Khamis, 20 Mac 2014

MH370 40

KUALA LUMPUR: Kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang disifatkan kurang 'panas' ekoran insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan masalah jerebu.
  
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata berdasarkan pemerhatian, beberapa kempen parti politik kurang mendapat sambutan, termasuk ada ceramah yang hanya dihadiri 20 penyokong.

"Pada awal kempen ramai yang tidak begitu mengikuti, berkemungkinan kerana lebih berminat menunggu berita insiden pesawat MH370 di televisyen atau memilih duduk di rumah kerana jerebu.

"Bagaimanapun, tempoh berkempen yang berbaki tiga hari lagi, parti politik lebih agresif mengadakan ceramah dan kita harap mereka memanfaatkan tempoh itu serta menghentikan kempen tepat pada tengah malam sehari sebelum hari mengundi (23 Mac)," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada Bernama semasa ditemui selepas menjadi tetamu dalam program bual bicara 'Dalam Radar' kendalian Radio 24 di Wisma Bernama di sini hari ini.
  
Selain itu, Abdul Aziz juga mengingatkan parti politik supaya mematuhi peraturan dan arahan yang ditetapkan SPR dan pihak berkuasa pada hari pengundian supaya proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

"Proses pengundian awal hari ini berjalan dengan lancar dan kita harap momentum yang sama pada Ahad ini, tanpa ada penyokong parti meraih undi atau berhimpun di tempat mengundi atau bawa pemerhati sendiri," katanya.

Beliau berharap penyokong parti juga tidak bertindak menahan sesiapa yang disyaki warga asing, sebaliknya melaporan kejadian itu kepada SPR atau polis untuk tindakan selanjutnya.

"SPR bekerja keras mahu memastikan PRK ini berjalan dengan lancar dan aman," katanya.

PRK Kajang diadakan ekoran peletakan jawatan penyandangnya Lee Chin Cheh pada 27 Jan lalu.

Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun adalah calon Barisan Nasional (BN) manakala calon PKR ialah Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada PRK itu.

Pengundian awal yang diadakan hari ini menyaksikan sejumlah 88.39 peratus atau 1,050 orang daripada 1,197 pengundi di kawasan DUN Kajang menunaikan tanggungjawab masing-masing. - Bernama
KUALA LUMPUR: Penganalisis jenayah percaya tiada unsur bunuh diri dalam misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat itu selamat mendarat di suatu kawasan yang tidak diketahui lokasinya.
  
Presiden Kesedaran Pencegahan Jenayah, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata berdasarkan fakta-fakta diumumkan setakat ini, sesiapa jua yang mengambil alih pesawat itu tidak berniat untuk membunuh diri.
  
Katanya ini kerana pihak yang bertanggungjawab nampaknya membuat perancangan teliti dan amat pakar tentang selok-belok penerbangan serta kedudukan radar termasuk cara untuk mengelakkan pesawat itu daripada dikesan.
  
Dr Saharuddin juga percaya sesiapa sahaja yang mengambil alih pesawat Boeing 777-200ER itu berpengalaman mengendalikan pesawat itu.
  
"Walaupun pelbagai kemungkinan boleh berlaku dalam situasi sebegini, namun saya jangkakan tiada unsur bunuh diri melibatkan juruterbang pesawat berkenaan," katanya kepada Bernama.     
  
Pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi 8 Mac lalu. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
  
Sehingga kini, nasib penumpang dan anak kapalnya tidak diketahui apabila usaha mencari yang melibatkan pelbagai negara, belum membuahkan hasil.
  
Ia telah didedahkan sebelum ini bahawa seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu dan menurut data satelit Inmarsat, pesawat itu dikesan terbang beberapa jam selepas itu.
  
Pihak berkuasa Malaysia percaya pesawat itu terbang ke arah barat Semenanjung Malaysia sebelum membelok ke arah barat laut dan memasuki sama ada koridor utara yang menjangkau lebih kurang dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand; atau koridor selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.
  
Operasi mencari dan menyelamat terus dipergiatkan membabitkan 26 negara antaranya Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan, Pakistan, Bangladesh, India, Vietnam, Thailand, Singapura dan Indonesia.
  
Dr Saharuddin berkelulusan Doktor Falsafah Antropologi Sosial dari Universiti Antarabangsa Wisconsin di Amerika Syarikat, dan menaungi beberapa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selain menjadi tenaga pengajar di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), cawangan Kuala Lumpur, dalam bidang Antropologi sejak 2009.
  
Berkecimpung sebagai pejuang hak pengguna selama lima tahun, beliau yang kini berusia 52 tahun itu kerap ditemu bual media tempatan mengenai isu-isu melibatkan keselamatan dan kepenggunaan. - Bernama
LUMUT: Kapal Diraja (KD) Kasturi dan KD Lekiu milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memulakan pelayaran ke koridor selatan malam ini untuk menyertai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines MH370.
  
Panglima Armada Laksamana Madya Datuk Abdul Hadi A. Rashid berkata dua kapal itu merupakan kumpulan ketiga aset TLDM bagi misi antarabangsa selepas KD Selangor, KD Kelantan, KD Terengganu dan KD Pahang.

"Kita akan menjalankan misi SAR di koridor selatan dan selatan Christmas Island. Kita akan menumpukan di titik-titik yang telah kita tentukan aset-aset kita akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan merangkumi pelayaran sehingga 1,800 batu nautika," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan KD Kasturi dan KD Lekiu di Jeti Operasi, pangkalan TLDM di sini.

Kesemua aset TLDM akan bertemu dan bergabung dengan aset-aset negara lain yang menyertai misi itu bagi tujuan yang sama dengan pembahagian kawasan bagi rondaan SAR secara bersama, katanya.

Beliau berkata tumpuan kesemua kapal TLDM dengan kekuatan 560 warganya adalah pencarian di permukaan lautan koridor selatan yang meliputi Lautan Hindi dan bergabung dengan aset udara.

"Apabila dua aset udara Super Lynx dan satu Fennec kita membuat rondaan pencarian, aset kapal akan sentiasa berhubung dengan mereka memandangkan aset udara boleh meliputi kawasan yang lebih luas dan lebih jauh dalam tempoh singkat. Kelengkapan radar dan komunikasi yang baik serta pengesan bawah air atau sonar juga akan membantu kita," katanya.

Abdul Hadi berkata kumpulan pertama kapal TLDM akan tiba di Tanjung Periuk, Indonesia, esok untuk penambahan bekalan logistik termasuk bahan api supaya ia dapat meneruskan misi dalam tempoh lebih panjang tanpa ulang bekal yang akan mengakibatkan tempoh masa SAR menjadi pendek. TLDM bersedia untuk menggerakkan asetnya yang lain jika diperlukan.

"Cabaran yang kita akan hadapi di koridor selatan adalah cuaca serta beroperasi di laut yang lebih luas. Selain itu Lautan Hindi juga mempunyai kedalaman sehingga 7,000 meter, ini cabaran kita walaupun tumpuan adalah pencarian di permukaan," katanya.

Beliau berkata koridor selatan juga bukan merupakan laluan kapal dagang yang popular dan strategik, oleh yang demikian perkongsian gabungan maklumat akan lebih terhad berbanding misi di Selat Melaka dan Laut China Selatan sebelum ini, katanya.

Abdul Hadi berharap seluruh warga TLDM yang menjalankan tanggungjawab negara dengan penuh komitmen itu dapat bertahan dan mengekalkan tahap operasi yang tinggi dengan pencarian maksimum.

Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 8 Mac lepas.

Operasi mencari pesawat itu kini diperluaskan dan dibahagikan kepada dua koridor iaitu Koridor Utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke utara Thailand dan Koridor Selatan meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi, melibatkan 26 negara. - Bernama
Meskipun usaha pencarian pesawat MH370 memasuki fasa yang lebih sukar yang menuntut fokus yang lebih jitu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan berpendirian terdapat beberapa perkara penting yang memerlukan tindakan serta-merta khususnya apabila ianya melibatkan aspek pertahanan negara.

Kenyataan menteri dan Panglima TUDM bahawa pihak tentera mengklasifikasi objek terbang yang dikesan oleh radar tentera yang telah dikenal pasti sebagai MH370 sebagai "non-hostile" adalah satu kesilapan strategik khususnya mengambilkira sensitiviti keselamatan pasca 9/11.

Apakah pertimbangan "sang akauntan" mengira kos operasi mengatasi kepentingan keselamatan sehinggakan objek sebesar Boeing 777-200ER dibiarkan terbang menghampiri kawasan penduduk berkepadatan tinggi seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu tanpa dipintas oleh skuadron Sukhoi di Butterworth atau pasukan MIG29 di Kuantan yang terus pegun menanti arahan?

Kelemahan seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang. Kami menggesa agar pegawai-pegawai yang terlibat di dalam proses membuat keputusan tersebut dikeluarkan dari rantaian perintah serta-merta dan audit menyeluruh dilakukan ke atas protokol pertahanan udara negara. YB Menteri mempunyai tanggungjawab untuk memaklumkan kepada rakyat bahawa tindakan pembetulan telah dibuat dan dapatan dari audit itu kelak akan dilaksanakan.

Episod kita memerlukan tempoh 8 hari untuk memutuskan bahawa objek terbang yang tidak dikenalpasti melintas Semenanjung Malaysia sebagai MH370 dikala lebih 40 aset tentera dan awam dari lebih 12 negara terbazir di lokasi yang salah adalah amat memalukan. Hatta dengan tempoh sebegitu lama itu pun, kerajaan tidak dapat memastikan 100% objek tersebut adalah MH370 dengan YAB Perdana Menteri sekadar menyebut "kadar kebarangkalian yang tinggi".

Sekiranya kerajaan memerlukan tempoh 8 hari sekadar untuk mencapai suatu keputusan berdasarkan kebarangkalian, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan tahap kompetensi dan karektor sumber manusia yang terlibat di dalam keupayaan pertahanan negara dan pengurusan kes kehilangan pesawat ini.

Terdapat faktor "kesilapan manusia" dan "kelemahan pertimbangan" yang jelas di dalam kes kehilangan MH370. Kesilapan-kesilapan ini akhirnya memaksa kerajaan berkongsi maklumat sensitif dengan pihak asing lantas membuka peluang kepada anasir berkepentingan untuk merungkai keupayaan pertahanan udara negara.

Keadaan ini sebenarnya telah menjejaskan pelaburan rakyat berjumlah lebih 70 juta menaik taraf keupayaan radar negara semenjak 10 tahun yang lalu. Persoalannya, adakah rakyat kini terpaksa membayar 70 juta lagi sebagai harga dari jurang kompetensi yang wujud untuk mengurus aset dan teknologi ketenteraan negara? Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan dalam hal ini?

Pemuda PAS juga berpendirian keputusan menanggapi kesan perkongsian maklumat sensitif radar hanya selepas permasalahan MH370 diselesaikan sebagaimana yang dijelaskan oleh YB Menteri di dalam sidang media harian beliau pada 17 Mac semalam sebagai satu lagi kesilapan.

Keputusan sebegini mencerminkan pendirian kerajaan bahawa faktor pertahanan dan keselamatan negara boleh ditangguh-tangguhkan. Apakah kita benar-benar kekurangan tenaga pakar sehinggakan tidak dapat membuat tumpuan segera terhadap soal ini.

Di dalam keperluan mendesak memastikan 239 penumpang dan kru MH370 selamat pulang ke pangkuan tersayang, soal keselamatan 25 juta penduduk Malaysia juga tidak boleh mendapat keutamaan kedua.  

Kami oleh  itu menggesa agar isu-isu pertahanan negara yang timbul kesan dari pencarian MH370 ini ditangani segera tanpa lengah dan alasan.

Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.


NEW DELHI: Ketika pencarian multinasional kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) diperhebatkan, sebuah portal berita dari Maldives melaporkan bahawa penduduk mendakwa melihat sebuah jet terbang rendah pada 8 Mac, iaitu hari pesawat Boeing 777-ER, lenyap.
  
Penduduk di kawasan pedalaman pulau Maldives, Kuda Huvadhoo di Dhaal Atoll mendakwa melihat sebuah pesawat terbang rendah pada hari pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang daripada radar, menurut laman web Haveeru.
  
Ia menyebut penduduk Kuda Huvadhoo memberitahu laman web berkenaan pada Selasa bahawa mereka melihat pesawat itu pada 6.15 pagi pada 8 Mac.
  
Mereka berkata bahawa ia adalah pesawat putih dengan jalur merah merentasinya - iaitu sebagaimana menyerupai pesawat MAS, lapor laman web itu.
  
Para saksi dari Kuda Huvadhoo bersetuju bahawa kapal terbang itu dalam perjalanan utara ke tenggara, menuju ke penghujung selatan Maldives -Addu, menurut laporan itu. - Bernama
SEPANG: Pakar-pakar Perancis akan menghulurkan kepakaran dalam operasi pencarian di bawah permukaan air kepada Malaysia yang mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.
  
Jean Paul Troadec, penasihat khas kepada Biro Penyiasatan Kemalangan Penerbangan Perancis berkata kepakaran mereka dalam siasatan nahas udara Penerbangan 447 Air France pada 2009 mungkin boleh dimanfaatkan dalam pencarian pesawat Boeing 777-200ER itu.
  
"Kami mempunyai kepakaran dalam pencarian dalam air, uji kaji dan aspek teknikal dalam bidang komunikasi dan elektronik," kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di Hotel Sama Sama di sini semalam.
  
Bagaimanapun Troadec berkata misi pencarian MH370 berbeza dengan operasi  pencarian yang dapat mengesan pesawat 447 dalam tempoh yang singkat selepas nahas itu berlaku.
  
"Bezanya ialah tidak lama selepas nahas penerbangan 447 Air France itu, kami tahu batas kawasan di mana pesawat itu berada.

"Kami memulakan pencarian dengan segera selepas nahas itu (pada 2009) yang sudah tentu berbeza dengan misi sekarang. Akan ada kelainanannya," kata beliau.
  
Troadec ialah antara tiga pegawai daripada Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) yang tiba di Kuala Lumpur kelmarin untuk membantu operasi SAR.
  
Ketika ditanya mengenai kemungkinan teori utama tentang kehilangan MH370 itu, beliau berkata: "Kami tidak mempunyai teori. Kami berada di sini hanya untuk membantu pihak berkuasa Malaysia.. Mereka yang menjalankan siasatan dan kami cuma berkongsi pakar kami dan nasihat."
  
Pesawat Boeing 777-200ER, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada pukul 12.41 tengah malam Jumaat.
  
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu.

Misi pencarian pesawat berkenaan setakat ini membabitkan 26 buah negara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Negara-negara yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah menggerakkan aset masing-masing untuk menjejaki pesawat itu di kawasan yang sangat luas meliputi 2.24 juta batu nautika persegi.
          
Kawasan itu merupakan dimensi antarabangsa meliputi Koridor Utara dan Koridor Selatan yang dibahagikan kepada tujuh kuadran dengan setiap kawasan kuadran mempunyai keluasan kira-kira 160,000 batu nautika persegi.
          
Misi pencarian diselaraskan oleh Malaysia tetapi rakan-rakan kami telah memainkan peranan penting dalam menguruskan dan menjalankan operasi, dalam kawasan mereka sendiri dan di sektor pencarian yang telah dipersetujui.
          
Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata misi pencarian memberi tumpuan kepada empat tugas: mengumpul maklumat daripada pemantauan satelit; analisis data daripada pengawasan radar; menambah aset udara dan permukaan; dan menambah jumlah pakar teknikal.
          
Beliau berkata di koridor Selatan, Australia dan Indonesia bersetuju untuk mengetuai pencarian di bahagian masing-masing manakala di Koridor Utara, China dan Kazakhstan bersetuju untuk mengetuai pencarian di kawasan paling hampir dengan negara mereka.

"Mengenai aset udara dan permukaan, saya telah berhubung dengan hampir semua pemimpin Asean bagi meminta bantuan selanjutnya termasuk aset yang dilengkapi keupayaan pengesanan dan pengawasan di laut dalam," kata Hishammuddin pada sidang media untuk memaklumkan tentang perkembangan terkini operasi di Sepang, dekat sini semalam.
          
Pada Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pencarian pesawat yang hilang itu telah memasuki fasa baharu dengan tumpuan beralih dari Laut China Selatan ke koridor utara dan selatan.
          
Hishammuddin berkata Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah menghantar dua lagi kapal ke koridor selatan manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menggerakkan dua pesawat C-130 ke sektor Indonesia di koridor selatan.
          
Negara-negara lain yang menghantar aset ialah Amerika Syarikat yang menggerakkan sebuah pesawat P-8 Poseidon dan akan menghantar pesawat P-3 Orion.
          
Australia telah menghantar tiga pesawat P-3 Orion dan sebuah pesawat C-130 Hercules. New Zealand menghantar sebuah pesawat P-3 Orion untuk membantu misi pencarian oleh Australia. Korea Selatan berjanji untuk menghantar sebuah pesawat P-3 Orion dan sebuah pesawat C-130 Hercules.

Jepun telah menjanjikan dua pesawat P-3 Orion, dua C-130 dan sebuah jet Gulfstream dan Emiriyah Arab Bersatu menjanjikan sebuah pesawat C-17 dan sebuah pesawat Bombardier Dash-8, kata Hishammuddin yang juga menteri pertahanan.
          
Hishammuddin berkata Malaysia telah menghubungi negara-negara yang mempunyai keupayaan pengawasan radar dan satelit untuk membantu dalam pencarian pesawat MH370 yang telah hilang selama 11 hari ketika operasi mencari diperhebatkan di dua koridor yang luas itu.
          
Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia setakat ini telah menghantar nota diplomatik kepada 12 negara di koridor utara, menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan kepada dua negara di koridor selatan, yang meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi, meminta mereka membantu dalam misi pencarian pesawat.
          
Beliau juga berkata sembilan lagi negara yang tidak tergolong dalam kedua-dua koridor telah tampil untuk membantu dalam misi pencarian.

Negara-negara itu termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun.
Pesawat Boeing 777-200ER itu, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pukul 12.41 pagi pada 8 Mac.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing pukul 6.30 pagi hari yang sama. - Bernama
SEPANG: Malaysia Airlines sedang menyiasat laporan yang mendakwa anggota keluarga penumpang rakyat China yang berada dalam Penerbangan MH370 mengugut untuk melancarkan mogok lapar di Beijing dalam usaha mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai kehilangan pesawat itu.
  
Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Jauhari Yahya berkata beliau akan menyiasat laporan itu dan sedang berhubung dari semasa ke semasa dengan pasukan Malaysia Airlines di Beijing.

"Jika sesuatu seperti itu berlaku, Malaysia Airlines sudah tentu akan menyiasatnya dengan segera.
  
"Dengan segala yang kami mampu, kami memberi jaminan bahawa kami telah memberi bantuan yang mencukupi, maklumat dan penjagaan kepada semua ahli keluarga di Beijing," kata beliau dalam sidang media mengenai kehilangan Penerbangan MH370, di sini hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mengakui terdapat kelemahan kerajaan dalam menguruskan isu kehilangan pesawat MAS MH370.

Pengakuan itu dibuat beliau ketika mencelah perbahasan Titah Diraja oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

"Betul, kita akui ada kelemahan. Kita pun rasa insiden ini agak luar biasa sebab tiada petunjuk.

"Kita terpaksa mencari dalam gelap," kata beliau.

Terdahulu Anwar dalam ucapannya menegur sikap kerajaan yang bercelaru dalam menangani krisis, khusus dalam isu kehilangan MH370.

Ianya termasuk kenyataan-kenyataan bercanggah di antara pemimpin negara dan pihak keselamatan yang mengelirukan semua pihak yang menanti penuh harapan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kelemahan tersebut turut menjadi bualan negara-negara luar sehingga kerajaan Vietnam dan China menzahirkan rasa kecewa kerana  mendapat maklumat terhad dari Malaysia.

Kelemahan itu juga menjadi tajuk utama media luar negara sekaligus menjejaskan imej negara di mata dunia.

"Mereka bukan tanya kapal terbang duk di mana, itu bomoh dah jawab.

"BN kata kita main politik. Tapi dengan cara kita urus krisis ini, jahanam imej kita," kata beliau.

Beliau juga menyelar sikap pihak yang membenarkan sekumpulan bomoh membuat ritual di KLIA yang disifatkan sebagai khurafat yang juga memalukan negara.

"Saya minta siasat siapa terlibat, siapa urus siapa bayar," kata beliau lagi.

Dalam pada itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah berkata, dalam isu pengurusan krisis kehilangan MH370 ini, bukan sahaja negara hilang kapal terbang, penumpang serta anak kapal, tetapi juga hilang kredibiliti pemimpin negara.
KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengetuai misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MAS MH370 yang masih hilang.

Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kenyataan dan penjelasan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abd Rahman yang menjadi Pengarah Operasi SAR bagi pesawat MH370, dilihat bercelaru dan sangat kelam kabut.

Apatah lagi katanya isu kehilangan MH370 ini menjadikan Malaysia sedang dilihat oleh seluruh dunia.

Untuk tidak menambah kekeliruan dan menjaga nama baik Malaysia, beliau mencadangkan agar Najib sendiri mengepalai SAR ini.

"Setujukah menteri supaya Perdana Menteri sendiri yang lead (ketuai) operasi SAR agar sumber maklumat itu tepat dari mulut beliau?" soal Mujahid kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Isu kecelaruan dan percanggahan jawapan oleh Azharuddin terhadap beberapa isu berkaitan kehilangan pesawat MH370 menjadi perbualan banyak pihak termasuk di peringkat antarabangsa.

Ianya termasuk dakwaan kononnya dua penumpang yang menggunakan pasport curi itu bukan dari kalangan orang Asia tapi Eropah dan terdapat lima penumpang yang sudah daftar masuk tapi tidak menaiki pesawat tersebut.

Malah dalam kes penumpang yang dikatakan mirip orang Eropah itu, Azharuddin pergi lebih spesifik apabila mengatakan salah seorang dari mereka kelihatan seperti pemain bolasepak AC Milan – Mario Barwuah Balotelli.

Walhal dari fotofit yang diedarkan polis semalam, kedua-duanya tidak langsung kelihatan seperti Mario malah salah seorang darinya dikenalpasti pula sebagai warga Iran.

Dalam isu lima penumpang yang mendaftar masuk tetapi tidak menaiki pesawat itu, MAS juga mengeluarkan kenyataan bahawa hanya empat orang yang tidak menaikinya.

Terdahulu, Mujahid dalam soalan beliau meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini kelengkapan kapal/bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi memastikan keselamatan perairan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan