Sabtu, 19 Oktober 2013

BILA PERJUANGAN KAUM@ASSABIYYAH DIDULUKAN DARI ISLAM...SERTA AMALAN SEPENUHNYA ISLAM TIDAK DITITIKBERATKAN

PAS Kelantan yakin pertahan Dun Sungai Limau

Salmah Mat Husain, 19 Okt 2013
KOTA BHARU: PAS Kelantan yakin Dun Sungai Limau akan dapat dipertahankan kemenangannya pada pilihan raya kecil (PRK) pada 4 November nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, berdasarkan rekod lalu, calon PAS yang juga bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak telah memenangi lima kali Dun pada PRU.

“Malah Allahyarham Ustaz Azizan telah memenangi kerusi Dun berkenaan sejak Kedah di zaman pemerintahan Umno lagi,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Beliau yakin kemenangan akan memihak kepada PAS berdasarkan rekod kecemerlangan di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis ibadat korban dan majlis bersama rakyat di Pejabat Dun Panchor, di sini semalam.

Beliau memberitahu, PAS Kelantan akan menghantar petugasnya untuk berkempen bagi membantu kemenangan calon pada PRK itu nanti.

Katanya, gelombang pertama akan memulakan tugas mereka bermula hari ini.

“Pada kesempatan ini saya menyeru pada semua petugas kita bertugas dengan baik di samping sentiasa merujuk pada petugas tempatan bagi mengelak sesuatu yang tidak diingini.

“Pada masa yang sama ikut arahan pimpinan yang telah ditetapkan, insyaalah kita berjaya,” ujarnya.
VP: Penyandang dahului, Mukhriz rapati Hisham
10:34AM Okt 19 2013
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi terus menerus mendahului lima lagi calon jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu bagi sesi 2013-2016.
Keputusan tidak rasmi adalah seperti berikut:1. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi -63
2. Datuk Seri Shafie Apdal -56
3. Datuk Seri Hishammuddin Hussein -35
4. Datuk Mukhriz Mahathir -30
5. Datuk Seri Mohd Ali Rustam - 4
6. Tan Sri Isa Samad - 4
Zahid - antaranya Bukit Bendera, Cheras, Bentong, Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Tapah, Batu Gajah, Pagoh, Kota Kinabalu, Ampang, Lumut, Telok Intan, Bagan Datoh, Tanjung Malim, Parit Buntar, Parit, Gerik, Kota Tinggi, Lembah Pantai, Tanjung Piai, Tampin, Temerloh, Raub, Padang Rengas.
Shafie - antaranya Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Tapah, Bentong, Batu Gajah, Pagoh, Ampang, Lumut, Telok Intan, Bagan Datoh, Tanjung Malim, Parit Buntar, Parit, Gerik, Kota Tinggi, Lembah Pantai, Tanjung Piai, Tampin, Temerloh, Raub, Padang Rengas.
Hishammuddin - antaranya Bukit Bendera, Bentong, Cheras, Tapah, Pagoh, Kota Kinabalu, Lumut, Telok Intan, Bagan Datoh, Tanjung Malim, Parit Buntar, Parit, Gerik, Kota Tinggi, Lembah Pantai, Tanjung Piai, Temerloh, Raub.
Mukhriz - antaranya Tambun, Kampar, Ipoh Barat, Cheras, Ampang, Padang Rengas.
Mohd Ali - antaranya Bukit Bendera, Batu Gajah, Kota Kinabalu.
Isa - antaranya Tampin.
Sehingga ini, 63 daripada 191 bahagian telah mengumumkan keputusan masing-masing. 
Sementara itu, Bernama melaporkan mesyuarat perwakilan Umno bahagian dan pemilihan kepimpinan peringkat bahagian serta Majlis Tertinggi parti bermula serentak di 191 bahagian 8 pagi ini.

Mesyuarat itu akan ditangguh kemudian bagi memberi laluan kepada proses pemilihan itu.

Ketika proses pengundian, setiap perwakilan akan diberi dua set kertas undi untuk memilih pemimpin mereka di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi.

Ini merupakan kali pertama anggota akar umbi diberi suara lebih besar dalam pemilihan Umno berikutan pindaan Perlembagaan parti pada 2009 ke arah menjadikan parti itu lebih telus, demokratik dan membasmi gejala politik wang.

Kira-kira 146,000 anggota akar umbi diberi hak menentukan pimpinan peringkat bahagian dan saf tertinggi kepimpinan parti itu berbanding sebelum ini hanya 2,500 perwakilan menentukan nasib pemimpin Majlis Tertinggi semasa perhimpunan agung parti di ibu negara.

Selepas selesai proses pengundian, perwakilan akan menyambung semula mesyuarat mereka sementara proses pengiraan undi dijalankan.

Bagi memenuhi carta Majlis Tertinggi, sebanyak 71 calon akan bertanding merebut 29 kerusi jawatan yang dipertandingkan iaitu Timbalan Pengerusi Tetap (tiga calon), Naib Presiden (enam) dan anggota Majlis Tertinggi (62).

Tumpuan hari ini pastinya kepada enam calon naib presiden iaitu tiga penyandang -- Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Shafie Apdal -- yang akan berdepan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Jawatan presiden dan timbalan presiden sebelum ini diisytihar menang tanpa bertanding apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing tidak dicabar pada pemilihan kali ini.

Jawatan Pengerusi Tetap yang disandang Tan Sri Badruddin Amiruldin juga telah diumum menang tanpa bertanding.

Wanita Umno bukti angkuh transformasi

Subky Latif, 18 Okt 2013
Sekalipun sistem pemilihan baru Umno dikatakan bukti ia menunju alam transformasinya, tetapi dengan terpililh semula shahrizat Jalil sebagai ketua Wanitanya, bukan transformasi belum bermula, bahkan bertambah mundur dan kuno.

Kemenangan semula Shahrizat itu bukan saja tidak elok untuk dirinya sendiri, bahkan ia menjadikan Wanita Umno bukan mlakukan transformasi tetapi transormati.

Yang dikatakan transformasi itu bukan saja ia bertukar menjadi bertambah baik serba serbi, tetapi ia juga mesti keluar dari alam negatif yang tidak bermoral.

Sebuah politik yang baik dan dihormati ialah politik yang bermoral. Contoh yang paling baik ialah alasan yang diberi oleh  Willy Brandt, Canselor Jerman Barat yang meletak jawatan walaupun belum sepenggal memegang jawatan.

Dia jadi Canselor tahun 1969. Dia jadi Canselor yang terbilang bagi Jerman Barat. Tiba-tiba seorang dari menterinya melakukan kesilapan memalukan negara dan kerajaan. Willy Brandt meletak jawatan atas alasan biar ada politik di Eropah yang bermoral.

Dengan segala yang menimpa keluarga Shahrizat hingga senatorshipnya tidak disambung dan tiada lagi menteri penuh dari Wanita Umno, bukan saja menjadi bencana moral kepadanya sebagai menteri dan pemimpin Wanita Umno, tetapi ia telah menjadikan moral Wanita itu tercemar.

Sepatutnya ketika perniagaan suami terbongkar sebagai satu skandal besar negara dan ketika senatorshipnya tidak disambung, dia meletak jawatan dalam Wanita Umno atau Wanita Umno bertindak menggantinya dengan seorang yang lain supaya sayap politik Umno boleh dilihat memenuhi transformasi yang orang luar kata ia adalah retorik.

Jika Wanita Umno ketika itu bertindak menggantikan ketuanya itu dengan orang Umno yang ada di Parlimen supaya boleh jawatan menteri yang ditinggalkannya diisi dengan Azalina Othman Said atau senator yang jadi Timbalan Menteri iaitu Masitah Ibrahim, maka moral Wanita Umno sebagai agen transformasi partinya dapat dibina dan dipertahankan.

Tetapi Shahrzat tidak berbuat demikian dan Wanita Umno menikus mengikut lenggoknya.

Kemudian dia mempertahankan jawatan itu dan Wanita Umno tidak mengambil langkah untuk menggantikannya dengan seorang lain seolah-olah tiada sesiapa dalam Wanita Umno yang boleh menyainginya atau sama dengannya bagi menggantikannya.

Tidak ada orang luar peduli apakah Wanita Umno bermoral dan ketuanya bermoral. Tetapi dengan dia kekal jadi ketua dan Wanita Umno pula berketuakan dia, maka tiada apa yang dia dan Wanita Umno dapat megahkan.

Mungkin dia dan Wanita Umno mengira dialah tokoh politik wanita paling berkaliber dari ketua wanita parti-parti lain, tetapi ketokohan itu tidak apa eloknya dibandingkan kecacatan moral politiknya.

Jadilah dia dan ia gandingan yang sedang dan hendak dibina oleh Khairy Jamaluddin dengan Pemuda Umnonya. Apakah Khairy dan Pemuda Umno itu elok sangat? Tetapi Khairy sedang membinanya untuk menjadi yang tercemerlang daripada ketua-ketua Pemuda  sebelumnya.

Sukakah dan seronokkah Khairy dan Pemuda Umno beroleh Wanita Umno yang rendah moralnya dengan berketuakan orang politik yang moralnya dipersoal?

Mungkinlah Shahrizat itu hebat, tetapi dalam semua hal dia kalah dengan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR. Jika orang hendak mencari politik wanita yang bermoral orang tidak tengok Wanita Umno, tetapi orang cari yang lain walaupun masing-masing ada kelemahan. Tiada apa untungnya Wanita Umno berketuakan orang integritinya dipersoal.

Sah, Umno alergik dengan undi popular

Shahbudin Husin, 19 Okt 2013
Jawatankuasa Pemilihan UMNO akhirnya membuat pusingan u-turn berhubung keputusan untuk menentukan pemenang bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO yang tergantung sejak seminggu lalu berikutan jumlah undi yang diperolehi oleh dua calonnya iaitu Khairul Azwan Harun dan Jamawi Jaafar terikat dengan kedudukan 73-73 pada pemilihan 12 Oktober lalu.

Selepas keputusan seri itu, Jawatankuasa Pemilihan kemudiannnya memutuskan pengiraan berdasarkan jumlah undi popular akan dilakukan untuk menentukan pemenang sebenar. Bagaimanapun semalam, kaedah undi popular itu tidak jadi dikira tetapi pengundian semula tiga bahagian pula akan dilakukan.

Berikutan pendirian JK Pemilihan mahu mengira undi popular untuk menentukan pemenang itu, Khairy Jamaluddin yang baru menang sebagai Ketua Pemuda UMNO dengan meraih 189 undi telah meluahkan rasa tidak setujunya dengan kaedah itu, sebaliknya mahukan pemenang ditentukan melalui undi daripada Pemuda Gelang Patah yang belum bermesyuarat.

KJ juga dilaporkan telah membawa isu itu kepada pengetahuan Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk dipersetujui.

Pendirian KJ itu telah mencetuskan dakwaan bahawa beliau menolak kaedah undi popular kerana lebih cenderung mahukan Khairul Azwan yang juga Ketua Pemuda UMNO Perak sebagai naibnya. Walaupun terikat dengan undi 73-73 tetapi jika pengiraan dilakukan berdasarkan undi popular, kelebihan pastinya memihak kepada Jamawi kerana beliau mendapat banyak sokongan daripada Pemuda bahagian-bahagian di Sabah yang mempunyai jumlah perwakilan cawangan lebih ramai.

Selain dakwaan lebih mahukan Khairul Azwan sebagai naibnya, KJ turut didakwa menolak undi popular kerana tidak mahu dibayangi oleh Anwar Ibrahim yang mempopularkan kaedah itu berikutan keputusan PRU13 yang menyaksikan Pakatan Rakyat meraih 51 peratus undi popular berbanding BN yang cuma 47 peratus, walaupun kekuarangan 23 kerusi untuk menawan Putrajaya.

Sejak itu perkataan undi popular sering menjadi basahan mulut Anwar dan lain-lain pemimpin PR untuk menggambarkan mereka lebih mendapat sokongan daripada rakyat berbanding BN.

Kini dengan JK Pemilihan sendiri membuat u-turn dan menolak undi popular dan memutuskan penentuan pemenang Naib Ketua Pemuda akan ditentukan melalui pengundian semula daripada Pemuda UMNO Gelang Patah, Sabak Bernam dan Bachok, secara langsung mengesahkan lagi bahawa UMNO memang takut dan alergik dengan undi popular.

Undi popular bagaikan hantu atau benda haram yang bukan saja cuba dielakkan daripada disebut dan didekati.

Tajol Rosli selaku Pengerusi JK Pemilihan dan urusetia di ibu pejabat UMNO yang diketuai oleh Tengku Adnan barangkali terlupa bahawa sistem undi popular adalah sinonim dengan Anwar Ibrahim dan tanpa berfikir panjang terus memilih cara itu untuk menentukan pemenang apabila keputusan bagi jawatan nombor dua dalam Pemuda itu didapati seri. Maklumlah, mereka pernah rapat dan menjadi penyokong Anwar Ibrahim sebelum ini!

Namun keputusan yang berubah-ubah dan tidak tetap ini tentunya mencalarkan kewibawaan JK Pemilihan, lebih-lebih lagi penolakan terhadap kaedah undi popular itu dilakukan setelah ia turut tidak dipersetujui oleh KJ sebelum ini.

Adakah KJ campurtangan dan mempengaruhi keputusan itu? Atau adakah Tengku Adnan dan ibu pejabat UMNO juga ada peranan tidak mengguna-pakai undi popular itu?

Persoalannya, apakah jika berlaku keputusan seri juga dalam pemilihan peringkat MT hari ini, kaedah undi popular akan ditolak juga, bahkan akan dicari bahagian-bahagian yang boleh dipertikaikan untuk diadakan pengundian semula?

Dalam konteks Naib Ketua Pemuda ini, dengan penentuan melalui tiga bahagian yang pengundian akan dilakukan pada 23 Oktober ini, siapa pemenangnya sudah boleh dijangkakan sebenarnya. Walaupun pengundian turut melibatkan keempat-empat calon Naib Ketua Pemuda yang turut bertanding, persaingan sebenar hanyalah antara Khairul Azwan dengan Jamawi.

Dengan hanya undi daripada tiga bahagian sebagai penentu dan kecenderungan KJ selaku Ketua Pemuda yang sudah mendapat mandat besar 189 undi dengan mudah dapat dibaca tentang siapakah orang nombor dalam Pemuda UMNO yang lebih dimahukannya, kelebihan pasti lebih memihak kepada Khairul Azwan.

Ketiga-tiga bahagian yang bakal mengundi pada 23 Oktober ini, sebagaimana amalan biasa dalam UMNO, akan bergerak mengikut arus saja. Kebarangkalian untuk berani menentang arus sangat tipis.

Sebab itu, dalam gambar yang tersiar di media-media semalam, ketika masing-masing akur dengan keputusan u-turn JK Pemilihan itu, Khairul Azwan ternampak lebih lebar senyumnya berbanding Jamawi Jaafar. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/
Jakim anggap SIS, Astora Jabat dokong 'liberalisme'

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menganggap NGO hak wanita Sisters in Islam (SIS), aktivisnya Zainah Anwar dan bekas pengarang Al Islam terbitan Utusan Astora Jabat sebagai pendokong fahaman 'liberalisme' dan 'pluralisme'.

Pengumuman itu dibuat Penolong Pengarah Akidah, Bahagian Penyelidikan Jakim Mohd Azam Mas'od pada forum "Ancaman Liberalisme oleh kumpulan-kumpulan hak asasi di PBB" di Kuala Lumpur hari ini.

jag press conference 231205 zainah anwar weirdMenurutnya, Zainah (kiri) menerusi tulisannya dalam New Straits Times pada 2006 memperolok-olokkan fatwa pengharaman fahaman liberalisme dan pluralisme oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Jadi dia buat ayat-ayat yang provokatif untuk menyatakan fatwa ini buat satu ayat yang tidak tepat dan tergopoh gapah," katanya.

Astora Jabat pula dakwa Aizam, mempertikaikan ijtihad dengan berkata, ia bukan hukum Allah kerana hukum Allah itu hanya dikira yang qatie atau muktamad sahaja.

Manakala SIS pula didakwa cuba mendapatkan hak menjatuhkan talak untuk perempuan dan menyamaratakan nisbah pembahagian harta pusaka di antara lelaki dan perempuan.

"Kalau kita biarkan suara-suara mereka ini tanpa tentangan mungkin mereka akan diberi tempat yang istimewa yang melibatkan penggubalan polisi, dasar dalam negara.

"Dan akhirnya menyebabkan kedudukan Islam itu tersudut, terpinggir dalam negara kita," katanya.

NONEMenurut laman e-fatwa kelolaan Jakim, MFK yang bersidang pada Julai 2006 memutuskan "aliran pemikiran liberal" sebagai ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Menurut huraiannya, keputusan itu dibuat antaranya atas alasan fahaman itu berpegang kepada konsep pluralisme bahawa semua agama sama taraf, menganggap akal sebagai "waktu tidak bertulis" dan meragui ketulenan al-Quran.

Daripada aspek syariah pula, liberalisme, dalam tafsiran mereka, mempersoalkan methodologi pentafsiran al-Quran dan hadis, menggesa tafsiran baru konsep ibadat dan mempertikai akhlak kenabian.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Zainah, Astora (atas) dan SIS berhubung tuduhan itu.

ISMA: Facebook bawa elemen liberalisme
timbalan presiden vice president ikatan muslimin malaysia isma Aminuddin Yahaya 191013Sementara itu, Seorang lagi penceramah, Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya (kiri) turut melihat laman sosial Facebook membawa elemen liberalisme, yang antaranya membawa kepada gejala murtad.

"Sebab itu ramai Melayu murtad sekarang ini antaranya (melalui) Facebook.

"Saya jumpa tiga orang remaja perempuan, bermula dengan Facebook sahaja duduk lama dalam bilik, mak ayah tak kisah, kerja ahli perniagaan.

"Duduk berbual dalam itu akhirnya jadi Hindu," dakwa Aminuddin.
Polemik 'Allah' merebak ke dunia Islam
4:26PM Okt 19 2013
Rumah siap pahat berbunyi.

Itulah yang terjadi di dunia-dunia Islam dalam isu kalimah 'Allah' walaupun Mahkamah Rayuan sudah lima hari membuat keputusannya.

"Sekarang, sebagai Muslim, saya akan jujur dengan rakyat Malaysia yang membuat keputusan ini dan yang menyokongnya: Ini keputusan paling tidak logik, tanpa sedar dan keanak-anakan yang pernah saya dalam hidup saya.

"Ia karut semata-mata," tulis kolumnis harian Turki Hurriyet Daily News hari ini.

Mustafa Akyol yang berpengalaman dalam beberapa akhbar tempatan dan antarabangsa berkata, keputusan berhubung kes The Herald mengelirukan umat Islam serta amat salah, tidak Islamik dan tidak rasional.

"Kenapa? Pertama sekali, perkataan 'Allah' bermaksud 'Tuhan' dalam bahas Arab, dan dia tidak eksklusif untuk Islam," tulisnya lagi.

Mufti: Kenapa hakciptakan 'Allah'?

Rabu lepas, editorial harian Pakistan Daily Times menyelar penghakiman itu sebagai sesuatu yang sedih yang dibuat menjelang sambutan suci Hari Raya Aidiladha.
NONE
"Masalah dengan umat Islam hari ini mereka melayan Islam seperti entiti tidak selamat dan perlukan penjagaan, perhatian dan perlundungan khas agar tidak dicemari dan pudar...

"Siapa yang memberikan umat Islam bebebasan menghakciptakan kalimah Allah? Itu adalah nama-Nya, dan Dia Tuhan seluruh alam, seperti firmannya dalam kitab suci," tulis mufti Abdul Aziz al Sheikh dalam komennya yang turut menyebut tentang insiden keganasan di Syria dan Pakistan.

Akhbar Emirates Arab Bersatu (UAE) The National (kiri) menjadi yang pertama memberikan reaksi melalui lidah pengarangnya pada hari yang sama keputusan dibuat dengan berhujah kalimah Allah tidak ekslusif untuk Islam.

Sementara harian Indonesia Jakarta Post pula menyebut: "Bolehkan orang Islam, yang mengaku beriman kepada Tuhan yang Maha Kuasa, dengan sungguh-sungguh menuntut eksklusiviti untuk Tuhan?|

"Mereka yang menuntut eksklusiviti untuk Tuhan melemahkan iman mereka sendiri," tulis Endy M Bayuni pada Khamis.

PERKASA: Ada juga Arab jahil

Bagaimanapun, di negara ini, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali (bawah) dalam sebuah akhbar Inggeris semalam menyelar kritikan terhadap keputusan itu dengan berhujah, terdapat juga orang Islam yang jahil di negara Arab dan di Indonesia semuanya tidak mustahil.

NONE"Kenapa kita mesti kisah... Saya tak rasa semua orang Arab faham Islam. Bahawa tiada seorang pun yang jahil di sana.

"Mereka (daripada dunia Arab) yang menyokong AS menyokong Sosialis dan Kristian...

"Begitu juga di Indonesia... lagi teruk. Sesiapa yang bersongkok tidak semestinya orang Islam... ada mereka yang makan babi. Semuanya tidak mustahil di Indonesia," beliau dipetik sebagai berkata.
'Islam tak terancam, tapi mahkamah gambarkan begitu'

WAWANCARA Keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan kerajaan mengharamkan kalimah Allah untuk orang Kristian demi keselamatan atas alasan Islam sedang terancam, ditolak mentah-mentah oleh pakar perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

"Islam di Malaysia tidak terancam. Sebaliknya makin berkembang sehingga sekarang 60 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia beragama Islam, (dan) media serta kerajaan turut melindungi Islam.

"Ia (keputusan mahkamah) karut jika kamu lihat kepada angka-angka.

"Apa yang kita bimbangkan? Apa ancamannya jika orang Islam terdedah kepada agama lain...? Ia (ancaman) tidak ada," tegas ahli akademik itu.

NONEAbdul Aziz berkata, tiga hakim yang mendengar perkara itu telah mengherotkan makna dan niat dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu menetapkan Islam sebagai agama rasmi tetapi penganut agama lain diberikan kebebasan beragama mengikut kepercayaan masing-masing dengan aman dan harmoni.

"Mahkamah Rayuan tidak menyelesaikan masalah itu, sebaliknya mencipta masalah baru. Ia akhirnya menyebabkan menteri kabinet dari Sabah dan Sarawak terpaksa menenangkan rakyatnya."

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, dan kini Universiti Selangor, berkata, keputusan mahkamah itu secara tidak sengaja mengehadkan hak-hak masyarakat minoriti dalam negara ini.




Wawancara dijalankan bersama Fathi Aris Omar and Ahmad Fadli KC.
Minggu depan: K'jaan Umno sentiasa lindungi Islam?

Hisham kesal ada pihak labelnya pemimpin lembik

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang bertanding mempertahan jawatan naib presiden Umno pada pemilihan hari ini melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang berterusan melabelnya sebagai pemimpin lembik terutama ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri.

Hishammuddin yang juga pemangku menteri pengangkutan berkata tuduhan yang dilempar terhadap beliau itu jelas tidak berasas dan berkemungkinan mempunyai sebab tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil terhadap dirinya.

"Jauh sekali saya lembik. Kalau lembik, negara sudah huru-hara. Kalau lembik, tidak mungkin saya bawa pindaan perlembagaan kepada parti.

"Kalau lembik, tidak mungkin saya dapat bertahan selama lima tahun bersama KDN, melalui pilihan raya umum ke-13 lepas dalam keadaan aman dan selamat, dan tidak mungkin dapat melalui pemilihan parti pada hari ini," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sembrong, di Sekolah Menengah Sains Sembrong, di Kluang hari ini.

Sebanyak 481 anggota perwakilan bahagian itu menghadiri mesyuarat berkenaan.

Turut hadir tanda memberi sokongan kepada beliau ialah isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, anak sulung beliau yang sarat mengandung, Nasya Alyssa, dan suami Muhd Anas Zawawi Khalid, serta adik beliau Faris Hussein.

Hishammuddin berkata memang mudah bagi pihak tertentu menuding jari terhadapnya, namun beliau lebih suka mengambil pendekatan menangani ujian dan cabaran ini dengan memberikan penjelasan kepada para perwakilan bagi membolehkan mereka menilai rekod perkhidmatannya.

Beliau berkata sebagai orang yang berada di landasan yang benar, beliau yakin para perwakilan terutama anggota perwakilan Sembrong memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadapnya.

"Ketika berlaku pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, saya sekeluarga berkampung di sana selama tiga minggu bagi memastikan keadaan selamat. Itu pun orang kata saya lembik lagi ke?" katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin sebagai Ketua Umno Bahagian Sembrong, mengingatkan anggota perwakilan bahagian itu supaya sentiasa bersatu dan beliau turut menyatakan rasa puas hati proses pemilihan parti di bahagian itu berjalan lancar.

Beliau turut mengingatkan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda bahagian itu, Noraslina Zainal Abidin dan Onn Hafiz Ghazi yang memenangi jawatan masing-masing pada pemilihan sayap parti minggu lepas, supaya sentiasa bersedia berdepan dengan kritikan.

Ketika ditemui pemberita, Nasya Alyssa berkata beliau hadir untuk memberikan suntikan semangat kepada bapanya.

"Memang penat tetapi tidak mengapa kerana saya pun jarang mengikuti majlis politik sebegini," katanya yang hamil tujuh bulan.

Nasya Alysaa dan Muhd Anas Zawawi, anak sulung Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, suami Datuk Siti Nurhaliza, bernikah pada November tahun lepas semasa berlangsungnya perhimpunan agung Umno.

Hishammuddin sebelum itu berseloroh dengan para perwakilan bahawa beliau tidak sabar mahu menjadi 'datuk', menunggu kelahiran cucu sulungnya.

-Bernama
NASIONALISME DAN BAHAYANYA
————————————
Oleh Ustaz Zulkifli Bin Hj.Ismail
Kaherah, Mesir.
————————————
MUQADDIMAH
Semenjak kejatuhan Khilafah Islam pada tahun 1924 umat Islam di seluruh tanah air Muslimin telah melihat berlakunya perubahan mendadak di dalam asas penyatuan Muslimin. Penyatuan Muslimin yang bertolak daripada aqidah yang satu yang melampaui segala batas-batas keturunan, warna kulit dan kedudukan telah ditinggalkan oleh umat Islam untuk digantikan oleh kesatuan yang berasaskan fahaman kebangsaan atau nasionalisme barat. Ia adalah satu penyelewengan bidaah yang wajib ditolak dan dibetulkan kembali oleh setiap Muslimin di zaman ini. Kejahilan para ulama mengenai kesesatan fahaman kebangsaan telah mendorong umat Islam dari segala lapisan untuk menerima dan beramal dengan kesesatan ini tanpa mereka merasa takut kepada kemurkaan Allah s.w.t. dan balasan azabNya yang pedih.
PENGERTIAN NASIONALISME
Di dalam menerangkan pengertian nasionalisme, Encyclopedia Britannicca atau Encyclopedia America menyebut:
Loyalty and devotion to the state such that national interest are placed above individual or global interest. It originates from the assumption that nations are the primary focus of political allegiance. In the religious context, for example: the focus of allegiance would be a supranational group such as Christendom or Christian community. Modern phenomena.
Takrif ini menjelaskan bahawa nasionalisme adalah fenomena yang meletakkan kesetiaan dan ketaatan manusia kepada negara, sekira-kira meletakkan kepentingan negaranya di atas segala kepentingan yang lain samada ianya merupakan kepentingan peribadi ataupun kepentingan negara-negara lain. Fahaman ini adalah bertolak daripada andaian bahawa tumpuan utama bagi ikatan politik adalah terletak kepada bangsa. Fahaman ini adalah diasaskan oleh pemikir-pemikir politik seumpama Machiavelli, Rousseau dan Johan Gottfried. Ia adalah satu fahaman baru yang muncul di zaman moden akibat daripada pergolakan sejarah yang berlaku di Eropah iaitu pergolakan yang lahir daripada perjuangan masyarakat barat untuk membebaskan negara-negara mereka daripada tekanan pentadbiran dan kezaliman kuasa gereja.
Dengan kata lain nasionalisme adalah merupakan ikatan yang berbentuk sekular yang menggantikan semua bentuk ikatan yang lain khususnya ikatan keagamaan di kalangan manusia terutamanya di barat yang berasaskan ajaran gereja Kristian. Ia adalah merupakan satu daripada panduan cara hidup sekular yang dikemukakan di zaman ini sebagai menggantikan panduan daripada sumber agama. Pentakrifan ini menjelaskan bahawa nasionalisme itu pada hakikatnya adalah fahaman penyatuan manusia yang berasaskan mendahulukan kepentingan bangsa dan negara di atas segala kepentingan yang lain.
PERCANGGAHAN NASIONALISME DENGAN AGAMA ISLAM
Daripada kesedaran kita mengenai hakikat sebenar fahaman kebangsaan itu maka nyatalah kepada kita percanggahan yang tidak dapat dielakkan di antara ideologi nasionalisme dengan ajaran-ajaran yang terdapat di dalam syariat Islam. Ia adalah percanggahan-percanggahan yang menuntut setiap Muslimin agar menolak sepenuhnya fahaman tersebut daripada diamalkan di dalam sebuah masyarakat beragama Islam. Ia adalah percanggahan yang lahir akibat daripada tabiat Islam sebagai sebuah ajaran yang berjuang untuk menyatukan manusia di atas asas pengabdian kepada Allah s.w.t. semata-mata dan di atas asas menegakkan keadilan Tuhan di dunia ini. Secara asasnya percanggahan tersebut bolehlah dibariskan kepada empat bahagian seperti berikut:
(1) Ia adalah fahaman yang membina penyatuan manusia di atas asas menerima pensyarikatan yang berlaku di kalangan manusia terhadap ketuhanan Allah s.w.t. di alam ini. Ia dengan itu adalah penyatuan yang tidak menjadikan kepentingannya membimbing manusia kepada mentauhidkan Allah s.w.t. dan kepada membulatkan kehambaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Penyatuan yang meredhakan kekufuran seperti ini adalah bentuk penyatuan yang membawa penyesalan para pengamalnya di akhirat kelak. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Ankabut ayat 25 yang berbunyi:
Dan berkata Ibrahim: Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah s.w.t. adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain), dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tiada bagi kamu para penolong pun.
(2) Ia adalah fahaman yang membina kepentingan manusia di atas asas kepentingan di dunia semata-mata dengan melupakan kepentingan kesejahteraan manusia di akhirat. Kepentingan akhirat itu hanya dapat dicapai melalui ketaatan yang penuh kepada segala perintah Allah s.w.t. yang telah disampaikan oleh RasulNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Israa' ayat 18 dan 19 yang berbunyi:
Barangsiapa menghendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia itu apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya neraka jahanam; ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir. Dan barangsiapa yang menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh sedang ia adalah mukmin, maka mereka itu adalah orang-orang yang usahanya dibalasi dengan baik.
(3) Ia adalah fahaman penyatuan yang bercanggah dengan syariat Islam yang berhubung dengan hukum al-wala'. Yang dikehendaki dengan hukum al-wala' ialah ajaran Islam yang melarang Muslimin daripada memberikan hak persahabatan, perlindungan, kepimpinan, kasih sayang dan pertolongan kepada golongan kuffar dan musyrikin dalam perkara yang menyalahi ketaatan kepada Allah s.w.t. atau di dalam perkara yang menyalahi hak persaudaraan sesama Muslimin.
Dari sini dapatlah difahami bahawa hukum wala' di dalam masalah kepimpinan bukanlah semata-mata persoalan setakat memastikan kekuasaan mutlak tidak berada di tangan golongan kuffar seperti yang difahami secara menyeleweng oleh penulis buku "Permasalahan Agama dan Politik" tetapi ia sebenarnya adalah persoalan memastikan bahawa orang-orang kafir tidak mendapat kuasa yang boleh menghalang orang-orang Islam daripada melaksanakan ketaatannya kepada Allah s.w.t. secara sempurna.
Di dalam negara yang mengamalkan nasionalisme sekular pada hari ini kuasa yang diberikan oleh perlembagaan negara kepada Muslimin adalah kuasa yang tidak melibatkan kebebasan mereka melaksanakan hukum Allah s.w.t. atau dengan kata lain ia adalah kuasa yang tidak menafikan kemestian orang-orang Islam mentaati orang-orang kafir di dalam hukum dan peraturan ciptaan mereka. Oleh itu persoalan para khalifah Islam yang terdahulu melantik dan memberi ruang kepada orang-orang kafir menjawat beberapa jawatan negara tidaklah boleh disamakan dengan corak pentadbiran negara sekular pada hari ini. Pemberian jawatan kepada golongan kafir zimmi pada zaman itu adalah berlaku di dalam suasana terlaksanya hukum Allah s.w.t. secara sempurna dan megah dan tidak pula membawa kerugian kepada umat Islam.
Seterusnya perlulah diingatkan mengenai kesesatan penulis tersebut yang cuba meletakkan persoalan melantik orang-orang kafir di tanah air pada hari ini sebagai termasuk di dalam rukhsah yang dibenarkan oleh syariat Islam. Perlulah difahami bahawa rukhsah di dalam Islam adalah digantungkan di dalam perkara ketaatan kepada Allah s.w.t. semata-mata. Ia sama sekali tidak dibenarkan dalam perkara maksiat dan mungkar seperti rukhsah yang difahami oleh penulis buku tersebut kerana rukhsah seperti itu adalah rukhsah yang membuka jalan untuk melakukan perkara yang amat mungkar iaitu menolak hukum Allah s.w.t. yang wajib dilaksanakan di dalam negara yang merupakan syarat kerjasama di antara orang-orang kafir dengan orang-orang Islam yang diletakkan oleh penjajah. Menolak hukum Allah s.w.t. dan menggantikannya dengan hukum ciptaan manusia adalah perbuatan syirik yang mengeluarkan seseorang daripada Islam, firman Allah s.w.t. di dalam Surah As-Syura ayat 21 yang berbunyi:
Apakah mereke mempunyai sembahan-sembahan selain Allah s.w.t. yang mensyariatkan untuk mereka agama yang tidak diizinkan Allah s.w.t. .
Seterusnya perlulah ditegaskan pula mengenai kesesatan penulis buku tersebut apabila beliau meletakkan perkara memberi sebahagian kepimpinan umat Islam kepada orang kafir sebagai termasuk di dalam taqiyyah yang dibenarkan oleh Islam. Perlulah difahami bahawa hukum taqiyyah hanyalah dimaksudkan oleh syarak sebagai rukhsah kepada orang perseorangan sahaja dan di dalam keadaan yang berkait dengan paksaan sahaja. Ia tidak dibenarkan untuk menjadi suatu kaedah umum yang boleh dipakai oleh umat Islam di dalam menghadapi golongan kuffar kerana hal tersebut akan menghilangkan kewajipan hukum jihad.
Adapun tindakan seperti yang dilakukan oleh kerajaan Terengganu yang membayar ufti kepada kerajaan Siam itu dari sudut hukum syaraknya bukanlah termasuk di dalam perkara taqiyyah tetapi ia adalah termasuk di dalam persoalan siasah syari'yyah. Perlulah difahami dengan baik dan perlu dibezakan kedua perkara ini dengan jelas supaya tidak diperbodohkan oleh penulis buku tersebut dan seumpamanya daripada penyokong-penyokong fahaman sekular di tanah air.
Sesungguhnya umat Islam perlulah memahami bahawa di dalam keadaan negara pada hari ini Islam menjadikan jihad menurut peringkatnya sebagai kewajipan dan jalan menegakkan semula kedaulatan Islam itu.
(4) Ia adalah fahaman yang memusuhi usaha menegakkan kembali Khilafah Islamiyyah di zaman ini sebagai sebuah ikatan politik umat Islam yang berasaskan aqidah dan syariat Islam. Kewujudan sebuah negara yang seperti ini adalah bercanggah dengan fahaman nasionalisme sekular. Perlulah difahami bahawa dari sudut sejarahnya gerakan fahaman nasionalisme di barat adalah bertujuan untuk menolak pemerintahan gereja di benua Eropah dan fahaman nasionalisme ini juga kemudiannya telah digunakan oleh musuh-musuh Islam untuk melahirkan penentangan bangsa Arab terhadap Khilafah Uthmaniyyah yang membawa kepada kelemahan dan kejatuhannya. Sesungguhnya menegakkan khilafah adalah wajib menurut hukum Islam. Dalam hal ini Imam Nawawi Rahimahullah telah berkata di dalam syarahnya kepada soheh Muslim dengan ucapan yang bermaksud:
"Para ulamak telah ijmak di atas kewajipan muslimin melantik khalifah."
Mengenai tugas khalifah itu pula antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Ibnu Hazmin di dalam kitab Muhalla. Beliau berkata:
"Hanya sanya Imam itu dilantik adalah untuk menegakkan sembahyang di kalangan manusia, memungut sedekah-sedekah mereka, melaksanakan hukum hudud mereka dan melaksanakan hukum di kalangan mereka dan berjihad melawan musuh mereka."
MENOLAK SYUBAHAT MENGENAI HAKIKAT ASSABIYYAH
Bagi melengkapkan perbincangan risalah ini dan bagi menambahkan faedahnya maka perlulah diberikan penjelasan mengenai hakikat assabiyyah dan hukumnya di dalam Islam. Keperluan ini timbul sebagai menolak syubahat yang telah dikemukakan oleh para pendokong fahaman nasionalisme sekular di zaman ini terhadap pengertian assabiyyah. Mereka pertamanya telah menafikan nasionalisme sebagai tergolong di dalam assabiyyah yang dimaksudkan di dalam keterangan hadith. Keduanya mereka telah menyamakan nasionalisme yang dianuti oleh kerajaan yang memerintah sebagai fahaman nasionalisme yang pernah diperjuangkan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi. Sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadith soheh yang bermaksud:
"Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru ke arah assabiyyah, bukan dari kalangan kita orang yang berperang di atas dasar assabiyyah dan bukan dari kalangan kita orang yang mati di atas dasar assabiyyah." (Riwayat Muslim)
Oleh itu perlulah difahami bahawa kekeliruan ini adalah bertolak daripada tumpuan yang berlebihan kepada pengertian assabiyyah dari sudut bahasa sebaliknya melupakan pengertiannya dari sudut istilah menurut keterangan Rasulullah s.a.w. sendiri. Perlulah difahami bahawa mengutamakan pengertian lughawi dengan mengabaikan pemahamannya menurut keterangan Al-Quran dan Sunnah atau pemahaman para salafus soleh bagi sesuatu kalimah yang terdapat di dalam nas-nas syarak adalah merupakan cara perjalanan ahlul bidaah sepanjang zaman.
Di dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah pemahaman sesuatu kalimah syarak mestilah dicari terlebih dahulu di dalam penjelasan Allah s.w.t. dan rasulNya dan para salafus soleh. Apabila telah tidak didapati barulah pegertiannya itu disandarkan kepada perbahasan lughawi. Di dalam hal ini pengertian assabiyyah telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri di dalam hadith baginda yang bermaksud:
"Assabiyyah itu ialah kamu menolong kaummu di atas dasar kezaliman."
Di dalam pengertian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. ini, baginda telah mengikat pengertian assabiyyah kepada membantu di atas dasar kezaliman. Penjelasan Rasulullah s.a.w. yang amat bijaksana ini adalah menepati dengan tabiat kesungguhan Rasulullah s.a.w.. Baginda telah menjelaskan pengertian assabiyyah itu dengan cara yang mendidik manusia kepada perubahan di dalam hidupnya kerana Islam tidak memandang sebarang faedah kepada perkataan yang tidak membawa kepada taat dan amal. Jawapan baginda yang bersifat tarbawi dan sentiasa mempunyai aspek amali yang mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t. adalah menjadi didikan Allah s.w.t. kepada baginda. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Baqarah ayat 189 yang berbunyi:
Mereka bertanya kepadamu tentang bulan sabit. Katakanlah: "Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) Haji."
Manakala mengertikan assabiyyah dengan membahaskan maksud bahasanya adalah merupakan penyelewengan daripada pentakrifan Rasulullah s.a.w. dan mengandungi sejenis kegelapan dan kebodohan. Marilah kita bertanya adakah Rasulullah s.a.w. hendak mengajarkan kepada umatnya dari hadith tersebut mengenai kabilah arab? Tidak, tetapi Rasulullah s.a.w. ingin mengajarkan kepada umat baginda mengenai kewajipan meninggalkan kezaliman dan bahawa risalah Islam yang dibawa oleh baginda adalah memerangi kezaliman di dalam segala bentuknya, samada berbentuk fahaman, ajaran, syiar, budaya mahupun ikatan. Rasulullah s.a.w. ingin membentuk umat baginda sebagai umat yang bersih daripada kezaliman dan berjihad membebaskan manusia di dunia ini daripada kezaliman sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah An-Nisaa' ayat 75 yang berbunyi:
Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah s.w.t. dan (membela) orang-orang yang lemah baik laki-laki, wanita-wanita mahupun anak-anak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini (Mekah) yang zalim penduduknya dan berilah kami pelindung dari sisi Engkau, dan berilah kami penolong dari sisi Engkau. Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah s.w.t. dan orang-orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kawan-kawan syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.
Apabila kita telah memahami bahawa assabiyyah itu ialah menolong bangsanya di atas dasar kezaliman maka pada ketika itu adalah jelas kepada kita bahawa fahaman nasionalisme sekular yang mempertahankan undang-undang sekular dan menolak undang-undang Allah s.w.t. yang diliputi oleh keadilan dari segenap sudut dan sisinya itu adalah fahaman yang benar-benar tergolong di dalam maksud hadith tersebut. Bahkan perlulah dinyatakan bahawa kezaliman yang menjadi tabiat fahaman nasionalisme moden itu adalah beratus kali ganda daripada kezaliman yang berlaku di dalam kabilah-kabilah Arab.
Kezaliman kabilah-kabilah Arab itu adalah berlaku kerana terlalu melebihkan keturunan mereka di dalam segala perkara, manakala kezaliman nasionalisme moden adalah kerana menyekutukan Allah s.w.t. S.W.T. di dalam salah satu daripada sifat UluhiyyahNya. Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-An'am ayat 115-116 yang berbunyi:
Telah sempurna kalimat Tuhanmu (Al-Quran) sebagai kalimat yang benar dan adil. Tidak ada yang dapat merubah kalimat-kalimatNya dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Firman Allah s.w.t. S.W.T. lagi di dalam Surah Al-Maidah ayat 45:
Barangsiapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah s.w.t., maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.
Firmah Allah s.w.t. di dalam Surah Luqman ayat 13 yang berbunyi:
Sesungguhnya mempersekutukan (Allah s.w.t. ) adalah benar-benar kezaliman yang besar.
Seterusnya bagi menolak syubahat yang kedua kita perlulah memahami terlebih dahulu kaedah penting yang dipakai oleh para ulamak Islam bermaksud "Sesuatu hukum itu adalah digantungkan kepada kefahaman". Memahami kaedah ini adalah amat perlu untuk melahirkan hukum yang tepat kepada mereka yang kelihatan mengamalkan sesuatu bidaah yang bercanggah dengan syariat Islam. Ia juga adalah amat penting untuk menjadi asas bagi mengetahui fahaman sebenar ulamak-ulamak Islam yang kelihatan memakai syiar-syiar golongan kuffar. Bertolak dari kaedah inilah Al-Allamah Syeikh Said Hawwa telah berkata:
"Bahawa setiap syiar yang memalingkan manusia dari mengambil jalan Allah s.w.t. S.W.T. sebagai maksudnya dan sembahannya adalah syirik. Dengan ingatan bahawa hukum ke atas seseorang dengan kekufuran atau syirik akbar adalah memerlukan kepada fatwa yang mendalam dari ahli fatwa kerana ihtimal bahawa di sana terdapatnya niat-niat yang tersembunyi yang mungkin membawa kepada peringanan hukum ke atas pengamalnya, seumpama ia menanggung lafaz-lafaz tersebut di dalam masalah ini di atas wajah yang menepati iktiqad yang betul."
Dengan kefahaman ini adalah jelas bahawa penulis buku Minda Melayu Baru menyamakan perjuangan nasionalisme Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Haji Agoes Salim dengan perjuangan nasionalisme UMNO adalah tidak benar kerana nasionalisme Melayu yang diperjuangkan oleh kedua-dua ulamak tersebut tidak melibatkan penolakan terhadap hukum Allah s.w.t. S.W.T. seperti UMNO. Ia adalah suatu penyamaan yang terburu-buru dan sebagai fitnah terhadap ulamak-ulamak Islam yang wajib ditolak. Semoga dengan penjelasan terhadap syubahat-syubahat ini akan dapat membuka kepada kita hakikat kesesatan nasionalisme itu tanpa sebarang keraguan lagi menurut timbangan syariat Islam. WAllahu A'lam wa Huwa yahdis Sabil.
Firman Allah s.w.t. di dalam Surah Al-Insan ayat 29-30 yang berbunyi:
Sesungguhnya (ayat-ayat) ini adalah suatu peringatan, maka barangsiapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya. Dan kamu tidak menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali bila dikehendaki Allah s.w.t. . Sesungguhnya Allah s.w.t. adalah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
PENUTUP
Sesungguhnya tidak ada jalan untuk melepaskan umat Islam di zaman ini seluruhnya daripada kesesatan beramal dengan fahaman nasionalisme selain daripada berusaha mendedahkan kepada umat Islam hakikat kesesatan fahaman kebangsaan atau nasionalisme itu sebagaimana juga segala ideologi kebendaan yang lain secara menyeluruh dan merata melalui kuliah-kuliah yang disampaikan di masjid-masjid, surau-surau, pondok-pondok dan segala saluran pengajian agama di tanah air. Risalah ini hanyalah suatu pengenalan yang amat ringkas tetapi sebagai amaran yang amat keras kepada Muslimin mengenai ancaman bahaya fahaman nasionalisme kepada kesejahteraan mereka di dunia dan di akhirat. Semoga Allah s.w.t. menjadikan risalah ini bermanfaat kepada penulis dan sekelian Muslimin. Amin.
Oleh Al-Faqir ila Rabbihi
Abu Abdul Halim
Kaherah, Mesir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan