Sabtu, 16 November 2013

DAH ELOK BERNAFAS GUNA HIDUNG NAK CUBA BERNAFAS GUNA TELINGA....DAH ELOK MAKAN GUNA MULUT ...TEBUK LUBANG KEMUDIAN MAKAN IKUT LUBANG BARU DITEBUK

Roboh: Adun Sungai Rapat, Pasir Pinji tinjau setinggan

Harakahdaily, 16 Nov 2013



IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat, Radzi Zainon bersama dengan Adun Pasir Pinji, Lee Chuan How turun padang meninjau kehidupan penduduk perkampungan setingan di Sri Keramat, Sri Murni dan Tok Cendang.

Lawatan bersama tersebut bertujuan untuk memahami dengan lebih dekat perkembangan dan kemajuan penempatan semula bekas penghuni kampung-kampung setinggan tersebut seramai kira-kira 300 orang.

Penduduk sekeliling kampung-kampung setinggan tersebut telah menerima surat arahan untuk mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh sebulan untuk membuka ruang kepada pemaju menjalankan perobohan.

Ia difahamkan bahawa tapak ketiga-tiga kampung telah diluluskan kepada sebuah syarkat untuk tujuan pembangunan taman perumahan.

Kawasan tiga kampung berkembar yang berkeluasan 84 ekar itu sangat strategik di tengah-tengah kawasan pembangunan baru Station 18 dalam Bandaraya Ipoh.

Oleh itu, ia menjadi kawasan hartanah bernilai tinggi.

Sebagai penyelesaian dan rancangan penempatan semula, para penghuni telah diberi tawaran satu lot tanah gantian bergeran.

Namun nasib bekas penghuni setinggan terus tidak menentu kerana untuk mendapatkan satu lot tanah, mereka terpaksa menyediakan hampir RM10,000 untuk penyediaan tapak dan bayaran premium.

Tambahan pula tapaknya jauh lebih kecil daripada yang dijanjikan, iaitu hanya berkeluasan 45 kali 70 kaki sahaja, sedangkan yang dipersetujui bersama-sama pada asalnya 50 kali 80 kaki.

Ada pula yang berkemampuan untuk membayar premium tanah, melalui pinjaman peribadi, tetapi tidak dilayan oleh bank dan institusi kewangan untuk mengambil pinjaman pembinaan rumah, sedangkan usia mereka sudah lanjut atau pendapatan rendah.

Ada yang menghuni di situ telah melebihi 30 tahun, namun semasa zaman Pakatan Rakyat mentadbir Kerajaan Negeri Perak, nasib mereka diambil peduli.

Pada ketika itu, Datuk Seri Nizar telah berkesempatan melawat kampung-kampung berkenaan dan memberi komitmen untuk membantu menyelesaikan masalah mereka.

Namun kerajaan PR tidak bertahan lama.

Bagi golongan yang telah lanjut usia dan tidak berkemampuan, mereka mungkin ‘terpaksa’ melupakan angan-angan dan cita-cita untuk mendapat sekeping tanah bergeran di situ walaupun telah hidup dan turut membesarkan anak-anak mereka di kampung setinggan itu sejak sekian lama.

Masalah pokok yang timbul adalah kekurangan maklumat atau komunikasi di antara pihak pentadbir, pemaju dan penduduk.

Ramai yang terperangkap dalam suasana ketidakpastian yang sepatutnya tanggungjawab kerajaan dan juga pentadbir untuk memastikan bantuan dan maklumat wajar disampaikan kepada kesemua yang terbabit.

Jelasnya, tanggungjawab itu tidak ditunaikan.

Tiada siapa yang mampu membela mereka. Mereka bagaikan telah jatuh ditimpa tangga. Hanya kerajaan yang benar-benar berkebajikan dan prihatin akan nasib mereka mampu membela penduduk-penduduk terbabit.

Adakah kerajaan BN mampu, kita tunggu dan lihatlah kesudahannya.

Bagi Radzi dan Lee Chuan How, oleh kerana sistem peruntukan wang amalan kerajaan BN yang tidak adil dan berdasarkan parti, maksudnya Adun pembangkang tidak disalurkan peruntukan, pengurusan dan bantuan mereka hanya mampu membawa kisah duka penduduk ketiga-tiga kampung Melayu itu.

“Kami, Wakil Rakyat Pakatan Rakyat, akan turun padang melawat ketiga-tiga kampung itu semula minggu depan untuk mendapat maklumat yang lebih lanjut supaya hakikat sebenar penduduk dapat dibawa ke Dewan Undangan Negeri pada persidangan 25 November nanti,” ujar mereka.

UPSR: Pemuda PAS Sarawak ucap tahniah

Harakahdaily, 16 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Sarawak dengan rasa berbesar hati mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar Sarawak yang telah memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

“Kami juga ingin memberi penghargaan yang tinggi kepada SK Agama Datuk Haji Abdul Kadir Hasan, Kuching kerana tersenarai sebagai sekolah terbaik d Sarawak berasaskan kepada Gred Pencapaian Sekolah (GPS),” ujar Ketuanya, Mohammad Arifiriazul Paijo (gambar) dalam satu kenyataan.

Katanya, berdasarkan laporan pencapaian berasaskan GPS yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Sarawak, 4 daripada 5 sekolah terbaik dI Sarawak adalah daripada sekolah rendah agama di bawah Majlis Islam Sarawak.

Menurutnya, pada tahun 2013 peruntukan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan untuk bantuan kepada sekolah-sekolah agama hanya RM100 juta untuk semua sekolah agama di seluruh Malaysia, tiada peruntukan khusus yang lebih meyakinkan bagi sekolah-sekolah agama di Sarawak.

“Kami turut mengharapkan agar ada peruntukan khusus yang lebih banyak untuk sekolah-sekolah agama di Sarawak daripada keseluruhan jumlah peruntukan yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2014 berjumlah RM54.6 billion untuk sektor pendidikan,” katanya lagi.

Oleh sebab yang demikian, ujarnya PAS dalam manifesto PRU13 yang lepas, dalam dokumen 12 Tawaran PAS Sarawak telah memperuntukan RM170 juta khusus untuk pembangunan sistem pendidikan rendah dan menengah berteraskan Islam yang komprehensif di seluruh negeri di samping memperkenalkan sistem pendidikan tahfiz sains di negeri itu.

Ini, ujar beliau adalah amat penting kerana telah lama sistem sekolah berteraskan Islam telah lama dipinggirkan.

“Jumlah ini bukanlah suatu jumlah yang mustahil untuk disalurkan oleh kerajaan negeri memandangkan jumlah reserve Sarawak yang cukup besar iaitu RM22 billion,” ujarnya.

Pemuda PAS, katanya turut ingin mencadangakan agar kerajaan negeri menambah lebih banyak biasiswa bukan hanya melalui Yayasan Sarawak tetapi melalui agensi-agensi kerjaan negeri yang lain dalam usaha menambah bilangan pelajar yang dibiayai untuk melanjutkan ke sekolah-sekolah berasrama penuh dan kolej-kolej premier.

Beliau berkata, Pemuda PAS Sarawak turut melihat keperluan mendesak untuk Sarawak memiliki lebih banyak sekolah berasrama penuh sains dan Maktab Rendah Sains Mara.

Ini, ujarnya kerana dengan hanya 2 buah sekolah menangah sains dan sebuah Maktab Rendah Sains Mara tidak mencukupi bagi menampung pelajar-pelajar cemerlang yang boleh digilap potensi mereka khususnya dari luar bandar.

“Dalam masa yang sama, kami merasakan perlu ada usaha yang lebih serius oleh Kerajaan Negeri Sarawak dalam usaha meluaskan capaian kepada sistem prasekolah dan tadika ke kawasan tumpuan penduduk dan pedalaman,” katanya lagi.

Menurut beliau lagi, kajian dari The Institute for Fiscal Studies menunjukkan dengan pertambahan prasekolah dan pendidikan akan mengurangkan masalah keciciran murid di sekolah rendah.

Tambahnya, ini juga akan menyediakan suatu asas yang baik untuk kecemerlangan anak-anak Sarawak di masa akan datang.

Mansuh SPPBS: Guru kini sudah berani bersuara

Harakahdaily, 16 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik (gambar) mengajak semua pihak menyokong kempen memansuhkan Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS).

Beliau berkata, para guru kini sudah berani tampil menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung sistem tersebut.

Menurutnya, kesedaran guru kini terserlah apabila mereka tampil melalui media sosial dan massa menyuarakan ketidakpuasan terhadap pelaksanaan PBS yang sangat membebankan mereka.

“Keputusan yang dibuat oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK – NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan PBS seharusnya disokong segera oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, para guru memerlukan sokongan dengan melancarkan kempen pemansuhan itu agar kerajaan mengambil serius berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, Abu Bakar menyeru semua pihak yang prihatin terhadap isu pendidikan dan pembangunan insan melancarkan kempen tersebut.

“Lajnah Pendidikan PAS Pusat menyeru termasuk KPPK, ibu bapa dan orang ramai yang prihatin terhadap pendidikan dan pembangunan insan melancarkan kempen pemansuhan PBS yang nyata didapati membebankan guru di negara ini,” katanya.

Pada 9 November lalu, Presiden KPPK,  Hashim Adnan menggesa Kementerian Pendidikan memansuhkan pelaksanaan PBS yang didapati amat membebankan 400,000 guru di negara ini.

Beliau berkata, guru yang selama ini dibebani tugasan yang banyak kini terpaksa berdepan pula dengan PBS sekali gus menjadikan bebanan golongan itu terus meningkat.

Laksana semula PPSMI langkah mengundur

Hambali Akram,
Cadangan Tun Mahathir supaya dasar PPSMI dilaksanakan semula merupakan tindakan mengundur ke belakang. Jika kerajaan Najib hari ini menuruti saranan tersebut tentulah akan dianggap mengkhianati bahasa Kebangsaan itu sendiri.

Alasan klise yang diberikan Tun Mahathir bahawa jika kita hendak maju mestilah menggunakan bahasa Inggeris tidak dapat diterima. Hal ini kerana, tidak ada satu negara pun di dunia ini yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa luar dan meninggalkan bahasa ibunda.

Lihat sahaja Jepun, Korea, Taiwan, China, Russia, German, Perancis dan banyak lagi negara telah begitu maju dalam pelbagai bidang teknologi tanpa perlu bergantung kepada bahasa Inggeris. Juga, tiada satu negara pun yang mencapai status negara maju kerana menggunakan bahasa kedua mereka sama ada Bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol atau lainnya.

Bahkan, berdasarkan kajian PBB, jika sesebuah negara itu ingin maju, mereka hendaklah menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran.

Oleh itu saya berpendirian, Malaysia mestilah terus mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengajaran dan pembelajaran bermula peringkat prasekolah hinggalah ke peringkat universiti.

Namun, saya tidak menafikan bahawa belajar bahasa asing merupakan fardu kifayah – tidak kiralah apa bahasa sekalipun seperti bahasa Inggeris, mandarin, bahasa perancis dan lainnya. Bahkan, bagi umat Islam amat penting mempelajari bahasa Arab kerana al-Quran itu dalam bahasa Arab.

Pemilihan bbelajar ahasa ini bergantung kepada tujuan semasa, yakni jika anda ingin melanjutkan pelajaran ke Jepun, anda mestilah mempelajari bahasa Jepun dan bahasa Inggeris anda tidak laku di sana. Begitu juga jika anda ingin belajar di Perancis ataupun di German – anda mesti belajar bahasa mereka.

Teringat saya kata-kata seorang profesor dari Amerika Syarikat bahawa beliau hairan kenapa negara kita bersungguh-sungguh mendesak rakyat belajar bahasa Inggeris, sedangkan gurunya sering memberitahunya jika mahu maju belajarlah dari German – semestinya dia mesti belajar bahasa German juga!

Negara dibebani hutang, jadilah pemimpin berhemah

Shahril Azman Abd Halim Al-Hafiz, 16 Nov 2013
Berjimat cermat dalam berbelanja dan mengurus tadbir kewangan negara bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah.
Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Rasulullah SAW pernah menegur seorang sahabat yang bernama Saad r.a. ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad r.a, Rasulullah SAW bersabada:

مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ

Artinya: Apakah pembaziran ini? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.

Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.

Lihatlah bagaimana Khalifah  Umar bin Abdul Aziz yang menyediakan dua lilin di rumahnya, satu untuk kegunaan urusan negara dan satu lagi untuk kegunaan keluarga sendiri sangat mengagumkan dan seharusnya memberi inspirasi kepada pemimpin-pemimpin Islam pada setiap zaman. Harta yang ada termasuk barang perhiasan isterinya diserahkan kepada Baitulmal dan segala perbelanjaan negara dilakukan secara berhati-hati dan berjimat-cermat atas alasan ia adalah harta rakyat. Ini terbukti apabila beliau dengan tegasnya menegur dan memecat pegawai yang boros dan segala bentuk  jamuan negara tidak dibenarkan menggunakan harta kerajaan.

Tempoh pemerintahannya sangat pendek, hanya 2 tahun setengah sahaja. Namun revolusi yang dibawa memberi impak yang begitu besar kepada rakyat dan negara. Segala perubahan tersebut berlaku dalam masa tidak sampai 3 tahun, Bukan 54 tahun. Saya percaya, selaku salah seorang rakyat biasa yang prihatin, pasti inilah sikap pemimpin yang kita inginkan. Tidak perlulah seideal Khalifah Umar Abdul Aziz, tetapi sekurang-kurangnya mempunyai integriti yang meyakinkan.

Walau bagaimanapun, senario yang bertentangan berlaku, tindakan pimpinan tertinggi kerajaan yang sering menggunakan pesawat eksekutif untuk penerbangan dalam negara dan luar negara.

RM182 juta dibazirkan bagi enam pesawat yang digunakan sepanjang tahun 2012. Sebanyak RM14,951,448.04 untuk kos bahan api dan RM167,079,541.80 bagi kos penyelenggaraan adalah sangat tinggi dan merupakan pembaziran.

Pesawat eksekutif sering digunakan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan pegawai tinggi kerajaan, apakah keperluan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menaiki pesawat eksekutif walaupun dalam negara sedangkan pesawat biasa sentiasa beroperasi?

Persoalannya mengapa perlu setiap kali Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri nak pergi ke mana-mana penerbangan domestik perlu mengambil pesawat eksekutif setiap kali penerbangan? Ini melibatkan perbelanjaan tinggi tapi kalau mengambil pesawat komersil tak guna perbelanjaan tinggi.

PAS mencadangkan untuk tahun 2014 Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lebih banyak guna pesawat komersil walaupun ke luar negara, untuk menjimatkan perbelanjaan kewangan negara.

Ada pemimpin besar negara maju (Malaysia negara membangun) tak guna pesawat pun. Pesawat eksekutif biarlah digunakan oleh Yang di-Pertuan Agong sahaja. Tapi baru-baru ini pun Timbalan Perdana Menteri ulang alik ke Sungai Limau guna pesawat eksekutif. Ini tak betul sebab ini kempen parti bukan program kerajaan dan kalau program kerajaan pun kerajaan perlu menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan guna pesawat komersil kerana pemimpin harus menunjukkan teladan yang baik.

Oleh itu, Malaysia sebenarnya bukan sahaja mampu mengurangkan defisit negara bahkan mampu membayar hutang negara yang semakin menggunung tinggi hampir RM600 bilion, jika kewangan negara diurus secara berhemah dan berjimat cermat tanpa membazir.

Penulis ialah Ketua Penerangan PAS Kawasan Kuala Krau.

Umno salah guna RM40 juta selamatkan Utusan

Harakahdaily, 16 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Umno menyuntik dana tambahan RM40 juta kepada Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan) adalah bukti nyata betapa terdesaknya parti itu untuk menyelamatkan syarikat seliaan mereka hingga sanggup menyalahgunakan wang kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua berkata, tindakan itu harus ditentang oleh menteri berfikiran waras dalam Kabinet kerana ia jelas membabitkan wang pembayar cukai atau wang rakyat.

“Ini adalah konflik kepentingan apabila kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga merupakan Menteri Kewangan dan Presiden Umno,” ujarnya dipetik Roketkini.

Beliau berkata, berdasarkan peraturan, jika kepentingan Umno meningkat melebihi 2 peratus ia mesti membuat tawaran pembelian kepada pemegang saham lain.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam kenyataan, semalam berkata memandangkan usaha mereka untuk mendapatkan tawaran terbitan hak, parti itu perlu meningkatkan kepentingan sekurang-kurangnya 53.1 peratus dan ia sekaligus mewujudkan tawaran am mandatori.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas rancangan Umno menyuntik RM40 juta kepada Utusan melalui cadangan ‘two call rights issue’.

Pada 12 November lalu, Utusan mengumumkan kepada Bursa Malaysia akan meningkatkan terbitan hak kepada pemegang saham kira-kira RM40 juta.

Pua turut menyokong saranan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang menggesa Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertindak bebas tanpa campur tangan Kementerian Kewangan untuk mengecualikan Umno daripada menjalankan tawaran am mandatori agar dapat memberi saham minoriti Utusan.

“Apa yang paling penting, SC perlu melindungi integriti pasaran kewangan negara. Bukan sahaja bertindak dengan adil, tetapi perlu dilihat bertindak adil serta telus kepada semua pelabur dan rakyat Malaysia,” katanya.

Menurut makluman daripada Bursa Malaysia, tindakan itu akan melonjakkan pegangan saham Umno dalam Utusan daripada 49.8 peratus kepada 53.1 peratus.

Yang aneh dan lucu dalam kempen Sungai Limau

Subky Latif, 15 Nov 2013
Apakah yang TPM Muhyidin kata dan maksud bajet berhubung gula dalam kempen Pilihan Raya Kecil Sungai Limau, tanggapan umum mengenainya ialah gula yang murah dan mudah mendapatnya boleh menyebabkan ramai rakyat hilang kedua kaki.

Maka orang terasa ia menyentuh kejadian yang menimpa Almarhum Tan Sri Azizan Razak yang selepas tamat perkhidmatannya sebagai Menteri Besar Kedah hilang kedua kaki  gara-gara penyakit kencing manisnya. Komplikasi itu membawa maut kepadanya dan PRK itu diadakan kerana mautnya.

Sama ada ia dimaksudkan atau tidak dimaksudkan, apabila dalam situasi berkabung di Sungai Limau, disentuh tentang gula, kencing manis, risiko hilang kaki, maka akan ingat Adun lima penggal Sungai Limau itu.

Kita tak boleh marah keluarganya tersinggung dan tidak boleh salahkan orang terasa  ia menyindir orang tertentu apabila hal itu disebut.

Gula jadi mahal berkupang-kupang dari Bajet 2014 tiada kena mengena dengan menyelamatkan kaki rakyat, tetapi adalah kerana kerajaan tidak tertanggung beban sabsidi, yang mengikut Menteri Idris Jala lebih setahun lalu, beban sabsidi yang banyak menyebabkan risiko negara muflis menjelang tahun 2020.

TPM tahu hal  itu, lalu mengapa gatal sentuh tentang gula menyebabkan kaki  boleh hilang di tempat  dan masa ada orang hilang kaki?

Anihnya ketika TPM merasionalkan gula terpaksa dimahalkan bagi menyelamatkan kaki rakyat, semasa kempen kerajaan di Sungai Limau menganjurkan pula kanival jualan murah beberapa makanan keperluan. Beras dan gula dijual kurang dari separuh  harga. Gula seringgit sekilo. Macam harga lelong. Seperti pekedai  hendak menghabiskan simpanan lamanya.

Kerajaan kempen jangan guna banyak gula supaya kaki tidak dipotong. Batalkan sabsidi dan mahalkan harganya supaya kaki dapat diselamatkan. Tiba-tiba rakyat Sungai Limau ditawarkan gula amat murah masa itu dan di  situ saja. Bila gula murah dan mudah,  adakah hendak memotong kaki semua rakyat di situ?

Karnival itu seolah anti kempen menyelamatkan kaki.

Mengapa tawaran itu dibuat di Sungai Limau saja dalam masa kempen itu saja? Karnival itu tidak adakan di tempat lain, baik masa itu atau masa lain?

Maka bukankah ia rasuah ketara untuk pilihan raya itu?

SPR kata ia tidak rasuah kerana lelong gula dan beras itu tidak menyeru pengundi mengundi calon tertentu dengan penjualan itu.

SPR tiada kata muktamat ada rasuah atau tidak. Yang lebih arif tentang rasuah ada atau tidak ialah SPRM. Dan berkuasa mensabitkan rasuah atau tidak ialah mahkamah. SPR  tiada kuasa mendakwa dan menghukum perasuah.

Dan lucunya pula ialah jawapan Menteri Jamil Khir Baharom atas lelong karnival itu. Mengapa ia diadakan di situ saja dan tidak diadakan di lain-lain tempat? Mengapa ia diadakan masa kempen PRK itu saja dan tidak di masa lain?

Mengapa gula dan beras murah sangat?

Semua soalan itu adalah politik. Ia berlaku di tempat fiesta dan kempen politik. Implikasi soalan itu ialah tidakkah ia diadakan kerana politik? Tidakkah ia rasuah politik dan tidakkah ia untuk meraih undi dan faedah politik?

Jawab Jamil Khir ialah ‘Kebetulan.’

Orang  tak tanya orang lain kerana orang lain bukan orang kuat agama dan tak tahu sangat agama. Yang tahu agama ialah dia. Orang hendak tahu jawapan dari seorang yang tahu agama. Orang tak tahu agama jawapannya karut  saja. Jangan orang tahu agama bercakap macam orang tak tahu agama.

Itulah lucu dan anihnya.

Laksana Hudud memasuki fasa baru

Mohammad Faizal Che Yusof, 15 Nov 2013
Penegasan dari Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, bahawa pihaknya mempunyai kemudahan mencukupi untuk melaksana hukum Islam itu di Kelantan telah melengkapkan lagi kesediaan Kelantan melaksanakan hudud atau lebih tepat Kanun Jenayah Syariah.

Komitmen tersebut dinyatakan oleh Datuk Daud selepas Majlis Perasmian Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Kelantan di Bandar Baru Tunjong yang disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Kehadiran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam majlis tersebut sewajarnya meletakkan kerajaan persekutuan berdiri teguh bersama kepimpinan Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob bagi melaksanakan syariat Islam di negeri ini.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra yang turut hadir dalam majlis tersebut sesungguhnya menggambarkan sokongan penuh istana untuk melihat Kelantan mendaulatkan Islam di negeri tersebut.

Enakmen Jenayah Syariat 2 Kelantan 1993 kini telahpun berusia 20 tahun setelah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri secara saluran demokrasi. Kini adalah masa terbaik untuk lakaran sejarah tercipta dengan mendaulatkan syariat hudud di bumi ini.

Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Dua penegasan yang dibuat oleh Mahkamah Agong dalam kes Che Omar bin Che Soh v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 55 boleh menjadi kekuatan untuk kita melihat hudud tertegak di Kelantan. Meskipun Perlembagaan Persekutuan adalah didasari prinsip-prinsip sekular, mahkamah telah menerima dan memperakui bahawa Islam itu mencakupi semua aspek kehidupan dan bukan sekadar dogma-dogma kepercayaan.

Mahkamah Persekutuan dalam kes LINA JOY LWN MAJLIS AGAMA ISLAM WILAYAH PERSEKUTUAN DAN LAIN-LAIN [2007] 4 MLJ 585 kemudiannya telah memperkukuhkan lagi apa yang dinyatakan oleh Mahkamah Agung di atas.

Seterusnya Perkara 11 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak rakyat untuk menganuti dan mengamalkan agama kepercayaannya. Bagi umat Islam, perlaksanaan hukum hudud adalah suatu kewajipan. Merasai dan mendokong hukum hudud dilaksanakan adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Penegesahan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes MEOR ATIQULRAHMAN BIN ISHAK (AN INFANT, BY HIS GUARDIAN AD LITEM, SYED AHMAD JOHARI BIN SYED MOHD) & ORS VFATIMAH BTE SIHI & ORS, [2006] 4 MLJ 605 berkaitan Perkara 11 (1) di atas telah memperkukuhkan lagi hak menganuti dan mengamalkan Islam ke arah perlaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Dengan perkembangan yang berlaku didokong oleh fakta-fakta perundangan yang mantap, Kelantan seharusnya diberikan peruntukan yang secukupnya oleh kerajaan persekutuan untuk syariat Islam dilaksanakan dengan cara terbaik.

Mendokong Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi Negara dengan menghormati prinsip-prinsip Raja Berperlembagaan serta Demokrasi Berparlimen, perlaksanaan hudud di Kelantan umpama perahu telah di air dan dayung telah di tangan.

Seluruh pihak kini hanya perlu memberi laluan yang secukupnya untuk Kerajaan Kelantan di bawah kepimpinan Parti Islam Semalaysia PAS menzahirkan hukum hudud sebagai undang-undang jenayah terbaik yang ditentukan dan ditetapkan Allah SWT, Tuhan yang maha mencipta dan Maha Mengetahui.

Islam adalah agama politik

Subky Latif, 14 Nov 2013
Apa yang Karpal Singh kata politik dan agama hanya dia dan Allah saja yang tahu. Lim Kit Siang, bos partinya pun tak tahu, maka Lim terpaksa tanya dia apa yang dia kata?

Telah diberitakan dia minta parti yang berasalkan kaum dan agama jangan didaftarkan dan yang sudah didaftarkan dibatalkan saja. Dikatakan termasuklah yang dimaksudkannya ialah PAS, suatu yang dinafikannya.

Apabila saya ditanya tentang Karpal dikatakan mahu PAS  dibatalkan pendaftarannya kerana ia parti agama, payah saya mempercayainya.

Pertama dia adalah seorang peguam yang terbilang dan tentu dia tidak bercakap loyar buruk atas perkara itu. Kedua dia seorang politik yang pintar dan partinya bersekutu dengan PAS, maka tidak sebodoh itu politiknya.

Telahan saya tepat apabila penjelasan Karpal tidak memasukkan PAS dalam parti-parti yang dimaksudkannya. PAS cukup kelayakan bagi mengekalkan pendaftarannya. Ia politik untuk semua kaum. Berbagai-bagai kaum menjadi ahlinya dan berbagai-bagai penganut agama menyertainya.

Reaksi awal saya tentang anggapan PAS  adalah parti agama, ia tidak tepat.

Tidaklah ia didaftarkan sebagai parti Islam justeru pegangan ritualnya semata-mata. Islam bukan sekadar agama ritual, tetapi ia ada politiknya,  ekonominya, sosialnya dan undang-undangnya.

Sekadar ia hendak memperkenalkan agamanya untuk solat, puasa dan zakat tak terdesak ia menubuhkan parti politik. Cara mana hendak membaca Quran dengan betul, bagaimana sah sembahayang dan puasa, memadai dengan mendirikan surau dan masjid, adakan kuliah dari semasa ke semasa.

Tetapi Islam itu ada politiknya, jika politiknya diabai dan tidak disempurnakan, maka tidak lengkap Islam itu sebagai agama. Di sinilah tidak sama Islam dengan agama-agama lain yang tidak ada tuntutan politiknya.

Atas tuntutan politiknya ia menubuhkan parti politik dan mendaftarkannya sebagai parti politik. Ia mendaftarkannya sebagai parti politik bukan di bawah peruntukan ritualnya tetapi melaksanakan tuntutan politiknya.

Tuntutan politiknya tidak dapat dilaksanakan kiranya ia tidak ada sayap politik. Bagaimana sebuah pemerintah yang hendak melaksanakan peraturan, undang-undang, ekonomi dan sebagainya jika tidak ditegak satu kerajaan yang melaksanakan aturan dan peraturan  Islam. Untuk menegakkan kerajaan  itu ia mesti ada jamaah atau parti.

Politiknya bukan sekadar menjaga kepentingan Islam dan umat Islam saja. Dalam mana-mana masyarakat Islam akan ada juga orang bukan Islam sama seperti dalam negara majoriti penduduknya bukan Islam akan ada masyarakat Islam. Maka masyarakat Islam yanag berkuasa, berkewajipan menjaga kebajikan semua rakyat termasuk yang bukan dan melindungi kepentingan mereka.

Dalam masyarakat yang pemerintahannya ditentukan oleh orang Islam saja seperti di Saudi dan di Brunei, ia tidak terdesak dengan masalah kemajmukan. Ia hanya memerlukan kebajikan dan hak bukan Islam itu ditunaikan sebak-baiknya.

Tetapi  dalam masyarakat majmuk yang ketentuan dari masyarakat bukan Islam adalah penting, maka parti politik Islam amat diperlukan bagi memastikan kepentngan Islam dan umatnya terpelihara dengan memelihara segala hak orang bukan Islam.

Hak bukan Islam seperti hak Yahudi dan Kristian di Palestin yang dikuasai oleh Islam dulu terjamin, tetapi Islam dalam pemerintahan Yahudi dan Kristian tidak terjamin.  Lihat saja apa yang terjadi pada tanah dan harta orang Islam di Israel?

Di negara-negara Islam sekular seperti Turki, tidak menjamin hak beragama bagi Islam, maka hak itu lagi tidak dipastikan di negara majoriti bukan Islam. Bagi memelihara Islam terjamin, maka di situlah letaknya keperluan politik Islam. Dalam Islam, ketahanan akidah atau spiritualnya ditentukan oleh kekuatan politiknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan