Selasa, 25 Mac 2014

MH370 OH MH370 2



KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menimbang cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen berhubung tragedi pesawat Malaysian Airlines (MAS) MH370, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  
"Cadangan tersebut akan saya bawa ke pihak yang membuat keputusan. Itu jaminan saya kepada Dewan ini...(tetapi) kalau masih tidak berpuas hati, inilah cara kita melihat ke hadapan.   
  
"Tapi apa yang boleh saya sahkan hari ini, bahawa audit atau jawatankuasa di peringkat kementerian (Pengangkutan) diwujudkan, begitu juga di Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
  
"Semua ini berjalan serentak dengan operasi mencari dan pemulihan," katanya ketika menggulung usul khas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menzahirkan rasa sedih, dukacita dan pilu terhadap tragedi yang menimpa pesawat tersebut di Dewan Rakyat di sini hari ini.
  
Hishammuddin kemudian mengulangi pendirian kerajaan bahawa tumpuan pasukan mencari adalah mengenal pasti serpihan dan menemui pesawat yang hilang itu.

Mengenai operasi mencari, Hishammuddin berkata beliau optimis ia akan diteruskan walaupun berdepan cabaran seperti gangguan cuaca selain teknikal, diplomatik dan logistik dalam menjayakannya.
  
"Walaupun lokasi jauh dari daratan dan mencabar, saya optimis, selagi ada harapan, saya masih berharap terhadap semua harapan manakala operasi pencarian dan pemulihan akan diteruskan," katanya.
  
Dalam pada itu, mengenai imej satelit yang dikeluarkan dari Australia, China dan Perancis, beliau berkata pihaknya akan bermesyuarat malam ini dengan wakil United States Pacific Command (USPACOM), sebuah badan ketenteraan bertanggungjawab bagi kawasan Lautan Pasifik.
  
"(Mesyuarat) ini untuk pastikan sama ada serpihan itu dari pesawat tersebut. Selepas  Disahkan, barulah kita akan cari kotak hitam pula. Itu cara kita, bekerjasama, sahkan petunjuk dan maklumat setiap yang ada," katanya.  
  
Usul itu kemudian diluluskan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, Hishammuddin  melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan sokongan padu tidak berbelah-bahagi yang dizahirkan setiap anggota Dewan Rakyat kepada kerajaan dalam menghadapi insiden yang berlaku ke atas pesawat MH370.
  
"Hikmahnya sekurang-kurangnya ada jambatan dan perkara yang boleh menyatupadukan kita dan inilah sesuatu yang saya tengok kelebihan yang ada pada kita," katanya.
  
Terdahulu, ketika sesi perbahasan usul itu, anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang sepakat mahu satu RCI dan Jawatankuasa Terpilih Parlimen ditubuhkan bagi menyiasat tragedi pesawat itu.
  
Datuk Seri Liow Tiong Lai (BN-Bentong) berkata ia bagi memastikan tragedi itu disiasat secara mendalam dari segala aspek dan maklumat dikongsi secara terbuka dan telus kepada seluruh rakyat.
  
Cadangan tersebut disokong Hasbi Habibollah (BN-Limbang) yang menyatakan penubuhan itu perlu disokong semua pihak agar tragedi MH370 dapat diperincikan demi kebaikan imej negara pada masa depan.

Datuk Seri Dr S.Subramaniam (BN-Segamat) pula berkata penubuhan RCI adalah satu tanggungjawab kerajaan bagi mencari jawapan kepada semua persoalan yang menyelubungi tragedi MH370 bagi memenuhi harapan keluarga penumpang.
  
Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata ia juga sebagai pengajaran kepada kerajaan dan negara lain pada masa depan mengenai sistem teknologi di mana masih ada pesawat yang boleh terlepas dari kawalan radar walaupun dalam kecanggihan teknologi masa kini.
  
Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berkata jawatankuasa yang bakal dianggotai wakil kerajaan dan pembangkang itu adalah amat perlu bagi menyelesaikan misteri tragedi MH370.
 
Dalam pengumumannya malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
  
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang hilang sejak 8 Mac lepas, membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan dan rakyat negeri Selangor mengucapkan takziah dan berkongsi kesedihan yang dialami keluarga para penumpang dan krew pesawat MH370 yang disahkan terhempas di tengah Lautan Hindi.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini mewakili kerajaan negeri dan rakyat Selangor  mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan berdoa agar Allah SWT mempermudahkan mereka dalam menghadapi kesedihan.
"Selepas lebih  dua minggu seluruh dunia dan  rakyat Malaysia  khasnya berdoa serta berharap agar penumpang dan anak kapal MH370 untuk pulang dengan selamat, akhirnya  kita   redha dan kesedihan yang tidak terbilang   dengan kesudahan tragedi pesawat tersebut yang dilaporkan berakhir di Lautan Hindi," katanya.
Beliau juga berharap orang ramai khususnya pihak media supaya menghormati ruang peribadi dan emosi setiap ahli keluarga mangsa yang terlibat  dalam menghadapi masa  yang amat mencabar dan memilukan ini.
Kerajaan Selangor, jelasnya sedia membantu keluarga mangsa  untuk mengadakan majlis tahlil bagi yang beragama Islam atau acara pengebumian mengikut kepercayaan masing-masing bagi yang bukan Islam.
"Satu majlis tahlil akan diadakan di Masjid Negeri Shah Alam pada malam esok dan kami  berharap umat Islam   akan menyertai untuk bersama-sama  mendoakan agar roh mereka yang pergi dicucuri rahmat-Nya," kenyataan media itu dipetik.
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini senyap seketika bagi memberi penghormatan terhadap perkembangan terbaru insiden pesawat MH370 yang disahkan menamatkan penerbangan di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia memaklumkan demikian ketika memulakan persidangan Dewan Rakyat pagi ini sebelum sesi soal jawab lisan dimulakan.

Beliau turut meminta semua ahli Dewan Rakyat berdiri dan bagi yang muslim untuk membaca Al-Fatihah manakala yang bukan Islam bertafakur seminit.

"Mewakili anggota Dewan Rakyat dan parlimen seluruhnya, maka saya merakamkan takziah kepada penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

"Kita mendoakan agar keluarga kekal tabah menerima ketentuan ini," kata beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi mengumumkan, bukti-bukti sedia ada merumuskan bahawa MH370 mengakhiri penerbangannya di pertengahan Lautan Hindi, di sebelah Barat Perth, Australia.

Bercakap pada sidang media khas jam 10 malam tadi, beliau berkata kedudukan itu di lokasi terpencil, jauh daripada tapak pendaratan.

Maklumat lanjut kata beliau akan diumumkan dalam sidang media hari ini.
KUANTAN: "Bagi makcik masa dahulu. Makcik tak tau nak cakap apa, sedih sangat dengar pengumuman tadi," kata ibu kepada jurutera kapal terbang Khairul Amri Selamat.
  
Normah Jaafar, 50-an, amat sedih mendengar pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam tadi bahawa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dikesan berakhir di selatan Lautan Hindi.
  
Khairul Amri, 29, merupakan seorang daripada 227 penumpang pesawat itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing kerana urusan kerja iaitu untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian.
  
Normah ketika dihubungi tidak dapat menahan perasaan sedih sebaik mengetahui perkara itu dan menangis teresak-esak mengenangkan nasib yang menimpa anaknya.
  
Beliau bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada media kerana ramai yang menghubunginya untuk menyampaikan rasa simpati mereka.
  
Normah, yang tinggal di Taman Kerayong Makmur, Bera dekat sini tidak mampu bercakap lebih lanjut kerana terlalu sedih.
   
Difahamkan beliau akan ke Kuala Lumpur pagi ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tragedi yang menimpa pesawat MH370 selepas ia hilang sejak 8 Mac.
  
Khairul Amri, 29, merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan mempunyai seorang anak berusia setahun tiga bulan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines sejak 16 hari lepas, terjawab malam tadi menerusi pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penerbangan itu berakhir di selatan Lautan Hindi.
  
Berdasarkan rumusan itu hanya kotak hitam pesawat Boeing 777-200ER berkenaan yang dapat menjawab misteri kehilangannya sejak awal pagi 8 Mac lepas. 
  
Perdana Menteri pada Isnin malam berkata berdasarkan taklimat Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan analisis lanjut data oleh Inmarsat, kesimpulan dibuat bahawa MH370 terbang di koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
  
"Kawasan ini merupakan lokasi terpencil, jauh dari sebarang tempat pendaratan. Oleh itu dengan perasaan amat sedih dan terharu saya ingin memaklumkan bahawa menurut data terkini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
  
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam penerbangan ke Beijing apabila dilapor hilang daripada radar kira-kira 1.30 pagi 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
  
Sejak hari pertama kehilangannya, lebih 12 negara membantu Malaysia dalam misi mencari dan menyelamat pesawat tersebut.
  
Pada Isnin, pesawat Australia dan China masing-masing mengesan beberapa objek yang terapung di selatan Lautan Hindi, namun belum diambil.
  
Pihak berkuasa Malaysia akan mengadakan sidang media hari ini untuk menjelaskan butiran lanjut mengenai perkembangan terbaharu itu. - Bernama
BEIJING: Hanya kedengaran raungan kedukaan daripada keluarga penumpang MH370 yang ditempatkan di Hotel Lido di sini sejurus berakhirnya pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkembangan terkini berhubung pesawat itu malam tadi.
  
Beberapa anggota keluarga pengsan dan terpaksa diusung keluar oleh anggota paramedik selain berlaku pergelutan apabila sesetengah waris yang kesedihan cuba menghalang jurufoto daripada merakam gambar mereka.
  
"Berhenti ambil gambar. Hentikan sekarang," jerit seorang lelaki kepada kumpulan warga media terbabit dan cuba menolak mereka sebelum dihalang oleh pengawal keselamatan.
  
Hampir 100 pengamal media berkumpul di hotel itu bagi menunggu pengumuman Najib.
  
Difahamkan anggota keluarga terbabit diberi taklimat oleh pegawai Malaysia Airlines (MAS) sebelum mendengar pengumuman Perdana Menteri.
  
Dalam pengumumannya, Najib berkata penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.
  
Penerbangan MH370 Kuala Lumpur-Beijing yang hilang sejak 8 Mac lepas, membawa 227 penumpang dengan 154 daripadanya merupakan warga China. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan