Sabtu, 12 April 2014

JANGAN BUAT CATUAN ADA NIAT TERSEMBUNYI....NI AMANAH ALLAH....JANGAN MAIN2...AKHIRAT KENA DAKWA BARU TAHU....AIR UNTUK BERSUCI DAN AMBIL WUDHU

KUALA LUMPUR: Malaysia dianggarkan mempunyai kira-kira 5,000 bilion meter padu simpanan air bawah tanah yang belum diusik, kata Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air, Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff.
  
Beliau berkata jumlah itu berdasarkan kajian yang pernah dilakukan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) pada 1982.
  
"Namun sehingga kini, hanya tiga peratus sahaja daripada sumber itu yang digunakan," katanya kepada Bernama.
  
Beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga pernah membuat kajian pada 2011 yang mendapati tujuh peratus atau 64 bilion meter padu air daripada hujan tahunan yang turun akan tersimpan di bawah tanah.
  
"Sehubungan itu saya rasa kita perlu mengguna pakai air bawah tanah kita yang mempunyai potensi sangat besar untuk menangani krisis air di beberapa negeri seperti yang sedang dialami sekarang," katanya.

Abdull Rahim berkata air di bawah tanah adalah selamat untuk digunakan malah lebih berkualiti daripada air yang terdapat di atas permukaan.
  
"Ia selamat kerana sumbernya adalah daripada air hujan yang telah diserap ke dalam bumi dan diyakini tidak terdedah kepada faktor pencemaran kerana kedalaman punca air bawah tanah yang berada antara 50 meter hingga 100 meter di bawah tanah," jelasnya.
  
Beliau berkata terdapat dua kaedah untuk mendapatkan sumber air bawah tanah iaitu menerusi penggalian telaga tiub lebih 100 meter ke dalam tanah dan telaga jejari 'riverbank filtration system' iaitu mengekstrak air di bawah perut sungai.
  
Kedua-dua cara ini turut lebih kos efektif berbanding kaedah penyahgaraman atau proses penukaran air laut kepada air tawar, katanya.
  
Beliau berkata bekalan air bawah tanah turut bersifat konsisten kerana tujuh peratus daripada 971 bilion meter padu hujan tahunan akan dikitar semula ke dalam tanah.

Abdull Rahim menyarankan sekiranya sumber air bawah tanah tidak mahu dijadikan sebagai sumber utama air negara, ia boleh dijadikan sebagai rizab air bagi menangani krisis bekalan air pada musim kemarau.
  
Katanya setakat ini hanya negeri Kelantan yang didapati menggunakan air bawah tanah dengan melebihi kapasiti 50 peratus.
  
Ketua Jabatan Teknikal dan Perancangan Pembangunan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Wan Mohd Zamri Wan Ismail berkata pihaknya menggunakan air bawah tanah menerusi kaedah telaga jejari yang setiap telaga mampu menyumbang antara lima hingga 30 juta liter air sehari.
  
"Hingga kini hampir 75 peratus penduduk Kelantan yang menerima bekalan air bersih mendapatnya daripada air bawah tanah," katanya. – BERNAMA

Tuan Guru Nik Aziz menyampaikan kuliah Subuh di Masjid Pulau Melaka. Di sebelahnya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkunjung ke Pulau Melaka untuk bertemu Mursyidul Am PAS itu baru-baru ini.
TIDAK semena-mena ucapan ringkas Tuan Guru Nik Abdul Aziz di satu Subuh hening sebaik selesai solat berjemaah di masjid bersebelahan rumahnya di Pulau Melaka, Pengkalan Chepa, Kelantan menarik perhatian para pemimpin Umno.

Mursyidul Am PAS itu tidak memberi komen tentang politik, sebaliknya dengan nada sayu semasa menyampaikan kuliah Subuh, memohon maaf kepada rakyat Kelantan jika melakukan sebarang kesilapan tatkala mengetuai kerajaan negeri.

“Maafkan segala kesilapan saya selama saya pimpin Kelantan... Ni sakit saya mungkin Allah nak kifarat dosa saya atas apa kesalahan saya buat selama saya pimpin Kelantan,” ujar bekas Menteri Besar Kelantan itu.

Dilaporkan tatkala berucap, air mata bergenang membasahi pipi Tuan Guru Nik Aziz menzahirkan keikhlasan hati beliau ketika membuat permintaan itu.

Memohon maaf atas kelemahan dan kesilapan diri adalah sifat terpuji muslim, malah ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w.

Diberitakan ketika Rasulullah s.a.w. gering setelah peristiwa pembebasan Kota Makkah (fathul Makkah), baginda yang sudah beberapa hari tidak mengimamkan solat meminta para sahabat membawanya ke masjid.

Subuh itu Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya aku akan pergi bertemu Tuhan dan sebelum aku pergi, aku ingin selesaikan segala urusan dengan manusia. Maka aku ingin bertanya kepada kamu semua, siapakah di kalangan kamu yang aku ada hutang dengannya... aku ingin selesaikan hutang tersebut. Kerana aku tidak mahu bertemu Tuhan dalam keadaan ada hutang dengan manusia."
Seorang sahabat bernama Akashah lantas bangun menyatakan beliau pernah terkena cemeti Rasulullah s.a.w. sewaktu perang Uhud yang mencederakan dadanya.

Sahabat itu bertanya adakah itu juga dikira hutang dan beliau mahu membalas perbuatan tidak sengaja yang dilakukan Rasulullah s.a.w. Walaupun dibantah oleh para sahabat yang hadir Rasulullah s.a.w. mengizinkan qisas dilakukan terhadap diri baginda yang tanpa berlengah meminta Bilal memberikan cemeti kepada Akashah.

Bagaimanapun setelah Rasulullah s.a.w. membuka bajunya kerana Akashah mendakwa beliau tidak berbaju ketika cemeti Rasulullah singgah ditubuhnya, sahabat Rasullah s.a.w. itu terus memeluk dan mencium tubuh baginda diikuti para sahabat yang lain.

Begitulah kemuliaan akhlak Rasulullah s.a.w. yang maksum tetapi masih mahu memohon maaf kepada para sahabat di penghujung hayat baginda.

Khalifah Abdul Malik Marwan pernah mengungkapkan mutiara kata: “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat.”

Justeru apakah peliknya bagi Tuan Guru Nik Aziz untuk memohon maaf kepada rakyat Kelantan atas kelemahan dan kesilapannya sewaktu menerajui negeri sehingga dijadikan modal politik pemimpin Umno?

Tidakkah para pemimpin Umno menyedari bahawa permohonan maaf Tuan Guru Nik Aziz itu melambangkan keperibadian sebenar beliau sebagai seorang ulama dan pentadbir.

Mungkin sikap mulia meminta maaf ini dianggap sebagai 'satu kelemahan' kepada para pemimpin Umno sehingga dijadikan modal politik.

Tidak hairanlah sepanjang hampir enam dekad mentadbir negara, jarang kedengaran para pemimpin Umno memohon maaf kepada rakyat walaupun banyak kelemahan dan kesilapan yang dilakukan mereka sepanjang mentadbir negara.

Oleh kerana sibuk menghitung dan menunjuk kelemahan lawan politik, pemimpin Umno langsung tidak berkesempatan melihat 'sampah sejarah' yang ditinggalkan mereka.

Sebagai contoh ketika Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkunjung ke Kelantan, beliau dilapor menggesa Tuan Guru Nik Aziz memohon maaf kepada rakyat Kelantan kerana kononnya gagal mentadbir negeri itu.

Rosnah berkata, Kerajaan PAS Kelantan yang mentadbir negeri ini sejak tahun 1990 lalu gagal menyediakan kemudahan asas terbaik kepada rakyat, terutama bekalan air bersih.

Begitulah hebatnya pemimpin Umno mengkritik pentadbiran Tuan Guru Nik Aziz. Bagaikan ayam jantan, kokok berderai-derai tapi ekor bergelumang najis.

Tidakkah Rosnah menyedari bahawa sepanjang dua dekad pentadbiran Kelantan diterajui PAS, negeri itu selamanya menjadi mangsa diskriminasi politik pusat? Sebagai contoh dari tahun 1990 hingga 2008 sejumlah lebih 100 projek kerajaan Pusat membabitkan infrastruktur dan kemudahan awam tidak dilaksanakan di negeri itu walaupun urusan berkaitan tanah telah disempurnakan kerajaan negeri.

Dalam isu bekalan air bersih pula, Kelantan dinafikan geran Capex (perbelanjaan modal) yang diterima semua kerajaan negeri ditadbir BN. Malah pinjaman untuk melaksanakan Projek Bekalan Air Kelantan Utara (Baku) dibekukan hampir 10 tahun selepas diluluskan mengakibatkan projek infrastruktur itu tertangguh.

Semua ini berlaku di saat tiada satupun negeri di Malaysia mampu menaik taraf infrastruktur bekalan air tanpa bantuan Pusat.

Bukankah ini satu contoh kecil 'dosa' kerajaan BN pusat kepada Kelantan? Pernahkah kita mendengar pemimpin Umno pusat dan negeri tampil ke hadapan memohon maaf atas 'jenayah politik' yang mereka lakukan terhadap Kelantan.

Bagaimana pula dengan masalah geran perkapita yang seringkali lewat diserahkan, projek infrastruktur penting seperti pembesaran lapangan terbang yang dinafikan, lebuh raya Kuala Krai-Kota Bahru yang baru kini dilaksanakan, royalti minyak yang dinafikan dan pelbagai lagi bentuk diskriminasi yang tidak larat untuk disenaraikan.

Isu terkini yang mendedahkan lagi wajah hodoh dan angkuh pemimpin Umno adalah kemunculan semula tragedi Memali.

Lihat sahajalah keangkuhan bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang secara konsisten menganggap Almarhum Ustaz Ibrahim Mahmud dan 13 orang kampung yang terkorban dalam tragedi Memali sebagai 'pengganas'; sedangkan sehari selepas tarikh tragedi, beliau secara tidak bertanggung jawab berlepas ke China dan berkampung selama lapan hari di negara tersebut walaupun dinasihatkan Timbalannya ketika itu, Tun Musa Hitam untuk membatalkan lawatan.

Sehingga kini bekas Presiden Umno itu tidak memohon maaf kepada keluarga mangsa tragedi Memali sedangkan Mahkamah Tinggi memutuskan kerajaan BN melakukan kesilapan dalam tragedi itu dan mengarahkan pampasan diberikan kepada keluarga mangsa.

Sehubungan itu eloklah Rosnah dan para pemimpin Umno belajar-belajar memohon maaf dan tidak menyifatkan amalan itu sebagai satu kelemahan.

Tidak salah untuk pemimpin Umno mencontohi ketinggian budi Mursyidul Am PAS untuk memohon maaf kepada rakyat daripada menuruti tabiat Dr Mahathir yang asyik-asyik lupa.
Saya mendapat khabar sedih pemergian mengejut Abdul Hamid bin Abdul Kadir (Pak Hamid) Ketua jurulatih kawad kebangsaan Jabatan AMAL dari Johor ke rahmatullah pagi tadi jam 10 pagi.
Beliau dikatakan sedang mengadakan latihan kepada anggota AMAL dalam program kursus kepimpinan AMAL di Sepang  dan rebah secara tiba-tiba dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Dalam usianya 59 tahun  beliau mengabadikan dirinya kepada perjuangan Islam dan memilih AMAL sebagai medan kebaktiannya. Beliau adalah anggota AMAL terlatih, dedikasi, sabar dan komited terhadap tugasannya.

Beliau sanggup meredah hutan, mengharungi banjir dan lumpur untuk hadir dan bertugas di mana lokasi di arahkan.
Menjaga lalulintas, parkir, menjaga keselamatan dan kebersihan dalam sesuatu program besar PAS tidak menjadikan beliau kekok dan jemu dengan tugasannya itu.
Demi jemaah, dalam usia senja itu beliau gagahkan diri bersama anak-anak muda yang jauh 20 tahun dari usianya.

Allahyarham Pak Hamid adalah ikon anak-anak muda. Beliau jugalah ikon kebanggaan AMAL. Beliau adalah contoh insan ikhlas berjuang demi Islam.
Tanpa nama dan kedudukan tinggi, Pak Hamid tidak kejarkan pangkat, kedudukan dan jawatan dalam PAS.
Perjuangan Islam dengan mencapai keredhaan Allah adalah matlamat utama PAS dan Pak Hamid telah membutikannya.

Bertepatan dengan slogan yang selalu didendangkan AMAL iaitu Allah matlamat kami, Rasulullah pedoman kami, Al Quran panduan hidup kami, jihad adalah jalan juang kami dan mati di jalan Allah adalah cita-cita kami dan Pak Hamid telah membuktikan kata-katanya untuk hidup dan mati di jalan Allah.

Pemuda PAS Malaysia (PPM) mendoakan semoga Allah menerima amal Allahyarham dan diangkat sebagai para syuhada di jalanNya.
Semoga keluarga Almarhum Pak Hamid tabah menghadapi ujian yang melanda ini. Berehat dan bergembiralah almarhum di alam sana dengan nikmat yang dijanjikan setelah menumpahkan seluruh kehidupan untuk Islam dan kami sentiasa mencemburui kehidupan beliau.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia
KUALA LUMPUR: Salah seorang jurulatih pasukan Jabatan Amal Malaysia, Abd Hamid A Kadir meninggal dunia pagi ini ketika sedang melatih kawad kepada anggota Unit Amal Malaysia.

Beliau terlibat menjadi jurulatih sempena Kursus Kepimpinan Amal Malaysia yang diadakan bermula 11 hingga 13 April di sebuah resort di Seoang.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan lengkap berunifom merah Unit Amal.

Difahamkan, Pak Hamid sebelum itu dibawa ke Klinik Sg Pelek, Bagan Lalang yang berhampiran tempat latihan mereka kerana keadaanya tidak stabil.

Menurut anggota unit amal, ketika melatih kawad pagi tadi, beliau sempat berkata "benarlah janji Allah".
(Gambar: Pak Hamid ketika mengajar kawad kepada anggota unit Amal pagi tadi)

Pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja kepada anggota Amal keseluruhannya, malah juga kepada PAS di segenap peringkat.

Jabatan Amal PAS yang terkenal dengan jolokan 'tentera merah', sentiasa mengharumkan nama baik PAS dalam misi kemanusiaan yang sertai mereka.

Berkerja dengan tema 'beramal kerana Allah', tanpa mengharapkan balasan dunia, pasukan ini menjadi kebanggan parti dan salah satu aset besar kepada PAS bukan sahaja dalam aspek menghulur bantuan, tetapi juga duta PAS mendekati masyarakat.
KUALA LUMPUR: Hari ini berlangsungnya satu wacana rakyat bertajuk 'Kesan GST dan TPPA terhadap sektor perumahan: Adakah harga rumah akan naik' bagi merungkai sejauh mana perlaksanaan kedua-dua program itu mempengaruhi harga aset rumah.

Wacana tersebut diadakan di Auditorium MPAJ, Pandan Indah bermula jam 10.00 pagi hingga 1.00 petang ini.

Ianya dianjurkan Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor dengan kerjasama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Penganjur Program, Iskandar Abdul Samad yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor berkata, dengan wacana ini diharap menjadi titik tolak kepada kajian seterusnya oleh mana-mana institusi akademik atau bukan kerajaan yang ingin menjadikan sektor perumahan sebagai subjek dalam kajian terhadap GST dan TPPA.

"Kajian juga harusnya tertumpu kepada perolehan negara yang pincang. Isu rasuah, ketirisan, kronisme dan pembaziran masih lagi gagal ditangani oleh pihak kerajaan, dan GST bukanlah satu tindakan yang bijak ke atas rakyat untuk menyelesaikan permasalahan tadi," kata beliau.

Antara panelis yang terlibat termasuk bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Dr Rosli Yaakop, Pengarah Penyelidikan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu, Azlan Awang  dan juga wakil Persatuan Pemaju dan Hartanah Negeri Selangor (REHDA).

Wacana tersebut akan dikendalikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan UNISEL Prof Madya Dr Mohd Fuad Salleh, yang bertindak selaku moderator.

Objektif utama penganjuran wacana ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna khusus tentang kesan GST dan TPPA secara langsung atau tidak khususnya terhadap sektor perumahan.

Contohnya, adakah GST yang baru diluluskan pada 7 April lalu memberi kesan terhadap kos bahan binaan seterusnya memberi implikasi terhadap harga rumah itu sendiri?

Antara sudut lain yang perlu dilihat ialah faktor perkembangan ekonomi yang dijana oleh pihak pemaju dan syarikat yang berkaitan yang terlibat dengan hartanah.

TPPA masih kabur

Begitu juga dengan perjanjian TPPA yang masih kabur dan tidak pernah didedahkan draf perjanjian oleh pihak kerajaan kepada umum.

Adakah pasaran rumah dan hartanah dibuka secara bebas kepada negara-negara yang terlibat dengan perjanjian ini dan adakah kawalan pemilikan rumah dilonggarkan dan bagaimana pula dengan nasib pemaju serta pembekal tempatan?

Ini yang dbimbangi dan wajar diperhalusi sebelum perjanjian itu dimuktamadkan.

Jika ini berlaku, dikhuatiri peluang rakyat untuk memiliki rumah semakin tipis, tambahan pula rakyat makin dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi tidak setimpal dengan kenaikan gaji tahunan serta terpaksa bersaing dengan pasaran buruh asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan