Jumaat, 31 Oktober 2014

SETIAP PEMIMPIN AKAN DITANYA...JANGAN RASA RELAX DAN TAK RASA BERSALAH...KAN KITA PERCAYA HARI KIAMAT DAN PERHIMPUNAN DIPADANG MAHSYAR...SEMUANYA ADALAH BENAR/HAQ

Kita Semua Adalah Pemimpin

Tarikh: 
Oct 08, 2012
Riwayat: 
Bukhari dan Muslim
Kategori: 
Isu-isu Semasa
Hadith: 
Daripada Ibnu Umar R.huma daripada Nabi SAW sabdanya, “Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya”.
Huraian Hadith: 
  1. Setiap manusia diberi tanggungjawab mengikut kedudukan masing-masing.
  2. Semua tanggungjawab yang diamanahkan akan ditanya oleh Allah diakhirat kelak.
  3. Islam mengajar umatnya supaya benar-benar beramanah dengan tanggungjawab mengikut lunas-lunas yang diharuskan.
  4. Suami dan isteri adalah rakan kongsi dalam kehidupan rumahtangga, setiap daripada kedua-duanya wajib melaksanakan hak terhadap yang lain.





Ancaman kepada pemimpin yang zalim

September 2, 2013
Dr. Fathul Bari Mat Jahya
NASIHAHPerbuatan khianat dan zalim merupakan dosa besar yang mendapat ancaman berat, tidak kira dilakukan oleh siapa pun. Allah SWT memberi amanah kepada setiap manusia maka siapa saja yang mengkhianatinya nescaya tersedia baginya azab yang pedih. Nabi SAW bersabda, “Takutlah kamu kepada kezaliman, kerana kezaliman adalah kegelapan pada Hari Kiamat.” (Bukhari & Muslim)
Hakikatnya setiap manusia adalah pemimpin, cuma bezanya adalah kecil atau besar kekuasaan. Ini sebagaimana sabda Nabi, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpin. Seorang ketua adalah pemimpin dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pemimpin keluarganya dan dia akan ditanya tentang yang dipimpinnya. Seorang wanita adalah pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya dan dia akan ditanya tentang mereka. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta tersebut.” (Bukhari & Muslim)
Pemimpin negara adalah orang yang paling berat memikul amanah kerana besarnya jumlah orang yang di bawah pimpinannya. Dia akan disoal tentangnya di Akhirat kelak. Pemimpin negara juga lebih mudah membuat kezaliman disebabkan kuasa ada padanya, serta lebih terdedah kepada penyakit nifaq seperti disebut ciri-cirinya dalam hadis; “Apabila bercakap dia berdusta, apabila berjanji dia mungkiri, dan apabila diberi amanah dia khianat.”
Maka hendaklah para pemimpin bertakwa kepada Allah dan bertaubat atas perbuatan zalim yang pernah dilakukan. Beratnya beban yang dipikul dan akan dipertanggungjawabkan ke atas pemimpin, sehingga Nabi SAW bersabda, “Tidak ada seorang hamba diberikan kepimpinan oleh Allah, mati pada hari matinya dalam keadaan khianat kepada rakyatnya kecuali Allah haramkan ke atasnya Syurga.” (Riwayat Muslim)
Ironinya pada hari ini kita dapati manusia merebut-rebut jawatan kepimpinan. Apa yang disebutkan oleh Nabi 1400 tahun dahulu menjadi nyata, “Sesungguhnya kalian nanti akan sangat bercita-cita terhadap kepemimpinan, padahal kelak di Hari Kiamat ia menjadi penyesalan.” (Bukhari)
Islam hakikatnya melarang dari meminta jawatan kepimpinan, dan melarang memberi jawatan kepada orang yang memintanya. Perintah Syarak ini lazim dilanggar dalam politik demokrasi. Ini merupakan satu musibah demokrasi tanpa kita sedari.
Sabda Rasulullah SAW, “Kami tidak akan memberi jawatan pemerintahan kepada orang yang meminta dan orang yang bercita-cita untuk mendapatkannya.” Rasulullah juga bersabda, “Wahai Abdurrahman bin Samurah, janganlah engkau meminta kepemimpinan. Kerana jika engkau diberi tanpa meminta nescaya engkau akan ditolong. Namun jika diserahkan kepadamu kerana permintaanmu nescaya ia akan dibebankan kepadamu.” (Riwayat Bukhari)
Oleh itu, orang yang tidak cekap dan tidak berkebolehan untuk memimpin dan mengurus tadbir tidak boleh mengambil jawatan. Sabda Nabi SAW: “Apabila urusan diserahkan kepada selain ahlinya, nantikanlah hari kiamat.” (Riwayat Bukhari)
Abu Zar Al-Ghifari ra. pernah bertanya kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau ingin memberi aku jawatan (kepimpinan)?” Rasulullah menepuk bahu Abu Zar dan berkata; “Wahai Abu Zar, engkau seorang yang lemah sedangkan kepemimpinan adalah amanah dan pada hari kiamat nanti ia menjadi kehinaan dan penyesalan, kecuali orang yang mengambilnya dengan hak dan menunaikan apa yang harus dia tunaikan dalam kepimpinan tersebut.” (Riwayat Muslim)
Seorang pemimpin wajib berlaku adil hatta dalam urusan yang melibatkan keluarga sendiri. Ketika orang menyuruh Usamah bin Zaid ra. meminta kepada Rasulullah supaya diringankan hukuman seorang wanita yang mencuri kerana keturunannya yang mulia, Rasulullah dengan tegas berkata, “Sekiranya Fatimah binti Muhammad (puteri kesayangan Baginda) mencuri, pasti aku potong tangannya.”
Ini contoh yang mesti diikuti, iaitu adil tanpa pilih kasih. Maka sebelum mengambil jawatan kepimpinan, tanyalah pada diri, adakah kamu mampu adil kepada rakyat dan ahli keluarga apabila memiliki kuasa? Ternyata bukan semua orang mampu melakukannya. Ia adalah amanah yang cukup berat. Hendaklah para pemimpin bertakwa kepada Allah dengan menunaikan amanah yang dibebankan atas mereka secara saksama.
Adapun rakyat, hendaklah mereka juga bertakwa kepada Allah dengan menunaikan kewajipan mereka terhadap pemerintah, iaitu dengar dan patuh dalam hal makruf, bersabar atas perkara yang tidak disukai, serta tidak merebut kepemimpinan sesuai amaran Rasulullah yang disebutkan dalam banyak hadis sahih.
Jika hak mereka tidak dipenuhi, mereka tetap wajib taat sebagaimana hadis Salamah Al-Ju’fi ra. yang bertanya kepada Rasulullah: Wahai Nabi Allah, bagaimana jika kami diperintah oleh pemerintah yang meminta hak mereka tetapi tidak memberi hak kami. Apa yang patut kami lakukan? Rasulullah SAW bersabda, “Hendaklah kamu dengar dan patuh, mereka akan memikul tanggungjawab mereka dan kamu akan memikul tanggungjawab kamu.” (Riwayat Muslim)
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Ahad, 1 September 2013


Pilihlah Pemimpin Yang Takut Kepada Allah

Pilihlah pemimpin yang takut dengan Allah, yang minta dibantu untuk menegakkan kebenaran dan minta ditegur kalau dia bersalah. Ia tidak menyebut jasanya dan tidak banyak membuat janji-janji manis.

Memimpin bukan berbuat jasa, tetapi melaksanakan amanah dan tanggungjawab.Memimpin bukan berbuat jasa, tetapi melaksanakan amanah dan tanggungjawab.

Jika ditanya "Siapa mahu jadi pemimpin?" Pasti ramai yang akan bukan setakat menawarkan diri malah menjadi buruan dan rebutan. Di kebanyakan negara perebutan untuk menjadi pemimpin hingga mencetuskan persaingan sengit, persengketaan, permusuhan, perbalahan, berbunuhan malah hingga ke peringkat tercetusnya perang saudara. Saling berdendam, jatuh menjatuh, kutuk mengutuk, tuduh menuduh, guling mengguling, rampas kuasa adalah perkara biasa sahaja.

Realiti ini sedang berlaku di seluruh dunia. Perebutan untuk menjadi pemimpin itu merupakan simbol cinta dunia yang keterlaluan. Masing-masing terlalu ambisious kerana melihat kepada habuan dan imbuhan yang akan diperolehi. Pihak yang sedia berada di persada kepimpinan pula sedaya upaya mempertahankan kedudukan itu kerana terlalu sayangkan habuan dan keistimewaan yang dikecapi selama ini.

Biarpun banyak seruan dan peringatan dibuat agar tidak menjadikan kepimpinan itu sebagai lubuk kekayaan, namun sukar diterima seruan tersebut kerana terbukti mereka yang memiliki jawatan kepemimpinan itu telah dan sedang tenggelam dalam lautan kekayaan yang melampau.

Cuba bayangkan kalau berlaku di sebuah negara yang pemimpinnya boleh memiliki tanah 1000 hektar dalam tempoh pengurusan hanya dua hari sahaja. Cuba kira pula bagaimana pemimpin di sebuah negara yang para menterinya mendapat habuan 2% setiap kali kontrak kementerian bernilai berbilion ringgit ditandatangani. Begitu juga berlaku di sebuah negara yang lahir ramai "millionaire by-night" yakni dalam satu jamuan malam secara ringkas berjaya memperolehi kawasan balak dengan mudah.

Keistimewaan duniawi inilah yang sering menjadi perhitungan dalam mendorong usaha keras untuk berada di tampuk kepimpinan. Tidak kurang juga yang melihat peluang lain di antaranya ialah populariti, meningkatkan 'self esteem' dan pengaruh.

Jika tawaran kepimpinan itu tanpa habuan, kelebihan, kemudahan atau keistimewaan mungkin ramai yang tidak cicir air liur, tidak ghairah, tidak memberi sebarang reaksi atau sekadar diterima dengan tawar dan hambar. Jika dilantik begitu saja mungkin ditolak dengan alasan membuang masa, membebankan tenaga dan menghabiskan harta benda.

Di sinilah kelihatannya sebagai bukti bahawa tiada yang memandang dengan penuh keyakinan bahawa kepimpinan itu satu amanah besar, berat dan penuh tanggungjawab di hadapan Allah SWT. Hampir tiada yang melihat kepimpinan itu adalah soal siapa mahu tetapi siapa mampu.

Kepimpinan juga sama seperti bidang lain yang mestilah berasaskan kelayakan. Layaknya seseorang menjadi pemimpin itu adalah kerana dirinya memang memiliki bakat semulajadi, dapat pula memenuhi ciri-ciri kewibawaan dan masak dengan selok belok peranan kepimpinan.

Terlalu luas dan banyak aspek yang perlu difahami dan dihayati oleh seseorang yang bergelar pemimpin. Namun dari keseluruhan aspek itu dapat dirumuskan berdasarkan pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a kepada para pemimpin negeri dan daerah yang hadir dalam pertemuan bulanan.

Kata Sayidina Umar: "Aku sangat kecewa dan benci kepada orang yang pintar tetapi tidak bertaqwa. Kerana tanpa ketaqwaan kepintaran akan membawa banyak kerosakan kepada umat.

Aku juga sangat kecewa terhadap orang yang bertaqwa tetapi dungu. Kerana orang itu dirinya baik tetapi tidak tahu melaksanakan urusan umat secara teratur dan sempurna."

Bersandarkan kepada intipati pesanan Sayidina Umar Ibnu Khattab tersebut bahawa mereka yang berkelayakan menjadi pemimpin itu mesti memiliki dua perkara pokok. Pertama; ketaqwaan, kedua; kepintaran.

Jika pemimpin itu bertaqwa, segala urusannya dibantu dan dipermudahkan oleh Allah SWT. Sangat penting para pemimpin dibantu oleh Allah SWT, kerana dengan demikian itu akan terjamin segala urusannya tepat menurut kehendak Allah SWT dan RasulNya.

Pemimpin bertaqwa apabila menjadi pemimpin dia akan tetap teguh pendirian sebagai wakil Allah SWT. Dia tidak mewakili dirinya atau tidak mewakili mana-mana pihak.

Wakil Allah SWT (khalifah) di atas bumi ini, dia tidak akan memihak kepada sesiapapun. Keadilan akan terjamin di dalam kepimpinannya. Kerana Allah SWT itu Maha Adil maka pemimpin yang mewakili Allah SWT pasti berlaku adil.

Pemimpin bertaqwa bukan sahaja perkara haram atau makruh diketepikannya kerana yang haram itu berdosa dan yang makruh itu dibenci oleh Allah SWT. Orang bertaqwa, dibenci oleh Allah SWT pun sangat dibimbanginya. Malah perkara halal pun sangat berhati-hati. Kerana yang halal itu kalau berbentuk material, keharusan memilikinya tetap ditakuti kerana hisab yang lama di Akhirat nanti.

Pemimpin bertaqwa adalah seorang yang sering membuat muhasabah dirinya, sama ada dalam hubungannya dengan Allah SWT dan hubungannya dengan manusia atau urusan manusia.

Kecacatan, kelalaian lebih-lebih derhaka kepada Allah SWT sangat ditakutinya kerana dengan penuh sedar bahawa dia sedang melakukan kerja kerja Allah SWT. Allah SWT tidak pandang atau dengan kata lain tidak ada nilai bagi orang yang membuat kerja Allah SWT tetapi jauh dari Allah SWT.

Kecacatan dalam urusan manusia di bidang kebajikan, pendidikan, ekonomi, keperluan kehidupan dan sebagainya akan menjadikan rakyatnya membenci atau memusuhinya. Lebih-lebih lagi ditakuti kalau gagal memimpin dan mendidik hati manusia supaya kenal, taat dan takut kepada Allah SWT.

Penyebab perpecahan adalah sifat mazmumah. Sikap suka disanjung, suka dipuja hingga taksub, suka mempromosi diri adalah mazmumah. Amat penting bagi pemimpin mengenal sifat mazmumahnya. Kerana mazmumah dirinya itu boleh mencacatkan kepimpinannya. Ego, pemarah, tamak, diktator, bakhil membuatkan rakyat benci dan memusuhinya. Hanya pemimpin bertaqwa sahaja yang mampu mendidik diri dan mendidik rakyat.

Pemimpin bertaqwa tidak mudah dengan sewenang-wenangnya menyalahkan orang lain atau rakyatnya yang mengumpat atau mencerca dirinya. Jika pemimpin itu baik, tidak melihat kesalahan diri dan membaiki segala kesilapan dan cacat cela diri.

Mengapa Sayidina Umar Ibnu Khattab r.a berupaya memimpin dan mentadbir empayar yang luasnya 3/4 (tiga suku) dunia? Kerana urusan Sayidina Umar dibantu oleh Allah SWT dan melaksanakan dua prinsip asas ini iaitu taqwa dan kepintaran. Tidak terpisah antara keduanya.

Hari ini kepimpinan sering rosak dan cacat kerana hanya memiliki kepintaran tanpa taqwa. Akhirnya bukan saja dirinya rosak, kepimpinannya rosak malah rakyat juga turut menanggung akibatnya. Sebab itu rakyat juga turut terlibat dengan seribu satu macam gejala negatif dan mungkar kerana itu manifestasi atau buah dari kepimpinan yang tidak bertaqwa.

Sayidina Umar tidak tidur malam kerana menyelesaikan segala urusan dengan Allah SWT. Dan tidak tidur siang untuk menyelesaikan urusan umat. Sayidina Umar Ibnu Aziz pula menangis hampir setiap malam sepanjang kekhalifahan beliau. Rintihan beliau ialah; "Urusan diri pun belum tentu selamat, ini pula hendak memikul urusan umat."

Pentingnya pemimpin memiliki sifat taqwa dan cerdik, digambarkan dalam pertanyaan Rasulullah ﷺ ketika melepaskan Sayidina Muaz menjadi gabenor di Yaman,

Rasulullah ﷺ bertanya:
“Dengan apa nanti engkau menghukum?”
"Dengan Kitabullah,”  jawab Muaz.
“Kalau tidak  ada?”
“Dengan Sunnah Rasul-Nya. ”
"Jika tidak ada dalam Sunnahnya?”
Muaz menjawab, “Aku akan berijtihad dengan fikiranku. ”
Rasulullah  ﷺ berkata, “Segala puji bagi  Alllah yang menyelaraskan fahaman urusan Rasulullah dengan apa yang diredhai Rasulullah. ” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At Tarmizi)

Maka kecintaan Muaz terhadap Kitabullah dan Sunnah Rasulullah tidak menutup pintu untuk mengikuti buah fikirannya, dan tidak menjadi penghalang bagi akalnya untuk memahami kebenaran-kebenaran hebat yang masih tersembunyi yang menunggu usaha orang yang akan menghadapi dan menyingkapnya.

Sejarah telah mengkhabarkan, kecerdasan akal dan keberanian Sayidina Muaz mengemukakan pendapat, hampir menyamai Umar bin Khattab.

Ada di antara kepimpinan di dunia masakini yang sudah di persada puluhan dan belasan tahun. Kedapatankah sifat dan sikap seperti Sayidina Umar Al Khattab, Sayidina Muaz Bin Jabal atau Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz itu? Di zaman kepimpinan umpama merekalah yang dimaksudkan oleh Allah SWT,

 بَلۡدَةٌ۬ طَيِّبَةٌ۬ وَرَبٌّ غَفُورٌ۬

"Negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT." (Saba' 34:15)

Baik atau 'thaiyibah' itu bererti manusia berada dalam aman damai dan berkecukupan dalam segala keperluan hidup rohani dan jasmani, spiritual dan material. Aman sejahtera kehidupan manusia kerana sangat minimanya segala unsur negatif, maksiat kejahatan dan kemungkaran.

Mendapat keampunan Allah SWT pula adalah kerana majoriti masyarakat Islamnya bertaqwa atau mempunyai ciri-ciri orang soleh. Iaitu orang yang rata-rata menggabungkan iman dan kebaktian. Iman terhadap Allah SWT, kebaktian pula untuk sesama manusia.

Ciri-ciri ini akan tercapai dan berjaya dicetuskan hanya oleh pemimpin yang bertaqwa dan pintar.

محمد فضلي بن يوسف
13 Rabiul Akhir 1432H
18 Mac 2011






173 - Memahami Konsep Asas Negara dan Pemimpin Umat Islam

Memahami Konsep Asas Negara dan Pemimpin Umat Islam

Oleh: Abu Numair Nawawi B. Subandi
http://fiqh-sunnah.blogspot.com


Siapakah Pemimpin?

Dalam fiqh Islam, ketua negara atau pemimpin umat Islam disebut dengan beberapa nama. Ia adalah seperti Khalifah, Imamatul Kubra (pemimpin utama atau tertinggi), al-Imam, Waliyyul Amr, Imaratul Mukminin atau Amirul Mukminin, imam al-Muslimin, Sultan, dan al-Malik (raja). Kemudian, di bawah pemimpin tertinggi akan ada pula wakil-wakil pemimpin, para pembantunya, menteri-menteri, wali kota, garbenor, panglima, dan selainnya yang dilantik oleh pemimpin pertama (tertinggi).

Memilih seorang pemimpin (muslim) bagi menguruskan hal ehwal umat Islam dalam sesebuah negara hukumnya adalah wajib berdasarkan al-Qur’an, as-Sunnah dan ijma’ ulama. Tugas pemimpin umat Islam secara umum adalah untuk menjaga urusan agama dan dunia.

Al-Khaththabi rahimahullah menyebutkan:

ان المراد بأئمة المسلمين الخلفاء وغيرهم ممن يقوم بأمور المسملين من اصحاب الولايات

“Yang dimaksudkan dengan pemimpin umat Islam adalah para khalifah dan selainnya dari kalangan para pemimpin yang memegang tanggungjawab menguruskan hal-ehwal umat Islam (masyarakat).” (Syarah Shahih Muslim, 2/38)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya berkenaan kepimpinannya. Seseorang amir (pemimpin) yang menguruskan hal ehwal masyarakat adalah pemimpin, dan ia akan disoal berkenaan urusan kepimpinannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 6/296, no. 1627. Hadis hasan sahih)

Syaikh ‘Abdus Salam B. Barjas rahimahullah telah menggariskan beberapa kaedah dalam menentukan siapakah dia pemimpin (bagi umat Islam). Yang dengannya ia perlu ditaati, dihormati serta mendapat hak-haknya sebagai pemimpin atau pemerintah. Berikut disimpulkan kaedah-kaedah tersebut secara ringkas yang diambil dari buku beliau Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, pada bab fii Qowa’id Tata’allaq bil Amanah:

1 – Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang memiliki kedaulatan atau kuasa mentadbir masyarakat atau rakyat. Sama ada dari sudut perundangan, kuasa, kekuatan, sokongan rakyat, ataupun ketenteraan.

2 – Sesiapa sahaja dari kalangan umat Islam yang telah dipilih, atau telah menang dan memegang kuasa pemerintahan, maka dia adalah pemimpin yang wajib ditaati dan dihormati, tidak boleh dilawan, dan tidak boleh keluar dari ketaatan kepadanya. Sama ada dia mencapai kerusi kepimpinan tersebut secara syar’i atau sebaliknya.

3 – Walaupun pemimpin tersebut tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai seorang pemimpin yang sah, namun apabila dia telah memegang kekuasaan dalam pemerintahan, maka wajib untuk ditaati dan haram menentangnya.

4 – Dibolehkan bagi setiap negara, atau wilayah tertentu memiliki pemimpin masing-masing tanpa terikat dengan wilayah yang lain apabila ianya telah berlaku. Setiap masyarakat atau rakyat perlu mentaati pemimpin tertinggi dan wakil-wakilnya bagi wilayah atau negaranya masing-masing.

Imam asy-Syaukani rahimahullah ketika menafsirkan firman Allah Subhanhu wa Ta’ala, surah an-Nisa’ ayat 59, beliau menyatakan:

وأولي الأمر هم: الأئمة، والسلاطين، والقضاة، وكل من كانت له ولاية شرعية لا ولاية طاغوتية

“Ulil amri adalah para imam, sultan, qadhi, dan setiap orang yang memiliki kekuasaan syar’iyyah, bukan kekuasaan thaghutiyyah.” (Imam asy-Syaukani, Fathul Qadir, 2/166)

“Para ulama mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ulil amri di sini adalah orang yang Allah wajibkan kepada kita untuk taat kepadanya, iaitu mereka yang memegang kekuasaan dan memimpin. Ini adalah perkataan jumhur ulama salaf dan khalaf daripada kalangan ahli tafsir, fuqaha’ (ulama fiqh), dan selainnya. Dan ada yang menyatakan ia adalah ulama. Dan ada pula pendapat lain menyatakan ia adalah pemimpin dan ulama. Adapun yang menyatakan bahawa yang dimaksudkan sebagai ulil amri di sini adalah para sahabat sahaja, maka pendapat ini adalah tertolak.” (Syarah Shahih Muslim, 12/224)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan:

وهو أن النبي صلى الله عليه و سلم أمر بطاعة الأئمة الموجودين المعلومين الذين لهم سلطان يقدرون به على سياسة الناس لا بطاعة معدوم ولا مجهول ولا من ليس له سلطان ولا قدرة على شيء أصلا

“Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan supaya taat kepada imam (pemimpin) yang sah (yang wujud), yang diketahui, yang memiliki (memegang) kuasa perundangan untuk mentadbir urusan masyarakat. Tidak ada ketaatan bagi pemimpin yang tidak wujud, yang tidak diketahui (atau tidak diiktiraf) sebagai pemimpin, dan yang tidak memiliki jawatan (kuasa) kepimpinan ke atas segala sesuatu yang mana secara asalnya tidak ada ketaatan bagi orang yang tidak memiliki kekuasaan dan tidak memiliki kemampuan apapun.” (Ibnu Taimiyyah, Minhajus Sunnah an-Nabawiyah, 1/115 - Mu’assasah al-Qurthubah)

Ibnu Baththal berkata, “Para fuqaha’ telah sepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghallib), dan hendaklah kita berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

Sebagaimana juga perkataan Ibnu Qudamah rahimahullah (Wafat: 620H), “Apabila naiknya Abdul Malik B. Marwan dengan cara keluar menentang Ibnu az-Zubair, membunuhnya, memaksa rakyat dengan pedang hingga dia naik sebagai imam (pemimpin) dan diberikan bai’ah, maka wajib pula mentaati pemerintah yang mutaghallib (yang naik dengan cara yang tidak syar’i) ini.” (Ibnu Qudamah, al-Mughni, 8/526)

Melantik Pemimpin

Kewujudan seorang pemimpin bagi umat Islam adalah suatu keperluan. Ini bagi tujuan menjaga urusan dan kemaslahatan hal-ehwal umat Islam seperti menjaga keamanan, perpaduan, mengawal serangan musuh, menegakkan agama, menegakkan undang-undang, dan seumpamanya.

Dalam al-Ahkam as-Sulthaniyah Imam al-Mawardi menyatakan bahawa pemimpin dilantik adalah bagi tujuan menggantikan Nabi dalam urusan menjaga agama dan mentadbir urusan umat Islam. Jadi, adalah suatu kewajiban untuk melantik pemimpin yang mampu memikul tanggungjawab dalam urusan berkaitan tersebut.

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) berkata:

“Wajib diketahui bahawa melantik pemimpin bagi urusan masyarakat adalah kewajiban agama yang besar. Urusan keduniaan mereka tidak dapat ditegakkan tanpa ada pemerintahan (pemimpin). Kemaslahatan bani Adam tidak dapat dicapai melainkan dengan berhimpunnya mereka (masyarakat) di bawah seorang pemimpin, yang mana di antara mereka saling memerlukan di antara satu dengan yang lainnya. Sehingga Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Sekiranya kamu keluar di dalam perjalanan (safar) seramai tiga orang, maka hendaklah kamu lantik salah seorang di antara kamu sebagai ketua.” Hadis Riwayat Abu Daud daripada Abu Sa’id dan Abu Hurairah.

Melalui hadis ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam telah mewajibkan supaya dilantik seorang ketua mengetuai satu-satu kumpulan tertentu bagi sebuah perjalanan. Perintah ini juga dilaksanakan bagi apa jua bentuk organisasi yang manusia berhimpun padanya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala juga telah mewajibkan amar ma’ruf nahi mungkar (berdakwah). Dan perkara ini tidak mungkin berlaku tanpa kekuatan dan kuasa pemerintahan. Begitu juga dengan perkara lain yang diwajibkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala seperti jihad, menegakkan keadilan, menunaikan ibadah haji, solat Juma’at, solat hari raya, membantu mereka yang dizalimi serta melaksanakan hudud (perundangan), yang mana kesemua ini tidak mungkin berlaku tanpa kekuatan dan kuasa pemerintahan. Berkaitan perkara ini telah diriwayatkan satu hadis, “Sesungguhnya pemimpin itu adalah bayangan Allah di atas muka bumi ini.” Diriwayatkan juga, “Hidup selama enam puluh tahun di bawah pemerintahan yang zalim itu lebih baik daripada satu malam tanpa ada pemerintah.” Sejarah telah membuktikan perkara tersebut.

Ulama salaf seperti al-Fudhail B. Iyadh dan Ahmad B. Hanbal pernah berkata, “Sekiranya kami memiliki doa yang mustajab, nescaya akan kami gunakannya untuk mendoakan pemimpin.” Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, “Bahawasanya Allah meredhai bagi kamu tiga perkara, iaitu hendaklah kamu mengabdikan diri kepada-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya dengan sesuatu apa pun, hendaklah kamu berpegang teguh kepada tali Allah dan jangan kamu bercerai-berai, dan hendaklah kamu memberi nasihat kepada orang-orang yang dipertanggungjawab oleh Allah mentadbir urusan kamu.” Diriwayatkan oleh Muslim. Dan sabdanya, “Tiga perkara yang dengannya hati seseorang Muslim tidak ditimpa dengki adalah mengikhlaskan amal kerana Allah, memberi nasihat kepada para pemimpin umat Islam, dan berpegang kepada jama’ah umat Islam, kerana doa mereka mengelilingi dari belakang.” Diriwayat oleh ahli Sunan. Dan juga di dalam ash-Shahih beliau bersabda, “Agama adalah nasihat, agama adalah nasihat, agama adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Beliau menjawab, “Untuk Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin umat Islam, dan untuk umat Islam.” Maka adalah suatu yang wajib untuk melantik pemimpin. Ia termasuk bentuk perbuatan mendekatkan diri kepada Allah. Bahawasanya mendekatkan diri kepada Allah melaluinya dengan cara mentaati Allah dan Rasul-Nya adalah sebaik-baik taqarrub.” (Majmu’ al-Fatawa, 28/390-391)

Melantik seorang pemimpin adalah merupakan satu kewajiban yang mana ianya telah pun ditentukan syara’ berdasarkan ijma’ (kesepakatan) para sahabat dan tabi’in. Ini antaranya berdasarkan peristiwa wafatnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, para sahabat pun segera membai’at Abu Bakar serta menyerahkan urusan kepimpinan (pentadbiran) kepadanya. Dalam sepanjang perjalanan sejarah umat Islam, tidak pernah masyarakat Islam dibiarkan begitu sahaja tanpa dipimpin oleh pemimpin. Dan keadaan ini terus berkekalan sehingga hari ini, sekaligus menjadi bukti bahawa kehadiran seorang pemimpin untuk mentadbir urusan umat Islam adalah begitu penting. Selain bagi memastikan setiap uruan dapat berjalan dengan baik, ia juga bagi mengelakkan berlakunya huru-hara, kacau-bilau, pertelingkahan, dan seumpamanya.

Dalam Islam, pemimpin dilantik dengan cara:

1. Isyarat daripada nash (hadis-hadis) sebagaimana dilantiknya Abu Bakar setelah kewafatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

2. Pemilihan oleh Ahlul halli wal ‘aqd (ahli syura atau para ulama).

3. Isyarat atau perlantikan dari pemimpin sebelumnya. Sebagaimana Abu Bakar mengisyaratkan ‘Umar untuk menjadi khalifah setelahnya.

4. Perwarisan, sebagaimana Nabi Sulaiman mewarisi Nabi Daud. Juga sebagaimana Yazid mewarisi kepimpinan Mu’awiyah. Kemudian, Yazid mewariskan kepada anaknya.

5. Kepimpinan juga boleh berlaku dengan cara yang tidak syar’i, seperti melalui pemberontakan, rampasan kuasa, atau paksaan. Pemberontakan dan rampasan kuasa adalah dilarang (haram) di sisi Islam, tetapi apabila ia telah berlaku dan pemberontak berjaya meraih kuasa kepimpinan, mereka tetap wajib ditaati (sebagaimana syarat-syarat yang telah atau bakal dijelaskan). Mereka berdosa atas perbuatan mereka (sebagai pemberontak), dan itu adalah urusan mereka dengan Allah.

Adapun mentaati mereka, ia telah ditetapkan berdasarkan dalil-dalil syara’ yang jelas, berdasarkan ijma’ (kesepakatan para ulama), dan bertujuan mengutamakan maslahah serta menolak mudharat yang lebih besar lagi.

Pada hari ini, pemerintah mungkin dilantik melalui kaedah demokrasi berpilihanraya. Kaedah-kaedah yang dipraktikkan sistem demokrasi ini telah melahirkan banyak perbahasan dan kritikan daripada kalangan ulama ahlus sunnah wal-jama’ah kontemporari. Di antara tulisan yang baik dalam menjelaskan sistem demokrasi berpilihanraya dari sudut pandang Islam setakat pengetahuan penulis adalah buku berjudul Tanwir azh-Zhulumat bi Kasyif Mafasid wa Syubuhat al-Intikhabaat oleh Syaikh Abu Nashr Muhammad B. ‘Abdillah al-Imam. Buku ini turut mendapat pengiktirafan daripada Syaikh al-Allamah al-Muhaddis Muqbil B. Hadi al-Wadi’i rahimahullah.

Asas sejarah politik demokrasi yang diamalkan kebanyakan negara dunia pada hari ini berasal dari tamadun Yunani Greek. Ia memiliki slogan, “Dari rakyat, untuk rakyat, kerana rakyat.” Sebaliknya, politik Islam secara umumnya adalah “Dari Allah, untuk Allah, kerana Allah.”

Demokrasi berpilihanraya membuka ruang kepada setiap lapisan masyarakat untuk terlibat dalam pemilihan atau perlantikan pemimpin bagi sesebuah negara Islam. Sehingga sesiapa sahaja sama ada yang muslim atau yang kafir, yang berilmu atau yang jahil, yang amanah atau yang adil, yang soleh atau yang fasiq, yang berpendidikan atau sebaliknya, diberikan hak begitu sahaja untuk terlibat secara langsung melantik siapa sahaja pemimpin yang mereka cenderungi.

Sedangkan dalam Islam, pemilihan pemimpin bukan perkara kecil. Ia melibatkan kriteria kelayakan dan kemampuan yang benar-benar diakui untuk tugasnya menjaga agama dan urus tadbir masyarakat. Jadi, pemilihan pemimpin tidak sebegitu mudah diperjudikan dan diserahkan kepada sesiapa sahaja bebas untuk membuat pilihan.

Walaupun kaedah pemilihan melalui sistem demokrasi ini tidak syar’i berdasarkan pendapat yang kuat dan sahih, tetapi barisan pemimpin yang telah mendapat mandat dan kuasa kepimpinan melaluinya tetap wajib untuk ditaati sebagaimana dijelaskan dalam cara ke-5 di atas tadi.

Wallahu a'lam - Analogi mudah yang mungkin boleh disebutkan, ini sama situasinya dengan hukum merampas tunangan orang adalah haram, tetapi apabila perkahwinan telah berlangsung (dengan tunangan orang tersebut), perkahwinan tersebut tetap dianggap sah.

Maksud Politik (al-Siyasah) dan Tujuannya

Al-siyasah (politik) dalam bahasa ‘Arab bererti:

تدبير الأمور والقيام بإصلاحها، يقال: ساس الأمر سياسة أي قام به

Menguruskan sesuatu urusan dan memperbaikinya. Apabila dikatakan Sasa al-‘Amr siyasah bererti ia melaksanakannya.

Dalam hadis disebutkan:

كانت بنو إسرائيل تسوسهم الأنبياء

“Bani Israel telah ditadbir (tasusuhum (mereka disiyasahkan)) oleh para nabi.”

أي تتولَى أمورهم كما تفعل الأمراء والولاة بالرعية

Maksudnya, nabi-nabi menguruskan hal-ehwal mereka sebagaimana yang dilaksanakan oleh para pemerintah yang menguruskan hal-ehwal rakyatnya.

Al-siyasah dari sudut istilah pula memiliki beberapa definisi. Di antaranya adalah mentadbir urusan negara. Juga disebutkan sebagai suatu ilmu atau kemahiran dalam urusan memerintah negara.

Sebenarnya politik adalah ilmu dan kemahiran. Ia merupakan ilmu kerana ia memiliki prinsip-prinsip dan disiplin-disiplin tertentu yang secara keseluruhannya membentuk “ilmu politik”. Politik juga dikatakan sebagai kemahiran kerana ingin ditekankan bahawa dalam realiti perlaksanaannya ia tidak mungkin terhad kepada semata-mata melaksanakan undang-undang yang bersifat teori dan tidak juga kepada perlaksanaan sebenar kekuasaan atau kekuatan, malah ia menuntut kepakaran tertentu yang diperolehi melalui pengalaman dan pengetahuan berkaitan kaedah-kaedah praktikal yang tertentu.

Sistem politik pula adalah satu struktur yang mengatur hubungan di antara para pemimpin dengan orang bawahan dan ia terbentuk daripada keseluruhan institusi yang mengatur masyarakat awam dan institusi yang mengatur kekuasaan. Teks bagi sistem politik terdapat dalam perlembagaan di pelbagai negara. Sistem-sistem politik juga berbeza-beza berdasarkan sumber kekuasaan, cara mengatur, dan sturktur negara.

Politik dari perspektif Islam adalah menjaga hal-ehwal rakyat di dalam dan luar negara dengan cara yang tidak bertentangan dengan syara’.

Politik yang syar’i tidak hanya terbatas kepada apa yang disebutkan oleh syara’ secara khusus, tetapi apa yang penting adalah dengan tidak menyalahi teks al-Qur’an, as-Sunnah, ijma’ umat Islam (para ulama), kaedah-kaedah syara’, serta ushul-ushulnya secara umum. (Rujuk: Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 9-10)

Ibnul Qayyim rahimahullah (Wafat: 751H) menukilkan,

فقال ابن عقيل السياسة ما كان فعلا يكون معه الناس أقرب إلى الصلاح وأبعد عن الفساد وإن لم يضعه الرسول صلى الله عليه و سلم ولا نزل به وحي

“Menurut Ibnu ‘Aqil, siyasah syar’iyyah itu adalah apa jua tindakan yang mampu mendekatkan manusia (rakyat) kepada kebaikan dan menjauhkan mereka daripada keburukan walaupun tidak ditegaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan tidak diturunkan wahyu padanya.” (Ibnul Qayyim, at-Turuq al-Hukumiyat, m/s. 17)

Menurut ‘Abdul Wahhab Khallaf (1357H):

فالسياسة الشرعية هي تدبير الشئون العامة للدولة الإسلامية بما يكفل تحقيق المصالح ودفع المضار مما لا يتعدى حدود الشريعة وأصولها الكلية، وإن لم يتفق وأقوال الأئمة المجتهدين

“Siyasah asy-Syar’iyyah adalah proses pentadbiran yang selari dengan syara’, yang mana perjalanan urus-tadbirnya menjaga kepentingan rakyat melalui ruang lingkup daulah Islam dengan cara-cara yang dapat menjamin tercapainya kemaslahatan (kebaikan) umum, dapat menolak pelbagai bentuk kerugian, dan tidak melanggar syari’at Islam serta kaedah-kaedah asasinya, walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para imam mujtahid.” (‘Abdul Wahhab Khallaf, Siyasah Syar’iyah, m/s. 15. Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jazairi, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 142-143)

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata lagi,

لا سياسة إلا ما نطق به الشرع فغلط، وتغليط للصحابة، وهذا موضع.. فرط فيه طائفة، وجعلوا الشريعة قاصرة لا تقوم بِمصالح العباد، محتاجة إلى غيرها.. فلما رأى ولاة الأمور ذلك.. أحدثوا من أوضاع سياساتِهم شرًّا طويلاً، وفسادًا عريضًا، فتفاقم الأمر، وتعذر استدراكه.. فإن الله -سبحانه- أرسل رسله، وأنزل كتبه، ليقوم الناس بالقسط، وهو العدل.. فإذا ظهرت أمارته وأسفر وجهه بأي طريق كان، فثم شرع الله ودينه

“Sekiranya politik adalah apa yang disebut oleh syara’ semata-mata, maka ia adalah satu kesilapan dan menyalahi para sahabat. Ini merupakan suatu perkara yang tidak difahami oleh sekumpulan manusia, lalu dengan itu mereka telah menjadikan syari’at itu lemah dan tidak mampu menangani keperluan manusia sehingga ia memerlukan (beralih) kepada yang lain. Maka apabila para pemimpin melihat keadaan ini... mereka pun melakukan kejahatan yang berpanjangan dan kerosakkan yang berleluasa dalam sistem politik mereka, lalu ia menjadi semakin rumit dan sukar untuk ditangani. Sebenarnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutuskan para Rasul-Nya dan menurunkan Kitab-kitab-Nya supaya manusia dapat berlaku adil... maka apabila terdapat tandanya dan ia nampak jelas dalam apa bentuk sekalipun, maka itulah yang dikatakan syari’at dan agama Allah.” (Ibnul Qayyim, at-Turuq al-Hukumiyat, m/s. 18 – Maktabah Syamilah)

Dr. Khalid al-Anbari menambah, “Maka dengan itu, kita sendiri perlu menambah perundangan yang bersesuaian dengan keperluan dan tuntutan-tuntutan kehidupan kita dengan syarat kita tidak membenarkan diri kita mencipta undang-undang yang bertentangan dengan nash dan kandungan syari’at, kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memberi amaran kepada kita daripada perkara-perkara tersebut.” (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 10-11)

Syaikh ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri mengutarakan sebuah nasihat:

فهي تُعْنَى بأحكام الإمارة والقضاء وأحوال الوزارات وتدوين الدواوين وإنفاذ الجيوش وغيرها مما تراه مفصلا في مثل غياث الأمم للجويني، و الأحكام السلطانية للماوردي وكذا لأبي يعلى الفراء، و التراتيب الإدارية لعبد الحي الكتاني وغيرهم. ولا شك في وجوبها شرعا وعقلا، لأن أمور الناس لا تنضبط إلا بإمام عادلا كان أو جائرا، قال ابن حبان البستي ـ رحمه الله ـ: وأنشدني ابن زنجي البغدادي للأفوه الأودي

لا يُصلح الناسَ فوضى لا سَراة لهم ولا سَـراة إذا جـهّـالهـم ســادوا

والبــيـت لا يـُبتـنـى إلا بـأعـمــدة ولا عـمـاد إذا لم تُــرسَ أوتـــادُ

فإن تـَجـمَّع أوتادٌ وأعمدةٌ وساكنٌ أدركــوا الأمـــر الـذي كــادوا

تُهدَى الأمور بأهل الرأي ما صلـــحت فإن تَوَلَّت فبالأشرار تنقادُ

وذكر قبلها الحكمة المشهورة: سلطان غشوم خير من فتنة تدوم. قال ابن تيمية: يجب أن يُعرف أن ولاية أمر الناس من أعظم واجبات الدين بل لا قيام للدين والدنيا إلا بها، فإن بني آدم لا تتم مصلحتهم إلا بالاجتماع لحاجة بعضهم إلى بعض، ولا بد لهم عند الاجتماع من رأس ... إلى أن قال: لأنَّ الله تعالى أوجب الأمر بالمعروف والنهي عن المنكر، ولا يتم ذلك إلا بالقوة والإمارة، ولهذا روي: أن السلطان ظل الله في الأرض ويقال: ( ستون سنة من إمام جائر أصلح من ليلة بلا سلطان ) والتجربة تبيِّن ذلك

(Yang disebutkan dengan politik itu) adalah undang-undang pemerintahan, menegakkan keadilan, badan eksekutif sesebuah negara, pembentukan barisan tertinggi negara, pentadbiran ketenteraan dan juga yang selainnya. Perkara ini dengan jelas dapat anda baca dalam kitab Ghiyatul Umam karya al-Juwaini, al-Akham as-Sulthaniyah karya al-Mawardi dan juga (dengan judul yang sama) karya Abu Ya’laa al-Farra’, Taratib al-Idariyah karya ‘Abdul Hayy al-Kattani dan selainnya. Sudah tentu hukumnya adalah wajib, sama ada menurut syari’at atau akal, kerana urusan rakyat banyak yang tidak tersusun dengan baik tanpa ada pemimpin yang adil mahupun yang zalim. Ibnu Hibban al-Busti rahimahullah berkata:

“Ibnu Zanji al-Baghdadi membawakan sebuah syair yang beliau tujukan untuk al-Afwah al-Audi:

Tidak akan selesai urusan manusia tanpa ada pemimpin

Dan tidak ada gunanya apabila orang-orang jahil yang memimpin

Rumah tidak akan terbina tanpa ada tiang

Dan tidak ada gunanya tiang sekiranya bukan dari kayu-kayu yang kukuh

Jika asas tiang dan atap telah terpasang

Barulah penghuninya mendapat keinginan yang hampir terluput

Urusan akan menjadi baik apabila ditangani oleh orang bijaksana

Jika tidak, maka mereka akan dipandu (dipimpin) oleh orang-orang jahil.”

Sebelumnya beliau menyebutkan sebuah kata hikmah yang terkenal:

“Penguasa yang zalim lebih baik daripada kekacauan yang tiada henti.” Ibnu Taimiyyah berkata:

“Setiap orang perlu tahu bahawa mengatur urusan manusia merupakan kewajiban agama yang paling agung. Bahkan agama dan dunia tidak akan menjadi baik tanpa perkara ini. Manusia tidak akan dapat mengatur kepentingan (dan keperluan) mereka apabila tidak bersatu-padu, mereka pasti saling memerlukan di antara satu dengan yang lain. Dan mereka perlu bersatu di bawah seorang pemimpin.”

Seterusnya beliau mengatakan:

“Allah telah mewajibkan amar ma’ruf nahi mungkar. Dan kewajiban itu tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kekuatan dan pemerintahan. Oleh sebab itu diriwayatkan dalam sebuah hadis:

“Penguasa adalah naungan Allah di muka bumi.”

Dan disebutkan bahawa:

“Enam puluh tahun di bawah kepimpinan penguasa yang zalim lebih baik daripada semalaman tanpa ada pemimpin.” Pengalaman yang banyak berlalu telah membuktikan hakikat ini.” (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 143-144)

Beliau juga menjelaskan berkenaan perkataan ‘Abdul Wahhab Khallaf “...walaupun tidak selari dengan apa yang diutarakan oleh para imam mujtahid”:

فإن المقصود به أن السياسة الشرعية ليست حكراً على الأئمة المتقدمين، بل لا بأس من أن يجتهد العالم المتبحّر من أولي الأمر فيما يَجدّ للأمة من نوازل بالقيود السابقة، ولذلك قال: " فالسياسة الشرعية على هذا هي العمل بالمصالح المرسلة؛ لأن المصلحة المرسلة هي التي لم يقم من الشارع دليل على اعتبارها أو إلغائها

Maksudnya adalah: Bahawa politik yang syar’i itu bukanlah hanya tugas para ulama terdahulu semata-mata. Tetapi setiap alim ulama yang luas ilmunya yang mampu berijtihad di dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang sedang dihadapi masyarakat dengan batasan-batasan yang telah disebutkan di atas. Oleh sebab itu beliau menyatakan, “Siyasah syar’iyah termasuk usaha mewujudkan maslahah mursalah.” Kerana maslahah mursalah adalah maslahah (kebaikan) yang tidak ditetapkan secara khusus oleh agama. (Rujuk: ‘Abdul Malik Ramadhani al-Jaza’iri, Madarikun Nadzar fii as-Siyasah, m/s. 145)

Secara ringkasnya, tujuan ruang lingkup politik Islam yang paling tinggi dan penting adalah merealisasikan agama Allah (tauhid) dengan amar ma’ruf nahi mungkar serta menjaga urusan masyarakat secara syar’i agar sentiasa mengarah kepada ketaatan (pengabdian diri) terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Politik Islam adalah dari Allah iaitu menjaga amanah-Nya dengan cara-cara yang syar’i, untuk Allah iaitu demi mencari keredhaan-Nya, dan semata-mata kerana Allah (bukan kerana material dan mengharap redha makhluk).

Apabila hak-hak Allah dijaga dan terpenuhi, insyaAllah hak-hak sesama manusia dan makhluk juga akan dapat ditunaikan sebaiknya.

Tanggungjawab Para Pemimpin Umat Islam

Pertamanya para pemimpin perlu memiliki sifat amanah yang tinggi dan memiliki juga kekuatan atau keupayaan untuk mentadbir. Secara umum, tanggungjawab para pemimpin umat Islam yang paling utama adalah menyatukan rakyatnya di bawah agama yang bersih dan murni. Para pemimpin perlu bertindak memelihara agama dan mempertahankan kemurnian Islam dengan menegakkan keadilan berteraskan tauhid yang benar. Iaitu memberi nasihat dan berusaha membawa masyarakat kepada pengabdian diri semata-mata kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan jalan yang syar’i.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

مَا مِنْ عَبْدٍ اسْتَرْعَاهُ اللَّهُ رَعِيَّةً فَلَمْ يَحُطْهَا بِنَصِيحَةٍ إِلَّا لَمْ يَجِدْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ

“Tidaklah seorang hamba yang diangkat oleh Allah sebagai pemimpin ke atas orang-orang yang dipimpinnya, kemudian ia tidak menjaga mereka dengan nasihatnya, melainkan ia tidak akan mencium aroma (wanginya) Syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/62, no. 6617)

Dengan selesainya persoalan asas-asas agama, masyarakat akan lebih mudah untuk dibentuk dan mengikuti arahan. Maka, perpaduan dan pentadbiran negara akan dapat berjalan dengan lebih lancar dan sempurna.

Selain itu, urusan-urusan utama dalam agama seperti solat berjama’ah, hari-raya, penyebaran ilmu yang benar, zakat, urusan haji serta yang selainnya perlu disemarakkan dan dimakmurkan.

Para pemimpin bertanggungjawab menjaga hal-ehwal keselamatan, perundangan (termasuk perlaksanaan syari’at hudud), menjaga ekonomi negara, dan keperluan rakyatnya yang bersesuaian dengan agama. Termasuk dalam urusan pemimpin adalah memerangi orang-orang yang menentang Islam dan ahli bid’ah. Semua ini selain menjadi tanggungjawab utama para pemimpin, ia perlu dibantu pula oleh para ulama (para ilmuan) dalam bidangnya masing-masing bagi memperkukuhkan kebaikan-kebaikan demi kepentingan bersama dan bagi meraih keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Imam al-Hasan al-Bashri rahimahullah menyatakan berkenaan kepimpinan pemimpin umat Islam:

هم يلون من أمورنا خمساً: الجمعة، والجماعة، والعيد، والثغور، والحدود. والله لا يستقيم الدين إلا بهم، وإن جاروا وظلموا والله لما يصلح الله بهم أكثر مما يفسدون، مع أن طاعتهم – والله – لغبطة وأن فرقتهم لكفر

“Mereka menguasai kita dalam lima perkara, iaitu solat Juma’at, al-jama’ah (kesatuan umat), hari raya, benteng pertahanan, dan perundangan. Demi Allah, agama ini tidak akan tertegak melainkan dengan kewujudan mereka, walaupun mereka melakukan keburukan dan kezaliman. Demi Allah, Allah menjadikan kebaikan dengan perantaraan mereka lebih banyak berbanding kerosakkan dengan sebab mereka. Ketaatan kepada mereka adalah suatu yang terpuji dan memisahkan diri daripada mereka adalah kekufuran.” (Ibnul Jauzi, Adab al-Hasan al-Bashri, m/s. 121. Rujuk: Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, m/s. 262. ‘Abdussalam B. Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhau’il Kitab wa as-Sunnah, m/s. 2)

Pemimpin Adalah Perisai Umat Islam

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَعَدَلَ كَانَ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرٌ وَإِنْ يَأْمُرْ بِغَيْرِهِ كَانَ عَلَيْهِ مِنْهُ

“Sesungguhnya seorang pemimpin itu adalah perisai, rakyat akan berperang di belakangnya serta berlindung dengannya. Apabila ia memerintahkan untuk bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla serta bertindak adil, maka ia akan mendapat pahala. Tetapi jika ia memerintahkan dengan selain itu, maka ia akan mendapat akibat buruk hasil perbuatannya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/376, no. 3428)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan:

أي كالستر لأنه يمنع العدو من أذى المسلمين ويمنع الناس بعضهم من بعض ويحمي بيضة الإسلام ويتقيه الناس ويخافون سطوته ومعنى يقاتل من ورائه أي يقاتل معه الكفار والبغاة والخوارج وسائر أهل الفساد والظلم مطلقا

“Maksud menjadi perisai di sini adalah sebagai tabir yang menghalang musuh dari mengganggu umat Islam, juga menjaga perhubungan (perpaduan) dalam kalangan masyarakat, menjaga kehormatan Islam, menjadi yang ditakuti (dihormati) rakyatnya, dan mereka berlindung kepadanya. Berperang di belakangnya pula, maksudnya adalah berperang bersama pemimpin melawan orang-orang kafir, pembangkang (atau pemberontak), kaum khawarij, setiap orang yang melakukan kerosakan (ahli fasad), dan mereka yang melakukan kezaliman secara umum.” (Syarah Shahih Muslim, 12/230)

Larangan Merebut Kerusi Kepimpinan

Berdasarkan sebuah hadis:

عَنْ جُنَادَةَ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ قَالَ دَخَلْنَا عَلَى عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ - وَهُوَ مَرِيضٌ قُلْنَا أَصْلَحَكَ اللَّهُ حَدِّثْ بِحَدِيثٍ يَنْفَعُكَ اللَّهُ بِهِ سَمِعْتَهُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ دَعَانَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَايَعْنَاهُ فَقَالَ فِيمَا أَخَذَ عَلَيْنَا أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا وَأَنْ لَا نُنَازِعَ الْأَمْرَ أَهْلَهُ إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا عِنْدَكُمْ مِنْ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Daripada Junadah B. Abi Umayyah, beliau berkata, “Kami masuk menemui ‘Ubadah B. ash-Shamit (ketika beliau terlantar sakit), lalu kami pun berkata, “Semoga Allah memulihkan keadaan kamu, khabarkanlah kepada kami satu hadis yang dengannya Allah memberi manfaat kepadamu, yang telah engkau dengar daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.” Beliau pun berkata, “Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mengajak kami dan kami pun membai’atnya.” Kemudian beliau berkata, “Di antara perjanjian yang diambil daripada kami adalah supaya kami membai’atnya untuk mendengar dan taat di ketika senang dan ketika susah, ketika sukar dan ketika mudah, mengutamakan beliau (Nabi) berbanding ke atas diri kami sendiri, tidak berebut (atau mempersoalkan) urusan kepimpinan daripada para pemiliknya melainkan sekiranya melihat kekufuran yang nyata, di mana ada bukti (yang boleh dipertanggungjawabkan) untuk kamu kemukakan kepada Allah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Fitan, 21/444, no. 6532. Muslim, Kitab al-Imarah, 9/374, no. 3427)

Keutamaan Pemimpin Yang Adil Di Sisi Allah

Daripada sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

إِنَّ الْمُقْسِطِينَ عِنْدَ اللَّهِ عَلَى مَنَابِرَ مِنْ نُورٍ عَنْ يَمِينِ الرَّحْمَنِ عَزَّ وَجَلَّ وَكِلْتَا يَدَيْهِ يَمِينٌ الَّذِينَ يَعْدِلُونَ فِي حُكْمِهِمْ وَأَهْلِيهِمْ وَمَا وَلُوا

“Sesungguhnya orang-orang yang adil di sisi Allah berada pada mimbar-mimbar dari cahaya di sebelah kanan ar-Rahman dan kedua Tangan-Nya adalah kanan, iaitu orang-orang yang berlaku adil dalam hukum mereka, keluarga dan kepimpinan mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/350, 3406)

Ancaman Kepada Pemimpin Yang Tidak Beramanah

Allah Subhanahu wa Ta’ala menegaskan melalui firman-Nya:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الأرْضِ أَقَامُوا الصَّلاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الأمُورِ

“(Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah al-Hajj, 22: 41)

Juga firman-Nya:

يَا دَاوُدُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الأرْضِ فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلا تَتَّبِعِ الْهَوَى فَيُضِلَّكَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

“Wahai Daud, sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah (penguasa) di muka bumi, maka berilah keputusan (perkara) di antara manusia dengan adil dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat, kerana mereka melupakan hari perhitungan.” (Surah Shad, 38: 26)

Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam telah memberi peringatan yang sangat keras bagi para pemimpin yang tidak amanah kepada Allah terhadap apa yang dipimpinnya, sebagaimana sabdanya:

مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيْهِ اللهُ رَعِيَّةً يَمُوْتُ يَوْمَ يَمُوْتُ وَهُوَ غَاشٌ لِرَعِيَّتِهِ إِلّا حَرَّمَ اللهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

“Tidak ada seorang hamba pun yang mendapat amanah daripada Allah untuk memimpin rakyat, lalu ia meninggal pada hari meninggalnya di dalam keadaan mengkhianati rakyatnya melainkan Allah telah mengharamkan syurga ke atasnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/343, no. 203. 9/353, no. 3409)

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

مَا مِنْ أَمِيرٍ يَلِي أَمْرَ الْمُسْلِمِينَ ثُمَّ لَا يَجْهَدُ لَهُمْ وَيَنْصَحُ إِلَّا لَمْ يَدْخُلْ مَعَهُمْ الْجَنَّةَ

“Tidaklah seseorang pemimpin yang menjaga urusan umat Islam, kemudian tidak membela rakyatnya dengan bersungguh-sungguh dan tidak juga bersikap tulus membimbing mereka melainkan ia tidak akan masuk Syurga bersama rakyatnya.” (Hadis Riwayat Muslim, 1/345, no. 205. 9/354, no. 3410)

Doa Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam kepada pemimpin yang tidak amanah secara umum:

اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ وَمَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئًا فَرَفَقَ بِهِمْ فَارْفُقْ بِهِ

“Ya Allah, sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka susahkanlah dia, dan sesiapa yang menguruskan hal-ehwal umatku, lalu dia mengasihi mereka, maka kasihilah dia.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/351, no. 3407)

Imam al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah berkata, “Ini adalah peringatan keras terhadap para pemimpin yang berlaku khianat terhadap urusan umat Islam, sedangkan Allah Ta’ala telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk mengatur urusan mereka, menegakkan kemaslahatan agama dan dunia mereka. Jika seseorang pemimpin berkhianat dan tidak bertanggungjawab terhadap apa yang telah diamanahkan kepadanya, tidak memberi nasihat, tidak memberikan maklumat yang perlu mereka ketahui, tidak membela dan tidak menghalang mereka dari sesuatu perkara yang salah, mengabaikan hak-hak mereka, tidak menegakkan hukum, tidak menjaga keamanan, tidak membantu mereka dari ancaman musuh-musuh Islam, tidak berlaku adil kepada mereka, maka pemimpin tersebut telah berlaku curang kepada mereka (rakyat).

Apa yang dikatakan oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam tersebut adalah peringatan (untuk para pemimpin) supaya tidak berlaku curang dan khianat terhadap urusan umat Islam kerana perkara tersebut merupakan dosa besar yang dapat membinasakan serta menjauhkannya dari Syurga. Wallahu a’lam.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 2/166)

Sebaik-baik dan Seburuk-buruk Pemimpin

Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam daripada ‘Auf B. Malik radhiyallahu ‘anhu:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمْ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ قِيل

“Sebaik-baik pemimpin bagi kamu adalah orang-orang yang kamu semua cintai dan mereka pun mencintai kamu semua, juga yang kamu semua mendoakan kebaikan untuk mereka dan mereka pun mendoakan kebaikan untuk kamu semua.

Adapun seburuk-buruk pemimpin di antara kamu ialah orang-orang yang kamu membenci mereka dan mereka pun membenci kamu semua, juga yang engkau semua melaknat mereka dan mereka pun melaknat kamu semua.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/403, no. 3447)

Pemimpin Daripada Kalangan Quraisy

Rasulullah Shallallahu ‘alaihiu wa Sallam bersabda:

إِنَّ هَذَا الْأَمْرَ فِي قُرَيْشٍ لَا يُعَادِيهِمْ أَحَدٌ إِلَّا كَبَّهُ اللَّهُ فِي النَّارِ عَلَى وَجْهِهِ مَا أَقَامُوا الدِّينَ

“Bahawasanya urusan pemerintahan (kepimpinan) ini adalah di tangan Quraisy selagi mereka itu menegakkan agama, tidak ada seorang pun yang memusuhi mereka melainkan Allah akan menyungkurkan wajahnya di dalam neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 22/45, no. 6606)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:

الناس تبع لقريش في هذا الشأن مسلمهم لمسلمهم وكافرهم لكافرهم

“Manusia adalah pengikut kaum Quraisy dalam urusan ini, umat Islam pengikut umat Islam mereka, dan orang kafir adalah pengikut orang kafir mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/329, no. 3389)

Imam an-Nawawi rahimahullah menyatakan:

هذه الأحاديث وأشباهها دليل ظاهر أن الخلافة مختصة بقريش لا يجوز عقدها لأحد من غيرهم وعلى هذا انعقد الاجماع في زمن الصحابة فكذلك بعدهم ومن خالف فيه من أهل البدع أو عرض بخلاف من غيرهم فهو محجوج باجماع الصحابة والتابعين فمن بعدهم بالأحاديث الصحيحة

“Hadis-hadis ini dan yang serupa dengannya adalah dalil yang jelas bahawa kekhalifahan adalah khusus untuk Quraisy, tidak boleh melantik sesiapapun selain mereka. Perkara ini dikuatkan oleh kesepakatan para sahabat, begitu juga generasi berikutnya. Sesiapa menyelisihi perkara ini dari kalangan ahli bid’ah, atau mendatangkan pendapat bertentangan dengannya, maka mereka terbantah dengan kesepakatan para sahabat dan tabi’in serta generasi berikutnya berdasarkan hadis-hadis sahih.” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/200)

Walaupun demikian, sekiranya pemimpin telah berkuasa dan mereka bukanlah dari kalangan kaum Quraisy, maka mereka masih tetap perlu ditaati berdasarkan ketetapan para ulama dan kemaslahatan secara umum. Demikian juga ciri-ciri utama yang lainnya seperti pemimpin itu mestilah adil, amanah, berkemampuan, merdeka (bukan hamba), sihat fizikal (tidak cacat), dan selainnya dari ciri-ciri kelayakan menjadi seorang pemimpin sekiranya ia tidak dipenuhi sedangkan ia telah menjadi seorang pemimpin, maka ia tetap wajib ditaati secara syar’i. Iaitu ia tidak boleh dijatuhkan atau diingkari. Ini adalah sebagaimana yang akan dibahaskan dalam beberapa tempat nanti.

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah dalam Fathul Bari menjelaskan bahawa telah berlaku pemerintahan selain daripada penguasa (khalifah) berketurunan Quraisy sejak zaman al-Hajjaj, ketika pemerintahan bani Ubaid, bani Abbad, beberapa yang lain di Andalusia, kemudian Abdul Mukmin di wilayah al-Maghrib (Morocco). Al-Hafiz mengulas hadis berkaitan ini dalam Kitab al-Ahkam (bab dalam Fathul Bari) dengan panjang lebar dan baik sekali.

Ibnu Khaldun ada menyatakan bahawa ketetapan berlangsungnya kepimpinan Quraisy tersebut adalah atas faktor ketaksuban terhadab kabilah Quraisy pada masa tersebut mengatasi kabilah-kabilah lain. Sekiranya syarat bangsa Quraisy tersebut dikenakan atas faktor Quraisy semata-mata, maka tidak terdapat sebarang matlamat di sebaliknya. Ini kerana tugas penjagaan agama serta pentadbiran dunia memerlukan mereka yang benar-benar layak tanpa mengira keturunan. Lebih-lebih lagi, sebagai seorang pemimpin, ia perlu memiliki sokongan, dukungan, berkeupayaan, memiliki kekuatan, dan berpengaruh. Bukan semata-mata faktor bangsa tanpa sebarang sebab. Maka, ijma’ yang berlangsung dalam perkara ini perlu dilihat berdasarkan sebab yang menegakkannya.

Lebih awal, Imam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah (Wafat: 505H) telah menegaskan persoalan ini pada zamannya sebagaimana berikut:

تقدير قرشي مجتهد مستجمع الصفات، متصد لطلب الإمامة، هذا لا وجود له في عصرنا، وتقدير اقتدار الخلف على الاستبدال بالإمام والتصرف فيه بالخلع والانتقال، هذا محال في زماننا

“Jangkaan wujudnya seorang Quraisy mujtahid yang pada dirinya terkumpul segala sifat kepimpinan, serta layak untuk memegang jawatan khalifah, adalah mustahil pada zaman kita ini. Begitu juga dengan anggaran bahawa wujudnya pengganti yang layak menggantikan imam dan berkuasa memecat serta memindahkannya juga mustahil berlaku pada zaman kita ini.” (Rujuk: Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 134)

Dengan itu, ketetapan ijma’ bahawa seorang pemimpin itu mesti berketurunan Quraisy, perkara tersebut adalah berdasarkan kepada kekuatan, ketahanan, dan keupayaan kaum Quraisy itu sendiri. Tetapi apabila kaum Quraisy itu sendiri telah lemah dan pengaruhnya juga pudar, maka tuntutan syara’ asal yang menuntut agar urusan agama dapat ditegakkan dan perpaduan umat Islam terus terpelihara, maka ia perlu lebih diutamakan berbanding faktor bangsa semata-mata.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إِنَّ هَذَا الْأَمْرَ فِي قُرَيْشٍ لَا يُعَادِيهِمْ أَحَدٌ إِلَّا كَبَّهُ اللَّهُ عَلَى وَجْهِهِ مَا أَقَامُوا الدِّينَ

“Bahawa urusan ini berada di tangan Quraisy, tidaklah seseorang yang menentang mereka melainkan Allah akan menyungkurkannya di atas wajahnya, iaitu selagi mana mereka menegakkan agama.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/320, no. 3239)

Selain itu, terdapat pula hadis-hadis yang menjelaskan supaya taat kepada pemerintah walaupun ia berketurunan Habsyi (bukan Quraisy), cacat, seorang hamba, serta bersikap zalim. Ini adalah sebagaimana yang akan dijelaskan nanti.

Negara Islam

Memiliki tanah dan kawasan tempat bernaung adalah salah satu lambang atau tanda kewujudan sesebuah negara. Setiap negara perlu memiliki kawasan (tanah) yang meliputi ruang daratan, bumi atau lautan, serta udara. Tanah adalah unsur utama dalam pembinaan sesebuah negara. Sesuatu kelompok masyarakat tidak akan dikatakan memiliki daulah dan kuasa pemerintahan selagi mereka tidak memiliki tanah. Penguasaan terhadap tanah adalah lambang berdirinya sesebuah negara sebagai tempat penduduknya berlindung menjalani kehidupan serta sebagai pusat menegakkan ketuanannya. Fungsi tanah tidak hanya menyentuh aspek geografi, tetapi juga berperanan dalam membina kekuatan maknawi dan menonjolkan ciri-ciri peribadinya. Setelah penguasaan terhadap tanah dapat difahami, barulah ia pergi kepada konteks keperibadian yang ditonjolkan olehnya yang sekaligus menentukan sifat dan wajah sesebuah negara.

Asalnya, definisi atau penentuan sesebuah negara sebagai negara Islam tidak disebutkan secara khusus melalui al-Qur'an mahupun as-sunnah. Namun, dengan bertunjangkan prinsip-prinsip umum yang dijelaskan oleh dalil-dalil nabawi dan penegasan para ulama Ahlus Sunnah wal-Jama’ah, maka kita akan dapat lihat bahawa sesebuah Negara itu adalah Negara atau wilayah Islam (Daar al-Islam) apabila ia dipimpin dan dikuasai oleh umat Islam, pemimpinnya muslim, dan syi’ar solat bebas dilaksanakan di dalamnya tanpa sekatan. Kriteria asas ini kemudian dikuatkan lagi dengan majoriti penduduknya yang teguh berpegang kepada agama dan perundangan syari’ah pula ditegakkan di dalamnya.

Dasar paling asas ini dapat dilihat melalui sejarah pembentukan kota Islam Madinah selaku Negara Islam pertama oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Ketika baginda Shallallahu ‘alaihi wa Sallam memasuki kota Madinah, perkara pertama yang ditegakkan oleh beliau adalah syi’ar-syi’ar solat. Ini difahami melalui langkah pertama beliau membina masjid Nabawi diikuti seruan azan. Setelah fasa tersebut berlangsung, Rasulullah bertindak mempersaudarakan kaum anshar dan muhajirin pula sebagai langkah awal semaian benih-benih perpaduan di kalangan umat Islam. Seterusnya berlaku pula perjanjian keamanan dengan golongan bukan Islam sehingga akhirnya Madinah terus berkembang sebagai sebuah kota Islam. Peristiwa bersejarah ini dapat dihayati antaranya melalui kitab al-Rahiq al-Makhtum, yang merupakan antara kitab sirah terkenal era ini susunan Syaikh Syafiyyurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah.

Apabila kriteria asas ini dapat difahami, suara-suara sumbang pengkafiran dan penafian keislaman terhadap sesebuah negara yang dikuasai dan dipimpin oleh umat Islam tidak sepatutnya berlaku. Perlu kita fahami bahawa selagi seseorang pemimpin muslim menegakkan syi’ar solat dan masih menzahirkan keislamannya maka ia tetap wajib ditaati dan negara yang dipimpinnya adalah negara Islam sekalipun mungkin ia bertindak zalim serta berlaku fasiq. Ini kerana kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengkafirkan seseorang atas alasan semata-mata zalim dan fasiq. Maka, begitu juga dengan status sesebuah negara yang ia pimpin. Lebih-lebih lagi dalam masa sama, syari’at sendiri telah menjelaskan kaedah bermu’amalah dengan pemerintah sama ada yang adil mahupun sebaliknya. Dan perkara ini telah penulis jelaskan melalui beberapa siri tulisan.

Persoalan ini perlu dikembalikan kepada kaedah ukur yang benar. Di mana bagi seseorang muslim yang zalim dan fasiq, ia masih tetap dianggap seorang muslim selagi mana ia melaksanakan solat dan menzahirkan keislamannya. Demikian juga bagi sesebuah negara, ia tidak dianggap berstatus kafir hanya disebabkan pemimpinnya yang zalim atau fasiq, atau dalam sistem pentadbirannya tidak melaksanakan sepenuhnya dari hukum-hukum Allah seperti perundangan hudud, ekonomi Islam, atau selainnya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

لينقضن عرا الإسلام عروة عروة فكلما انتقضت عروة تشبت الناس بالتي تليها وأولهن نقضا الحكم وأخرهن الصلاة

“Ikatan-ikatan Islam akan terlepas satu demi satu. Di setiap kali ikatannya terlepas, ia diikuti oleh manusia (ikatan seterusnya akan terlepas). Dan yang pertama kali terlepas adalah hukum (perundangan) dan yang terakhir sekali adalah solat.” (Hadis Riwayat Ahmad, 36/485, no. 22160. Isnadnya dinilai jayyid oleh Syu’aib al-Arnauth)

Berdasarkan hadis ini menunjukkan bahawa hukum Allah yang terpenting sekali dalam penzahiran keislaman adalah syi’ar solat. Dan batas ukuran inilah yang menjadi titik penting dalam penzahiran keperibadian seseorang Muslim, sekaligus membezakan di antara kafir dengan muslim. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda:

إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلَاةِ

“Bahawasanya yang membezakan di antara seseorang dengan kesyirikkan dan kekafiran adalah meninggalkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, Kitab al-Iman, 1/228, no. 116)

Ini mudah difahami kerana seseorang pemimpin dan pentadbiran sesebuah negara tidak bersifat maksum dan sentiasa terdedah kepada pelbagai kekurangan dan kelemahan yang perlu sama-sama diperbaiki dan perbetulkan. Bukan untuk sentiasa dikecam dan dikritik tanpa mahu dibina.

Persoalan ini juga antaranya dapat diteliti berdasarkan dalil-dalil tentang kewajiban mentaati pemerintah dan wujudnya larangan memerangi, menentang, dan menzahirkan sifat kepembangkangan kepada para pemimpin selagi mana mereka (para pemimpin) menzahirkan keislaman dan tetap melaksanakan solat. Dalil-dalil dalam persoalan ini saling berkait-rapat dengan dalil-dalil yang membentuk prinsip-prinsip Ahlus Sunnah wal-Jama’ah dalam mentaati pemerintah. InsyaAllah persoalan ini akan diperincikan dalam tulisan seterusnya. Walau bagaimanapun secara ringkasnya di antara dalil utama yang digunakan dalam bab ini adalah sebuah hadis di mana Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

إنه يستعمل عليكم أمراء فتعرفون وتنكرون فمن كره فقد برئ ومن أنكر فقد سلم ولكن من رضي وتابع قالوا يا رسول الله ألا نقاتلهم قال لا ما صلوا أي من كره بقلبه وأنكر بقلبه

“Akan diangkat para penguasa untuk kamu. Di mana kamu mengenalinya dan kemudian kamu mengingkarinya (kerana ia telah melakukan kejahatan). Sesiapa yang benci, maka ia telah berlepas diri. Sesiapa yang mengingkarinya, benar-benar ia telah selamat. Akan tetapi, sebaliknya pula kepada mereka yang redha dan patuh kepada keburukan pemimpin tersebut (dia tidak akan selamat).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah kami boleh menentangnya?” Beliau menjawab, “Tidak, selagi mereka masih melaksanakan solat. Iaitu sesiapa yang membenci dan mengingkari dengan hatinya.” (Hadis Riwayat Muslim, 9/401, no. 3446)

Untuk kefahaman hadis ini, Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menyebutkan perkataan al-Qadhi ‘Iyadh, “Para ‘ulama telah ijma’ (bersepakat) bahawa imamah (kepimpinan) tidak boleh diserahkan kepada orang kafir dan apabila secara tiba-tiba kekafiran terjadi padanya, maka ia dilucutkan (sebagai pemimpin). Dan beliau turut menyatakan, “Begitu juga apabila ia meninggalkan perlaksanaan solat dan seruan kepadanya (seruan solat).” (an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229)

Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari al-Hanafi (Wafat: 1014H) ketika menjelaskan hadis tersebut, beliau berkata:

إقامتهم الصلاة فيما بينكم لأنها علامة اجتماع الكلمة في الأمة قال الطيبي فيه إشعار بتعظيم أمر الصلاة وإن تركها موجب لنزع اليد عن الطاعة

“Mereka menegakkan solat bersama-sama kamu, kerana perkara tersebut merupakan tanda perpaduan bagi ummat (masyarakat). Telah berkata ath-Thiibi, “Pada hadis tersebut terdapat maklumat yang menunjukkan keagungan persoalan solat di mana apabila ia ditinggalkan akan memberi kesan (akibat) terlepasnya tangan dari ketaatan.” (‘Ali al-Qari, Mirqatul Mafatih Syarah Misykat al-Mashabih, Kitab al-Imarah wal-Qadha’, 11/307 – al-Meshkah)

Imam asy-Syafi’i rahimahullah (Wafat: 204) mengingatkan melalui katanya:

والسمع لأولي الأمر ما داموا يصلون والموالاة لهم، ولا يخرج عليهم بالسيف

“Dan hendaklah kamu tetap mendengar (tidak melepaskan ketaatan) kepada pemerintah (ulil amri) selagi mana mereka masih melaksanakan solat dan hendaklah memberi kesetiaan kepada mereka serta tidak khuruj dengan pedang (menjadi pemberontak) terhadap mereka.” (as-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba’ wan Nahi ‘anil Ibtida’, m/s. 313, Tahqiq Masyhur Hasan Salman – Daar Ibnul Qayyim)

Hadis ini memberi kefahaman bahawa suatu masa nanti akan berlaku pengangkatan kepimpinan yang dibenci di kalangan umat Islam. Keduanya, hadis ini memberi indikasi bahawa sesebuah pemerintahan Islam itu tidak tergugur (dan tidak boleh dijatuhkan) selagi mana syi’ar solat ditegakkan, walaupun padanya terdapat beberapa bentuk kemungkaran dan kefasikan. Ketiganya, hadis ini membatalkan sebahagian pandangan yang menyatakan bolehnya menzahirkan penentangan, kepembangkangan, dan menafikan hak kepimpinan bagi sesebuah negara disebabkan kelemahan tertentu, serta gagal melaksanakan perundangan syari’ah seperti hudud dan qishash. Manakala sebahagian pandangan yang lain ada yang menafikan keabsahan kepimpinan sesebuah negara semata-mata tidak ditegakkan Daulah Khilafah padanya. Pandangan tersasar dan simplistik ini sebenarnya mendekati ciri-ciri kelompok sesat Khawarij, Syi’ah (Rafidhah), dan Mu’tazilah pada era awal Islam.

Seterusnya, bentuk kefahaman tentang kriteria asas sesebuah negara Islam ini juga dapat diambil berdasarkan penegasan para ulama. Di antaranya adalah penjelasan Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) yang mengatakan:

“Bahawasanya penilaian terhadap sesebuah negara sama ada ia negara kafir atau iman (Islam) atau fasiq, ianya bergantung kepada sifat penduduknya. Jika penduduk negara tersebut adalah orang-orang mukmin, maka itu adalah negara Islam (aulia Allah) pada masa tersebut. Jika penduduknya adalah orang-orang kafir maka itu adalah negara kafir pada masa tersebut. Jika penduduknya adalah orang-orang fasiq, maka itu adalah negara fasiq pada masa tersebut. Dan sekiranya berlaku suatu masa penduduknya berganti, maka status negaranya juga berganti.

Sebagaimana sesebuah masjid apabila ditukar menjadi tempat memproses khamar (arak), atau tempat untuk bersuka-ria (berpesta), atau tempat kesesatan, atau gereja di mana padanya tempat mensyirikkan Allah. Begitulah juga rumah memperoses arak dan pusat hiburan (tempat maksiat) dan selainnya apabila dijadikan (ditukar menjadi) masjid yang padanya tempat mengabdikan diri (beribadah) kepada Allah akan menjadi mulia dan terpuji berdasarkan apa yang diperlakukan padanya. Begitu juga sebagaimana seseorang lelaki yang soleh berubah menjadi fasiq, dan yang kafir pula berubah menjadi mukmin (beriman) atau mukmin berubah menjadi kafir atau yang sewaktu dengannya, semuanya itu adalah bergantung pada ciri-ciri yang menghiasi dirinya.” (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 18/282 - Daar al-Wafaa’)

Imam al-Qurthubi rahimahullah (Wafat: 671H) berkata:

الأذان هو العلامة الدالة المفرقة بين دار الإسلام ودار الكفر

“Adzan adalah tanda yang membezakan di antara wilayah Islam dengan wilayah kafir.” (Tafsir al-Qurthubi, 2/225)

Lebih awal lagi, penegasan oleh Imam Abu Bakr al-Isma’ili rahimahullah (Wafat: 371H):

ويرون الدار دار الإسلام لا دار الكفر كما رأته المعتزلة، ما دام النداء بالصلاة والإقامة ظاهرين وأهلها ممكنين منها آمنين

“Dan mereka (Ahlus Sunnah wal-Jama’ah) mengimani (mengakui) bahawa sesebuah negara adalah negara Islam bukan negara kafir sebagaimana pandangan al-Mu’tazilah, apabila masih terdapat seruan (azan) untuk solat dan solat didirikan dengan zahir (terang-terangan) dan ahlinya (rakyatnya) pula sentiasa bebas mendirikannya dalam suasana aman.” (Abu Bakr al-Isma’ili, I’tiqad A’immatul Hadis, m/s. 31, Bab: Daar al-Islam - Maktabah Syamilah)

Dari kalangan ulama mutaakhirin, Imam Muhammad B. Ali asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1255H) turut menjelaskan:

الاعتبار بظهور الكلمة فإن كانت الأوامر والنواهي في الدار لأهل الإسلام بحيث لا يستطيع من فيها من الكفار أن يتظاهر بكفره إلا لكونه مأذونا له بذلك من أهل الإسلام فهذه دار إسلام ولا يضر ظهور الخصال الكفرية فيها لأنها لم تظهر بقوة الكفار ولا بصولتهم كما هو مشاهد في أهل الذمة من اليهود والنصارى والمعاهدين الساكنين في المدائن الإسلامية وإذا كان الأمر العكس فالدار بالعكس

“Ukuran bagi menentukan sesebuah negara Islam itu adalah dizahirkankan (tampak) tanda-tanda agama, iaitu perundangannya sama ada yang bersifat perintah atau larangan di bawah kawal-selia umat Islam, manakala orang kafir tidak menampakkan (menzahirkan) kekufurannya melainkan setelah mendapat kebenaran daripada penduduk negara Islam tersebut. Maka dengan keadaan yang demikian, sesebuah wilayah itu disebut sebagai negara Islam dan keberadaan tanda atau syi’ar kekufuran yang wujud (kelihatan) tidak menafikan penamaan ini kerana ia bukan disebabkan usaha dan kekuatan dari orang-orang kafir sebagaimana ahluzd dzimmah yang mendiami negara atau bandar umat Islam dari kalangan orang Yahudi dan Nashara serta sekutu mereka yang tunduk (kepada peraturan) berlindung dalam naungan negara Islam. Sekiranya keadaan ini adalah sebaliknya, maka status negara juga adalah begitu.” (asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘ala Hada’iqil Azhar, 1/976 - Maktabah Syamilah)

Dengan demikian, cerminan atau status sesebuah negara adalah merujuk kepada amalan pemimpin dan masyarakat yang mendiaminya. Dari sudut asasnya, sesebuah negara adalah negara Islam apabila ia dikuasai dan dipimpin oleh pemimpin muslim, dan syi’ar solat dipraktikkan dengan bebas. Status sesebuah negara tidak dianggap kafir hanya semata-mata di dalamnya tidak menegakkan hukum hudud atau perundangan Islam lainnya atas sebab kelemahan tertentu. Ia juga tidak dianggap kafir semata-mata kerana dipimpin oleh pemimpin yang zalim dan fasiq.

Kelancangan dalam melabelkan sesebuah negara sebagai negara kafir (Daar al-Harb) atau tidak Islam atau sekuler, ditakuti kelak boleh mengakibatkan lahirnya tanggapan atau pandangan bahawa halalnya memerangi sesebuah negara Islam (termasuk Malaysia), sekaligus menimbulkan hilangnya kredibiliti, munculnya bibit-bibit pemberontakan, dan suasana bertukar huru-hara sebagaimana yang banyak berlaku pada negara-negara luar tertentu.

Dari itu, setiap kelemahan dan kelompangan yang terdapat dalam sesebuah negara umat Islam itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai dalil untuk bermudah-mudah melabelkan kafir atau tidak Islam terhadapnya. Sebaliknya, setiap kelemahan dan kelompangan tersebut perlulah sungguh-sungguh diperbaiki dan ditopang secara bersama oleh para pemimpin, para ulama, dan masyarakatnya dengan kaedah-kaedah yang syar’i lagi berhikmah.

Berbilang Negara Dan Wilayah Umat Islam

Terdapat sebahagian pihak dari kelompok pergerakkan (harakah Islam) yang menegaskan pendirian mereka bahawa umat Islam wajib bersatu di bawah sebuah sistem pemerintahan khilafah sebagaimana yang berlaku di era Abu Bakr, ‘Umar, dan ‘Utsman. Sekiranya ini tidak berlaku, maka seluruh umat Islam adalah berdosa. Malah lebih mengejutkan adalah tidak perlu taat kepada para pemimpin yang berkuasa selain melalui sistem khilafah tersebut.

Mereka turut membenarkan untuk menjatuhkan para pemimpin hanya atas alasan zalim dan tidak bertindak adil berdasarkan neraca (perkiraan) kelompok mereka semata-mata. Menurut mereka juga, para pemimpin yang tidak adil dan bertindak zalim juga tidak berhak untuk dinasihati, tetapi berhak dikritik secara terbuka, malah diaibkan. Di antara alasan mereka adalah kerana bentuk pemerintahan yang berlangsung pada hari bukan lagi di bawah pemerintahan sistem khilafah dan sudah tidak syar’i.

Berikut penulis bawakan penjelasannya berpandukan perkataan (fatwa-fatwa) para ulama ahlus Sunnah wal-Jama’ah sebagai pencerahan.

Imam Abu al-Hasan B. ‘Ali B. Muhammad al-Mawardi rahimahullah (Wafat: 450H) berkata:

وَإِذَا عُقِدَتْ الْإِمَامَةُ لِإِمَامَيْنِ فِي بَلَدَيْنِ لَمْ تَنْعَقِدْ إمَامَتُهُمَا، لِأَنَّهُ لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ لِلْأُمَّةِ إمَامَانِ فِي وَقْتٍ وَاحِدٍ

“Sekiranya imamah (kepimpinan dan pemerintahan) diberikan kepada dua orang di dua tempat yang berbeza (dalam masa yang sama), maka imamah keduanya adalah tidak sah, kerana umat tidak dibenarkan memiliki dua imam (khalifah) pada waktu yang sama.” (al-Mawardi, al-Ahkam al-Sulthaniyah, m/s. 10 - Maktabah Syamilah)

Menurut Syaikh Dr. Khalid B. ‘Ali al-‘Anbari:

الأصل أن يكون للمسلمين جميعًا إمام واحد

“Hukum asal bagi umat Islam ialah mereka memiliki seorang khalifah (imam) sahaja.” (Dr. Khalid al-Anbari, Fiqh as-Siyasah asy-Syar’iyah fii Dhaw al-Qur’an wa as-Sunnah wa Aqaul Salaf al-A’immah, m/s. 149)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata:

والسنة أن يكون للمسلمين إمام واحد والباقون نوابه، فإذا فرض أن الأمة خرجت عن ذلك لمعصية من بعضها وعجز من الباقين أو غير ذلك فكان لها عدة أئمة، لكان يجب على كل إمام أن يقيم الحدود، ويستوفي الحقوق

“Berdasarkan as-Sunnah, umat Islam hanya memiliki seorang pemerintah sahaja, manakala yang selainnya hanyalah bertindak sebagai pembantunya. Jika ditakdirkan umat Islam terkeluar dari peraturan ini sama ada dengan sebab maksiat (atau kesalahan) yang dilakukan oleh sebahagian daripadanya ataupun dengan sebab kelemahan sebahagian umat Islam, ataupun dengan sebab-sebab yang lain, dan mereka memiliki beberapa orang pemimpin, wajib ke atas setiap pemimpin tersebut menjalankan hukum hudud dan memberi hak kepada mereka yang layak menerimanya. (Ibnu Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 24/175-176)

Al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat 774H) menjelaskan:

فأما نصب إمامين في الأرض أو أكثر فلا يجوز لقوله عليه الصلاة والسلام: "من جاءكم وأمركم جميع يريد أن يفرق بينكم فاقتلوه كائنًا من كان" . وهذا قول الجمهور، وقد حكى الإجماع على ذلك غير واحد، منهم إمام الحرمين، وقالت الكرامية: يجوز نصب إمامين فأكثر كما كان علي ومعاوية إمامين واجبي الطاعة، قالوا: وإذا جاز بعث نبيين في وقت واحد وأكثر جاز ذلك في الإمامة؛ لأن النبوة أعلى رتبة بلا خلاف، وحكى إمام الحرمين عن الأستاذ أبي إسحاق أنه جوز نصب إمامين فأكثر إذا تباعدت الأقطار واتسعت الأقاليم بينهما، وتردد إمام الحرمين في ذلك، قلت: وهذا يشبه حال خلفاء بني العباس بالعراق والفاطميين بمصر والأمويين بالمغرب

“Pengangkatan dua imam (bagi memimpin umat Islam) atau lebih di muka bumi (pada masa yang sama), adalah tidak dibenarkan. Berdasarkan hadis Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Sesiapa yang mendatangi kamu, sedangkan semua urusan kamu telah bersatu (di bawah seorang pemimpin), dengan tujuan untuk memecah-belah kesatuan tersebut, maka bunuhlah ia siapapun orangnya.”

Ini merupakan pendapat jumhur (majoriti) ulama. Dan ini adalah berdasarkan ijma’ sebagaimana yang diriwayatkan lebih dari satu pendapat antaranya Imam al-Haramain.

Mazhab Karamiyah mengatakan, dibenarkan mengangkat dua orang imam (pemimpin), malah lebih juga boleh, sebagaimana yang telah berlaku di antara ‘Ali dan Mu’awiyah yang keduanya merupakan imam yang wajib ditaati. Mereka mengatakan, apabila dibolehkan mengutus dua orang Nabi dalam waktu yang sama dan bahkan lebih dari dua orang, perkara ini turut dibolehkan dalam imamah, kerana soal kenabian kedudukannya lebih tinggi dari soal imamah tanpa diperselisihkan.

Sebagaimana yang diriwayatkan daripada Imam al-Haramain daripada al-Ustaz Abu Ishaq bahawasanya dibolehkan mengangkat dua imam (dalam satu masa untuk wilayah yang berbeza) atau lebih sekiranya pelbagai wilayah terbentuk dan saling berjauhan serta kawasan telah menjadi terlalu luas.

Walau bagaimanapun, Imam al-Haramaian masih bimbang dengan persoalan ini.

Aku (Ibnu Katsir) katakan, keadaan ini adalah sebagaimana Bani ‘Abbasiyah yang berjaya mendirikan pemerintahan di ‘Iraq, Fatimiyyin di Mesir, dan Bani Umayyah di Maghribi. (Tafsir Ibnu Katsir, 1/222, Tahqiq: Sami B. Muhammad Salamah)

Imam al-Qurthubi juga turut membawakan perkataan Imam al-Haramain (al-Imam Abu Ma’ali al-Juwaini, 419H-478H) tersebut di dalam tafsirnya:

والذي عندي فيه أن عقد الإمامة لشخصين في صقع واحد متضايق الخطط والمخاليف غير جائز وقد حصل الإجماع عليه. فأما إذا بعد المدى وتخلل بين الإمامين شسوع النوى فللاحتمال في ذلك مجال وهو خارج عن القواطع. وكان الأستاذ أبو إسحاق يجوز ذلك في إقليمين متباعدين غاية التباعد لئلا تتعطل حقوق الناس وأحكامهم

“Pada pandanganku, perlantikan dua imam bagi satu kawasan yang kecil sempadannya adalah tidak perlu. Pendapat ini merupakan satu ijma’. Adapun sekiranya kedudukan jarak yang membezakan di antara dua imam tersebut jauh serta kemungkinan ini ada, manakala seseorang khalifah itu berada jauh dari rakyat, maka pada ketika itu al-Ustaz Abu Ishaq membolehkan untuk dua kawasan yang sempadannya sangat jauh supaya hak dan hukum-hakam (perundangan) rakyat tidak terabai.” (al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkamil Qur’an, 1/273)

Qadhi Baitul Maqdis pada masanya, Abu ‘Abdillah Ibnu al-Azraq al-Maliki rahimahullah (Wafat: 869H) berkata:

أن شرط وحدة الإمام بحيث لا يكون هناك غيره لا يلزم مع تعذر الإمكان

“Bahawasanya syarat supaya umat Islam (di dunia ini) hanya dipimpin oleh seorang pemimpin sahaja bukanlah suatu kewajiban apabila ianya memang tidak mungkin dilaksanakan.” (al-Azraq, Badai’ as-Silki fii Thaba’ al-Maliki, 1/76-77. Rujuk: Abdus Salam Barjas, Mu’ammalatul Hukkam fii Dhaw al-Kitab wa as-Sunnah, 16-17)

Imam Muhammad B. Isma’il ash-Shan’ani rahimahullah (Wafat: 1182H) turut menjelaskan persoalan ini ketika mensyarahkan hadis berikut:

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال: " من خرج عن الطاعة وفارق الجماعة ومات فميتته ميتة جاهلية

قوله عن الطاعة أي طاعة الخليفة الذي وقع الاجتماع عليه وكأن المراد خليفة أي قطر من الأقطار إذ لم يجمع الناس على خليفة في جميع البلاد الإسلامية من أثناء الدولة العباسية بل استقل أهل كل إقليم بقائم بأمورهم إذ لو حمل الحديث على خليفة اجتمع عليه أهل الإسلام لقلت فائدته

وقوله وفارق الجماعة أي خرج عن الجماعة الذين اتفقوا على طاعة إمام انتظم به شملهم واجتمعت به كلمتهم وحاطهم عن عدوهم

قوله فميتته ميتة جاهلية أي منسوبة إلى أهل الجهل والمراد به من مات على الكفر قبل الإسلام وهو تشبيه لميتة من فارق الجماعة بمن مات على الكفر بجامع أن الكل لم يكن تحت حكم إمام فإن الخارج عن الطاعة كأهل الجاهلية لا إمام له

Daripada Abi Hurairah radhiyallahu ‘anhu, daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Alihi wa Sallam, “Sesiapa yang keluar dari ketaatan dan berpisah (keluar) dari al-jama’ah, sekiranya ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyyah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sabda-nya “keluar dari ketaatan” maksudnya adalah ketaatan kepada khalifah (pemimpin) yang telah disepakati atasnya, atau merujuk pemimpin bagi daerah (atau wilayah) atau negara di mana ia bernaung. Kerana tidak semua umat Islam pada masa pemerintahan Bani ‘Abbasiyyah tunduk dan patuh kepada seorang khalifah ketika itu, malah setiap wilayah ada pemimpin yang bebas menguruskan wilayahnya masing-masing (mereka bebas melantik pemimpin bagi wilayah mereka sendiri - pen.), maka sekiranya makna hadis ini diperuntukkan kepada khalifah yang diakui untuk setiap wilayah Islam (umat Islam), sudah tentu hadis ini sangat sedikit faedahnya.

Sabda-nya “berpisah (keluar) dari al-jama’ah” maksudnya adalah keluar dari jama’ah (masyarakat umat Islam) yang telah sepakat mematuhi pemimpin yang menyatukan mereka dan menjaga mereka dari serangan musuh.

Sabda-nya “sekiranya ia mati, maka matinya adalah kematian jahiliyyah” perngertiannya disandarkan kepada orang-orang jahiliyyah, dan maksud dari jahiliyyah tersebut adalah sesiapa sahaja yang mati di dalam kekafiran sebelum Islam. Itu merupakan perumpamaan bagi yang mati dalam keadaan keluar dari jama’ah umat Islam yang diumpamakan seperti orang kafir yang mati sebelum ia menganut Islam, kerana kedua-duanya tidak tunduk dan tidak patuh kepada pemimpin. Orang yang tidak patuh dan taat kepada pemimpin diibaratkan seperti orang-orang jahiliyyah yang tidak memiliki pemimpin.” (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/258)

Syaikh Muhammad B. ‘Abdul Wahhab rahimahullah (1115H-1206H) menyatakan:

الأئمة مجمعون من كل مذهب على أن من تغلب على بلد أو بلدان له حكم الإمام في جميع الأشياء، ولولا هذا ما استقامت الدنيا؛ لأن الناس من زمن طويل قبل الإمام أحمد إلى يومنا هذا ما اجتمعوا على إمام واحد، ولا يعرفون أحدًا من العلماء ذكر أن شيئًا من الأحكام لا يصح إلا بالإمام الأعظم

“Para imam dari setiap mazhab telah bersepakat (ijma’) bahawa sesiapa yang dapat menguasai sesuatu kawasan atau negeri atau beberapa negeri, maka dia memiliki keistimewaan sebagai pemimpin (pemerintah) untuk semua urusan. Jika tidak, sudah tentu dunia ini akan huru-hara. Ini adalah kerana manusia sejak zaman dahulu sebelum zaman Imam Ahmad lagi sehinggalah ke hari ini tidak pernah tunduk hanya kepada seorang imam. Mereka tidak pernah mendengar seorang pun ulama yang mengatakan bahawa sesuatu hukum itu tidak sah untuk dilaksanakan melainkan melalui pemimpin tertinggi.” (Muhammad ‘Abdul Wahhab, ad-Durur as-Sunniyyah fi al-Ajwibah an-Najdiyyah, 12/2)

Imam Muhammad B. ‘Ali asy-Syaukani rahimahullah (Wafat: 1255H) turut menjelaskan:

وأما بعد انتشار الإسلام واتساع رقعته وتباعد أطرافه فمعلوم أنه قد صار في كل قطر أو أقطار الولاية إلى إمام أو سلطان وف يالقطر الآخر أو الأقطار كذلك ولا ينفذ لبعضهم أمر ولا نهي في قطر الآخر وأقطاره

التي رجعت إلى ولايته فلا بأس بتعدد الأئمة والسلاطين ويجب الطاعة لكل واحد منهم بعد البيعة له على أهل القطر الذي ينفذ فيه أوامره ونواهيه وكذلك صاحب القطر الآخر فإذا قام من ينازعه في القطر الذي قد ثبتت فيه ولايته وبايعه أهله كان الحكم فيه أن يقتل إذا لم يتب ولا تجب على أهل القطر الآخر طاعته ولا الدخول تحت ولايته لتباعد الأقطار فإنه قد لا يبلغ إلى ما تباعد منها خبر إمامها أو سلطانها ولا يدرى من قام منهم أو مات فالتكليف بالطاعة والحال هذه تكليف بما لا يطاق وهذا معلوم لكل من له اطلاع على أحوال العباد والبلاد فإن أهل الصين والهند لا يدرون بمن له الولاية في أرض المغرب فضلا عن أن يتمكنوا من طاعته وهكذا العكس وكذلك أهل ما وراء النهر لا يدرون بمن له الولاية في اليمين وهكذا العكس فاعرف هذا فإنه المناسب للقواعد الشرعية

والمطابق لما تدل عليه الأدلة ودع عنك ما يقال في مخالفته فإن الفرق بين ما كانت عليه الولاية الإسلامية في أول الإسلام وما هي عليه الآن

“Adapun selepas penyebaran Islam, semakin luas wilayahnya dan jarak yang jauh di antara negeri-negerinya, maka telah diketahui bahawa setiap negeri atau beberapa negeri bergantung kepada seorang pemerintah atau sultan. Begitu juga dengan negeri yang lain. Seseorang pemerintah itu tidak memiliki kuasa untuk mengeluarkan perintah mahu pun larangan selain daripada negerinya atau beberapa negeri yang tunduk kepadanya.

Oleh itu, berbilang-bilang pemerintah atau sultan bagi setiap negeri masing-masing diharuskan (dibolehkan). Setiap daripada mereka wajib ditaati selepas bai’ah yang diberikan oleh penduduk negeri tersebut dan ia berhak mengeluarkan perintah dan larangan. Begitulah juga dengan pemerintah bagi negeri yang lain.

Apabila terdapat segolongan pihak yang cuba merampas kuasa daripada seseorang pemerintah yang telah memiliki kedaulatan (kuasa) dan juga diberi bai’ah (kepercayaan) oleh penduduknya, maka pada ketika itu, hukuman ke atas golongan tersebut ialah dibunuh jika ia tidak bertaubat.

Penduduk negeri yang lain tidak wajib mentaatinya, atau pun berlindung di negaranya kerana kedudukan yang jauh antara negeri. Penduduk seperti ini tidak sampai kepada hal-ehwal pemerintah atau pun sultan mereka, dan mereka tidak mengetahui siapa yang masih hidup atau yang sudah mati daripada pemerintah mereka. Kewajiban untuk taat dalam keadaan ini merupakan satu kewajiban yang tidak terdaya untuk ditanggung. Perkara ini sedia dimaklumi oleh mereka yang arif dalam bidang pentadbiran rakyat dan negara.

Maka ketahuilah kamu tentang perkara ini, kerana ia amat sesuai dengan kaedah syara’. Dan bertepatan dengan yang sedia ada. Pendapat yang bercanggah dengannya tidak perlu dihiraukan kerana memang terdapat perbezaan yang sangat ketara di antara negeri-negeri Islam semasa zaman awal Islam dengan yang ada sekarang. (Rujuk: asy-Syaukani, as-Sailul Jarrar al-Mutadafiq ‘Ala Hada’iqil Azhar, 1/941)

Persoalan ini juga dapat dijelaskan melalui riwayat yang dibawakan oleh Imam al-Bukhari berikut:

عون السهمى اتيت ابا امامة فقال لا تسبوا الحجاج فانه عليك امير وليس على بامير

Daripada as-Sahmi, “Aku mendatangi Aba Amamah, lalu beliau berkata:

“Janganlah kamu mencela (mengutuk dan menghina) al-Hajjaj, kerana beliau adalah penguasa bagi kamu dan bukan penguasa bagiku.” (Diriwayatkan oleh al-Bukhari, at-Tarikh al-Kabir, 7/18, no. 83 - Maktabah Syamilah)

Aba Umamah tinggal di Syam, manakala as-Sahmi tinggal di Iraq yang mana pemimpin di Iraq ketika itu adalah al-Hajjaj.

Ini juga adalah sebagaimana yang pernah berlaku ketika penghujung era sahabat. Di mana ‘Abdullah B. Az-Zubair menjadi khalifah dan berkuasa di Hijjaz, Makkah, Madinah, Iraq, dan Yaman. Dalam masa sama, ‘Abdul Malik B. Marwan menjadi khalifah di Syam. Kedua-dua mereka dibai’at oleh rakyat masing-masing dalam wilayah mereka.

Riwayat ini menunjukkan telah wujud corak pemerintahan di bawah pentadbiran penguasa yang berbeza bagi wilayah yang berbeza. Dan ia turut menunjukkan bahawa setiap rakyat wajib mentaati pemerintah mereka masing-masing.

Imam an-Nawawi rahimahullah ada menyebutkan tentang beberapa kaedah seseorang pemimpin boleh menjadi pemerintah, sama ada dengan cara yang syar’i atau sebaliknya. Berikut beliau menjelaskan salah satu cara yang tidak syar’i adalah:

وأما الطريق الثالث فهو القهر والاستيلاء فإذا مات الإمام فتصدى للإمامة من جمع شرائطها من غير استخلاف ولا بيعة وقهر الناس بشوكته وجنوده انعقدت خلافته لينتظم شمل المسلمين فإن لم يكن جامعا للشرائط بأن كان فاسقا أو جاهلا فوجهان أصحهما انعقادها لما ذكرناه وإن كان عاصيا بفعله

“Ada pun cara (jalan) yang ketiga adalah melalui kekerasan dan paksaan. Apabila seseorang pemerintah (atau pemimpin) telah meninggal dunia, kemudian seseorang yang memenuhi syarat menjadi pemimpin muncul tanpa sebarang bai’ah dan perlantikan, dan memaksa orang ramai dengan menggunakan kekuatan dan bala tenteranya, pada ketika itu pemerintahannya sah demi memelihara perpaduan (dan kesatuan) umat Islam. Ada pun jika ia tidak memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan, maka di sana terdapat dua pandangan, tetapi pandangan yang lebih tepat adalah diterimanya pemerintahan tersebut berdasarkan apa yang telah kami jelaskan.” (an-Nawawi, Raudhatuth Thalibin, 10/46)

Beliau juga menyebutkan:

قوله (إن خليلي صلى الله عليه و سلم أوصاني أن أسمع وأطيع وإن كان عبدا مجدع الأطراف) يعني مقطوعها والمراد أخس العبيد أي أسمع وأطيع للأمير وإن كان دنيء النسب حتى لو كان عبدا أسود مقطوع الأطراف فطاعته واجبة وتتصور إمارة العبد إذا ولاه بعض الأئمة أو إذا تغلب على البلاد بشوكته وأتباعه ولا يجوز ابتداء عقد الولاية له مع الاختيار بل شرطها الحرية

“(Daripada Abu Dzarr radhiyallahu ‘anhu), “Sesungguhnya kekasihku Shallallahu ‘alaihi wa Sallam mewasiatkan kepadaku supaya aku mendengar dan taat walaupun pemimpin tersebut seorang hamba yang tidak sempurna fizikalnya (cacat: kudung kaki atau tangannya - pent.).” Iaitu menunjukkan keadaan hamba yang hina. Maksudnya adalah dengar dan taatilah pemimpin walaupun tarafnya (keturunannya) adalah rendah seperti hamba hitam yang cacat fizikalnya, kerana mentaati pemimpin adalah wajib. Seseoang hamba boleh menjadi pemimpin apabila dia diisyaratkan (ditunjuk) oleh pemerintah (yang sebelumnya), atau apabila dia dapat menguasai sesebuah negeri dengan kekuatan dan para pengikutnya. Walaupun demikian, hukum asalnya adalah tidak boleh melantik hamba untuk menjadi pemimpin sedangkan terdapat pilihan yang lain selain hamba, kerana di antara syarat menjadi seorang pemimpin adalah merdeka (bukan hamba).” (Syarah shahih Muslim, 12/225-226)

Juga perkataan Imam ash-Shan’ani yang agak tegas (ketika mensyarahkan beberapa hadis):

دلت هذه الألفاظ على أن من خرج على إمام قد اجتمعت عليه كلمة المسلمين والمراد أهل قطر كما قلناه فإنه قد استحق القتل لإدخاله الضرر على العباد وظاهره سواء كان جائرا أو عادلا وقد جاء في أحاديث تقييد ذلك بما أقاموا الصلاة وفي لفظ ما لم تروا كفرا بواحا

“Hadis ini dengan pelbagai lafaz menunjukkan bahawa mereka yang keluar dari ketaatan dan menentang seseorang pemimpin yang telah disepakati oleh umat Islam di dalam sesebuah wilayah, maka dia berhak dihukum bunuh kerana akan menimbulkan kerosakkan kepada manusia sama ada pemimpin yang ditentang tersebut adalah seorang yang adil atau pun yang zalim selagi mereka masih menegakkan solat sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis atau dalam hadis yang lain disebutkan, “Selagi kamu tidak melihat kekufuran yang nyata”.” (ash-Shan’ani, Subulus Salam Syarah Bulughul Maram, 3/261)

Demikianlah penjelasan dan analisa berpandukan dalil-dalil al-Qur’an, as-Sunnah, serta perkataan para ulama berkaitan perkara kenegaraan dan pentadbirannya. Sekaligus menunjukkan keabsahan kaedah-kaedah pembinaan sesebuah negara tertentu sebagaimana dijelaskan.

Turut dijelaskan adalah kaedah-kaedah kepimpinan seseorang pemimpin. Yang mana di sana menunjukkan bahawa para ulama telah mewajibkan kepada umat Islam supaya taat dan patuh kepada para pemimpin mereka masing-masing di setiap wilayah.

Tulisan Berkaitan Sebagai Rujukan dan Tambahan Maklumat:









Wallahu a’lam…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan