Isnin, 30 September 2013

SOLAT ITU WAJIB TAK KIRA...DALAM PENJARA ATAU LUAR PENJARA...PEMIMPIN KECIL ATAU BESAR...KAYA RAYA ATAU PAPA KEDANA... KERJA ATAU PENGANGGUR...WANITA MUDA ATAU WANITA TUA...DEKAT MATI ATAU LAMBAT LAGI MATI

P Pinang sudah buat, Adnan bila lagi – Guan Eng

Mohd Sabri Said, 30 Sep 2013
GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengulangi cabaran kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaacob untuk memberikan peruntukan kepada pembangkang.

Ini kerana Adnan pernah menegaskan sebelum ini bahawa Kerajaan BN Pahang akan memberikan peruntukan pada pembangkang negeri itu sekiranya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang terlebih dahulu melaksanakanya.

Lim berkata, tetapi sampai sekarang Adnan tidak mengeluarkan kenyataan untuk mengikut langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebaliknya membisu sahaja.

"Adakah Datuk Seri Adnan Yaacob menjadi seorang yang amanah yang memenuhi janjinya untuk memberikan peruntukan kepada pembangkang di sana atau masih dengan perangai Umno yang memecah belah, menyemai kebencian rakyat dengan menafikan hak pengundi Pahang?" tanya beliau.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, masanya telah tiba untuk mengamalkan politik baru yang mengangkat nilai kebersamaan dengan menghormati pilihan pengundi dan bukanya politik lama yang mengabaikan dan menghukum pengundi yang memilih pembangkang.

“Inilah perbezaan antara perdamaian nasional Pakatan Rakyat berbanding dengan Barisan Nasional terhadap 51 peratus pengundi yang memilih Pakatan Rakyat sewaktu Pilihan raya Umum ke-13 lalu,” ujarnya.

Kota Darulnaim 'zon menjaga aurat'

Salmah Mat Husain, 30 Sep 2013
 
KOTA BHARU: Menyedari menutup aurat yang wajib dijaga bukan hanya kaum hawa sahaja sebaliknya kaum adam juga, Kerajaan Kelantan telah melancarkan ‘Kota Darulnaim sebagai zon menjaga aurat’ untuk semua kakitangannya.

Pengerusi jawatankuaa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Mumtaz Md Nawi, berkata memandangkan kakitangan kerajaan negeri di bawah tanggungjawab pimpinannya, mereka wajib mematuhi arahan itu bagi menyelamatkan antara keduanya di akhirat nanti.

“Memang keimanan bukan dapat dinilai dari pakaian seseorang tetapi orang yang beriman akan terzahir keimanannya melalui pakaian yang menutup aurat.

“Apa yang ditekankan oleh kerajaan negeri dalam bab menutup aurat hanyalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam untuk penganutnya,” ujarnya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap melancarkan zon menjaga aurat dalam kawasan kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurutnya, dalam tempoh 20 tahun pentadbiran Kerajaan Kelantan yang menekan amalan menutup aurat pada kaum hawa, kini kerajaan negeri menekankan perkara yang sama pada kaum adam.

Jelasnya, memang kakitangan lelaki Kota Darulnaim telah mematuhi piawaian dalam menjaga aurat dan mengikut etika berpakaian sebagai kakitangan awam.

Bagaimanapun, tambahnya ketika bersukan mereka gagal mematuhi tanggungjawab itu.

“Kita kena ingat, etika berpakaian bukan sahaja wajib dipatuhi pekeliling yang telah diedarkan oleh kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/1993, sebaliknya pekeliling Allah yang terkandung dalam al-Quran wajib dipatuhi,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab terhadap anggota keluarganya, begitu juga kerajaan mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap kakitangannya.

Semoga dengan pelancaran ini, katanya kakitangan kerajaan negeri sama ada lelaki atau wanita memahami konsep menutup aurat sebenar menurut syariat.

Peniaga Melayu/Bumiputera Sarawak perlu pembelaan

Harakahdaily, 30 Sep 2013


KUALA LUMPUR: Sepatutnya pihak Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Miri menyediakan tapak sementara atau membina bangunan baru sebelum meroboh bangunan lama agar para peniaga dapat meneruskan perniagaan mereka sementara menunggu bangunan baru siap.

“Mereka juga tidak pasti berapa lama bangunan baru itu siap kerana mereka tidak diberitahu oleh pihak yang berkenaan,” kata Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee dalam satu kenyataan.

Menurutnya yang Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, antara kawasan yang bakal diroboh adalah gerai makan dan 'Tamu' yang sederet dengan bangunan SEDC.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Bangunan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang telah mencecah suku abad dan tidak selamat digunakan akan diroboh dan  akan dibangunkan semula untuk memberi keselesaan kepada peniaga menjalankan urusan niaga di situ.

Pihak SEDC Miri telah memberi notis kepada para peniaga untuk mengosongkan premis berkenaan berikutan ianya tidak selamat dan boleh mengancam keselamatan mereka sekiranya mereka meneruskan perniagaan dalam bangunan tersebut.

Menurut para peniaga yang tidak mahu namanya disiarkan mengatakan, dahulu mereka dijanjikan dengan tapak sementara dengan sewa yang berpatutan di sekitar kawasan bangunan 'Center Point' tetapi sekarang mereka tidak dibenarkan berniaga di situ dan dipaksa berpindah ke kawasan lain.

Tempat sewa baru sekarang terlalu mahal dan bagi mereka yang berpendapatan kecil sukar untuk berniaga di kawasan baru setelah mereka diarahkan berpindah oleh pihak SEDC.

Sepatutnya pihak SEDC menyediakan tapak sementara atau membina bangunan baru sebelum meroboh bangunan lama tersebut agar mereka dapat meneruskan perniagaan mereka sementara menunggu bangunan baru siap.

Mereka juga tidak pasti berapa lama bangunan baru itu siap kerana mereka tidak diberitahu oleh pihak yang berkenaan.

Antara kawasan yang bakal diroboh adalah gerai makan dan 'Tamu' yang sederet dengan bangunan SEDC.

Walaupun tujuan mereka hendak membina bangunan baru ini suatu kebaikan untuk para peniaga tetapi cara mereka melayan para peniaga di situ agak keterlaluan tanpa memikir masa depan para peniaga yang sukar untuk mencari tapak sementara dengan sewa yang berpatutan.

Di sinilah satu-satunya tempat para peniaga Melayu/Bumiputera berniaga dalam kawasan bandaraya Miri, sementara menunggu bangunan baru siap ada diantara mereka terpaksa berpindah ke tempat yang tidak begitu strategik untuk berniaga.

Mereka memohon kepada pihak SEDC dan pihak yang berkenaan agar menyediakan tapak sementara dengan sewa yang berpatutan untuk mereka meneruskan perniagaan di kawasan itu.

Bagaimana hendak memperkasakan ekonomi Bumiputera jika masalah peniaga Melayu/Bumiputera tidak dibela dan terus terpinggir dari arus pembangunan terutama sekali para peniaga kecil yang berniaga dalam kawasan bandaraya.

Kita mengesa pihak SEDC dan mereka yang berkenaan perlu bersikap toleransi dengan para peniaga yang sudah lama berniaga di situ dengan memberi mereka tempat sementara yang bersesuaian dengan sewa yang berpatutan agar mereka tidak hilang mata pencarian sekiranya terpaksa pindah dan menyewa tempat baru yang agak mahal sekarang ini di bandaraya Miri.

Harap masalah ini dapat diselesaikan secara baik diantara kedua belah pihak demi masa depan para peniaga di bangunan SEDC khususnya para peniaga Melayu/Bumiputera yang masih memerlukan tempat yang sesuai untuk meneruskan perniagaan mereka.


PRK Sungai Limau dijangka sengit

Zulkifli Yahaya, 30 Sep 2013
ALOR SETAR: Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah, Ustaz Musodak Ahmad (gambar) menjangkakan pertandingan merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau berlaku dalam suasana sengit dan luarbiasa memandangkan keputusannya nanti akan menjadi 'testimonial' kepada Dato' Mukhriz Mahathir yang pertama kali menghadapi pilihan raya kecil (PRK)  sebagai Menteri Besar.

Justeru beliau yakin BN akan menggunakan apa saja cara untuk memenanginya.

"Sementara bagi PAS, Sungai Limau adalah kerusi tradisi yang mesti dipertahankan. Sejak PAS merampas kerusi tersebut dari BN melalui Ustaz Azizan pada PRU tahun 1995 hingga kini, kita tidak pernah kalah.

"Berdasarkan keputusan PRU13 lalu, Sungai Limau berada di kedudukan kedua terbaik selepas Tokai, jadi mahu tak mahu untuk PRK kali ini PAS Kedah akan pastikan bukan setakat menang mempertahankan kerusi tersebut tetapi juga mencatat keputusan lebih baik berbanding PRU13 lalu," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, ia bukanlah tugas yang mudah kerana BN tanpa rasa segan biasanya akan turun bersama jentera kerajaan sedangkan PAS turun dengan jentera parti semata-mata.

Musodak menasihatkan Mukhriz supaya mencontohi Allahyarham Ustaz Azizan dalam menghadapi PRK Bukit Selambau sewaktu menjadi Menteri Besar dahulu.

"Beliau berjaya membuktikan bahawa Pakatan tidak menyalahgunakan  jentera ataupun peruntukan kerajaan negeri untuk menarik sokongan rakyat," katanya.

Sementara itu PAS Kedah telah membuat persiapan awal untuk menghadapi PRK Sungai Limau yang tarikhnya akan diumumkan oleh SPR dalam masa terdekat.

Dalam PRU13 lalu Allahyarham Ustaz Azizan mempertahankan kerusi berkenaan untuk penggal kelima mengalahkan sepupunya dari BN, Fadhilah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Satu keajaiban dari penjara Mesir, terhangat

Harakahdaily, 30 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Artikel blog bertajuk “Berita pelik dari penjara Mesir, satu keajaiban” yang mengisahkan keajaiban yang berlaku di penjara-penjara Mesir yang memuatkan 50,000 pendukung anti-kudeta menjadi artikel paling diminati para pembaca Facebook Harakahdaily bagi minggu ke-38, 2013.

Baru sebulan sahaja tahanan kes jenayah ini dicampurkan dengan tahanan politik Ikhwan, para penjaga dan ketua penjara mengeluh:
"Tahanan jenayah terikut-ikut kebiasaan Ikhwan iaitu tilawah Quran, solat malam, tahajjud, puasa". Keanehan ini juga terlihat apabila pelawat datang, para tahanan jenayah ini meminta mushaf Quran, sejadah, pakaian untuk shalat, dan tasbih. MasyaAllah.

Kini penjara Mesir terjadi Ikhwanisasi, kata laporan tersebut.

Di tempat kedua pula ialah artikel bertajuk, “Seorang lagi menteri kena belasah Dr Maza” diikuti dengan artikel “MB Kelantan lawat pusara Almarhum TS Ustaz Azizan tengah malam” di tempat ketiga.

Berikut ialah 10 artikel pilihan pembaca Harakahdaily bagi minggu 22 hingga 28 September:

1        Berita pelik dari penjara Mesir, satu keajaiban

2        Seorang lagi menteri kena belasah Dr Maza

3        MB Kelantan lawat pusara Almarhum TS Ustaz Azizan tengah malam

4        Askar Amerika boleh menangis bila tengok gambar ni

5        Rosmah dan bendera Malaysia terbalik

6        Anak siapa beli banglo RM7,242,555.07 ni?

7        16 fakta beza dua Menteri Besar Kedah

8        Ribuan tunai solat jenazah Ustaz Azizan

9        Subsidi: Babi pun bangun pagi cari rezeki sendiri?

10        Kenalkah engkau perempuan ini?

Aktivis anti ISA berhimpun di hadapan Parlimen

Anis Nazri | Foto Nasir Sudin, 30 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sekumpulan aktivis berhimpun di hadapan bangunan Parlimen bagi membantah pindaan Akta Pencegahan Jenayah 2013 (PCA) yang akan dibacakan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

Kumpulan yang berarak dari Tasik Perdana itu, tiba di pekarangan Parlimen pada jam 10.40 pagi, dengan laungan bantahan seperti 'Tolak PCA', Tolak kezaliman', 'Hidup Rakyat', dan 'Tolak ISA 2.0'.

Menyifatkan pindaan terhadap PCA itu sebagai satu bentuk kezaliman, para aktivis mengambil peluang berucap di hadapan pihak polis yang mengawal, sementara menunggu ketibaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menemui mereka.

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh, mendesak kerajaan agar menarik kembali pindaan yang akan dibacakan kali kedua hari ini, sekaligus meminta agar satu perbincangan diadakan bersama semua pihak.

"Pada tahun lalu, kita menerima pengumuman Perdana Menteri untuk ISA dimansuhkan, yang kemudiannya digantikan dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma). Namun, ketika ISA masih belum selesai kerana masih ada tujuh tahanan ISA masih merengkok, PCA ini pula akan dipinda bagi membolehkan penahanan tanpa bicara yang serupa dengan ISA," tegas beliau.

Kumpulan tersebut turut disertai Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga, barisan peguam, Fadiah Nadwa Fikri, Edmund Bon dan aktivis hak asasi seperti Suaram.

Ketika ini, wakil kumpulan tersebut sedang 'Duduk Bantah' menunggu ketibaan Menteri atau Timbalan Menteri Dalam Negeri untuk diserahkan memorandum di lobi lama parlimen.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang turun menemui kumpulan itu Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof; MP Kuantan, Fuziah Salleh; MP Padang Serai, N. Surendran;  dan MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan