Jumaat, 15 November 2013

SLOGAN MENDAULATKAN BAHASA MELAYU MULA@DAH LENYAP....JEPUN MAJU GUNA BAHASA JEPUN JE....BAHASA ARAB BAHASA QURAN DAN BAHASA ARAB UNTUK ISLAM

Pendidik mahu keputusan BI wajib lulus dikaji semula

Harakahdaily, 14 Nov 2013

Normala menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan di parlimen.

KUALA LUMPUR: Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan(Pendidik), mahu keputusan kerajaan menjadikan matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib lulus SPM menjelang 2016, dikaji semula.

Presidennya, Normala Sudirman berkata, keputusan terbaru Kementerian Pendidikan Malaysia itu dilihat tidak wajar untuk dilaksana.

"Kami berpendirian bahawa Matapelajaran Bahasa Inggeris tidak sewajarnya dijadikan ‘penanda aras’ bagi kemajuan anak- anak Malaysia sehingga menyebabkan ianya perlu menjadi ‘syarat wajib lulus’ dalam peperiksaan SPM.

"Kami juga ingin menarik perhatian bahawa syarat kemasukan di universiti atau IPTA, telah disyaratkan agar peperiksaan MUET telah diiktiraf sebagai kelayakan khusus untuk diterima mengikuti pengajian di IPTA atau IPTS selain subjek Bahasa Inggeris itu sendiri di universiti .

"Pengumuman syarat baru Bahasa Inggeris menjadi syarat lulus dalam peperiksaan SPM dalam Pelancaran Pelan Pembangunan pendidikan Malaysia (2013- 2025) yang dilancarkan baru-baru ini ,dibimbangi akan mengulangi kesilapan Dasar PPSMI yang telah merugikan wang negara lebih dari RM5 billion," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama katanya, kenapa mata pelajaran Pendikan Islam tidak pula menjadi subjek wajib lulus dalam peperiksaan bermula UPSR ,PMR dan SPM sebelum ini kepada pelajar yang beragama Islam.

Menurutnya, tidakkah ini menafikan ‘roh pendidikan’ agama dalam jiwa 5 juta orang pelajar yang berada dalam arus perdana pendidikan di saat gejala sosial semakin meruncing dan masalah semakin membarah dalam masyarakat?

"Bukankah adalah lebih baik mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral diberi penekanan terhadap pelajar dalam usaha melahirkan modal insane gemilang?," soalnya.

Pendidik juga ujarnya berasa kecewa kerana selain tidak mendapat kelulusan Kabinet di Parlimen Malaysia, tiada satupun ‘sekolah perintis’ diwujudkan untuk mengkaji sesuatu keberkesanan pelaksaanan dasar seperti ini dalam soal pendidikan masa depan anak bangsa.

"Kami bukan menolak kemajuan, sekaligus tidak menafikan kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu , tetapi mensyaratkan agar matapelajaran Bahasa Inggeris akan menjadi syarat wajib lulus SPM menjelang 2016 adalah tidak wajar kerana dasar wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM tidak menepati matlamat memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara," katanya.

Tambahnya, apa yang membimbangkan Pendidik katanya, adalah tindakan terburu- buru bermula 2016 ini seolah- olah ada ‘agenda projek tersembunyi ’untuk mengaut keuntungan melalui perbekalan tender kepada mana-mana individu syarikat tertentu yang berselindung di sebalik retorik pelaksanaan atas dasar kononnya ‘demi masa depan pendidikan negara ‘ .

Menurut beliau lagi, cukuplah dasar PPSMI yang tidak konsisten dan bercelaru hinggakan pelajar dan guru menjadi ‘eksperimen’hingga merugikan dan mengorbankan masa depan anak bangsa.

Implikasinya, terdapat jurang perbezaan ketara antara pelajar bandar dengan di luar bandar atau pendalaman.

Masalah semakin meruncing dengan tiadanya kemudahan prasarana seperti akses internet dan perbekalan elektrik di kawasan luar bandar walaupun pebagai teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) berasaskan ICT disediakan, tambah beliau lagi.

"Kami ingin mendesak agar harus dikaji secara menyeluruh dan holistik sejauh mana kesediaan guru dan pelajar juga prasarana pendidikan dalam membuat keputusan terbaru ini kerana mereka adalah ‘pelaksana dasar ‘ yang akan melaksanakan apa jua keputusan dari kerajaan .

"Jangan mereka yang duduk di ‘kerusi empuk pejabat' hanya tahu membuat keputusan terburu- buru tanpa turun meninjau permasalahan golongan pelaksana dasar ini .Yang akan menjadi mangsa adalah guru dan pelajar serta pentadbir sekolah yang pastinya ‘akan terbeban’ dengan dasar yang tidak diteliti sebelum dilaksanakan pada tahun 2016," tegasnya.

Terdahulu beliau menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan serta ahli parlimen Pakatan Rakyat agar membangkitkannya di parlimen.

Gantung Surendran: Dewan gamat, MP jerit 'usul haram'

Harakahdaily, 14 Nov 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini kecoh gara-gara usul yang mahu dibawa oleh pihak kerajaan untuk menggantung N.Surendran (PKR-Padang Serai) dari persidangan dewan selama enam bulan atas tuduhan menghina Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kekecohan bermula sebelum usul dibentangkan oleh Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketika mesyuarat sedang dipengerusi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Pertikaian timbul terhadap penafsiran peraturan mesyuarat 44 (2) berhubung maksud tempoh dua hari penggantungan terhadap Surendran pada Selasa lalu.

Surendran ketika itu cuba untuk mengemukakan satu usul tergempar bagi membahaskan dakwaan perobohan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman pada Selasa.

Selepas beliau enggan berundur apabila usul itu ditolak, Speaker mengusir Surendran dari tempat duduknya.

Dalam pada itu, Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) mendakwa peraturan mesyuarat itu secara jelas menyebut tempoh dua hari adalah termasuk hari hukuman dijatuhkan oleh speaker.

Pandikar bagaimanapun mendakwa, mengikut penafsirannya tempoh dua hari adalah bermula dengan merujuk waktu jam hukuman mula dijatuhkan.

Beliau kemudian menyebut, mana-mana ahli parlimen tidak bersetuju dengan penafsirannya itu maka boleh mengemukakan bantahan melalui usul.

Bagaimanapun kekecohan berterusan sejurus Timbalan Speaker Datuk Ronald Kiandee, yang menggantikan Pandikar, menjemput menteri membacakan usul penggantungan terhadap Surendran.

Usul penggantungan itu berkait tindakan Surendran ketika mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen, yang didakwa telah menyatakan bahawa Dewan sebagai tidak demokratik dan Speaker berat sebelah ekoran tindakan Speaker mengusinya keluar Selasa lalu.

Bagaimanapun Azmin yang diberi peluang membangkitkan peraturan mesyuarat mendakwa usul yang mahu dibawa adalah 'usul haram' kerana tidak dinyatakan dibawah peraturan mesyuarat yang mana.

Bagaimanapun sepeaker menolak bantahan itu dan menambah bahawa usul akam diletakkan dibawah peraturan 27 (3) dan menjemput menteri membentangkan usul tersebut.

Tidak bersetuju dengan tindakan speaker itu, kesemua ahli parlimen Pakatan Rakyat bangun membantah dan bertikam lidah dengan ahli parlimen BN sehingga dewan kecoh.

Mereka melaungkan ungkapan "usul haram" sepanjang menteri membacakan usul tersebut yang sekaligus menenggelamkan suara menteri.

Mereka juga bertindak menggumpal kertas notis usul yang diberikan kepada mereka, ada sebahagiannya melipatnya sebagai tanda protes.

Kekecohan itu turut menyebabkan speaker mengeluarkan kenyataan seperti "ini sudah seperti Zimbabwe", "kita bukan standard JKKK", tetapi tidak dihiraukan oleh kedua-dua pihak.

Dalam kekecohan itu, speaker pada mulanya membuat keputusan menerima usul tersebut untuk dibahas.

Kerana kekecohan berterusan, speker kemudian memutuskan menerima usul tersebut tanpa bahas atas alasan ahli parlimen dilihat tidak berminat untuk berbahas.

Kemudian ahli parlimen BN meminta undi belah bahagi dan dipersetujui oleh speaker.

Ketika undi belah bahagi dibuat, ahli parlimen Pakatan Rakyat bagaimanapun tidak mengundi sebagai membantah usul tersebut.

Speaker kemudian mengumumkan usul tersebut diluluskan.

Dengan kelulusan itu, N.Surendran (PKR-Padang Serai) digantung selama enam bulan daripada perkhidmatan Majlis Mesyuarat.

Beliau merupakan ahli parlimen pertama yang dikenakan tindakan pada penggal ini.

Pada penggal lalu, beberapa orang ahli parlimen Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azmin Ali pernah digantung enam bulan berkait isu Apco.

132,000 peminjam PTPTN disenarai hitam

Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa seramai lebih 132,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga kini dalam senarai hitam pihak imegresen Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Pelajaran ll, P.Kamalanathan ketika menjawab soalan Khalid Samad (PAS-Shah Alam) pada sesi soal jawab lisan hari ini.

Katanya, jumlah keseluruhan nilai pinjaman oleh mereka yang disenarai hitam itu adalah sebanyak RM2.11 bilion.

Terdahulu Khalid bertanyakan berapa jumlah keseluruhan pinjaman PTPTN yang perlu dibayar oleh peminjam dan jumlah peminjam yang disenarai hitam.

Menjawab soalan itu, Kamalanathan berkata, sehingga 30 September, seramai 1.32 juta peminjam perlu membuat pembayaran dengan nilai pinjaman sebanyak RM9.51 bilion.

Dari jumlah itu, 903,920 peminjam telah membuat bayaran dengan nilai RM4.82 bilion manaka sejumlah RM4.69 bilion lagi adalah jumlah pinjaman yang tertunggak.

Dari jumlah itu juga, sejumlah 435,792 peminjam yang tidak pernah membuat bayaran balik.

Pada soalan tambahannya, Khalid meminta penjelasan timbalan menteri sama ada pihak PTPTN ada meneliti latar belakang peminjam yang disenarai hitam tersebut.

Katanya, tindakan tersebut penting bagi mengetahui punca dan masalah kenapa peminjam gagal membuat bayaran balik.

"Perlu teliti latar belakang mereka, sama ada mereka memang tak nak bayar atau kekangan masalah ekonomi," katanya.

Menjawab soalan itu, timbalan menteri berkata, PTPTN memberi tempoh 16 bulan kepada peminjam sebelum nama mereka disenarai hitam.

Dalam tempoh itu PTPTN ada menghantar surat makluman dan menghubungi pihak peminjam.

Campur tangan politik jejas integriti PDRM

Hazayani Zakaria, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Peningkatan jenayah dan rasuah di negara ini memperlihatkan kegagalan kerajaan membaik pulih imej dan integriti penguatkuasaan awam, kata Dr Izani Husin (PAS-Pengkalan Chepa).

Beliau melahirkan kebimbangan sekiranya kegagalan itu disebabkan wujudnya campur tangan politik.

"Dalam keadaan semasa jenayah meningkat dengan begitu ketara, indeks rasuah tidak menurun, peningkatan pendatang asing, kad pengenalan palsu dan persepsi orang ramai terhadap korupsi di kalangan ahli politik dan polis juga adalah tinggi.

"Dalam keadaan seperti ini seolah-olah kerajaan gagal dari sudut pelaksaan. Adakah ia disebabkan oleh tidak ada kesungguhan politik atau kepimpinan atau campur tangan politik?” soalnya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam jawapannya berkata, berdasarkan ops cantas yang dilaksanakan PDRM, hanya segelintir masyarakat yang memandang negatif sebaliknya sebahagian besar memandang positif usaha membanteras jenayah itu.

Izani dalam soalan asalnya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan cara kerajaan ingin meningkatkan produktiviti, integriti serta imej positif jabatan-jabatan penguatkuasaan seperti Jabatan Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah agar ia dihormati dan dihargai rakyat.

Sementara itu, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, laporan audit September lalu yang mendedahkan kehilangan senjata api dalam PDRM menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap PDRM.

"Semua ini melibatkan persepsi terhadap imej polis. Sejak belakangan ini kes jenayah menggunakan senjata api kerap berlaku dan memberikan tekanan kepada polis, ditambah pula laporan audit berkenaan pistol yang hilang, sebab itu persepsi masyarakat negatif.

"Apakah tindakan kementerian untuk membersihkan imej polis dan supaya rakyat rasa selamat di bawah kawalan polis," katanya.

Dr Junaidi memberitahu bahawa kerajaan memperuntukkan sejumah wang dalam Belanjawan 2014 untuk usaha-usaha membaik pulih imej polis dan agensi penguatkuasaan yang lain.

Tambah beliau juga, kes kehilangan senjata berlaku dalam tempoh tiga tahun dan mungkin melibatkan pegawai-pegawai yang tidak begitu cekap.

Katanya, PDRM akan mencari kaedah terbaik bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang.

Intipan Amerika: Apa yang mereka mahu?

Mohd Rizal Jaapar, 14 Nov 2013
Tanpa disedari, tatkala dunia ketiga seronok menjadi pembeli dan pengguna kepada teknologi canggih, negara-negara maju seperti Amerika dan Eropah pula seronok mengintip dan merancang untuk menakluk dunia menggunakan teknologi yang sama. Mereka mempunyai kelebihan yang besar kerana teknologi tersebut adalah hasil ciptaan mereka.

Kebiasaannya, setiap penemuan baru akan diuji dan digunakan ketika berperang.  Perang Dunia Pertama menjadi bukti bagaimana jenama seperti Benz dan Porcshe mempelopori teknologi automotif untuk digunakan semasa peperangan, dan disokong pula oleh sumber getah yang banyak dari Brazil untuk menghasilkan tayar, dan penggunaan petrol dan diesel sebagai ganti kepada enjin wap. Britain lantas mengkoloni Asia dan Amerika Latin khusus untuk menguasai sumber asli tersebut.  Apabila perang berakhir, Benz dan Porcshe mencipta kekayaan yang tidak terhingga, dan kemudian beralih kepada menghasilkan kenderaan awam dan menjualnya ke serata dunia. Mercedes Benz contohnya adalah pemegang paten kepada teknologi tali pinggang keselamatan, brek ABS, Beg Udara dan pelbagai lagi inovasi automotif.

Perang dunia kedua pula menyaksikan kehebatan jenama Amerika dan Britain seperti Boeing dan Rolls Royce mendominasi ruang angkasa. Boeing kekal sebagai pelopor kepada teknologi aeronautik sehingga hari ini. Penguasaan ruang angkasa membolehkan penjajahan yang lebih besar serta pemetaan semula sempadan negara di dunia mengikut kehendak dan cita rasa para penjajah. Lihat sahaja bagaimana mereka memeta semula benua Arab dan Asia Tengah.

Persempadanan geografi rupanya tidak mencukupi. Tiga puluh tahun yang lalu, teknologi internet mula digunakan oleh tentera Amerika untuk berhubung sesama mereka dengan lebih selamat dan bebas tanpa sekatan geografi. Kepesatan pembangunan teknologi komunikasi bermula apabila Amerika memenangi perlumbaan ke angkasa lepas dan telah mengaut keuntungan yang amat besar.

Pada hari ini, penggunaan telefon bimbit dan internet telah menjadi keperluan mustahak kepada hampir setiap penduduk dunia, tanpa menyedari bahawa teknologi ini masih dimiliki oleh penciptanya. Sempadan geografi sudah tidak memberi apa-apa makna.  Hari ini senjata pemusnah besar-besaran atau Weapons of Mass Destruction telah terpasang di setiap rumah, sekolah dan pejabat; diolah dan ditempa menjadi produk untuk bersosial dan bersuka-ria.

Pada hari ini kita masih menganggap remeh akan bahayanya ancaman internet dan betapa mudahnya ia dijadikan alat untuk mencuri aset yang paling berharga iaitu maklumat.  Justeru, program pengintipan Amerika ke atas negara-negara kawan dan lawan bukanlah perkara yang memeranjatkan kerana jika tiada teknologi komunikasi yang canggih pun, kuasa besar seperti Amerika tetap akan mencari jalan mengintip setiap gerak-geri sasaran mereka.

Sekiranya Malaysia mahu diintip maka sudah tentu komoditi yang menjadi idaman ialah Petronas. Petronas pada hari ini bukan sekadar ‘toukeh minyak’ di Malaysia, tetapi sudah memiliki hak untuk meneroka, memproses dan menjual minyak daripada banyak negara. Menguasai Petronas bermakna menguasai sebahagian besar sumber tenaga dan kekayaan dunia.  Apatah lagi tatkala mengetahui syarikat ini cuma dimiliki oleh sebuah negara kecil yang aman, mewah, berpendidikan dan terletak di tengah-tengah Asia Tenggara; telah menjadikan Petronas begitu menyelerakan.

Sang penjajah tidak perlu bersusah payah mengirim bala tentera sebagaimana yang berlaku di negara Timur Tengah dan Amerika Latin.  Perang zaman moden terlalu mahal dan skala kemusnahannya amat dahsyat. Penjajah terpaksa berbelanja besar untuk membina semula infrastruktur dan menyediakan tenaga kerja yang layak, rajin dan murah. Di Malaysia semuanya telah tersedia hasil titik peluh rakyat dan pemerintah dahulu kala.

Malangnya Petronas akhir-akhir ini semakin menjarakkan dirinya daripada rakyat Malaysia, seolah-olah ia bukan lagi produk tempatan. Kepakaran asing diagung-agungkan manakala kebolehan anak tempatan diperlekehkan. Membiarkan Petronas dijaga oleh bangsa asing tidak ubah seperti membiarkan negara ini dikawal oleh tentera penjajah yang niatnya hanya satu iaitu merompak setiap titik emas hitam yang ada pada Petronas.

Apakah perubahan polisi dan hala tuju mendadak Petronas pada hari ini hasil daripada kejayaan intipan kuasa besar, atau mungkin kerja ‘talam dua muka’ yang sepatutnya dihumban ke penjara, tiada siapa yang tahu.

Sekiranya Amerika tidak berminat dengan Petronas, tidak mustahil sekiranya mereka mahu mengintip dan menghambat komitmen negara dalam memeterai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA); yang menjanjikan pulangan mencecah trillion dolar Amerika, dan mengimbangi semula ancaman daripada negara timur seperti China, Korea dan India. Para pelobi Amerika begitu bersungguh untuk menjual formula perdagangan bebas ala-Amerika seperti GATT, WTO, APEC dan terkini TPPA yang pada asasnya sama sahaja iaitu memastikan setiap kehendak para pedagang Amerika dipenuhi.

Apa yang digembar-gemburkan sebagai standard yang tinggi sebenarnya hanyalah rantai yang akan mengikat tangan dan kaki negara kecil seperti Malaysia. Kita tidak fikir mereka berminat untuk membeli kereta buatan Malaysia, tetapi sudah pasti mereka mahu menjual kereta mereka ke Malaysia. Mereka tidak mahu beras kita, sebaliknya mereka mahu menjual beras mereka ke Malaysia dengan memaksa kita menghapuskan sekatan tarif. Mereka sungguh-sungguh mahu memperkukuh penguasaan terhadap teknologi dan hasil kreatif seperti karya-karya filem Hollywood, termasuklah pornografi.  Mereka mahu terus menjual  ubat-ubatan pada harga yang tinggi dengan cara memperketat akta perlindungan paten dan hak cipta.  Sekiranya gagal mematuhi, peguam-peguam yang sudah terlatih sentiasa bersedia untuk mengheret Malaysia ke tribunal antarabangsa yang tiada langsung nilai keluhuran atau kedaulatannya.

Selama ini kita begitu berhati-hati apabila berjanji dengan Amerika. Namun akhir-akhir ini Malaysia terlalu lembik di meja rundingan, seolah-olah sudah dipukau dengan prospek wang ringgit yang belum tentu. Apakah elemen intipan Amerika telah berjaya menerobos ke dalam Dewan Parlimen yang mulia juga? Tiada siapa yang tahu.

Kita bukan hendak mereka-reka cerita.  Kita sudah begitu terbiasa dengan siri risikan yang bermula dengan komplot sulit, penggunaan alatan serba canggih, peranan si pembelot dan akhir sekali menggunakan maklumat yang dicuri ini untuk mengugut, membunuh karakter atau memaksa pemerintah agar mengikut telunjuk mereka.  Skandal yang besar dan memalukan boleh menumbangkan pemimpin berpengaruh, menggantikannya dengan tokoh-tokoh boneka dan akhirnya menghuru-harakan kestabilan ekonomi dan sosial sesebuah negara.

Terlalu banyak contoh untuk dinyatakan, namun kita masih belum mahu mengambil teladan. Kita berharap Malaysia segera sedar dan bangkit daripada tidurnya.  Kita melihat apa yang berlaku pada hari ini sebagai bukti kehadiran tangan-tangan ghaib Amerika yang saban hari semakin kukuh cengkamannya.

Jika tidak ditangani dengan bijak dan berani, tamadun Malaysia akan musnah dalam sekelip mata.

Siasat kaitan KP palsu dengan Projek IC Sabah

Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung sindiket kad pengenalan palsu membabitkan warga asing di negara ini dan kaitannya dengan Projek IC di Sabah.

Naib Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, penangkapan lebih sepuluh pengawal keselamatan yang disahkan memiliki kad pengenalan palsu adalah serius dan memberi kesan besar kepada keselamatan negara.

Beliau menambah, oleh kerana mereka yang ditahan datang daripada Sabah dan dipercayai rakyat asal Filipina, besar kemungkinan pesalah tersebut mempunyai kaitan dengan Projek IC Sabah.

"Kami mengucapkan tahniah (kepada pihak polis dan imigresen) kerana berjaya membongkar ‘kerakyatan palsu’ dalam negara kita. Sudah tentu rakyat tertanya, adakah mereka yang memiliki kad pengenalan palsu ini mendaftar juga sebagai pemilih bagi melayakkan mereka mengundi pada setiap kali pilihan raya?

"Beberapa tangkapan yang dibuat baru-baru ini mendapati kebanyakan mereka memiliki kad pengenalan palsu yang diperolehi di Sabah. Adakah ini ada kaitan dengan 'Projek I/C' yang pernah didedahkan (oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja)?" soal beliau.

Raja Ahmad juga menggesa kerajaan memandang serius isu berhubung  warga asing yang memiliki kad pengenalan palsu dan tidak memberikan pelbagai alasan untuk menafikannya.

"Bagi kami ini adalah isu keselamatan dan semua pihak perlu bersatu menyokong usaha pembanterasan ini demi keselamatan negara kita. Bagi kami pihak kerajaan jangan terlalu banyak memberikan pelbagai alasan bagi menafikan situasi genting ini," tegasnya.

Setempat


35 tahun menipu

Oleh Na’imah Mohamed
Shah Alam: “Saya sudah menetap di negara ini sejak 35 tahun lalu dengan hanya menggunakan kad pengenalan rakan yang diimbas,” kata seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Subramaniam, 59, yang ditahan dalam Op Kutip dijalankan Jabatan Imigresen Selangor di sekitar Klang dan Shah Alam, semalam.
Lelaki warga emas terbabit ditahan ketika bertugas di sebuah kondominium di Taman Bayu Perdana, dekat Klang, mendakwa berasal dari Singapura dan berkahwin dengan warga tempatan hingga mendapat dua anak serta empat cucu di negara ini.
“Saya baru bekerja di syarikat keselamatan berkenaan dan ketika memohon pekerjaan, mereka langsung tidak meminta sebarang dokumen pengenalan daripada saya.

“Sepanjang berada di negara ini, saya hanya bersedia dengan kad pengenalan yang diimbas milik rakan kalau-kalau ada pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Selangor di sini, semalam.
FotoSUBRAMANIAM ditahan kerana guna kad pengenalan imbas milik rakan (gambar kecil).

Subramaniam turut mendakwa dia keluar dan masuk negara ini tanpa sebarang masalah sejak 1979 walaupun tiada dokumen perjalanan dengan menaiki pengangkutan awam.

“Saya lebih selesa tinggal di negara ini berbanding Singapura kerana keluarga saya semuanya di sini dan saya sudah tiada saudara-mara di sana.

“Saya pernah cuba memohon status penduduk tetap negara ini, namun akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri serta tidak mendaftar perkahwinan, usaha itu tidak dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Imigresen Selangor Othman Montil berkata, operasi bermula jam 10.30 pagi itu dianggotai 12 anggota dan pegawai.

“Op selama lima jam itu bertempat di Taman Bayu Perdana dan juga sebuah pusat beli-belah dekat Klang serta dua premis mencuci kereta di Seksyen 7, dekat sini.

“Kami menahan 15 warga asing yang turut membabitkan empat wanita kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tiada pasport serta melanggar syarat permit pekerjaan dan mereka yang ditahan akan dibawa ke Depoh Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan