Selasa, 25 Mac 2014

MH370 OH MH370 6

Kisah Keptan Zahari, pilot MH370 yang dikatakan kecewa atas hukuman ke atas Anwar Ibrahim sebagai punca pesawat penumpang itu ghaib adalah satu jenaka yang tersebar luar dalam media antarabangsa.
 
Moral jenaka itu adalah demi memberi kesan nagatif kepada Anwar dan pilot itu sendiri.
 
Gara-gara fanatiknya kepada Anwar lalu dia tidak dapat menerima keputusan mahkamah memenjarakan Anwar hingga dia melakukan apa saja hingga menyebabkan pesawat yang dipandunya hilang sekonyong-konyong.
  
Dia mungkin trauma, mungkin hilang fikiran atau gila, dan mungkin juga diserang sakit jantung, boleh mengancam keselamatan pesawat dan jiwa penumpang dan sekalian anak kapal.
  
Antara pengikut Anwar yang cuba digambarkan ialah ada orang yang macam ini yang boleh buat apa saja dan orang Anwar ini boleh menggemparkan  dunia.
  
Antara penyokong Anwar itu memang ada yang fanatik seperti juga penyokong Mahathir dan penyokong Najib. Penyokongnya yang lain itu tidak pula sampai tidak dapat mengawal perasaan. Tidak penyokong di kalangan pemandu teksi lampu trafik dan melanggar pokok atau tiada pemandu lori memandu laju hingga melanggar kenderaan lain dan masuk gaung.
  
Kapten kapal terbang penumpang biasanya telah diuji mental dan fisikalnya. Tidak mudah panik dan dicabar. Cukup ketahanan dan kesabarannya. Tinggi disiplin dan tanggungjawabnya. Payah untuk memikirkan mungkin seorang seperti boleh jadi begitu sekalipun dia fanatik Anwar.
  
Tetapi tidak pula mustahil ada pemain boleh yang dipercayai sihat, tumbang dan mati ketika bermain. Ada orang segar sekonyong-konyong sakit jantung ketika menonton Muhammad Ali kalah tinju di TV. Tidak mustahil pilot itu boleh trauma atau gila kerana keputusan hakim itu.
  
Hang Jebat dulu mengamuk dan derhaka kerana tidak dapat terima hukuman yang dikenakan kepada  Hang Tuah. Walaupun orang kutuk Hang Jebat tapi ada yang marah pada Raja kerana tak usul periksa menjatuhkan hukum dan ramai yang salahkan Temenggung kerana memfitnah Hang Tuah.
   
Jika betul keptan itu fanatik dan boleh gila dengan hukuman yang dipertikai itu, apakah kita boleh salahkan orang yang tiba-tiba gila bertindak menghilangkan pesawat dan semua muatannya?
  
Apakah kita mesti marah kepada orang fanatik saja atau kita boleh pulangkah kepada hakim yang buat keputusan menyebabkan keptan itu gila atau diserang sakit jantung?
   
Bolehkah hakim dan mahkamah berpuas hati membuat hukuman yang tidak popular yang boleh mengakibatkan pesawat penumpang hilang dan dunia jadi haru biru?
  
Orang kata, orang politik memang gila dan gila kuasa, sanggup bunuh dan buat apa saja asal dapat kuasa dan kekalkan kuasa termasuk memahkamahkan Anwar. Pendakwa memang kerjanya mahu menang bicara kerana malu besar kalau kalah.
  
Maka sekarang semua orang jahat dan ada kelemahannya termasuk yang mendakwa dan yang didakwa. Maka keadilan itu dipercayakan kepada mahkamah dan hakim. Justeru mereka dihormati dengan Yang Arif.
  
Hukum atas Anwar sudah dibuat. Adakah hakim betul? Atau tidak betul? Ia dipertikai. Yang pertikai itu pun bukan tidak boleh dipertikai pula. Tetapi keputusan hakim itu dikatakan telah menyebabkan kapten gila.
   
Maka boleh hakim terlepas tanggungjawab atas kapal terbang hilang itu, kerana puncanya ada pilot tidak dapat terima keputusan itu dan berlakulah apa yang berlaku. Bolehkah hakim seronok dengan keputusannya dan boleh tidur mengenangkan sekalian keluarga penumpang tidak tidur-tidur kerana bimbangkan nasib penumpang dan anak kapal.

Generator pesawat tidak berfungsi


PESAWAT MAS Airbus A330-300. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Penerbangan Malaysia (MAS) semalam mengesahkan pesawat MH066 syarikat penerbangan itu dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan malam kelmarin terpaksa dilencongkan ke Hong Kong ekoran generator kapal terbang yang tidak berfungsi.
Kejadian berlaku ketika pesawat Airbus A330-300 itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dengan membawa 271 penumpang.
Ini kali ketiga nasib malang menimpa MAS dalam tempoh 17 hari setelah pesawat Boeing 777-200ER hilang di perairan Vietnam bersama 239 penumpang dan kru pada 8 Mac lalu.
Pada Jumaat lepas, sebuah lagi pesawat MAS MH144 yang membawa 180 penumpang dirempuh sekumpulan itik ketika ia mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Katmandu, Nepal yang mengakibatkan penutup lensa lampu mendarat pesawat itu pecah.

Kehilangan MH370 terungkai


NAJIB (tengah) ketika mengumumkan perkembangan terkini pesawat MH370 pada sidang akhbar di ibu negara malam tadi.


KUALA LUMPUR - Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 17 hari lalu akhirnya terjawab apabila pesawat tersebut disahkan terhempas di tengah Lautan Hindi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pesawat malang itu yang membawa 239 penumpang dan anak kapal terhempas di kawasan barat Perth, Australia di Lautan Hindi.
Menurut beliau, pengumuman tersebut dibuat berdasarkan rumusan Cawangan Siasatan Udara United Kingdom (AAIB).
"Malam tadi saya telah diberi penerangan oleh wakil AAIB bahawa syarikat pengendali satelit Inmarsat telah membuat perkiraan terhadap data menggunakan kaedah analisis yang pertama kali dilakukan.
"Berdasarkan analisis tersebut, AAIB dan Inmarsat telah membuat kesimpulan bahawa MH370 telah terbang melalui Koridor Selatan dan lokasi terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi yang tidak memungkinkan ia mendarat kerana tidak terdapat sebarang landasan kapal terbang.

Keluarga mangsa MH370 meraung

REUTERS
WANITA ini menjerit ke arah jurukamera selepas berita MH370 disahkan terhempas.


BEIJING - Ahli-ahli keluarga penumpang sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) di China meraung dan meratap kesedihan selepas dimaklumkan kapal terbang yang hilang sejak 8 Mac lalu terhempas di Lautan Hindi, lapor Sky News semalam.
Seorang ahli keluarga penumpang dilihat menangis selepas mengetahui berita itu diumumkan di televisyen dan dia juga terpaksa dipapah keluar oleh orang ramai.
Seorang lagi waris penumpang yang sedang menangis terjatuh di eskalator selepas mendengar berita tersebut di Hotel Lido di sini di mana semua ahli keluarga penumpang berkumpul.
Seorang saksi berkata, dia melihat beberapa waris penumpang menangis dan ada antara mereka menenangkan ahli keluarga masing-masing serta ada seorang wanita yang meraung selepas mendengar berita itu.

REUTERS
SEORANG anggota keluarga penumpang pesawat MH370 menutup mukanya dengan kedua-dua tangannya.


Pihak MAS menyatakan, ia kini membuat rumusan tanpa sebarang keraguan munasabah bahawa pesawat MH370 telah hilang dan tiada mangsa yang terselamat.
Pengumuman itu yang dihantar kepada anggota keluarga penumpang dan kru MH370 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dilihat oleh wartawan Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Penerbangan MH370 milik MAS yang membawa 239 orang hilang selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu.
Seorang wanita pengsan dan melutut sambil menangis dengan berkata: "Anak saya! Anak saya".
Anggota-anggota pasukan perubatan tiba di hotel tersebut dengan beberapa pengusung.
Seorang lelaki tua turut dibawa keluar dari bilik persidangan setelah pengumuman menerusi televisyen tersebut manakala muka lelaki itu ditutup dengan jaket.
Beberapa minit kemudian seorang wanita pertengahan usia dibawa keluar dengan dengan satu lagi pengusung, mukanya pucat dan mata wanita itu merenung ke arah lain.

REUTERS
GAMBAR menunjukkan seorang saudara penumpang MH370 yang tidak bermaya
di atas katil beroda ditolak seorang anggota perubatan.


Ramai di antara mereka enggan bercakap dengan wartawan yang berkumpul di hotel berkenaan.
Sebahagian ahli keluarga memarahi petugas media yang merakam situasi di situ.
Beberapa pengawal keselamatan menghalang seorang lelaki yang menendang seorang jurukamera televisyen dan menjerit: "Jangan rakam, aku pukul sampai mati!"
Dalam satu kenyataan yang dikirim MAS kepada keluarga menyatakan: "Kami terpaksa membuat andaian pesawat itu telah hilang."
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini percaya pesawat itu sengaja dilencongkan oleh seseorang yang menaiki kapal terbang itu.
Bagaimanapun, ketiadaan bukti kukuh telah mencetuskan banyak spekulasi dan teori konspirasi serta menyebabkan keluarga mangsa merana.
Beberapa teori utama termasuklah rampasan, sabotaj oleh juruterbang atau krisis di udara yang menyebabkan kru penerbangan tidak sedarkan diri dan menyebabkan pesawat itu terbang menggunakan alat automatik sehingga kehabisan minyak. - Agensi

MH370 dikesan di Lautan Hindi


NORMAH (tengah) terpaksa ditenteramkan oleh ahli keluarganya selepas mengetahui pesawat dinaiki anaknya ditemui di Lautan Hindi semalam.


KUALA LUMPUR - Kehilangan pesawat MH370 selama 17 hari sebelum disahkan terhempas di tengah Lautan Hindi malam tadi akhirnya menamatkan penantian keluarga dan spekulasi daripada pelbagai pihak yang mengikuti perkembangan kehilangan pesawat paling canggih itu.
Dalam tempoh 17 hari itu, kehilangan MH370 secara tiba-tiba itu diakui paling misteri dalam sejarah penerbangan moden kerana tidak ada satu pakar aviasi atau negara di dunia ini mampu menjelaskan apakah yang berlaku ke atas pesawat malang itu.
Sejak mula hilang, pelbagai teori dikemukakan daripada pesawat dirampas, sabotaj, masalah teknikal, pesawat dibom sehinggalah berlaku masalah peribadi anak kapal termasuk penumpang.
Teori pesawat dirampas mula tercetus apabila dua penumpang Iran dikatakan menggunakan pasport palsu.
Bagaimanapun, tiada sebarang bukti dapat mengaitkan mereka dengan kehilangan MH370.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan di Laut China Selatan sejak hari pertama pesawat dilaporkan hilang.

Singapura perketat kawalan di lapangan terbang

AFP
SEORANG saudara penumpang menunjukkan penumbuk sambil menangis di Hotel Lido.


SINGAPURA - Pihak berkuasa Singapura telah meningkatkan pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebagai langkah berjaga-jaga selepas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) hilang pada 8 Mac lalu, kata polis semalam.
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini mendedahkan bahawa dua penumpang menaiki penerbangan itu dengan menggunakan pasport curi sekali gus menimbulkan kebimbangan tragedi itu mungkin mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.
Pihak berkuasa Malaysia juga percaya pesawat itu sengaja dilencongkan oleh seseorang di dalam kapal terbang berkenaan dan siasatan juga ditumpukan kepada kemungkinan rampasan.
"Changi adalah salah satu laluan antarabangsa di mana lebih 7,000 pesawat mendarat dan berlepas yang membawa lebih 147,000 penumpang pada setiap minggu," kata pihak polis Singapura dalam satu kenyataan.
"Ekoran kejadian yang menimpa pesawat MH370, Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pihak Berkuasa Pemeriksaan Imigresen (ICA) telah meningkatkan tahap amaran keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi sebagai langkah berjaga-jaga," tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pihak polis dan ICA kini memantau situasi ancaman secara dekat.
- AFP


Pakar dakwa MH370 terbang rendah elak bertembung pesawat lain

KUALA LUMPUR - Satu maklumat terbaharu yang diperoleh pihak berkuasa memberikan gambaran mengenai apa yang berlaku ke atas pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Satu sumber yang rapat dengan siasatan itu memberitahu stesen penyiaran CNN kelmarin, log daripada radar tentera menunjukkan pesawat MH370 tersebut terbang rendah selepas melencongkan arah ketika berada di Lautan Hindi dan terus menuju ke Selat Melaka.
Kata sumber itu lagi, pada satu ketika pesawat itu didapati terbang serendah 3,657 meter sebelum hilang dari radar tentera.
Pihak berkuasa sebelum ini memberitahu bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan tetapi ramai penganalisis berkata, kemungkinan juruterbang gagal memberi isyarat kecemasan kerana kerosakan yang dialami pada pesawat.
"Selepas membuat lencongan, pesawat jenis Boeing 777-200 itu masuk ke laluan udara yang sibuk dan tindakan juruterbang terbang rendah adalah untuk menyelamatkan pesawat itu daripada bertembung dengan pesawat lain," kata sumber tersebut.
Maklumat terbaharu tersebut memberikan sedikit gambaran berhubung apa yang berlaku pada pesawat berkenaan tetapi ia masih gagal menjelaskan kenapa pesawat itu hilang atau lokasi ia berada.
Pakar juga masih berbelah bagi sama ada maklumat terbaharu itu merupakan petanda pesawat itu mengalami masalah mekanikal sehingga menyebabkan juruterbang terpaksa mengubah haluan.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ketika ia dalam penerbangan ke Beijing sebelum hilang semasa ia perlu menghubungi menara kawalan trafik udara di Vietnam. - Agensi

Kru rakam gambar dua objek terapung


REUTERS
GAMBAR yang diperoleh semalam menunjukkan anggota tentera melihat menerusi binokular bagi mencari pesawat MH370 dari atas kapal HMAS Success di Lautan Hindi.


SYDNEY - Kru sebuah pesawat peninjau Australia berjaya merakamkan gambar dua objek di Lautan Hindi semalam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan penerbangan MH370 dalam misi mencari pesawat itu yang memasuki hari kelima.
"Kru pesawat Orion melaporkan melihat dua objek dengan yang pertama berbentuk bulat dan berwarna hijau manakala objek kedua berwarna oren dan berbentuk segi empat," kata Lembaga Keselamatan Maritim Australia dalam satu kenyataan.
Kedua-dua objek tersebut dilihat berada di kawasan sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth yang menjadi lokasi berpotensi pesawat berkenaan jatuh selepas kehabisan bahan api berdasarkan pengiraan komputer.
"Saya memberi nasihat bahawa kami tidak pasti bahawa objek itu berasal daripada MH370, ia mungkin benda lain yang terapung," kata Perdana Menteri Australia, Tony Abbott.
"Namun, kami berharap agar dapat mengambil dua objek itu dengan segera dan ia akan dapat membantu untuk menemui sekali gus menyelesaikan kehilangan MH370," tambahnya.
Sebuah kapal milik Tentera Diraja Australia, HMAS Success dijangka sampai pada hari ini ke satu lokasi yang dikatakan beberapa objek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu.

REUTERS
BEBERAPA jurukamera dan wartawan menunggu perkembangan terkini misi pencarian pesawat MH370 di Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia di Perth semalam.


Pesawat berkenaan yang dalam penerbangan ke Beijing dengan membawa 239 orang, hilang dari radar 8 Mac lalu selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam perkembangan berkaitan, Perancis membekalkan set imej satelit baharu untuk membantu pencarian MH370 manakala semua imej tersebut telah diserahkan kepada pihak berkuasa Australia.
Namun, objek yang dikesan satelit Perancis itu terletak di luar kawasan pencarian di Lautan Hindi.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Australia semalam menyuarakan kelegaan selepas ribut tropika Gillian didapati tidak akan melanda kawasan pencarian pesawat MH370.
Sehingga kini, terdapat 10 buah pesawat meninjau di kawasan laut seluas 59,000 kilometer persegi itu yang terletak di antara Australia dan Antartika untuk mencari petunjuk bagi mengesan pesawat hilang itu.
Terdahulu, sebuah pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) gagal mengesan beberapa objek lain yang ditemui oleh sebuah pesawat China.
Agensi berita Xinhua memetik seorang wartawan yang berada dalam pesawat jenis Ilyushin-76 melaporkan pada hari yang sama bahawa dua objek besar yang terapung bersama sejumlah objek lebih kecil dilihat bertaburan dalam lingkungan beberapa kilometer.
"Objek-objek tersebut berwarna putih dan berbentuk segi empat," lapor agensi berita Xinhua.
Pada sidang akhbar khas yang diadakan pada pukul 10 malam semalam, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal terkorban.
Pesawat tersebut disahkan hilang dan terhempas di lokasi tersebut yang terletak sekitar 2,500 kilometer ke barat daya Perth berdasarkan maklumat dan analisis data terbaharu satelit Inmarsat milik United Kingdom. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan