Sabtu, 24 Januari 2015

MARI KITA MASAK KUIH MUIH...KITA PUN KAYA DENGAN BERBAGAI KUIH MUIH

Komersialkan hidangan lempeng
  • Rozita (kiri) memantau pekerjanya membuat lempeng di restoran SA Berkat Rozita (kiri) memantau pekerjanya membuat lempeng di restoran SA Berkat
1 / 1
BAGI mengekalkan warisan makanan tradisional Melayu, seorang pengusaha restoran menjadikan lempeng sebagai menu utama di kedai miliknya.

Rozita Ismail, 36, pengusaha restoran SA Berkat yang beroperasi di Jalan Sintok Lama, Changloon sejak setahun lalu memilih menu tersebut untuk dijual memandangkan ia semakin sukar diperoleh.

Menurutnya, lempeng sebagai makanan tradisional orang Melayu kini tidak lagi dijual di kedai-kedai makan, malah generasi baharu semakin tidak mengenali makanan tersebut.

“Saya rasa lempeng perlu diketengahkan secara komersial sebagaimana makanan lain seperti roti canai. Jadi saya pilih lempeng sebagai produk istimewa untuk dijual.

“Alhamdulillah makanan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan bukan sahaja Melayu, malah masyarakat Cina, India dan Siam turut menggemarinya,” katanya.

Rozita berkata, kepakaran membuat lempeng yang diajar oleh ibunya sebelum ini digunakan untuk menghasilkan lempeng terbaik kepada pelanggan.

Katanya, menggunakan bahan utama iaitu gandum, tiga jenis lempeng disediakan di restorannya iaitu lempeng kelapa, lempeng pisang dan lempeng jagung yang dijual dengan harga RM1.50 sekeping.

“Saya juga mengajarkan cara-cara membuat lempeng kepada pekerja untuk membantu saya di samping menyediakan menu masakan lain.

“Lempeng ini mudah dimasak kerana hanya menggunakan gandum di samping bahan lain seperti kelapa parut, pisang dan jagung. Ia juga mengambil masa tidak lama untuk siap dimasak,” katanya.

Sejak restorannya dibuka katanya, sebanyak lima hingga 10 kilogram gandum sehari diperlukan untuk membuat lempeng bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Di samping lempeng, kita menyediakan pelbagai kuah untuk dicicah antaranya kari dan sambal bilis.

“Pada saya makanan ini mempunyai nilai nostalgia tersendiri, kebanyakan pelanggan datang membeli untuk makan bersama keluarga di rumah. Ia pastinya mengimbau suasana macam zaman dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, selain lempeng, Rozita juga menyediakan menu masakan lain di restorannya seperti masakan ala barat, ala Thai, nasi lemak dan nasi campur.

“Selain dijual di restoran, saya juga menerima tempahan bagi lempeng dan menu masakan lain dengan harga berpatutan.

“Saya juga berhasrat mempelbagaikan lagi cita rasa lempeng dengan inovasi bahan di samping mengekalkan keaslian makanan ini,” katanya.


Pucuk paku, pucuk ubi menu wajib
  • Esah (kanan) bersama anaknya memetik pucuk paku yang ditanam di tepi rumah untuk hidangan berbuka puasa. Esah (kanan) bersama anaknya memetik pucuk paku yang ditanam di tepi rumah untuk hidangan berbuka puasa.
1 / 1
TELEMONG - Menu pucuk paku dan pucuk ubi menjadi pelengkap hidangan berbuka puasa bagi masyarakat Orang Asli beragama Islam di Kampung Sungai Gapoi, dekat sini.

Bagi Esah Ludai, 50, ia merupakan makanan yang perlu ada bukan sahaja semasa berbuka tetapi juga ketika bersahur.

Menurutnya, bukan sahaja dibuat ulam tetapi juga dipelbagaikan masakan termasuk masak lemak.

“Disebabkan sukar mendapatkan bekalan kedua-dua sayuran itu, kami menanamnya di tepi rumah dan kebun.

“Jika diperhatikan sekeliling rumah penduduk di sini, tanah lapang dimanfaatkan sepenuhnya dengan tanaman pelbagai jenis sayuran termasuk pucuk paku dan pucuk ubi,” katanya kepada Sinar Harian.

Esah berkata, ia bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan tetapi juga dapat memanfaatkan tanah lapang di sekeliling rumah.

Katanya, kira-kira jam 5 petang, mereka sekeluarga sudah mula menyediakan bahan masakan untuk berbuka.

Anaknya, Zainah Dapat, 21, berkata, walaupun juadah berbuka ringkas, namun apa yang lebih penting dapat bersama ahli keluarga.

Menurutnya, mereka adik-beradik sentiasa berbuka dan bersahur bersama-sama menikmati hidangan terutama hasil air tangan ibu mereka.

“Memang setiap kali makan, pucuk paku atau pucuk ubi menjadi hidangan pelengkap. Tanpa hidangan ini tiada selera nak makan.

“Ia seakan pemberi tenaga kepada kami untuk meneruskan aktiviti berpuasa pada keesokan hari,” katanya.

Menu maggi tiram pikat pelanggan
  • Hasimah menunjukkan menu baru megi tiram yang diperkenalkan dan mendapat sambutan dalam kalangan penggemar tiram. Hasimah menunjukkan menu baru megi tiram yang diperkenalkan dan mendapat sambutan dalam kalangan penggemar tiram.
1 / 1
BACHOK – Bekas peserta Jaguh Kampung 2012, Hasimah Nor, 47, tidak pernah kecewa walaupun hanya mendapat tempat kedua dalam siri itu apabila ditewaskan peserta pasukan Pahang.

Hasimah yang menyertai rancangan Jaguh Kampung bersama dua lagi teman sekampungnya membawa nama Kelantan hingga ke peringkat akhir pada pertandingan tersebut di Janda Baik, Pahang.

Pengalaman yang dikutip sepanjang pertandingan itu digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan mutu masakannya.

Terbaharu, dia menemukan menu agak berlainan iaitu maggi tiram yang menggunakan isi tiram segar sebagai bahan utama, selain isi ayam dan sayuran.

“Biasanya orang makan maggi  ketam tetapi saya rasa ia sudah terlalu biasa di negeri ini dan saya ingin cuba sesuatu yang baharu.

“Alhamdulillah, percubaan kami berhasil apabila menu ini digemari ramai termasuk mendapat tempahan khusus daripada pelancong luar Kelantan tetapi menu ini masih baharu di sini dan belum diketahui ramai,” katanya yang baharu sahaja lima bulan membuka warung megi tiram di Kampung Gong Batu, Kemayang.

Katanya, bekalan tiram diperoleh daripada suaminya, Musa Daud, yang memang terlibat dalam membekal makanan tersebut sebelum ini.Hasimah berkata, semangkuk maggi tiram segar boleh dinikmati dengan hanya RM8 di gerai mereka.

“Ada juga kami terima panggilan pelanggan dari Pelabuhan Kelang yang kebetulan datang atas urusan kerja di negeri ini.

"Mereka nak makan tiram segar dari kulitnya sekali pun kami boleh sediakan,” katanya.

Hasimah berkata, warungnya dibuka untuk kemudahan anaknya yang mengadakan latihan dikir barat di belakang warung tersebut.

Katanya, pasukan dikir barat yang dikendalikan suaminya dan disertai belia setempat itu terpilih sebagai wakil Kelantan pada pertandingan akhir dikir barat belia di Putrajaya, baru-baru ini.

“Anak-anak dan belia setempat ada buat latihan dikir barat berdekatan warung saya ni. Senang saya nak pantau mereka, selain mengelak mereka pergi ke tempat lain.

"Sekurang- kurangnya saya tahu mereka ada depan mata saya, duduk saja di warung ni,” katanya.
Menu nasi goreng karabau kegilaan pelanggan
  • Menu makanan yang sedap menjadikan restoran ini tumpuan orang ramai. Menu makanan yang sedap menjadikan restoran ini tumpuan orang ramai.
1 / 2
SEKILAS pandang, premis perniagaan ini sama seperti restoran lain yang menawarkan perkhidmatan nasi ayam dara buat pelanggannya.

Namun begitu, menggunakan resipi khas yang dicipta pemilik Restoran Ayam Dar Cun ini sejak menjalankan perniagaan empat tahun lalu menjadikan menu nasi ayam dara ini istimewa dalam kalangan pelanggan setianya.

Pemilik restoran, Saarani Md Saat, 43, berkata, selain menawarkan menu nasi ayam dara, restorannya yang terletak berhampiran Bukit Sentosa ini juga turut menawarkan menu istimewanya iaitu nasi goreng karabau.

“Di Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung, hanya restoran kami yang menawarkan nasi goreng karabau ini dan ia sememangnya menjadi tumpuan pelanggan,” katanya.

Menyentuh mengenai detik awal perniagaan, Saarani memaklumkan, dia bermula secara kecil-kecilan di kaki lima sebelum ini.

“Sejak itu, perniagaan saya mula berkembang dan mendapat sambutan daripada pelanggan sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung,” katanya.

Menurutnya, operasi di restorannya bermula sekitar jam 4 petang dan berakhir pada jam 2 pagi.

Selain itu, Saarani memaklumkan dia turut menerima tempahan daripada agensi sekitar kawasan berkenaan yang turut menjadi pelanggan tetapnya.
Jualan Pisang Cheese Jakarta laris
  • Pisang Cheese Jakarta yang 'mencuri' selera penggemar pisang goreng. - Foto Sinar Harian oleh Shahrifudin Abdul Rahim Pisang Cheese Jakarta yang 'mencuri' selera penggemar pisang goreng. - Foto Sinar Harian oleh Shahrifudin Abdul Rahim
1 / 1
KEENAKAN pisang goreng tidak dapat dinafikan terutama ketika minum petang bersama teh mahupun kopi panas.

Tidak terhenti keenakannya setakat digoreng bersama tepung dan minyak, kini pisang goreng melalui fasa inovasi apabila diadun bersama cheese dan lebih enak pula sesetengahnya ditaburi coklat.

Apabila bercerita mengenai pisang goreng cheese, ia dikatakan  antara makanan popular dari Indonesia. Di sana, ia dijual di jalanan dan digemari penduduk tempatan. Namun kini ia juga menjadi antara  menu minum petang kegemaran rakyat di negara ini.

Khabarnya sejak 2013.

Di Malaysia saat ini, ramai pengusaha gerai sudah mula menjual pisang goreng cheese. Jadi, tidak susah lagi hendak mencarinya. 

Penulis bertemu dengan seorang pengusaha yang juga Pengurus Pemasaran Pisang Cheese Jakarta, Azlan Sulaiman yang tidak lokek bercerita mengenai pisang goreng cheese yang diusahakannya. Namun resipi pisang goreng cheese miliknya bukanlah sama seperti yang dijual di Indonesia. Resipi miliknya tersendiri! 

“Saya bersama abang, Arus Sulaiman berniaga Pisang Cheese Jakarta dengan menggunakan resipi sendiri di Seksyen 7, Shah Alam awal tahun lalu.

"Pisang goreng cheese saya menggunakan pisang awak.

"Bukan mudah untuk meletakkan cheese pada pisang goreng. Sekiranya terlebih cheese, ia cepat muak dimakan kerana sudah mengandungi minyak masak," katanya yang bermodalkan RM1,000 ketika awal perniagaannya.

Asas membuatnya seperti biasa pisang bersama tepung terlebih dulu digoreng hingga masak kekuningan dan kemudian cheese yang disagat ditabur ke atasnya.

"Kami akan mengambil tempahan lebih awal jam 4.30 petang supaya pelanggan tidak akan menunggu lama. Masa diambil untuk menggoreng pisang adalah lapan minit, dan dibiarkan seketika sebelum diletakkan cheese," katanya.

Sebenarnya, tidak sukar membayangkan keenakan Pisang Cheese Jakarta. Imaginasikan aroma pisang goreng kemudian dimakan bersama cheese yang  rasa 'lemak'. Pasti saja mengundang selera baharu jika memakannya apatah lagi buat penggemar pisang goreng. Kepada yang mahu rasanya lebih enak, salut pula dengan coklat.

Rangup  dan manis pisang goreng bercampur cheese, diadun  coklat. Memang rasa lain dari pisang goreng biasa.

Tambah Azlan, Pisang Cheese Jakarta juga menjual pisang cheese 'original', pisang cheese Oreo, pisang cheese coklat, pisang cheese caramel dan pisang cheese serbuk koko. Pisang cheese original paling digemari dan menyumbang 40 peratus jualan.

Walaupun baru setahun, Pisang Cheese Jakarta mempunyai  cawangan iaitu tiga di Shah Alam, Bangi, Damansara dan Putrajaya.



“Pisang Cheese Jakarta laris di Shah Alam dan Bangi kerana ia dibeli oleh pelajar institusi pengajian tinggi berdekatan. Kami berjaya menjual 300 hingga 600 kotak sehari.

“Kami memperoleh keuntungan RM500,000 pada tahun lalu dan menjangkakan menambah beberapa lagi lokasi perniagaan baharu,” katanya.


Bakal muncul pisang goreng sejuk beku

Azlan berkata, Pisang Cheese Jakarta merancang menambah enam cawangan baharu antaranya Melaka, Pahang dan Pulau Pinang serta merancang menembusi pasaran Singapura.

“Kami tidak akan menambah produk baharu tetapi akan mempelbagaikan menu baharu setiap dua bulan sekali. Kami juga merancang membuat 'frozen' pisang goreng dan cempedak goreng untuk pasaran luar negara,” katanya.

Akhiri Azlan, sehingga hari ini, Pisang Cheese Jakarta menggunakan resipi dan adunan tepung sendiri bagi setiap cawangannya untuk memastikan kualitinya tetap sama.

Nampaknya pisang goreng telah melalui satu fasa inovasi yang mula menular menjadi makanan kegemaran ramai.  Apapun, perlu diingat, pisang goreng cheese cuma sedap dimakan ketika masih panas.

Sebelum itu, sedikit perkongsian maklumat di mana ada mengatakan pisang goreng cheese mula dijual di Tawau, Sabah sejak beberapa tahun lalu, diikuti Kota Kinabalu, Sarawak, Johor dan Lembah Klang.














order="0" allowfullscreen>































Tiada ulasan:

Catat Ulasan