Rabu, 23 Oktober 2013

SYARIAT ISLAM YANG BENAR DAN TEPAT....BEGITU JUGA UNDANG2NYA....NI SOLAT PUN TAK LENGKAP LIMA WAKTU...YANG ADA LANGSUNG TAK BUAT...ORANG MACAM NI NAK ISLAM...ATAU NAK SOKONG ISLAM...



GST: Ekonomi negara dijangka meleset 2016

Salmiyah Harun, 23 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menjangkakan negara Malaysia akan mengalami kemelesetan ekonomi pada tahun 2016 dalam tempoh setahun jangkaan pelaksanaan cukai barang perkhidmatan (GST).

Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara) berkata, kegagalan untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan mengurangkan kadar cukai pendapatan korporat dan individu semasa pelaksanaan GST mungkin akan membawa kesan buruk ke atas permintaan agregat.

"Pelaksanaan GST juga mungkin bermula pada tahun kemelesatan kerana 'kitaran perniagaan' seperti telah dipendekkan kebelakangan ini hanya selama tujuh tahun dari sepuluh tahun," katanya dalam sidang media bersama beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Malah katanya, beberapa pra-syarat yang harus dilaksanakan oleh kerajaan sebelum GST dilaksanakan antaranya pendapatan minimum isi rumah negara mencapai tahap yang dianggap perlu dan mencukupi untuk menyerap kejutan terhadap kuasa beli rakyat akibat pelaksanaan GST khususnya di kalangan golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan.

Tambahnya, band cukai pendapatan individu yang mencukupi untuk mengelakkan kumpulan berpendapatan sederhana daripada jatuh ke dalam kurungan cukai yang tinggi pada kelajuan yang pantas serta kewujudan senarai awam terbuka bagi barangan dan perkhidmatan dikecualikan bagi barangan keperluan asas.

Selain melaksanakan GST, Pakatan Rakyat mencadangkan inisiatif yang lain iaitu mempelbagaikan asas pendapatan kerajaan Persekutuan dan sumber terutama meluaskan pendapatan melalui cukai tidak langsung dan hasil bukan cukai.

Melalui cadangan itu, Pakatan Rakyat juga mengesyorkan penubuhan suruhanjaya atau pasukan petugas mengenai pembaharuan cukai yang akan mengkaji mekanisma yang sedia ada dan beberapa langkah bagi memperkukuhkan sistem cukai Malaysia.

Tony juga berkata,  sistem cukai semasa dilihat mengalihkan beban cukai daripada pemilik modal dan golongan berpendapatan tinggi untuk mengenakan kesukaran kepada golongan berpendapatan rendah hingga pertengahan.

"Hari ini, sistem yang ada meningkatkan jurang perbezaan ekonomi dari segi pendapatan dan kekayaan antara yang kaya dan miskin," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Pakatan Rakyat juga menyedari rakyat negara ini seolah-olah mengelakkan membayar cukai dengan bersungguh-sungguh kerana tidak berpuas hati dengan cara kerajaan membelanjakan dana awam.

"Dengan pentadbiran yang baik, akauntabiliti dan ketelusan di bawah kerajaan Pakatan Rakyat Malaysia mampu untuk meningkatkan kutipann cukai tanpa banyak kekecohan," katanya.

Sedikit, tetapi susah dibuat

DetikIslam , 23 Okt 2013

"Sesungguhnya amal manusia yang pertama kali dihisab pada hari kiamat adalah solatnya." Jika solatnya baik, maka baik pula seluruh amalnya; dan kalau buruk, maka buruklah seluruh amalnya. Bagaimana mungkin seorang yang beriman mengharapkan kebaikan di akhirat, sedang pada hari kiamat bukunya kosong dari solat Subuh tepat pada masanya?

"Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isya 'dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi kedua-duanya (berjemaah di masjid) sekalipun dengan merangkak."
[HR Al-Bukhari dan Muslim]

Solat Subuh memang solat wajib yang paling sedikit jumlah rakaatnya, hanya dua rakaat saja. Namun, ia menjadi standard keimanan seseorang dan ujian terhadap kejujuran, kerana waktunya sangat sempit (sampai matahari terbit)

Ada hukuman khusus bagi yang meninggalkan solat Subuh. Rasulullah SAW telah menyebutkan hukuman berat bagi yang tidur dan meninggalkan solat wajib, rata-rata punca utama seorang muslim meninggalkan solat Subuh adalah tidur.

"Syaitan melilit leher seorang di antara kamu dengan tiga lilitan ketika dia tidur. Dengan setiap lilitan syaitan membisikkan, 'Nikmatilah malam yang panjang ini'. Apabila dia bangun lalu mengingat Allah, maka terlepaslah lilitan itu. Apabila dia berwuduk, lepaslah lilitan yang kedua. Kemudian apabila dia solat, lepaslah lilitan yang ketiga, sehingga ia menjadi bersemangat. Tetapi kalau tidak, dia akan terbawa-bawa perlahan dan malas."


"Berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang banyak berjalan dalam kegelapan (waktu Isyak dan Subuh) menuju masjid dengan cahaya yang sangat terang pada hari kiamat" [HR. Abu Daud, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]

Allah akan memberi cahaya yang sangat terang pada hari kiamat nantinya kepada mereka yang menjaga Solat Subuh berjemaah (bagi kaum lelaki di masjid), cahaya itu ada dimana sahaja, dan tidak mengambilnya ketika melewati Sirath Al-Mustaqim, dan akan tetap bersama mereka sampai mereka masuk syurga, Insya-Allah.

"Solat berjemaah (bagi kaum lelaki) lebih utama dari solat salah seorang kamu yang sendirian, berbanding 27 kali ganda. Malaikat penjaga malam dan siang berkumpul pada waktu solat Subuh." "Kemudian naiklah para Malaikat yang menyertai kamu, pada malam harinya, lalu Tuhan mereka bertanya kepada mereka padahal Dia lebih mengetahui keadaan mereka - 'Bagaimana hamba-hambaku ketika kamu tinggalkan?' Mereka menjawab, 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan solat dan kami dapati mereka dalam keadaan solat juga '."
[HR Al-Bukhari]

Sedangkan bagi wanita walaupun solat di masjid dibenarkan, solat di rumah adalah lebih baik dan lebih banyak pahalanya, iaitu yang mengerjakan solat Subuh pada saat para lelaki sedang solat di masjid. Ujian yang membezakan antara wanita munafik dan wanita mukminah adalah solat pada permulaan waktu.

"Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Solat Subuh menjadikan seluruh umat berada dalam jaminan, penjagaan, dan perlindungan Allah sepanjang hari. Barang siapa membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah akan menuntutnya, sehingga Dia akan membenamkan mukanya ke dalam neraka." [HR Muslim, At-Tarmidzi dan Ibnu Majah]

Banyak permasalahan, yang bila diselidiki, berpunca daripada pelaksanaan solat Subuh yang dipandang ringan. Banyak peristiwa petaka yang terjadi pada kaum penderhaka berlaku di waktu Subuh, yang menandakan berakhirnya dominasi jahiliyah dan munculnya cahaya tauhid.

"Sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka ialah di waktu Subuh; bukankah Subuh itu sudah dekat?" (Surah Hud: 81)

Rutin harian permulaan bergantung pada pelaksanaan solat Subuh. Seluruh urusan dunia seiring dengan waktu solat, bukan waktu solat yang perlu mengikuti urusan dunia.

"Jika kamu menolong (agama) Allah, maka ia pasti akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad: 7)

"Sungguh Allah akan menolong orang yang menolong agamanya, sesungguhnya Allah Maha Kuat dan Maha Kuasa," (Surah Al-Hajj: 40)


http://detikislam.blogspot.com/

Mazlan menang RM370,000 saman kerajaan, polis

Khairil Abdul Rahim, 23 Okt 2013
TEMERLOH: Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman hari ini diisytiharkan menang kes saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia oleh Mahkamah Tinggi Temerloh.

Peguam yang mewakili Mazlan, Wan Rohimi Wan Daud berkata, Dakim Datuk Akhtar Tahir turut mengarahkan Kerajaan Malaysia selaku defendan membayar ganti rugi akibat polis tersalah tahan sebanyak RM300,000, ganti rugi tauladan RM50,000, kos mahkamah RM20,000 dan faedah 8% dari tarikh saman.

Pada 18 Ogos 2010, Mazlan selaku plaintif telah memfailkan saman terhadap empat pihak iaitu Pengurus Felda Lembah Klau, Felda, Inspektor Mohd Azran Rahmat (pegawai polis yang menangkapnya) dan Kerajaan Malaysia.

Saman bernilai RM20 juta itu berikutan tangkapan (berniat jahat) yang dibuat terhadap Mazlan di Felda Lembah Klau dua tahun lalu. Namun pada perbicaraan 21 Jun 2011, Hakim Mahkamah Tinggi telah menggugur Felda daripada dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut fakta kes, pada 9 Mac 2010 kira-kira jam 3 petang, Mazlan ketika memenuhi satu undangan dialog dan perbincangan dengan peneroka di rumah peneroka Hamidun Yeop Isa, telah dikepung oleh 30 orang polis bantuan Felda yang bersenjata dan diugut secara biadab oleh pegawai-pegawai Felda.

Mazlan kemudian telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub. Namun sebelum itu Pengurus Rancangan Felda Lembah Klau ketika itu Awang Sulong, telah membuat laporan polis dengan mendakwa kononnya Mazlan datang untuk membuat kacau atau menceroboh.

Kemudian pada pukul 11 malam Mazlan ditahan, dimasukkan ke dalam lokap dan direman empat hari di bawah Seksyen 441 Kanun Keseksaan atas dakwaan melakukan pencerobohan (Criminal Trespass). 

Wan Rohimi berkata, hakim dalam penghujahan keputusannya berkata, plaintif (Mazlan) tidak bersalah kerana berdialog dengan kebenaran tuan rumah (Hamidun).

“Hakim berkata sebagai warganegara, Mazlan bebas bergerak ke mana saja kerana itu hak asasinya. Jadi dalam kes ini polis tersalah tangkap dan salah tahan selama dua hari serta dilayan seperti penjenayah.

“Mazlan tidak berceramah di balai raya. Jadi tidak ada elemen kesalahan jenayah tetapi kenapa beliau ditahan, direman dan merengkok di lokap IPD Raub dahulu. Jadi atas asas inilah plaintif menyaman polis dan Kerajaan Malaysia.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan hari ini, sebelum inipun saya yakin Mazlan menjadi mangsa penganiayaan politik,” katanya.

Tambah Wan Rohimi, beliau berharap pihak kerajaan Malaysia tidak akan membuat rayuan dengan memberikan keadilan dan kebebasan kepada mahkamah tinggi.

Turut berada di Mahkamah Tinggi Temerloh hari ini ialah Timbalan Presiden Anak Aris Fezul Ismail, Pengerusi Bangkit Abdul Rahman Ramli, Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Md Jusoh Darus serta kira-kira 30 penyokong di kalangan warga Felda.

MB Kelantan kaji tindakan terhadap Berita Harian

Harakahdaily, 23 Okt 2013
KUALA LUPUR: Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dukacita dengan laporan Berita Harian semalam yang secara jelas menyebut bahawa kerajaan negeri telah meluluskan 1,400 hektar tanah di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Machang.

“Saya amat berdukacita di atas cara pemberitaan yang dibuat yang secara jelas menyebut bahawa kerajaan telah meluluskan 1,400 hektar tanah di Hutan Simpan Kekal Ulu Sat, Machang.

“Saya berpandangan laporan itu tidak benar dan boleh menjatuhkan kredibiliti kerajaan negeri di bawah pimpinan saya,” ujarnya dipetik daripada facebook beliau.

Menurutnya, perkara itu telah dibangkitkan dalam Perbahasan Bajet Sidang Dun baru-baru ini dan beliau telah menafikan adanya sebarang kelulusan tersebut semasa Penggulungan Perbahasan dalam sidang Dun tersebut.

Justeru, beliau hairan bagaimana Berita Harian masih boleh membuat laporan sebegitu.

“Dengan ini saya menyambil keputusan untuk mengkaji tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut.

“Saya akan mengarahkan peguam saya dalam masa terdekat ini untuk mengambil tindakan tersebut,” katanya.

Tegasnya, tindakan itu diambil bertujuan untuk menjaga kredibiliti kerajaan dan pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan.

Menceriakan pangsapuri, menyantuni setinggan

Wawancara|Harakahdaily, 23 Okt 2013

PELBAGAI insentif disediakan Kerajaan Negeri Selangor bagi meningkatkan mutu penyelenggaraan dan keselamatan di kediaman hak milik strata seperti pangsapuri dan rumah pangsa. Malah para peneroka bandar yang masih tinggal di kawasan-kawasan setinggan ditawarkan pampasan yang setimpal sebelum berpindah ke rumah baru. Sebahagian mereka yang layak diberikan tanah tapak kediaman.  Ikuti wawancara wartawan Harakahdaily, AHMAD TAJDID  dan SAIDAH HAIRAN dengan PENGERUSI JAWATANKUASA TETAP PERUMAHAN, PENGURUSAN BANGUNAN & PENEROKA BANDAR NEGERI SELANGOR, ISKANDAR ABDUL SAMAD di pejabatnya di Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, 17 Oktober lalu.



Harakahdaily: Bagi meningkatkan aspek pengurusan dan penyelenggaraan kediaman hak milik strata seperti rumah pangsa, pangsapuri dan kondominium, Badan Pengurusan Bersama (JMB) diwujudkan. Apa peranan sebenar JMB?

Iskandar Abdul Samad: JMB ini sebenarnya terkandung dalam Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan & Pengurusan Bangunan) 2007 (Akta 663) yang berkuatkuasa pada 12 April 2007. Ia mewajibkan semua pemaju untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) di semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah Akta Hakmilik Strata.

Sekarang akta ini sudah dimansuhkan dengan penggubalan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).  Akta baru ini (Akta 757) telah diwartakan tapi belum dikuatkuasakan kerana ada masalah.

Sebelum adanya akta-akta ini, pangsapuri ditadbir oleh pemaju sampai bila-bila.  Penduduk tidak ada kuasa langsung.  Dengan wujudnya JMB, penduduk bertanggung jawab terhadap aspek penyelenggaraan pangsapuri.




Apakah skim-skim insentif yang ditawarkan kerajaan negeri kepada JMB bagi manfaat penduduk?

Ada beberapa skim termasuk baik pulih. Sebelum ini banyak aduan tentang lift rosak dan sebagainya. Kebanyakan pangsapuri di negeri ini dibina dengan kadar segera bagi memenuhi kempen Setinggan Sifar 2005  (yang dilaksanakan kerajaan BN negeri). Hendak buat cepat, hasilnya mutu pembinaan tidak sempurna.

Kita fikir macam mana hendak selesaikan masalah ini. Semua orang minta duit. Jadi kita tubuh satu tabung. Tabung Ceria Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan.  Melalui Skim Ceria ini kita dah habiskan RM14 juta.

Sebenarnya sebelum ini kita sudah keluarkan geran berjumlah RM1.6 juta untuk baiki lift di tiga tempat. Tapi orang tidak hargai sebab percuma. Kita laksanakan pula Skim Ceria dengan penduduk kena bayar balik  20 peratus kos penyelenggaraan dan kerajaan tanggung  80 peratus. Penduduk bayar secara ansuran. Ini untuk kos rendah.

Selepas itu kita menerima permintaan daripada penduduk pangsapuri kos sederhana. Kita tetapkan penduduk bayar 40 peratus kos penyelenggaraan dan kerajaan negeri tanggung 60 peratus.

Kita sudah baiki hampir 100 kawasan pangsapuri dan 100 kawasan lagi sedang menunggu. Kita perbaiki lift, mengecat bumbung , pasang CCTV dan indahkan lanskap. Saya rasa skim Ceria ini membantu kalau tidak penduduk terkapai-kapai. Skim Ceria ini menghasilkan impak yang paling tinggi.

Banyak program yang kita laksanakan di bidang perumahan dicontohi Kerajaan Pusat. Kita laksanakan Skim Ceria, Kerajaan Pusat buat Tabung Perumahan 1Malaysia. Kita buat polisi "Rumah Selangorku", tiba-tiba Kerajaan Pusat buat "Rumah Idamanku".  Aspek perumahan ini kita memang banyak mendahului kerajaan Persekutuan. Usaha kekalkan kuota rumah bumiputera pun Kerajaan Persekutuan ikut kita.


Bagaimana dengan tuntutan penduduk pangsapuri yang mahu meter pukal ditukar kepada meter individu bagi membolehkan mereka mendapat kemudahan 10 meter padu air percuma?

Kita mempercepatkan sistem migrasi (meter pukal kepada meter individu). Apa yang penting di peringkat kerajaan negeri,  kita bantu menyelesaikan pertelingkahan di antara penduduk dengan pemaju dan pemaju dengan Syabas dan TNB (Tenaga Nasional Berhad).

Bagi menyelesaikan pertelingkahan, macam-macam kita buat. Kita bentuk jawatankuasa seumpama tribunal untuk bincang (masalah yang timbul).


Aspek keselamatan?

Terkini kita wujudkan Skim Rondaan Kejiranan (Seroja). Skim rondaan di kawasan rumah pangsa. Kita mulakan di Pangsapuri Taman Samudera, Gombak. Kita dapat kerjasama daripada polis dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Kita mula dengan lima (kawasan pangsapuri) dan tahun depan kita buat 25 lagi. Kita sasarkan 200 kawasan.

Dalam masa lima tahun pertama, kita lancarkan kempen Pangsapuriku bersih dan murni. Sekarang slogan kita hendak memberdayakan penduduk. Selamanya tak kan kerajaan negeri yang hendak buat semua. Kita hendak berdayakan mereka dengan kursus dan penduduk boleh mentadbir. Mereka mentadbir apa yang mereka hendak.

Kita akan adakan satu kurikulum bersepadu di seluruh Majlis Perbandaran di Selangor supaya JMB diberi latihan dan pendidikan. Ini supaya mereka tahu hendak menguruskan tempat mereka dari segi akta dan sebagainya.


Bagaimana dengan masalah setinggan. Adakah kerajaan negeri Pakatan Rakyat dapat menyelesaikan masalah setinggan setelah masuk dua penggal pentadbirannya?

Bagi penduduk setinggan, yang mana kita boleh bagi tanah kita akan bagi tanah. Itu jika tidak ada penyelesaian rumah kos rendah. Yang sudah duduk atas tanah kerajaan, kalau sesuai kita akan bagi tanah terus.

Sebahagian besar mereka tinggal di atas tanah kerajaan. Polisi kerajaan bagi tapak kediaman. Masalahnya mereka yang duduk di tanah rezab sungai dan rezab TNB itu kena cari tempat lain. Kalau memang sah tanah kerajaan negeri, kita bagi tanah kepada mereka (dengan syarat-syarat tertentu).


Jika kerajaan BN ada dasar “Setinggan Sifar” bagaimana pula dengan kerajaan Pakatan Rakyat?

Dasar “Setinggan Sifar” (kerajaan BN negeri) dulu hanya menguntungkan pemaju dan membolehkan mereka merobohkan kawasan perkampungan setinggan.  Lepas itu mereka (penduduk setinggan) akan diberikan rumah kos rendah.

Tetapi sekarang, kita cuba bagi rumah lebih selesa dan lebih mahal sikit untuk penduduk setinggan. Mereka yang tinggal di atas tanah kerajaan negeri seperti Kampung Sungai Makau dan Desa Seroja, kita akan bagi tanah.

Setinggan yang lebih 20 tahun kerajaan negeri akan bagi tanah. Kerajaan negeri ada rekod. Kita tahu yang mana (setinggan) lama dan (setinggan) baru.

Kita cuba selesaikan kes setinggan yang duduk di tanah kerajaan dalam masa 12 bulan akan datang. Jika tanah yang diduduki milik pemaju; pemaju kena selesaikan.


Setinggan yang duduk atas tanah pemaju, kerajaan negeri tidak bantu?

Kita cadangkan kepada pemaju supaya sediakan rumah berharga RM65,000 dengan keluasan 850 persegi kepada setinggan terbabit. Macam di Bukit Botak, penduduk beli rumah dengan harga RM99,000 sedangkan harga pasaran RM370,000. Kadang kala nampak harga mahal sikit tetapi nilai lebih tinggi.

Dalam manifesto Pakatan Rakyat Selangor, kita janji peruntukan RM50 juta setahun untuk skim membeli rumah. Pinjaman dengan kerajaan negeri ini babitkan mereka yang berpendapatan rendah. Kes pertama di Sungai Sering dan Rimba Jaya. Mereka tidak dapat pinjaman bank tetapi kerajaan negeri setuju untuk menjadi penjamin.

Kita berhubung dengan sebuah bank (untuk laksanakan program pinjaman ) tetapi mengambil masa yang lama (untuk diluluskan). Selepas pilihan raya umum (PRU13), baru pihak bank mengaku tidak dapat lakukan. Sekarang kita berurusan dengan bank lain dan sedang tunggu keputusan. Patutnya perkara ini telah selesai dua tahun lalu.

Kerajaan negeri hanya boleh memberikan pinjaman kepada kakitangannya tetapi tidak boleh beri pinjaman kepada rakyat. Untuk laksanakan skim pinjaman perumahan ini, kita perlukan pihak ketiga iaitu bank. Kita bagi duit kepada bank yang kemudian meminjamkan kepada rakyat.

Kerajaan negeri juga berusaha menyelesaikan masalah kelewatan pemberian Sijil Layak Menduduki (CF). Kita memang sudah minta Lembaga Perumahan melihat masalah ini dan saya tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelesaikan masalah CF ini.

Yang kedua masalah hak milik strata bagi rumah pangsapuri. Ini yang saya tengah fokus.

Jenayah tembak guna senjata api seludup - KDN

Hazayani Zakaria, 23 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengakui kebanyakan senjata api yang digunakan untuk melakukan jenayah dipercayai diseludup ke negara ini melalui negara jiran.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Er Teck Hwa (DAP-Bakri) di Dewan Rakyat semalam, KDN berkata, pergerakan keluar masuk pada kadar yang kerap, kesibukan lalu lintas di pintu masuk serta interaksi ekonomi antara penduduk di kawasan sempadan membuka peluang kepada aktiviti penyeludupan.

"Kewujudan lorong-lorong tikus di sepanjang sempadan juga telah digunakan oleh penduduk tempatan untuk menyeludup masuk barang-barang termasuk senjata api ke negara ini," kata menteri dalam jawapan tersebut.

Di samping itu juga, hubungan kekeluargaan dan faktor geografi sebagai contoh di sempadan Malaysia-Thailand, iaitu kedudukan Sungai Golok antara Thailand dan Rantau Panjang yang begitu hampir juga telah mewujudkan rangkaian yang mendorong kepada aktiviti penyeludupan.

Teck Hwa dalam soalannya meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan pecahan kes-kes tembak mati rakyat Malaysia sepanjang tahun 2013, punca senjata api begitu mudah didapati, langkah pencegahan yang sedang, telah dan akan diambil serta kesesuaian Polis Marin diwujudkan semula untuk mengawal perairan negara berbanding Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dilihat gagal.

Menteri menyatakan, sepanjang tahun 2013 dari Januari hingga September, sebanyak 74 kes bunuh melibatkan penggunaan senjata api telah direkodkan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan