Sabtu, 17 Mei 2014

JANGAN CAKAP MACAM TU....JANGAN KITA MENDAHULUI TAKDIR...KITA TAK TAHU SEBESAR MANA EL-NINO TU....KITA PATUT MOHON KESEJAHTERAAN SERTA KESELAMATAN JUGA KERAHMATAN

Jangan harapkan PBB bebaskan Palestin – Presiden PAS

SALMIYAH HARUN | .
SHAH ALAM: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, negara-negara umat Islam yang dibayangi oleh kuasa besar dunia masih terpengaruh dengan agenda barat untuk membebaskan Palestine.

Tegasnya, tanggungjawab untuk membebaskan Palestine khususnya Baitulmaqdis mestilah atas dasar nama Islam.

Umat Islam katanya, hendaklah mengelakkan diri daripada aspek perkauman, memecah belahkan umat dan mazhab serta kepentingan lain untuk menggagalkan pembebasan Palestine.

"Menjadi satu kesilapan besar apabila negara umat Islam beri kepercayaan kepada kuasa besar yang menganggotai PBB untuk selesaikan masalah Palestine,"katanya dalam ucaptama Persidangan Antarabangsa Pembebasan Masjid Al-Aqsa dan Golongan Tertindas anjuran Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Mapim.

Malangnya tegas Abdul Hadi, hingga kini seluruh negara umat Islam yang mencapai kemerdekaan masih terikat dengan penyelesaian yang dirangka oleh barat di mana bercanggah dengan kewajiban umat Islam mempertahankan bumi Palestine.

"Kita menerima penyelesaian Palestine dengan mewujudkan dua negara iaitu Palestine dan Israel.

"Kita serah bumi Palestine kepada Israel! Apakah perkara ini diizinkan Islam? Palestine adalah bumi Anbia iaitu kiblat untuk Umat Islam,"katanya dihadapan lebih 200 peserta persidangan yang terdiri daripada Ngo Islam negeri dan antarabangsa.

Justeru, beliau menegaskan mereka yang berhak ke atas Palestine adalah Islam kerana di situ adalah tempat yang menjadi pilihan para Nabi termasuklah Nabi Muhammad SAW.

"Hubungan kita dengan Palestine khususnya isu Baitulmaqdis adalah hubungan sangat erat. Berkait dengan kepercayaan dan agama kita yang tidak boleh mengizinkan bumi Palestine diserah begitu mudah.

"Kita jangan lupa sejarah penubuhan negara Isarel yang haram menyebabkan kuasa-kuasa dunia timur barat termasuk Amerika terlibat dalam tertubuhnya Isarel pada 1948," katanya.

Dyana Sofya mahu runtuhkan tembok perkauman

HARAKAHDAILY | .
TELUK INTAN: Calon DAP pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud menegaskan beliau bersedia menghadapi segala cabaran mendatang dan tidak sekali-kali akan berundur walau diserang dengan palbagai cara.
“Saya berbesar hati dan sangat berterima kasih terhadap pencalonan ini.

“Sebagai anak negeri Perak, saya akan memberikan segala tenaga atas amanah yang diberikan pucuk pimpinan untuk meruntuhkan tembok perkauman, menghargai perbezaan dan menjunjung tinggi prinsip perlembagaan.

“Saya juga merakamkan setinggi penghargaan kepada sokongan tidak berbelah tanpa mengira penat dari kedua ibu-bapa saya. Marilah kita bersama membentuk Malaysia yang lebih baik untuk semua,” kata Dyana dalam ucapannya selepas diumumkan sebagai calon.

Majlis pengumuman ini diadakan serentak dengan pembukaan rasmi pusat operasi pilihanraya DAP Teluk Intan oleh pimpinan tertinggi parti.
Dyana, 27 ialah Setiausaha Politik Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan menyertai DAP pada 2012.
Lulusan sarjana muda undang-undang daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), pencalonan Dyana dianggap pemerhati politik sebagai usaha DAP mengikis imej chauvinis kaum yang cuba dipalitkan lawan politik parti kerabat Pakatan Rakyat itu. – HARAKAHDAILY, 17/5/2014

Dyana Sofya calon DAP Teluk Intan

ROKETKINI | .
TELUK INTAN: Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud, diumumkan sebagai calon DAP bagi pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.

Pengumuman tersebut dibuat tadi oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam majlis pelancaran pusat operasi pilihanraya DAP di sini, jam satu tengah hari tadi.

Dyana, 27 tahun dan seorang peguam, menjadi taruhan DAP untuk mempertahankan kerusi parlimen tersebut yang dimenangi dalam PRU ke-13 lalu.

“DAP menghadapi cabaran cukup sukar untuk menggantikan mendiang Seah Leong Peng. Kita mempunyai ramai calon berkelayakan.

“Kita tidak ada pilihan yang mudah. Calon kita ini adalah mencerminkan kepelbagaian DAP serta memberikan peluang kepada golongan wanita, supaya dapat menceburkan diri dengan arena politik negara.

“DAP mengambil keputusan, untuk masa depan Malaysia, kita memilih Dyana Sofya sebagai calon PRK Parlimen Teluk Intan,” kata Guan Eng disambut tepukan gemuruh ratusan hadirin.

Dyana menerima pendidikan dalam bidang undang-undang di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebelum menyertai DAP pada tahun 2010.

Selain memikul peranan sebagai Setiausaha Politik Ahli Parlimen Gelang Patah, beliau juga terlibat secara langsung dalam program anjuran Impian Malaysia, sebuah kempen yang diilhamkan dari ucapan Lim Kit Siang.

PRK ini diadakan setelah Seah Leong Peng, pemimpin DAP yang memenangi kerusi parlimen ini pada PRU ke-13, meninggal dunia akibat barah pada 1 Mei lepas.

Antara pimpinan tertinggi yang hadir dalam majlis pengumuman tadi ialah Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Exco Agama Kerajaan Pulau Pinang Datuk Abdul Malik Kassim.

Selangor jamin air loji rawatan cukup hadapi El-Nino

SELANGOR KINI | .
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memberi jaminan kapasiti air di loji rawatan mencukupi untuk menampung kegunaan pengguna meskipun negara bakal menghadapi El-Nino dan bulan Ramadhan.

Hal ini kerana, sumber air mentah sedia ada mencukupi selain usaha pengepaman air dari kolam dan lombong dijangkakan mampu bertahan lima hingga enam bulan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, bacaan air di Sungai Selangor meningkat pada pagi ini dengan bacaan 41.75 peratus.

Katanya, hasil analisa pensampelan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) pada tahun 2011 hingga 2013 menunjukkan kualiti air kolam alternatif yang dikenalpasti mematuhi piawaian yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

15 daripada 27 parameter yang telah diuji melalui persempelan berkenaan adalah logam berat.

“Tiga daripada 15 persempelan itu adalah Mercury (Hg) yang direkodkan kurang daripada 0.001 mg/l , Cadmium (Cd) kurang daripada 0.0002 mg/l dan Lead/ Plumbum (Pb) sebnyak 0.0002 mg/l.

“Kandungan ini mematuhi piawaian KKM yang mana menetapkan 0.001 Mercury (Hg), 0.003 mg/l Cadmium (Cd) dan Lead/ Plumbum (Pb) sebanyak 0.05 mg/l.

“Keputusan pensempelan tahun 2013 Mercury (Hg) kurang daripada 0.001 mg/l , Cadmium (Cd) kurang daripada 0.0002 mg/l dan Lead/ Plumbum (Pb) sebanyak 0.001 mg/l.

“Manakala keputusan analisa pada tahun 2012 menunjukkan Mercury (Hg) dan Lead/ Plumbum (Pb) tidak dikesan sementara Cadmium (Cd) pada kadar 0.0003 mg/l,” katanya dalam satu sidang media.

Jelasnya lagi, berdasarkan kerja-kerja pengepaman yang dilakukan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dari kolam ke Sungai Selangor dilakukan, kandungan Mercury (Hg) kurang daripada 0.0008 mg/l, Cadmium (Cd) pada kadar 0.002 mg/l manakala Lead/ Plumbum (Pb) dengan kadar 0.010 mg/l.

Beliau menambah, Kerajaan Selangor berharap jumlah takungan air dapat dipertingkatkan sehingga 65 peratus sehingga penghujung Mei dan awal Jun ini berdasarkan keadaan hujan yang turun ketika ini.

Pesuruhjaya PAS turun padang lawat kampung

MOHD SABRI SAID | .

NIBUNG TEBAL: Cara PAS Nibung Tebal membawa sendiri kepimpinan meninjau permasalahan rakyat satu tindakan yang sangat terpuji. (Gambar atas: Bersama pemuda PAS Kampung Sungai Duri)

Apa tidaknya, dengan berbuat demikian kepimpinan yang berada di atas akan dapat merasai keperitan rakyat menghadapi kenaikan harga barangan sekaligus dapat menjalinkan tali siratulrahim dan perpaduan sesama rakyat.

Bagi Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu turun padang merupakan rutin untuknya mengenal hati budi rakyat serta bertanya khabar atau mendapatkan maklumat dari peringkat akar umbi.

Bermula di Kampung Sungai Duri dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Bakap Mohamad di bawa menunggang motosikal merentas beberapa buah kampung untuk menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada mereka yang memerlukan seperti orang tua, ibu tunggal, keluarga daif dan miskin.

Selain bersua dengan ramai masyarakat Mohamad diraikan pula dengan jamuan pagi. Selepas itu beliau diberikan masa untuk berucap bagi meningkatkan semangat pemuda dan jentera parti yang selama ini agak muram kerana kecewa PAS tidak bertanding di Dun Sungai Acheh pada Pilihanraya Umum (PRU).

Sebelah tenga hari beliau diberi peluang merasmikan Program Halaqah Baiti Janati anjuran Dewan Muslimat Nibung Tebal (Gambar Kanan) yang diadakan di Masjid Sungai Duri. Program bertujuan memberikan pendedahan bagaimana membina keluarga bahagia menjemput dua ahli panel iaitu, Adun Merbau Pulas, Kedah iaitu Ustazah Dato' Ashah Ghazali dan Ustaz Jafri Abu Bakar.  Di situ beliau dijamu nasi berlaukkan gulai daging, air asam dan ikan pekasam iaitu makanan kegemaran orang kampung.

Pada sebelah petang beliau merasmikan pula Kejohanan Futsal 5 sebelah Piala Timbalan Presiden di Padang Futsal di Sungai Acheh sebelum berceramah di Dewan Serbaguna Jawi bersama Yang DiPertua PAS Nibung Tebal, Abdul Rahman Ramjan dan KetuamDewan pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat.

Larangan merokok dalam kenderaan awam bermula

BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Operasi bersepadu penguatkuasaan larangan merokok dalam kenderaan awam di seluruh negara bermula semalam dalam usaha memastikan pematuhan larangan itu terutamanya di kalangan para pemandu.
  
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman dalam satu kenyataan berkata operasi tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.
  
Katanya, objektif utama pelaksanaan operasi itu adalah memastikan pematuhan larangan merokok di dalam kenderaan awam khususnya oleh pemandu kenderaan awam dan penumpang.
  
"Operasi ini juga bertujuan memastikan semua pemilik kenderaan awam mempamerkan tanda larangan merokok dengan jelas di dalam kenderaan awam masing-masing seperti di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.
  
Semua kenderaan awam merupakan kawasan larangan merokok bertujuan melindungi bukan perokok daripada bahaya asap rokok pasif," katanya.
  
Dr Lokman berkata bagi setiap kesalahan merokok di dalam kenderaan awam boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara maksimum dua tahun.
  
Manakala bagi kegagalan mempamerkan tanda larangan merokok di dalam kenderaan awam, pemilik kenderaan boleh dikompaun tidak melebihi RM1,500, didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara maksimum enam bulan, katanya.
  
Katanya, Kementerian Kesihatan juga akan menguatkuasakan peruntukan baharu di dalam PPKHT (Pindaan) 2013 mengenai larangan menjual, membeli atau memiliki rokok tidak sah.
  
"Peraturan 15 (4A) telah dikuatkuasa pada 1 Januari tahun ini di mana sesiapa yang memiliki rokok tidak sah iaitu tidak dicetak dengan imej amaran kesihatan, mereka boleh dikompaun tidak melebihi RM5,000, denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan