Rabu, 27 November 2013

KITA AKAN BAHGIA....JIKA DAPAT ISTERI/SUAMI...ANAK2...JIRAN2...KAWAN2...SERTA SAUDARA-MARA YANG SOLEH2

Menjadi dan Memberi di Alam Perkahwinan


Menjadi dan Memberi Di Alam Perkahwinan
Pemikiran yang betul dan positif adalah syarat untuk kita bersikap positif. Mental attitude yang betul sangat penting dalam melayari bahtera rumahtangga. Attitude yang betul perlu untuk menghadapi cuaca rumahtangga yang tidak menentu.
Untuk membina dan mengekalkan kesuburan cinta, kita perlu ada sikap positif. Tanpa sikap yang positif, cinta akan terbarai dan kebahagiaan akan berkecai. Berikut adalah langkah praktikal bagaimana untuk kita bina pemikiran yang positif seterusnya membentuk sikap yang positif.



Fokus pada tanggungjawab diri, bukan sekadar menuntut hak
Punca hati tidak tenang dan hilang kebahagiaan dalam hidup kebanyakan manusia ialah perjuangannya untuk mendapatkan haknya semata-mata. Manusia sering marah dan mengeluh dengan berkata, “Aku sepatutnya tidak dilayan begini.” Dalam beberapa situasi, kita tidak mendapat apa yang kita jangkakan dan harapkan. Betul bukan?
Fokus pada tanggungjawab diri – sebagai suami atau isteri, kita dituntut oleh syariat Islam untuk melaksanakan tanggungjawab. Tunaikan hak pasangan kita itu lebih utama daripada kita menuntut hak kita. Menuntut hak tidak salah, Islam menggariskan hak-hak suami yang wajib dipenuhi isteri, dan hak-hak isteri yang wajib dipenuhi suami. Namun, menunaikan hak pasangan itu lebih utama.

Inilah prinsip asas, inilah golden rule yang harus difahami dan digenggam oleh setiap daripada kita yang bakal atau sedang melayari alam perkahwinan.
Adalah tidak bijak untuk terus membuang masa dan tenaga memikirkan tentang apa yang sepatutnya berlaku berbanding apa yang perlu dan patut kita lakukan. Ramai orang terseksa dengan kekecewaan dan geramkan pasangannya yang sepatutnya berbuat begini atau begitu. Padahal, pemikiran yang negatif itu akan memburukkan lagi keadaan.
Rasa-rasa yang negatif ini akan ‘menyedut’ tenaga, keceriaan dan akan menyebabkan kedutan pada wajah. Kesannya, kita akan ditarik ke belakang. Malah kita akan ditolak ke lorong yang salah dalam kembara kehidupan yang penuh ujian ini. Untuk bergerak ke hadapan dan terus memburu kemajuan dalam diri agar lebih bahagia dan tenang dalam hidup, fokus kepada apa yang kita boleh lakukan untuk melaksanakan tanggungjawab kita.
Sabda Rasulullah s.a.w. :
مَنْ لا يَرْحَمْ لاَ يُرْحَمْ !
Siapa yang tidak memberi rahmah (kasih sayang), dia tidak dirahmati (dikasihi disayangi).
(Muttafaqun ‘alaih)
تَهَادُوا تَحَابُّوا
Berilah hadiah sesama kamu, nescaya kamu akan saling cinta-mencintai. (Riwayat Al Baihaqi)
Mereka yang berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik sering mendapat haknya sebagai ganjaran. Mereka yang memberi kasih sayang, akan mendapat kasih sayang sebagai ganjaran. Kasih sayang daripada siapa? Kasih daripada Allah s.w.t Maha Pencipta, kasih daripada sesiapa yang dikehendakiNya, juga daripada makhlukNya di muka bumi, antaranya ialah pasangan hidup dan manusia.
Manusia sering merasakan bahawa dengan menerima kebaikan, hati akan gembira dan bahagia. Benar, tetapi ada satu lagi perkara yang akan membuatkan hati gembira dan bahagia, iaitu memberi kebaikan. Mungkin ramai yang tidak percaya, namun seringkali perkara inilah yang tidak dilakukan, yang menyebabkan hati manusia tidak bahagia. Ya, tidak memberi kebaikan, maka hati tidak bahagia.
Giving, it is one of our needs. The need to give. Berilah kebaikan, buatkan pasangan gembira dan bahagia, nescaya kita juga akan gembira, bahagia dan terima kebaikan.
What you give is what you get.
What goes around, comes around.
Berkahwin bukan sekadar untuk menerima daripada pasangan, tetapi juga untuk memberi. Tidak sempurna erti perkahwinan dengan hanya menerima. Menjadi baik dan memberi kebaikan, adalah sebahagian daripada erti perkahwinan.
Jalan menuju gerbang perkahwinan bukan sekadar usaha mencari yang baik, tetapi juga usaha agar dirimenjadi baik, agar dapat memberi di alam perkahwinan.
Banyakkan usaha menjadi baik, dan lebih baik, warnai kehidupan seharian dengan nilai-nilai Iman dan Islam. Kemudian berusaha mencari yang baik, insyaAllah, yang terbaik akan Allah s.w.t aturkan buat kalian.
Antara pesanan isteri ‘Auf bin Muhlim Ashaibani kepada puterinya ketika hendak bernikah:
“Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredhaannya daripada keredhaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”
Kita juga perlu jelas dengan apa yang dimaksudkan dengan kebaikan. Definisi baik buruk, menurut neraca apakah yang kita pegang? Bukan neraca nafsu, bukan neraca akal manusia semata-mata. Definisi baik buruk yang kita pegang adalah apa yang ditetapkan Allah s.w.t., dalam kata lain, neraca syara’, neraca Islam. Perkara baik, adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai baik. Perkara buruk, adalah apa yang syara’ tetapkan sebagai buruk.
Menjadi dan Memberi Kebaikan Di Pentas Kehidupan
Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
Orang-orang yang berbuat kebaikan di dunia ini mendapat (pembalasan) yang baik. Dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik dan itulah sebaik-baik tempat bagi orang yang bertakwa.
(An-Nahl: 30)
Ayuh kita berusaha menjadi baik, meningkatkan amal kebaikan, memberi kebaikan kepada manusia. Jalan ke arah kebaikan itu banyak, medan amal kebaikan itu luas. Berusaha agar semakin banyak kebaikan dapat dilakukan dan diberi, nescaya semakin banyak kebaikan yang akan kita terima, di dunia, bahkan lebih lagi di akhirat. Inilah janji Allah Yang Maha Pemberi, Maha Pembuka Rahmat.
By: Ahmad Faiz

3 syarat bina keluarga bahagia



INSTITUSI kekeluargaan menjadikan kehidupan manusia sentiasa berjemaah. Ketua keluarga bukan saja memimpin ahli keluarga, tetapi juga mengamalkan unsur syura dalam semua perkara membabitkan ahli keluarga.
Dalam kehidupan berjemaah, suami, isteri dan anak akan solat bersama, makan, membeli-belah, beriadah dan melakukan aktiviti kekeluargaan tanpa mengetepikan ahli keluarga yang lain.
Rumah ibarat syurga yang menyempurnakan kehidupan manusia, segala-galanya ada di dalamnya, penghuninya berasa selamat dilindungi, apatah lagi dipimpin oleh ketua keluarga bertanggungjawab serta sarat kasih sayang.



Rumah tangga yang pincang kerana pemimpinnya tidak berkhidmat untuk ahli yang dipimpin, maka tidak akan mencapai objektif perkahwinan dan berkeluarga seperti mana dituntut agama.
Islam mensyariatkan perkahwinan kerana memenuhi fitrah manusia yang tidak boleh hidup sendirian. Manusia memerlukan perhatian, pertolongan, sokongan dan pasangan untuk berkongsi kelemahan serta kekuatan yang boleh melengkapkan sebuah kehidupan menuju ke akhirat.
Tujuan perkahwinan adalah untuk mencapai ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Firman Allah yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup supaya kamu mendapatkan ketenangan/kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah ar-Rum, ayat 21)
Melalui perkahwinan manusia akan hidup dalam mawaddah, musyawarah dan amanah. Lumrah berpasangan mengasihi antara satu sama lain kerana mereka saling melengkapi, justeru mawaddah menjadikan manusia berhemah sesama makhluk Allah dan bertolak ansur sesama insan.
Keperluan mawaddah bukan hanya untuk memenuhi keinginan seksual, juga keperluan jiwa dan nurani manusia yang sentiasa ingin didampingi pasangan bagi berkongsi susah dan senang.
Mawaddah berasaskan nafsu serakah semata-mata akan menghilangkan rahmah dalam kehidupan berumah tangga sehingga memungkinkan suami atau isteri meninggalkan pasangannya kerana orang lain.
Musyawarah pula bermula apabila pasangan saling menghormati, memahami keperluan dan kehendak masing-masing, justeru cuba memenuhinya tanpa mengorbankan salah satunya. Tetapi, menjadi sebaliknya apabila konsep berjemaah dan syura tidak lagi diterapkan dalam rumah tangga.
Amanah menjadikan pasangan suami isteri lebih bertakwa kepada Allah kerana ia memberi ‘sesuatu’ kepada suami dan isteri supaya bertanggungjawab terhadap pemberian itu. Ia sekali gus menjadikan mereka amanah dan amanah menjadikan mereka bertakwa.
Bagaimanapun, perkahwinan menjadi kehidupan sukar buat setiap pasangan yang tidak mampu mencapai objektif perkahwinan dalam Islam. Rumah tangga yang tidak mampu ditegakkan dengan mawaddah, musyawarah dan amanah akan mudah ranap dan runtuh.
Memang benar perceraian paling dibenci Allah, tetapi tidak bermakna suami isteri harus terus membiarkan diri mereka tenat di bawah runtuhan rumah tangga.
Jika perkahwinan menjadi penyebab manusia semakin galak melakukan maksiat dan mengingkari perintah Allah, sudah tentu perkahwinan itu perlu dijauhi.
Sebab itulah walaupun hukum asal perkahwinan itu sunat kerana diamalkan oleh Rasulullah SAW, ulama menetapkan hukum perkahwinan berbeza mengikut situasi individu.
Malah, perkahwinan diharamkan jika suami tidak mampu membina mawaddah, musyawarah dan amanah, seperti menzalimi isteri serta tidak memberi nafkah zahir dan batin.
Justeru, tiada rasionalnya untuk meneruskan sebuah perkahwinan jika ia menjadikan manusia semakin jauh daripada kasih sayang Allah. Suami atau isteri yang tiada mawaddah, musyawarah dan amanah menjadikan pasangannya tidak taat, setia, sekali gus merosakkan rumah tangga dibina.
Malah ia berkemungkinan mengakibatkan berlakunya perbuatan lain yang membuatkan mereka semakin ingkar terhadap peraturan Allah. Perceraian bukanlah keseronokan, ia bukan juga penentu sebuah kehidupan baru yang akan dibina akan lebih baik dari sebelumnya, tetapi ia adalah jalan keluar dari kesukaran

5 adab, kaedah sambut kelahiran bayi dalam Islam

 Ibadah


Azan, akikah antara amalan tanda syukuri kehadiran orang baru
Allah SWT berfirman dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50: “Bagi Allah jualah milik segala yang ada di langit dan di bumi. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Dia mengurniakan anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Atau Dia mengurniakan mereka kedua-duanya, anak-anak lelaki dan perempuan dan Dia juga menjadikan sesiapa yang dikehendaki-Nya mandul.”
Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana dikurniakan anak. Dalam Islam ada adab-adab yang perlu diikuti agar dinilai sebagai suatu ibadat. Sebagai contoh, adab menyambut kelahiran, antaranya;
Hendaklah orang yang mengetahui saudaranya yang baru menerima cahaya mata untuk menunjukkan rasa gembira dengan kelahiran anak dengan ucapan tahniah.



Ucapan yang terbaik adalah seperti disebut oleh Ulama’ iaitu: “Burika laka fil Mauhub, wasyakartal Wahiba, wabalagha rushdahu waruziqta birrahu (Moga diberkati untukmu pada kurnia-Nya dan hendaklah engkau bersyukur kepada Pengurnia (Allah) dan moga anak itu mencapai umur dewasa dan engkau memperoleh kebaktiannya).”
Apabila anak itu lahir, maka hendaklah diazankan pada telinga kanan bayi dan diiqamatkan pada telinga kirinya seperti hadis diriwayatkan al-Baihaqi dalam kitab asy-Syu’ab daripada hadis Hasan bin Ali RA daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dianugerahkan seorang bayi, lalu dia mengumandangkan azan di telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka bayi itu akan dijauhkan daripada Ummu Syibyan.” Menurut sebahagian ulama, Ummu Syibyan adalah jin perempuan. Ada yang mengatakan apa saja yang menakutkan anak dan ada yang mengatakan angin yang menyebabkan sakit.
Hendaklah ditahnikkan bayi itu.
Tahnik bermaksud mengambil sedikit kurma pada jari telunjuk lalu dimasukkan pada mulut bayi lalu digerakkan perlahan-lahan ke kanan dan ke kiri agar menyentuh seluruh mulut bayi. Seterusnya manisan itu akan masuk ke rongga tekak dan tahnik ini dilakukan supaya memudahkan bayi ketika menyusu. Sebaik-baiknya orang yang mentahnik bayi adalah orang yang salih supaya bayi berkenaan memperoleh keberkatan. Menurut hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Musa RA: “Saya dikurniakan seorang anak lelaki. Lalu saya membawanya kepada Nabi SAW. Baginda SAW memberikan namanya Ibrahim dan mentahniknya dengan kurma.” (Imam al-Bukhari menambahkan: Rasulullah mendoakan agar diberi berkat dan dipulangkan bayi itu kepadaku).
Mencukur rambut bayi.
Ibnu Ishaq menyebutkan sebuah hadis riwayat al-Baihaqi daripada Abi Rafi’ Maula Rasulullah SAW bahawa ketika Hasan bin Ali lahir, ibunya Fatimah ingin mengakikahkannya dengan dua ekor kambing. Lalu Rasululullah SAW bersabda: “Jangan kamu mengakikahkannya tetapi cukurlah rambutnya kemudian sedekahlah dengan perak seberat timbangan rambutnya di jalan Allah atau berikan kepada orang musafir.” Kemudian (tahun berikutnya) apabila lahirnya Husain selepas itu, Fatimah melakukan seperti itu juga. Imam al-Baihaqi berkata: “Jika hadis ini sahih, agaknya Rasulullah SAW mahu mengakikah sendiri cucu Baginda seperti yang kami riwayatkan.”
Melakukan akikah iaitu anak lelaki dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing.
Seperti disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Ahmad daripada Aisyah RHA, beliau berkata: “Rasulullah menyuruh kami supaya mengakikahkan anak perempuan dengan seekor kambing dan anak lelaki, dua ekor kambing.” Demikianlah, wallahua’lam.

Panduan Memberi Nama Anak dalam Islam


Disunatkan memberi nama kepada bayi pada hari ketujuh kelahirannya sebagaimana yang terdapat dalam sabda Nabi s.a.w.;[1]
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
“Setiap anak kecil (bayi) dipertaruhkan dengan suatu aqiqah; disembelih untuknya pada hari ke tujuh, dicukur kepalanya dan diberi nama”. (Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Hasan r.a. dari Samurah bin Jundub r.a.)[2]
Namun terdapat juga hadis-hadis yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. pernah memberi nama kepada bayi pada hari dilahirkan. Antaranya ialah hadis dari Abu Musa al-Asy’ari r.a. yang menceritakan;



وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- فَسَمَّاهُ: إِبْرَاهِيمَ، وَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ
“Telah dilahirkan untukku seorang anak, lalu aku membawanya kepada Nabbi s.a.w., maka baginda menamakannya Ibrahim dan baginda mentahniknya dengan sebiji buah tamar serta baginda mendoakan keberkatan untuknya”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Jadi, yang menjadi sunnah dalam menamakan bayi ini ialah menamakannya pada hari ketujuh atau pada hari ia dilahirkan. Ini ditegaskan oleh Imam Nawawi dalam al-Azkar; “Yang menjadi sunnah ialah menamakan bayi pada hari ketujuh dari hari kelahirannya atau menamakannya pada hari kelahirannya”.[3] Walau bagaimanapun, Imam Bukhari telah bertindak menghimpunkan antara dua sunnah ini dengan menjelas; “Hadis-hadis yang menyebutkan hari kelahiran dimengertikan bagi orang yang tidak berniat melakukan aqiqah[4], dan adapun hadis-hadis yang menyebutkan hari ketujuh maka dimengertikan bagi orang yang ingin melakukan aqiqah bagi anaknya[5]”.[6]
Jika bayi yang dilahirkan ditakdirkan mati sebelum diberi nama, disunatkan juga diberi nama kepadanya. Begitu juga, sunat memberi nama anak yang gugur.[7]
Dalam masalah meletakkan nama ini, hendaklah diberi perhatian perkara-perkara berikut;[8]
a) Disunatkan memberi nama-nama yang elok dan baik kerana Nabi s.a.w. bersabda;
إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ القِيامَةِ بأسْمائكُمْ وأسماءِ آبائِكُمْ فأحْسِنُوا أسْماءَكُمْ
“Sesungguhnya kamu sekelian akan diseur/dipanggil pada hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu. Oleh demikian, elokkanlah nama-nama kamu”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Dardak r.a.)
b) Nama yang paling baik/paling elok ialah Abdullah dan Abdurrahman sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.;
إنَّ أحَبَّ أسْمائكُمْ إلى اللّه عَزَّ وَجَلَّ عَبْدُ اللّه، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ
“Sesungguhnya nama yang paling disukai oleh Allah dari nama-nama kamu ialah Abdullah dan Abdurrahman”. (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)
c) Harus memberi nama sempena nama para Nabi seperti Ibrahim, Hud, Soleh, Muhammad dan sebagainya.
Sabda Rasulullah s.a.w.;
تَسَمَّوا بأسْماءِ الأنْبِياءِ، وَأحَبُّ الأسْماءِ إلى اللّه تَعالى عَبْدُ اللّه وَعَبْدُ الرَّحْمَن، وأصْدَقُها: حَارِثٌ وَهمَّامٌ، وأقْبَحُها: حَرْبٌ وَمُرَّةُ
“Berilah[9] nama dengan nama-nama para Nabi. Nama yang paling disukai oleh Allah ialah Abdullah dan Abdurrahman. Nama yang paling tepat (dengan hakikat manusia) ialah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai dan lain-lain dari Abi Wahb al-Jusyami r.a.)
Jabir bin Abdullah r.a. menceritakan; “Seorang lelaki dari kalangan kami baru memperolehi anak dan ia memberi nama anak itu ‘Muhammad’. Lalu kaumnya berkata kepadanya; ‘Kami tidak akan membiarkan kamu memberi nama dengan nama Rasulullah s.a.w.’. Maka lelaki ini pun pergi menemui Nabi s.a.w. dengan membawa anaknya di atas belakangnya. Ia bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, dilahirkan untukku anak dan aku menamakannya ‘Muhammad’, lalu kaumku berkata kepadaku; ‘Kami tidak akan membiar kamu menamakan dengan nama Rasulullah s.a.w.”. Lantas Nabi menjawab;
تَسَمَّوْا بِاسْمِي، وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي، فَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ، أَقْسِمُ بَيْنَكُمْ
“Berilah nama dengan namaku, akan tetapi jangan memanggil dengan panggilanku (yakni Abul-Qasim) kerana sesungguhnya aku adalah Qasim (pembahagi) yang membahagi di antara kamu”. (Riwayat Imam Muslim)
Sebagaimana sedia dimaklumi bahawa, Nabi s.a.w. telah menamakan salah seorang anaknya dengan nama Ibrahim.
d) Menurut mazhab Syafi’ie, harus memberi nama dengan nama-nama Malaikat. Namun demikian, sebahagian ulama’ memakruhkannya. Berkata Qadhi ‘Iyadh; “Telah memakruhkan sebahagian ulama’ memberi nama dengan nama-nama Malaikat dan ia adalah pandangan al-Harith bin Miskin. Imam Malik memakruhkan memberi nama dengan Jibril dan Ya-sin”.[10]
e) Dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang buruk seperti Harb, Murrah, Kalb, ‘Ashiyah, Syaitan, Dzalim, Himar dan sebagainya.
Begitu juga, dimakruhkan memberi nama dengan nama-nama yang dijadikan tengok nasib dengan penafiannya pada adat/kebiasaan seperti nama-nama yang terkandung dalam sabda Nabi s.a.w.;
لاَ تُسَمِّيَنَّ غُلاَمَكَ يَسَاراً، وَلاَ رَبَاحاً، وَلاَ نَجِيحاً، وَلاَ أَفْلَحَ، فَإِنَّكَ تَقُولُ: أَثَمَّ هُوَ؟ فَلاَ يَكُونُ، فَيَقُولُ: لاَ”. إِنَّمَا هُنَّ أَرْبَعٌ، فَلاَ تَزِيدُنَّ عَلَيَّ.
“Janganlah kamu menamakan anak kamu Yasar (mudah), Rabah (untung), Najih (berjaya) dan Aflah (berjaya). Kerana sesungguhnya jika kamu bertanya seseorang; Apakah ada di sana (Yasar[11], Rabah dan sebagainya itu)? Lalu ia menjawab; ‘Tidak ada’. Sesungguhnya nama-nama itu hanya empat. Maka jangan kamu menambah ke atas apa yang aku sebutkan itu[12]”. (Riwayat Imam Muslim dari Samurah bin Jundab r.a.)
Menurut Imam Nawawi, faktor dimakruhkan nama-nama tersebut (dalam hadis) ialah; buruk/jeliknya jawapan dan juga nama-nama tersebut ada kemungkinan menjatuhkan sebahagian orang ke dalam suatu bentuk perbuatan menengok untung/nasib”.[13] (Contohnya; apabila ditanya; ‘Adakah di sana ada Rabah (yang bermaksud; untung)?’, lalu dijawab; ‘Ada’. Apabila orang yang suka menengok/menilai nasib dengan suatu sempena atau kejadian mendengar jawapan ini, maka ia akan membuat andaian bahawa hari tersebut adalah hari untung).
f) Diharamkan memberi nama dengan nama “Malikul-Amlak” yang bermaksud; ‘Raja bagi segala raja’.
Sabda Rasulullah s.a.w.;
إنَّ أخْنَعَ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ تَعالى رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الأمْلاكِ
“Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)
Dalam riwayat yang lain, baginda bersabda;
أَغْيَظُ رَجُلٍ عَلَى اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، وَأَخْبَثُهُ، رَجُلٌ كَانَ يُسَمَّى مَلِكَ الأَمْلاَكِ، لاَ مَلِكَ إِلاَّ اللَّهُ
“Lelaki yang paling dimukai oleh Allah pada hari kiamat dan paling hina ialah lelaki yang diberi nama Malikul-Amlak (kerana hakikatnya) tiada raja melainkan Allah”. (Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Berkata Imam Nawawi; berkata para ulama’; memberi nama dengan nama ini (yakni Malikul-Amlak) adalah haram.[14]
g) Hendaklah dijauhi dari nama-nama yang menunjukkan pengabdian/penghambaan kepada selain Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan; memberi nama dengan nama-nama ini hukumnya adalah haram dengan sepakat para ulama’.[15]
h) Begitu juga, hendaklah dijauhi dari memberi nama dengan nama-nama yang menggambarkan hilang/leburnya jati-diri (sebagai seorang muslim), meniru-niru (nama orang bukan Islam) dan nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi seperti nama Huyam (gila berahi), Susan dan sebagainya.[16]
i) Disunatkan mengubah nama yang buruk atau yang tidak baik kerana Nabi s.a.w. telah melakukannya kepada para sahabat baginda.
Ibnu Umar r.a. menceritakan;
أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: “أَنْتِ جَمِيلَةُ”.
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (Riwayat Imam Muslim)
Said bin al-Musayyab menceritakan bahawa bapanya -yang bernama Hazn (bermaksud; susah/sedih)- telah datang kepada Nabi s.a.w., lalu baginda bertanya kepadanya; ‘Apa nama kamu?’. Jawab bapaku; ‘Hazn’. Lalu Rasulullah berkata; ‘Kamu adalah Sahl (yakni Nabi menukar namanya kepada Sahl yang bermaksud; mudah). Namun bapaku berkata; ‘Aku tidak akan menukar nama yang diberikan kepadaku oleh bapaku’. Said berkata; ‘(Dengan kedegilannya itu) maka berterusanlah huzunah (yakni kepayahan/kesedihan) membelenggu keluarga kami selepasnya’”. (Riwayat Imam Bukhari dari Said bin al-Musayyab dari bapanya)
***والله أعلم بالصواب***
NOTA HUJUNG
[1] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 326.
[2] Lihat hadis ini dalam Ad-Darari al-Madhiyyah, hlm. 391 dan al-Majmu’, jil. 8, hlm. 326.
[3] Al-Azkar, kitab al-Asma’.
[4] Yakni bagi orang yang tidak berniat melakukan aqiqah pada hari ketujuh disunatkan ia memberi nama bayinya pada hari dilahirkan.
[5] Yakni bagi sesiapa yang berniat untuk melakukan aqiqah untuk anaknya pada hari ketujuh, disunatkan ia menunggu hingga hari ketujuh untuk mengisytiharkan nama anaknya iaitu bersama dengan menyembelih aqiqah dan mencukur rambut.
[6] Al-Iqna’, jil. 2, hlm. 826.
[7] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 327.
[8] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 325-329.
[9] Al-Amar (suruhan) di sini menurut Imam al-Minawi bermaksud al-Ibahah (Pengharusan) (Lihat Faidhul-Qadier, hadis no. 3300).
[10] Soheh Muslim bisyarhi an-Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab (bab an-Nahyi ‘an at-Takanni bi abil-Qasim wa Bayani ma yustahabbu minal-Asma’).
[11] Sebagai contohnya; seseorang itu diberi nama Yasar oleh bapanya yang bermaksud “mudah”. Maka suatu hari bapanya bertanya seseorang; ‘Apakah Yasar ada di sana?’. Lalu dijawab; ‘Tidak ada’. Jawapan ini boleh difahami oleh orang yang mendengar sebagai ‘tidak ada kemudahan’, walhal yang dimaksudkan oleh bapanya itu ialah anaknya yang bernama Yasar itu. Maka nama sebegini bagi sesetengah orang dijadikan sebagai satu cara untuk menengok untung/nasib bagi sesuatu perkara atau hari.
[12] Kata Imam Nawawi; maksudnya ialah; jangan kamu menaqalkan dariku lain dari yang empat ini (yakni; aku hanya menyebutkan empat sahaja. Maka jangan kamu mengada-ngadakan yang lainnya dengan mengatakan aku menyebutnya). Ini –menurut Imam Nawawi- tidak bermakna dilarang menqiaskan nama-nama lain di atas empat nama ini yakni yang memberi implikasi serupa dengannya, kerana maksud larangan tersebut ialah menyandarkan kepada Nabi apa yang tidak disebutnya. (Rujuk; Soheh Muslim bisyarhi Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab, Bab Karahah at-Tasmiah Bil-Asma’ al-Qabihah).
[13] Soheh Muslim bisyarhi Nawawi, jil. 14, Kitab al-Adab, Bab Karahah at-Tasmiah Bil-Asma’ al-Qabihah.
[14] Al-Majmu’, jil. 8, hlm. 328.
[15] Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87.
[16] Tarbiyatul-Aulad, jil. 1, hlm. 87.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

8 Tips Lahirkan anak soleh



Anak adalah rezeki daripada Allah yang sudah selayaknya pasangan suami isteri bersyukur atas rezeki berkenaan. Dalam surah as-Syura ayat 49 dan 50, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi. Dia menciptakan apa yang Ia kehendaki. Dia memberikan anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak lelaki kepada siapa yang Ia kehendaki. Atau Dia menganugerahkan kedua jenis lelaki dan perempuan (kepada siapa yang Ia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul kepada siapa yang Ia kehendaki. Sesungguhnya Dialah yang Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.”
Antara bentuk rasa syukur adalah mengambil berat persoalan anak. Dengan demikian, terjalin hubungan harmoni dalam keluarga, lahirlah anak yang taat kepada dua ibu bapanya serta terbentuklah watak anak salih yang dapat membangunkan agama, bangsa dan negara.
Islam adalah agama yang sempurna. Islam sudah mengajar seluruh aspek kehidupan, termasuk hak anak yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa. Antara hak anak dalam Islam iaitu hendaklah mencari pasangan yang baik buat anak yang bakal dilahirkan hasil daripada perkahwinan. Rasulullah SAW sudah mengajar pemuda yang ingin berkahwin agar memilih wanita yang salihah.



Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana kedudukannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, maka engkau akan beruntung – Hadis riwayat al-Bukhari.
Kedua, hendaklah membaca doa sebelum melakukan hubungan badan agar terhindar daripada gangguan syaitan. Rasulullah SAW telah mengajar kepada kita seperti dalam satu hadis Baginda bersabda: “Sekiranya seseorang di antara kamu ketika hendak mendatangi isterinya, maka hendaklah ia membaca: “Bismillah, Allahumma jannibnas Syaitana wajannibis syaitana ma razaktana. Maksudnya: Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami.
Jika Allah takdirkan (dengan hubungan tersebut lahir) seorang anak, maka syaitan tidak boleh memudaratkannya.” – Riwayat al-Bukhari.
Ketiga, hendaklah mengambil berat bayi yang berada dalam kandungan ibunya. Perhatian itu sama ada kesihatan bayi yang dikandungnya, mahupun sifat-sifat yang akan diturunkan daripada ibu kepada anaknya.
Keempat, seorang ibu hendaklah sedar terhadap apa yang dikerjakan sehariannya agar tidak melakukan perkara buruk yang akan berpengaruh kepada bayinya nanti.
Kelima, hendaklah menerima dengan senang hati bayi yang dilahirkannya sama ada perempuan atau lelaki. Kerana ada di kalangan pasangan yang tidak suka jika lahir anak perempuan. Sikap ini adalah sifat jahiliah yang perlu dijauhi. Orang Quraisy pada zaman jahiliah apabila lahirnya anak perempuan, maka mereka membunuhnya. Begitu juga kadang-kadang Allah SWT menguji ibu dan ayah dengan anak yang kurang sempurna seperti buta, bisu, pekak. Sekiranya ibu bapa itu menerima dengan berlapang dada, maka ia tetap berasa senang. Namun, sekiranya ibu bapa tidak senang menerimanya, ia boleh membawa kepada penceraian atau pembunuhan pada anak tersebut.
Keenam, memberi nama anak yang baik. Sesungguhnya anak berhak untuk diberi nama yang baik dan bagus didengar. Nama itulah yang akan mewakili dirinya untuk kehidupannya kelak. Oleh itu, janganlah tersalah memberi nama. Janganlah diberi nama yang ada unsur menyamai dengan agama lain atau ahli maksiat dan orang yang terkenal kejahatannya. Berilah nama yang dianjurkan seperti nama yang menunjukkan perhambaan kepada Allah, nama Nabi dan orang yang salih.
Ketujuh, memberikan anak itu rasa aman dan tenteram daripada hal yang menakutkan dan perkara yang boleh merosakkan akidahnya. Jangan suka menakutkan dengan mengatakan kepadanya ada hantu kerana ia boleh merosakkan mental dan agamanya.
Kelapan, memberi pendidikan agama yang cukup. Kesembilan, menjaga kesucian anak itu dengan menikahkannya sekiranya rasa perlu dan mampu untuknya.
Demikianlah antara hak-hak anak. Wallahua’lam

Bersediakah Anda Menjadi Suami

by admin


Kebiasaan masyarakat kita apabila disebut persediaan menjadi suami, mereka menyangka ia adalah memiliki sijil pengajian tinggi, paling kurang diploma. Sudah memiliki kerjaya dengan gaji bulanan minima RM2500, diikuti dengan sebuah rumah dan kereta. Tidak ketinggalan, wang tunai berjumlah RM30,000 untuk urusan perkahwinan seperti duit hantaran, dulang-dulang hantaran, cincin dan belanja kenduri kahwin. Jika seorang lelaki belum memiliki semua ini, dia belum layak untuk bergelar suami.
Namun dalam Islam, ukuran persediaan untuk menjadi suami bukanlah seperti di atas. Persediaan untuk menjadi suami lebih tertumpu kepada kualiti lelaki tersebut dan inilah yang akan diperincikan dalam kolum bulan ini.


Kepimpinan.
Persediaan terpenting ialah bakal suami perlu mengetahui bahawa dia memiliki tanggungjawab sebagai pemimpin ke atas keluarganya. Allah berfirman:
Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan. - [al-Nisa’ 4:34]
Sebagai pemimpin, bakal suami hendaklah memiliki ilmu rumahtangga, akhlak yang menterjemah teori kepada praktikal, disiplin yang tinggi serta wawasan yang luas. Jika sebelum ini pernah menjadi pemimpin, seperti pemimpin kelab, persatuan, rombongan atau jabatan, maka ia adalah pengalaman yang boleh dikembangkan dalam kepimpinan rumahtangga.
Bagi yang belum pernah, maka alam rumahtangga adalah suasana yang baik untuk mula melatih diri menjadi pemimpin. Terasa sukar? Jangan bimbang. Lantiklah isteri anda menjadi timbalan pemimpin untuk bersama-sama saling membantu mengemudi bahtera rumahtangga.
Di sini perlu diingatkan bahawa kepimpinan anda sentiasa dicatit markahnya oleh malaikat di bahu kanan dan kiri. Oleh itu berwaspadalah, jangan menjadi pemimpin yang ego dan zalim. Setiap langkah dan ciri kepimpinan anda akan dipersoalkan semula oleh Allah pada Hari Akhirat kelak.

Ketegasan.
Lanjutan dari ciri seorang pemimpin, bakal suami hendaklah tegas dalam membimbing isteri. Kelak apabila dianugerahkan cahaya mata, suami juga hendaklah tegas dalam membimbing anak-anak. Allah mengingatkan:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka.
Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. - [al-Taghabun 64:14]
Oleh itu dalam institusi perkahwinan, suami adalah pemimpin dan bukan yang dipimpin, penjaga dan bukannya dijaga serta pengawal dan bukannya dikawal. Namun ketegasan bukanlah bererti bengis dan menakutkan, sebaliknya hendaklah bersikap …memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka.

Pemelihara Dari Api Neraka.
Suami merupakan pemelihara agar ahli keluarga tidak masuk ke dalam api neraka. Firman Allah: 
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. - [al-Tahrim 66:06]
Justeru anda perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu agama dan seterusnya mendidik ahli keluarga serta memastikan mereka mempraktikannya. Lebih penting, anda hendaklah paling kehadapan dalam mempraktikkan ilmu-ilmu agama tersebut. Jangan sekadar menyuruh ahli keluarga mendirikan solat tetapi anda tidak solat, jangan sekadar menyuruh ahli keluarga menutup aurat tetapi anda mendedahkan aurat. Allah memberi amaran:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. - [al-Saff 61:2-3]

Memberi Nafkah.
Termasuk persediaan menjadi suami ialah kesedaran bahawa anda merupakan sumber kewangan rumahtangga. Justeru anda bertanggungjawab menyediakan nafkah tempat tinggal, keperluan asas dalam tempat tinggal, pakaian, makanan dan minuman kepada ahli keluarganya. Anda juga bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan ahli keluarga seandainya mereka jatuh sakit.
Meskipun nafkah rumahtangga berada di atas bahu suami, ini tidaklah bererti suami mesti memiliki pendapat minima yang tertentu jumlahnya. Setiap suami memiliki kemampuan kewangan yang berbeza dan setiap suami berbelanja untuk ahli keluarganya pada kadar kemampuannya. Tidak ada nilai minimum atau maksimum untuk kadar nafkah ini.
Allah berfirman:
Hendaklah orang (suami) yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). - [al-Thalaq 65:07]
Demikianlah beberapa kualiti yang perlu ada pada seorang lelaki untuk dia menjadi seorang suami. Perhatikan bahawa kualiti-kualiti ini tidak ada ukuran minimum dan maksimum atau batasan tertentu bagi menentukan layak atau tidak. Ia adalah kualiti yang nilainya relatif, ia akan bertambah apabila anda berusaha untuk memperbaikinya dan akan berkurang apabila anda mengabaikannya.
Justeru lelaki yang sudah bersedia menjadi suami ialah lelaki yang mengetahui kualiti-kualiti ini, memilikinya dan berazam untuk terus memperbaikinya.
Sumber: http://www.hafizfirdaus.com/

10 Ciri Suami Mithali

by admin

Jarang kita fikirkan dan ungkitkan ciri – ciri seorang suami mithali, selalu pula kita bincang pasal apa seorang isteri yang patut lakukan kepada suami dan keluarganya. Bukan sedikit tetapi banyak perkara yang menjadi tanggungjawab isteri di rumah seperti mengurus rumah, mengajar dan menjaga anak – anak, memasak,mengemas, mencuci baju juga apa yang kita suruh, si isteri akan lakukannya. Berbalik kepada suami, apa yang kita lakukan ?
1. Berpakaian kemas, bersih dan wangi untuk isteri anda. 
Bilakah kali terakhir anda beli baju tidur yang mahal ? Seperti juga kita mahukan isteri kita berpakaian cantik untuk kita, mereka juga mahukan suami mereka lakukan perkara yang sama juga. Ingat bahawa Rasullullah S.A.W. akan sentiasa menggunakan miswak (kayu sugi) apabila balik rumah dan sentiasa gemarkan bau – bauan yang wangi.

2. Menggunakan nama yang baik untuk isteri anda.
Gunalah nama yang terbaik untuk panggil isteri anda dan elakkan guna nama yang boleh buatkan hati dia terguris. Panggilan yang manja akan membuat hubungan anda sentiasa mesra.
3. Jangan layan dia seperti ‘lalat’. 
Kita tidak pernah fikirkan pasal lalat setiap hari kita kecuali bila dia datang mengganggu kita. Sama juga seperti isteri, dia telah lakukan tanggungjawab sebagai seorang isteri setiap hari tetapi kita tidak pernah menghargainya sehingga dia terbuat silap dan menyusahkan kita. Janganlah kita layan isteri seperti ini, selalulah kita ingat apa kebaikan yang isteri kita lakukan dan fokuskan tentang itu.
4. Elakkan terlampau banyak komplain. 
Jika anda terlihat kesalahan yang isteri anda lakukan, cubalah berdiam sahaja dan tidak memberi komen. Iniadalah salah satu cara Rasulullah S.A.W. gunakan apabila baginda melihat sesuatu yang tidak elok dari isterinya. Ini merupakan salah satu ciri yang amat jarang si suami amalkan.
5. Sentiasa senyum dan peluk isteri anda. 
Senyum merupakan satu sedekah dan sentiasalah senyum dengan isteri anda. Bayangkan hidup dengan isteri anda sentiasa melihat anda tersenyum. Ingat bahawa terdapat hadith dimana Rasulullah S.A.W. akan mencium isterinya sebelum pergi sembahyang, juga semasa baginda sedang berpuasa.
6. Berterima kasih dengan apa yang telah isteri lakukan kepada anda. 
Dan sentiasalah mengucapkan terima kasih. Ambil contoh dimana isteri anda masakkan makanan yang sedap, mengemas rumah dan pelbagai lagi. Kadang – kadang apa yang dia dapat adalah komen dari si suami bahawa sup yang dia masak itu kekurangan garam. Janganlah bersikap begini, berterima kasihlah dengan apa yang dia telah usahakan itu.
7. Mintalah dia tuliskan 10 perkara yang anda telah lakukan membuat dia gembira.
Kemudian lakukan lah perkara itu lagi. Mungkin sukar untuk tahu apa yang dapat membuat isteri anda gembira dan anda tidak perlu untuk teka, tanyalah dia dan ulangkan perkara tersebut sepanjang hidup anda dengan dia.
8. Jangan merendahkan keinginan dia. 
Pujuklah dia. Kadang – kala si suami akan mengambil ringan perkara yang diinginkan oleh si isteri. Rasulullah S.A.W. telah memberi contoh apabila insiden dimana Safiyyah binti Hujaj R.A. menangis kerana baginda telah meletakkan dia diatas unta yang perlahan. Baginda membersihkan air mata dan menenangkan dia, kemudian baginda menukarkan dengan unta yang lain.
9. Yang sentiasa berjenaka dan bergurau.
Jadilah seorang suami yang berjenaka dan sentiasa bergurau senda dengan isteri anda.
Lihatlah bagaimana Rasulullah S.A.W. berlumba dengan isteri baginda Aisyah R.A. di padang pasir. Bilakah kali terakhir kita lakukan perkara demikian ?
10. Pesanan Rasulullah S.A.W.
Sentiasa ingat apa yang Rasulullah S.A.W. pesan, “orang yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang melayan keluarga dia dengan terbaik. Dan akulah orang yang terbaik dikalangan kamu bagi keluarga aku”. Maka dengan hadith ini, anda lakukan lah yang terbaik, insyaAllah akan bahagia dunia dan akhirat.
kesimpulannya, jangan anda lupa untuk sentiasa berdoa dengan Allah memina supaya perkahwinan anda bahagia dunia dan akhirat, sesungguhnya Allah maha mengetahui.

Sumber: http://mindatahwil.blogspot.com/

Urusan kahwin patut dipermudah


Pada suatu ketika seorang perempuan datang berjumpa Nabi Muhammad SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah datang untuk menyerahkan diriku kepadamu. Lalu Nabi SAW memandang kepadanya sambil mendongak kepadanya dan memerhatikan dengan teliti kemudian Baginda mengangguk-anggukkan kepalanya.
Apabila perempuan itu mendapati Nabi Muhammad SAW diam tanpa memberi keputusan, perempuan itu segera duduk, lalu bangunlah seorang sahabat dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sekiranya kamu tidak ingin mengahwininya, maka kahwinkanlah aku dengannya.”
Mas kahwin
Nabi SAW segera bertanya: “Adakah engkau memiliki sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin. Sahabat menjawab: Tidak ada! Nabi SAW bersabda: Pulanglah menemui keluargamu mencari sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin.”



Lantas sahabat itu pulang, kemudian beliau kembali menemui Nabi SAW dan berkata: “Demi Allah! Aku tidak menjumpai apa-apa pun yang boleh dijadikan mas kahwin. Maka Nabi SAW bersabda lagi: Carilah walaupun sebentuk cincin besi.”
Lalu sahabat itu pulang dan datang kembali serta berkata: “Wahai Rasulullah! Demi Allah aku tidak menjumpai apa-apa walaupun sebentuk cincin besi tetapi aku hanya memiliki kainku ini iaitu kain yang hanya boleh menutupi bahagian bawah badannya.” (Sahabat ini tidak mempunyai pakaian yang menutup bahagian atas badan).
Nabi SAW bersabda: “Apa yang engkau boleh buat dengan kain engkau itu, sekiranya engkau memakai kain itu. Perempuan itu tidak dapat memakainya walaupun sedikit. Apabila dia memakai kain itu engkau tidak mempunyai apa-apa untuk dipakai.”
Sahabat itu duduk sehinggalah sekian lama kemudian bangun. Nabi SAW memandang kepadanya seterusnya dia beredar dari situ. Setelah itu Baginda SAW memerintahkan supaya dia dipanggil.
Apabila sahabat itu sampai, Nabi SAW bertanya: “Apakah yang engkau miliki daripada al-Quran?”
Sahabat itu menjawab: “Aku hafaz surah itu dan surah ini. Sahabat berkenaan menghitungnya, Nabi SAW bersabda lagi: Adakah engkau membacanya secara hafalan? Sahabat tersebut menjawab: Ya! Nabi SAW bersabda: Pergilah! Engkau telah memilikinya bermaskahwinkan ayat atau surah al-Quran yang engkau hafaz.”
Perkahwinan adalah suatu ibadat dan sunnah Rasulullah SAW yang juga penyelesaian terbaik terhadap tuntutan fitrah manusia di samping mengatasi masalah sosial dalam masyarakat. Orang yang berkahwin dapat mengatur kehidupan yang baik, sempurna dan penuh bertanggungjawab.
Firman Allah SWT bermaksud: “Antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia (Allah) menciptakan pasangan (jodoh) bagi kamu daripada (makhluk) jenis kamu sendiri, agar kamu cenderung kepadanya dan merasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan rasa kasih sayang di antara kamu. Sesungguhnya dalam hal itu terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya bagi orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Perbanyakkan puasa sunat jika tak mampu berkahwin
Islam menggalakkan umatnya yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin memperbanyakkan puasa sunat sebagai cara mengawal nafsu.
Sabda Nabi SAW: “Wahai golongan pemuda! Sesiapa daripada kalangan kamu yang mempunyai kemampuan, maka nikahlah. Sesungguhnya dengan pernikahan itu akan menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia mampu mengekang/mengawal syahwat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Pada dasarnya, hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah wajib kepada mereka yang berkemampuan dan mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskan ke lembah maksiat.
Menurut pandangan Imam al-Nawawi dan Imam al-Shafie, golongan pemuda yang sudah baligh dan belum mencapai usia 30 tahun, kebiasaannya mempunyai nafsu yang tinggi, semangat yang kuat, tenaga yang berlebihan dan ingin mencuba pelbagai perkara.
Maka sewajarnya, mereka yang berusia sebegini diberi perhatian agar segera dan dipermudahkan urusan perkahwinan bagi mengelak perkara yang tidak elok dan seharusnya diingati bahawa dasar hukum perkahwinan yang ditetapkan Islam adalah tidak membebankan kepada sesiapa pun.

Responses


  1. 1
    Askm,
    Pada zaman nabi dan para sahabat budaya munakahat ini begini indah dipraktikan kerana golongan para sahabat nabi memiliki hati yang bersih bukan kerana manusia dan dunia tetapi mencari keredhaan Allah swt semata-mata. Maka Allah swt permudahkan hajat murni dan ikhlas hati mereka samada wanita atau teruna….
    Persoalan kini mampukah kita umat akhir zaman ini mengamalkan budaya serta tatacara nabi saw ini…..tepuk dada tanpa iman kita semua. Malah budaya materialistik serta ketirisan iman yang semakin terhakis amat payah masyarakat Islam hari ini khusus di Malaysia ini mengamalkan budaya ini. Kalau tak ada kereta, rumah, kerjaya yang hebat amat payahlah si lelaki berkahwin…Belum lagi persoalan jemputan, lokasi atau jamuan…kalau tak ada kurang 50k keatas sampai ke tua si lelaki tak kahwin….Bukan menyalah sesiapa atau masyarakat setempat….dah menjadi darah daging yang amat sukar dihapuskan

    • 2
      Betul pandangan tuan, Sesetengah masyarakat melayu tidak mengikut sunnah Nabi dan ajaran Islam sepenuhnya kerana jahil……tentang Islam.

  2. 3
    Assalamualaikum,
    Bagaimana sekiranya perempuan itu yang berkehendakan untuk bernikah tetapi tiada lelaki yang meminangnya. Adakah p`mpuan itu perlu beritahu lelaki tersbut hasrat dia..tetapi bgaimana kalau si lelaki menolak.
    Mohon beri pendapat.
    Terima kasih.

    • 4
      itu bukanlah suatu masalah…. kerana itu lebih bermaruah kerana perempuan tersebut telah berikhtiar dan menyatakan hasrat walaupun ditolak… dengan itu kesimpulannye adalah itu bukannye jodoh anda… begitu juga spt lelaki yg menyatakan hasrat tetapi ditolak…. oleh itu sebelum berbuat sesuatu keputusan atau tindakan pastikan telah istikharah kerana itu juga adalah cara utk mendapatkan jawapan sebenar dr ALLAH… dengan itu insyaALLAH takkan berlaku segala perkara yg tk diingini…

  3. 5
    Adat dan budaya masih menebal dlm masyarakat melayu…perkara sunat dibesar2kan perkara wajib diremehkan…
    Ahmad recently posted

    MAHKAMAH TINGGI SYARIAH SHAH ALAM TELAH MENGELUARKAN WARAN TANGKAP TERHADAP PAPAGOMO!!!!



    Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini telah mengeluarkan waran tangkap keatas blogger pemfitnah nombor satu dunia, bekas banduan yang kena tangkap oleh SPRM kerana ambil rasuah RM400 dari seorang penagih dadah, Papagomo atau nama sebenarnya mengikut dalam MyKad, Wan Mohamad Azri b Wan Deris kerana enggan hadir bicara di mahkamah mengenai kes melibatkan hak penjagaan dua anak perempuannya.

    Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili bekas isterinya, Bellina Omar Sharifuddin Chin supaya satu waran tangkap dikeluarkan berikutan kegagalan responden untuk hadir ke mahkamah berhubung pelanggaran perintah hak jagaan sementara dan penyerahan dua anak perempuannya.

    Sebelum itu, mahkamah pada 2 September lalu memerintahkan Wan Muhammad Azri menyerahkan dua anak mereka, Wan Cassandra yang berusia empat tahun dan Wan Camillea, dua tahun kepada bekas isterinya namun, dia ingkar untuk berbuat demikian.


    Dengan bekas bini pun kecut perut nak bersemuka dalam Mahkamah .. inikan pula nak lawan DSAI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan