Rabu, 23 April 2014

KITA SIBUK BEREBUT DUNIA....SEDANGKAN DUNIA AKAN HANCUR....YANG BEREBUT AKAN MATI....KITA TAK NAK BEREBUT HAL AKHIRAT...TAK NAK BEREBUT MEMILIKI SYURGA...NI BEZA MANUSIA PERCAYA YANG GHAIB DENGAN PERCAYA YANG ZAHIR SAJA

KUALA LUMPUR: PAS mengarahkan ahlinya turun menyertai himpunan di Dataran Merdeka pada 1 Mei ini bagi membantah perlaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (GST).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, arahan telah dikeluarkan kepada setiap negeri bagi mengarahkan ahli mereka untuk turun pada tarikh itu.

"Kerahan telah dilakukan dan setiap ahli PAS diarahkan untuk turut serta pada himpunan tersebut.

"Dari kawasan saya (Pokok Sena) sendiri turut menyediakan dua bas kepada penyokong untuk datang ke Kuala Lumpur," jelas Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Pesuruhjaya PAS Kedah itu juga turut memberitahu PAS Kawasan Sungai Petani telah menyediakan lima buah bas untuk ahli-ahli mereka.

"Perkara ini berjalan, kerahan telah dilakukan tidak kira dalam PAS mahupun PKR dan DAP.

"Walaupun nampak tidak rancak tetapi sambutan himpunan itu akan menepati apa yang kita jangkakan," sambung beliau.

Beliau turut memberi jaminan, himpunan tersebut akan berlangsung secara aman jika tiada provokasi dari mana-mana pihak.
KUALA LUMPUR: Pertukaran beberapa Menteri Besar termasuk Terengganu terus diperkatakan apabila spekulasi mengatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telemong Rozi Mamat bakal menggantikan Ahmad Said.

Bagaimanapun, Rozi Mamat yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia negeri tampil menafikan spekulasi tersebut yang tersebar di laman sosial sejak kelmarin dan menyifatkan ianya sebagai khabar angin.

"Ini sebenarnya spekulasi politik yang tidak pernah berhenti dari dahulu hingga sekarang yang berlaku di Terengganu," katanya dipetik Berita Harian.

Beliau berharap mereka yang menaburkan cerita palsu ini supaya menghentikannya kerana ia tidak sepatutnya berlaku dan boleh mengeruhkan keadaan.

"Sebagai orang Islam, jika kita tidak mampu menjadi garam di lautan jangan jadi langau yang boleh memburukkan keadaan," katanya.

Terdahulu, di beberapa laman sosial mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bakal membuat pertukaran Menteri Besar Terengganu tidak lama lagi.

Dalam kenyataan itu Ahmad dijanjikan dengan satu jawatan baru tetapi belum dipastikan.

Artikel tersebut mengaitkan pertukaran tersebut berpunca daripada 'geng Idris Jusoh' yang menyebut Ahmad membentuk kroni dan menyingkir lawannya secara halus di semua peringkat malah Adun Kijal itu dikatakan tidak hormati perjanjian perdamaian antara dua puak yang diusahakan Umno Pusat sebelum ini.

Menurut sumber itu lagi, Ahmad dikatakan secara terang-terangan mencabar arahan pimpinan atasan Umno, malah kadang kala dikatakan seolah memperli pula dalam tindakannya.

Bagaimanapun Setiausaha Akhbar Ahmad berkata, beliau dimaklumkan bahawa Ahmad enggan mengulas spekulasi itu.

Dalam beberapa blog pro Umno, beberapa negeri disebut sebagai 'paling beresiko' untuk ditukar dengan menteri besar yang baru antaranya Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang berada dalam senarai atas pertukaran menteri besar sejak sebelum pilihan raya lalu.

Selain itu, Menteri Besar Terengganu dan Ketua Menteri Sabah juga mungkin berhadapan risiko digantikan berikutan masalah dalaman negeri yang tidak berkesudahan.

"Namun mungkin juga kejutan akan berlaku di utara Semenanjung Malaysia, Perlis," tulis blog mykmu.net yang buat telahan.

Isu pertukaran menteri besar diulas dalam satu tulisan Bisik-bisik Awang Selamat di akhbar Umno itu semalam.
PERANG Dingin antara blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat dengan Soviet Union telah lama berakhir. Namun kepentingan dan sentimen permusuhan antara kedua-dua Kuasa Besar Dunia itu masih segar dalam minda pimpinan dan rakyat di negara terbabit.

Kini di Ukraine, hal ini terbukti apabila negara bekas Soviet itu dilanda satu krisis politik yang boleh mengakibatkan perang besar di antara kedua-dua Kuasa Besar dunia.

Persoalannya, kenapakah Rusia telah bertindak dengan melakukan campur tangan ketenteraan ke atas semenanjung Crimea di Ukraine? Tidakkah tindakan keras ini akan mengundang satu lagi krisis dunia yang amat merbahaya? Dan apakah akan berlakunya perang besar di wilayah yang sedang bergolak ini?

Blok Barat melihat apa yang berlaku di Ukraine sebagai pencerobohan sebuah negara ke atas kemerdekaan dan kedaulatan sebuah negara lain. Malah Setiausaha Luar British, William Hague dengan penuh kebimbangan menyatakan bahawa; “kekacauan dan krisis politik yang melanda Ukraine sekarang adalah krisis yang terbesar di Eropah pada abad ke-21 ini”.

Kenapa Crimea?
Berpandukan kepada fakta sejarah, Crimea adalah wilayah yang dihadiahkan oleh Kesatuan Soviet kepada Ukraine pada dekad 1950-an selepas Ukraine bersetuju menjadi sebahagian daripada Kesatuan itu. Bagaimanapun apabila empayar Soviet hancur pada tahun 1991, Ukraine telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri. Walaupun merdeka, Ukraine masih terlalu banyak bergantung hidup kepada Rusia. Malahan Rusia terus mengekalkan pangkalan tentera laut yang besar di Crimea sehingga sekarang.

 Kenapa Krisis berlaku?
Ketegangan mula tercetus apabila bekas Presiden Ukraine yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych digulingkan oleh anggota-anggota Parlimen yang memilih Oleksandr Turchynovse sebagai presiden sementara.

Pimpinan baru ini dilihat rapat dengan Amerika Syarikat dan pro-EU. Disebabkan penggulingan pemimpin yang pro-Rusia itu, timbul desakan daripada penduduk dalam kalangan etnik Rusia supaya wilayah autonomi tersebut menarik diri atau keluar dari Ukraine.

Kenapakah Rusia mengambil risiko untuk melakukan campur tangan ketenteraan ke atas semenanjung Crimea di Ukraine?
Presiden Vladimir Putin dan Rusia telah dikecam hebat oleh UN dan EU dengan amaran pengasingan politik dan ekonomi yang mungkin dikenakan terhadap mereka. Namun mereka tetap mengambil ‘langkah ketenteraan’ ini untuk ‘menakluk’ kembali sebahagian dari wilayah Ukraine.

Presiden Putin juga sedar bahawa mungkin dengan tindakan ketenteraan ini mereka akan kehilangan kerusi dalam G8 iaitu lapan negara paling berkuasa di dunia jika meneruskan tindak-tanduk agresif di Ukraine.

Putin menegaskan bahawa Rusia terpaksa bertindak di Crimea sebagai langkah untuk melindungi keselamatan etnik Rusia yang berjumlah lebih 60 peratus di semenanjung itu. Mereka telah lama tinggal di sana dan menganggap wilayah ini adalah sebahagian dari wilayah mereka sendiri.

Namun apa yang pasti, selain dari sebab-sebab etno-budaya menjadi alasan Moscow untuk mengekalkan pengaruhnya di Crimea, 2 alasan terpenting adalah;

1.    Kepentingan ekonomi

Ekonomi Rusia kini sangat bergantung pada penjualan gas ke Eropah. Adalah dianggarken kini lebih dari 70 peratus dari gas yang di eksport ke Eropah terpaksa melalui saluran paip gas melalui sebahagian dari negara Ukraine. Pelabuhan Sevastopol ini juga menjadi pusat penyaluran gas dan minyak ke sebahagian besar negara Ukraine.

2.    Lokasi strategik Pelabuhan Sevastopol

Pelabuhan ketenteraan ini telah menjadi pangkalan tentera laut Rusia sejak  dari tahun 1783 lagi. Catatan menunjukkan, armada ketenteraan Rusia yang berpengkalan di Sevastopol di Laut Hitam adalah amat penting bagi Rusia untuk menghadapi sebarang kemungkinan serangan dari pihak musuh.

Apah kesudahannya krisis di Ukraine?
Akibat dari krisis ini, hubungan  di antara Rusia dan Amerika Syarikat kini menjadi semakin tegang. Amerika Syarikat berkemungkinan akan ‘membantu’ Ukraine untuk memulihkan keadaan di sana.

Ramai pemerhati melihat oleh kerana kebanyakan negara yang bersempadan dengan Ukraine adalah sekutu Amerika Syarikat (termasuk Romania, Hungary, Poland, dan Slovenia), Amerika Syarikat berkemungkinan besar akan membantu pentadbiran di Ukraine bukan sahaja dalam bentuk bantuan ekonomi tetapi juga secara ketenteraan.

Namun ramai pemerhati melihat bahawa Presiden Putin tidak akan berganjak dengan sikap keras beliau.

Rusia dijangka akan terus ‘menakluk’ kembali bukan sahaja wilayah Crimea yang kini di bawah pentadbiran Rusia; tetapi juga sebahagian besar wilayah di Timur Ukraine yang dianggap sebagai sebahagian dari Rusia.

Persoalannya, apakah kesudahan ketegangan yang sedang berlaku di Ukraine ini? Apakah akan berlaku ‘perang proksi terbesar’ di antara kedua-dua kuasa besar ini selepas apa yang sedang berlaku di Syria?
_______________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat
SHAH ALAM: PAS akan menganjurkan Sambutan Bulan Kemerdekaan di Temerloh pada 16 Ogos nanti dengan tujuan untuk merakam semula sejarah perjuangan kemerdekaan negara.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media memberitahu selain untuk catatan sejarah yang lebih tepat, ia juga bertujuan untuk menghayati perjuangan tokoh pejuang Islam dalam menuntut kemerdekaan negara.

"Ia juga untuk menyedarkan rakyat tentang peranan PAS dalam perjuangan kemerdekaan negara.

"Malah kita juga akan membincangkan halatuju dan masa hadapan negara dalam kerangka kemerdekaan sebenar," katanya di Pejabat Agung PAS pagi ini.

Mengulas tentang pemilihan tempat pula, Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata Temerloh sangat berkait rapat dengan tokoh-tokoh Melayu yang bangkit memperjuangkan kemerdekaan.

"Mengapa Temerloh dipilih, sebenar ramai tokoh-tokoh pejuang Melayu dan semangat pendekar ada di Negeri Pahang, kita akan ke semua tempat tetapi permulaan dari sini," katanya.
GEORGE TOWN: Anak lelaki sulung mendiang Karpal Singh, Jagdeep Singh Deo hari ini menyatakan setinggi-tinggi terima kasih atas kehadiran himpunan besar anggota masyarakat di upacara persemadian bapanya. 
  
Jagdeep, yang juga anggota dewan negeri Datuk Keramat berkata beliau dan keluarganya terpegun dengan respons orang ramai menyertai perarakan untuk persemadian Ahad lepas.
  
Beliau berkata sekalipun himpunan begitu besar yang di luar jangkaan, jawatankuasa persemadian yang diketuai pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow, berjaya mempastikan upacara itu berlangsung dengan lancar.
  
"Keluarga saya dan saya mengucapkan terima kasih kepada setiap orang, para sukarelawan dan semua yang telah membantu menentukan upacara kunjungan dan persemadian berjalan licin," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
  
Turut hadir balu Karpal, Gurmit Kaur; anak lelaki bongsunya Mankarpal; abangnya Baksis Singh; Chow, dan anggota Parlimen Jelutong Jeff Ooi.
  
Karpal terbunuh dalam kemalangan kereta melibatkan MPV yang dinaikinya dengan sebuah lori di Lebuhraya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung di Perak pada 17 April.
  
Mendiang diberi penghormatan negeri di upacara persemadian kerana sumbangannya kepada komuniti dan masyarakat peguam.
  
Jagdeep berkata keluarganya telah mengumpul abu mayat Karpal dari krematorium Batu Gantung pagi semalam dan ditaburkan di kawasan laut antara Straits Quay dan Greenhall.
  
"Keadaan laut begitu tenang ketika kami menjalankan upacara," kata beliau.

Jagdeep berkata upacara keagamaan terakhir dipanggil 'Akhand Path' akan diadakan di Gurdwara Pulau Pinang pada Khamis ini bermula jam 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari Sabtu. - Bernama


KUALA LUMPUR: Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit berjalan serentak di seluruh negara pagi tadi bermula jam 10.00 pagi.
Program berdurasi 10 minit ini adalah langkah besar-besaran perpustakaan awam negeri-negeri dalam memacu masyarakat ke arah minat membaca sekaligus menjadikan perpustakaan relevan dalam kehidupan masyarakat seharian.
Kempen membaca ini mengambil inspirasi dari konsep Earth Hour dan pertama kali dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) beberapa tahun lalu.
Ia diharap dapat menjenama inisiatif membaca dengan tujuan menjadikan perpustakaan sebuah organisasi yang relevan dalam pendidikan selepas waktu persekolahan dan melahirkan masyarakat generasi muda yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama serta berkemahiran yang tinggi.
Di SHAH ALAM, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pemodalan Insan negeri, Dr Halimah Ali menyertai acara kempen yang berlangsung di PPAS.
Hadir sama Ketua Pengarah PPAS, Mastura Mohamad; Ahli Dewan Negeri (Adun) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail, pegawai kerajaan serta para pelajar sekolah.
Di RANTAU PANJANG, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Siti Zailah Mohd Yusof turut menyertai kempen dengan berhenti sebentar dalam perjalanan balik ke rumah untuk membaca bersama rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Menurut Siti Zailah, membaca adalah amalan mulia dan penting kerana setiap kecemerlangan diri bermula dengan ilmu dan ilmu mesti dimulai dengan membaca.
Membaca juga, tambahnya menepati wahyu Allah SWT yang pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bermaksud: "Bacalah dengan Nama Tuhanmu...".
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berharap program kempen membaca anjuran PPAS dapat diteruskan setiap tahun untuk melahirkan generasi berilmu dan bermaklumat.
Di GOMBAK,  seramai 70 pelajar Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Ibnu Sina bersama Adun Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Ridzwan menyertai program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di pekarangan premis PASTI Ibnu Sina, Taman Berjaya.
Hasbullah yang juga Pengerusi PASTI Selangor berkata, program itu dilaksanakan tanda sokongan padu pusat khidmat Dun Gombak Setia dan PASTI kepada usaha murni kerajaan untuk meningkatkan minat dan tabiat membaca di kalangan masyarakat.
"Ia juga bertujuan melahirkan masyarakat generasi yang mencintai ilmu, berakhlak mulia, mentaati agama dan berkemahiran yang tinggi.
"Sambutan yang diterima oleh kanak-kanak juga amat menggalakkan dan mereka teruja untuk bersama-sama dalam memeriahkan acara yang diadakan itu," kata Hasbullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan