Khamis, 24 Oktober 2013

PATUTNYA KITA DULU...LAH NI MEMANG TAK BOLEH...BRUNEI LAH YANG MENDAHULUINYA

Sungai Limau; Bukan sekadar pertarungan maruah

Hambali Akram,
Selesai sudah proses pencalonan DUN Sungai Limau, Kedah. Pertembungan dua musuh tradisi dalam politik Malaysia iaitu PAS dan Umno berterusan. Ada kalanya PAS menang dan begitulah sebaliknya. Secara umumnya sudah diketahui kawasan ini telah dimenangi oleh PAS sejak tahun 1995 iaitu dalam Pilihan Raya Umum ke-9 dengan majoriti yang kecil iaitu 196 sahaja. Namun sejak itu PAS terus mengukuhkan cengkamannya hingga kini.

Keputusan pilihan raya kecil kali ini tidak membawa apa-apa perubahan kedudukan dalam kerajaan Kedah, tidak seperti yang berlaku di Besut tidak lama dulu. Sesiapa pun yang menang, Umno-BN tetap memerintah Kedah.

Umno-BN tentunya mahukan kemenangan. Hal ini kerana bagi Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir, kemenangan di Sungai Limau setidak-tidaknya meredakan sedikit kekecewaannya kalah dalam pertandingan merebut jawatan Naib Presiden Umno. 

Suka saya mengingatkan orang Melayu khususnya di Sungai Limau, pertarungan ini bukan sekadar mempertahan maruah, malah lebih dari itu. Memberi kemenangan kepada Umno-BN bermakna setuju dengan segala salah laku, rasuah, budaya hendonisme, budaya samseng, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya.

Setidak-tidaknya, jika PAS mengekalkan kerusi ini, suatu isyarat jelas dapat dihantar bahawa prestasi dan segala tindakan Umno-BN sentiasa dinilai oleh rakyat. Mereka tidak boleh buat sesuka hati kerana rakyat semakin bermaklumat dan tahu hak-hak mereka sebagai pembayar cukai.

Oleh yang demikian, saya menyeru agar pengundi di Sungai Limau mengekalkan kerusi tersebut kepada PAS – demi masa depan generasi Malaysia.

'BN Menang Rakyat Senang'...penyokong BN buat lawak ke ni?

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 23 Okt 2013
Benarlah bagai dikata.. adalah mudah untuk memperbodohkan penyokong yang sememangnya bodoh.. contohnya adalah gambar di atas.

Antara sepanduk yang dibawa oleh penyokong UMNO/BN semasa penamaan calon bagi PRK Sungai Limau tadi, beberapa sepanduk terpapar dengan ayat 'BN Menang, Rakyat senang'..

Lihat di sini

Pindaan RUU Keseksaan 'klausa Rafizi' - Hanipa

Salmiyah Harun, 23 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Pindaan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (2013) Seksyen 203 (A) dibuat kerana kerajaan berasa terancam dengan individu seperti Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, demikian tegas Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Hanipa menamakan seksyen itu sebagai 'klausa Rafizi' apabila kerajaan mengenakan hukuman berat ke atas mereka atau individu yang mendedahkan maklumat kepada umum.

Seksyen itu menjelaskan sesiapa yang mendedahkan maklumat boleh didakwa di mahkamah dan didenda sehingga RM1 juta.

Bagi Hanipa, seksyen ini hakikatnya menjadikan perkara yang bukan jenayah sebagai jenayah.

Dan sudah tentu, katanya seksyen ini bertujuan untuk menakutkan khususnya pegawai kerajaan daripada mendedahkan maklumat yang sepatutnya perlu diketahui orang ramai.

"Sebagai contoh kes NFC yang rugi RM250 juta, bayangkan kalau Rafizi tidak dedahkan, kita tidak tahu.

"Rafizi dapat maklumat dan dia dedahkan. Malangnya apabila orang yang dedahkan maklumat itu disabitkan sebagai jenayah bermakna kerajaan tidak teluslah," katanya kepada Harakahdaily.

Lebih parah lagi katanya, individu seperti ahli parlimen pun tidak akan terlepas daripada sekysen ini sekiranya mendedahkan maklumat.

Bagaimanapun beliau turut mempersoalkan apa perlunya Seksyen ini sedangkan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang sedia ada sudah cukup untuk merahsiakan maklumat kerajaan.

Semalam kerajaan menegaskan seksyen itu diperkenalkan kerana sambungan kepada undang-undang penjenayah.

"Tetapi bila kita lihat dalam seksyen itu sebenarnya ia tidak ada kaitan dengan 'terrorist'. Bila kita tanya kerajaan pun tidak boleh jawab," katanya.

Masalahnya, kata beliau maklumat dalam seksyen itu tidak mengklasifikasikan maklumat macam mana sama ada maklumat palsu atau sebagainya.

"Sebab undang-undang ini terlalu umum sangat walaupun  mereka kata kita tidak akan kenakan kepada ahli parlimen itu pandangan mereka tetapi mahkamah tidak lihat kepada itu ia rujuk kepada undang-undang dan perkataan dalam seksyen itu," katanya.

Kelantan: Hanya MB bertukar, dasar tetap sama

Aslani M, 23 Okt 2013
KOTA BHARU: Dasar kerajaan negeri tetap sama dan tidak pernah berubah biar pun Kelantan sekarang diterajui Menteri Besar baru, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

“Sama juga seperti bas ekpress hanya pemandu sahaja yang bertukar namun haluan destinasi dan bas tetap sama.

“Bas masih sama dan perjalanannya juga ke destinasi yang sama biar pun bertukar pemandu,” kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah pada ceramah di peti undi Kampung Belukar malam tadi.

Oleh itu katanya rakyat tidak perlu risau dengan perubahan yang berlaku di Kelantan selepas pilihan raya umum lalu.

Malah menurutnya Ustaz Ahmad dipilih sendiri Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menggantinya berdasar kelayakan dan pengalaman yang dimilikinya.

Kata Mohd Amar, Ustaz Ahmad dua penggal memegang jawatan Timbalan Menteri Besar dan sebelum itu sebagai anggota Exco.

“Jadi orang ramai atau mana-mana pihak usahlah mempertikaikan pelantikan tersebut, lebih-lebih lagi sebagai seorang pendukung PAS.

“Kita tidak boleh hendak cepat dalam perjuangan. Kita kena banyak sabar dan ikut peraturan ditetapkan dalam jemaah,” katanya lagi.

Hadir sama pada program tersebut Pengerusi NGO Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shahrin, Ketua Penerangan PAS Kota Bharu, Azariza Mohd Alawi dan Ketua PAS Cawangan Kampung Belukar, Abdul Razak Mamat.

Sejak Tuan Guru Nik Abdul Aziz berundur sebagai ketua kerajaan selepas pilihan raya umum lalu ada pihak dilihat cuba menimbulkan pelbagai persepsi negatif dengan mengandaikan era kecemerlangan Kelantan akan merosot.

Tambahan pula Tuan Guru Nik Abdul Aziz digantikan Ustaz Ahmad yang dilihat mereka sebelum ini kurang menonjol.

Bagaimanapun persepsi tersebut semakin hilang apabila kerajaan negeri di bawah kepemimpinan baru memperlihatkan kesungguhan membangunkan negeri ini dengan asas-asas pentadbiran ditinggalkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Kesungguhan itu diterjemahkan dengan menggubal kerangka kerja 2013-2018 untuk membolehkan rakyat menikmati keberkatan, kemakmuran dan kebajikan.

Selain itu memastikan lebih 50 program dan projek yang terkandung manifesto pilihan raya umum lalu dapat dijayakan.

Malah Menteri Besar ketika sambutan ulangtahun ke-23 Kelantan Membangun Bersama Islam 21 Oktober lalu memberitahu komitmen Tuan Guru sebelum ini seperti projek lebuh raya, bekalan air dan pembinaan stadium diambil tindakan serius.

Beliau juga berharap Pejabat Mufti, Majlis Agama Islam  Kelantan, dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam hendaklah berperanan lebih pro aktif ke arah pelaksanaan hukum Islam di Kelantan.

Syariat Islam: Sepatutnya Malaysia dahului Brunei

Harakahdaily, 23 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyeru Kerajaan Malaysia agar mencontohi Kerajaan Brunei yang melaksanakan undang-undang Syariah Islam secara rasmi, semalam.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa DPPM, Dr Raja Ahmad Al Hiss berkata, pengumuman Sultan Brunei menandakan negara itu akan melaksanakan undang-undang Syariah Islam dan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang bakal melaksanakannya.

“Sultan Brunei menegaskan pelaksanaan syariat Islam bagi memastikan tanggungjawab beliau terhadap Allah SWT telah dilaksanakan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

DPPM, katanya merasa kagum terhadap pendirian tegas Sultan Brunei yang tidak teragak-agak dalam memastikan undang-undang Islam terlaksana di negara tersebut.

Menurutnya, meskipun mungkin ada bantahan dari masyarakat antarabangsa terutama dari golongan yang tidak memahami Islam secara menyeluruh, namun ketegasan kerajaan Brunei menafikan suara-suara bantahan tersebut.

Beliau berkata, baginda tidak takut dengan tekanan antarabangsa, bantahan masyarakat luar, kritikan pelbagai agensi dan golongan hanya semata-mata beliau lebih takutkan Allah SWT.

“Dalam hal ini, DPPM merasakan Malaysia lebih layak dan mendahului kerajaan Brunei dalam melaksanakan undang-undang Islam,” ujarnya lagi.

Ini, katanya kerana perlembagaan Malaysia mengiktiraf agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, pemimpin utama negara beragama Islam, pemimpin negara juga melaungkan slogan memperjuangkan agama Islam, majoriti penduduk negara ini adalah penganut Islam dan kefahaman rakyat mengenai Islam di negara ini juga semakin bertambah baik berbanding beberapa dekad yang lalu.

Justeru, kata beliau seharusnya Malaysia tidak mempunyai alasan lain selain bersama-sama Brunei turut menjulang syariat Islam di negara ini.

Tambahnya, dalam keadaan negara yang aman makmur dan mengecapi nikmat kemerdekaan lebih 50 tahun, seharusnya Malaysia mempunyai masa yang mencukupi untuk melaksanakannya secara berperingkat dan menyeluruh.

Katanya lagi, DPPM mengingatkan pemimpin negara bahawa mereka bertanggungjawab di hadapan Allah SWT melalui kuasa yang ada di tangan mereka.

Brunei laksana kanun jenayah syariah semalam

Harakahdaily, 23 Okt 2013


KUALA LUMPUR: Negara Brunei Darussalam melakar sejarah apabila menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud mulai semalam, lapor portal berita rasmi Kerajaan Brunei, Pelita Brunei..

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (gambar) mengumumkan perkara itu ketika bertitah pada Perasmian Majlis Ilmu 2013 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

"Dengan izin Allah juga, Akta Perintah itu mula digazetkan hari ini, 22 haribulan Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.

“Dengan ini Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggung jawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai,” titah Sultan Hassanal Bolkiah.

Baginda seterusnya bersyukur ke hadrat Allah SWT  kerana Majlis Ilmu pada kali ini diisi dengan acara-acara bersejarah yang berkaitan dengan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah.

Menyentuh mengenai tema Majlis Ilmu tahun ini yang memaparkan "Undang-Undang Jenayah Syar'iah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua", baginda bertitah, syariah yang datang daripada Allah memang wajar malah wajib diyakini sebagai mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan bagi semua.

“Undang-Undang Allah disyari’atkan, bukanlah untuk kepentingan-Nya sendiri. Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan,” titah baginda.

Baginda juga berharap rakyat dan penduduk Brunei sama-sama berdiri teguh dan berganding bahu dalam mendukung dan mengalu-alukan kelahiran Akta yang bersejarah ini.

Seperti Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993, Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah Brunei 2013 hanya tertakluk kepada rakyat Brunei beragama Islam. Hukuman jenayah sivil juga dilaksanakan secara bersama di negara tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan