Selasa, 15 April 2014

POTONG JANGAN TAK POTONG

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menyampaikan khutbah Jumaat sebaiknya tidak hanya menegur rakyat sahaja tetapi wajar juga menegur pemerintah.

Jakim dalam dua siri khutbah Jumaat di masjid seluruh Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengutarakan isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dari aspek tanggungjawab bersama untuk memakmurkan ekonomi negara.

Setiasauaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan Jakim yang sangat tersisih dengan realiti sebuah kehidupan rakyat bawahan yang akan terbeban dengan GST nanti.

"Saya tertanya-tanya sama ada Jakim ambil maklum kurang dua juta tenaga kerja yang bayar cukai kerana pendapatan mereka tidak sampai pada angka RM4,000 sebulan. Maka kecil sangat rakyat yang bayar.

"Ini bermaksud jurang pendapatan miskin sangat luas sedangkan pelaksanaan GST memberi kesan keseluruhan termasuk rakyat berpendapatan rendah," katanya di sidang media di ibu pejabat PKR di Tropicana hari ini.

Beliau turut membidas Jakim, sama ada mereka tahu bahawa hutang yang ditanggung oleh pemerintah hari ini sama banyak dengan hutang yang ditanggung oleh pemerintah-pemerintah sebelum ini.

"Dikumpul bersama hutang-hutang perdana menteri yang lepas-lepas sama banyak dengan hutang yang dibuat oleh Najib Tun Razak hari ini. Mana mungkin Jakim mengabaikannya," katanya.

Tegas Saifuddin, tujuan khutbah disampaikan setiap hari Jumaat adalah untuk menegur atau menasihati siapa sahaja termasuk pemimpin.

"Ini tidak, Jakim hanya ingatkan rakyat jangan berhutang sedangkan hutang oleh Najib?

"Saya fikir sudah sampai masanya Jakim melihat pelaksanaan GST bebankan rakyat," katanya.

Justeru, katanya sepatutnya Jakim menggariskan kandungan khutbah tentang pembaziran dan ketirisan yang sudah tentunya ditegur oleh Ketua Audit Negara saban tahun namun, pembaziran tetap juga berlaku.
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor hari ini membentang perbekalan tambahan sebanyak RM494 juta bagi menampung pembangunan negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perkara tersebut ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan kali pertama 2014 di persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pagi ini.

Selangor sebelum itu telah meluluskan Bajet 2014 sebanyak RM1.85 bilion dan melalui perbentangan itu perbelanjaan kerajaan negeri meningkat RM2.34 bilion.

"Bagi perbelanjaan Pejabat Dewan Negeri Selangor (DNS) sebanyak RM5.9 juta diperuntukan.

"Manakala untuk Perbendaraan Negeri Selangor pula RM251 juta disediakan dan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM237 juta diperuntukkan," ucap beliau.

Khalid berkata RM5.9 juta peruntukan yang diberikan kepada Pejabat DNS bagi menampung kenaikan gaji, elaun dan bonus kepada penjawat-penjawat utama kerajaan negeri yang telah dipersetujui pada sidang yang lalu.

"Walau bagaimana pun dengan peruntukan yang disediakan ini, melalui kelulusan sebelum ini Kerajaan Selangor memutuskan untuk memotong gaji Menteri Besar, Exco, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), dan Timbalan Speaker Dun selepas menerima kenaikan pada awal 2014.

"Potongan tersebut akan didepositkan ke dalam Akaun Amanah Tabung Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)," jelas beliau.

Bagi gaji Menteri Besar yang menerima kenaikan sehingga RM29,250 dipotong RM15,074.85 menjadikan 14,175.15, Exco pula dipotong RM5,250 daripada RM20,250 menjadikan RM15,000.

Manakala, Speaker Dun pula yang menerima kenaikan RM22,500 dipotong RM7,500 menjadi RM15,000 dan timbalannya pula menerima RM12,000 setekah dipotong RM3,750 daripada RM15,750 sementara kenaikan gaji Adun dikekalkan RM11,250.
SHAH ALAM: Penstrukturan industri air perlu diselesaikan segera agar kerajaan negeri tidak menampung perbelanjaan tinggi bagi program pemberian air percuma.

Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, berkata permohonan pembekalan tambahan program air percuma itu mempunyai kaitan rapat dengan usaha pengambilan air yang masih belum dimuktamadkan.

Dalam pembentangan rang undang-undang pembekalan tambahan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu, sebanyak RM82 juta diperlukan bagi membiayai program air percuma sehingga Disember 2014.

“Kita percaya jika ia dapat diselesaikan maka kos dapat dikurangkan. Saya berharap pengambilalihan industri air ini dapat dicepatkan,” katanya dalam perbahasan pembekalan tambahan.

Selain itu, Azmin turut mendesak Kerajaan Negeri dapat memberi jaminan ‘heads of agreement’ yang akan ditandatangani oleh kerajaan negeri dalam pengambilalihan itu tidak terikat dengan Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

Beliau mencadangkan satu mekanisme dapat dibentuk melalui jawatankuasa pilihan oleh Adun dapat memantau keberkesanan perjanjian itu.

“Kerajaan negeri bawah Pakatan Rakyat mengamalkan prinsip ketelusan maka pengguna dan rakyat dapat meneliti kandungan itu supaya ia dapat mengelakkan sebarang spekulasi di peringkat akar umbi.

“Ia juga penting supaya Adun dapat membantu kerajaan negeri bagi memastikan program air percuma diteruskan dan kadar air tidak dinaikkan sewenangnya,” katanya.
JOHOR BAHARU: Seorang murid Tadika Kemas maut akibat van yang dinaikinya bersama lima rakannya yang lain terjunam ke dalam kolam kumbahan di Taman Universiti, Skudai hari ini.
  
Murid yang meninggal dalam kejadian 12.15 tengah hari itu dikenali sebagai Muhammad Azri Aqif Azhar, 4.

Ketua Polis Johor Baharu Utara, Mohd Khamsani Abdul Rahman berkata  mangsa meninggal dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Taman Universiti.

Beliau berkata seorang daripada lima rakannya itu didapati kritikal manakala empat lagi cedera ringan.

Mereka ialah Nur Aima Razak, 5, Muhammad Hadif Syauqi Samsol Akamal, 5, Danial Asyraf Abdullah, 5, Danial Aiman Hakimi Md Gefri, 6, dan Sakinah Roslan, 5, yang kesemua mereka turut dibawa ke klinik berkenaan.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah sementara mayat Muhammad Azri dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulaijaya untuk dibedah siasat.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila van itu yang sedang menunggu untuk menaikkan murid-murid itu tiba-tiba menggelongsor dan merempuh pintu pusat kumbahan sebelum menjunam ke dalam kolam kumbahan," kata Mohd Khamsani.

Beliau berkata ketika itu pemandu van terbabit seorang wanita berusia 40-an sedang berada di luar kenderaan terbabit.

Dia kini ditahan untuk siasatan lanjut. - Bernama
KUANTAN: Tiga pencuci longkang warganegara Myanmar disamun dua lelaki bersenjatakan sepucuk pistol dan sebilah pisau berhampiran sebuah padang dekat Taman Zurina, di sini awal hari ini.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Datuk Zakaria Ahmad berkata, kejadian jam 9.40 pagi itu berlaku semasa ketiga-tiga mangsa sedang membersihkan longkang berhampiran taman berkenaan.
  
Katanya dua suspek yang memakai topi keledar secara tiba-tiba menghampiri mereka, seorang daripadanya mengacukan sepucuk pistol manakala seorang lagi mengacukan pisau ke arah mangsa.
  
"Berlaku pergelutan di antara mangsa dan dua suspek terbabit dan suspek sempat merampas wang dari ketiga-tiga mangsa sebelum melarikan diri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
  
Beliau berkata kesemua mangsa yang tidak cedera dan kerugian RM1,350 itu membuat laporan polis sejurus selepas kejadian.
  
"Berdasarkan siasatan awal, kita percaya pistol yang digunakan suspek itu adalah pistol tiruan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan