidak ada baginya suatu bahagian pun di akhirat.” Surah As Syuura : Ayat 20


Badai Fitnah Menerpa Umat Akhir Zaman
mazlee
Dr Maszlee Malik, Pensyarah Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusian UIAM.
Lima belas abad yang lalu Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan kita bahawa akan datang suatu masa dimana badai fi tnah akan menyelimuti dunia sehingga mengancam iman umat Islam.
 
Semenjak dahulu Al-Quran telah memperingatkan kita akan fitnah yang ditimbulkan oleh musuh-Nya dan musuh orang-orang beriman, iaitu syaitan. Bahkan Allah mengkaitkannya dengan peristiwa fitnah pertama yang menimpa nenek moyang manusia, yakni Nabiyullah Adam A.S.
 
“Hai anak Adam, janganlah sekali-kali kamu dapat di-fitnah (ditipu) oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapamu dari syurga.” (Surah Al-A’raf 27)
 
Syaitan merupakan musuh yang nyata yang sepatutnya senantiasa diperlakukan sebagai musuh. Dihadapi dengan penuh waspada, tanpa sebarang kerjasama dan menggunakan “senjata” yang mencukupi. Bukan sebaliknya, dihadapi dengan keadaan sambil lewa, tanpa persenjataan yang mencukupi.
 
“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuhmu, kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Fathir 6)
 
Dan perlu diingat bahawa musuh kita ini terdiri dari dua golongan makhluk, iaitu manusia dan jin. Inilah yang membuat pertarungan orang beriman menghadapi mereka menjadi sangat berat. Sebab kita hanya mampu mengesan salah satu di antara keduanya sedangkan yang satu lagi sungguh sukar, kecuali jika Allah izinkan.
 
“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dari jenis) jin.” (Surah Al-An’aam 112)
 
Peringatan Nabi
Lima belas abad yang lalu Nabi Muhammad SAW telah memperingatkan kita bahawa akan datang suatu masa dimana badai fitnah akan menyelimuti dunia sehingga mengancam iman umat Islam. Dan badai fitnah itu menjadikan dunia sedemikian gelapnya sehingga seorang muslim rela menjual agamanya yang mahal demi memperoleh kesenangan dunia yang murah. Sungguh suatu sikap yang hina dan berbahaya.
 
Nabi SAW. bersabda: “Bersegeralah beramal sebelum datangnya fitnah seperti sepenggalan malam yang gelap gulita, seorang laki-laki diwaktu pagi masih mukmin dan diwaktu petang telah menjadi kafir, dan diwaktu petang masih beriman dan paginya menjadi kafir, ia menjual agamanya dengan kesenangan dunia” (Riwayat Ahmad - 8493)
 
Sedarkah kita bahawa salah satu perkara penting yang sering diabaikan oleh umat Islam ketika ini ialah betapa terancamnya keadaan iman kita? Sedarkah kita bahawa aneka serangan alghazwu al-fikri (perang pemikiran atau the battle of hearts and minds) secara sistematik berlangsung setiap hari merosakkan kesempurnaan iman pada diri, anak dan isteri kita? Kian hari kian terasa betapa zaman yang sedang kita jalani dewasa ini merupakan bahagian zaman yang penuh dengan fitnah. Inilah zaman yang telah di-nubuwwah-kan oleh Rasulullah Muhammad s.a.w. dalam hadis baginda yang berbunyi:
 
Bersabda Rasulullah SAW.“Hampir tiba masanya kalian diperebutkan seperti sekumpulan pemangsa yang memperebutkan hidangannya.” Maka seseorang bertanya: ”Apakah kerana sedikitnya jumlah kita?” ”Bahkan kalian banyak, namun kalian seperti buih dipermukaan air. Dan Allah telah mencabut rasa gentar dari dada musuh kalian terhadap kalian. Dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit Al-Wahan.” Seseorang bertanya: ”Ya Rasulullah, apakah Al-Wahan itu?” Nabi shollallahu ’alaih wa sallam bersabda: ”Cinta dunia dan takut akan kematian.” (Riwayat Abu Dawud)
 
Penyakit Al-Wahan atau ”Cinta dunia dan takut akan kematian” cukup hebat menguasai umat Islam dewasa ini. Penyakit ini muncul dikeranakan hebatnya pengaruh musuh Islam. Mereka memang sangat canggih dalam menguasai berbagai bidang kehidupan berkaitan urusan kehidupan dunia. Namun soal kehidupan sejati di akhirat kelak, mereka sangatlah lalai dan tidak peduli bahkan tidak mempercayainya. Dunia secara global dewasa ini sedang dikendalikan seumpama bangsa Ruum (Rom) atau Barat. Dan Allah menggambarkan peradaban Ruum di dalam surah Ar-Ruum sebagai berikut:
 
“Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.” (Surah Ar-Ruum ayat 7)
 
Para pemimpin Ruum Moden ini dengan gencar, sistematik dan penuh kesungguhan berusaha keras menyebarkan faham materialisme dan sekularisme yang menjadi falsafah hidup mereka kepada segenap penduduk bumi. Tanpa kecuali umat Islam di dalamnya. Dengan segenap kemudahan dan prasarana yang dimiliki mereka berusaha menjadikan setiap orang yakin bahawa hanya dengan menimbun materilah kebahagiaan bakal diperoleh. Hanya dengan memisahkan urusan dunia dari nilai-nilai agama atau keimananlah manusia akan mencapai kebebasan sejati.
 
Ertinya, mereka berusaha menularkan nilai-nilai kekufuran yang ada dalam diri mereka kepada siapa saja, termasuk kita yang asalnya beriman. Sehingga tidak sedikit umat Islam di berbagai belahan dunia mulai mengikut pandangan hidup pemimpin Ruum moden dewasa ini. Hal ini sebagaimana diramalkan oleh Nabi Muhammad SAW:
Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti tradisi atau kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawakpun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, apakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Beliau menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Riwayat Muslim - 4822).
Fitnah Politik
Di dalam bahasa Arab fitnah juga dikenali dengan perkataan buthan, iaitu menghebahkan berita yang tidak benar mengenai sesuatu. Kesan fitnah sering kali membawa kepada kucar-kacir, pertelingkahan, permusuhan dan malah juga ada ketika membawa pertumpahan darah.
 
Dalam al-Quraan Allah SWT mengingatkan dalam firmanNya yang bermaksud:
 
“(Ingatlah) diwaktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah benar.” (Surah An-Nur ayat 15).
 
Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:
“Celakalah bagi orang yang bercerita kepada kaum tentang kisah bohong dengan maksud agar mereka tertawa. Celakalah dia... celakalah dia.” (Riwayat Abu Dawud dan Ahmad). Mengulas perlunya umat Islam berhati-hati dengan fitnah, Dr Maslee Malik, pensyarah di Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Antarabangsa (UIAM) mengingatkan walaupun fitnah sikap semula jadi manusia, namun Islam sebagai agama fitrah yang telah diutuskan kepada Nabi Muhammad SAW berusaha mengawal dan mengekang perbuatan fitnah serta mengawal impaknya kepada masyarakat.
 
“Maka sistem akhlak dan juga beberapa sistem hukum Islam merupakan bahagian dari usaha Islam mengawal perbuatan memfitnah,” ujar beliau ketika ditemui di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, selepas mempengurusikan program wacana Fitnah Ancaman Umat Akhir Zaman.
 
Menurut Maszlee, dalam banyak ayat dalam al-Quran dan Hadis, fitnah dikategorikan sebagai dosa besar, sikap orang zalim, sikap orang munafik dan musuh Islam. Ini kerana fitnah juga menjadi senjata golongan musyrik Makkah semasa menantang dakwah Rasulullah. Malah fitnah juga faktor kepada penghalang hidayah Islam dan kebaikan yang universal.
 
Tegas Maszlee lagi, di dalam agama-agama lain perbuatan fitnah juga diharamkan. Malah di dalam kerangka moral pemikiran sekular pasca kebangkitan Eropah, isu fitnah dilihat sebagai perbuatan yang menyalahi moral. Seiring dengan itu pelbagai undang-undang dilahirkan demi mengawal perbuatan fitnah dan juga mengurangkan implikasinya kepada masyarakat.
 
“Malangnya fitnah juga bukanlah sesuatu yang asing dalam budaya politik islam dan Melayu. Seawal zaman Khalifah Sayidina Uthman, fitnah menjadi punca keretakan dalam pemerintahan Islam,” jelas Maszlee.
 
Maszlee yang juga merupakan mantan Presiden Durham University Islamic Society 2009-2010, juga mengungkapkan bahawa dalam sejarah politik Melayu, fitnah menjadi senjata ampuh para pelaku politik untuk saling menjatuhkan antara satu sama lain. Sistem feudal yang jauh daripada roh dan keadilan, juga telah menjadi penyebab bagaimana fitnah telah mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa.
 
“Kisah Hang Tuah yang difitnah sehingga membawa kepada arahan bubuh ke atas diri beliau, dan menyebabkan kacau bilau disebabkan Hang Jebat adalah di antara contoh yang paling jelas,” ujar Maszlee.
 
Malah menurut Maszlee terdapat pelbagai kisah lagi seperti kisah Sultan Mahmud mangkat dijulang, kisah Mahsuri, Kisah Hang Nadim dan lain-lain kisah yang serupa di dalam sejarah Melayu telah menjadi bukti bahawa fitnah menjadi sebahagian bentuk rentak politik Melayu.
 
“Budaya politik fitnah ini nampaknya tidak mengenal kaum dan juga kumpulan. Sama ada pihak yang memerintah atau pembangkang, tidak terlepas dari penyakit yang berbahaya ini. Sampai masanya budaya fitnah yang boleh menghancurkan tamadun bangsa ini dibersihkan dengan kembali kepada kefahaman agama dan petunjuk yang telah diajarkan oleh Rasulullah dalam bermuamalah,” tegas Dr Maszlee Malik.

July 15, 2013

5 Ayat-Ayat Al Quran Diperdagangkan Dengan Berleluasa - Jabatan Agama Tiada Kuasakah?


Dewasa ini, apa sahaja orang akan lakukan untuk mendapat untung. Sebelum ini kita sering mendengar air mineral atau air pembalikan osmosis dijadikan air ubat dengan bacaan 30 juzuk Al Quran. Sekarang semakin menjadi-jadi. Air berkarbonat pula di baca dengan 30 juzuk Al Quran dan dikatakan yang pertama di Malaysia? Fungsi Al Quran makin dicemari. Umat Islam menjual ayat-ayat Al Quran untuk perniagaan. Selepas ini apa pula? Cendol yang dibaca 30 juzuk Al Quran?
Yang ini lagi teruk. Air terhebat. Lebih hebat dari air Zam Zam. Kehebatannya terserlah dengan kandungannya:
a) Cendawan ajaib dan kulat susu harimau (mungkin pemberian orang-orang bunian kot?)
b) Kemenyan Makkah (Bukan kemenyan China, Afrika, Eropah dan benua lainnya. Ini kemenyan kristal. Letak dalam air panas sedut baunya dan hidung tersumbat akan hilang) 
c) Sarang anai-anai yang sudah makan 22 juzuk ayat Al-Quran (8 juzuk lagi CTS tidak pastilah siapa yang makan)
d) Air hujan malam Jumaat pada 10 Muharram (jenuhlah menunggu bertahun-tahun sekiranya tiada hujan pada malam itu)
Kita tidak perlu Agama lain untuk menyesatkan masyarakat islam. Cukuplah orang-orang Islam sendiri yang mensyirikkan Allah.

Read more at http://khairulryezal.blogspot.com/2013/07/ayat-ayat-al-quran-diperdagangkan.html#2XqMw6kPIL9iIlVs.99
 
Penggunaan Kit Anti Histeria kelirukan masyarakat
  • Kit Anti Histeria mula dipasarkan Mahyuddin (kiri) menerangkan mengenai Kit Anti Histeria kepada Asma (kanan).
1 / 1
KUALA LUMPUR - Rawatan mengatasi serangan histeria, melalui Kit Anti Histeria untuk menghalau roh-roh jahat" adalah mengelirukan masyarakat, demikian menurut Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA).
  
Presiden MPA, Profesor Dr Nor Zuraida Zainal berkata menguruskan serangan histeria tanpa memberi pendekatan rawatan perubatan psikiatri dan perubatan am boleh membahayakan pesakit dan komuniti.
  
"Liputan akhbar yang meluas beberapa hari lepas berkaitan terdapatnya rawatan anti histeria, iaitu di luar konteks perubatan dan kesihatan mental, adalah amat membimbangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
  
Dr Nor Zuraida berkata selama 150 tahun, para doktor dan penyelidik berusaha memahami fenomena histeria dan telah memperkenalkan rawatan moden serta saintifik yang terbukti boleh merawat serangan itu.
  
Akhbar semalam melaporkan tentang penghasilan Kit Anti Histeria oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) untuk mengubat masalah histeria yang kerap dihadapi pelajar di sekolah berasrama atau universiti, dijual dengan harga RM8,750 sekotak.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Kit Anti Histeria mula dipasarkan]

Dr Nor Zuraida berkata di Malaysia, sebelum sesuatu intervensi boleh digunakan untuk rawatan perubatan, ia perlu mematuhi dokumen Garis Panduan Pendaftaran Ubat (Drug Registration Guidance) yang dikeluarkan oleh Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Kementerian Kesihatan.
  
"Proses mengiktiraf sesuatu intervensi perubatan mesti juga menurut kehendak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengeluarkan Declaration of Helsinki dan Nurenberg Code of Ethics.
  
"Semua ini adalah bagi memastikan keselamatan pesakit yang perlu sentiasa diutamakan," katanya. -Bernama
Artikel Berkaitan

Tok Kenali Dikenali Ulama’ dan Wali.


tok-kenali-dgn-zaaba
Tok Kenali ialah satu nama yang paling terkenal dalam dunia pengajian Islam menggunakan sistem pondok di Malaysia. Bahkan beliau juga terkenal di seluruh alam Melayu. Oleh itu, memang riwayat beliau perlu diketahui oleh masyarakat.
Tok Kenali ialah murid yang paling dipercayai oleh Syeikh Ahmad al-Fathani, oleh itu hampir-hampir tidak ada satu rahsia perjuangan Syeikh Ahmad al-Fathani yang tidak diketahui oleh Tok Kenali.
Di sini saya sentuh sedikit saja. Syeikh Ahmad al-Fathani ialah tokoh pertama dari lingkungan dunia Melayu sejagat yang secara diplomatik pergi ke Istanbul, Turki untuk melaporkan perbuatan tiga bangsa yang menjajah di dunia Melayu ketika itu. Bangsa-bangsa itu ialah Inggeris, Belanda dan Siam.
Walau bagaimanapun, supaya suasana tidak selalu keras dan tegang dalam corak pemikiran jihad zhahiri, kisah Tok Kenali saya fokuskan kepada pemikiran jihad shufi. Jihad zhahiri lebih menitikberatkan perjuangan secara fizikal, sedang jihad shufi lebih mengutamakan pembinaan dalaman, qalbi atau hati dan rohani. Kedua-dua jenis jihad itu adalah penting dikombinasikan secara sepadu. Selain itu dalam disiplin ilmu akidah dan tasawuf ia dikenali dengan istilah ‘Wali Allah’ dan ‘karamah’ (istilah Melayu: keramat).
tok kenali
Karamah Tok Kenali
Nama sebenar Tok Kenali ialah Haji Muhammad Yusuf bin Ahmad al-Kalantani, lahir pada 1287 H/1871 M, wafat Ahad, 2 Syaaban 1352 H/19 November 1933 M. Yang saya riwayatkan ini adalah berdasarkan pelbagai cerita yang saya dengar, oleh itu tidak terikat sangat dalam sistem penulisan ilmiah.
Yang saya ingat pada tahun 1953, ibu saya Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani hanya menyebut nama murid ayahnya itu dengan istilah Awang Kenali. Menurutnya, Syeikh Ahmad al-Fathani lah yang pertama menggunakan istilah ‘Awang’ itu. Riwayatnya, sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani menjadi utusan ulama Mekah ke Beirut dan Mesir untuk menyelesaikan pertikaian pendapat antara Saiyid Yusuf an-Nabhani (Beirut) dengan Syeikh Muhammad Abduh (Mesir) dalam rombongan itu, Awang Kenali ikut serta.
Ketika sampai di Bukit Tursina, kerana di tempat itulah Nabi Musa mendengar ‘Kalam Allah’, Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruh murid-muridnya munajat secara khusus. Awang Kenali ditugaskan supaya minta menjadi ulama. Nik Mahmud ditugaskan munajat minta menjadi seorang pembesar Kelantan. Setelah Tok Kenali munajat, Syeikh Ahmad al-Fathani menyatakan bahawa ilmu Awang Kenali tinggi hanya mencapai ‘awan’ tidak menjangkau kepada langit. Ilmu yang sampai ke peringkat ‘awan’ itulah yang dapat dijangkau oleh kebanyakan ulama di tanah Jawi.
Daripada perkataan ‘awan’ itulah kemudian bertukar menjadi ‘Awang’. Cerita yang sama juga saya dengar daripada Haji Wan Ismail bin Hawan, Qadhi Jala (cerita didengar pada tahun 1970). Dalam surat-surat Syeikh Ahmad al-Fathani kepada pihak lain, termasuk kepada orang Arab dan Turki, apabila melibatkan muridnya itu, beliau mengekalkan tulisan dengan istilah ‘Awan Kenali’ saja tanpa menyebut nama lainnya.
Pada tahun 1969 saya dengar cerita bahawa Tok Kenali pertama-tama datang ke Mekah penuh dengan peristiwa yang pelik-pelik (ajaib). Kehidupan sehari-harinya penuh dengan tawakal. Beliau tidak mempunyai pakaian yang lebih daripada sehelai, tidak memiliki wang, tidak siapa mengetahui beliau makan ataupun tidak pada setiap hari siang ataupun malam. Hampir-hampir tidak ada orang yang mengenalinya di Mekah ketika itu.
Orang yang tidak mengenalinya hanya memperhatikan keanehannya berada dari satu halaqah ke satu halaqah yang lain dalam Masjid Haram, Mekah. Keberadaannya dalam sesuatu halaqah tidak pula membawa sesuatu kitab seperti orang lainnya. Pada kebanyakan masa ketika duduk dalam halaqah beliau memejamkan mata, orang menyangka beliau bukan mendengar pelajaran tetapi tidur. Antara ulama yang mengajar dalam Masjid al-Haram ketika itu ada yang tembus pandangannya, diketahuinyalah bahawa pemuda yang aneh itu bukanlah sembarangan orang, martabatnya ialah seorang ‘Wali Allah’.
Walau bagaimanapun, tidak seorang ulama peringkat Wali Allah di Mekah mahu membuka rahsia itu kepada murid-muridnya. Ketika Tok Kenali sampai di Mekah, Syeikh Ahmad al-Fathani telah mengetahui pemuda yang berasal dari Kelantan itu, tetapi sengaja tidak dipedulikannya kerana pada firasat Syeikh Ahmad al-Fathani pemuda Kelantan itu sama ada lekas ataupun lambat akan datang juga kepada beliau.
Dalam masa berbulan-bulan peristiwa seperti di atas, pada satu ketika Tok Kenali mengunjungi halaqah Syeikh Ahmad al-Fathani. Tok Kenali duduk jauh di belakang pelajar-pelajar lain. Syeikh Ahmad al-Fathani telah mempersiapkan sekurang-kurangnya tiga kemusykilan atau masalah, yang pada pemikiran Syeikh Ahmad al-Fathani tidak akan dapat dijawab oleh siapa pun yang hadir dalam majlis pengajiannya, kecuali seseorang itu memiliki pandangan ‘kasyaf’ ataupun telah memperoleh ‘ilmu ladunni’.
Sewaktu Syeikh Ahmad al-Fathani melemparkan pengujian atau pertanyaan kepada semua pelajar, Tok Kenali seperti orang tidur-tidur saja. Semua pelajar terdiam, tidak seorang pun berkemampuan menjawab masalah yang dikemukakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani. Tiba-tiba Syeikh Ahmad al-Fathani menyergah pemuda Kelantan yang sedang tidur. Pemuda itu terkejut. Syeikh Ahmad al-Fathani menyuruhnya supaya datang ke hadapan duduk bersama beliau. Disuruhnya pemuda Kelantan itu menjawab masalah ujian yang dikemukakan lalu semuanya dijawab dengan sejelas-jelasnya.
Setelah peristiwa itu Tok Kenali menjadi murid yang paling mesra dengan Syeikh Ahmad al-Fathani. Bahkan Tok Kenali menjadikan dirinya sebagai ‘khadam’ kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Seluruh gerak dan diam Tok Kenali hanyalah berkhidmat kepada gurunya itu, kerana diketahuinya bahawa seluruh kerja Syeikh Ahmad al-Fathani semata-mata untuk kepentingan agama Islam dan bukan kepentingan peribadinya. (Cerita yang sama juga didengar daripada Tuan Guru Haji Mahmud bin Yusuf Juani di Pondok Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970. Beliau ialah murid Tok Bermin, sahabat Tok Kenali).
Hampir semua murid Tok Kenali yang pernah saya temui meriwayatkan bahawa orang yang pernah belajar dengan Tok Kenali semuanya mendapat kedudukan dalam masyarakat. Apabila seseorang murid itu lebih berkhidmat kepada beliau maka ternyata akan lebih pula ilmu yang diperolehnya. Demikian juga kedudukan dalam masyarakat. Yang dimaksudkan berkhidmat di sini ialah ada yang pernah menyiram Tok Kenali ketika mandi. Bahkan ada murid yang pernah membasuh beraknya sesudah buang air besar.
Murid yang sampai kepada kedua-dua peringkat ini saja yang menjadi ulama besar, antara mereka termasuk Syeikh Idris al-Marbawi dan Syeikh Utsman Jalaluddin Penanti. (Sumber cerita ini daripada murid beliau, Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Husein al-Kalantani, Mufti Mempawah, yang didengar pada tahun 1969 di Mempawah; Tuan Guru Haji Mahmud di Gajah Mati, Kedah pada tahun 1970; Qadhi Haji Wan Ismail bin Hawan di Jala pada tahun 1970; Tuan Guru Haji Abdur Rahim Kelantan di Mekah pada tahun 1979, dan masih ada yang lain yang belum perlu disebutkan.)
Walaupun telah diketahui umum Tok Kenali berasal dari Kelantan tetapi sewaktu saya mengembara ke negeri Caiyya (nama asalnya Cahaya) yang terletak jauh ke Utara Patani dan Senggora, orang tua-tua bercerita bahawa asal usul datuk nenek Tok Kenali adalah dari Cahaya. Diriwayatkan ada dua atau tiga kali Tok Kenali pernah datang ke negeri Cahaya. Setiap kali Tok Kenali datang beliau dimuliakan orang. Tempat yang menjadi laluan Tok Kenali dihamparkan dengan kain kuning, demikian juga tempat duduknya. Orang ramai datang berduyun-duyun menziarahi Tok Kenali kerana mengambil berkat keramatnya. Ada orang tertentu yang didoakan oleh Tok Kenali ternyata dikabulkan oleh Allah sebagaimana doa yang beliau ucapkan (riwayat ini didengar di Caiya (Cahaya) pada 1992).
Penulisan
Penglibatan Tok Kenali dalam penulisan adalah sebagai bukti beliau seperti juga ulama-ulama terkenal lainnya. Beliau ialah Ketua Pengarang majalah Pengasuh yang pertama ketika majalah itu mula-mula diterbitkan. Dari sini dapat kita buktikan bahawa majalah Pengasuh merupakan majalah Islam yang paling lama dapat bertahan di Nusantara. Majalah Pengasuh masih kekal diterbitkan hingga sekarang ini (1427 H/2006 M) oleh Majlis Agama Islam Kelantan. Semua majalah Islam di Nusantara yang diterbitkan peringkat awal, bahkan termasuk yang agak terkebelakang, semuanya tidak diterbitkan lagi.
Karya-karya Tok Kenali yang ditulis dalam bentuk risalah atau kitab pula antaranya ialah Risalatud Durril Mantsur, yang selesai ditulis pada bulan Jumadil Akhir 1310 H/Disember 1892 M. Kandungannya merupakan terjemahan dan penjelasan fadhilat Burdah Bushiri. Dicetak dalam bentuk huruf batu/litografi oleh Syeikh Abdullah Mujallid, Mekah pada Jumadilakhir 1310 H.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu sharaf pula ialah Madkhal Kamil fi ‘Ilmis Sharfi, selesai penulisan pada 15 Rabiulawal 1351 H. Kandungan merupakan karya tashhih tentang ilmu sharaf. Kemungkinan maksud daripada gurunya Syeikh Ahmad al-Fathani, iaitu karya berjudul Abniyatul Asma’ wal Af’al. Dicetak oleh Mathba’ah al-Asasiyah al-Kalantaniyah atas perbelanjaan Haji Wan Daud bin Haji Wan Sufyan.
Karya Tok Kenali dalam bidang ilmu nahu pula ialah Mulhiq li Miftahit Ta’allum fi I’rabi Matnil Ajrumiyah wal Amtsilah ‘ala Ratbih, selesai penulisan pada 29 Sya’ban 1354 H. Membicarakan ilmu nahu merupakan huraian kitab Matn al-Ajrumiyah. Kitab ini dikumpulkan atau ditulis kembali oleh salah seorang muridnya iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Thahir bin Ahmad, Bunut Payung. Dicetak oleh Persama Press, Pulau Pinang atas kehendak Tuan Guru Abdullah Thahir bin Ahmad bin Muhammad Zain pada 9 Safar 1356 H.




JANGAN LELONGKAN AGAMA UNTUK KEUNTUNGAN PENIAGAAN
Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)
Oleh kerana agama mempunyai fungsinya yang besar dalam masyarakat manusia, maka berbagai pihak cuba menggunakan nama agama atas berbagai tujuan. Ada yang ikhlas, ada pula yang mengambil kesempatan atas nama agama untuk mengaut harta atau pengaruh. Maka penyalahgunaan nama agama bukan perkara baru dalam sejarah manusia. Bukan sahaja Islam yang menerima bahana tersebut, agama-agama lain juga demikian. Namun bagi Islam, ia lebih lebih perit, kerana Islam agama wahyu. Seorang muslim yang sebenar tentu akan merasai penyalahgunaan nama Islam adalah satu dosa yang amat serius kerana ianya adalah pemalsuan wahyu. Dalam ertikata lain menyalahgunakan nama Allah dengan membuat dakwaan palsu kononnya Allah memerintah atau melarang itu dan ini, padahal tiada sebarang nas dari Allah ataupun rasulNya adalah satu jenayah besar.
Agama Rekaan
Firman Allah dalam Surah al-A’raf ayat 33

(maksudnya): Katakanlah: “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkan) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkan) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya”.
Baginda s.a.w.: juga menegaskan hal yang sama dalam banyak hadis baginda, antara daripada ‘Aisyah r.ha, katanya: sabda Nabi S.A.W.:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak”. (Riwayat Muslim).

Maka setiap insan muslim hendaklah berhati-hati tentang kesempatan yang diambil oleh banyak pihak untuk menjadikan agama saluran keuntungan atau menempatkan pemikiran peribadi yang akhirnya diberikan cop agama. Jika hal ini dibiarkan, maka ajaran-ajaran palsu akan muncul atas nama agama dan Islam yang tulen akan hilang dari sesetengah masyarakat.
Lelong Syurga
Justeru itu saya amat menentang seorang ‘warga seberang‘ yang menggelarkan diri al-Banjari dengan kononnya memiliki beberapa kelebihan mendakwa bahawa sesiapa yang berjabat tangan dengannya, seakan berjabat tangan dengan Rasulullah s.a.w. Lantas sesiapa berjabat tangan dengannya akan masuk syurga. Demikianlah murahnya harga syurga yang dilelong olehnya. Dakwaan palsu ini dibuat olehnya dengan menggunakan hadis palsu kononnya Nabi s.a.w.bersabda:

“Sesiapa yang berjabat tangan denganku, atau dengan orang yang berjabat tangan denganku maka dia masuk syurga”. Maka setiap mereka akan berjabat tangan dengan guru mereka dengan dakwaan kononnya tangan tersebut telah berjabat dengan tangan sebelumnya secara berangkaian sehingga kepada Nabi s.a.w.
Sebenarnya, para ulama hadis telah mengingatkan tentang pembohongan hadis berkenaan. Kata al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya bagi kitab Zafar al-Amani:
“Hadith musalsal (berangkai) berjabat tangan tersebut adalah batil dan dusta. Tiada asalnya dan tidak pernah wujud”. Katanya juga: “Tiada keberkatan bagi pendustaan dan pembohongan hadis ini ke atas Nabi s.a.w. tidak dikira ibadat menulis cerita dongeng ini melainkan dengan niat untuk memusnahkannya”. (m.s. 272, 273, Damsyik: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).
Dalam Lisan al-Mizan Ibn Hajar al-Asqalani menyebut:
”Riwayat berjabat tangan Mu`ammar tidak akan diterima oleh orang yang berakal” (jilid 6, m.s. 68, Beirut: Muassasah al-`Ilm li al-Matbu`at,).
Ertinya begitu mudah orang kita ditipu dan tidak menggunakan akal yang waras dalam beragama. Al-Imam al-Sayuti (meninggal 911H) di dalam fatwanya bila ditanya mengenai hadis ini, beliau berkata:
“Mu`ammar adalah pendusta lagi dajal, hadithnya adalah batil, tidak halal meriwayatkannya”. (lihat: Tahqiq Zafar al-Amani, m.s.275).

Demikianlah mudahnya agama kita dilelong oleh orang lain hanya kerana terpengaruh dengan fesyen serban dan jubah warga berkenaan. Jikalaulah mereka sedikit berfikir; pada zaman Nabi s.a.w entah berapa ramai sahabah yang bersalaman dengan baginda, pernahkah mereka mendakwa demikian? Pernahkah mereka mengadakan majlis menjemput orang ramai bersalam dengan mereka untuk masuk syurga. Pernahkah ini dibuat oleh Abu Bakar, atau Umar, atau Uthman, atau Ali atau lain-lain? Saya dukacita apabila yang bangun bersalaman ialah orang-orang masjid dan ‘kaki dengar kuliah agama’. Sehingga saya tertanya-tanya; apakah segala pengajaran agama yang dipelajari gagal menjadikan mereka cerdik, atau sekurangnya menghidupkan fungsi akal mereka. Sedangkan agama datang untuk mencerdikkan akal bukan membodohkannya.
Barangan Khurafat
Demikian juga orang kita percaya adanya kayu atau rajah atau bahan tertentu mempunyai kesaktian tertentu. Ini seperti percaya dengan kayu kokka yang dijual di negara ini. Bahkan kayu tersebut dijual di Mekah dan Madinah oleh warga Bangladesh yang bertaburan di sana. Ramai pula yang membeli. Menggunakan nama agama lalu kayu itu dijual, kononnya tongkat Nabi Musa a.s dibuat daripadanya. Demikian juga kononnya bahtera Nabi Nuh a.s juga diperbuat daripadanya. Maka dibohongilah orang ramai kononnya kayu itu jika disimpan membawa rezeki, atau menolak bala dan berbagai kesaktian yang lain. Maka harga kayu tersebut yang beberapa ringgit di negaranya bertukar menjadi ratusan bahkan ribuan ringgit di negara kita. Padahal tidak satu dalil yang sahih pun dalam Islam mengenai kayu kokka tersebut. Mustahil pula untuk Islam membicarakan perkara yang bodoh seperti itu. Bahkan itu termasuk dalam sabda Nabi s.a.w.

“Sesiapa yang menggantung (tangkal) maka dia melakukan kesyirikan” (Riwayat al-Imam Ahmad, dinilai sahih oleh al-Albani).
Menggantung di sini bermaksud menggantung sesuatu yang dipercayai dapat menangkis bala atau mendatang sesuatu kebaikan. Perbuatan itu di samping ia syirik, ia adalah satu kebodohan dan penipuan syaitan. Apabila saya mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai hal ini, ada yang hubungi saya dan minta tolong jangan ganggu bisnesnya. Begitu manusia, dia sanggup lelong agamanya demi bisnesnya.

Melebihi Nabi
Serupa dengan itu, atas nama agama dijual air dan barangan jampi yang pelik-pelik. Sehingga ada yang membuat bisnes air tertentu yang dijampi secara tulisan dan bacaan. Diberi pula nama yang berbagai-bagai. Kononnya itulah ajaran Islam. Saya tidak menafikan baginda Nabi s.a.w pernah menjampi penyakit seperti mana baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan bahawa dengan air atau kismis atau apa bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi s.a.w. sendiri. Baginda tidak menjampi kaum Quraish agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi s.a.w akan menjampi telaga zam-zam kerana itu sumber air Quraish ketika itu. Pasti Quraish akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah s.w.t. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256-257

(maksudnya): “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. Allah Pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan-kegelapan kepada cahaya (iman). dan orang-orang yang engkar, penolong-penolong mereka ialah taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan-kegelapan. Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya”.
Jampi Cerdik
Dalam hadis ada beberapa orang sahabah yang didoakan oleh Nabi s.a.w. agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabah yang masih muda Ibn ‘Abbas r.a.huma yang baginda doakan untuknya :

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah dia al-Kitab (al-Quran).(Riwayat al-Bukhari).
Ibn ‘Abbas benar-benar muncul sebagai tokoh ilmu pengetahuan, penafsir al-Quran dan sahabi yang alim yang menjadi rujukan umat. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti mana sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperolehi ilmu. Selain daripada berkesempatan mengambil ilmu secara langsung daripada baginda s.a.w selama tiga puluh bulan. Kemudian baginda wafat ketika umur Ibn ‘Abbas tiga belas tahun. Beliau terus mengambil hadith daripada para sahabah seperti ‘Umar ibn Khattab, ‘Ali, Mu’az, bapanya sendiri iaitu ‘Abbas, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf, dan ramai yang lain. (lihat: al-Zahabi, Siyar ‘Alam al-Nubala`, 3/332-337, Beirut: Maktabah al-Risalah). Maksudnya, doa Nabi s.a.w. memang dimakbulkan Allah melalui proses keilmuan yang sepatutnya.
Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral?. Janganlah kita lelongkan agama kerana bisnes kita.

Kilang Cetak Pahala
Menjelang bulan puasa, ramai pula yang buat bisnes borang atau kupon amalan tertentu yang kononnya jika dibeli maka pahala akan diposkan kepada arwah yang disebut namanya dalam borang atau kupon berkenaan. Maka seakan pahala akan dicetak oleh pengeluar borang untuk kegunaan arwah di alam barzakh dengan bayaran yang diupahkan. Entah kilang mana yang mencetaknya atau posmen mana yang mengirimnya, kita tidak pasti. Demikian mereka melelongkan agama sehingga ada individu tertentu yang mengaut keuntungan puluhan bahkan ratusan ribu ringgit dengan melelong pahala di bulan puasa. Seakan siapa duit banyak, maka selamatlah dia di akhirat. Dunia rasuah kita bagai menjelma juga selepas kematian. Nabi s.a.w. pernah memberi ingatan:

“Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia” (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Namun masyarakat kita ramai yang terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan ini kerana ingin jalan pintas tanpa usaha. Mereka ingin cerdik secara pintas tanpa belajar, kaya pintas tanpa usaha, masuk syurga pintas tanpa beramal dan seumpamanya. Golongan yang berkepentingan pula, mengambil kesempatan atas nama Islam. Kalau demikian cara kita beragama, maka tidak hairanlah jika ramai orang melayu suka ‘ali baba’kan segala peluang yang diberikan kepadanya.


Menggadaikan Agama Kerana Dunia

Ertinya:

Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. hersabda; "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah swt. Berfirman kepada mereka, "Apakah kamu tertipu dengan kelembutan Ku?, Ataukah kamu terlampau berani berbohong kepada Ku?. Demi kebesaran Ku, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri, sehingga orang yang alim ( cendikiawan ) pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)".
(H.R Termizi)

Keterangan

Golongan yang dimaksudkan di dalam Hadis ini ialah orangorang yang menjadikan agama sebagai alat untuk mendapat keuntungan dunia. Mereka rela menggadaikan agama untuk meraih keuntungan dunia. Dan apabila bercanggah kepentingan dunia dengan hukum syarak mereka berani mengubah hukum Allah dan memutarbelitkan kenyataan. Mereka juga pandai mengemukakan hujah-hujah yang menarik dan alasanalasan yang memikat hati, tetapi sebenarnya hujah-hujah dan alasan tersebut hanya sernata-mata timbul dari kelicinan mereka memutarbelitkan kenyataan. Mereka menipu orang lain dan juga menipu diri mereka sendiri.
Mereka akan dilanda kekusutan pemikiran yang sangat tajam sehingga orang alim yang banyak pengalaman pun akan kehabisan akal dan buah fikiran. Mereka menghadapi masalah-masalah yang meruncing dan akan menemui jalan buntu dalam permasalahan yang dihadapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan