Sabtu, 28 Disember 2013

FAHAMI BERTAPA ALLAH ITU MAHA KUASA....JADI JANGANLAH BERLAGAK SANGAT...KITA SETAKAT MAHKLUK SAJA....KALAU TAK SEDAR JUGA...MEMANG BODOH SANGATLAH

SHAH ALAM: Insiden longgokan sampah di Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) pada minggu lalu didakwa berpunca daripada pengurusan syarikat kontraktor sampah tidak berpengalaman.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata syarikat Umpan Jaya Sdn Bhd yang dianugerahkan kontrak mengurus Pusat Pemindahan Sampah Taman Beringin, Kepong itu hanya berpengalaman menaikkan paras tanah timbus di beberapa kawasan sebelum ini.

Katanya, syarikat itu juga dipercayai dimiliki bekas Ketua Umno Bahagian Batu Kawan bersama ahli keluarganya.

“Mengapa pihak kerajaan memberi kontrak kepada syarikat ini walaupun mereka tidak mempunyai pengalaman luas untuk menguruskan pusat pemindahan sampah. Adakah kerana ia dimiliki bekas pimpinan Umno,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga didakwa gagal mengambil langkah awal bagi menangani masalah itu walaupun menyedari syarikat kontraktor berkenaan tidak beroperasi dengan baik.

Beliau berkata, sikap DBKL yang sengaja membiarkan situasi itu menyebabkan kejadianitu mengganggu lalu lintas dan keselesaan orang ramai.

“DBKL sedar Umpan Jaya menghadapi banyak masalah operasi di Taman Beringin tetapi kenapa tidak mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan sampah diuruskan dengan betul dan dipindahkan ke Pusat Pelupusan Sampah Bukit Tagar,” katanya.

Beliau turut mendesak Menteri Kesejahteran Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan untuk mendedahkan kos kontrak pengurusan yang diberi kepada Umpan Jaya dan bagaimana syarikat itu boleh dilantik.

“Menteri juga diminta beri jaminan yang pihak terbabit disiasat dengan teliti dan dikenakan tindakan sewajarnya jika didapati bertanggungjawab, bahkan jaminan kontrak seterusnya akan diberi melalui tender terbuka,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok sepanjang bahu jalan MRR2 menyebabkan kesesakan teruk dan penduduk serta pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau busuk sepanjang jalan itu. - Selangorkini

KUALA LUMPUR: Saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) sesi 2013-2015 telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, semalam dengan diketuai oleh ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin.

Delegasi DPPWP telah disambut oleh ACP Rasdi, Ketua Turus Pentadbiran IPK sendiri.

Selepas muktamar yang lalu, pihak DPPWP telah mengadakan beberapa siri political engagements untuk mengukuh dan membina jambatan diplomasi bersama dengan pihak-pihak tertentu.

“Ini merupakan siri yang ketiga selepas lawatan ke pejabat media The Star mengenai isu Memali dan pejabat editorial Harakah pada 23 Disember lalu,” kata Khairil Nizam.

Tambahnya, tujuan kunjungan hormat kali ini diadakan adalah untuk mengemukakan kertas cadangan bagi merangka kerjasama dalam operasi bersepadu sempena sambutan malam tahun baru yang sering diadakan pada malam 31 Disember sehingga awal pagi.

Beliau berkata, seperti kebiasaannya, pihak DPPWP akan mengadakan program ekspedisi dakwah di beberapa lokasi tumpuan seperti di lingkungan ‘Segi Tiga Emas Kuala Lumpur’, sekitar Kuala Lumpur City Centre, kawasan rekreasi Putrajaya, Sri Hartamas dan Mont Kiara.

Katanya, DPPWP melihat krisis moral semakin bejat.

Menurutnya, pada bulan September lalu, pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menjawab pertanyaan daripada Ahli Parlimen Batu Gajah serta mendedahkan sebanyak 417 kes pembuangan bayi telah direkodkan dalam tempoh 2009 hingga bulan Ogos 2013. Ini bermakna secara purata sebanyak 7 kes sebulan.

Dalam dapatan statistik yang lain juga, ujarnya pihak Jabatan Pendaftaran Negara telah mendedahkan seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tidak sah taraf direkodkan dalam tempoh 2008 hingga 2010.

Wilayah Persekutuan telah mencatatkan seramai 12,095 orang iaitu yang kelima selepas Sabah (41,490), Selangor (18,983), Sarawak (17,570) dan Johor (16,298).

“Maka, pada kali ini DPPWP melihat perlu wujudkan satu operasi bersepadu antara pihak-pihak berautoriti dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan bagi membendung aktiviti-aktiviti tidak bermoral khususnya dikalangan anak muda,” ujarnya.

Menurutnya lagi, laporan-laporan yang didedahkan oleh pihak media sebelum ini telah membuktikan berlakunya aktiviti-aktiviti mungkar secara berleluasa.

Katanya, pihak polis Wilayah Persekutuan telah menyambut baik semua cadangan tersebut dan menggalakkan pertemuan-pertemuan seperti itu dapat diadakan pada masa akan datang.  
KUANTAN: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata kekurangan bekalan diesel hanya berlaku di Lembah Klang, Selangor dan Johor.
  
Beliau berkata ini berdasarkan aduan yang diterima kementeriannya setakat ini.
  
"Sebenarnya permintaan diesel di Sabah dan Sarawak lagi tinggi berbanding di Semenanjung, namun kita tidak menerima laporan kekurangan bekalan di negeri berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menemui warga Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri di sini semalami.
  
Hasan juga tidak menolak isu kekurangan bekalan diesel di stesen-stesen minyak itu berpunca daripada sindiket penyeludupan.
  
"Oleh itu, saya akan pastikan pegawai dan anggota penguat kuasa kita melakukan tugas pemantauan dan mengambil tindakan lebih tegas terhadap sindiket atau peniaga yang tamak ini," katanya.

Menurut Hasan, andaian pembabitan sindiket penyeludupan itu berasaskan kepada penurunan jumlah permohonan menambah kuota daripada pengusaha stesen minyak di seluruh negara sejak kebelakangan ini.
  
Pada Oktober lalu kementerian memproses 119 permohonan dan menurun kepada 60 pada bulan lepas dan bagi tempoh bulan ini sehingga semalam kementerian menerima 18 permohonan, katanya.
  
"Kalau kita tengok jumlah permohonan ini, maknanya masalah bekalan tidak sepatutnya berlaku," katanya.
  
Sementara itu beliau berkata pihaknya berjaya mengurangkan aduan kekurangan bekalan diesel selepas melaksanakan prosedur operasi standard baharu yang membolehkan permohonan menambah kuota diproses dan diluluskan dalam tempoh tiga hari. - Bernama
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menggesa kerajaan negeri serius dalam membasmi gejala sosial khususnya generasi muda pada sambutan tahun baru nanti.

“Jika dilihat pada setiap tahun, Pemuda PAS tidak nampak keseriusan kerajaan untuk membasmi masalah itu sebaliknya mengundang kepada masalah itu berleluasa dengan penganjuran program-program yang tidak menepati syarak.

“Ianya juga sekali gus melanggar etika yang digariskan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri, Mohd Syamsul Alaudin dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru, kata beliau pihaknya menggesa kerajaan negeri melalui agensinya termasuklah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) agar lebih proaktif untuk meninjau perjalanan sambutan tahun baru khususnya di kawasan-kawasan tumpuan masyarakat agar aktiviti maksiat tidak sewenang-wenangnya berlaku.

Katanya, dalam penganjuran program sambutan tahun baru pada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan negeri langsung tidak sensitif dengan batasan agama apabila perjalanan program tersebut tidak menepati garis panduan yang diajar oleh Islam.

“Kerajaan Negeri Perak seharusnya mencontohi Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang menganjurkan program-program bersifat keagamaan di malam tahun baru dengan menampilkan tokoh agamawan dan selebriti yang menjadi tarikan ke arah kebaikan,” katanya lagi.

Ini, ujar beliau secara tidak langsung mengurangkan kes gejala sosial di samping menarik minat masyarakat khususnya generasi muda untuk bersama-sama ke majlis yang lebih bermanfaat.

“Malam tahun baru ini adalah salah satu medan dakwah kepada masyarakat melalui penganjuran program-program bermanfaat namun ianya terletak kepada kebijaksaan kerajaan,” katanya.

Justeru, ujarnya Pemuda PAS negeri memberikan harapan tinggi kepada kerajaan untuk mengerjakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin pada malam tahun baru ini.

“Pemuda PAS akan turun meninjau di samping mengambil peluang itu untuk menyebarkan dakwah di dalam kelompok masyarakat nanti,” kata beliau.
BANGKOK: Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand menggesa pilihan raya umum yang ditetapkan pada 2 Feb ini ditangguh selepas konfrontasi ganas antara polis antirusuhan dan penunjuk perasaan yang menuntut agar pilihan raya itu diboikot, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai polis.
  
Pesuruhjaya SPR Somchai Srisuthiyakorn berkata pilihan raya umum itu patut ditangguh sehingga semua pihak yang terbabit dalam konflik menyelesaikan pertikaian mereka.
  
Konfrontasi ganas di pusat pendaftaran pilihan raya di stadium Thai-Jepun itu memaksa pegawai SPR dipindah menggunakan helikopter manakala wakil parti politik oleh van selepas mereka selesai merumuskan nombor senarai parti yang bertanding pada pilihan raya umum di kertas undi.
  
Polis antirusuhan menggunakan gas pemedih mata, peluru kapur dan penyembur air terhadap penunjuk perasaan sejak 7 pagi.
  
Para pegawai mengesahkan seorang anggota polis mati selepas ditembak.

Jumlah mangsa yang cedera setakat 2 petang ini ialah 61 orang, dan mereka menerima rawatan di tujuh hospital.
  
Satu lagi keganasan dilapor berlaku di depan Kementerian Buruh pada sebelah petang semalam dan polis antirusuhan terpaksa menggunakan gas pemedih mata terhadap penunjuk perasaan. - Bernama


KOTA KINABALU: Pencerobohan kumpulan militan dari selatan Filipina di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari lepas bukan sahaja mengejutkan negara, tetapi turut menandakan episod hitam dalam sejarah Sabah.
  
Walaupun Sabah tidak terkecuali daripada percubaan keturunan kesultanan Sulu untuk menuntut tanah itu, pencerobohan berkenaan yang menimbulkan perasaan panik dalam kalangan orang ramai di seluruh negeri ini adalah yang terburuk.
  
Bagaimanapun, pengerahan segera anggota keselamatan dan penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dengan menjadikan Lahad Datu sebagai pangkalannya memulihkan keyakinan masyarakat terhadap keselamatan mereka di kawasan itu.
  
Ia diikuti tindakan merobohkan beberapa perkampungan air dan petempatan haram yang berpotensi menjadi tempat persembunyian penceroboh dan pemeriksaan ketat dibuat di semua pintu masuk di negeri ini.
  
Pemantauan dan rondaan ketat di darat dan di laut, dengan mengenal pasti pintu masuk haram, mengurangkan cubaan warga asing menjejakkan kaki di Sabah secara haram, yang juga membantu membina keyakinan dalam kalangan rakyat Sabah.

Bagaimanapun, ketakutan menyelubungi kembali selepas pelancong lelaki Taiwan berusia 57 tahun ditembak mati di sebuah resort di Pulau Pom-Pom berhampiran Semporna, manakala teman senegaranya, Chang An Wei, 58, diculik awal pagi 15 Nov.
  
Pasangan itu bercuti di pantai timur Sabah apabila lelaki bersenjata yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Abu Sayyaf menyerbu vila mereka dan membawa wanita itu menggunakan bot ke Pulau Jolo di Filipina.
  
Pada 20 Dis, penculik Chang membebaskannya di selatan Filipina sebelum pihak berkuasa negara itu menemui mangsa pada hari yang sama di kawasan hutan antara Maimbung dan Indanan di Jolo.
  
Terdahulu, kerajaan Malaysia menguatkan keyakinan tentang keselamatan Chang kerana ia telah menghubungi rakan sejawatannya dari Filipina.
  
Pada masa sama, Ketua Pengarah Esscom Datuk Mohammad Mentek menyeru pengusaha pusat peranginan di pulau di negeri ini terutama di pantai timur Sabah supaya bekerjasama dengan anggota keselamatan mengawal kawasan mereka.
  
Susulan insiden itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Masidi Manjun berkata pasukan petugas khas terdiri daripada wakil kementeriannya, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Jabatan Imigresen dan agensi lain yang berkaitan ditubuhkan bagi memastikan hanya pengusaha resort yang sah sahaja dibenarkan beroperasi di kawasan peranginan di Semporna.

Awal tahun ini, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah bersidang buat pertama kali pada 14 Jan.
  
Panel lima anggota RCI diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong selaku pengerusi suruhanjaya itu.
  
Penubuhan RCI dan pelantikan anggota suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha menyelesaikan masalah berpanjangan yang dihadapi Sabah, dengan terma-terma rujukan untuk dipatuhi termasuk siasatan bilangan pendatang di negeri itu yang ditawarkan kad pengenalan atau kewarganegaraan.
KUALA LUMPUR: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) tidak pernah mengeluarkan sebarang amaran akan berlaku tsunami dalam tempoh 36 jam di kawasan Borneo sebagaimana yang tersebar di laman sosial.
  
Menurut jurucakap Pusat Amaran Awal Tsunami Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia, selain tidak mengeluarkan amaran tsunami, JMA tidak mengesan sebarang gempa bumi yang boleh mencetuskan tsunami.
  
"Kita telah periksa dengan JMA, mereka tidak ada keluarkan apa-apa amaran sama ada (mengenai) tsunami atau gempa bumi," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.
  
Beliau tidak menolak kemungkinan hujan lebat dan angin kencang di Sabah ketika ini mencetuskan panik dalam kalangan orang ramai yang mengaitkannya dengan kejadian tsunami.
  
Sementara itu, Pengarah Meteorologi Sabah Abdul Malek Tussin berkata pihaknya juga tidak mengeluarkan sebarang amaran tsunami.

"Sayapun tak faham macam mana cerita begini boleh timbul," katanya.
  
Khabar angin bahawa tsunami akan berlaku di Borneo dalam tempoh 36 jam tersebar di laman sosial susulan sekeping gambar laut bergelora, kononnya diambil di kawasan perairan Brunei, dimuat naik di laman sosial termasuk Facebook.
  
Ia mencetuskan panik dalam kalangan penduduk Sabah, yang turut meluahkannya menerusi media sosial. - Bernama
  
Pesuruhjaya lain yang dilantik ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Herman J. Luping, yang juga bekas Peguam Besar Sabah dan bekas Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Kee Mustapha.
  
Sejak itu beberapa siri prosiding diadakan dan berakhir pada 20 Sept lepas tanpa sebarang masalah dan pada hari terakhir prosiding itu Shim berseloroh:  "Ia adalah proses yang lancar. Tidak berlaku pergaduhan, tiada yang baling kerusi. Semua hujah dijalankan secara beradab".
  
Prosiding RCI itu menyaksikan 211 saksi memberi keterangan termasuk ahli politik berprofil tinggi iaitu bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta pemimpin kerajaan negeri seperti Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu Tan Sri Bernard Dompok.

Sementara itu, sebagai sebuah negeri yang kaya dengan biodiversitinya, Sabah dikejutkan dengan penemuan 14 bangkai gajah terancam pigmi di Hutan Simpan Gununung Rara di Tawau.
  
Pada mulanya, Pengarah Jabatan Hidupan Liar negeri Datuk Dr Laurentius Ambu berkata dua bangkai gajah ditemui pada awal Januari, manakala 12 bangkai lagi jenis spesies terancam gajah Asia ditemui selepas melakukan pemeriksaan di kawasan itu.
  
Dipercayai kesemua haiwan itu diracun.

Susulan penemuan kejam itu, pihak berkuasa menemui seekor anak gajah pigmi  berusia tiga tahun yang cuba menggerakkan ibunya yang mati.

Kisah anak gajah yang kehilangan ibu itu, mengundang simpati orang ramai, tetapi khabar gembira menyusul kemudian apabila anak gajah itu yang diberi nama 'Joe' dilaporkan sihat selepas ditempatkan di Zoo Hidupan Liar Lok Kawi di sini di bawah penjagaan kakitangan zoo, Augustine David.
  
Sementara itu, berita pelajar perempuan berusia 12 tahun dirogol lelaki berusia 40 tahun di tepi jalan berhampiran Air Terjun Kionsom di Inanam pada Februari, menimbulkan  kemarahan rakyat terutama pergerakan wanita di Sabah.
    
Kes itu dibawa ke mahkamah dan ia akan diputuskan pada 24 Jan.

Pada 19 Jun, negeri ini dikejutkan dengan berita tiga pelancong dari Hong Kong termasuk dua wanita, tercedera selepas kenderaan mereka dilanggar sebuah kereta api berhampiran Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di Jalan Lintas di Petagas di sini.
  
Dalam insiden 5.35 petang itu, pelancong berkenaan dalam perjalanan ke KKIA untuk menaiki pesawat pada malam berkenaan manakala kereta api itu dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Beaufort.
  
Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini tetapi seorang daripada mereka, lelaki berusia 50-an yang merupakan pemandu kenderaan itu meninggal. - Bernama

 

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan