Khamis, 19 September 2013

TAK BAYAR SAMAN TAK TAK PE...KATA PEGUAM....TAK SOLAT....BUAT YANG DIHARAM ALLAH ATAUTAK MEMELUK ISLAM MAKA JAWABJE DIMAHKAMAH ALLAH NANTI

13 peserta Ops Bantah dilepas dengan ikat jamin

Muhammad Faeez Azahar, 19 Sep 2013


TAIPING: Hakim Mahkamah Tinggi Taiping telah menerima permohonan peguambela untuk menangguhkan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap 13 peserta Ops Bubar.

Hakim, Datuk Ahmad Nashfi memutuskan kesemua dilepaskan dengan jaminan RM3,000 dan denda RM5,000 boleh dibayar dengan ansuran.

(Berita lanjut menyusul)

Kepimpinan

., 19 Sep 2013

Hadis:
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya. (Riwayat Muslim)

Huraian Hadis:
i) Sekurang-kurangnya setiap manusia itu menjadi pemimpin kepada dirinya sendiri. Oleh itu ia bertanggungjawab menjaga dirinya dan orang yang diamanahkan kepadanya seperti anak, isteri, keluarga, para pekerja dan sebagainya agar hidup mereka berjalan dengan baik dan sempurna.

ii) Setiap amanah mestilah diterima secara hak dan penuh kefahaman tentang tugas-tugas dan kewajipan yang terkandung di dalamnya. Seterusnya dipikul dengan ikhlas dan jujur serta berusaha sedaya upaya agar tanggungjawab tersebut dapat dilaksanakan.

iii) Sebaliknya sesuatu amanah itu jika dijadikan batu loncatan untuk kepentingan diri, bermegah dan berseronok maka kepimpinan itulah yang bakal menjadi punca penyesalan dan kehinaan di akhirat. Bahkan ketika di dunia lagi ia akan merasai kehinaannya terutama apabila kepimpinannya itu terlucut daripadanya.

iv) Oleh itu bagi orang yang benar-benar menyedari tentang hakikat sesuatu tanggungjawab kepimpinan, tidak mungkin akan meminta atau terlalu ghairah merebut sesuatu jawatan kerana setiap amanah itu perlu dipikul dengan berhati-hati kerana setiap kepimpinan adalah amanah dan setiap amanah adalah tanggungjawab yang akan disoal di hari akhirat kelak.

Projek IC Sabah: Giliran Anwar beri keterangan

Muhammad Faizal, 19 Sep 2013
KOTA KINABALU: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir memberi keterangan di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung projek IC Sabah hari ini.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu menjadi saksi seterusnya selepas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang hadir memberi keterangan minggu lalu.

Mahathir dalam keterangannya sebelum ini berkata pegawai kerajaan yang mengeluarkan kad pengenalan kepada warga asing dan beliau menafikan terlibat.

Mahathir selepas itu turut mengaitkan Anwar dengan menyifatkan Ketua Umum PKR itu mengetahui apa yang berlaku mengenai projek tersebut.

Tinjauan Harakahdaily mendapati orang awam juga turut hadir bagi mendengar keterangan daripada Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Tidak bayar saman AES bukan kesalahan – peguam

Muhammad Faizal, 19 Sep 2013
KOTA KINABALU: Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff menjelaskan sesiapa yang mendapat saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan tidak membayar saman tersebut bukan satu kesalahan.

Beliau berkata, di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak mengandungi arahan bahawa saman atau kompaun itu wajib dibayar.

"Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan arahan agar membayar saman dengan kadar yang baru iaitu RM150 tetapi jumlah tersebut akan meningkat jika engkar arahan.

"Saya nak cabar Hishamuddin tunjukkan dalam akta tersebut yang mengarahkan saman itu perlu dibayar, kalau dia boleh tunjuk sepatah ayat mengatakan bahawa saman atau kompaun perlu (wajib) dibayar, saya akan membayar kesemua saman-saman AES  yang telah dikeluarkan," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan keputusan kerajaan yang meminta pemandu yang mendapat saman membayar kompaun dengan jumlah denda yang baru.

"Kompaun tidak wajib dibayar. Saman AES ialah perintah supaya hadir mahkamah bukan minta dibayar RM300 atau RM150 atau berapa sekali pun.

"Jika penerima saman tidak membayar kompaun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika telah diserahkan kepada PDRM, tidak boleh menyenarai hitam kerana saman itu tidak tertunggak selagi tidak dibawa ke mahkamah. Sekarang prosiding AES di mahkamah masih ditangguhkan, jadi tiada apa-apa tindakan boleh diambil jika penerima saman abaikan saja saman-saman tersebut.

"Yang tidak mahu ke mahkamah itu ialah Peguam Negara bukan penerima saman. Jadi kenapa penerima saman hendak dihukum atas tindakan Peguam Negara yang tidak mahu ke mahkamah?" tanya beliau.

Beliau melihat keputusan tersebut adalah kerana kerajaan perlu membayar kepada syarikat pembekal mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

Katanya, atas sebab pemandu yang kena saman AES tidak dapat didakwa dan terdapat saman-saman yang dibatalkan di mahkamah kerana mempunyai masalah teknikal dari sudut pendakwaan, maka kerajaan mengugut agar pemandu membayar saman-saman tersebut agar syarikat pembekal mendapat bayaran.

"Saya pasti kerajaan terdesak untuk bayar kepada syarikat pembekal, jika sebelum ini setiap satu saman mereka akan dapat RM16 dan jumlah denda sekarang RM150 sudah pasti pembekal mendapat RM8.

"Untuk kerajaan tidak membayar komisyen tersebut adalah satu yang mustahil kerana ia terkandung di dalam perjanjian, dan jika benar kerajaan tidak mahu bayar, satu jumlah pampasan yang besar perlu dikeluarkan untuk kos ganti rugi mereka," tambah beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana pemandu yang menerima saman AES agar tidak membayar saman tersebut dan hadir ke mahkamah

Beliau bersedia untuk mewakili mereka kerana terdapat saman-saman yang sebelum ini telah dibatalkan oleh mahkamah.

Tidak mustahil Akramsyah buat kejutan ke atas KJ

Harakahdaily, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Bahang perebutan jawatan Ketua Pemuda Umno yang pada mulanya dirasa sejuk kerana Khairy Jamaluddin dijangka akan menang tanpa bertanding, tiba-tiba bertukar menjadi panas berikutan munculnya seorang bekas pemimpin belia, Akramsyah Sanusi yang menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan tersebut.

“Kini, orang ramai mula bercakap mengenai pertembungan antara KJ, menantu Pak Lah dengan Akramsyah, anak kepada Sanusi Junid, bekas pemimpin kanan Umno yang mempunyai hubungan rapat dengan Mahathir sejak dari dulu lagi,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya.

Menurutnya, walaupun di atas kertas, KJ yang memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan, dilihat lebih menonjol dan mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan perwakilan Pemuda Umno seluruh negara, tetapi kemunculan Akramsyah setidak-tidaknya menunjukkan masih ada anak muda berhati waja yang sudi tampil memeriahkan lagi demokrasi dalam Umno.

Baginya, daripada sekian ramai pemimpin muda, termasuk yang tidak henti-henti kurang bersetuju dan bercakap di belakang tetapi tidak berani mempertaruhkan diri mencabarnya di gelanggang yang sah, keberanian Akramsyah seharusnya diberikan pujian.

“Beliau dilaporkan hampir pasti akan mengemukakan borang pencalonannya manakala KJ pula bersikap terbuka terhadap sesiapa jua yang mahu mencabarnya,” tulisnya lagi.

Baca lagi

Mukhriz tidak boleh ikut cara bapanya

Harakahdaily, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Tun Mahathir Mohamad mahukan yang tua itu hanya untuk beliau dan yang muda pula adalah anak dan generasi keluarga beliau sahaja, tulis blogger politik, Aspan Alias.

“Bagi saya Umno biarlah dibina oleh ahli-ahlinya sendiri dan bukannya oleh mereka yang mempunyai agenda untuk keluarga dan peribadi mereka sendiri. Tidak ada pihak yang ingin menyekat kenaikan Mukhriz kerana ini demokrasi. Tetapi Mukhriz tidak akan terlepas dari bersalah-salahan dengan ahli-ahli Umno yang ramai dan beliau wajar menerimanya dengan terbuka,” tulisnya.

Justeru, pada pandangannya Mukhriz tidak boleh mengikut cara bapanya yang sentiasa tidak mahu mendengar pandangan lain dari pandangan beliau sendiri.

“Mendengar pandangan lain itu adalah haram bagi Dr Mahathir kerana beliau mengganggapkan hanya pandangan beliau sahaja yang betul,” ujar beliau di dalam blognya.

Tetapi, baginya itu hak beliau untuk memberikan pandangan tetapi setiap ahli mempunyai pandangan sendiri dan boleh menilai semua yang kehadapan memperagakan diri mereka untuk duduk di barisan kepimpinan negara.

Menurutnya, hanya yang penting mereka jangan dengan tidak sengaja terperaga kelemahan-kelemahan yang nyata dalam proses kempen-mengempen itu.

Pemerkasaan ekonomi petanda 1Malaysia gagal

Harakahdaily, 19 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah petanda kegagalan dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib dengan asas untuk membentuk rakyat Malaysia yang melihat diri mereka sebagai warga Malaysia, kata Lim Kit Siang.
Justeru, katanya sejak diisytiharkan sebagai cuti umum empat tahun lalu, sambutan Hari Malaysia ke-50 kali ini adalah sambutan yang paling menggusarkan rakyat.

Ini, ujarnya kerana dua hari sebelum itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah membuat tindakan yang menunjukkan beliau bukan lagi seorang Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan sebagai peneraju transformasi negara dari segi tadbir urus kerajaan, politik mahu pun ekonomi.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut hari di mana Najib membuat pengumuman tentang Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera bernilai RM31 bilion sebagai “hari yang sungguh bertuah” dan pengumuman itu sendiri sebagai “acara paling dinanti-nantikan”.

“Tidak hairanlah Muhyiddin begitu gembira, kerana pengumuman itu menandakan kemenangan pendirian “Malay first, Malaysian second” beliau dan berakhirnya dasar 1Malaysia Najib yang belum pun mencecah usia empat tahun,” ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu dalam satu kenyataan.

Katanya, pada bulan Mac 2010 beliau telah mencabar Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet ketika itu untuk menyatakan sama ada mereka menyokong sepenuhnya dasar 1Malaysia Najib, mengingatkan mereka bahawa matlamat 1Malaysia seperti yang disebut dalam Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia ialah “untuk menjadikan Malaysia ... sebuah negara lebih hebat: sebuah negara yang setiap rakyatnya melihat diri mereka pertamanya sebagai warga Malaysia dan seterusnya menurut kaum, agama, daerah atau latar belakang sosioekonomi dan di mana prinsip 1Malaysia terjalin pada struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat”.

“Saya secara khusus meminta Muhyiddin dan semua Menteri Kabinet untuk menyatakan sama ada mereka sanggup mengisytiharkan diri mereka sebagai “warga Malaysia terlebih dahulu” dan kemudiannya menurut kaum,” katanya lagi.

Menurutnya, semua Menteri Kabinet ketika itu membisu seribu bahasa setelah Muhyiddin mengisytiharkan bahawa beliau menganggap dirinya “pertama sekali sebagai Melayu” dan setelah itu barulah sebagai warga Malaysia.

“Kita merasa hiba kerana sejak empat tahun lalu, hanya seorang Menteri Umno, iaitu Datuk Seri Nazri Aziz, yang berani mengakui secara terbuka bahawa beliau menganggap dirinya pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai orang Melayu,” katanya.

Lim berkata, Najib sendiri tidak pernah mengakui bahawa beliau menganggap dirinya “pertama sekali sebagai warga Malaysia dan seterusnya sebagai Melayu”, walaupun menonjolkan 1Malaysia sebagai dasar utama kerajaan sejak empat tahun lalu.

Malah, ujarnya pada Julai 2011, Najib mengelak apabila ditanya dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia sama ada sanggup menyatakan apakah menganggap dirinya pertama sekali sebagai warga Malaysia dan apakah tanggapannya terhadap kenyataan Muhyiddin yang menganggap dirinya “pertama sekali sebagai Melayu dan seterusnya sebagai warga Malaysia”.

Menurutnya lagi, Najib tidak menjawab pertanyaan tersebut, sebaliknya berkata: “Saya tidak mahu memberi jawapan yang dapat menimbulkan perbezaan antara saya dengan timbalan saya. 1Malaysia adalah falsafah yang memandu kita. Tidak penting apa yang anda ucapkan, selagi anda patuh (pada konsep 1 Malaysia)”.

Baginya, Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera menjadi penolakan oleh Najib terhadap dua dasar paling penting yang diperkenalkannya setelah menjadi Perdana Menteri pada April 2009 – Model Ekonomi Baru (MEB) yang menjanjikan transformasi program afirmatif berasaskan keperluan dan merit untuk meningkatkan mutu kehidupan golongan yang pendapatan mereka berada pada tahap 40% terendah, tanpa mengira latar kaum, dan dasar 1Malaysia yang berasaskan konsep kesaksamaan untuk semua, tanpa meminggirkan sebarang kelompok, dengan sokongan dan peluang diberikan berasaskan keperluan dan merit.

Beliau menambah, Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera adalah petanda kegagalan dasar 1Malaysia yang diperkenalkan Najib dengan asas untuk membentuk rakyat Malaysia yang melihat diri mereka pertamanya sebagai warga Malaysia dan seterusnya menurut kaum, agama, daerah atau latar belakang sosioekonomi, dengan prinsip 1Malaysia terjalin pada struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.

Justeru, katanya Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera mesti ditolak atas dua asas: peminggiran kaum bukan-Melayu di Malaysia dan penerusan hegemoni Umno-putra sebagai penerima manfaat utama daripada Rancangan Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera yang bernilai RM31 bilion itu sepertimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah menghasilkan kekayaan untuk segelintir manusia dalam Umno atas nama mengangkat dan memajukan bumiputera, sedangkan sebahagian besar kaum bumiputera masih kekal dalam golongan 40% rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah.

Akidah.Tauhid.Fekah
Dosa-Dosa




1. Terlanjur Berdosa
Soalan:
Seorang teman pernah terlanjur. Namun dia tidak ingin terus menerus berbuat dosa. Apakah ada cara-cara tertentu atau doa-doa tertentu supaya lelaki tersebut mahu mengambilnya sebagai isteri yang sah?
Mumong, Brunei
Jawapan:
Langkah awal yang perlu ia lakukan sebelum berdoa agar Allah SWT mempertemukan jodoh dengan yang dihajati iaitu bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat Nasuha atau taubat yang sebenarnya. Yang paling penting hentikan segala perbuatan dosa yang dilarang dan dikutuk oleh Allah, kerana perbuatan tersebut menutup segala hajat dan cita-cita kita. Dosa juga menyebabkan doa-doa kita terhalang dikabulkan Allah.
Jika kita telah bertaubat, ketika itu bermohonlah kepada Allah SWT agar dipertemukan jodoh dengan orang yang ditakdirkan-Nya. Jika Allah menghendaki dengan orang yang pernah melakukan dosa dengannya sebagai jodohnya, maka terimalah ketentuan Allah itu sebagai suatu takdir-Nya. Namun jika dipertemukan dengan orang lain, mungkin itulah yang terbaik yang telah Allah tentukan untuknya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui atas segala sesuatu.
Kembali ke atas ↑


2. Hukum Berzina
Soalan:
Orang yang melakukan zina hukumnya dalam Islam ialah sebat 100 kali bagi yang belum berkahwin dan bagi yang sudah berkahwin hukum rejam sampai mati. Masalahnya di negara ini tidak menjalankan hukum tersebut, jadi macam mana caranya untuk bertaubat kepada Allah?
Hamba Allah...
Jawapan:
Sebenarnya setiap umat Islam berkewajipan untuk menjalankan hukum-hukum Islam, namun jika pihak yang berkewajipan seperti para ulama dan pemimpin tidak dapat menjalankannya itu kerana kelemahan kita sendiri. Moga-moga kita dimaafkan Allah. Jika kita telah terlanjur melakukan perbuatan dosa (zina) maka segeralah bertaubat dengan taubat nasuha iaitu taubat yang sebenarnya. Dalam Islam juga dianjurkan untuk merahsiakan dosa yang telah kita kerjakan dan jangan segera mengumumkan apa yang telah dilakukannya.
Dalam buku Al Muwatta karangan Imam Malik mencatat suatu riwayat yang diambilnya dari Zaid bin Aslam bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: "Wahai manusia telah tiba masanya kamu menghindarkan diri dari hukuman-hukuman kerana melanggar ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Barangsiapa terjerumus dalam kejahatan ini maka hendaklah ia membentengi dirinya dengan benteng Allah. Sebab barangsiapa yang menyatakannya kepada kami, nescaya kami laksanakan atas ketentuan-ketentuan Allah".
Jika kita telah betul-betul insaf, maka jalankanlah segala yang diperintahkan oleh Islam dan tinggalkan segala larangan. Kemudian bersegeralah bertaubat dengan menjalankan segala syarat-syaratnya:
1. Taubat itu hendaklah ikhlas kerana Allah SWT.
2. Taubat itu harus memenuhi syarat meninggalkan seluruh kemaksiatan dan benar-benar tidak akan mengulanginya lagi.
3. Bertaubat itu juga harus disertai penyesalan, ertinya menyesali atas semua kejahatan yang pernah lakukan dan berusaha untuk meninggalkannya.
4. Tidak mahu mengulanginya lagi kejahatan masa lalu.
Kembali ke atas ↑


3. Taubat Perbuatan Zina
Soalan:
Assalamu'alaikum....Ustaz.
Saya dulu pada zaman remaja banyak melakukan perbuatan zina, tetapi sekarang sudah bertaubat dan tidak pernah mengulanginya lagi. Soalan saya disini, adakah taubat saya diterima Allah sekiranya saya tidak meminta maaf terlebih dahulu dengan ibu-bapa perempuan yang berzina dengan saya. Lagipun saya sudah tidak tahu di mana hendak mencari mereka itu. Tolonglah terangkan Ustaz kerana persoalan ini sering menghantui saya. Sekian Terima Kasih.
Hamba Allah
Jawapan:
Dalam bertaubat kita hendaklah melaksanakan syarat-syarat taubat seperti benar-benar ikhlas kerana Allah Taala, meninggalkan seluruh kemaksiatan dan benar-benar tidak akan mengulanginya, menyesali perbuatannya, tidak mengulangi lagi perbuatan maksiat dan harus dikerjakan pada waktunya iaitu sebelum ajal tiba dan terbit matahari dari barat.  Seandainya kesalahan itu berkaitan dengan seseorang maka syarat taubat itu di tambah dengan memohon kemaafannya. Jika syarat-syarat ini dapat dilaksanakn dengan sebenarnya maka taubat kita tidak tergolong taubat yang main-main.
Jika perbuatan zina yang anda lakukan tidak diketahui orang atau tidak ada empat orang saksi yang dapat membuktikan perbuatan anda itu bererti Allah telah menutup aib yang anda lakukan. Dengan demikian Allah memberikan peluang untuk anda bertaubat dengan taubat nasuha atau taubat yang sebenarnya. Berusahalah meminta maaf dengan orang yang pernah kita berbuat aniaya kepadanya, kemudian berserah dirilah kepada Allah dengan sepenuh jiwa dan raga, dan jangan sekali-kali mengulangi perbuatan yang terkutuk itu agar tidak mati dengan membawa dosa besar tersebut.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih dan Penyayang, betapapun besar dosa hambanya lebih besar lagi pengampunan Allah SWT.
Berusahalah dengan sungguh-sungguh, insya Allah taubat kita diterima Allah SWT.
Kembali ke atas ↑


4. Bekerja Sebagai Broker Insurans Minuman Keras
Soalan:
Saya bekerja sebagai seorang broker insurans. Adakah dibenarkan saya menguruskan insurans untuk pelanggan yang perniagaannya melibatkan import minuman keras? Ada pendapat mengatakan bahawa kami hanya menjalankan tugas sebagai broker, oleh itu tidaklah berdosa. Di harap dapat penjelasan ustaz? Terima kasih.
Fatimah, KL
Jawapan:
Menurut sebahagian ulama mengatakan segala sesuatu yang berhubungan dengan minuman keras dan berkaitan dengannya tetap terlarang. Bahkan setengahnya mengatakan mengambil  upah memotong rumput di kilang minuman keras pun tetap terlarang. Dalam Hadis Rasulullah SAW ada dijelaskan bahawa ada sepuluh orang yang terlibat di dalamnya mendapat dosa.
Diriwayatkan dari Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Dalam persoalan khamar ini ada sepuluh orang yang dikutuk disebabkannya; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayar dan pemesannya". (Diriwayatkan Ibnu Majah dan Tarmizi)     Seandaianya puan sukar  untuk mendapatkan pekerjaan lain dan sedang berusaha untuk mencari pekerjaan yang tidak ada kaitan dengan minuman keras ataupun unsur riba dan sesuatu yang haram, maka yang paling penting dalam hal ini menurut Yusuf Al Qardawi kita tidak reda dengan sesuatu yang berkaitan dengan perkara haram ini. Setelah itu berusahalah untuk mencari yang baik dan yang diredhai Allah SWT, agar hidup kita mendapat berkat dan rezeki yang kita makan serta anak-anak dan keluarga kita nikmati itu tidak mengandungi unsur subhat. Wallahu A'lam.


5. Ikut Meraikan Perayaan Agama Lain
Soalan:
Bagaimanakah pandangan Islam mengenai seseorang muslim yang menziarahi saudaranya yang bukan muslim, ketika sesuatu perayaan? Bagaimanakah dengan juadah yang di hidangkan bolehkah dimakan, walaupun berupa kacang goreng yang dimasak sendiri olehnya (bukan islam)?
Mat Najib, Kajang
Jawapan:
Agama Islam adalah agama yang menjaga hubungan antara umat manusia di dunia ini. Disamping menganjurkan agar menjalinkan hubungan silaturrahim antara kaum kerabat dan kaum muslimin seluruhnya juga dianjurkan dalam membina hubungan dengan orang yang beragama lain. Dalam surah An Nisaa ayat 36 dijelaskan maksudnya: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukan-Nya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh....".
Maksud tetangga yang dekat iaitu tempat tinggalnya berdekatan ataupun tetangga yang masih ada hubungan kerabat atau nasab ataupun sama-sama beragama Islam. Sedangkan tetangga jauh maksudnya adalah tetangga yang tidak mempunyai hubungan kerabat, jauh tempatnya atau berlainan nasab mahupun agama. Jadi dengan tegas Allah menyuruh kita menghormati tetangga baik sesama muslim mahupun yang bukan muslim (kafir).
Dalam hadis yang diriwayatkan Al Bazza sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Tetangga itu ada tiga macam. Tetangga yang mempunyai satu hak iaitu tetangga yang terdekat haknya. Tetangga yang mempunyai dua hak dan tetangga yang mempunyai tiga hak iaitu tetangga yang paling utama haknya. Tetangga yang mempunyai satu hak adalah tetangga musyrik yang bukan kerabatnya. Ia hanya mempunyai hak sebagai tetangga. Tetangga yang mempunyai dua hak adalah tetangga muslim iaitu yang mempunyai hak sebagai orang Islam dan hak sebagai tetangga. Sedangkan yang mempunyai tiga hak adalah tetangga muslim yang masih ada hubungan keluarga, dia mempunyai hak sebagai tetangga, hak sebagai orang Islam dan hak sebagai keluarga".
Menurut Imam Al Qurthubi; "Berbuat baik kepada tetangga adalah perkara yang diperintahkan dan dianjurkan, baik terhadap orang muslim ataupun kafir. Berbuat baik itu ertinya memberikan pertolongan, bergaul dengan baik, membelanya jika ada gangguan dan ancaman". Bahkan dalam hadis Rasulullah juga ditegaskan tidak beriman seseorang itu jika ia mengganggu tetangganya. Begitu indah ajaran Islam dalam menjalinkan hubungan antara sesama manusia di dunia ini. Tidak kiralah apakah mereka tergolong orang-orang muslim ataupun orang-orang kafir.
Diriwayatkan juga bahawa Abdullah bin Umar menyembelih kambing. Ketika Ibnu Umar datang ia berkata: "Berikanlah sebahagian kepada tetangga kita orang Yahudi"  diucapkannya tiga kali. "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda "Jibril selalu berwasiat kepadaku mengenai tetangga hingga aku mengira ia akan mewariskannya". Begitu jelas bahawa ajaran Islam menghormati dan menghargai setiap insan, maka tidak benar anggapan yang mengatakan bahawa Islam tidak menghormati hak orang yang bukan Islam.
Khusus berkaitan dengan meraikan perayaan agama lain maka dalam hal ini kami kemukakan dalil-dalil atau nas-nas Al Quran yang jelas.
1. Sesungguhnya umat Islam dibolehkan untuk bekerjasama dan bergaul dengan umat agama lain dalam masalah-masalah yang berhubungan dengan masalah keduniaan. (Sila rujuk surah Al Hujarat ayat 13, Surah Luqman ayat 15, Surah Mumtahanah ayat 8)
2. Umat Islam tidak dibolehkan mencampuradukkan ajaran agamanya dengan aqidah dan peribadatan agama lain. (Sila rujuk Surah Al Kafirun ayat 1 - 6, Surah Al Baqarah ayat 42)
3. Umat Islam harus menyedari bahawa agama-agama masa silam yang mempunyai kitab mereka telah sesat dan ingkar dengan perintah Allah, apatah lagi bagi golongan yang tidak mempunyai kitab maka bertambalah kesesatanya (Sila rujuk Surah Al Maidadh ayat 72, Surah Al Maidah ayat 73, Surah At Taubah ayat 30). Jelaslah bagi kita bahawa meraikan perayaan agama lain sama dengan mencampuradukkan ajaran Islam dengan aqidah agama lain. Sedangkan Islam melarang kita untuk sama-sama meraikan perayaan keagamaan tapi menganjurkan berbuat baik dan saling tolong menolong dengan mereka dalam masalah keduniaan. Sesungguhnya mengikuti, meraikan dan sama-sama menyertai mereka menyambut perayaan keagamaan mereka hukumnya adalah HARAM.
Kembali ke atas ↑


6. Memakan Harta Anak Yatim
Soalan:
Seseorang yang sentiasa memakan harta anak yatim,tanpa pengetahuan anak-anak tersebut tetapi menunaikan umrah dan sentiasa mendirikan ibadat solat. Adakah segala amalannya ini di berkati Allah  sedangkan dia seorang yang terlalu arif tentang agama?
Is, Seremban
Jawapan:
Memakan harta anak yatim secara tidak hak adalah dosa besar, namun jika diambil dengan ketentuan untuk proses penjagaannya atau sebagai upah penjagaannya tidak mengapa. Dengan syarat tidak melebihi dari ketentuan yang dibolehkan syarak. Jika seseorang yang menjaga anak yatim kemudian mengambil harta mereka dengan cara zalim iaitu mengambil dengan sesuka hatinya bahkan tanpa izin dan diketahui oleh anak tersebut maka laknat Allah akan menimpa orang tersebut. Banyak ayat Al Quran dan hadis Rasulullah SAW menjelaskan tentang seksaan dan balasan bagi orang yang memakan harta anak yatim dengan cara zalim ini.
Firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim itu secara zalim, sama dengan memasukkan api ke dalam perut mereka. Dan mereka yang demikian akan ditempatkan di dalam neraka Sa'ir". (An Nisa' 10)
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:"Dari Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: "Empat perkara yang Allah berhak untuk tidak memasukkan orang-orang tersebut ke dalam syurga dan tidak memberikan kenikmatan kepada mereka, iaitu orang yang menjadi pecandu minuman keras, pemakan riba, pemakan harta anak yatim secara tidak sah dan anak yang derhaka kepada ibu bapanya".
Mengenai amalan yang dimaksudkan hanya Allah saja yang mengetahui apakah amalannya tersebut diterima ataupun sebaliknya. Mungkin juga pada zahirnya kita melihat bahawa orang tersebut memakan harta anak yatim yang dijaganya padahal ia menggunakan hartanya sendiri. Perkara ini sukar untuk kita tentukan yang jelas jika ia memakan harta anak yatim itu dengan cara zalim bukan atas keredhaan anak tersebut maka hukumnya haram dan berdosa. Namun begitu kita dituntut agar berbaik sangka dan menghindarkan perbuatan buruk sangka kerana yang demikian menyelamatkan kita daripada sifat yang tercela (fitnah).
Kembali ke atas ↑


7. Makan Makanan yang Tidak Disembelih Cara Islam
Soalan:
Saya bekerja dikapal yang belayar diserata dunia. Makanan daging dan ayam dikapal tidak disembelih secara islam ,kerana pelabuhan yang disinggahi adalah negara yang tidak langsung ada daging yang halal. Kapal terpaksa membeli kerana pelayaran kami dilautan memakan masa berbulan bulan dan pelabuhan berikutnya tidak juga memungkinkan mendapat makanan daging halal. Bagaimanakah hukum orang islam yang terpaksa makan daging yang tidak disembelih itu. Makanan lain saperti sayur dan ikan adalah terhad
dan tiada bekalan yang mencukupi?
Roslan ,KL
Jawapan:
Memakan makanan yang tidak disembelih hukumnya sama dengan memakan bangkai, sedangkan memakan bangkai itu hukumnya haram. Kecuali dalam keadaan darurat maka makanan yang haram tadi hukumnya harus untuk dimakan. Yang dimaksudkan dengan darurat disini seperti dalam berjuang, menempuh perjalanan yang panjang serta dalam keadaan lain yang bukan bertujuan untuk berbuat maksiat. Namun dalam masalah pekerjaan bukanlah termasuk dalam kategori darurat, kerana masih banyak pekerjaan lain yang dapat menyelamatkan diri kita daripada memakan yang tidak disembelih cara Islam. Kecualilah tidak ada pilihan lain, dan itu satu-satunya pekerjaan yang ada, namun begitu kita dituntut merasa tidak redha memakan benda yang haram tadi.
Berusahalah untuk membetulkan kehidupan ke jalan yang benar dan diredhai Allah, kerana makanan yang kita makan itu akan menjadi darah daging. Jika ia terdiri dari makanan yang haram sudah tentu akan menimbulkan mudarat dalam diri kita bahkan di akhirat kelak akan dicuci dengan api neraka. Oleh sebab itu sebelum ia berlarutan berusahalah untuk menghindarinya agar kehidupan kita diberkati Allah di dunia dan akhirat, insya Allah.
Kembali ke atas ↑


8. Membiarkan Kemungkaran
Soalan:
Saya tinggal dengan seorang kawan ... Dia duduk dengan awek dia bukan muhrim. Adakah saya terlibat sama..dan sahkah puasa saya..?
Hamba Allah, United Kingdom
Jawapan:
Dalam sebuah hadis ada disebutkan, jika kamu melihat kemungkaran maka cegahlah dengan tangan ataupun kekuatan, jika tidak mampu cegahlah dengan mulut, jika itupun tidak mampu cegahlah dengan hati, yang demikian itu selemah-lemah iman. Jika anda membiarkan kemungkaran itu berada di rumah anda maka cegahlah, kerana jika anda membiarkannya samalah anda setuju dengan kemungkaran itu dan anda juga menanggung dosa yang dilakukan oleh teman anda itu.
Jika itupun tidak dapat anda lakukan maka pindahlah ke tempat lain yang lebih baik dan selamat, kerana kita tidak tahu ajal dan maut kita bila akan tiba. Kerana kita khuatir ketika kemaksiatan bergelimang dalam diri dan lingkungan kita saat itu maut menjemput kita, maka jadilah kita insan yang rugi di akhirat nanti. Na'uzubillahi minzalik.
Mengenai puasa dan ibadah anda yang lain tetap sah. Namun dari sisi Islam anda tergolong orang yang mampu membuat yang makruf tetapi tidak mampu mencegah kemungkaran di depan mata. Alangkah ruginya jika kita tergolong insan semacam ini.
Kembali ke atas ↑


9. Hukum Lelaki Memakai Emas
Soalan:
Apakah hukumnya seorang lelaki memakai perhiasan seperti cincin (emas/suasa) dan adakah sah solat Lelaki tersebut kerana mamakai cincin tersebut ketika menunaikan solat?
 Normali, KL
Jawapan:
Rasulullah SAW membolehkan kaum wanita memakai perhiasan emas dan sutera dan melarang bagi kaum lelaki memakainya. Jadi haram bagi lelaki memakai perhiasan sutera dan emas. Seandainya terbawa dalam solat, maka solat tetap sah, kerana emas bukan benda najis dan perkara yang menyebabkan membatalkan solat. Cuma perbuatan memakai perhiasan itu yang tercela atau berdosa. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


10. Amalan Yang Tidak Diterima Allah
Soalan:
Apakah perkara atau perbuatan yang boleh menyebabkan amalan seseorang itu tidak dapat diterima di sisi Allah S.W.T.?
Hamba Allah,KL
Jawapan:
Pahala kebaikan kita dapat hilang jika kita melakukan perkara yang dapat melenyapkan pahala kita tersebut   umpamanya jika kita memiliki sifat hasud dan dengki. Abu Laits Assamarqandi dengan sanadnya daripada Al Hasan,  Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Hasud dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat atau kebaikan  seperti api memakan kayu bakar". Pahala kebaikan kita juga akan musnah jika kita murtad daripada ajaran Islam dan hingga akhir hayat tanpa bertaubat. Perbuatan meninggalkan solat juga menyebabkan seluruh amalan kita tidak dapat diterima disisi Allah sebagai amal kebajikan yang diberi pahala. Sebab solat merupakan tiang agama, jika solat telah kita tinggalkan maka musnahlah segala amalan kebajikan kita, tidak ada tempat untuk bergantung. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


11. Makruh yang Membawa Haram
Soalan:
Adakah sesuatu hukum boleh berubah apabila kerap dilakukan, seperti makruh boleh menjadi haram, contoh merokok makruh, makan bawang dsb.?
Halim, Kota Tinggi
Jawapan:
Sesuatu hukum itu boleh berubah. Antaranya disebabkan oleh perubahan keadaan. Umpamanya rokok. Kebanyakan ulamak terdahulu menghukumkannya sebagai makruh merujuk kepada  baunya sahaja yang boleh mengganggu orang yang sedang menunaikan solat dan lain-lain, tetapi hukumnya sekarang sudah berubah. Ulamak di zaman ini khususnya majlis fatwa kerajaan Arab Saudi dan bebepapa tokoh ulamak di negara kita menghukumkannya sebagai haram memandangkan bahayanya dari sudut kesihatan.
Mereka menganggap orang-orang yang menghisap rokok sebagai golongan yang membunuh diri sendiri dalam jangka panjang , di samping membazirkan wang tanpa faedah. Kedua aktiviti ini adalah haram. Al-Qur'an dengan jelas melarang umatnya dari mencampakkan diri mereka ke lembah kemusnahan. Begitulah juga kepada perkara-perkara lain yang hukumnya adalah makruh tetapi apabila ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri, akal fikiran , nyawa, keturunan dan sebagainya, maka hukumnya adalah haram.
Kembali ke atas ↑


12. Hukum 'Berdating'  
Soalan:
Adakah "berdating" itu tergolong dalam dosa-dosa besar?
Muslimat, Kajang
Jawapan:
Berdating bererti menghampiri perzinaan. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri perzinaan. Oleh kerana pezinaan itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan termasuklah Dating ini adalah haram dan berdosa.
Kaedah feqah menjelaskan "Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram". Jauhilah dari berdating kerana ianya adalah jalan mudah bagi syaitan menjerumuskan anak Adam ke lembah perzinaan. Jauhilah dari berdating kerana orang yang ketiga di masa itu ialah syaitan.
Kembali ke atas ↑


13. Hukum Anak Luar Nikah
Soalan:
Hukum anak luar nikah tetapi baru berusia 2 bulan di dalam rahim ibunya sebelum dinikahkan?
Azmi, KL
Jawapan:
Dalam sebuah hadis riwayat muslim menjelaskan larangan melakukan khalwat antara seorang teruna dengan seorang dara, kerana ia merupakan jalan mudah ke arah perzinaan. Dalam Al-Qur'an pula jelas melarang perzinaan kerana zina itu mendatangkan dosa besar dan boleh menghuru-harakan masyarakat dan negara.
Jika seorang dara melakukan perzinaan dengan seorang teruna bererti ia telah melakukan dosa besar. Dalam Islam ia perlu dikenakan hukuman dirotan sebanyak 100 rotan seterusnya bertaubat kepada Allah. Ini sekiranya ia menyerah diri kepada pihak yang berkuasa.
Jika ia tidak menyerah diri kepada pihak yang berkuasa, maka tidak wajib kepada pihak berkuasa mencarinya kerana perzinaan itu hanya menjadi rahsia antara dia dengan pasangannya sahaja dan ia akan menerima balasan Allah pada hari kiamat kelak, kerana dosanya tidak akan gugur selagi mana belum dilaksanakan hukum hudud tersebut ke atas dirinya.
Persoalannya setelah melakukan perzinaan, si dara mengandung kemudian selepas dua bulan berlalu barulah pasangan terlibat berkahwin, dari segi berdosa ia tetap dikira berdosa tetapi dari segi sabit keturunannya anak itu layak dibinkan kepada pihak yang menzinai perempuan tersebut yang berkahwin dengannya.  kerana ulamak madhhab Syafii mensyaratkan sekurang-kurang untuk menyabitkan keturunan seseorang anak itu mestilah lahir selepas enam bulan dua saat dari tarikh ibubapanya berkahwin.
Kembali ke atas ↑


14. Pengakuan Berzina
Soalan:
Apakah cara yg betul untuk kita berkelakuan dgn org yg pernah melakukan zina yg diakuinya sendiri? Adakah patut kita memboikotnya? Apatah lagi jika dia adalah ahli keluarga kita sendiri?
Fatimah, KL
Jawapan:
Dalam Islam seorang penzina lelaki tidak layak berkahwin kecuali dengan penzina perempuan yang dizinainya. Menurut sesetengah ulamak sebagaimana yang disebut oleh Syeikh Wahbah Az-Zuhaili dalam Tafsirnya Tafsir Al-Munir, larangan berkahwin dengan penzina tersebut berkuatkuasa selagi mana penzina tersebut masih bergelumang dengan dunia perzinaannya. Namun setelah ia berhenti dari terlibat dengan perzinaan dan bertaubat, tidak menjadi kesalahan kepada lelaki yang baik yang tidak pernah melakukan perzinaan berkahwin dengannya.
Sehubungan dengan itu tidaklah menjadi kesalahan kepada seseorang yang baik berkawan dengan seseorang yang pernah melakukan perzinaan jika ia telah bertaubat dan sudah tidak terlibat dengan dunia perzinaan lagi, walaupun penzina terlibat dari kalangan ahli keluarga sendiri. Tidak wajar memboikotnya, sebaliknya hendaklah teruskan berkawan denganya dan sentiasalah mengambil peluang menasihatinya supaua tidak mengulangi perbuatannya itu. Rahsia perzinaannya  jangan dihebohkan. Kerana untuk menyabitkan perzinaan mestilah melalui salah satu daripada 3 cara iaitu samada melalui pengakuan yang terlibat sendiri, penyaksian 4 orang saksi dan wujudnya kandungan tanpa bapa.
Jika yang terlibat enggan mengaku berzina  walaupu ternyata ia betul-betul berzina, maka kita tidak boleh memaksanya mengaku berzina. Urusannya terserah kepada Allah pada hari kiamat kelak. Dalam hubungan seharian kita dikehendaki melayan mereka sebagaiman kita melayan saudara seislam yang lain juga. Boikot hanya boleh digunakan jika yang terlibat masih lagi bergelumang dengan perzinaannya dan enggan pula mendengar nasihat orang lain.
Kembali ke atas ↑


15. Penglibatan Dalam Pekerjaan Yang Syubhah
Soalan:
Saya bekerja dengan satu syarikat broker insurans. Tugas saya adalah memastikan bahawa pelanggan-pelanggan saya mendapatkan perlindungan insurans yang lengkap supaya jika ada bencana menimpa mereka, mereka boleh mendapatkan pampasan melalui polisi insurans yg mereka beli.
Bagaimanakah kedudukan saya di dalam hukum Islam?
Adakah saya hanya dibolehkan berurusan dengan Syarikat Takaful sahaja?
Ada pendapat yg mengatakan harus saya terus bekerja supaya lama kelamaan orang Islam akan bertambah maju dan mula mencari cara untuk kita mengislamkan sistem insurans seperti yang dilakukan oleh Takaful dan juga bank-bank yang sekarang mula mengamalkan Sistem Pembankan Tanpa Faedah. Saya pernah untuk meninggalkan pekerjaan ini dan memohon pekerjaan di Bank Islam kerana hanya karier pembankan yang sesuai dengan kelulusan saya. Apa pendapat Panel Ustaz?
Fatimah, KL
Jawapan:
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan juga Muslim jelas melarang seseorang itu menjerumuskan dirinya  ke dalam perkara yang syubhah. Ini bermakna penglibatan diri seseorang ke dalam perkara yang jelas haramnya seperti penglibatan dalam syarikat Insuran yang tidak berorientasikan Islam lebih hebat dan keras haramnya di sisi syarak, kerana bertentangan dengan nas yang melarang memakan riba.
Dalam sebuah hadis riwayat At-Tirmidhi menjelaskan Allah SWT melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, dua orang saksinya dan juga keraninya. Jika seseorang itu mampu berpindah ke syarikat lain yang lebih islamik, itu adalah lebih baik, kerana tindakan ini bersesuaian dengan kaedah feqah yang berbunyi: "Tinggalkanlah perkara yang meragukan anda kepada perkara yang tidak meragukan anda". Menurut Al-Qardawi dalam fatwanya untuk merubah sistem bank dan insuran yang diamalkan hari ini sekaligus tidak mungkin dan permasalahan riba tidak akan selesai.
Sebaliknya ia hendaklah dilakukan secara beransur-ansur. Jika seseorang itu mengambil tindakan berhenti terus sudah pasti orang-orang yang bukan Islam akan mengambil alih, menyebabkan sistem riba masih terus beroperasi. Kerana itu menurut beliau orang-orang Islam yang berkerja di sini hendaklah terus berkerja tetapi jangan meredhai pekerjaannya itu dan ia bekerja itu atas dasar mencari kemahiran. Sesudah memiliki kemahiran ia hendaklah berusaha berpindah ke syarikat yang berteraskan Islam dan menggunakan kepakarannya itu untuk memajukan syarikat Insuran Islam. Wallah A'lam.
Kembali ke atas ↑


16. Balasan Orang yang Berhutang
Soalan:
Apakah hukum dan balasan Allah kelak ke atas orang yang berhutang tetapi tidak membayar hutangnya pada hal ia mampu. Apakah yang perlu saya lakukan jika orang yang berhutang dengan saya seperti yang tersebut.
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Orang yang mampu membayar hutang, tetapi tidak berbuat demikian semasa hidupnya dikira telah melakukan dosa besar. Kerana hutang inilah orang-orang yang mati syahid sekalipun tidak dapat memasuki syurga sebaliknya hanya berada di pintunya sahaja. Rasulullah SAW menjelaskan orang yang tidak membayar hutang doanya tidak diperkenankan oleh Allah SWT. Nabi SAW sendiri tidak menunaikan solat jenazah ke atas sesuatu jenazah jika didapati ia ada hutang yang belum dijelaskan.
Setelah dipastikan mayat terlibat telah menjelaskan segala hutangnya di masa hidup, barulah Nabi SAW menyolatkan jenazahnya. Jika orang yang berhutang tidak membayar hutangnya sewaktu hidup di dunia ini, maka sesetengah amalan kebaikan yang dilakukan olehnya akan diberikan kepada si pemberi hutang pada hari kiamat kelak  Tindakan yang boleh dilakukan orang yang memberi hutang hendaklah meminta supaya hutangnya dilangsaikan dengan baik.
Jika tidak mampu hendaklah menggunakan tenaga orang tengah menggesanya supaya si peminjam  membayar hutang itu. Jika tidak mampu juga, yang terlibat boleh mengambil tindakan mahkamah, kerana itu melibatkan haknya yang boleh dituntut di mahkamah, dan pihak yang berhutang hendaklah mematuhi keputusan mahkamah. Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai iman yang tinggi dan kuat, lalu memaafkan orang yang berhutang itu dan menghalalkannya sebelum orang yang berhutang itu meninggal dunia, ia akan mendapat ganjaran yang besar dari Allah.
Kembali ke atas ↑


17. Bekerja Menjual Daging Haram
Soalan:
Saya ingin mencari pekerjaan sambilan di sini. Masalahnya, kebanyakan kerja berkaitan dengan daging babi dan daging yang tidak disembelih. Oleh itu, saya ragu-ragu hukumnya berkerja di tempat yang seperti itu. Saya ingin tahu, apakah hukumnya berkerja di tempat yang menjual daging haram, dan dalilnya?
Nasir, USA
Jawapan:
Seorang Islam yang bertakwa ialah seorang yang benar-benar mematuhi segala titah perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan hidup mereka. Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan di antara keelokan Islam seseorang itu ialah menjauhi sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan hidupya. Apa lagi kalau perkara itu memudaratkan agamanya. Semakin perlu dijauhinya.
Berkerja di tempat menjual daging binatang yang tidak disembelih adalah sesuatu yang tidak diharuskan oleh Islam. Ini kerana dalam Islam yang halal  itu jelas manakala yang haram itu pula jelas manakala perkara yang berada di antara keduanya adalah perkara yang samar-samar atau syubhah. Orang yang menjaga dirinya dari terlibat dengan perkara syubhah bererti ia telah menjaga agama dan kehormatan dirinya. Orang yang terlibat dengan perkara syubhah sebenarnya turut terlibat dalam perkara yang haram.
Demikian penjelasan yang terdapat di dalam riwayat Al-Bukhari dan Muslim. Berkerja di tempat seperti di atas jelas mungkarnya, kerana turut bersekongkol dengan kerja-kerja mungkar. Dalam Al-Quran menggesa manusia berkerjasama dalam perkara kebaikan dan takwa dan bukan berkerjasama dalam perkara  dosa dan permusuhan. Ini bererti berkerja di tempat tersebut memberi kerjasama kepada pihak terlibat melakukan kemungkaran. Satu hal lagi pendapatan yang diperolehi dari sumber ini tidak bersih.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam At-Tabrani menjelaskan satu suap makanan yang disuapkan ke dalam mulut seseorang hasil dari pendapatan yang haram, Allah SWT tidak akan menerima ibadat orang yang memakan makanan hasil dari pendapatan tersebut selama 40 hari. Ini kerana dalam hadis Muslim menjelaskan Allah SWT itu baik dan Ia sukakan kebaikan. Berkerja di tempat sebegitu rupa bukanlah satu perkara yang baik. Kerana itu bagaimana mungkin amalannya itu akan diterima Allah SWT. Kerana itu yang bertanya dinasihatkan supaya mencari kerja ditempat lain yang lebih selamat dari unsur haram seperti kedai menjual buah-buahan dan sebagainya.
Kembali ke atas ↑


18. Hukum Menonton Filem Seks
Soalan:
Apakah hukum jika seseorang itu melihat wayang atau pergi ke panggung wayang? Apakah hukum melihat gambar seks atau filem seks?
Mohd, N Sembilan
Jawapan:
Seorang mukmin yang benar-benar bertakwa dikehendaki menjaga kakinya dari menuju ke tempat-tempat maksiat dan lain-lain yang tidak diredai oleh Allah. Adalah haram baginya menggunakan kakinya untuk menuju ke tempat maksiat seperti panggung wayang dan lain-lain. Kaki ini pasti disoal oleh Allah SWT pada hari Kiamat kelak. Begitu juga hukumnya menonton gambar atau filem seks juga haram dan berdosa.
Kembali ke atas ↑


19. Hukum Solat Si Penzina
Soalan:
Saya ingin bertanya apakah HUKUMNYA jika seseorang itu melakukan zina walhal dia juga seorang yang mengerjakan solat dan segala kewajipan islam dengan baik. Adakah solat dan amal kebaikannya DITERIMA kerana dia ada melakukan maksiat dalam masa yang sama?
JZ, KL
Jawapan:
Jika seseorang melakukan perzinaan dan mengiktikadkan perbuatan tersebut adalah halal kepadanya, maka ia telah menjadi murtad dan terkeluar dari Islam. Dengan itu segala ibadat yang lain yang dilakukan olehnya adalah tidak sah. Ini kerana ia telah menjadi seorang yang kufur kepada Allah, kecuali jika ia kembali mengucapkan dua kalimah syahadah.
Jika ia melakukan perzinaaan dalam keadaan ia tidak mengiktikadkan perzinaan itu sebagai halal baginya, sebaliknya dilakukannya juga kerana menurut runtunan hawa nafsunya, maka ia berdosa besar. Ini bermakna jika ia menunaikan solat dan ibadat-ibadat lain setelah melakukan perzinaan, maka ibadatnya itu adalah sah. Ulamak berselisih pendapat dalam masalah ini. Ada yang berpendapat ibadatnya diterima apabila ia bertaubat. Sesetengah yang lain pula berpendapat segala amalan baiknya diterima walaupun ia berada dalam kemaksiatan, tetapi ia tetap mendapat balasan di atas perbuatan buruknya itu.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari, Rasulullah SAW pernah menjelaskan seseorang yang melakukan perzinaan tergugurlah imannya. Mafhum dari hadis ini ialah ketika seseorang sedang melakukan kemaksiatan, ia jauh dari agama, tetapi apabila ia berhenti melakukan kemaksiatan dan kemudian melakukan kebaikan, maka kebaikan itu akan kembali kepadanya semula. Ini menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada orang-orang mukmin.
Kembali ke atas ↑


20. Imam yang Menolak Ayat Al-Quran
Soalan:
Bolehkah seseorang itu sembahyang dibelakang orang yang menolak ayat Al-Quran contohnya hukum hudud dan sebagainya?
Nasir, Kulim
Jawapan:
Berhubung hukum orang yang menolak ayat-ayat Al-Quran seperti ayat-ayat yang menyentuh tentang hukum Hudud dan sebagainya haruslah dibuat penelitian terlebih dahulu. Andainya ia menolak dalam ertika ingkar akan ayat tersebut, tidak beriman dan mempermainkan ayat Allah secara jelas dan terang, orang ini diminta bertaubat dengan segera, kerana dengan perlakuannya itu ia telah menjadi seorang yang murtad, terkeluar dari Islam. Ia dikehendaki mengucapkan dua kalimah syahadah semula.
Jika ia mempercayai ayat-ayat tersebut, tetapi tidak dilaksanakan tuntutannya, maka ia dikira sebagai berdosa besar. Kedudukannya tak ubah seperti orang yang mempercayai kewajipan solat, tetapi ia sendiri tidak melaksanakan solat itu, maka ia dihukumkan telah melakukan dosa besar kepada Allah SWT. Seorang mukmin yang sejati akan menjauhkan diri dari melakukan dosa besar ini, apa lagi untuk melakukan suatu perbuatan yang menyebabkan ia menjadi murtad.
Bagi setiap mukmin yang sejati setiap ayat Allah yang memerintah supaya dilaksanakan hukum-hukumnya maka ayat itu hendaklah dilaksanakan tanpa banyak soal. Ulasan tentang perkara yang menyebabkan murtad ini telah dijelaskan secara terperinci di dalam kitab Tanwir Al-Qulub karangan Imam Najmudin Al-Kurdi, Al-Iman, Arkanuhu, Wa Nawaqiduhu oleh Muhammad Nuaim Yasin dan lain-lain. Sila rujuk kepada huraian mereka yang dinyata ini. Sila rujuk juga kitab Mastika hadis jilid yang pertama keluaran Pusat Islam Malaysia.  
Kembali ke atas ↑


21. Taubat Tanpa Meninggalkan Maksiat
Soalan:
Bagaimanakah dengan seseorang yang telah bertaubat dengan bersungguh-sungguh tetapi mengulangi perbuatan itu juga (perbuatan yang mendatangkan dosa besar). Namun, dia bertaubat dan terus bertaubat dan mengulanginya lagi. Pada dasarnya dia memang berazam untuk memperbaiki dirinya namun seolah ada godaan yang masih membelenggu dirinya malahan azam dan tekad yang ditanamkan dalam dirinya untuk meninggalkan perkara dosa itu hanya bertahan untuk sehari dua. Apa pendapat ustaz dengan orang yang seperti  ini? Adakah masih ada peluang baginya untuk bertaubat?
Faiz, Banting
Jawapan:
Taubat tanpa meninggalkan maksiat kerana dorongan nafsu yang lebih kuat tidak dianggap sebagai taubat Nasuha kerana ia telah melanggar syarat taubat. Ia tidak diterima oleh Allah SWT dan tidak diampunkan walaupun ia mengulangi taubatnya. Malah sesetengah ulamak berpendapat ia seperti mempermain-mainkan Allah maka hukumnya adalah berdosa. Firman Allah dalam surah At-Tahrim ayat ke 8 yang bermaksud: " Wahai orang orang yang beriman bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat Nasuha ".
Untuk itu cubalah perbaiki diri sambil menanam keazaman yang kuat untuk meninggalkan maksiat setelah anda benar-benar yakin boleh meninggalkan maksiat tersebut bertaubatlah dengan taubat nasuha. Selagi nyawa belum sampai ke halkum, pintu taubat sentiasa terbuka buat sesiapa sahaja.
Kembali ke atas ↑


22. Pahala Terhapus
Soalan:
Adakah pahala yang telah kita lakukan selama kita hidup akan hilang atas sebab-sebab tertentu?
Mohd Izzat, KL
Jawapan:
Pahala kebaikan kita dapat hilang jika kita melakukan perkara yang dapat melenyapkan pahala kita tersebut umpamanya jika kita memiliki sifat hasud dan dengki. Abu Laits Assamarqandi dengan sanadnya daripada Al Hasan, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Hasud dan dengki itu keduanya akan memakan habis hasanat atau kebaikan seperti api memakan kayu bakar".
Pahala kebaikan kita juga akan musnah jika kita murtad daripada ajaran Islam dan hingga akhir hayat tanpa bertaubat. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


23. Menghindari Perbuatan Yang Dilarang Allah
Soalan:
Bagaimana cara menghindari perbuatan yang di larang ALLAH?
Supri, Jakarta
Jawapan:
Setiap individu harus mempersiapkan diri dengan pengetahuan Islam agar jiwa dan hawa nafsu dapat dikendalikan dengan baik. Untuk melawan nafsu amarah dalam hati, orang mukmin hendaklah menilai dan menghisab diri serta tidak menuruti kemahuan-kemahuan hawa nafsu. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang yang pandai ialah orang yang mahu menilai nafsunya dan beramal untuk bekal kehidupan sesudah mati. Dan orang yang lemah ialah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan terhadap Allah (dengan angan-angan yang sia-sia}. (Riwayat Imam Ahmad) Diantara langkah awal yang perlu kita lakukan dalam menghindari perbuatan yang dilarang Allah adalah dengan mengawal dan mengendalikan hawa nafsu. Disamping itu perlu ditanam kesungguhan hati dalam membenci kemaksiatan. Diantara langkah yang ditempuh iaitu: Melepaskan hati dari dosa. Dosa ini timbul oleh beberapa sebab diantaranya kerana kebodohan, kelalaian dan hawa nafsu.
Setelah menyedari akan hakikat diri sendiri dan gangguan yang sentiasa datang maka segera bertaubat kepada  Allah, kerana dengan bertaubat sahaja segala perbuatan yang dilarang oleh Allah dapat kita hindarkan.
Kesimpulannya diantara langkah yang harus ditempuh untuk menghindarkan diri dari perbuatan maksiat ialah dengan muhasabah diri, mengendalikan hawa nafsu, membenci kemaksiatan dengan sungguh-sungguh, melengkapi diri dengan pengetahuan Islam, dan bertaubat dengan sungguh-sungguh serta bertaqqarrub (mendekatkan diri kepada Allah). Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


24. Dosa Hasad dan Dengki
Soalan:
Seperti yang kita tahu,pahala akan terhapus sekiranya kita mempunyai sifat hasud dan dengki.
Soalan saya, Berdosakah sekiranya kita mempunyai sifat hasud dan dengki atau cukup sekadar memakan pahala kebaikan kita?
Izzat, KL
Jawapan:
Jika ia tergolong perbuatan yang dapat menghapuskan segala pahala kita sudah tentu ia termasuk dosa, bahkan tergolong dalam dosa besar. Dengki terhadap orang lain termasuk menyakitinya, dan di dalam Al-Quran dengan jelas menyebutkan bahawa dengki atau menyakiti orang lain itu termasuk ke dalam dosa besar.
Firman Allah SWT maksudnya: "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang yang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata". (Al Ahzab ayat 58)
Kembali ke atas ↑


25. Keinginan Biseksual
Soalan:
Apakah pendapat ustaz tentang perasaan seksual seorang lelaki terhadap lelaki dan perempuan. Allah telah mengurniakan nafsu dan akal kepada manusia untuk dipergunakan bagi mendapat keredhaanNya. Alhamdulillah sehingga sekarang saya masih lagi membendung diri dari berlakunya perkara yang tidak diingini berdasarkan masalah ini. Tetapi sehingga sekarang saya (secara ikhlasnya) sering bernafsu kepada lelaki mahupun perempuan (biseksual). Telah saya berusaha dengan amalan zikir dan sebagainya tetapi masih kurang menampakkan hasilnya. Jesteru itu dapatlah kiranya ustaz memberikan beberapa pandangan mengenai perkara ini ?
Hamba Allah
Jawapan:
Perasaan seksual seorang lelaki terhadap wanita merupakan perkara yang normal dan itu merupakan fitrah yang Allah anugerahkan kepada setiap lelaki. Namun jika seorang lelaki mempunyai hasrat seksual terhadap lelaki, maka sesungguhnya ia telah melanggar fitrah insaniahnya sendiri kerana banyak didorong oleh nafsu syaitan. Jika kita terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan ini maka seksa dan ancaman Allah terhadap diri kita sangat dekat sekali, sebagaimana yang terjadi pada umat nabi Luth as.
Allah SWT berfirman maksudnya: "Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas". (Asy Syua'ara ayat 165 -166)
Firman Allah yang lain maksudnya: "Mengapa kamu mendatangi lelaki untuk memenuhi nafsumu, bukan mendatangi wanita ? Sebenarnya kamu adalah kaum yang tidak mengetahui akibat perbuatanmu". (An Naml ayat 55)
Allah menggolongkan orang yang homoseks ini sebagai berlebih-lebihan dalam nafsu dan melanggar batas-batas yang telah digariskan oleh Allah terhadap hamba-Nya. Dan orang-orang yang berlebih-lebihan itu sebagai teman syaitan yang merosak kehidupan masyarakat. Oleh sebab itu perbuatan terkutuk ini hendaklah dicegah dan menjauhinya. Di samping homoseks mempunyai bahaya bagi kehidupan sosial, ia juga mempunyai pengaruh-pengaruh buruk bagi kesihatan manusia. Kerana homoseks memindahkan penyakit-penyakit  tertentu kepada manusia. Homoseks juga menyebabkan melemahnya fungsi syaraf sehingga menyebabkan seseorang menjadi lemah dan lesu.
Kerana masalah seks merupakan masalah nafsu, maka kekangan yang paling sesuai adalah dengan banyak berpuasa serta menjalankan segala amal ibadah yang telah di fardhukan oleh Allah SWT. Seandainya  anda termasuk lelaki yang masih bujang maka segeralah berkahwin, semoga dengan cara ini dapat menyelesaikan masalah anda tersebut. Lakukan amalan-amalan sunat yang dapat mengisi masa kekosongan  sehingga tidak ada masa untuk memikirkan perkara yang terkutuk tersebut. Ingatlah sentiasa akan azab Allah yang akan menimpa kita jika perkara itu kita lakukan, insya Allah dengan cara ini menjadikan kita sebagai insan yang sentiasa berwaspada.
Kembali ke atas ↑


26. Homoseks Menurut Kacamata Islam
Soalan:
Apakah yang dikatakan homeseks dalam Islam dan bagaimanakah yang dikatakan seorang itu telah melakukan homeseks?
Mohd, N Sembilan
Jawapan:
Homoseks menurut kacata mata Islam adalah satu perbuatan yang berdosa besar. Pelakunya dilaknat oleh Allah SWT. Homoseks melibatkan perlakuan seks sumbang antara lelaki sesama lelaki. Dalam sebuah hadis yang dinukilkan oleh imam Al-Hafiz Az-Zahabi dalam kitabnya Al-Kabair menjelaskan apabila seorang lelaki naik ke atas badan seorang lelaki lain untuk melakukan hubungan seks, maka bergegarlah arasy Tuhan. Ini menunjukkan betapa perbuatan ini suatu perbuatan yang terkutuk di sisi Allah. Sila rujuk soalan 25 bagi keterangan yang selanjutnya.
Kembali ke atas ↑


26. Beribadah Namun Masih Mengerjakan Maksiat
Soalan:
Saya ingin bertanya .. Mengapa dan kenapa dan di mana salah dan silapnya seseorang yang melalukan kemungkaran atau maksiat, sedangkan seseorang itu mengerjakan perintah Allah seperti sembahyang, membaca Al-Quran dan amalan2 yang di pandang mulia di sisi Allah S.W.T. Di harap dan semoga tuan dapat memberi pandangan serta pendapat tentang kemusykilan saya ini ... Sekian Wasslam.
Noorazlinah, UK
Jawapan:
Allah SWT menentukan cara beribadah bagi manusia sesuai dengan unsur kejadian kita yang terdiri daripada unsur jasmani dan rohani. Mungkin setiap individu mampu dalam mengerjakan amal ibadah secara umum (nampak dari segi lahiriah) namun tidak mampu menyertakan hati (khusyuk) ketika mengerjakan ibadah tersebut. Secara jelas Allah SWT terangkan dalam surah Al Ankabut ayat 45 maksudnya: "Dan dirikan olehmu akan solat, sesungguhnya solat itu mencegah kamu daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar".
Jika kita lihat seseorang itu mengerjakan solat namun masa yang sama juga melakukan perbuatan mungkar, ini membuktikan bahawa solat yang dikerjakan itu hanya sekedar melakukan amalan jasmaniah, sedangkan roh solat itu tidak meresap dalam ibadahnya. Ingatlah, jangan sampai kita mengerjakan solat hanya sekadar melepaskan batuk ditangga iaitu seperti solat orang-orang munafik. Tentang hal ini Allah SWT berfirman maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka. Bila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia. Dan mereka tidaklah mengingat Allah kecuali sedikit sekali".
Begitu juga dalam amal ibadah yang lain seperti membaca Al Quran dan sebagainya. Jika seseorang itu memahami segala yang dibacanya, pastilah ia akan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah kerana rasa takut dan takwa. Seandainya tidak ada perubahan keperibadian terhadap pembacanya bermakna bacaannya tidak menimbulkan apa-apa kesan yang positif, bererti amalannya hanya bersifat lahirah sahaja.
Untuk memperolehi roh ibadah yang sempurna agar segala amalan yang kita lakukan memberi kesan kepada akhlak dan keperibadian, hendaklah melengkapi dengan ilmu pengetahuan agama yang betul dan sempurna, bukan sekadar ikut-ikutan tanpa dasar yang kukuh. Dengan demikian barulah ibadah kita dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Kembali ke atas ↑


27. Menyalahgunakan Wang Derma
Soalan:
Lima tahun yang lepas saya pernah mengutip derma dari orang ramai untuk membina sebuah surau. Oleh kerana pada masa itu saya berada didalam kesusahan maka saya telah mengunakan wang tersebut untuk kegunaan keluarga.  Sekarang saya ingin menyerahkan wang yang telah saya gunakan itu. Bolehkah saya menyerahkan wang tersebut kepada surau atau masjid lain yang sedang dalam pembinaan kerana surau yang saya kutip derma dulu sudah dijadikan sekolah ugama. Ataupun bagai mana harus saya lakukan bagi menebus dosa saya dengan Allah dan masyarakat yang telah menderma itu.
Diatas pertolongan Ustaz saya ucapkan ribuan terima kasih.
Abdul, Perak
Jawapan:
Jika kita telah bertaubat dari perbuatan masa silam, maka bertaubatlah dengan taubat nasuha, kerana rezeki yang kita makan dengana cara yang haram akan menutup hati daripada kebenaran. Jika kesedaran itu timbul bererti Allah telah memberikan hidayah atau petunjuk-Nya kepada kita.
Mengenai wang derma surau yang dipakai lima tahun yang lalu adalah lebih baik diserahkan kepada pihak atau ahli jawatankuasa yang mempercayai anda ketika itu. Jika ketika ini ahli jawatankuasa telah berubah dan bahkan surau tersebut telah menjadi sekolah, ada baiknya diserahkan juga kepada pihak sekolah, kerana perubahan yang terjadi
bukan kepada perkara maksiat. Tugas anda adalah menyampaikan hajat kaum muslimin yang mempercayai anda lima tahun yang lalu.
Ada baiknya dalam memulangkan wang tersebut, tirulah sikap Rasulullah. Kerana Rasulullah SAW ketika memulangkan pinjaman baginda sebanyak satu gantang kurma kepada seorang yahudi, maka baginda menghadiahkan
satu gantang lagi kepada orang yahudi tersebut. Sehingga ia menerima dua gantang kurma daripada Rasulullah SAW. Mungkin cara ini dapat membersihkan hati kita dari sesuatu yang meresahkan jiwa.
Kembali ke atas ↑


28. Hukum Lelaki Memakai Sutera
Soalan:
Dewasa ini bagaikan perkara biasa golongan lelaki memakai pakaian sutera, alasan mereka ialah kandungan sutera di dalam kain tersebut adalah sedikit. Mereka membuat kias seperti pemakaian cincin suasa yang di dalamnya bercampur di antara emas dan tembaga. Disebabkan emas sedikit dari tembaga, maka suasa dibolehkan. Begitulah alasan mereka untuk memakai sutera. Mereka juga berhujah, sekiranya kandungan sutera itu banyak, nescaya kain tersebut akan menjadi terlalu mahal harganya. Bagi saya pula tetap beranggapan perkara ini adalah haram qat'i, saya membuat perbandingan seperti pengharaman arak. Walaupun sedikit sahaja arak itu terpercik ke dalam air, maka air itu haram diminum. Tolong ustaz selesaikan masalah ini supaya tiada percanggahan di antara kami di sekolah. Sila nyatakan juga khilaf ulamak dan yang paling rajih/muktabar di antara mereka?
Marzuqi, Limbang
Jawapan:
Orang lelaki haram memakai pakaian sutera. Demikian juga haram menggunakan sutera sebagai penutup, sandaran, seperai dan selimut. Juga haram menggunakan sutera untuk lapisan pakaian (bahagian dalam) dan untuk tabir serta lain-lain cara menggunakannya. Dasar berhubung pengharaman pakaian sutera sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW melarang kami memakai sutera, sutera tebal dan duduk diatasnya". (Riwayat Bukhari) Sebab larangan tersebut ialah untuk mengelak bermegah-megah dan sifat kewanitaan yang tidak sesuai bagi orang lelaki. Orang lelaki yang memakai sutera adalah orang yang rendah darjatnya dan menyerupai wanita, lelaki seperti ini dilaknat Rasulullah SAW.
Hukum haram menggunakan sutera kepada orang lelaki jika sutera tersebut sutera sepenuhnya. Kemudian bagaimana pula jika kain ditenun dari sutera yang bercampur dengan yang lainnya dari jenis yang dibolehkan menggunakannya seperti benang linen dan lain-lain, apa pula hukumnya ?. Untuk menjawab persoalan ini, perlu dilihat terlebih dahulu, jika yang lebih banyak ialah benang suteranya hukumnya adalah haram, tetapi jika yang lebih banyak yang lainnya (bukan sutera) hukumnya adalah halal.
Kemudian apabila antara sutera dan bukan sutera sama banyak, maka dalam hal ini ada dua pendapat ulamak. Namun yang paling sahih adalah halal memakainya, sebab kain yang terjadi dari dua bahagian yang sama itu tidak dinamakan sutera, sedangkan pada asalnya memanfaatkan sesuatu benda adalah halal hukumnya. Yang mengatakan haram berdasarkan kepada kaedah fiqih "Apabila berkumpul antara yang halal dengan yang haram dimenangkan yang haram".
Adalah halal memakai kain yang disulam dengan benang sutera dan kain yang ditepinya ada benang sutera, seperti pada bulatan tengkuk, dihujung lengan dan dihujung bahagian bawah pakaian. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Umar beliau berkata : "Rasulullah SAW melarang memakai pakaian sutera kecuali pada tempat yang hanya satu jari, dua jari, tiga atau empat".     Berhubung dengan kain sutera yang diproses di kilang-kilang dan ditenun, ia adalah satu perkara baru dan belum pernah wujud di awal Islam. Ia berlainan dengan sutera asli yang dikeluarkan oleh ulat sutera, kerana turut melibatkan campuran bahan-bahan kimia tertentu semasa pemprosesannya. Kain sutera ini, tidak dinamakan sutera di sisi syarak walaupun masyarakat hari ini memanggilnya sebagai sutera, kerana itu hanyalah penyamaan sahaja dengan sutera asli. Ia tidak melibatkan sutera yang diharamkan memakainya oleh nas. Oleh itu harus kepada lelaki memakainya sebagaimana juga pakaian yang diperbuat daripada kapas dan benang linen. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


29. Marah dan Mengutuk Ibu dalam Hati
Soalan:
Adakah berdosa jika menyimpan rasa marah pada ibu sendiri dan mengutuk ibu dalam hati tapi saya masih menghormati ibu dan tidak melawan kata-katanya. Sekian, terima kasih. Wassalam?
Hasimah, Bangi
Jawapan:
Derhaka kepada kedua orang tua ialah berbuat sesuatu yang menyakiti perasaan keduanya atau melawan perintahnya dan juga melanggar nasihat-nasihatnya. Menyimpan rasa marah dan mengutuk ibu dalam hati juga termasuk didalam dosa kepada ibu atau bapa, kerana ia sama dengan membenci mereka, perkara ini jelas termasuk dalam dosa besar. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Ada tiga macam orang yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seseorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berupaya menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berupaya agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan melalui hasutan-hasutannya." (HR. Ad Dailami daripada Umar ra) Tidak layaklah menyimpan rasa marah dan benci terhadap ibu, segeralah bertaubat dengan mohon kemaafan kepadanya agar kehidupan memperoleh berkat dan rahmat daripada Allah SWT.
♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
Kembali ke atas ↑


30. Hukum Memelihara Burung
Soalan:
Apakah hukum membela burung?
Norizam, Johor
Jawapan:
Menurut Ahmad Ibni Muhammad, terdapatnya banyak taman-taman binatang atau zoo merupakan salah satu daripada tanda-tanda kiamat dan menunjukkan bahawa kiamat begitu hampir sekali. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan apabila binatang liar dikumpulkan". (surah At Takwir ayat 5) Di dalam zoo berjenis-jenis binatang liar dan bebas dikumpulkan di satu tempat yang dikhaskan untuk tujuan itu, sedangkan sebenarnya perbuatan seumpama itu adalah haram di sisi syarak kerana beberapa sebab:
1. Mengurung binatang-binatang tersebut dalam sangkar seolah-olah menyeksanya dan menyekat kebebasan yang tidak sesuai dengan fitrahnya tanpa sebab-sebab syar'iyah.
2. Diantara binatang-binatang  itu ada binatang yang kotor dan keji yang wajib dibunuh bila berjumpa dengannya. Maka sudah tentu tidak layak kita memeliharanya.
3. Kos penjagaan binatang-binatang tersebut terpaksa dikeluarkan setiap hari. Jika segala perbelanjaan itu disedekahkan kepada orang miskin beserta keluarga mereka, sudah pasti segala hajat mereka itu akan terpenuhi.
4. Mensia-sia harta adalah ditegah oleh syarak.
Dari sumber diatas sebagai bukti bahawa burung merupakan binatang yang secara fitrahnya hidup dengan terbang bebas di alam ini. Jika kita mengurungnya bererti kita telah melakukan penganiayaan terhadapnya. Menganiaya sesama makhluk sudah tentu sangat ditegah dan dilarang. Kecualilah jika pemeliharaan itu bertujuan untuk kemaslahatan umum, seperti menternak burung puyuh secara besar-besaran yang berguna untuk keperluan manusia. Maka memelihara burung seperti ini harus hukumnya. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


31. Tidak Menunaikan Nazar (Janji dengan Allah) 
Soalan:
Saya hendak bertanya apakah hukumnya seseorang yang telah bersumpah dengan nama Allah untuk melakukan sesuatu perkara apabila mendapat kejayaan yang dihajati. Apabila seseorang itu telah mendapat kejayaan dia tidak menunaikan seperti mana sumpah nya kepada Allah. Bagaimanakah seseorang itu perlu untuk menebus kembali janjinya sumpahnya kepada Allah?
Azman, KL
Jawapan:
Barangsiapa bernazar untuk mensyukuri Allah ataupun untuk bertaqarrub kepada-Nya atau jika sembuh dari sakit, atau jika diperkenankan suatu maksud yang baik atau yang bukan maksiat, maka fardhulah atasnya menunaikannya.
Dari Aisyah ra. sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa bernazar akan mentaati Allah maka hendaklah ia mentaati-Nya dan barangsiapa bernazar akan menderhakai Allah, maka janganlah ia menderhakai-Nya". Adapun nazar yang bukan taat, maka tidak wajib dipenuhi, hanya hendaklah ia beristighfar sahaja, memohon ampunan dari kesalahannya bernazar yang sia-sia itu. Kaffarah atau denda merosak sumpah iaitu puasa tiga hari, jika tidak sanggup memeberikan makanan 10 orang miskin atau membeli pakaian atau memerdekakan seorang hamba.


32. Dating tanpa Melakukan Perkara Dilarang
Soalan:
Apakah hukumnya keluar dengan seorang lelaki bukan muhrim tanpa melakukan perkara yang dilarang?
Iqin, Bayan Baru
Jawapan:
Seorang wanita jika keluar dengan lelaki yang bukan muhrim hukumnya haram walaupun tidak melakukan apa-apa yang dilarang. Kerana keluar dengan bukan muhrim itu sendiri merupakan perkara yang dilarang oleh syarak. Kecuali jika keluar itu disertai dengan muhrim yang lain sebagai teman. Sedangkan wanita yang ingin mengadakan perjalanan pun hendaklah disertakan dengan muhrim apakah lagi dengan sengaja ingin keluar berpeleseran dengan yang bukan muhrim, maka sangat jelas dan teranglah keharmannya.
DN 091 Fardhu ‘Ain Khusus Wanita
♀ Bunga Idaman Mutiara Syurga WANITA SOLEHAH ( Kulit Nipis | Kulit Tebal )
Kembali ke atas ↑


33. Menonton Di Panggung Wayang
Soalan:
Apakah hukum menonton di panggung wayang yang ditaja oleh syarikat arak?
Jefri, Shah Alam
Jawapan:
Menonton di panggung wayang hanya sekadar menghabiskan dan membuangkan masa. Mensia-siakan waktu hukumnya berdosa, tidak kiralah cerita di panggung tersebut ditaja ataupun tidak ditaja oleh pihak tertentu. Apatah lagi jika ditaja oleh minuman keras, sudah jelas berdosa kerana bersubahat dan mengganggu hati serta merosak jiwa dan akhlak. Bahkan, secara umumnya kita mengetahui bahawa cerita-cerita yang ada di panggung wayang ketika ini kebanyakannya berunsur lucah dan ganas serta melalaikan dan membuang waktu.
Sesungguhnya setiap muslim itu diperintahkan supaya benar-benar menjadi pengikut Islam dan memiliki sifat-sifat orang beriman seperti difirmankan oleh Allah SWT. dalam ayatNya yang bermaksud, "Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat, mereka akan melewati mereka (berlalu sahaja) dengan menjaga kehormatan diri." (Al-Furqaan, ayat 72)
 Dinyatakan dalam ayat yang di atas bahawa percakapan yang sia-sia, komedi lucu yang mengarut, hiburan yang tiada bermanfaat dan semua bentuk dosa adalah ditentangi. Begitu juga ayat ini mengutuk segala perbuatan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang mana panggung wayang dikatakan memainkan peranan yang besar. Untuk mereka yang memilih untuk menghabiskan masa lapang dengan hiburan dan pertunjukan yang melalaikan, Allah SWT. telah berfirman yang maksudnya, "Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan main-main dan senda gurau belaka, dan sesungguhnya negeri akhirat itu lebik baik bagi orang-orang yang bertaqwa." (Al-An'am, ayat 32)
Kembali ke atas ↑


34. Menyimpan Patung Permainan
Soalan:
Apakah pandangan Islam mengenai orang Islam yang menyimpan patung-patung permainan atau gambar- gambar bernyawa?
Johan, KL
Jawapan:
Mengenai menyimpan gambar bernyawa di dalam rumah dalam sebuah hadith disebutkan. Daripada Aisyah ra. menceritakan bahawa pernah ia membeli sebuah bantal yang bersulamkan gambar (makhluk hidup), sewaktu Rasulullah SAW melihatnya baginda berdiri di pintu (tidak mahu masuk ke dalam rumah) dan wajah baginda berubah (menandakan kurang senang).
Melihat wajah Rasulullah SAW berubah, Aisyah bertanya: "Apakah dosaku ya Rasulullah, beritahulah kepadaku, sekarang juga aku akan bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya". Kemudian Rasulullah SAW bertanya kepada Aisyah: "Bantal apa ini ya Aisyah?" Aisyah menjawab: "Aku belikan untuk baginda tidur atau duduk di atasnya".
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang membuat gambar ini kelak akan diseksa di hari kiamat dan diperintahkan supaya dihidupkannya (diberi roh). Sesungguhnya rumah yang ada gambar, malaikat tidak masuk ke dalamnya". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mengenai patung permainan dalam sebuah hadis diterangkan; Aisyah berkata: "Suatu ketika sedang kami (Aisyah bersama kawan wanitanya) bermain-main dengan anak patung, Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah, kawan-kawanku lantaran merasa segan dengan baginda merekapun menyembunyikan diri. Melihat sikap kawan-kawanku itu, maka Rasulullah SAW pun menyuruh mereka keluar daripada tempat persembunyian dan bermain kembali". (Riwayat Bukhari)
Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Nasa'i pula Aisyah menceritakan bahawa ketika ia melihat Rasulullah SAW baru pulang daripada peperangan (Tabuk dan Khaibar), ketika itu ia sedang bermain dengan patung-patung mainan. Ia juga segera menutup anak patung itu dengan kain. Tiba-tiba Rasulullah menyingkapnya dan bertanya: "Apa ini ya Aisyah ?' Aisyah menjawab: "Anak-anak saya (mainan saya). Patung mainan itu adalah gambar kuda bersayap".
Rasulullah SAW bertanya lagi: "Kuda bersayap?" Aisyah menjawab: "Apakah baginda tidak pernah mendengar bahawa nabi Sulaiman as. mempunyai kuda bersayap?" Mendengar jawapan itu Rasulullah SAW ketawa.
Banyak lagi hadith-hadith yang menjelaskan tentang gambar bernyawa dan patung-patung untuk mainan ini, namun disini dapat disimpulkan diantara sebab gambar itu dilarang atau diharamkan, kerana menyerupai ciptaan Allah dan pembuatnya dituntut memberi roh atau nyawa serta di akhirat di azab di dalam neraka, yang menyerupai patung berhala, malaikat benci dan tidak masuk ke dalam rumah yang ada gambar, gambar yang sempurna rupanya (berlembaga), diletakkan di tempat yang hormat dan tujuan menghormati dan untuk dijadikan kenangan dan dihormati.
Sedangkan gambar-gambar yang diharuskan antara lain; gambar pemandangan makhluk yang tidak bernyawa, gambar yang tidak sempurna sifat dan tidak berlembaga dan tanpa niat menghormatinya, tidak dihormati, bertujuan pendidikan, gambar mainan kanak-kanak.
Disini kami sertakan juga pandangan beberapa ahli. Diantaranya Imam Nawawi berpendapat; "Adapun gambar yang digantung pada dinding atau gambar pada kain, pakaian seperti serban, baju dan sebagainya yang dikira benda yang tidak dilasak atai dihormati, sekiranya gambar itu makhluk bernyawa dan sempurna bentuk rupanya, mempunyai bayang seperti lembaga patung atau tidak berbayang seperti yang dilukis di kain, dinding dan lain-lain, semuanya di hukum haram. Kecuali sekiranya gambar makhluk bernyawa itu didapati terletak atau terlukis atau terukir pada pada tempat yang tidak dihormati, seperti di lantai, di tikar, di tempat duduk atau tempat pijak, dibantal atau tilam dan lain-lain tempat yang seumpamanya, maka tidaklah dihukum haram."
Menurut Ibnu Arabi; segala gambar yang mempunyai bayang (berlembaga) ijmak ulama telah mengharamkannya. Dilarang atau haram hukumnya sekiranya gambar itu berbentuk sempurna, tetapi kalau terpotong kepala atau terpisah anggotanya hukumnya harus atau boleh. Harus hukumnya jika tanpa maksud menghormati dan mengagung-agungkannya yakni tidak digantung di dinding. Kalau di gantung di dinding hukumnya haram, kerana menunjukkan maksud menghormati dan mengagungkannya. Ibnu Arabi juga menyebut bahawa telah ijmak ulamak mengharamkan gambar patung-patung, tetapi jumhur ulamak mengharuskan (membolehkan) patung-patung mainan kanak-kanak".
Kembali ke atas ↑


35. Memakan Makanan yang Haram
Soalan:
Saya adalah penuntut luar negara (USA). Masalah saya sekarang ialah beberapa orang teman saya suka dan tidak kisah kalau makan daging yang tidak halal atau makanan segera seperti Burger Ayam (Mc Donalds) dan lain-lain lagi. Apa yang saya tahu di sini tidaklah terlalu susah untuk makan atau mencari benda yg halal untuk di makan. Tetapi mereka seolah-olah mengambil ringan pekara tentang memakan daging yang tidak halal ini.
Apabila saya menegah mereka, mereka kata darurat. Tetapi mereka masih boleh alternatif lain dengan membeli Burger Ikan (Filet-O-Fish) atau kentang goreng dan banyak lagilah makanan yang boleh di makan. Cuma alasan mereka sudah bosan makan Burger Ikan. Mereka seolah-olah tidak ambil kisah tentang halal haram makan. Ada alasan mereka (darurat) ini boleh diterima? Apakah hukumnya memakan daging yang tidak halal? Apakah hukumnya meringankan hukum makanan halal dan haram ini?
Saya harap ustaz dapat terangkan kepada saya kerana saya sungguh tertekan dengan sikap mereka yang 'selamba' ini?
Hamba Allah, USA
Jawapan:
Pengertian memakan makanan yang diharamkan kerana terpaksa (darurat) adalah terhadap orang yang terpaksa atau terdesak, ketika itu dibolehkan (harus) memakan bangkai daging babi dan semua yang tidak dihalalkan, baik dalam bentuk binatang mahupun lainnya yang diharamkan oleh Allah. Ini bertujuan menjaga kehidupan dan memelihara jiwa dari kematian.  Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri, sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada kamu". (An Nisa' 29) Seseorang boleh dikatakan terpaksa apabila sampai pada tingkat kelaparan yang mengakibatkan kebinasaan atau menyebabkan timbulnya penyakit yang menyebabkan kematian baik ia seorang yang taat mahupun ahli maksiat.
Firman Allah SWT maksudnya: "Maka sesiapa yang terpaksa  memakannya kerana darurat sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa".
(Al Baqarah 173) Pengertian darurat menurut fuqaha' Syafie adalah; "jika selama tiga hari ia tidak mendapatkan apa-apa yang dapat dimakan, ia boleh memakan apa-apa yang dapat dimakan walaupun yang diharamkan, walaupun melibatkan harta milik orang lain".
Jika demikian pengertian darurat, maka haram memakan daging ayam yang disembelih dengan tidak menyebut nama Allah, sedangkan masih ada alternatif  atau pilihan lain yang boleh dilakukan. Juga tergolong berdosa kerana meringan-ringankan hukum syariat, seakan-akan meremehkan ketentuan yang telah Allah SWT tetapkan.
Apalah ertinya kita menuntut ilmu jauh ke negeri orang sedangkan makanan yang kita makan kemudian menjadi darah daging itu terdiri dari bangkai yang haram. Jika ini secara terus menerus dilakukan dikhuatirkan akan menutup pintu hati dalam menerima kebenaran. Jangan jadikan alasan kerana bosan memakan benda yang halal kemudian menghalal sesuatu yang haram, berusahalah menghindarinya agar terhindar daripada terkena musibah dan laknat Allah. Na'uzibillahi min zalik.
Kembali ke atas ↑


36. Memakan Daging Sembelihan Orang Yahudi
Soalan:
Bolehkah kita memakan daging sembelihan Yahudi? Bolehkah kita memakan makanan buatan mereka yang mengandungi daging atau dengan kata lain makanan KOSHER yg banyak terdapat di sini (USA)? Adakah cara sembelihan mereka (Yahudi) sama seperti cara sembelihan kita?
Hamba Allah, USA
Jawapan:
Di antara penyembelihan menurut syariat iaitu:
a. Gunakanlah alat penyembelihan yang tajam dan melukakan seperti pisau.
b. Rebahkanlah binatang yang akan disembelih itu di atas rusuk kirinya supaya mudah bagi orang yang menyembelihnya.
c. Potonglah urat nadi dan kerongkongnya sehingga terputus.
d. Bacalah basmalah ketika menyembelih serta banyak lagi ketentuan yang lain.
Di dalam penyembelihan orang Yahudi sudah tentu mereka tidak menyebut nama Allah, jika demikian keadaannya sudah pasti kita haram memakan sembelihan orang Yahudi tersebut.
Kembali ke atas ↑


37. Homoseksual dan Cara Mengatasinya
Soalan:
Masalah saya bagaimana yang terbaik untuk membantu menangani masalah sahabat baik saya yang melalukan HOMOSEKSUAL?
Nor, Skudai
Jawapan:
Homoseksual iaitu hubungan seks antara lelaki dengan lelaki. Mengenai perkara ini Allah SWT berfirman maksudnya; "Mengapa kamu mendatangi jenis lelaki di antara manusia, dan kamu tinggalkan isteri-isteri yang dijadikan oleh Tuhanmu untukmu, bahkan kamu adalah orang-orang yang melampaui batas". (Asy Syuraa ayat 165-166)
Dalam sebuah hadith Rasulullah SAW ada dijelaskan: "Empat golongan yang pagi hari dalam kemurkaan Allah dan petang hari dalam kemurkaan Allah. Lalu ada yang bertanya; "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah ? Baginda menjawab; "Iaitu lelaki yang menyerupai perempuan, perempuan yang menyerupai lelaki, orang yang bersetubuh dengan binatang dan lelaki yang bersetubuh dengan lelaki (homoseks)". (Hadith riwayat Thabrani dan Baihaqi) Homoseksual adalah perbuatan yang menyalahi fitrah, kerana sesungguhnya Allah menjadikan berahi yang normal itu adalah berahi antara lelaki dan perempuan. Maka perbuatan homoseks adalah sungguh-sungguh suatu keingkaran yang keji terhadap fitrah manusia dan keruntuhan akhlak yang sangat rendah.
Homoseksual merupakan perbuatan keji yang dimurkai Allah. Sebagaimana yang dicontoh oleh Allah di dalam Al-Quran tentang kehancuran umat nabi Luth as disebabkan mengamalkan perbuatan homoseks. Begitu juga halnya jika perbuatan yang terkutuk ini dilakukan oleh umat zaman ini, maka kehancuran dan balasan yang hina akan diterimanya kelak.
Ada beberapa kaedah boleh kita gunakan dalam memberikan bimbingan kepada mereka yang mengamalkan perbuatan keji ini:
1. Hendaklah seorang lelaki menjauhi bergaul dengan lelaki yang bertingkah laku seperti wanita atau bergaul dengan pondan.
2. Menjelaskan bahawa perbuatan homoseks merupakan perbuatan keji yang dikutuk oleh Allah dan akan menerima balasan yang pedih. Jika orang yang mengamalkan perbuatan ini, faham bahawa balasannya sangat berat, maka ia akan segera bertaubat kepada Allah.
3. Mengerjakan amalan wajib seperti solat, puasa dan lainnya dengan ikhlas dan teratur.
4. Sering melakukan puasa-puasa sunat, agar nafsu dapat dikendalikan dan dapat dikawal.
Kembali ke atas ↑


38. Muhallil (Kahwin Cina Buta)
Soalan:
Dalam masyarakat melayu kita biasa mendengar "Cina buta", setahu saya "cina buta" adalah satu perlakuan yang telah dirancang oleh pihak tertentu, sekiranya berlaku kejadian tersebut adakah perkahwinan semula di antara bekas suami dan bekas isteri yang ditalak tiga itu sah setelah "cina buta" selesai dilakukan?
Man, KL
Jawapan:
Kahwin cina buta iaitu seseorang lelaki mengahwini perempuan yang telah ditalak tiga kali oleh suaminya setelah habis masa iddahnya ia berkahwin dengan wanita tersebut kemudian mentalaknya dengan tujuan agar bekas suaminya yang pertama dapat kahwin dengan dia kembali. Kahwin semacam ini termasuk dosa besar dan mungkar yang diharamkan oleh Allah dan orang yang melakukannya mendapat laknat daripada Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Allah melaknat muhallil (yang kahwin cina buta) dan muhallalnya (bekas suami yang menyuruh orang menjadi muhalil) (Riwayah Ahmad)
Kembali ke atas ↑


39. Hukum Zina Bagi Ibu Tunggal (Janda)
Soalan:
Saya seorang ibu tunggal yang telah melakukan dosa besar iaitu perbuatan zina bersama seorang lelaki bujang dan kini lelaki itu telah melarikandiri dari menunaikan tanggungjawabnya kerana tiada persetujuan dari ibunya dan membawa diri bersama-sama ibunya kerana takut didatangi oleh keluarga pihak saya. Saya hampir putus harapan dan kembali bertaubat ke jalan Allah dengan berkat bimbingan keluarga dan kawan yang rapat dengan saya. Lelaki tersebut pergi selama lebih kurang seminggu lebih tanpa menanyakan khabar berita pun tentang diri saya. Tiap-tiap hari saya berdoa agar dia kembali menunaikan tanggungjawabnya dan terbuka pintu hati ibunya untuk menerima saya. Dengan izin Allah dia telah menghubungi saya dan bertanyakan khabar berita tentang diri saya. Ustaz di sini saya musykil kerana takut dianiayai lagi sekali. Apakah yang seharus saya lakukan?
Hamba Allah, KL
Jawapan:
Perbuatan zina merupakan dosa besar yang dikutuk oleh Allah terhadap pelakunya. Para ulamak telah bersepakat bahawa hukuman yang dikenakan atas diri yang melakukan zina muhshan (janda, duda, lelaki yang masih beristeri atau isteri yang masih bersuami) adalah wajib direjam sampai mati. Pendapat ini didasarkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah maksudnya: "Ada seorang lelaki yang datang kepada Rasulullah SAW ketika baginda sedang berada di dalam masjid. Lelaki itu memanggil-manggil Nabi seraya mengatakan: "Hai Rasulullah SAW, aku telah berzina, tetapi aku menyesal". Ucapan ini diulanginya sampai empat kali. Setelah Nabi mendengar pernyataannya yang sudah empat kali diulanginya itu lalu baginda memanggilnya seraya bertanya: "Apakah engkau ini gila ?". "Tidak". jawab lelaki itu. Nabi bertanya lagi "Apakah engkau ini orang yang muhshan?". "Ya ", jawab lelaki tersebut. Kemudian Nabi bersabda lagi: "Bawalah lelaki ini ini dan rejamlah oleh kami sekalian hingga mati".
Perkara pertama yang perlu puan lakukan adalah bertaubat dan menyembunyikan perbuatan maksiat yang pernah dilakukan, bukan menghebohkannya kepada pihak lain. Sebab hukuman yang layak bagi wanita atau lelaki yang pernah menikah melakukan zina adalah dengan rejam hingga mati. Walaupun begitu jika seseorang itu melakukan zina kemudian tidak ada empat orang saksi untuk membuktikan perbuatan tersebut sehingga boleh dijalankan hukum Islam ke atasnya, maka adalah lebih baik ia menyembunyikan perbuatannya itu dan segera bertaubat.
Jika telah melaksanakan taubat dengan taubat yang sebenarnya, barulah puan berfikir masalah perkahwinan dengan bujang yang menjadi idaman puan. Masalah yang paling penting dalam kes puan ini bukan bagaimana cara menghindarkan dari dianiaya oleh pihak lelaki yang melakukan hubungan dengan puan, kerana perbuatan zina bukan aniaya melainkan perbuatan dosa besar yang dilakukan atas dasar suka sama suka yang wajib ditinggalkan dengan segera. Persoalan jodoh serahkan kepada Allah, kerana Allah yang menentukan jodoh seseorang itu, yang paling penting bertaubatlah dan carilah lelaki yang baik dan lelaki yang telah bertaubat daripada melakukan dosa besar.
Kembali ke atas ↑


40. Hukum Menerima Wang Judi
Soalan:
Apakah hukum orang menerima pemberian duit dari hasil judi dan bagaimana jika wang itu digunakan untuk membeli barang seperti kereta,gitar dll. Apakah setiap kali kita menggunakan barang itu kita mendapat dosa?
Zul, Kemaman
Jawapan:
Judi termasuk ke dalam golongan memakan harta orang lain dengan cara batil. Judi merupakan cara yang salah atau batil untuk mendapatkan harta. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa bermain judi maka ia berbuat derhaka kepada Allah dan Rasul-Nya". (Riwayat Malik)
Berjudi ini juga disebutkan dalam firman Allah sebagai salah satu pebuatan yang menimbulkan rasa permusuhan, kemarahan dan jauh dari mengingat Allah. Firman-nya maksudnya: "Sesungguhnya meminum khamar, berjudi berkorban untuk berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keuntungan". (Al Maidah ayat 90)
Begitu besar kesan judi terhadap seseorang, jadi jika kita telah mengetahui bahawa wang yang diberikan oleh seseorang itu kepadanya merupakan wang dari hasil judi, maka menggunakannya tergolong dalam bersyubhat. Walaupun pada hakikatnya wang itu halal namun menggunakan wang dari hasil judi tetap berdosa, tidak kiralah untuk apa wang itu digunakan.


41. Membelanjakan Wang Ekor
Soalan:
Salahkah saya memakai pakaian yang dibeli dari hasil duit ekor, sehingga saya mengetahui akan hal itu?
Khairul Faisal , Serdang
Jawapan:
Wang yang diperolehi hasil dari pekerjaan menikam ekor haram digunakan oleh seseorang kerana ia diperolehi dari hasil berjudi. Meskipun pakaian yang dibeli itu jenis pakaian yang tidak terlarang namun cara memperolehi wang tersebut tetap salah. Jika kita tidak mengetahui bahawa wang tersebut diperolehi dari hasil judi sedangkan orang yang menghadiahkan wang tersebut tidak menjelaskan kepada kita, maka tidaklah berdosa kita memakainya, kecuali setelah kita mengetahuinya hendaklah menghindarinya agar tidak tergolong syubhah dalam perkara maksiat. Wallahu 'alam.
Kembali ke atas ↑


42. Hukum Berzina Dengan Calon Isteri
Soalan:
Assalamualaikum......ustaz.
1. Apa hukumnya saya telah melakukan zina dengan isteri saya sebelum saya menikahinya? Apa pandangan Islam terhadapnya dan hukum-hukumnya disisi Allah?
Azman, PP
Jawapan:
Berzina dengan tunang atau calon isteri hukumnya berdosa besar, sebab status tunang bukanlah menghalalkan hubungan kelamin antara seorang lelaki dan wanita. Namun begitu jika telah terlanjur melakukannya ketika masa silam bertaubatlah dengan banyak-banyak memohon ampun kepada Allah. Insya Allah taubat tersebut akan diterima Allah asalkan dengan hati yang ikhlas dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut dengan orang lain.


43. Lelaki Memakai Emas Putih/Platinum
Soalan:
Bolehkah orang lelaki memakai emas putih atau nama sainsnya platinum. Sedangkan mengikut sains ia bukanlah emas yang sebenarnya?
Din, KL
Jawapan:
Emas dan sutera ialah dua jenis perhiasan yang haram dipakai oleh orang lelaki tetapi halal bagi perempuan. Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib ra. katanya, Rasulullah SAW mengambil sutera diletakkan disebelah kanannya dan mengambil emas diletakkan disebelah kirinya kemudian baginda bersabda: "Kedua-dua perhiasan ini haram bagi umatku yang lelaki". (Riwayat Abu dawud, nasai', Ibnu Hibban dan Ibnu Majah)
Nabi SAW pernah melihat seorang lelaki memakai cincin emas di tangannya, lalu cincin itu ditanggalkan oleh Nabi dan dicampakkannya ke tanah, kemudian baginda bersabda: "Seseorang kamu ini sengaja mengambil bara api kemudian dia letakkan di tangannya. Lalu ada orang lain berkata kepada lelaki tersebut; "Setelah Rasulullah pergi ambillah cincinmu itu dan pakailah". Maka jawab lelaki itu: "Tidak, demi Allah aku tidak akan mengambil cincin yang telah dibuang oleh Rasulullah SAW". (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Adapun orang lelaki memakai cincin perak, Rasulullah SAW tidak melarangnya asalkan tidak berlebihan. Sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhri bahawa Rasulullah SAW sendiri memakai cincin perak yang kemudian cincin itu pindah ke tangan Abu Bakar, kemudian pindah ke tangan Umar dan terakhir sekali pindah ke tangan Usman sehingga akhirnya jatuh ke dalam perigi Aris di Quba.
Tentang logam-logam lain seperti besi, tembaga, platinum dan sebagainya tidak ada satu pun nas yang mengharamkannya.
Kembali ke atas ↑


44. Menghentikan Tabiat Onani
Soalan:
Saya seorang pelajar universiti, seorang perempuan, masalah saya ialah saya selalu melakukan onani. Saya telah cuba untuk menghentikannya, tetapi tidak berjaya. Saya selalu juga membaca quran lepas sembahyang, tetapi masih juga melakukan perbuatan tersebut. Apa lagi yang haraus saya lakukan. Saya rasa nafsu seks saya amat kuat?
Problem, JB
Jawapan:
Allah SWT menganugerahkan nafsu seks kepada setiap insan, bahkan ia merupakan fitrah dalam diri seseorang. Walaupun begitu kemampuan dan keadaan nafsu seks seseorang itu antara satu dengan yang lainnya berbeza-beza. Setengahnya hanya memiliki nafsu seks yang sederhana, malah ada yang berkurangan, namun ada juga yang sangat berlebih-lebihan kuatnya.
Salah satu cara untuk menyalurkan nafsu seks yang kuat ini adalah dengan cara segera berkahwin (nikah). Dengan berkahwin akan membantu anda mengatasi tekenan nafsu anda dan dengan sendirinya nafsu seks anda tersalur secara sempurna dan diredhai Allah. Jika perkahwinan belum dapat dilakukan dengan segera banyakkanlah berpuasa, sebab dengan berpuasa dapat mengekang hawa nafsu.
Setelah itu banyakkan aktiviti-aktiviti yang menggunakan fikiran, seperti menulis artikel, cerpen, puisi dan sebagainya yang bersifat ilmiah. Sebab jika kita banyak gunakan fikiran, maka perhatian kita terhadap seks akan sedikit berkurangan. Disamping kita dapat mengalihkan perhatian kita terhadap nafsu seks, kita telah menghasilkan karya ilmiah yang berguna bagi diri kita sebagai seorang pelajar universiti dan berguna juga bagi orang lain.
Kembali ke atas ↑


45. Membunuh Semut
Soalan:
Bolehkah kita membunuh semut dengan racun kerana sebagaimana yang kita tahu semut merupakan salah satu dari binatang yang di larang oleh Rasulullah s.a.w dari membunuhnya seperti yang terdapat dalam hadith baginda. Masalahnya ia terdapat di mana-mana sahaja termasuk di dalam beras, sink dan di telefon. Ini cukup menyusahkan untuk menghalaunya satu persatu, kadang-kadang terpaksa membunuhnya. Adakah Islam memberi kelonggaran untuk membunuhnya? Jika Islam membenarkan,bolehkah digunakan racun yang dapat membunuh kesemuanya termasuk di dalam sarang?
Zaim, Jasin
Jawapan:
Dalam sebuah hadith dari Ibnu Abbas ra ia berkata; "Rasulullah SAW melarang membunuh empat macam binatang, semut, lebah, burung hudhud dan burung shurad". Hadith ini menunjukkan hukum haram membunuh empat macam binatang tersebut dan memakannya.
Islam merupakan peraturan hidup untuk segenap manusia. Di dalam Islam tidak ada suatu perkara yang terlalu diberatkan dan tidak pula sautu perkara itu sengaja diringan-ringankan tanpa alasan atau sebab tertentu yang boleh meringankannya. Semut sejenis binatang yang berada dimerata-rata tempat, jika kehadirannya menimbulkan mudarat bagi diri kita dan anak-anak, seperti gigitannya dan sebagainya, maka dibolehkan mengusirnya denga penyapu, jika ia terbunuh bukanlah perkara yang kita inginkan.
Jika ia memiliki sarang, korek dan angkatlah sarangnya itu serta buanglah ke luar rumah, setelah itu tutuplah lubang tersebut agar ia tidak membuat sarang kembali. Usaha yang kita lakukan tak lebih untuk mencari keberkatan dan mengikut sunnah Rasulullah SAW. Sebab pasti ada hikmah yang terkandung dalam larangan dan suruhan yang disampaikan oleh Rasulullah SAW yang kita tidak mampu untuk memahaminya secara lebih pasti. Wallahu 'aklam.
Kembali ke atas ↑


46. Bergaduh dengan Ibu
Soalan:
Kemusykilan Kedua :
Saya telah bergaduh dengan ibu saya tentang ketidakpuasan hati saya terhadap ibu saya selama ini. Ibu saya ini boleh dikatakan mata duitan dan berat sebelah dalam membahagikan kasih-sayangnya terhadap saya (terutama saya krn saya disangkakan adalah anak emas ayah saya pada pandangan ibu saya namun saya rasa tidak krn ayah saya tidak membeza-beza anak-anaknya, semuanya sama rata saja ).
Namun ibu saya tidak puashati dan selalu membeza-bezakan saya, ibu saya lebih kasihkan kakak saya nombor-2 dan juga nombor-4 serta kakak nombor-1 tapi berlainan ayah (dulu ibu saya kahwin 2x dan mempunyai anak lama sebanyak dua orang, dan pada masa kini ayah saya adalah suami
keduanya sehingga sekarang ).
Masalahnya, setelah saya bergaduh dengan ibu saya, saya tidak menegur ibu saya sampailah kini krn saya sakit hati dengannya dan apakah status saya sekarang ini, sedangkan saya bingung yang mana satu harus saya utamakan ibu saya ataupun ayah saya, saya kasihan ibu saya tapi saya lebih kasihankan ayah saya kerana dialah tempat saya mencurahkan segala masalah saya pada masa dulu.
Malahan ketika perkahwinan saya baru-baru ini, ayah saya dan kakak tua saya serta abang sayalah yang bermatian menguruskan segala persediaan perkahwinan sehingga perkahwinan saya hampir tidak menjadi disebabkan ibu saya mata duitan. Walaupun ketika itu saya ada melihat ayah dan kakak saya menangis disebabkan hal ibu saya, saya hanya berserah kepada Allah s.w.t. saja untuk menentukan segala-galanya. Namun berkat kesabaran ayah dan kakak saya, mereka teruskan jua dan akhirnya berlangsung jua perkahwinan tersebut dan saya bersyukur ke hadrat illahi krn ayah saya sanggup melaksanakan kewajipannya walaupun hatinya pedih mengenangkan sikap ibu saya selama ini.
Maka, apa yang menjadi tanda tanya saya, adakah saya berdosa terhadap ibu saya krn situasi begini saja?
Dan saya sekarang masih lagi menjaga ayah saya yang sedang sakit krn ibu saya tidak mempedulikan ia lagi, bagi ibu saya dia menganggap yang ayah saya hanyalah sebagai beban kepadanya sedangkan ayah masih ketua rumah cuma kerana penyakitnya itu saja yang menjadi penghalang kpdnya. Dan manakah yang harus saya utamakan samada ibu, ayah ataupun suami saya . Setahu saya, sebagai anak perempuan
yang telah berkahwin maka saya bukan lagi tanggungan orang tua saya namun adakah saya dianggap derhaka terhadap ibu saya krn tidak menegurnya sedang perkara bergaduh mulut itu berlaku ketika saya telah bersuami dan suami saya juga mengetahui.
Mohon perjelasan daripada ustaz .
Insan dlm kerisauan,KK/sabah.?
Faridah, KK
Jawapan:
Menuduh ibu sendiri sebagai mata duitan merupakan dosa besar. Jika ungkapan ini dilemparkan secara langsung dihadapannya sudah pasti akan mengguriskan hati dan perasaannya. Menyakiti hati ibu merupakan kederhakaan yang paling besar setelah musyrik kepada Allah. Apatah lagi tidak menegur ibu sendiri lantaran sikapnya yang tidak sesuai dengan kita maka dosanya bertambah-tambah besar. Di dalam Islam jika ibu kita seorang yang kafir sekalipun kita tidak dibenarkan untuk menyakiti hatinya bahkan disuruh berbuat baik dengannya dan melayannya dengan cara yang baik pula.
Bertaubatlah kepada Allah dengan segera minta maaf kepada ibu anda, kerana jika ibu anda tidak redha dan tidak memaafkan anda, maka akan melenyapkan rahmat Allah terhadap anda. Jika ini yang terjadi dikhuatirkan anda akan menjadi insan yang menyesal berpanjangan. Tentang keperibadian ibu terhadap ayah anda dan terhadap diri anda sendiri biarlah menjadi tanggungannya, namun sebagai seorang anak tetap wajib melayan ibu dengan cara yang baik.
Sentiasalah berbuat baik kepada ibu meskipun ia tidak melayani sesuai dengan hati dan nurani kita. Jangan balas kekerasan sikap ibu dengan kekerasan juga tetapi balaslah kekerasannya dengan kelembutan agar hatinya menjadi lembut dan menyayangi anda. Layanlah ayah anda yang sakit itu dengan cara yang baik sesuai dengan kemampuan dan mintalah pengertian dan pertolongan suami dalam menghadapi masalah anda ini agar ia memahaminya dan tidak merasa keberatan atas sikap anda yang menyempatkan diri untuk membantu dan menolong ayah. Sebab keredhaan suami terhadap isteri sangat penting bagi memperoleh keredhaan Allah SWT.
Kembali ke atas ↑

47. Bersekongkol Menghina Nabi
Soalan:
Apakah HUKUMnya kita bersekongkol dengan orang yang menghina Nabi SAW?
Pedang, Sg Petani
Jawapan:
Menurut Imam Sayid Hawa salah satu yang membatalkan syahadah yang menyebabkan seseorang itu menjadi murtad adalah menghina Rasulullah SAW. Jadi jika kita bersekongkol dengan orang yang menghina Rasulullah SAW bererti kita telah mengikut mereka dan tergolong dalam orang-orang yang murtad. Nauzubillahi minzalik.
Kembali ke atas ↑



48. Lelaki Cenderung Menyukai Lelaki
Soalan:
Saya selalu terbaca mengenai Homoseksualiti dan pandangan masyarakat terhadap golongan ini. Saya ada seorang kawan yang tidak disangka-sangka tergolong dalam golongan ini. Beliau akhirnya menceritakan perihal beliau setelah lama memendam rasa. Beliau seperti lelaki normal. Semasa kecil, beliau agak pelembut dan beliau tidak suka dikatakan lembut, dan beliau berusaha serta berjaya megubah perwatakan dari lelaki lembut kepada lelaki normal. Beliau juga mengakui, menyukai sesama lelaki sejak dari kecil lagi. Beliau tidak minta mempunyai perasaan demikian malahan beliau berdoa setiap hari, agar suatu hari nanti, beliau tidak mempunyai perasaan terhadap sesama lelaki sebagaimana perempuan. Oleh kerana beliau agak menuruti ajaran agama, alhamdullilah beliau tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat. Beliau adalah sorang yang tidak meninggalkan solat.
Soalannya, adakah beliau akan dilaknat tuhan kerana berperasaan terhadap sesama lelaki tetapi tidak sehingga memberitahu orang yang disukai serta terlibat dalam seks luar tabii? Bagaimana untuk mengatasi masalah beliau kerana beliau juga ingin berkahwin, mempunyai anak tetapi tidak mempunyai perasaan terhadap wanita? Beliau juga tidak mahu tergolong dalam golongan kaum Nabi Lut dan mahu menjadi lelaki normal?
Shah, Azman, PJ
Jawapan:
Setiap orang telah dibekalkan oleh Allah rasa cenderung untuk menyintai orang lain ataupun menyukai orang lain. Di dalam Islam malah dianjurkan seorang lelaki menyukai lelaki lain atas dasar memperjuangkan kebenaran Islam kerana Allah. Ertinya makna suka disini bukan saja dimaksudkan untuk mengadakan hubungan diluar tabi'i tetapi lebih jauh lagi ingin menjalin tali silaturrahim dan kekeluargaan. Begitu juga bagi kaum lelaki menyukai kaum wanita merupakan fitrah insaniah yang telah Allah bekalkan dalam diri manusia. Namun jika fitrah ini disalah gunakan seperti mengadakan hubungan diluar nikah bererti mereka bukan melakukan fitrah sebaliknya melawan fitrah dan berdosa kepada Allah SWT.
Perkara yang paling penting bagi seorang lelaki yang normal adalah tidak menggunakan kenormalannya itu untuk melawan perintah Allah, seperti melakukan homoseksual ataupun perbuatan zina. Kecenderungan anda menyukai lelaki namun tidak sampai melakukan perbuatan terkutuk tidaklah tergolong berdosa, namun terjemahkanlah atau arahkan tujuan persahabtan itu kerana Allah dan kerana ingin mempererat hubungan silaturrahim. Insya Allah, persahabtan anda akan mendatangkan manfaat baik diri anda sendiri mahupun sahabat anda tersebut. Walaupun begitu jagalah rasa kesukaan itu sebatas kesukaan antara seorang sahabat dengan sahabat lainnya.
Mengenai hasrat anda ingin berkahwin dan ingin mempunyai anak laksanakanlah, insya Allah dengan cara pernikahan akan lebih cepat menyelesaikan masalah dan was-was yang sedang anda alami ketika ini. Mengenai tidak ada perasaan kecenderungan kepada wanita mungkin akan dapat selesaikan jika anda telah dijodohkan dengan seseorang wanita, baik dari pilihan orang tua, mahupun pilihan yang telah anda persetujui. Percayalah, kecenderungan dan keinganan itu akan timbul lebih kuat dan mendalam jika fokus perasaan dan hati anda telah terarah kepada calon pasangan anda tersebut.
Bayangkan saja orang zaman dahulupun tidak pernah melayan keinginannya dengan cara berfoya-foya atau bersama-sama dengan wanita demi melayan hawa nfsunya. Namun kebanyakan mereka dapat menjalankan kehidupan keluarga yang lebih baik dibandingkan dengan kehidupan orang moden ketika ini, padahal mereka hanya berbicara dan bertemu ketika malam pengantin. Seminggu pertama dari perkahwinan mereka hanya digunakan untuk suakenal namun akhirnya mereka saling sayang menyayangi. Mungkin melalui perkahwinan yang akan anda lalui akan menyelesaikan kecenderungan perasaan anda tersebut sehingga mengganggu minda dan kehidupan anda.Wallhu a'lam.
Kembali ke atas ↑



49. Menyemir Rambut
Soalan:
Untuk pengetahuan bapak, saya pemuda berumur 20 tahun, saya merasa malu kalau sudah beruban, itulah sebabnya rambut saya disapu dengan semir. Apakah hukumnya menyemir rambut tersebut?
Handy, Malang
Jawapan:
Imam Syafie Rahmatullah alaihi berkata bahawa Rasulullah SAW kadangkala menggunakan bahan pencelup dan kadangkala tidak menggunakannya. Dengan itu menyemir rambut adalah sunnah namun begitu penggunaan bahan pencelup hitam adalah haram. Sedangkan menurut ulamak Hanafi, menyemir rambut adalah mustahab dan penggunaan bahan pencelup hitam adalah makrum (dibenci oleh Allah).
Kembali ke atas ↑



50. Dihantui Dosa Silam (Zina)
Soalan:

Saya pernah berzina dengan kekasih saya dan saya telahpun bertaubat .. Alhamdullilah saya berjaya menghentikan perbuatan itu .. dan kami telah sama bertaubat dan menyesal atas pebuatan kami itu. Kekasih saya juga telah berjanji untuk mengahwini saya apa bila kami tamat belajar. Kami telah sama-sama berubah ke pada jalan yang benar, terutamanya bagi diri saya yang telah tidak ada dara ini. Saya telah pun berusaha untuk kembali ke jalan Allah dengan sembahyang 5 waktu,  puasa sunat dan selalu memanjatkan doa saya agar diampunkan dosa dan saya yakin Tuhan maha pengampun kerana saya betul-betul telah bertaubat dan saya telah pun menunaikan sembahyang taubat untuk lebih yakin.
Masalahnya sekarang kadangkala saya akan teringat apa yang telah saya buat dengan kekasih saya di masa yang lepas (perbuatan seks) walaupun bukan dengan keinginan saya. Saya telah cuba untuk melupakan perkara itu semua tapi tak boleh. Masalah ini lebih ketara ketika saya hampir-hampir datang haid. Saya akan teringat kepada perbuatan saya. Kalau nak dikatakan nafsu, tidak bagi saya kerana saya tidak mau mengingatkan ia sebab saya tahu itu adalah dosa, tapi ia datang dengan sendiri. Kadang-kadang di waktu saya sedang menunaikan solat dan ini salah satu punca saya kurang khusyuk dalam menunaikan solat. Kadang-kadang saya rasa risau dengan diri saya, adakah ini juga akan di alami oleh orang yang telah berkahwin ? Maksud saya mereka akan terbayang-bayang pebuatan itu walaupun di luar waktunya. Saya harap sekiranya ustaz ada jalan penyelesaian harap bantulah saya kerana saya betul-betul ingin melupakan perkara itu. Dan kalau boleh saya ingin lebih kyusuk dalam solat saya . Yang terakhir apakah hukumnya sekiranya teringatkan pebuatan seks itu?
Aini, Sabah
Jawapan:
Melakukan zina merupakan dosa besar, kerana banyak mengandungi berbagai kemudaratan bagi orang yang melakukannya. Di dalam perbuatan zina merupakan sebab pintu tersalurnya penyakit-penyakit yang sangat merbahaya. Zina juga menghancurkan institusi rumahtangga dan merosakkan nasab keturunan.Di dalam Al Quran secara tegas menyatakan larangan melakukan perbuatan yang terkutuk ini. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan merupakan jalan yang buruk". (Al Israa' ayat 32)
Perbuatan zina juga mengganggu ketenteraman jiwa, kerana fitrah insaniah seseorang menginginkan kebenaran sentiasa bersamanya, namun dengan melakukan zina fitrah tersebut telah tercalar yang menyebabkan lahirkan keresahan tersebut. Itulah sebabnya perbuatan ini sangat-sangat dilarang melakukannya. Jika telah terlanjur melakukan perbuatan dosa besar ini, segeralah bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuhah) iaitu taubat yang tidak akan mengulangi perbuatan terkutuk tersebut. Cara yang paling terbaik untuk mengatasi keresahan jiwa ini adalah dengan segera menikah, kerana di dalam pernikahan tersimpan kedamaian dan keharmonian.
Jika anda selalu dibayang-bayangi oleh peristiwa silam, itu merupakan perkara biasa dan lumrah dialami oleh setiap orang dan membuktikan bahawa anda tergolong gadis yang normal. Walaupun begitu jangan jadikan kenormalan atau fitrah tersebut membenarkan perkara yang terkutuk dilakukan. Jika pernikahan tidak dapat dilakukan dengan kadar yang segera disebabkan faktor belajar, orang tua dan sebagainya, usahakanlah mengisi masa kosong anda dengan aktiviti-aktiviti yang dapat membawa fikiran dan minda anda ikut serta. Umpamanya, membaca, menulis artikel dan sebagainya, semuanya ini sangat membantu untuk mengalihkan perhatian anda daripada mengingati perkara yang merangsang nafsu anda.
Mengingati atau teringat perbuatan seks (zina) ketika solat mengganggu kekhusyukan solat. Jika ia hanya sekedar lintasan yang bukan dengan sengaja mendatangkannya, maka solat tetap sah,cuma kekhusyukan solat tersebut terganggu. Agar kehidupan anda merasa tenteram dan tidak dihantui oleh keresahan dan kebimbangan, maka perbanyaklah membaca Al Quran dan yakinlah dengan keampunan Allah, insya Allah gangguan jiwa tersebut akan dapat dihindari. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑



51. Perbuatan Menyimpan Tulang Manusia
Soalan:

Dahulu saya seorang yang jahat sekarang saya telah insaf dan bertaubat hanya satu soalan yang ingin saya bertanya. Sekarang saya masih menyimpan saki baki tulang manusia bukan Islam. Apakah yang harus saya lakukan pada tulang itu dan bagaimanakah cara saya untuk menebus dosa itu?
Shah, Utara
Jawapan:
Tulang manusia yang telah meninggal dunia, layaknya adalah ditanam bukan disimpan di dalam rumah atau digunakan untuk perkara yang tidak baik. Jika anda telah insaf dari melakukan pekerjaan yang sia-sia dan disukai syaitan itu, maka tanamlah tulang tersebut di tempat anda mengambilnya dahulu. Setelah itu bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya.
Taubat nasuha atau taubat yang sebenarnya itu adalah meninggalkan segala yang tercela dan terlarang serta berazam tidak akan mengulanginya kembali. Tebuslah dosa dengan banyak beribadah kepada Allah, berbuat baik sesama manusia, menjalinkan silaturrahim, serta banyak mengerjakan amalan yang diredhai Allah disamping memperbanyak bermunajat atau berdoa kepada-Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat dan akan menerima taubat hamba-Nya yang betul-betul ikhlas kepadaNya.
Kembali ke atas ↑



52. Solat Namun Bertugas di Tempat Maksiat
Soalan:
Saya selalu melakukan kerja yang dilarang oleh Islam. Tetapi tidaklah sampai ke tahap meminum arak, berzina. Saya berkerja di kelab hiburan yang pergaulannya bebas sekali. Tetapi saya tidak pernah meninggalkan sembahyang, walau di waktu berkerja. Kawan-kawan saya kata tak guna saya bersembahyang. Perkara ini sudah berlarutan beberapa tahun. Sembahyang saya tak diterima oleh Allah. Tolong huraikan sejelasnya dan bagaimana status sembahyang ynag lepas?
Shahrizan, USA
Jawapan:
Solat orang yang khusyuk mampu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar, namun jika ia solat sedangkan pada masa yang sama melakukan pekerjaan yang dilarang oleh agama, ini menunjukkan bahawa solat yang dikerjakan tidak meninggalkan kesan dalam kehidupan. Dari segi pelaksanaannya solat yang dilengkapkan dengan syarat dan rukun maka hukumnya sah, namun dari segi nilai hakikat solat itu yang tidak mencapai tujuannya.
Bekerja di tempat maksiat seperti menyediakan minuman keras sama juga dosanya dengan orang meminumnya. Jadi jika kita sedar bahawa pekerjaan tersebut bertentangan dengan hukum syarak maka segeralah bertaubat dan carilah kerja yang sesuai dengan fitrah insaniah kita sebagai seorang muslim. Walahu a'lam.
Kembali ke atas ↑



53. Belanja Kuliah dari Duit Ekor
Soalan:

saya adalah pelajar salah sebuah universiti tempatan.saya berasal daripada keluarga yang sederhana. Kadangkala susah dan kadangkala senang. Saya mempunyai enam orang adik beradik.dan saya anak kedua. Ayah saya terpaksa menanggung kami tiga adik beradik yang menuntut di semenanjung m'sia. sememangnya sukar bagi ayah saya tetapi ayah tetap berusaha. Gaji ayah saya cuma RM 480 sebulan. dengan pendapatan tersebut hanya Allah saja yang mengetahui betapa sukarnya untuk menguruskan kehidupan dengan keadaan sedemikian.
Persoalan saya,saya binggung kerana keluarga saya suka bermain nombor ekor. Saya sentiasa menasihati mereka tetapi mereka tidak mengendahkan atas alasan hidup yang susah. Semenjak saya mengenali Islam di universiti saya sering menasihati serta mengajar adik2 saya tetapi mereka tidak mengendahkan malah mereka mengatakan saya ini sibuk dan berlagak macam ustazah. Sekarang pun saya sudah mengenakan tudung labuh. Alhamdullillah ini semua adalah hidayah daripada Allah. Saya benar2 tertekan kerana saya pernah mengatakan supaya jangan sekali2 mengirimkan wang hasil daripada hadiah nombor ekor.
Pada pengajian bulan yang lalu keluarga saya telah menghantarkan wang sebanyak RM200 kepada saya kerana saya benar2 terdesak kerana sememangnya saya tidak mendapat biasiswa atau pinjaman. Keluarga saya tidak memberitahu perkara sebenar sehingga suatu hari saya marah mereka membeli nombor ekor dan mereka mengatakan yang saya ini sama saja kerana wang yang mereka hantar pun hasil daripada
wang nombor ekor tersebut. Saya rasa sedih sangat. prestasi pembelajaran saya merosot. Dulu hidup saya penuh dengan melakukan perkara maksiat dan memakan benda yang haram sehinggalah saya memasuki universiti dan saya mempelajari dengan mendalami ilmu Islam dan saya benar-benar bertaubat. Bukan kehendak saya dilahirkan untuk memakan dan melakukan kemaksiatan ini. Tetapi segalanya adalah
qada dan qadar daripada Allah. Saya sering menangisi dan memohon kepada Allah mengampuni saya dan keluarga saya. saya benar-benar tertekan.
Saya amat berharap agar ustaz dapat membantu saya kerana selain ini banyak lagi masalah lain. Ustaz pun faham orang2 sarawak ini lemah pegangan agamanya. Saya amat berharap agar ustaz dapat memberikan nasihat berhubung masalah diatas?
Hanie, Bintulu
Jawapan:
Beli nombor ekor adalah perbuatan yang dilarang dalam agama kerana sama dengan berjudi. Jika kita telah mengetahui dengan pasti dan bahkan telah diberitahu tentang kedudukan wang tersebut, maka jelaslah menggunakan wang ekor tersebut haram hukumnya dan kita tergolong bersubhat dengan pekerjaan yang tercela tersebut.
Sebagai seorang anak yang telah memperoleh petunjuk daripada Allah dan telah mengetahui seluk beluk tentang Islam, maka  seharusnya memberi nasihat kepada ahli keluarga sekadar yang termampu. Jika kita telah menjalankan amar makruf nahi mungkar dalam keluarga kita sendiri, setelah itu kita serahkan segalanya kepada Allah SWT. Berdoalah agar seluruh ahli keluarga kembali ke jalan yang benar dan meninggalkan pekerjaan yang sia-sia tersebut.
Jika anda telah termakan rezeki yang diperolehi daripada hasil judi tersebut dengan tidak sengaja atau tidak mengetahui sebelumnya maka hukumnya tidak berdosa. Tapi setelah ini adalah lebih baik berhati-hati dan berusahalah untuk mencari rezeki yang halal agar hati dan perasaan tidak tertutup dalam menerima pelajaran, kebenaran dan perkara-perkara lain. Sebenarnya dalam Islam tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya bagi yang lelaki setelah mereka usia baligh dan bagi yang wanita setelah mereka berumahtangga. Jadi jika kita merasa mampu untuk mencari rezeki sendiri secara halal, maka janganlah terlalu bergantung kepada ibu bapa, apatah lagi hasil yang diperolehi mereka tidak halal.
Kembali ke atas ↑



54. Melakukan Dosa dan Bertaubat Berkali-kali
Soalan:

Apabila seseorang itu membuat dosa lalu ia bertaubat. Selepas itu ia melakukan dosa lagi dan ia bertaubat semula. Tetapi selepas bertaubat ia melakukan dosa lagi dan ia bertaubat semula. Adakah taubatnya diterima atau tidak?
Khairul Fahmi, Labuan
Jawapan:
Tanda-tanda kesempurnaan taubat harus meninggalkan segala dosa dan menghilangkan pengaruhnya terhadap jiwa sebagaimana sinar matahari menghapus kegelapan malam. Sesungguhnya orang yang bertaubat dari suatu dosa dan tetap mengerjakan maksiat yang lain, maka taubatnya belum sempurna.
Bertekad dalam bertaubat hingga akhir hayatnya, untuk mengakhiri dosa-dosa. Berjanji tidak mengulangi perbuatannya yang telah lalu sebagaimana susu tidak akan kembali ke sumber asalnya. Kemudian memulai dengan penyesalan dan mengakhiri dengan perbuatan amal soleh dan ketaatan. Membersihkan hatinya dari pengaruh maksiat dan berjanji tidak mengulangi perbuatan dosa selama-lamanya.
Tanda kesempurnaan taubat lagi adalah melakukan taubat kerana Allah SWT, bukan untuk menjaga kesihatan, harta benda atau ketamakannya untuk menikmati isi dunia, takut akan hukuman seseorang atau undang-undang, takut tidak ada orang yang membantu untuk berbuat maksiat. Apabila dia ingin bertaubat dari seluruh dosanya, maka seluruh anggota badannya harus bertaubat.
Seseorang yang telah sepenuh hati bertaubat, maka semestinya dia tidak kembali berbuat dosa. Jika kembali, maka hal tersebut telah membatalkan taubatnya, sebab syarat sahnya taubat adalah dengan terus menerus melakukannya seumur hidup. Malakukan perkara-perkara yang membatalkan dan menyalahi taubat dapat mengurangi kesempurnaan dan manfaatnya.
Seorang hamba yang telah bertaubat kemudian kembali mengulangi perbuatannya lagi, maka dosa yang pertama yang telah ditaubatinya terhapus walaupun taubatnya batal sebab dia telah bertaubat dari dosa hingga seolah-olah dia tidak melakukannya atau belum pernah melakukannya. Orang yang mengulangi perbuatan dosa maka dia berdosa atas perbuatan berikutnya bukan yang pertama, kerana taubat terdahulu adalah sah, sedang mengulangi perbuatan dosa akan mendapat seksa. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑


55. Membuat Penutup Botol Minuman Keras
Soalan:

Saya seorang penyelia dalam pengeluaran di sebuah syarikat. Kami mengeluarkan barangan pemesinan seperti komponen yang digunakan dalam industri kereta. Kami berada dalam dilema ketika ini. Kami berjaya mendapat order untuk membuat barangan logam yang dimesin untuk dijadikan penutup botol. Pada mulanya kami tidak tahu tujuan penutup botol ini. Berdasarkan kepada ini, maka kami bersetuju membuat barangan ini untuk dijual kepada pembuat sebenar yang menjadi pengedar untuk dipasarkan ke luar negeri. Masalah yang kami hadapi adalah setelah kami selidiki, penutup botol yang kami buat ini adalah sebenarnya digunakan untuk menjadi penutup botol wain atau whisky. Bagaimanakah caranya kami menangani masalah ini? Apakah hukumnya dan adakah kami bersubahat dalam hal ini sedangkan kami hanya mengikut perintah pegawai atasan saja?
Roslan, Bukit Jalil
Jawapan:
Mengikut kaedah syarak, tiap-tiap benda yang haram dimakan atau diminum, haramlah dibuat, diperniagakan dan di hadiahkan walaupun kepada orang kafir. Dalam pengharaman khamar ini dia bukan saja dihadapkan kepada peminumnya, tetapi meliputi semua orang yang terlibat dengan proses pembikinannya dan penjualannya. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Nabi SAW melaknat pada khamar sepulun macam, yang memeras, yang minta diperaskan, yang meminumnya, yang membawanya, yang minta dihantarkan, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang memakan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan." (Riwayat Tirmizi dan ibnu Majah)
Jika kita telah mengetahui kegunaan barang yang kita buat itu untuk perkara yang dilarang maka kita wajib meninggalkannya dan jika terus dilaksanakan maka kita telah bersubhat dengan perkara yang haram dan hukumnya berdosa. Sebagai seorang pekerja berusahalah untuk mencari pekerjaan yang lain yang jelas kehalalannya dan tidak membiarkan diri bersubhat dengan perkara yang subhat, kerana rezeki yang kita dan keluarga kita makan nanti akan menjadi darah daging. Bayangkan jika kita merasa senang dengan perkara yang subhat ini sudah tentu kita akan menyediakan darah daging kita menjadi sesuatu yang tidak diredhai Allah SWT.
Walaupun begitu jika kita merasa sukar mencari pekerjaan yang lain disebabkan keadaan tertentu, maka boleh bekerja di tempat tersebut dengan syarat kita tidak redha dengan subhat yang dijalankan syarikat tersebut. Disamping itu ada niat di dalam hati untuk merubah atau menukar jenis perniagaan tersebut dengan perkara yang halal dan seandainya menemukan pekerjaan yang lebih baik lagi halal segeralah berpindah kepada yang kebaikan tersebut. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑



56. Perasaan Kasih Sayang Dengan Sejenis 
Soalan:

Saya adalah seorang pelajar IPT di Pantai Timur. Oleh kerana saya tinggal di rumah sewa, maka saya amat baik dengan jiran dan rapat dengan anak-anak mereka (lelaki). Masalah saya Ustaz, adakah perbuatan baik saya terhadap kanak-kanak lelaki itu (sekitar 7 - 8 tahun) dianggap sebagai menyukai kaum sejenis. Memang saya akui kadang-kadang saya agak terangsang bila bermain dan bergurau dengan mereka. Tetapi itu tidak menjebakkan saya kepada perkara yang tidak baik dengan kanak-kanak itu. Adakah saya dianggap homoseks ?
Musykil, Kuala Terengganu
Jawapan:
Perasaan kasih sayang antara orang dewasa dan kanak-kanak merupakan fitrah dan sewajarnya bagi orang dewasa menyayangi mereka. Bahkan Rasulullah SAW menampakkan kasih sayang baginda terhadap cucu baginda Hasan dan Husein yang masih kecil dengan mencium dan menggendungnya. Jadi tidak timbullah perasaan lain-lain yang menyebabkan perkara yang tidak baik. Jika anda tergolong remaja yang mudah terangsang maka itupun menunjukkan bahawa anda tergolong lelaki yang normal.
Namun jika rangsangan itu menyebabkan tertariknya anda dengan kaum sejenis, maka barulah anda mengalami gangguan kejiwaan (cenderung kepada homoseks). Seandainya kelainan ini dapat dikesan lebih awal, maka hindarilah daripada bermain dan berkawan terlalu rapat dengan kawan sejenis, serta ingatlah bahawa anda ada kelemahan yang perlu diatasi sehingga anda menjadi insan yang berhati-hati.
Jika rangsangan itu hanya bersifat kebetulan dan tidak sentiasa demikian maka itu bukanlah menunjukkan bahawa anda cenderung kepada homoseks tetapi hanya membuktikan kenormalan remaja yang baru menuju ke alam dewasa. Walaupun begitu banyaklah beribadah dan berdoa kepada Allah SWT agar tidak tergolong insan yang terjerumus kepada perbuatan yang tercela tersebut. Insya Allah.
Kembali ke atas ↑



57. Membuka Aib Orang lain
Soalan:
Adakah membuka aib seseorang dengan menyebut nama pembuatnya bagi tujuan pengajaran kepada anak murid diharuskan?
Azizi, Pasir Mas
Jawapan:
Membuka aib iaitu menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain agar mereka membenci atau memusuhinya. Sejak awal lagi membuka aib ini dapat digunakan seseorang untuk menjatuhkan lawannya. Didalam perbuatan ini lebih banyak berisikan kebohongan dan fitnah. Oleh kerana fitnah dan kebohongan merupakan dua sifat yang dilarang oleh Islam, maka membuka aib pun amat dilarang. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah lagi hina yang banyak mencela yang kian kemari menghaburkan fitnah". (Al Qalam ayat 10 dan 11) Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim dijelaskan maksudnya: "Tidak akan masuk syurga orang yang membuka aib orang lain".
Walaupun begitu di dalam Al Quran telah memberikan perbandingan dan gambaran yang jelas tentang keperibadian seseorang. Maka adalah lebih baik jika ingin membuat perbadingan tentang keperibadian seseorang yang buruk atau pun baik dengan merujuk ke dalam Al Quran. Jika ingin mengambil contoh tentang pemimpin yang zalim, maka Firaun adalah pemimpin tersebut. Jika ingin mengambil contoh tentang jutawan yang bakhil maka ceritakanlah tentang riwayat Qarun. Jika ingin mengambil contoh tentang orang yang suka menentang kebenaran maka ceritakanlah riwayat hidup Abu Lahab, Abu Jahal, Namrud dan lain banyak lagi yang lain.
Jadi hindarilah membuka aib orang lain dalam mengajarkan sesuatu yang mulia kepada murid. Tetapi gunakanlah pendekatan umum iaitu cukup dengan menceritakan keperibadian yang tercela tersebut tanpa menyebut nama orangnya. Melainkan jika nama-nama tersebut memang secara jelas disebutkan di dalam Al Quran tentang keburukan dan kederhakaannya maka dibolehkan menyebut keburukan dan keingkaran mereka. Wallahu A'lam.
Kembali ke atas ↑



58. Balasan Dosa-dosa Besar
Soalan:
Di sini saya ingin mengemukakan soalan berkenaan balasan-balasan di akhirat kelak di atas perlakuan-perlakuan tersebut :
a) Meninggalkan sembahyang secara sengaja
b) Meninggalkan puasa secara sengaja
c) Tidak menunaikan zakat
d) Berzina
e) Menipu orang
f) Menganiaya orang
g) Minum arak
h) Membuat sumpah palsu
Diharap ustaz dapat menjawab soalan-soalan berikut secara terperinci kerana saya benar-benar ingin mengetahui balasan-balasan yg akan diterima di akhirat kelak jika melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.Sekian, terima kasih.
Nurul, Selangor
Jawapan:
Semua dosa-dosa diatas tergolong dalam dosa-dosa besar. Jika dosa-dosa ini dilakukan seseorang  kemudian meninggal dunia ketika belum sempat bertaubat, maka balasan dari dosa ini adalah masuk ke dalam api neraka. Jika mereka sempat bertaubat maka insya Allah taubatnya akan diterima oleh Allah SWT. Sebab Allah SWT telah berjanji di dalam Al Quran akan menerima taubat hambanya yang benar-benar bertaubat (taubat nasuha).
1. Dalil balasan dosa meninggal solat.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Apakah yang memasukkan kamu ke dalam neraka Saqar. Mereka menjawab: "Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat".
(Al Mudatsir, 42-43)
2. Dalil balasan dosa meninggal puasa dengan sengaja.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertakwa kepadanya. Hanya dalam masa beberapa hari saja".
(Al Baqarah 183, 184)
3. Dalil balasan tidak membayar zakat.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan orang -orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkan pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka bahawa mereka akan mendapat seksa yang pedih".
(At Taubah 34)
4.Dalil balasan dosa berzina
"Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan alasan yang benar dan tidak berzina. Barangsaipa melakukan yang demikian itu, nescaya dia mendapat pembalasan dosanya".
(Al Furqan 68)
5. Dalil balasan menipu orang lain.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah sedangkan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk bersolat mereka berdiri dengan malas, mereka bermaksud riyak dengan solat dihadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut nama Allah kecuali sedikit sekali".
(An Nisa, 142)

Firman Allah SWT maksudnya:
"Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah dari neraka, dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka".
(An Nisa, 145)
6. Dalil balasan dosa Menganiaya orang.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminah tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata".
(al Ahzab,58)
7. Dalil Balasan Meminum Arak.
Firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya khamar, judi, patung berhala dan undian nasib itu adalah kotoran dari perbuatan syaitan, maka jauhilah dia supaya kamu beroleh kejayaan. Sesungguhnya syaitan itu mahu mengadakan permusuhan dan perkelahian pada khamar dan judi dan menghalang kamu dari mengingati Allah dan solat tidaklah kamu mahu berhenti ?". (Al maidah ayat, 90-91)
8. Dalil balasan Membuat Sumpah Palsu.
Firman Allah SWT maksudnya:
"Dan janganlah kamu jadikan sumpah-sumpah kamu sebagai alat penipu di antara kamu yang menyebabkan tergelincir kakimu sesudah kukuh tegaknya dan kamu rasakan kemelaratan di dunia kerana kamu menghalangi manusia dari jalan Allah dan untuk kamu azab yang besar". (An Nahl ayat 94)

10 PERKARA YANG MEMBATALKAN ISLAM

Posted by on 20 Oktober 2011
10 PERKARA YANG MEMBATALKAN ISLAM.
Saudara muslim! Ketahuilah, bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh  membatalkan Islam seseorang. Antara yang paling banyak terjadi ialah sepuluh perkara. Maka hindarilah diri anda daripadanya.
Pertama:
Syirik iaitu mempersekutukan Allah dalam ibadat. Firman Allah swt:
إِنَّهُ ُ مَنْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ وَمَأْوَاهُ النَّارُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ } (المائدة: 72)
“Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah, nescaya Allah, mengharamkan Syurga baginya dan tempat tinggalnya (kelak) adalah neraka, dan tiada penolong bagi orang-orang yang zalim”. (Al-Maidah: 72)
Antara perbuatan syirik tersebut ialah: Meminta doa dan pertolongan dari orang-orang  yang telah mati, bernazar dan  menyembelih korban kepada mereka.
Kedua:
Menjadikan sesuatu sebagai perantara di antara dirinya dengan Allah, meminta doa dan syafaat serta berserah diri (tawakkal) kepada perantara itu. Orang yang melakukan perkara tersebut, menurut kesepakatan (ijma’)  ulama’ adalah kafir.
Ketiga:
Tidak mengkafirkan orang musyrik atau ragu-ragu terhadap kekufuran mereka atau membenarkan fahaman mereka. Dengan melakukan demikian,  ia telah kafir.
Keempat:
Berkeyakinan bahawa petunjuk  yang lain daripada petunjuk Nabi saw adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi saw lebih baik seperti mereka yang mengutamakan peraturan thaghut (peraturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang dari hukum Allah) dan mengenepikan hukum Rasulullah saw. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.
Sebagai contoh:
a-Berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam;
  • atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan di abad kedua puluh satu.
·        atau Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin.
·        atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.
b-Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah swt dalam perkara hukum hudud seperti memotong tangan pencuri dan merejam penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.
c- Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundangan yang lain daripada syariat yang diturunkan oleh Allah swt samada dalam hukum mu’amalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam, kerana dengan sedemikian ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah menurut ijma’ ulama.
Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah swt dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain dari syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam (ijma’).
Kelima:
Membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw sebagai syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian, ia telah menjadi kafir, kerana firman Allah:
ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَرِهُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأَحْبَطَ أَعْمَالَهُمْ  }
“Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan oleh Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka”. (Muhammad: 9)
 Keenam:
Mempersendakan Allah swt atau kitab-Nya atau Rasulullah saw atau sesuatu daripada ajaran agama, maka ia telah menjadi kafir, kerana firman Allah  swt:
{ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآَيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ، لا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ } (التوبة: 65-66)
 “Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu sekelian memperolok-olok main? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman”. (At-Taubah: 65-66)
Ketujuh:
Sihir, di antaranya ilmu guna-guna (sarf), iaitu mengubah kecintaan seorang suami terhadap isterinya menjadi benci dan ilmu pengasih, iaitu menjadikan seseorang mencintai sesuatu yang tidak disenanginya dengan cara-cara syaitan. Mereka yang mengamalkan sihir atau rela dengannya adalah kafir kerana firman Allah swt:
{ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنْ أَحَدٍ حَتَّى يَقُولا إِنَّمَا نَحْنُ فِتْنَةٌ فَلا تَكْفُرْ } (البقرة: 102)
“Sedangkan kedua-dua malaikat itu tidak mengajarkan (suatu sihir) kepada sesiapa pun sebelum mengatakan: sesungguhnya kami hanya cubaan bagimu, oleh itu janganlah kamu menjadi kafir”. (Al-Baqarah: 102)
Kelapan:
Membantu dan menolong orang musyrikin untuk memusuhi kaum muslimin kerana firman Allah swt:
{ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ  }  (المائدة: 51)
“Dan barangsiapa di antara kamu yang mengambil mereka (Yahudi dan Nasrani) menjadi pemimpin, maka dia termasuk di dalam golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. (Al-Maidah: 51)
Kesembilan:
Berkeyakinan bahawa sesetengah individu diperbolehkan untuk tidak mengikuti syariat Muhammad saw. Orang yang berkeyakinan sedemikian adalah kafir kerana firman Allah swt:
{ وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الإِسْلامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الآَخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ  } (آل عمران: 85)
“Dan sesiapa yang menghendaki selain Islam sebagai agama, maka tidak akan diterima agama itu darinya, dan di akhirat ia tergolong di kalangan orang-orang yang rugi”. (Aali Imran: 85).
Kesepuluh:
Berpaling daripada agama Allah swt atau perkara-perkara yang menjadi syarat sah sebagai muslim tanpa mempelajarinya dan tanpa melaksanakan ajarannya. Firman Allah swt:
{ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ ذُكِّرَ بِآَيَاتِ رَبِّهِ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَا إِنَّا مِنَ الْمُجْرِمِينَ مُنْتَقِمُونَ } (السجدة: 22)
“Tiada yang lebih zalim daripada orang-orang yang telah mendapat peringatan melalui ayat-ayat Tuhannya kemudian ia berpaling daripadanya. Sesungguhnya kami akan menimpakan balasan kepada orang-orang yang berdosa”. (As-Sajadah: 22)
Firman Allah swt:
{ وَالَّذِينَ كَفَرُوا عَمَّا أُنْذِرُوا مُعْرِضُونَ  } (الأحقاف: 3)
 “Dan orang-orang yang kafir berpaling daripada perkara yang diperingatkan kepada mereka”. (Al-Ahqaf: 3).
Dalam perkara yang membatalkan Islam ini, hukumnya tidak berbeza sama ada secara bergurau atau bersungguh-sungguh, sengaja melakukannya atau takut, kecuali apabila diancam dan dipaksa.
Semoga Allah melindungi kita semua daripada melakukan perbuatan yang mendatangkan kemurkaan Allah swt dan seksaan yang sangat pedih.
Dari Buku: Panduan Untuk Jemaah Haji Dan Umrah Serta Pengunjung Masjid Rasul Saw.
20 Oktober 2011 – 22 Zulqa’dah 1432H.

Hukum Meninggalkan Solat Wajib


Riwayat: 
Riwayat al-Bukhari
Kategori: 
Ibadah
Hadith: 
Sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: Sesiapa yang lupa akan sesuatu solat, maka hendaklah ia mengerjakan solat itu jika ia telah mengingatinya, tiada tebusan lain untuk solat itu kecuali solat yang dilupakannya, sesuai dengan firman Allah yang maksudnya: Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.
Huraian Hadith: 
1. Solat merupakan tanda pertalian terus seorang hamba dengan Allah. Islam memfardhukan ke atas umatnya melaksanakan solat wajib sebanyak lima waktu sehari semalam.
2. Solat merupakan tiang agama.Oleh itu sesiapa yang mengerjakannya bermakna ia telah menegakkan agamanya. Manakala orang yang meninggalkannya bermakna ia telah meruntuhkan agamanya.
3. Bagi orang yang meninggalkan solat disebabkan malas atau sengaja hukumnya adalah fasik dan telah melakukan dosa besar iaitu mengabaikan salah satu daripada Rukun Islam.
4. Sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam bahawa solat wajib mesti dilakukan dalam apa keadaan sekalipun, maka solat wajib yang ditinggalkan dianggap sebagai hutang yang mesti dilangsaikan sebagaimana resminya setiap hutang itu wajib dibayar. Maka apabila sedar tentang kesilapan masa lalu, seorang muslim itu hendaklah segera bertaubat dan mengqadha' solatnya yang tertinggal itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan