Selasa, 29 Oktober 2013

MENOLAK HUDUD ...ATAU HUKUM QURAN...DIKHUATIR TERTOLAK ISLAM....IMAN DAN AKIDAH

Bil elektrik RM2.2 juta, Najib perlu berhemat

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersikap lebih berhemat dalam membelanjakan harta awam.

Ini berikutan dengan laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa jumlah bil eletrik bagi kediaman rasmi PM di Kompleks Seri Perdana adalah sebanyak RM2,237,788.13 pada tahun 2012 manakala sebanyak RM311,174.25 dibelanjakan untuk pembayaran air sepanjang tahun lepas.

Timbalan Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, DPPWP merasakan kos bil air dan eletrik berjumlah RM 2.5 juta setahun bagi kediaman rasmi seorang Perdana Menteri adalah agak tinggi.

Katanya, kos tersebut jika ditukar kepada keperluan rakyat, sudah tentu pelbagai perkara dapat dipenuhi dan ramai golongan rakyat dapat dibantu.

Dalam hal ini, ujarnya DPPWP menyarankan agar PM berjimat cermat dengan melihat kepada keperluan negara berbanding keperluan diri dan keluargnya sendiri.

“Jika beliau menganggap cadangan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke supaya PM dan TPM membayar sendiri bil eletrik dan air di kediaman rasmi mereka sebagai keterlaluan, ia dianggap realistik bagi pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, PM perlu menganggap kenyataan tersebut sebagai luahan hati rakyat yang kecewa melihat sikap pemimpin negara yang suka membazir dan mahukan pemimpin negara berhati-hati dalam menanggung amanah rakyat.

Bagi pemimpin PR, jelasnya hidup sederhana dan menetap di rumah sendiri berbanding kediaman rasmi adalah pilihan utama ketika mereka memimpin kerajaan.

Justeru, katanya ambillah contoh bagaimana kehidupan sederhana yang dipamerkan oleh Menteri Besar Kelantan YAB Datuk Ahmad Yakob dan bekas Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kedah Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak serta bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Katanya , kesemua mereka menetap di kediaman sendiri semasa berkhidmat menjadi menteri besar.

Malah, ujar beliau mereka menyumbangkan sejumlah elaun yang diterima mereka termasuk elaun keraian dan lain-lain untuk rakyat.

Tambahnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dikatakan menyumbang kembali elaun yang diterimanya selama ini yang berjumlah beratus ribu ringgit untuk kerajaan Kelantan.

Menurutnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng biasa menggunakan penerbangan kelas ekonomi berbanding eksekutif untuk urusan rasmi kerajaan negeri.

“Malah, beliau tidak kekok makan nasi bungkus bersama rakyat dan menggunakan kenderaan sendiri untuk tujuan parti atau urusan peribadi,” ujarnya.

Katanya, kesemua ini menunjukkan contoh pemimpin kerajaan yang sederhana dan berhati-hati dalam menjalankan tugas mereka.

Mereka, ujarnya sanggup hidup sederhana bersama rakyat bagi mengelakkan pembaziran untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Tegasnya, rakyat menyayangi pemimpin sederhana dan hidup di tengah-tengah rakyat.

“Tidak ada gunanya melaungkan slogan yang lunak, memiliki kuasa dan pengaruh besar dengan kata-kata yang hebat setinggi langit, tetapi gagal menunjukkan contoh untuk rakyat ikuti,” ujarnya.

Bincang sebelum cukai baru diumum

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan BN  mengumumkan cukai baru (GST) dalam  Bajet 2014 tanpa mengadakan perbincangan dengan anggota legislatif (Ahli Parlimen) adalah sesuatu yang mendukacitakan sedangkan mereka membawa suara rakyat.

Berucap membahaskan Bajet 2014 di Dewan Rakyat semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan contoh  amalan yang dilakukan di negara-negara Barat sebelum keputusan penting dilaksanakan pemerintah.

"Contohnya dalam isu Syria, Perdana Menteri Britain David Cameron ingin menyerang Syria tetapi beliau merujuk dahulu ke Parlimen. Dengan beraninya Parlimen menyanggah cadangan PM Britain dan hasrat tersebut dibatalkan.

"Begitu juga Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang merujuk dahulu kepada Kongres dan tidak menggunakan kuasa vetonya untuk menyerang Syria. Kongres hanya bersetuju jika kos serangan tersebut ditangguh oleh negara-negara Arab," jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Menurut beliau, demokrasi yang tulen, sihat, telus dan benar-benar mewakili suara rakyat akan terlaksana jika ahli parlimen termasuk daripada BN dibenarkan untuk berbeza pendirian dengan kerajaan kerana tidak semestinya semua tindakan kerajaan perlu disokong Ahli Dewan Rakyat (ADR) dan Ahli Dewan Negara (ADN).

Dalam ucapannya juga, Ustaz Abdul Hadi menyentuh aspek pembangunan insan yang sepatutnya tidak memisahkan elemen rohani, jasmani dan akal.

"Kita bukan sahaja ingin melahirkan insan yang bijak dalam ilmunya tetapi turut mulia akhlaknya. Ilmu dan iman tidak boleh dipisahkan. Kita tidak ingin menjadi ahli parlimen yang 'rubber stamp', mengiyakan sahaja apa yang kerajaan cadangkan," ujarnya.

Pemuda PAS seru bantah tuntutan COMANGO

Harakahdaily, 29 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Semua pihak terutama NGO Islam diseru membantah tuntutan oleh COMANGO, dan dalam masa yang sama membina jaluran komunikasi dan interaksi menerangkan polisi dan prinsip Islam secara harmoni dan sistematik.

“Tanpa mengira latarbelakang politik mahupun ideologi, marilah kita memahami dan mendalami keindahan Islam dengan betul,” ujar Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad.

Beliau dalam satu kenyataan menegaskan, Islam itu indah dan mendamaikan, yang tinggal manusia yang melakukan kefasadan sahaja bebal dan buta hati untuk mengakuinya.

“Saya juga mendesak pihak kerajaan Malaysia melalui agensi dan institusi agama dan perundangan mengambil serius isu ini,” ujarnya lagi.

Kenyataan penuh seperti di bawah.

Saat seluruh rakyat asyik tertumpu kepada media memerhati dan meneliti pembentangan Bajet 2014, isu 'bencana alam' di Pahang dan kerakusan penjenayah menembak mati seorang pegawai bank seakan tidak mendapat perhatian. Dalam tidak sedar satu isu yang pada agakan dan bacaan saya cukup besar iaitu isu tuntutan melampau dan jahat oleh Coalition of Malaysian NGOs (COMANGO) dalam Proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) seliaan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) juga hampir hambar daripada perhatian arus perdana.

Sebelum menyentuh jauh perihal tuntutan yang dianggap keterlaluan dan bercanggah dengan hak asasi dalam acuan Islam, perlu difahami bahawa UPR  diadakan sekali dalam tempoh 4 tahun adalah untuk menyemak dan mengkaji isu-isu seputar hak asasi manusia melibatkan 193 buah negara yang bernaung di bawah PBB termasuk Malaysia. Maka sebuah gabungan koalisi NGO dari Malaysia yang terdiri dari 54 NGO telah mengemukakan beberapa tuntutan untuk diteliti dalam proses semakan tersebut.

Tuntutan pertama adalah berkenaan gesaan supaya Malaysia menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Artikel 18 ICCPR tersebut adalah peruntukkan berkenaan 'the rights of religious freedom' atau hak kebebasan beragama. Benar ajaran Islam menjelaskan bahawa tiada paksaan dalam agama akan tetapi masyarakat agama lain mesti mengakui keabsahan dan eksklusivisme Islam sebagai ad-Deen bukan religion sebagaimana agama lain.

Perkara tersebut bukanlah semata-mata hujahan untuk menidakkan agama lain, akan tetapi hakikat aqidah dan kepercayaan umat Islam bersandarkan firman Allah s.w.t., maksudnya: "Sesungguhnya agama di sisi Allah itu adalah Islam."

Ayat tersebut menjadi bukti bahawa Islam menitikberatkan soal pegangan dan iman para manusia. Bahkan andai diperhatikan dari teropong Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, Malaysia adalah sebuah negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama negara (agama persekutuan) tetapi hak untuk penganut agama lain mengamalkan agama dan kepercayaan mereka tidak disekat.

Agama dan kepercayaan lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, hak seseorang untuk mengembangkan agama lain boleh disekat atau dikawal oleh undang-undang negeri atau undang-undang persekutuan bagi Wilayah Persekutuan. Mereka dilarang menyebarkan agama lain kepada umat Islam. Tuntutan kebebasan agama ternyata bercanggah dengan konsep dan prinsip 'la ikraaha fiddin' atau tiada paksaan dalam agama dari sudut kacamata Islam. Sebagaimana yang pernah dijelaskan oleh cendekiawan Islam Dr. Taha Jabir al-Elwani dalam bukunya,  Islam menjaga umat manusia dengan matlamat hifz ad-din dalam jalur maqasid syariah yang tertinggi objektiviti pensyariatannya.

Seterusnya, lagi Malaysia didesak untuk memberi pengiktirafan terhadap hak-hak Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya bagi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Desakan ini jika ditinjau untuk suatu tempoh yang panjang pastinya akan membibitkan impak dan implikasi negatif terhadap sistem sosial ketamadunan manusia dan fitrah manusiawi. Sebarang orientasi seks songsang seumpamanya akan menggalakkan perkahwian sejenis. Ia juga boleh menatijahkan keremukan dan kehancuran masyarakat tanpa nilai dan prinsip hidup.

Buktinya, Islam amat menjaga umatnya dalam soal hifz an-nafs atau menjaga diri dari perspektif maqasid syariah. Pensyariatan Islam ini dikukuhkan lagi dengan model umat yang binasa sebagaimana kaum Nabi Lut yang menjadikan amalan homoseksual sebagai ‘hobi’. Juga andai ditelusuri kajian biologikal manusia sekalipun sudah tentu jawapan yang secara empirikalnya adalah amalan songsang tersebut membuka kepada konflik kesihatan dan reproduktiviti manusia. Semuanya sudah terbukti nyata, hanya tinggal manusia yang pupus nilai dan prinsip hidup untuk dicernakan dalam menjalani kehidupan ini.

Juga tuntutan selanjutnya oleh COMANGO yang biadap, yang jelas bertentangan amalan hak asasi yang hakiki ialah gesaan untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi besar yang dicetuskan perkara ini ialah menjerumuskan negara ke dalam kancah isu racism atau perkauman berpanjangan. Bacaannya boleh membawa perang saudara juga tidak mustahil. Jelas terpapar dalam perlembagaan sebagaimana Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera.

Melalui Artikel 152 Perlembagaan Singapura dan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia, hak orang Melayu sebagai penduduk asal dipelihara tanpa mengambilkira sama ada orang Melayu tergolong dalam kumpulan majoriti atau sebaliknya. Sekiranya di Singapura, sokongan kaum Melayu dilihat kritikal bagi sesebuah parti politik untuk menjadi parti yang memerintah, sebaliknya di Malaysia pula sokongan kaum-kaum minoriti Cina dan India turut memainkan peranan yang sama. Tuntutan ini jelas mencabar status quo yang melibatkan orang Melayu samada dari sudut hak Raja-raja Melayu dan Bahasa Melayu serta kontrak sosial yang sedia terbina selama ini.

COMANGO mempersoalkan dan memperkecilkan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah yang wujud dalam peruntukan perlembagaan negara. tuntutan ini menjadi gambaran kejahilan tentang perundangan negara. Juga mereka menggesa untuk menggugurkan atau meminda peruntukan mengenai moral policing yang didakwa menggugat hak privasi dan individu rakyat.  Jika mengambil contoh barat, begitulah natijahnya. Islam mempunyai kekuatan dari sudut  polisi moralitinya dengan turut mengambil berat aspek maqasid syariah yang lain dalam masa yang sama.

Turut dipertikaikan beberapa keputusan mahkamah Syariah terutamanya mengenai isu kalimah Allah, pengharaman ajaran Syi’ah dan hak seorang Muslim untuk menukar agama anak bawah umur kepada Islam. Segala pertikaian ini dilihat sebagai tidak menghormati agama Islam dan prinsipnya. Juga menggambarkan ceteknya kefahaman fundamental Islam. Lebih tragis, seorang muslim juga terlibat sama mempertikaikan. Terlalu panjang ulasan terhadap apa yang dipertikaikan itu, namun hormatilah prinsip dan hak agama Islam dari perundangan mahupun tabi’I sosial.

Tuntasnya, saya menyeru kepada semua pihak NGO Islam turut membantah tuntutan oleh COMANGO itu, dan dalam masa yang sama membina jaluran komunikasi dan interaksi menerangkan polisi dan prinsip Islam secara harmoni dan sistematik. Tanpa mengira latarbelakang politik mahupun ideologi, marilah kita memahami dan mendalami keindahan Islam dengan betul. Islam itu indah dan mendamaikan, yang tinggal manusia yang melakukan kefasadan sahaja bebal dan buta hati untuk mengakuinya. Saya juga mendesak pihak kerajaan Malaysia melalui agensi dan institusi agama dan perundangan mengambil serius isu ini.

Jauhar, Ketua Pemuda PAS Melaka yang baru

Ahmad Danial, 29 Okt 2013
MELAKA: Dewan Pemuda PAS Melaka mendapat kepimpinan baru apabila ketua dan naib ketua baru dipilih pada muktamarnya, baru-baru ini.

Jauhar Md Dawi dan Muhsin Jamaat dilantik masing-masing sebagai ketua dan naib ketua yang baru, manakala timbalan sesi lalu Ustaz Musa Mohammad mengekalkan jawatannya tanpa sebarang pertandingan.

Jauhar dipilih menggantikan Yuhaizad Abdullah yang mengundurkan diri atas faktor usia. Manakala Muhsin dipilih oleh perwakilan setelah mendapat undi yang besar berbanding seorang calon lain.

Manakala ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Mohd Khairul Anam Mohamad Razali, Aidil Azhiim Shamsudin, Azizan Anuar, Norkhairi Yusof, Muhammad Aizat Baharuddin, Ahmad Anwar Razak, Fakhrul Nizam Hussein, Mohd Sobri Hashim, Johari Osman dan Emransyah Abdullah.

Muktamar tersebut berlangsung di Kompleks PAS Bukit Katil/Bukit Bayan yang mana perasmiannya disempurnakan oleh Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Raja Ahmad Iskadar Yaacob.

Ustaz Azam terharu dengan sokongan masyarakat

Hazayani Zakaria, 28 Okt 2013
JERAI: Sebilangan besar penduduk Dun Sungai Limau mengakui calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau Ustaz Mohd Azam Abd Samat seorang yang tidak lekang dengan senyuman dan lemah lembut ketika berbicara.

Membuka topik senyum dengan empunya diri, Ustaz Azam, 37, berkata sejak kecil ibunya sentiasa berpesan agar sentiasa senyum ketika bertemu atau berurusan dengan orang lain.

"Saya diajar oleh emak supaya sentiasa senyum. Kita kena sentiasa baik sangka dengan orang Insya Allah orang pun tak ada masalah dengan kita.

"Kalau tanya pelajar saya pun mereka tahu saya bagaimana, mereka kata saya sentiasa senyum," katanya sambil ketawa kecil ketika ditemui Harakahdaily sewaktu rehat tengah hari di Markaz Induk PAS PRK Sungai Limau, Batu 15 semalam.

Bertanya mengenai rutin kempen sehari-hari, Azam berkata rutin harian tidak banyak berubah cuma ditambah dengan program-program bertemu masyarakat.

"Tak banyak yang berubah sebab saya seorang guru, selalu bertemu denan palajar dan ibu bapa, solat berjemaah di masjid cuma dalam tempoh kempen ini apa yang dilakukan mesti mendekatkan kita dengan masyarakat.

"Solat kita dengan orang ramai, sarapan, ziarah rumah ke rumah dan apa yang penting untuk kita pastikan sehari suntuk kita bersama dengan pengundi. Malam program ceramah dan santai dengan anak muda," katanya.

Diminta berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakan selepas menjadi calon, beliau berkata, sokongan yang ditunjukkan seluruh lapisan masyarakat termasuk bekas guru beliau merupakan perkara yang paling membuatkan beliau terharu.

"Banyak perkara baru antaranya kempen di Batu 18, di situ terdapat pusat operasai RTM. Sebelum ini tak pernah ditemu bual oleh sesiapa pun. Ini mungkin pengalaman baru ditemu bual wartawan.

"Yang kedua paling saya tak lupa pada hari penamaan calon sokongan penyokong PAS cukup mengharukan daripada seluruh lapisan masyarakat.

"Saat manis bersama bekas guru, dua tiga orang yang pernah mengajar saya mereka turut membantu kempen melalui kuliah, dan mereka juga turut membantu kempen yang kita adakan," katanya.

Tak apalah, Jamil kata saya tak betul - Mahfuz

Salmiyah Harun, 28 Okt 2013
JERAI: Datuk Mahfuz Omar tidak mahu memanjangkan isu mendoakan PAS menang di Sungai Limau oleh bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir kerana beliau cukup mengenali siapa Baharom  Ramli, 77.

Mahfuz ketika diajukan soalan oleh wartawan dalam sidang media hari ini, berkata beliau tidak mahu mengheret perbalahan di kalangan ahli keluarga Jamil.

"Tak apalah, biarlah. Saya tak mahulah mengheret perbalahan keluarga mereka," katanya ringkas.

Menurut Mahfuz, sewaktu lawatan beliau tempoh hari Jamil Khir tiada di rumah.

"Dia bukan hadir pun masa bapa dia tadah tangan berdoa itu," katanya di Markas Induk PAS PRK N20 Sungai Limau.

Tegas Mahfuz, beliau amat mengenali Baharom yang telah lama bergiat dalam PAS malah dia mengaku telah membayar yuran ahli pada bulan lima lepas.

"Tak apalah Datuk Jamil kata saya tak betul tak apa, tapi saya faham bapa dia sebab saya lama dengan bapa dia. Bapa dia itu jiwanya PAS, original PAS," kata Mahfuz lagi.

Namun, beliau berharap perbezaan politik dalam keluarga Jamil Khir tidak menjadi isu besar buat Jamil sepanjang kempen pilihan raya kecil Sungai Limau berlangsung.

Semalam, Jamil Khir mendakwa bapanya hanya sekadar mengaminkan doa yang dibaca PAS sewaktu mereka menziarahi bapanya di rumah mereka di Kampung Sedaka, Yan.

Dakwanya lagi, bapanya kini tertekan secara moral apabila ziarah itu dijadikan modal kempen PAS dalam kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.

Kelantan pastikan kanun syariah jadi kenyataan

Aslani M, 28 Okt 2013
KOTA BHARU: Selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II diluluskan persidangan Dun Kelantan pada 1993, kini kerajaan negeri mengambil langkah lebih serius memastikan perundangan tersebut dapat dilaksanakan.

Tahun hadapan kerajaan negeri menyedia peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyediakan prasarana ke arah pelaksanaan perundangan tersebut termasuk melatih hakim-hakim.

Dan semalam juga demontrasi hukuman sebatan dalam Islam dipertonton kepada orang ramai sempena Konvensyen Amar Ma’ruf Nahi Mungkar peringkat kebangsaan yang diadakan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau, Datuk Nasuruddin Daud berkata, perundangan tersebut tetap akan dilaksanakan biar pun ditolak kerajaan pusat.

“Kita tetap akan laksanakan biar pun kerajaan pusat menolaknya,” katanya ketika membentang kertas kerja Amar Makruf Nahi Mungkar Pengalaman Kerajaan Kelantan di Putik hari ini.

Turut membentang kertas kerja pada konvensyen tersebut anggota Exco Kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, bekas anggota Exco kerajaan Teregganu, Datuk Abu Bakar Chik dan Pengasas Yayasan Amal Malaysia, Husin Ismail.

Turut sama mengikuti konvensyen berkenaan mantan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mufti Kelantan, Datuk Mohd Shukri Mohamad dan Timbalan Mufti, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Muhamad.

Peserta konvensyen dua hari itu terdiri dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri dan pusat serta wakil-wakil badan bukan kerajaan.   

Nasuruddin juga berkata, sekiranya pelaksanaan kanun jenayah syariah masih ditolak kerajaan pusat, kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk membawa kes tersebut ke mahkamah.

“Dan sekiranya mahkamah juga menolaknya maka kita kembali kepada mahkamah rakyat,” ujarnya.

Menurutnya juga pelbagai usaha sudah dilakukan bagi membolehkan perundangan berkenaan dapat dilaksanakan termasuk mengemukakan usul di parlimen.

Sementara itu Dr Halimah berkata, kerajaan Selangor menggunakan pendekatan rohani dengan mendedahkan rakyat terhadap ilmu bagi membolehkan mereka mengurus emosi dengan baik.

Katanya, kefahaman mendalam melalui ilmu membolehkan rakyat bertindak selaras dengan tuntutan Islam dan mengelakkan perkara-perkara mungkar.

Bajet 2014: Sarawak terpinggir lagi?

Mohd Aizan Mohd Nor, 28 Okt 2013
Bajet 2014 yang amat dinanti-nantikan itu sudahpun dibentangkan. Ramai menggelar belanjawan kali ini sebagai ‘Bajet GST’ dan ‘Bajet Gula’ merujuk kepada cadangan pelaksanaan sistem GST bermula pada tahun 2015 dan pemansuhan subsidi gula mulai Sabtu lepas. Jika ditinjau dari dua sudut ini, Bajet 2014 jelas sebuah belanjawan yang berani kerana ia cuba untuk tidak populis.

Mungkin ini adalah cerminan keyakinan Perdana Menteri dengan mandat baru beliau pada PRU13 yang lalu khususnya daripada Malaysia Timur.

Sekilas pandang, Bajet 2014 tampak lebih mesra Sarawak dan Sabah.

Berikut adalah projek-projek utama yang dikhususkan untuk Malaysia Timur dalam pembentangan Bajet 2014 yang lepas:

1.    RM850 juta untuk kabel dasar laut bagi peningkatan capaian internet di Sarawak dan Sabah
2.    RM500 juta untuk Lebuhraya Pan-Borneo
3.    RM331 juta untuk penyeragaman harga barangan di Sarawak dan Sabah
4.    RM312 juta untuk menaiktaraf beberapa lapangan terbang termasuk di Sarawak dan Sabah
5.    RM130 juta untuk subsidi pengangkutan udara luar bandar di Sarawak dan Sabah
6.    RM75 juta untuk bantuan tangki air di Sarawak
7.    RM50 juta untuk kerja pengukuran dan pengesahan tanah adat bumiputera Sarawak dan Sabah
8.    RM30 juta untuk 60 buah Kedai Rakyat 1 Malaysia di Sarawak dan Sabah
9.    2 buah RTC untuk Sarawak dan Sabah
10.     1 buah UTC di Sarawak

Secara keseluruhan, projek-projek di atas berjumlah sekurang-kurangnya RM2.3 bilion. Jelas, suatu peruntukan yang lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini. Tentunya rakyat Sarawak bersyukur kepada Allah atas peruntukan sebesar ini. Namun adakah cadangan-cadangan Perdana Menteri ini menepati keperluan sebenar rakyat di sebelah sini?

Sebagai contoh, peruntukan RM 850 juta untuk kabel dasar laut walaupun baik tetapi saya kira agak besar dan tidak menepati keperluan sebenar rakyat Sarawak khususnya di luar bandar.

Berdasarkan maklumat terkini daripada SKMM, capaian internet di Sarawak sudahpun mencapai tahap 55%, (melepasi sasaran kerajaan pada kadar 50%) dan ini sebenarnya jauh lebih baik berbanding Kedah, Kelantan dan Perak walhal capaian bekalan air paip terawat di luar bandar Sarawak hanyalah 57.4% dan dalam masa yang sama, Sarawak adalah negeri ketiga tertinggi insiden kemiskinannya (LaporanPenyiasatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2012).

Peruntukan RM 500 juta untuk membaiki Lebuhraya Pan-Borneo pula sebenarnya terlalu rendah berbanding keperluan untuk menaiktaraf jalanraya tulang-belakang sistem pengangkutan darat di Borneo ini kepada ‘dual-carriage way’ yang dianggarkan berjumlah RM22.0 bilion (Pelan Pembangunan Rangkaian Lebuhraya 2010).

Malahan, berdasarkan ulasan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi, Datuk Seri Michael Manyin, sebahagian besar daripada peruntukan ini hanya akan digunakan untuk pembinaan 95 buah laluan memotong sepanjang lebuhraya sejauh 2,239 km ini.

Jelas, komitmen kerajaan pusat untuk menyediakan sebuah lebuhraya yang baik dan selesa untuk rakyat Sarawak dan Sabah setanding dengan yang dinikmati oleh rakan-rakan di Malaysia Barat masih diragui.

Selain itu, strategi pemberian subsidi bagi menyeragamkan harga barangan pengguna di Sarawak dan Sabah berjumlah RM331 juta pula dilihat tidak lestari secara ekonominya.

Ini adalah kerana pendekatan yang jauh lebih efektif adalah semakan semula dasar kabotaj sedia-ada yang menghalang pemunggahan dan pengangkutan barangan secara langsung ke pelabuhan-pelabuhan di Sarawak dan Sabah.

Dasar kabotaj ini diakui oleh ramai penganalis sebagai antara punca utama perbezaan harga barangan di antara Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur di samping masalah ketidakcekapan sistem pengangkutan darat yang disebabkan oleh keadaan Lebuhraya Pan-Borneo yang kurang memuaskan.

Dengan dasar yang lebih tepat, RMM331 juta ini mungkin lebih strategik digunakan untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan anak-anak bumiputera Sarawak khususnya di luar bandar.

Isu tanah adat bumiputera atau tanah NCR di Sarawak adalah isu besar yang menunjangi perasaan tidak puas hati sebahagian besar rakyat Sarawak khususnya orang Dayak terhadap kerajaan negeri sekarang ini.

Isu dasarnya bukanlah semata-mata tentang mempercepatkan pengukuran dan pengesahan status tanah NCR tersebut tetapi yang jauh lebih penting ialah pengiktirafan kerajaan negeri terhadap hak kaum bumiputera ke atas tanah adat turun-temurun mereka mengikut hukum adat mereka sendiri.

Mempercepatkan proses pengesahan tanah NCR atau juga disebut sebagai ‘perimeter survey’ ini pada asasnya akan mempercepatkan proses pengambilalihan tanah-tanah tersebut oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan tanpa perlu mengiktiraf status ‘pulau galau’ (hutan simpanan komunal) dan ‘pemakai menoa’ (domain wilayah rumah panjang) tanah-tanah rakyat ini sebagai tanah NCR.

Isu definisi tanah adat ini sebenarnya sudahpun diakui oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Nor Nyawai pada tahun 2001 yang menjelaskan bahawa tanah NCR bukanlah hanya ‘temuda’ (kawasan yang terdekat dengan rumah panjang yang juga digunakan untuk bercucuk-tanam dan lain-lain) sepertimana yang difahami oleh kerajaan negeri tetapi ia juga termasuklah ‘pulau galau’ dan ‘pemakai menoa’.

Ini adalah isu penghakisan hak rakyat bumiputera Sarawak oleh kerajaan negeri dan agensi-agensinya ke atas tanah-tanah adat mereka. Sebenarnya bukanlah RM50 juta ini yang diperlukan tetapi yang rakyat mahukan ialah reformasi undang-undang berkaitan tanah adat secara komprehesif agar hak mereka terus dipertahankan.

Tidaklah dinafikan bahawa rakyat Sarawak juga akan menerima manfaat daripada inisiatif BR1M, i-BR1M dan peruntukan-peruntukan untuk sistem kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar yang lain.

Namun demikian, apa yang cuba diketengahkan di sini ialah setakat manakah peruntukan-peruntukan besar untuk Sarawak ini menepati keperluan rakyat Sarawak itu sendiri? Atau adakah ia bakal direbut oleh mereka yang berkepentingan dan hanya dinikmati oleh kelompok elit tertentu di negeri ini? Moga-moga igauan ngeri Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidak berulang lagi.

Tiada ulasan: