Selasa, 30 Disember 2014

BILA KITA TAK SEDAR AMARAN ALLAH....KEKUASAAN DAN MUNGKIN KEMURKAAN ALLAH...KITA TERUS BUAT SELAMBA...TERUS2 BUAT MAKSIAT DAN LANGGAR PERINTAH ALLAH SWT

Salah guna FB berleluasa
  • Facebook Facebook
1 / 1
SEKINCHAN – Golongan yang sering memuat naik gambar pada media sosial seperti Facebook diingatkan supaya lebih beretika supaya tidak menyebarkan gambar berunsur hasutan atau fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat negara ini.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, penyebaran gambar dengan tujuan menghasut tidak membawa sebarang faedah kepada rakyat.

Menurutnya, kepakaran dan teknologi pada hari ini sememangnya sukar dikawal, namun individu itu sendiri seharusnya bijak menapis segala maklumat supaya sensitiviti rakyat pelbagai kaum di negara ini terus dihormati.

“Gambar boleh membawa pelbagai maksud berdasarkan penglihatan seseorang itu. Kalau gambar dihantar itu boleh mencetuskan isu perkauman hal inilah seharusnya dibendung,” katanya pada Program Perasmian Pertandingan Persatuan Foto Cina Malaysia di Pantai Redang, di sini.

Suee Lim memuji usaha yang dilakukan Persatuan Foto Cina Malaysia mengadakan pertandingan jurufoto yang memberi fokus pemandangan persekitaran menarik untuk dilawati.

Beliau berkata, peranan jurufoto amat penting terutama dalam membantu mempromosi sesebuah kawasan pelancongan supaya  ia dapat dilawati pengunjung.

“Pada masa ini kita lihat ramai jurufoto ibarat seperti cendawan tumbuh lepas hujan. Ada dalam kalangan mereka yang menjadi jurufoto untuk jana pendapatan selain ada juga kongsi hobi.

“Dulu mungkin memiliki sebuah kamera memerlukan modal besar, tapi kecanggihan teknologi mereka boleh merakamkan apa jua peristiwa dan detik indah menerusi telefon bimbit,” katanya.








7:26PM - 28 Dec 2014

Mangsa banjir di K'tan cecah 134,000


Keadaan banjir di Kelantan masih buruk dengan peningkatan jumlah mangsa sehingga 134,139 orang manakala di Terengganu, Pahang, Perak dan Johor tidak banyak berubah setakat malam ini dengan jumlah keseluruhan mangsa hampir 200,000 orang.
  
Selain Kelantan mempunyai 134,139 mangsa, Pahang pula mencatat 31,669 mangsa, Terengganu (24,097), Perak (7,539) dan Johor (332).
  
Di KELANTAN, mangsa banjir daripada 32,999 keluarga ditempatkan di 308 pusat pemindahan setakat 9 malam ini berbanding 124,966 daripada 30,131 keluarga di sebelah petang.
  
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Nik Omar Nik Abdul Rahman berkata jajahan Kota Baharu masih mencatatkan angka tertinggi mangsa banjir iaitu 42,469 orang, Pasir Mas (23,568), Kuala Krai (23,169), Tumpat (30,569), Gua Musang (7,529), Tanah Merah (3,546), Machang (3,097) dan Pasir Putih (192).
  
Di TERENGGANU, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu jumlah mangsa menurun kepada 24,097 orang malam ini berbanding 24,497 petang tadi.
  
Keadaan banjir di negeri itu tidak banyak berubah malam ini kecuali daerah Kuala Terengganu yang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa kepada 1,450 orang daripada 770 orang petang tadi ekoran cuaca yang tidak baik.
  
Dungun mencatatkan mangsa hampir sama seperti sebelumnya iaitu 10,969 orang manakala Hulu Terengganu pula 171 orang.
  
Di PERAK, jumlah mangsa di Hulu Perak, Kuala Kangsar, Perak Tengah dan Kerian yang terjejas akibat bencana banjir setakat malam ini, menunjukkan penurunan sebanyak 42 orang iaitu 7,539 mangsa daripada 2,001 keluarga berbanding 7,581 mangsa daripada 2,007 keluarga petang tadi.

Di Perak Tengah, bilangan mangsa banjir meningkat kepada 4,026 orang melibatkan 1,095 keluarga berbanding 3,870 mangsa daripada 1,055 keluarga sebelumnya.
  
Jumlah mangsa di Kuala Kangsar yang merangkumi kawasan Sungai Siput menurun kepada 2,566 daripada 649 keluarga berbanding 2,785 melibatkan 701 keluarga sebelumnya.
  
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 31,669 orang yang ditempatkan di 256 pusat pemindahan berbanding 31,601 orang pada pukul 8 pagi.
  
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata setakat ini lapan daerah di seluruh Pahang masih terjejas banjir manakala Temerloh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 6,965 daripada 1,585 keluarga.
  
"Jerantut (6,781 mangsa/1,566 keluarga), Kuantan(5,860 mangsa/1,585 keluarga), Pekan (4,519 mangsa/1,201 keluarga), Maran (3,729 mangsa/907), Lipis(2,729 mangsa/806 keluarga), Bera (1,061 mangsa/272 keluarga) dan Rompin (25 mangsa/6 keluarga)," katanya.
  
Di JOHOR, bilangan mangsa di pusat pemindahan menunjukkan penurunan dengan sejumlah 332 orang melibatkan 85 keluarga malam ini berbanding 465 orang melibatkan 117 keluarga, petang tadi, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana negeri itu.

- Bernama

Ada laluan bakal terputus hubungan
  • Laluan ke Bandar 32 dan Felda Gugusan Bera turut dinaiki air Sungai Bera, dan dijangkakan kawasan terbabit bakal terputus hubungan berdasarkan trend air sungai yang semakin naik. Laluan ke Bandar 32 dan Felda Gugusan Bera turut dinaiki air Sungai Bera, dan dijangkakan kawasan terbabit bakal terputus hubungan berdasarkan trend air sungai yang semakin naik.
1 / 1
BERA - Laluan ke Bandar 32 Bera dan beberapa perkampungan Felda Gugusan Bera bakal terputus hubungan dalam beberapa jam berikutan air Sungai Bera yang semakin naik.

Sehingga jam 3 petang semalam, laluan berdekatan jambatan Sungai Bera itu sudah dinaiki air, dan hanya kenderaan berat sahaja yang boleh melaluinya.

Penduduk, Ismayuddin Suib berkata, keadaan banjir tahun ini hampir serupa dengan bah pada tahun 2007, malah lebih teruk terjejas.

“Jika laluan itu terputus hubungan, kami akan terkepung dan mungkin akan menghadapi pelbagai masalah termasuk kekurangan bekalan makanan.

“Bagaimanapun, setakat ini, penduduk masih boleh memperoleh barangan keperluan dan stok makanan di beberapa kedai runcit di setiap perkampungan Felda dan pasar raya di Bandar Bera,” katanya.

Berdasarkan pengalaman sebelum ini, penduduk pernah menghadapi kekurangan makanan, dan ada segelintir peniaga yang mengambil kesempatan menjual dengan harga yang mahal.

Baginya, persediaan bekalan makanan dan keperluan harian sudah disediakan namun berharap, penduduk di kawasan ini turut diberikan perhatian sekiranya mereka terkepung untuk beberapa hari.

Difahamkan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memaklumkan bahawa jambatan berdekatan Loji Air Bera akan tenggelam sepenuhnya dalam tempoh dua air berdasarkan trend air Sungai Bera yang semakin naik.

Semua penduduk di Felda Sebertak, Tementi, Rentam, Kumai, Kepayang, Purun, Mayam, Triang 3 dan Felda Plantation bersedia dengan bekalan makanan dan keperluan lain.




Apabila Musibah Banjir Di Lihat Dari Sudut Positif, Kisah Ini Pasti Buat Anda Terharu

ayah
Malaysia kini dalam suasana bersedih. Banyak negeri yang terlibat dengan banjir. Harta benda musnah. Rumah ada yang hanyut. Ada juga yang kehilangan ahli keluarga.
Tapi disebalik musibah, masih ramai yang melihat segala yang terjadi dari sudut positif.
Kami ingin kongsikan nukilan Muhammad Rusydi untuk tatapan anda hari ini. Semoga ia memberi sedikit keceriaan untuk anda.
———————————————————————
Rumah kami terkepung dengan air banjir.
Menyesal pula balik bercuti di kampung hujung minggu. Sekarang, dah tak boleh keluar dari sini. Nasib baiklah rumah ni di kawasan tinggi sikit. Tapi, kawasan yang lain yang tenggelam. Jalan utama dah tutup.
Jawabnya, berkampung dalam rumah sehinggalah air banjir surut. Adik-beradik lain ada di rumah sama. Balik sebab nak kemas-kemas bilik masing-masing. Takut barang-barang kesayangan dibawa air.
Yang peliknya, abah nampak happy. Aku pun pelik. Adik-beradik lain pun pelik. Dahlah streamyx pun dah terputus, tiang dah tumbang. Internet fon bukan main siput lagi. Bosan kot duk rumah ni. Nak-nak, seminggu nak hidup dalam banjir. Nak tengok tv, tak ada cerita best. Nak layan movie di laptop, bosan ulang tayang benda sama. Nak turun dari rumah main air banjir, nanti demam pula tak pasal-pasal. Last-last, duduk sajalah dalam bilik. Tidur.
Lepas Isyak, abah panggil semua anak-anaknya berkumpul. Abah suruh : “Semua ambil Al-Quran, tunggu di ruang tamu.”
Aku pun dengan malas ambil Al-Quran dan tunggu. Adik-beradik lain pun nampak malas juga. Maklumlah sibuk dengan henpon masing-masing. Dah besar-besar belaka dah pun. Semua umur 22 ke atas. Memang dah season berpasangan belaka. Dah beberapa orang yang kahwin.
“Semua dah ada ya. Baiklah, abah nak tanya, berapa umur abah sekarang?”
Angah menjawab : “67 tahun. Kenapa abah?”
Abah senyum. “Rasulullah s.a.w. umur 63 tahun wafat. Bermakna abah sekarang dah guna umur subsidi 4 tahun.”
Along pula mencelah. “Kita nak baca Ya Sin ke malam ni? Siapa yang meninggal?”
Abah menggelengkan kepala. “Malam ni, abah nak setiap seorang baca Al-Quran depan abah. Biar abah dengar dan check, betul atau tidak bacaan kamu.”
Kami semua tersentak seketika. Angah bersuara, “Tapi, kami dah dewasa. Dah umur 20, 30 tahun dah. Dah boleh baca sendiri, abah.”
Abah senyum. “Bila kali terakhir kamu baca Al-Quran depan abah?”
Semua terdiam. Abah menyambung kata, “Seingat abah, kali terakhir setiap dari kamu baca depan abah, masa akhir sekolah rendah. Kemudian, khatam. Lepas tu, setiap dari kamu sibuk dengan study, kejar cita-cita masing, hinggalah dapat kerja dan berkeluarga. Jarang ada di rumah lagi.”
Along mencelah pula, “Maksud abah? Kami tak faham.”
Abah senyum manis. “Adakah abah hanya layak periksa bacaan anak-anak masa kamu semua masih kecil saja? Tak kan?”
“Akhir-akhir ini, abah banyak berfikir. Kerja mengajar Al-Quran pada anak-anak sepatutnya kerja abah seumur hidup. Supaya setiap hari, abah dapat pastikan anak-anak baca Al-Quran. Hidup dengan Al-Quran. Tapi, abah perhati, misalnya bila kamu balik kolej, tak ada pun anak-anak abah nak datang dekat abah, baca Al-Quran seperti kamu kecil-kecil dulu. Balik kampung, tak pernah abah dengar antara kamu baca Al-Quran walaupun berseorangan. Semuanya asyik dengan hal masing-masing.
Abah rasa abah gagal sebagai seorang abah. Abah dah tua begini. Baru abah sedar kesilapan abah. Abah dah tengok anak-anak abah berjaya di dunia. Belajar bagus, kerja pun alhamdulillah. Tapi, dari sudut akhirat, abah rasa dukacita. Abah tak menyediakan anak-anak abah dengan jiwa Al-Quran. Andai baca pun jarang, bagaimana nak beramal dengan isi dalam Al-Quran itu? Jauh sekali.”
Kami semua terdiam lama. Sebak. Terasa ke lubuk kalbu. Akui memang Al-Quran dipinggirkan dalam kehidupan sehari-hari selama ini.
“Abah dah tua, abah harap abah belum terlambat untuk mengajar Al-Quran pada kamu semua balik. Harap sangat.”
Along ke depan abah. Dengan linangan air mata. Angah pun sama turut menangis. Aku pun dah menitis air mata sama.
“Along nak baca dulu, abah. Bagi along baca dulu. Abah periksa bacaan along dulu.”
Abah senyum, namun aku nampak air matanya jatuh saat mendengar anaknya seorang demi seorang membaca Al-Quran di hadapannya. Seolah-olah berkata dalam hatinya, Abah takkan putus asa. Selagi ada masa tersisa.”
Credit : Muhammad Rusydi

Penerbangan ihsan bawa dua jenazah
  • Penerbangan ihsan ATM membawa dua jenazah selamat tiba di padang Felda Jengka 3 ketika cuaca hujan. Penerbangan ihsan ATM membawa dua jenazah selamat tiba di padang Felda Jengka 3 ketika cuaca hujan.
1 / 1
JENGKA - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua jenazah dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh ke Felda Jengka 3.

Ia berikutan laluan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak Jengka dekat jambatan Sungai Nerek ditutup kepada semua jenis kenderaan apabila dinaiki air setinggi satu meter.

Dua jenazah tersebut merupakan seorang penerokawati Felda Jengka 6, Rokiah Embong Atamat, 64, yang meninggal dunia di HoSHAS.

Manakala seorang lagi adalah anak peneroka Felda Jengka 3, Marina Awang Teh, 31, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kanser paru-paru, Sabtu lalu.

Zainuddin Awang Teh, 44, abang sulung kepada Marina berkata, jenazah adiknya dibawa dari HKL menaiki trak ATM sebelum terkandas di jambatan Sungai Nerek pada jam 7 petang.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan trak berkenaan berpatah balik ke HoSHAS sementara mencari cara lain untuk sampai ke Jengka 3.

“Pada mulanya keluarga merancang untuk menggunakan bot sebelum menyambut jenazah di seberang jambatan tersebut.

“Namum pada malam itu, saya dimaklumkan bahawa jenayah akan dihantar dengan helikopter atas pertolongan Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin yang menghubungi pihak ATM.

“Alhamdulillah, jenazah adik dan seorang lagi selamat tiba di Jengka 3 walaupun kelewatan kerana faktor cuaca,” katanya.
Banjir: Mengapa bekalan tak sampai?

  • Anggota tentera mengangkut bekalan bantuan untuk dihantar kepada mangsa banjir menggunakan udara kerana kebanyakan jalan darat di negeri terjejas terputus hubungan. - Foto Bernama Anggota tentera mengangkut bekalan bantuan untuk dihantar kepada mangsa banjir menggunakan udara kerana kebanyakan jalan darat di negeri terjejas terputus hubungan. - Foto Bernama
1 / 1
SUBANG – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengakui menghadapi pelbagai kesukaran untuk menghantar bantuan ke kawasan terjejas banjir akibat keadaan cuaca yang tidak menentu, selain keadaan jalan darat yang ditenggelami air.

Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan, Laksamana Muda Datuk Anuwi Hassan berkata, pihak ATM kini bertungkus-lumus bagi memastikan segala bantuan dapat dihantar kepada mangsa banjir.

“Cabaran paling besar ialah terputus hubungan sama ada jalan darat dipenuhi air atau cuaca yang tidak menentu.

“Ini menyebabkan pesawat serta agensi terlibat tidak dapat sampai ke sana. Bukan kami tidak memberikan bantuan.

"Memang bantuan sentiasa cuba diberikan kepada mangsa banjir,” katanya selepas menyaksikan aktiviti penerimaan sumbangan bekalan makanan dan peralatan oleh pihak awam serta agensi swasta di gudang simpanan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, semalam.

Menurutnya, pihak ATM terpaksa menunggu sehingga cuaca baik di kawasan terjejas banjir bagi memastikan proses menghantar bantuan dapat dijalankan dengan lancar.

Dalam pada itu, sebanyak 150 tan barang bantuan meliputi pelbagai barangan keperluan dan makanan sudah dihantar ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir.

Barang keperluan itu dihantar enam hingga lapan kali sehari dengan pesawat TUDM sejak 25 Disember lalu.

“Seramai 150 anggota tentera daripada TUDM, Tentera Darat Diraja Malaysia dan Tentera Laut Diraja Malaysia berkumpul di gudang simpanan pesawat TUDM untuk membantu mengumpul dan mengangkut barang.  

“Kita amat terharu dengan sumbangan bukan sahaja daripada pihak swasta malah orang perseorangan. Ada juga menyatakan minat menjadi sukarelawan dalam misi tersebut," katanya.






HUKUM WANITA MENGUKIR HIASAN PADA TANGAN MENGGUNAKAN INAI

Bagaimana hukum memakai inai yang berukir di tangan. Sekarang ini ramai perempuan (pengantin) memakai inai dengan mengukir ala tatu di tangan berupa awan larat ataupun daun. Kita lihat dan nilai berdasarkan hadis Nabi ini :Dari Ibnu Umar r.a katanya: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan meminta rambutnya disambungkan.

Dan Baginda mengutuk pembuat tatu dan yang meminta ditatu." [hadith bil. 2003 : Sahih Muslim]Dari Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: "Allah mengutuk wanita yang mempergunakan (memberikan) rambutnya untuk (menyambung) rambut wanita lain,wanita yang menyambung rambutnya dengan wanita lain, wanita yang membuat gambar di kulitnya (tubuh) dengan tusukan dan wanita yang meminta kulitnya dibuat gambar dengan tusukan (alat pengukir)" [hadis bil. 1685 : Sahih Bukhari] 
   
Jelas Dato' Abu Hasan Din Al-Hafiz: "Inai berukir ala tatu tak boleh! Ia dilaknat Allah. Inai berukir bentuk awan larat atau bentuk gambar itu adalah kategori tatu,kalau nak pakai inai, pakailah betul-betul di hujung jari."Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum

Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:-

 Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.- Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan...      
               
Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.-Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.Jangan sampai kita menolak syariat semata-mata untuk mengikut adat...  

 Apa gunanya kita beragama Islam, apa gunanya kita bermazhab jikalau kita tidak mengikuti syariat dan hukum yang telah ditetapkan. Sama-sama kita renungkan wahai pembaca yang budiman..* Sapa2 yang nak share xperlu mintak kebenaran,sudah menjadi tanggungjawab kita semua berpesan2 dan ingat...
Binaan dipecahkan untuk atasi banjir kilat
  • Proses pemecahan longkang konkrit dilakukan semalam untuk pembersihan bagi mengatasi berlakunya banjir kilat. Proses pemecahan longkang konkrit dilakukan semalam untuk pembersihan bagi mengatasi berlakunya banjir kilat.
1 / 1
SELAYANG - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terpaksa memecahkan halangan bagi menyelesaikan masalah longkang tersumbat yang menyebabkan kerap berlaku banjir kilat setiap kali hujan lebat melebihi 30 minit di Selayang Baru.

Longkang berusia 25 tahun sepanjang kira-kira 20 kaki di bahagian simpang Jalan 32 hingga 30 itu kerap dinaiki air kerana tidak diselenggara sepenuhnya selepas penduduk memasang penutup konkrit menggantikan penutup besi yang sebelum ini kerap dicuri.

Operasi pembersihan tersebut nyata melapangkan dada penduduk dan orang awam selepas aduan mereka akhirnya diberi perhatian dan diambil tindakan.

Pengerusi JKKK Selayang Baru, Jumari Talip berkata, pihaknya sambut baik usaha pembersihan selepas beberapa kali siri banjir kilat di situ dan terburuk November lalu.

“Bila pecah halangan tadi (semalam) baru nampak isi dalamnya yang penuh dengan sampah dan bekas runtuhan tembok antara sebab longkang tak dapat tampung kuantiti air semasa hujan lebat.

“Bila ada halangan memang kerja pembersihan tak dapat dilakukan secara sempurna dan mudah tersumbat, kebanyakan pemilik juga akur semasa operasi dilakukan tadi selepas menerima notis awal dan untuk kebaikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pihaknya berharap operasi sama dapat dilakukan di kawasan-kawasan lain yang turut hadapi masalah sama yang turut menyumbang kepada banjir kilat.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPS, Ir Zolkeflee Abd Hamid berkata, projek tersebut sebagai tindakan segera menyelesaikan aduan penduduk.

“Projek melibatkan jabatan kejuruteraan dan perkhidmatan bandar yang akan melakukan kerja pembersihan.

“Sebelum ini dah buat di beberapa kawasan seperti Jalan 38 dan Jalan 40 serta akan dilakukan juga secara berperingkat untuk kawasan lain,” katanya.

Mengulas berkenaan halangan pada sistem saliran katanya, satu garis panduan perlu dipantau.

'Rumah saya kini hanya tinggal tapak'
  • Siti Khadijah dan anak kecilnya mencari sisa-sisa yang tinggal untuk digunakan setelah rumahnya musnah dalam banjir yang melanda Kampung Manek Urai Lama. Siti Khadijah dan anak kecilnya mencari sisa-sisa yang tinggal untuk digunakan setelah rumahnya musnah dalam banjir yang melanda Kampung Manek Urai Lama.
1 / 1
KUALA KRAI -”Sebak hati saya bila pulang ke rumah, melihat hanya tinggal tapak rumah yang selama ini menjadi tempat perlindungan kami sekeluarga."

Itulah luahan, Siti Khadijah Md Nor, 36, yang menceritakan kesengsaraan selama empat hari bersembunyi di Bukit Kajang untuk menyelamatkan diri dari bencana banjir besar
“Sisa-sisa rumah saya sudah berada di bawah jalan masuk ke lorong rumah.

“Kini, apa yang mampu saya lakukan adalah mengutip sisa-sisa daripada rumah seperti kayu-kayu yang masih boleh digunakan untuk suami saya membina sebuah pondok tempat kami berteduh,” katanya ketika di temui pemberita di Kampung Manek Urai lama yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan sejak enam hari lalu.

“Selain daripada kayu-kayu, dia cuba mencari barang-barang lain yang mungkin boleh digunakan namun segalanya musnah,” katanya.

Siti Khadijah tinggal di kediaman itu bersama suami, Hassan Mahhasan, 38, lapan orang anak dan bapa mertua.

“Saya tak kata ini sebagai banjir, saya katakan ini tsunami. Air bah sangat laju dan menolak apa saja yang di hadapannya.

“Saya kini tinggal di rumah yang berada di atas bukit bersama puluhan yang lain. Jika nak pindah ke pusat pemindahan pun,  di sana sudah ramai sangat mangsa ditempatkan di pusat itu,” katanya

Penumpang bas di TSK terkandas
  • Seorang petugas kaunter bas menampal notis pemberitahuan berhubung pembatalan jadual perjalanan bas akibat banjir. Seorang petugas kaunter bas menampal notis pemberitahuan berhubung pembatalan jadual perjalanan bas akibat banjir.
1 / 1
KUANTAN - Lebih 200 penumpang terkandas ekoran kebanyakan syarikat bas ekspres yang beroperasi di Terminal Sentral Kuantan (TSK) terpaksa membatalkan perjalanan  selepas Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran tol Temerloh ditutup kepada semua kenderaan akibat dinaiki air sedalam kira-kira 1.5 meter, sejak Sabtu lalu.

Notis berhubung pembatalan jadual perjalanan bas ditampal di kebanyakan kaunter untuk makluman pengguna.

Hasil tinjauan di TSK petang semalam mendapati kebanyakan syarikat bas tidak mahu mengambil risiko untuk meneruskan perjalanan yang dijadualkan walaupun mendapat rungutan daripada penumpang terutama bagi mereka yang sudah membeli tiket bas lebih awal.

Pembatalan jadual perjalanan bukan saja melibatkan laluan ke Kuala Lumpur dan utara malah laluan ke negeri pantai timur lain seperti Terengganu dan Kelantan juga turut dibatalkan berikutan keadaan banjir yang masih belum pulih sepenuhnya.

Seorang penumpang, Nor Syafiqa Abdullah, 23, berkata, dia bersama dua rakan sepatutnya menaiki bas untuk pulang ke Kuala Lumpur kelmarin selepas menghadiri satu majlis perkahwinan di sini, Sabtu lalu.

“Kami bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas pada Jumaat lalu dan ketika melalui kawasan berhampiran persimpangan keluar ke Temerloh sudah dinaiki air namun ketika itu masih boleh dilalui semua kenderaan.

“Kami merancang untuk untuk pulang ke Kuala Lumpur pada pagi Ahad dan dijadualkan menaiki bas pada jam 11 pagi semalam (kelmarin) memandangkan hari ini (semalam) kami sudah mula bekerja,” katanya.

Dia berkata, ketika tiba di TSK untuk menaiki bas semalam, syarikat bas berkenaan memaklumkan semua perjalanan dibatalkan dan duit kami dipulangkan semula,” katanya ketika ditemui, semalam.

“Saya dan rakan buntu memikirkan cara untuk pulang ke Kuala Lumpur memandangkan hampir kesemua syarikat bas membatalkan perjalanan masing-masing malah mereka sendiri tidak pasti bila jadual perjalanan akan dimulakan kembali,” katanya.

Nor Syafiqa berkata, dia masih menunggu jika ada syarikat bas lain menawarkan perjalanan ke Kuala Lumpur menggunakan jalan alternatif iaitu melalui Muadzam Shah atau mereka terpaksa mengambil keputusan bermalam di bandar ini sementara keadaan pulih seperti sedia kala.

Sementara itu, seorang petugas kaunter sebuah syarikat bas ekspres yang mahu dikenali sebagai Lan, berkata, sejak laluan LPT ditutup, pihaknya terpaksa membatalkan semua perjalanan dan memulangkan semula wang pelanggan yang sudah membeli tiket.

"Sekiranya penumpang mahu ke Kuala Lumpur dan utara, pihaknya kini hanya menggunakan laluan alternatif iaitu menerusi Muadzam Shah-Serting-Kuala Pilah namun mereka perlu membayar tambang yang lebih tinggi.

“Walaupun ada jalan alternatif namun kami tidak membuka banyak ‘trip’ sebaliknya hanya dua trip sehari iaitu pada pagi dan malam kerana jarak yang terlalu jauh dan memakan masa agak lama berbanding laluan biasa,” katanya.

Katanya, ada penumpang yang terdesak untuk ke Kuala Lumpur merayu supaya membuka lebih banyak trip namun permintaan mereka tidak dapat dipenuhi memandangkan kekangan yang hadapi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan