Jumaat, 28 Mac 2014

IN SYA ALLAH KEZALIMAN YANG DILAKUKAN DAPAT BALASAN SETIMPAL DARI ALLAH SWT

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) melahirkan kebimbangan dengan peranan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan juga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) setelah peranan mereka selama ini kini telah diambil alih oleh Perbadanan Menteri Besar atau Menteri Besar Incorporated (MB Inc) Perak.

“Ianya berdasarkan aduan serta perolehan maklumat dan beberapa carian keterangan melalui Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan menjelaskan tahap peranan yang telah dimainkan oleh MB Inc,” ujar Pengerusi Penyedar, Asmuni Awi dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, katanya Penyedar ingin memfokuskan kerisauan apa yang sedang berlaku secara senyap telah ‘membunuh’ peranan dan fungsi utama anak-anak syarikat kepada PKNPk dan yang lainnya secara khusus.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (Penyedar) melahirkan kebimbangan dengan peranan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Perak melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) dan juga Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak (PKEINPk) setelah peranan mereka selama ini kini telah diambil alih oleh Perbadanan Menteri Besar atau Menteri Besar Incorporated (MB Inc) Perak.

Ianya berdasarkan aduan serta perolehan maklumat dan beberapa carian keterangan melalui Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan menjelaskan tahap peranan yang telah dimainkan oleh MB Inc.

Penyedar ingin memfokuskan kerisauan apa yang sedang berlaku secara senyap telah ‘membunuh’ peranan dan fungsi utama anak-anak syarikat kepada PKNPk dan yang lainnya secara khusus.

Melalui kajian Penyedar, PKNPk adalah badan organisasi yang paling terkesan dipinggirkan melalui beberapa anak-anak syarikat miliknya seperti Syarikat Perak Corporation Berhad iaitu syarikat berasaskan pembangunan infrastruktur dan bandar baru serta selain itu Syarikat Majuperak Holdings Berhad, iaitu sebuah syarikat pembangunan hartanah dan perladangan turut mendapat tamparan hebat.

Kini berlaku seolah-oleh wujud persaingan antara syarikat-syarikat di bawah naungan Kerajaan Negeri dan MB Inc.

Penyedar sedar MB Inc adalah satu lagi entiti yang mewakili Kerajaan Negeri Perak dalam urusan perniagaan dan korporat berkaitan dengan kepentingan negeri, akan tetapi persaingan perlu ditumpukan kepada kerangka luar daripada persaingan berbentuk dalaman.

Selain itu,telah timbul juga keresahan dan beberapa bentuk tuduhan terhadap MB Inc antaranya seperti telah membolot dan mendapat semua projek yang diluluskan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Bentuk persaingan yang berlaku hanya menafikan matlamat penubuhan anak-anak syarikat yang dibentuk secara halus oleh kerana ruang yang sebelum ini ada disekat dan dikurangkan. Dalam perkara ini, hanya MB Inc boleh jelaskan kenapa dan mengapa perkara ini harus berlaku di Perak?

Berdasarkan itu, di sini disertakan beberapa dakwaan yang melibatkan MB Inc seperti projek mega di atas tanah bekas lombong berkeluasan 587 hektar di Lembah Kinta dekat Batu Gajah yang dinamakan ‘Kinta Lake District’untuk dibangunkan projek perumahan yang boleh diserahkan MB Inc khasnya kepada anak syarikat PKNPk iaitu Syarikat Perak Corporation Berhad atau Syarikat Majuperak Holdings Berhad.

Yang terbaru melalui Laporan Ketua Audit Negara 2012, kawasan perlombongan tanah liat di Mukim Trong Daerah Larut, Matang dan Selama seluas 298 ekar yang dahulu dikendalikan juga oleh anak syarikat PKNPk iaitu PIRB Mineral Sendirian Berhad semenjak tahun 2005 sebelum Perak Teamwork mengambil alih pada tahun 2008 ketika itu.

Tetapi pada tahun 2012 pula, Perak Teamwork hilang kelayakan mengurus tapak perlombongan tanah liat tersebut dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (PTG) telah menyerahkannya pula kepada MB Inc dan Perak Teamwork diberikan kelulusan oleh MB Inc untuk mengendalikan seluas 25.01 ekar daripada keluasan yang kini dikendalikan sepenuhnya oleh MB Inc iaitu 298 ekar.

Keadaan ini jelas dan pelik kenapa anak-anak syarikat berurus niaga antara satu sama lain sedangkan ianya mampu menguruskan sendiri sesuatu projek tersebut.

Ini mungkin sebahagian maklumat yang boleh dikongsikan dan boleh dinilai oleh semua pihak akan kenapa dan mengapa MB Inc lakukan dan apakah tujuan berlakunya perkara tersebut dalam urusniaga di Perak.

Di dalam laporan media yang terbaru, MB Inc telah mengadakan perjanjian usahasama berkaitan perusahan perlombongan iaitu perlombongan batu silika dan juga penerokaan lombong.

Usahasama perlombongan batu silika dengan syarikat galian dari Negara Singapura, OM (ANR) Resources Sendirian Berhad bagi usaha sama untuk membangunkan projek perlombongan batuan silika seluas 120 hektar.

Hasil daripada itu, MB Inc hanya akan memperolehi 40 peratus sahaja hasilnya yang akan datang dan selebihnya kepada syarikat galian milik Singapura itu. Manakala bagi usahasama penerokaan lombong untuk menjalankan kaji selidik, pemetaan, perancangan, mencari gali biji timah dengan Syarikat CNMC Goldmine Holdings Limited, menerusi unitnya MCS Tin Holdings Sendirian Berhad (MCS).

MCS akan memegang 80 peratus pegangan dalam syarikat usahasama itu manakala MB Inc akan memegang baki 20 peratus sahaja hasil daripada projek tersebut.

Dalam perkara ini, Penyedar terlintas mempersoalkan kemampuan syarikat-syarikat tempatan yang mempunyai rekod yang begitu baik dan perjanjian usahasama yang bersifat ‘menang-menang’ tidak dijalinkan oleh MB Inc.

Adakah untuk menjaga kepentingan Negeri Perak, sesuatu perjanjian usahasama projek tertentu perlu mendapatkan pihak luar untuk menjayakannya?

MB Inc adalah sebuah entiti Kerajaan Negeri Perak di bawah Menteri Besar Negeri Perak, baik buruk perancangan dan pelaburannya akan memberikan kesan dalam jangka masa pendek dan panjang ke atas kemajuan ekonomi di Perak khususnya.
KUALA LUMPUR: Program Jom Kerja adalah antara aktiviti yang terdapat dalam Program Jelajah Generasi Idaman Selangor (GeMS) yang akan diadakan di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat, pada 5 hingga 6 April ini.

Program anjuran Exco Pendidikan Negeri Selangor itu diadakan bagi menangani isu gejala sosial yang melanda masyarakat khususnya generasi anak muda dan pembangunan modal insan secara holistik.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali ketika mengajak kehadiran orang ramai berkata, program itu membabitkan semua jabatan dan agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan.

“Antara program yang diadakan termasuk program Jom Kerja membabitkan ‘walk in interview’ untuk pengambilan pekerja dan bengkel menangani gejala peringkat daerah bagi mengenal pasti punca dan langkah pencegahan gejala sosial di daerah.

“Bengkel menangani gejala sosial ini membabitkan jabatan atau agensi kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Penggerak Belia Tempatan, AJK Masjid dan Surau,” katanya dipetik Selangor Kini.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus selesai Mesyuarat Exco Kerajaan Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), di Shah Alam semalam.

Program menarik lain yang turut diadakan adalah Kuala Langat Berselawat oleh Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan penduduk sekitar Kuala Langat, selain Forum Santai, Ceramah Santai Keibubapaan serta Forum Jejak Ilmuan.

Turut diadakan dalam program dua hari itu adalah aktiviti pameran dari jabatan dan agensi kerajaan, pertandingan bola sepak pantai, pertandingan memanah, pertandingan paintball dan menunggang kuda.
KUALA LUMPUR: Cuaca buruk yang melanda selatan Lautan Hindi memaksa operasi pencarian penerbangan MH370 yang memasuki hari ke-20 hari ini ditangguh sekali lagi.

Operasi hari ini yang bermula awal pagi melibatkan 11 pesawat dan lima kapal, terpaksa ditangguh apabila keadaan cuaca semakin merosot menjelang tengah hari.
  
"Semua pesawat kembali ke Perth dan kapal pula belayar meninggalkan kawasan pencarian," kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam laman Twitternya.

Pagi ini, AMSA dalam satu kenyataan menyebut operasi hari ini dibahagi kepada dua kawasan dalam zon pencarian yang sama meliputi keluasan 78,000 kilometer persegi.

Pada peringkat awal, operasi pencarian pesawat Malaysia Airlines itu yang membabitkan pelbagai negara dilancar di Laut China Selatan sebelum diperluas ke kawasan daratan dan laut di barat Semenanjung Malaysia termasuk Lautan Hindi, selepas penemuan menunjukkan pesawat mengubah haluan jauh daripada laluan asal.

Berdasarkan kaedah analisis yang tidak pernah dilakukan sebelum ini menggunakan data satelit Inmarsat dan siasatan Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB), pesawat itu dirumuskan terbang di sepanjang koridor selatan dan kedudukan terakhirnya di tengah-tengah Lautan Hindi, barat Perth.
  
Bersandarkan maklumat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin malam mengumumkan penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi. - Bernama
MUKAH: Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Sarawak yang diketuai Mohd Fizuan Zaidi meneruskan gerak kerja kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Balingian bermula hari penamaan calon dan dipertingkatkan lagi dengan kehadiran jentera PRK Kajang yang berakhir minggu lalu.

Bendahari PAS negeri, Mohd Azwani Abdul Rani berkata, fokus PAS adalah di beberapa UPU seperti Judan, Tellian dan Litong yang majoriti pengundi adalah Melayu Melanau.

Untuk rekod, katanya undian bagi UPU itu amatlah rendah bagi calon Pakatan Rakyat sebelum ini sama ada semasa pilihan raya negeri 2011 dan PRU 2013 dengan undi kurang lima peratus daripada jumlah pengundi.

“Sasaran Pakatan dalam PRK Balingian kali ini ialah meningkatkan peratusan undi Pakatan kepada 30 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Justeru, jelasnya PAS negeri mengadakan beberapa program seperti tahlil, ceramah kelompok dan pertandingan dart.

Menurutnya, dengan calon anak tempatan yang dikenali ramai, berkeperibadian baik, serta sentimen peralihan kuasa kepada Ketua Menteri baru yang masih baru di Mukah dan Balingian, potensi itu mampu dicapai.

“Setakat ini lebih 40 jentera tempatan dari Bintulu, Kakus, Miri, Sibu, Tupong dan Petrajaya hadir membantu gerek kerja JPRK Mukah serta rakan Pakatan di samping kehadiran pimpinan PAS Pusat diketuai Timbalan Presiden dan Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat, Pemuda dan Muslimat,” jelasnya.

Sehubungan itu, katanya kepada yang berhajat menyumbang kepada jentera PAS Sarawak boleh berhubung dengan beliau atau menyalurkan melalui akaun Bank Islam 11013010023984.

KUALA LUMPUR: Usul bagi membincangkan isu hukuman mati terhadap 529 pemimpin dan ahli Ikhwan Muslimin Mesir ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Usul tersebut dikemukakan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat) di bawah peraturan mesyuarat 18 (1), pada 25 Mac lalu dan dibaca hari ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagaimanapun menolak usul itu dalam kamar.

Kamarudin berkata, beliau menghormati keputusan itu namun kecewa dengan sikap Wisma Putra yang berdiam diri dalam isu ini.

Sedangkan kata beliau, Amerika Syarikat serta bahagian Hak Asasi PBB pun menyatakan kecaman terhadap keputusan mahkamah tentera itu.

Ketika menjelaskan penolakan itu, Pandikar bagaimanapun berkata ia dibuat sebagai menghormati perundangan negara tersebut dan berpendapat usul itu tidak perlu disegerakan.

Mencelah kemudian, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun dan meminta Pandikar menimbang semula agar isu itu dibahaskan di Dewan Rakyat.

"Yang Dipertua, bagaimana tidak perlu disegerakan, ini hukuman gantung, kezaliman mahkamah tentera, tak kan ini pun nak hormat juga," kata beliau.

Sementara itu, Kamarudin dalam sidang media selepas itu turut mengulangi desakan agar kerajaan Malaysia tidak berdiam diri dalam isu berkenaan.

Menurut beliau, Malaysia perlu menggerakkan negara-negara OIC dan PBB untuk segera mengambil tindakan terhadap kerajaan kudeta Mesir.


Isu hukuman mati Mursyidul Am Ikhwan Muslimin, Prof Dr Mohamed Badie bersama 529 orang penyokong Ikhwan Muslimin (IM) di Mesir beberapa hari lalu seperti tidak mendapat tempat di hati pemimpin-pemimpin dunia Islam.

Ia seakan berita basi dan tidak sensasi, apatah lagi mengetuk pintu hati pemerintah negara Islam untuk sama-sama bangkit melenting dengan keputusan mahkamah rimba Mesir.

Hanya rakyat di negara masing-masing yang bangun berdemonstrasi, berarak memberi bantahan tanda kemarahan umat yang tidak terungkapkan.

Hanya seorang pemimpin yang bangun mengkritik Mesir dan dunia, dan beliau adalah Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki.

Lihatlah betapa beraninya beliau berucap di hadapan rakyatnya tanpa mengendahkan risiko dan pandangan Barat, khususnya Amerika Syarikat dan Israel yang sentiasa mengintai musuh-musuh mereka untuk diratah selepas ini.

Sebelum ini beliau juga yang lantang bersuara membela umat Islam yang dibunuh di Syria dan Semenanjung Gaza.

Ketika pemimpin Islam dunia sibuk dibuai kesenangan dan lena dengan dunia masing-masing, Erdogan bagun membela mangsa yang dizalimi.

Seharusnya pemimpin Islam dunia merasa malu dengan keberanian Erdogan menyuarakan pembelaannya.

Sebelum ini, apabila pemimpin Jamiat El-Islamiy Bangladesh dihukum mati, tidak ada seorang pun pemimpin negara Islam menentang hukuman ini.

Sekarang berlaku pada pemimpin IM, dan selepas ini berlaku pula terhadap mana-mana pemimpin Islam di mana-mana negara, mungkin juga nada sepi dan kaku yang sama dimainkan tanpa sebarang tindakan.

Dan hanya Erdogan sebagai pemimpin tunggal negara Islam yang mewakili pemimpin dunia Islam bersuara membela mangsa dizalimi, seolah-olah hanya Erdogan seorang pemimpin negara Islam di dunia ketika ini.

Saya juga merasa sedih kerana pemimpin Malaysia tidak merasa terpanggil untuk turut prihatin menangisi kematian demokrasi di Mesir.

Wisma Putra dan Kementerian Luar Negara memandang sepi isu ini, seakan-akan ia tiada kena mengena dengan umat Islam, dan apa yang berlaku di Mesir adalah urusan dalaman mereka justeru Malaysia tidak akan mencampurinya.

Saya melihat, jika inisiatif dilakukan oleh Malaysia, dengan Perdana Menteri berusaha mendapatkan sokongan negara Islam lainnya, serta tegas dengan prinsip sebagaimana Erdogan, selain menggunakan Pertubuhan Negara-Negara Persidangan Islam (OIC) dan lain-lainnya, pasti ia akan menjadi isu global yang hangat.

Rejim Abdul Fattah As Sisi pasti tidak akan merasa selamat dan berfikir dua kali untuk terus mengganas dibuminya.

Negara umat Islam adalah kuat dan utuh jika mereka bersatu yang tidak mungkin dapat dicabar oleh musuh utama, iaitu Israel dan Amerika Syarikat.

Semenanjung Gaza dan Palestin, Mesir dan Syria tidak mampu diusik jika semua pemimpin memainkan peranan utama menghalang kezaliman terus berlaku.

Namun umat Islam menyedari betapa lemahnya pemimpin negara ini serta negara-negara Islam dalam menangani isu seperti ini.

Beruntungnya Turki kerana melahirkan insan sehebat Recep Tayyip Erdogan yang mengharum namanya menjadi benteng mempertahankan umat di zaman ini.
GEORGE TOWN: Penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang secara misteri di bawah tender terhad menimbulkan persoalan serius mengenai kepentingan awam, kebertanggungjawaban dan ketelusan, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Ini, katanya berikutan pendedahan dalam jawapan bertulis kepada soalan Parlimen beliau daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar bahawa perjanjian antara pembida yang berjaya, Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd telah dimuktamadkan dalam perjanjian tambahan pada 23 November 2013.

“Melainkan pengumuman penuh dibuat oleh Kementerian Pengangkutan, penswastaan ini akan dilihat sebagai satu lagi tindakan melanun harta rakyat sebagaimana yang dilakukan oleh syarikat konsesi tol lebuh raya,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Katanya, keengganan Kementerian Pengangkutan setakat ini untuk membuat sebarang penjelasan awam bagaimana penswastaan ini bermanfaat untuk kepentingan awam jelas memperlihatkan keangkuhan, kerahsiaan dan salah urus yang merangkumi etos BN yang penuh dengan pilih kasih, politik naungan dan konspirasi.

Ini, jelasnya berdasarkan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 24 Mac lalu.
KUALA LUMPUR: Sebanyak 21 kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana manakala 31 lagi merekodkan IPU baik, setakat 8 pagi ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), antara kawasan yang berada pada paras sederhana ialah Alor Setar dengan bacaan 56, Bakar Arang (Sungai Petani) (63), Bandaraya Melaka (52), Nilai (63), Balok Baru (Kuantan) (52), Seri Manjung (67), Perai (61), Banting (63), Pelabuhan Klang (65) dan Kuala Selangor (70).
  
Antara kawasan catat IPU baik pula ialah Kota Tinggi (33), Pasir Gudang
(43), Langkawi (28) dan Seremban (44).
  
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
      
Orang ramai boleh merujuk portal http://www.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU di kawasan masing-masing. - Bernama
KUALA LUMPUR: Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (Ilmam) mengucapkan takziah buat keluarga Datuk Osman Jantan (gambar) atau lebih dikenali dengan nama Ali Mamak atas pemergian beliau ke rahmatullah pagi ini.

Menurut Presidennya, Syed Abdul Kadir Aljoofre, Almarhum pernah bersama Ilmam dalam Pray 4 Live in Concert di Bandar Baru Bangi, tahun lalu.

“Beliau dan Abang Abon, sanggup bergegas pulang dari Johor, untuk bersama memberi sumbangan untuk rakyat Mesir, Syria, Gaza dan Rohingya pada malam tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, nasihat santai Almarhum pada malam tersebut diselitkan dengan lawak jenaka sangat memberi kesan kepada yang hadir.

“Buat keluarga Almarhum, Ilmam mengucapkan, moga Allah besarkan pahala kalian, diperbaiki urusan takziah, dan diampunkan dosa Almarhum,” katanya lagi.

Ali merupakan pelawak era 1980-an dilaporkan meninggal dunia jam 4.20 pagi tadi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) kerana kanser tahap kedua.
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam dimaklumkan bahawa sememangnya tentera Amerika Syarikat hadir ke Kelantan pada awal bulan ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, kehadiran mereka dari 18 hingga 21 Mac sebagai membuat latihan tahunan.

"Sememangnya kehadiran tentera Amerika Syarikat di Kelantan dua minggu pada tahun ini.

"Aktiviti latihan tahunan 3 strikes bermula 18 hingga 21 Mac dan akan diadakan lagi pada 17 hingga 29 September 2014," kata beliau.

Menurutnya lagi, kehadiran tentera USA RPAC itu juga menjalankan latihan bencana alam seperti banjir dan junggle wellfare.

Turut terlibat dalam latihan itu termasuk pasukan Markas 8 Briged serta Markas Tentera Darat.

Isu kehadiran tentera Amerika Syarikat sebelum ini dibangkitkan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang mendakwa ianya mendatangkan kecurigaan  yang besar di kalangan rakyat Kelantan.

Berucap membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, beliau telah meminta penjelasan daripada pihak kerajaan berhubung isu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan