Rabu, 25 September 2013

SEJARAH ELOK JADIKAN TELADAN DAN IKTIBAR JUGA PERANGSANG

Ahli UMNO Pilih Pelapis Kurang Cerdik
Posted on Wednesday, September 25 @ 18:58:50 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

SHAH ALAM: Umno perlu memberi lebih ruang kepada generasi baru turut serta bergiat aktif dalam politik.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pelapis muda yang terdiri daripada golongan terpelajar perlu diberikan peluang menerajui Umno.

Namun menurut Mukhriz, perkara ini tidak berlaku memandangkan mengikut budaya parti itu, kuasa pemilihan ditentukan oleh Umno peringkat Cawangan atau Bahagian.

“Kita mesti buka ruang..jangan halang.

“Kalau yang tak berapa cerdik memimpin maka dia akan pilih pemimpin pelapisnya yang kurang berapa cerdik

“Kalau itu berlaku setiap generasi sehingga semakin berkurang IQ pemimpin jadi satu digit maka Umno akan jadi makin tak relevan,” katanya dalam satu program wacana di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pemimpin lama perlu berani membawa perubahan dengan membenarkan generasi baru menerajui Umno kerana parti itu punya ramai generasi golongan terpelajar berkelulusan luar mahupun tempatan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri kini tidak akan melayan sebarang permintaan daripada sekolah cina dan mahu menumpukan bantuan sekolah kebangsaan.

Ini berikutan perubahan undi Cina semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu yang membelakangkan MCA dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata pihaknya tidak boleh mengabaikan pengundi yang menyokongnya sebelum ini, malahan Kedah juga penduduknya majoriti terdiri daripada Melayu.

“Saya nak bersifat adil tapi saya pun manusia juga.

“Akhirnya saya terpaksa membantu orang yang bantu saya dulu.

“Jadi kalau ada yang lebih-lebih tu barulah saya bantu orang lain,” katanya.-FMT


 Dr Mahathir: Lepaskan Kuasa, Elak UMNO Dipenuhi “Orang Bodoh”
Posted on Wednesday, September 25 @ 18:55:21 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo


Dr Mahathir menjawab soalan wartawan selepas majlis di Pusat Belia Antarabangsa. Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 25 September, 2013.

Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menasihati pemimpin Umno supaya tidak memegang kuasa terlalu lama bagi mengelakkan parti Melayu terbesar itu dipenuhi dengan lebih ramai “orang bodoh”.

Bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu berkata, seseorang pemimpin perlu mengetahui had masanya semasa berkuasa.

"Pemimpin perlu tahu hadnya, jangan terlalu lama memegang kuasa.

"Sebaliknya akan berlaku, kamu (parti) akan mempunyai lebih ramai orang bodoh dalam parti," kata Dr Mahathir dalam satu majlis di International Youth Centre (IYC) hari ini.

Beliau berkata, pemimpin Umno perlu bersikap terbuka untuk menerima mereka yang lebih bijak daripada mereka untuk menjadi pemimpin, bukannya mengamalkan sikap suka mencantas.

"Pemimpin yang teruk adalah apabila mereka menyekat pemimpin yang lebih pandai kerana takut tergugat," katanya.

Dr Mahathir menegaskan sekiranya seseorang pemimpin tersebut memberikan laluan bukan bermakna beliau lemah sebaliknya orang ramai akan lebih menghargainya.

"Setiap orang perlu menghormati masa mereka, tiba masanya untuk memberi laluan kepada orang lain.

"Sekiranya kamu bersara lebih awal, orang ramai akan lebih menghargai kamu," katanya lagi.

Menyentuh mengenai penamaan calon pemilihan Umno baru-baru ini, Dr Mahathir menyifatkan ia suatu petanda sihat berlaku dalam parti tersebut.

"Saya jangka ramai yang akan bertanding tapi ramai juga yang menarik diri.

"Tapi saya lihat ini sebagai satu petanda sihat, jika tidak ia pasti buruk untuk parti kerana orang akan mempersoalkan transformasi yang diperkatakan," ujarnya lagi.

Dr Mahathir juga menegaskan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno yang tiada pertandingan adalah suatu yang baik bagi mengelakkan perpecahan berlaku.

Dalam pemilihan parti kali ini, Dr Mahathir juga mengesyorkan perwakilan Umno supaya memilih pemimpin yang mempunyai bakat dan potensi, bukannya kerana pengaruhnya.

"Saya harap pada pemilihan kali ini, perwakilan memilih pemimpin yang mempunyai potensi dan berbakat, bukan kerana pengaruhnya," tegas beliau lagi.

Bekas presiden Umno itu sebelum ini turut mencetuskan kontroversi apabila mengkritik Umno sebagai “sudah tua dan bakal mati”.

Katanya, dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasinya memerintah negara ini meskipun ada pihak yang memandang serong malah menuduh dirinya mempunyai agenda sendiri.

Katanya, Umno dahulu sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Un¡on kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.

Ketika penggal kepimpinannya dari 1981 sehingga 2003, beliau berjaya membawa pembangunan melalui dasar-dasar dan perancangan yang diilhamkan dari kejayaan negara-negara luar sehingga mengangkat Malaysia ke pentas dunia sebagai salah sebuah negara yang berdaya maju di Asia Tenggara sehingga pernah dinamakan sebagai salah sebuah negara "Harimau Ekonomi Asia". - 25 September, 2013.-TMI


 Sejarah Kerajaan Mamluk
Posted on Wednesday, September 25 @ 18:07:44 MYT
Dilulus untuk paparan oleh Juragan

Oleh Najdi Ibn Majid

1.0 PENGENALAN

Kerajaan Mamluk merupakan sebuah kerajaan Islam yang banyak mengecapi kejayaan dalam bidang sosial, ekonomi dan politik, muncul di Mesir pada pertengahan abad ke 7H/13M. Majoriti pemerintahan Mamluk terdiri daripada kumpulan hamba yang menggantikan pemerintahan Kerajaan Ayubiyah (Poole. 1966: 74-75).

Kejayaan terbesar yang dicapai oleh tentera Mamluk apabila mereka berjaya menghalau tentera Salib di Palestin di bawah pimpinan al-Zahir Rukn al-Din Baybars al-Bunduqdari (658H/ 1260M), Sultan Mamluk yang keempat. Al-Zahir Baybars telah mewujudkan satu peristiwa penting selama pemerintahannya dengan melakukan bai’ah terhadap al-Muntasir (1226M-1242M) sebagai khalifah boneka. Baybars telah menjalinkan hubungan dengan Konstantinople, Cicilia dan Berke. Mamluk di bawah pemerintahan Baybars telah menyambung pemerintahan kerajaan khilafah Islamiyah Abbasiyah.

Maka bermulalah pemerintahan Mamluk yang bersultankan para hamba yang telah dimerdekakan dalam kerajaan Islam buat pertama kalinya dalam sejarah dunia.



2.0 DEFINISI MAMLUK


Mamluk dari segi bahasa menurut Lisan al-Arab ialah العبد iaitu hamba atau hamba yang dimiliki. Manakala menurut Ibn al-Arabi, Mamluk ialah hamba yang dimiliki oleh tuannya dan bukannya dimiliki oleh ibu bapanya (Ibn Manzur. 1996: 383). Mamluk juga bererti sesuatu yang dimiliki (شئ ممتلك ( dan kata jamaknya ialah Mamalik (ممالك) dan Mamlukun (مملوكون) iaitu para budak. Perkataan ini berasal daripada kata kerja malaka (ملك) “yang dimiliki” iaitu hamba yang mempunyai tuan (M.Sobernheim. 1987: 216).

Manakala menurut Sa’id al-Khuri al-Syartuni al-Lubnani, (t.t: 1341) Mamluk adalah Isim Maf’ul yang membawa makna hamba, merujuk kepada penduduk Sham berkulit putih yang terdiri daripada kalangan hamba. Manakala Mamluk Mesir pula merupakan sekumpulan hamba yang mendapat kuasa pemerintahan. Hamba-hamba ini menurutnya berasal dari Syarakisah. Oleh itu beliau menyimpulkan Mamluk ini berasal daripada maksud kuat atau berani.

Manakala dari segi istilah, Mamluk merupakan askar-askar yang terdiri daripada golongan hamba sahaya (Ibrahim. 1998: 9638). Menurut Ibn Khaldun, Mamluk ialah golongan hamba abdi yang berkulit cerah yang telah dibesarkan dalam kemewahan sebagai golongan yang memerintah di dalam lindungan kerajaan. Pada dasarnya Mamluk ini ialah orang yang dinaungi (Ibn Khaldun. 2000: 164).

Sementara itu, dalam pengertian moden menurut ‘Abd Hamid Yunus, (1911: 1171) telah menjelaskan istilah Mamluk menurut aspek kesusasteraan Islam dengan sejarah Islam telah menggunakan pengertian Mamluk kepada sekumpulan hamba lelaki berkulit putih yang dijadikan hamba sahaya sama ada untuk berkhidmat dalam peperangan atau berjual beli dalam aktiviti perdagangan. Mereka dibawa beramai-ramai ke negara Islam untuk meningkatkan harga perdagangan.

Secara kesimpulannya, Mamluk merupakan sebuah kerajaan yang didirikan oleh para hamba berkulit putih yang pada dasarnya dibawa untuk menguatkan barisan pertahanan Islam sama ada dari aspek politik, sosial dan ekonomi kerajaan dunia Islam pada ketika itu. Walau bagaimanapun, Mamluk dalam pengertian sejarah sama ada dari sudut bahasa mahupun istilahnya tidak dapat lari daripada maksud asalnya iaitu golongan hamba berkulit putih yang bertujuan untuk menguatkan kestabilan negara Islam khususnya.

3.0 ASAL-USUL MAMLUK


Sejarah kemunculan golongan Mamluk telah pun bermula sejak pemerintahan khalifah al-Ma’mun dimana kerajaan ‘Abbasiyah menyangka kerajaan Tulun di Mesir berusaha untuk menggugat kewujudan mereka di Baghdad. Mulai dari saat dan ketika itulah golongan Mamluk Turki banyak dibeli untuk memperkasakan kerajaan ‘Abbasiyah dan pemerintahan mereka (Yunus. 2000: 1171).

Rata-rata sejarawan menggambarkan golongan Mamluk ini ialah hamba dan lebih khusus lagi ialah seorang yang dibawa dari negara asal mereka, dijaga kebajikan mereka dan dihindari daripada sebarang kesusahan serta keadaan yang membahayakan ketika dalam perjalanan ke negara yang akan ditentukan kepada mereka. Golongan Mamluk ini juga saling bekerjasama seperti satu kumpulan sehingga mereka berasa seperti hidup di negara sendiri dan juga terdapat pertalian yang kuat dalam jiwa masing-masing (Ibrahim. 1998: 9640).

Manakala Muhammad Rizq Salim (1955:13) menerusi kitab ‘Asr Salatin Mamalik berpendapat bahawa khidmat Mamluk yang awal telah digunakan dalam kerajaan awal Fatimiyah. Pada ketika itu mereka disinonimkan kepada Mamluk Turki yang berkhidmat dengan Bani ‘Abbas di Baghdad. Peranan yang dimainkan oleh golongan Mamluk ini ialah mengekalkan kedudukan sultan sebagai pemerintah yang berkuasa penuh. Bagaimanapun fakta yang sebenarnya ialah Ahmad b. Tulun adalah individu yang pertama menggunakan khidmat mereka dan membawa mereka ke Mesir. Golongan Mamluk tersebut kemudiannya telah dibawa ke Mesir dan kemudiannya diberi latihan ketenteraan.

Sejarawan Qalqashandi di dalam kitabnya subn al-‘Asha menerangkan bahawa peristiwa tersebut berlaku ketika Ahmad b. Tulun diiktiraf sebagai raja Mesir sebelum kemunculan kerajaan Fatimiyah lagi. Fakta ini turut dipersetujui oleh Ibn Iyas, sejarawan Mesir di dalam kitabnya Badai’i Zuhur Wa Waqa’i Duhur, bahawa Ibn Tulun telah membeli ramai Mamluk dari Daylam sehingga bilangan mereka mencapai kepada 24 ribu orang.

Faktor yang membawa kepada penglibatan Ahmad b. Tulun membeli sebilangan besar tentera Mamluk di Mesir kerana Mesir merupakan salah satu daripada naungan kerajaan ‘Abbasiyah. Apabila Ahmad b. Tulun mula bercita-cita untuk membebaskan Mesir, beliau melihat Mesir hanya boleh dibebaskan dengan bantuan Mamluk Daylam dari Turki (Yunus. 1911: 1171). Dana yang digunakan untuk membeli hamba Mamluk ini tidak akan dibebaskan sebelum kewafatan seseorang sultan atau selepas sultan itu dipecat. Mereka akan dikembalikan ke Bait al-Mal dan dibeli pula bagi pihak sultan yang baru (Ibrahim. 1998: 9640).

Selepas berakhirnya kerajaan Tuluniyah, muncul pula sebuah kerajaan baru iaitu kerajaan al-Ikshidiyah yang diasaskan oleh Muhammad b. Tufah al-Ikhshidi di Mesir (323-358H / 934-969M). Kerajaan ini juga membangunkan Mamluk daripada keturunan Turki dan Daylam sehingga mencapai bilangan 80 ribu orang sebagaimana yang dilaporkan oleh sejarawan Abu al-Mahasin (813H-874H / 1410M-1470M). Begitu juga dengan kerajaan Fatimiyah (358H-565H / 968M-1171M) yang muncul selepas itu, mempunyai bilangan Mamluk dari Maghribi yang dikenali sebagai al-Saqalibah (‘Audah. 1990: 64).

Mereka menjadikan Mamluk sebagai tunggak untuk meluaskan empayar dan menghadapi serangan musuh (Yunus. 1911: 1171). Keadaan ini berterusan sehinggalah zaman Salih al-Din al-Ayubi (Salim. 1955: 13) (567-648H / 1171-1250M) di mana hampir keseluruhan pembesar-pembesar Islam memiliki Mamluk dalam pentadbiran (Yunus. 1911: 1171).

Boleh dikatakan bukan sahaja sultan yang memiliki pengawal malahan rata-rata amir turut mempunyai pengawal persendirian dan mereka akan membeli dengan wang sendiri (Ziadeh. 1970: 5). Tidak ketinggalan juga pemerintah-pemerintah berusaha membentuk tentera untuk diri mereka dan mempertahan tanah air daripada bahaya musuh.
Golongan Mamluk ini, diberi pendidikan ketenteraan yang dijalankan di tibaq.

Sepanjang mereka menetap di Qal’ah, Kumpulan Mamluk ini ditempatkan dalam satu kumpulan khas bagi mendapatkan dua peringkat latihan pengajian iaitu pendidikan Islam (Syakir. 1991: 21-22) dan seni mempertahankan diri dengan cara berperang (Ibrahim. 1998: 9640). Siri pendidikan Islam dijadikan asas untuk membentuk dan melengkapkan Mamluk sebagai tentera Islam sejati. Mereka memiliki kemahiran dan kepakaran dalam strategi peperangan dan menunggang kuda (Hassan. 1967: 33). Dengan ini populariti mereka semakin bertambah (Yunus. 1911: 1172).

Menurut al-Marizi, dengan berbekalkan cahaya keimanan dan pendidikan telah memberi kekuatan kepada tentera Mamluk. Kedua-dua kombinasi ini melahirkan pemanah yang cekap dan tentera yang berdisiplin.

Sultan Salih Najm al-Din Ayubi, iaitu pemimpin Ayubiyyah yang ketujuh telah menambah bilangan tentera Mamluk dan menasabkan mereka dengan gelaran al-Mamalik Salihiyyah. Ini kerana baginda takut pembesar-pembesar Ayubi yang lain berkumpul menentangnya terutama bapa saudaranya sendiri, Ismail. Oleh itu, beliau memberi kebebasan bergerak sesuka hati kepada tentera Mamluknya sehingga masyarakat sering mencemuh perlakuan mereka. Keadaan ini menyebabkan Mamluk salihi membina sebuah kubu khas di jazirah al-Rawdah pada 638H.

Semenjak itu, mereka dikenali sebagai al-Mamalik al-Bahriyah dinisbahkan kepada Salihiyyah. Manakala gelaran Bahriyah yang dinisbahkan kepada mereka yang tinggal di Jazirah al-Rawdah. Sebenarnya penisbahan ini bukanlah dikhaskan kepada kubu yang mereka diami sahaja tetapi ianya berkaitan dengan sejarah penghijrahan mereka yang dibawa melalui jalan laut (Syakir. 1991: 22-23).

Apabila Sultan Salih Najm al-Din Ayubi terbunuh dalam perang Salib pada 647H / 1248M, ketika menghadapi serangan tentera–tentera Salib dari Perancis di bawah pimpinan Louis IX, kedudukan Mesir berada di ambang genting. Ini menyebabkan Shajar al-Dur, pada awalnya merahsiakan kematian baginda dan mengambil alih tampuk pemerintahan Mesir buat seketika (Syalabi. 1998: 232). Tujuan baginda berbuat demikian kerana beliau tidak mahu keadaan Mesir bertambah kecoh berikutan kemaraan Louis IX ke Dimyat.

Apabila tentera Salib telah berjaya menawan Dimyat ketika itu mereka dalam perjalanan ke Mansura. Rahsia yang cuba diselindungi oleh Shajar al-Dur, akhirnya sampai kepada pengetahuan kedua-kedua pihak. Tentera Islam berasa amat kecewa dan mereka cuba mengalahkan tentera-tentera Salib yang begitu yakin untuk menawan Mansura. Peperangan ini akhirnya menyaksikan kekalahan teruk tentera Salib sehingga mereka terpaksa berundur (al-Maqrizi. 1957: 339-340). Shajar al-Dur telah menghantar utusan ke Kaifa supaya Turan Shah, anak lelaki Sultan Salih al-Din pulang memegang tampuk pemerintahan di Mesir. Pada masa yang sama , Shajar al-Dur mengarahkan al-Amir Faris al-Din Aqty mengetuai tentera Mamluk mengalahkan Louis IX dan memaksa Perancis menebus raja tersebut dengan harga yang mahal (Syakir. 1991: 23).

Bagaimanapun perhubungan Turan Shah dengan tentera Mamluk khasnya Aqtay menjadi dingin. Tambahan pula, Turan Shah mempunyai angkatan tentera Mamluknya sendiri yang begitu setia sehingga membuatkannya tidak memberi perhatian terhadap bekas angkatan Mamluk bapanya. Malah menaruh prasangka buruk terhadap mereka yang dirasakan ingin merampas kekuasaannya. Turan Shah juga dikatakan cuba untuk mengurangkan kuasa Mamluk Bahri dan menjatuhkan mereka. Ini merupakan satu ancaman besar yang dirasai oleh Mamluk Bahri. Kata putus diambil untuk meleraikan ketegangan ini apabila sekumpulan Mamluk yang diketuai oleh Baybars telah membunuh Turan Shah, sebagai titik tolak bagi menyelamatkan kedudukan mereka pada akhir pada 27 Muharram 648H / 1 Mei 1250M (Khowaiter. 1978: 10).

Berikutan peristiwa tersebut, Shajar al-Dur telah dilantik menjadi Sultanah yang pertama di Mesir pada 648H / 1250M. Bagaimanapun pemerintahannya hanya memakan masa selama 80 hari sahaja. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah dibantu oleh ‘Izzuddin Aybak. Perlantikan seorang wanita sebagai pemerintah telah menimbulkan kedaan huru hara dan pemberontakan terutamanya di Syria. Sebahagian besar para pembesar Ayyubi enggan memberi bay’ah kepada beliau. Begitu juga dengan kerajaan Abbasiyyah di Baghdad turut menolak beliau.

Akhirnya ‘Izzudin Aybak yang menjadi Atabek ketika itu berkahwin dengan Shajar al-Dur untuk mengelak fitnah yang menyatakan hubungan baiknya dengan Shajar al-Dur pada Rabi’ul Akhir 648H / 1250M. Selepas berkahwin ‘Izzuddin Aybak telah dilantik sebagai sultan dengan gelaran al-Malil al-Muiz bagi melenyapkan kontroversi yang mempertikaikan kepimpinan Shajar al-Dur sebagai sultanah. Pemerintahan al-Muiz Aybak memakan masa selama 7 tahun. Kedudukan Aybak terancam setelah beliau menaiki takhta. Beliau turut menghadapi ancaman daripada Aqtay yang meminta supaya kedudukannya diangkat dan dibenarkan tinggal di istana bersama-sama dengan Aybak. Permintaan itu dianggap keterlaluan kerana ia mungkin mengancam kedudukannya sebagai sultan. Akhirnya Aqtay dibunuh pada 3 Syaaban 652H / 18 September 1245M (Al-Maqrizi. 1957: 389-390).

Pembunuhan yang berlaku ini menyebabkan sekumpulan Mamluk Bahri melarikan diri dari Mesir ke Syria kerana bimbangkan keselamatan mereka. Di Mesir, Aybak telah menghapuskan saki baki Mamluk Bahri yang masih ada di Mesir sehinggakan kuasa mereka di sana mula berkurangan. Situasi ini memudahkan Aybak mengambil kesempatan menggulingkan Sultan al-Malik al-Ashraf Musa iaitu Sultan Syria. Aybak kembali menggelarkan dirinya sebagai sultan pada 652H / 1254-1255M. Keadaan ini disedari oleh Shajar al-Dur yang mendapati Aybak cuba menjatuhkannya sedikit demi sedikit apabila Aybak mengambil keputusan ingin mengahwini anak perempuan pemerintah al-Mawsil. Beliau mengharapkan simpati daripada amir-amir lain membunuh Aybak. Akhirnya Aybak dibunuh (Hassan 1954: 43) oleh Shajar al-Dur pada 24 Rabiul Awal 655H / 11 April 1257M ketika beliau sedang mandi (Khowaiter. 1978: 10).

Tindakan itu telah menimbulkan kemarahan pengikut setia Aybak iaitu Qutuz. Qutuz telah melantik putera Aybak iaitu Nur al-Din Ibn Aybak yang ketika itu berusia 15 tahun sebagai sultan dengan gelaran al-Malik al-Mansur. Selepas perlantikan itu, Shajar al-Dur dibunuh oleh orang suruhan isteri Aybak iaitu ibu kepada Nur al-Din Ibn Aybak pada 27 Rabi’ al-akhir 655H / 14 Mei 1257M. Selepas kematian Shajar al-Dur, Qutuz yang dilantik sebagai Atabek sultan yang baru membuat keputusan untuk menggulingkan sultan al-Malik Mansur dan melantik dirinya sendiri sebagai sultan. Selepas kejadian itu Qutuz mengakui dirinya sebagai sultan dengan gelaran al-Malik Muzaffar Saif al-Din Qutuz (Al-Maqrizi. 1957: 417). Apabila berakhirnya pemerintahan Qutuz kerajaan Mamluk Bahri ini semakin dikenali oleh masyarakat dunia apabila pemerintah-pemerintahnya mula menjalankan siri-siri peperangan untuk memperluaskan wilayah kekuasaannya (Cook. 1970: 282).

4.0 KERAJAAN MAMLUK BAHRI (648H-784H / 1250M-1382M)


Mesir dan Syria diperintah oleh kesultanan Mamluk Bahri lebih dari 100 tahun. Kerajaan ini mempunyai 24 orang sultan yang memerintah dari 648H-784H / 1250M-1382M. Pemerintahan Mamluk bermula daripada keturunan hamba yang dibeli pada zaman pemerintahan Izzudin Aybak sehinggalah al-Nasir Muhammad b. Qalawun seterusnya diwarisi oleh sultan-sultan yang merupakan pewaris takhta kerajaan Mamluk sendiri.

Sultan-sultan peringkat awal kerajaan Mamluk Bahri perlu lebihkan usaha untuk menguatkan kerajaan mereka sama ada dari dalam negeri mahupun luar negeri sebagai batu asas untuk mewujudkan sebuah negara baru. Ini kerana pemimpin kerajaan Mamluk Bahri di peringkat awal masih lagi dipandang sebagai hamba walaupun telah dibebaskan dan kemudiannya mendapat kuasa pemerintahan. Kepercayaan masyarakat penting untuk mengekalkan mereka sebagai pemerintah dan pentadbir (Yunus. 1911: 1173).

Berperang untuk menguasai negara telah diamalkan oleh beberapa orang Sultan Mamluk ketika mentadbir negara. Antaranya ialah semasa pemerintahan sultan Mamluk Bahri yang kelima iaitu sultan al-Zahir Rukn al-Din Baybars al-Bunduqdari al-Salihi (658-676H / 1260M-1277M). Beliau adalah pengasas kerajaan Mamluk Bahri yang utama. Walaupun dikenali sebagai pengasas kepada kesultanan Mamluk di Mesir, Baybars bukanlah sultan kerajaan Mamluk yang pertama kerana masih terdapat takhta, berlaku krisis dalaman Mesir yang menyebabkan pentadbiran menjadi kucar kacir akibat perebutan kuasa dari dalam seperti ancaman dari Faris al-Din Aqtay, Musa Ibn Yusuf, Turan Shah, Aybak dan Saif al-Din Qutuz. Ini membuatkan beliau terpaksa berjuang untuk mengukuhkan kedudukannya dan berusaha menyingkirkan saingannya. Zaman pemerintahan Baybars penuh diliputi oleh suasana peperangan berturut-turut dengan tentera Salib di antara tahun 659H / 1261M dan tahun 669H / 1271M. Peperangan ini memakan masa selama 10 tahun (659H-669H / 1261M-1271M).

Apabila politik Mamluk semakin baik, Baybars telah menubuhkan satu kumpulan tenteranya untuk menambahkan kekuatan kubu pertahanannya di syria, membina kubu bawah tanah, mempertingkatkan pelabuhannya, menghubungkan perhubungan pantas antara kaherah dan Dimashq dengan mewujudkan sistem pos yang hanya memakan masa empat hari sahaja. Baybars juga menggalakkan rakyatnya supaya bekerja keras, mencantikkan masjid, menguatkan iman dan mempunyai sikap bermurah hati. Baybars juga telah membina perpustakaan al-Zahiriyah di Dimashq. Beliau merupakan sultan yang pertama melantik empat orang kadi untuk mengendalikan perkara yang berkaitan dengan hal ehwal keagamaan (Hitti. 1970: 675-676).

Pada tahun 678H-689H / 1279M-1290M, pemerintah Mamluk telah dipimpin oleh Sultan Mansur Sayf al-Din Qalawun al-Alf al-Salihi. Zaman pemerintahan Qalawun merupakan zaman yang dipenuhi dengan kekayaan dan aktiviti perniagaan dalam kerajaan Mamluk. Qalawun juga memainkan peranan dengan memerangi askar Salib, mengusir mereka dari negeri Sham dan menduduki kota Lazisia dan kota Tripoli pada tahun 688H / 1289M. Qalawun telah membentuk seramai 12,000 orang tentera yang dilengkapi dengan disiplin diri dan peraturan yang lebih cekap (Marsot. 1985: 29).

Beliau menghadapi ancaman daripada pihak Mongol pada 679H / 1281M. Mereka telah menangkap askar-askarnya di Syria. Beliau telah merancang strategi yang mengelirukan pihak musuh dengan melakukan pemberontakan di Syria, Euprates dan keganasan di Halab. Qalawun menggunakan perkhidmatan tentera Mamluk dan Turkoman dari Halab dan Karak, tentera-tentera Badwi dari padang pasir, orang-orang Arab dari Hijaz dan Euprates. Keseluruhan mereka dianggarkan seramai 50,000 orang.

Sementara tentera-tentera Mongol yang dipimpin oleh Mangutimur (abang kepada Ilkhan Abagha) seramai 50,000 hingga 80,000 orang dari Georgia, Armenia dan Rom Timur. Peperangan di antara kedua-dua puak tentera ini telah berlaku berdekatan dengan Hims pada Khamis 30 Oktober 1281M. Perletakan senjata selama 17 tahun mengakhiri pemerintahan Mongol pada 681H / April 1282M (Poole. 1966: 279-281).

Qalawun mengukuhkan kedudukannya dengan mengadakan hubungan luar dalam aspek perdagangan. Beliau juga telah membentuk satu angkatan tentera baru di Qal’ah Jabal. Beliau mempunyai sikap prihatin terhadap kerajaan barunya (Abd al-Sa’id. 1966: 13). Mereka ini dikenali sebagai kumpulan Mamluk Burji. Pada waktu yang sama, Qalawun juga memastikan didikan agama dan latihan ketenteraan diberikan. Ini kerana cara penggunaan senjata dengan baik dan dikukuhkan dengan didikan agama merupakan asas yang penting kepada pembentukan latihan dalam melakukan peperangan. Justeru itu disiplin diri merupakan aset penting yang perlu disemai. Beliau tidak akan membenarkan Mamluknya meninggalkan kubu secara bebas (Syakir. 1991: 70-71).

Dengan kestabilan pemerintahannya, Sultan Qalawun turut mendirikan hospital yang berkembar dengan sekolah, masjid dan makam diraja yang mempamerkan keistimewaan dan mozek marmar yang baik. Hospital ini dinamakan Hospital al-Maristan al-Mansuri yang merupakan hospital Islam yang pertama dan terkenal dengan keindahan bangunannya. Dikatakan bahawa beliau mendapat inspirasi ketika menghidapi penyakit perut. Hospital ini siap dibina pada tahun 1284M (Hitti. 1970: 678).

Pemerintahan Mamluk, Sultan al-Nasir Muhammad b. Qawalun (693H-741H / 1293M-1340M) menduduki singgahsana Mesir sebanyak tiga kali dalam masa 48 tahun iaitu pada 693H-694H / 1293M-1294M, 698H-708H / 1299M-1309M, 709H-741H / 1310M-1341M. Dalam tempoh ini, selama dua kali beliau diturunkan takhta kerana pada peringkat awalnya beliau masih di bawah umur dan pada kali keduanya berikutan perbuatan para Amir yang merebut kekuasaan penuh dalam kerajaan. Sepanjang pemerintahannya kerajaan Mamluk terpaksa menghadapi serangan besar-besaran daripada tentera Mongol di bawah pimpinan Ilkhan Ghazan Mahmud. Ghazan telah menyeberangi Sungai Euprates pada tahun 698H / 1299M membawa seramai 100,000 orang tentera.

Tentera Mongol bertemu dengan tentera Mamluk di Hims pada 23 Disember 1299M. Pertempuran hebat ini menyaksikan kekalahan teruk tentera Mamluk sehingga menyebabkan Dimashq dan beberapa kota Syria telah berjaya diduduki oleh tentera Mongol selama 100 hari. Usaha diteruskan oleh Sultan al-Nasir untuk merebut kembali tanah kekuasaan tersebut dari tangan tentera Mongol dengan mengalahkan mereka dalam satu lagi pertempuran dekat Dimashq pada tahun 702H / 1303M (Hitti. 1970: 679). Kemenangan ini menjadi kebanggaan negara-negara lain dan tali persahabatan telah dijalinkan dengan kerajaan-kerajaan negara Ethopia, Perancis, Aragon dan kerajaan Venice. Zaman ini telah menyaksikan kekuasaan Mesir meluas sehingga ke Afrika Utara, Iraq, Asia Kecil dan Madinah.

Sultan al-Nasir seorang yang pemboros untuk kepuasan dirinya. Beliau telah mengerahkan 100 ribu pekerja bekerja keras membina terusan yang menghubungkan Iskandariah dengan Sungai Nil. Sultan al-Nasir juga membina Sekolah al-Nasiriyah di Kaherah antara tahun 1299M hingga 1304M dan masjidnya di Kaherah pada 1318M. Masjid dan sekolah binaannya menjadi contoh kesenian yang tinggi dalam senibina Islam (Hitti. 1970: 681). Beliau telah membina istana yang sangat indah dipanggil Kasr al-Ablak atau ‘Istana berbelang’ telah memakan kos sebanyak 500,000,000 dirham pada tahun 1313M. Sepanjang pemerintahan beliau dikatakan memperuntukkan sebanyak 8000 dirham sehari untuk pembinaan bangunan kemegahannya (Poole. 1966: 315).

Belanjawan yang tidak sistematik sepanjang pemerintahan Sultan al-Natsir ini telah membebankan rakyat dengan cukai yang terlalu tinggi sehinggakan menyumbang ke arah kejatuhan kerajaan Mamluk. Kesannya rakyat Mamluk kebuluran dan wabak taun telah menyerang penduduk-penduduk Mesir ketika itu. Peristiwa ‘black death’ pada 1348M-1349M telah meragut nyawa ramai rakyat Mesir seramai 900,000 orang ketika itu. Sebanyak 22,000 orang meninggal dunia dalam satu bulan di ibu kota (Hitti. 1970: 681).

Saat-saat kelemahan keluarga Mamluk Bahri telah dipergunakan oleh Mamluk Burji untuk merebut kuasa dan akhirnya berjaya dirampas oleh Sultan Barquq dari Sultan Hajji, iaitu Sultan Mamluk Bahri yang terakhir. Dengan ini telah berdirilah kerajaan Mamluk Burji dan bermulalah era pemerintahan baru di bawah pimpinan keturunan Mamluk kedua dalam kerajaan Mesir (Cook. 1970: 282).

5.0 KERAJAAN MAMLUK BURJI (784H-923H / 1382M-1517M)


Mamluk Burji atau Circassian Mamluk atau Mamluk Jarakishah disinonimkan kepada kumpulan Mamluk yang kedua memerintah Mesir pada tahun 784H / 1382M hingga 923H / 1517M. Mereka wujud rentetan daripada keperluan dan idea Sultan Qalawun untuk merealisasikan satu kumpulan baru yang dapat membantunya menubuhkan sebuah kerajaan baru. Antara sebab-sebab yang dinamakan mereka sebagai Mamluk Burji kerana kawasan penempatan mereka terletak di menara kubu di Qal’ah Jabal semasa mereka berkhidmat dalam bidang ketenteraan pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Qalawun.

Kerajaan Mamluk Bahri mewariskan takhta kerajaan kepada ahli keluarga. Apabila zaman beralih kepada pemerintahan kerajaan Mamluk Burji, sistemnnya tidak lagi berpegang kepada sistem warisan malah memberi peluang kepada para amir untuk merebut takhta pemerintahan (Poole. t.t: 325). Dalam pentadbiran Mamluk Burji, seorang sultan akan memerintah apabila dilantik sebagai pemerintah berlandaskan tempoh yang diberi. Pemerintahan seterusnya akan ditetapkan kepada sultan yang kebanyakan anak-anak sultan ketika itu masih kecil.

Fenomena ini akan dianggap sebagai wasiat. Selain itu juga, sultan akan membuat perlantikan dari kalangan Mamluk yang merupakan seorang penolong sultan atau hanya ditugaskan sebagai pengurus dalam segala urusan kerajaan sahaja. Mereka ini tidak boleh membuat keputusan sendiri dalam urusan pentadbiran dan akan dipecat apabila tidak dikehendaki ataupun dibunuh sahaja (Syakir. 1991: 72).

Kerajaan Mamluk Burji telah diperintah oleh 23 orang sultan dalam tempoh selama 134 tahun (784H-922H / 1382M-1517M). Daripada bilangan pemerintah tersebut, sembilan orang sultan telah memerintah selama 103 tahun manakala 14 orang lagi telah memerintah selama 9 tahun sahaja. Hanya 4 orang daripada mereka memerintah dalam tempoh yang agak panjang. Antaranya ialah al-Asyraf Barsbay, selama 16 tahun (825H-841H / 1422M-1437M), al-Zahir Jaqmaq selama 15 tahun (842H-857H /1438M-1453M), al-Asyraf Kait Bay selama 29 tahun (872H-901H / 1467M-1496M), dan al-Asyraf Qansawh al-Ghawri selama 17 tahun (906H-922H / 1501M-1516M) (Ibn Taghri Birdi. 1992: 83).

Pemerintahan Mamluk Burji bermula pada akhir kurun ke-14 selepas jatuhnya kerajaan Mamluk Bahri. Permulaan pemerintahan Sultan Barquq pada 784H-791H / 1382M-1389M, 792H-801H / 1309M-1399M, menyaksikan peristiwa perebutan kuasa oleh Sultan Hajji, sultan Mamluk Bahri yang terakhir. Akan tetapi Sultan Hajji dapat merebut kuasanya kembali dan menyebabkan Sultan Barquq melarikan diri ke Syria hingga tahun 792H / 1390M.

Sultan Barquq dapat merebut singgahsana kembali dan memusnahkan kekuasaan Mamluk Bahri sama sekali. Pada awal pemerintahan, keadaan politik negara tidak stabil disebabkan berlakunya pemberontakan yang dicetuskan oleh golongan Mamluk Bahri yang ingin mengguling kuasa beliau atas alasan mereka tidak dapat menerima pemerintahan yang berketurunan berlainan dengan mereka.

Walau bagaimanapun, beliau dapat menanganinya pada zaman pemerintahannya pada kali kedua melalui pembaharuan dalam pentadbiran dengan berusaha meramaikan pegawai pemerintahan dikalangan Mamluk Burji dalam pemerintahannya. Sementara itu juga Sultan Barquq telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Uthmaniyah pada masa pemerintahan Khalifah Murad dan Bayazid (Ibn Taghri Birdi. 1992: 83).

Al-Ashraf Qaytbay merupakan sultan Mamluk Burji yang paling lama memegang tampuk pemerintahan. Beliau memerintah selama 29 tahun iaitu pada 873H-901H / 1468M-1496M (Poole. t.t: 343). Al-Ashraf Qaytbay mempunyai pengalaman luas dalam bidang peperangan dan terlalu berani untuk berperang berbanding dengan sultan-sultan terdahulu (Audah. 1990: 124). Untuk menjamin kestabilan kerajaan Mamluk, Qaytbay telah meninggalkan ibu kota untuk melakukan tinjauan di Iskandariah, Fayyum atau Syria selama 4 bulan. Kekemasan pentadbirannya membuatkan beliau dengan pantas mengutuskan amir Yashbak sebagai Kashif di Utara Mesir untuk meninjau (Audah. 1990: 295). Yashbak dihantar ke Halab pada 877H / 1472M.

Peperangan tercetuus antara Yashbak dan Hasan Tawil yang menyaksikan kekalahan Hasan Tawil di Sungai Furat. Ini memasyhurkan Qaytbay dan berkuasa di sebelah utara (Audah. 1990:125). Qaytbay pula terpaksa menghadapi ancaman kecil daripada kerajaan Uthmaniyah yang berkemungkinan mencetuskan peperangan. Oleh itu beliau melatih sebahagian besar para tenteranya supaya bersatu untuk menghalang penceroboh Uthmaniyah. Atas kesungguhan beliau, askar-askarnya ini mula mencari keuntungan rentetan daripada penglibatan mereka dalam peperangan yang mereka sertai. Mereka menjadi lebih kejam kerana mereka tidak dibayar gaji bulanan yang ditetapkan. Oleh itu, askar-askar ini mula menjadi askar upahan kepada mereka.

Walau bagaimanapun, sultan melatih mereka semula dan berusaha mencari sumber pendapatan yang berlebihan dengan memperkenalkan sistem cukai yang luar biasa. Beliau mengambil jalan pintas dengan mengenakan iqta’ secara paksaan mengikut undang-undang yang ditetapkannya pada tahun 1488M dan sistem awqaf pada tahun 1491M meskipun mendapat tentangan daripada rakyat (Garcin. 1998:302).

Walau bagaimanapun, pada tahun 1492M, wabak taun telah menyerang Mesir dan meragut nyawa 12,000 orang sehari. Di Kaherah kebanyakan yang terkena jangkitan penyakit ini terdiri dari kalangan para Mamluk sendiri berbanding dengan rakyat tempatan (Marsot. 1985: 36). Pemerintahan kerajaan Mamluk diteruskan oleh al-Ashraf Qansuh al-Ghawri pada tahun 906H-922H / 1501M-1516M selama 15 tahun.

6.0 KESIMPULAN


Mesir terletak di jalan pertemuan tiga benua antara Afrika, Asia dan Eropah. Oleh yang demikian, Mesir terkenal sebagai pusat perdagangan yang terpenting di zaman pertengahan. Fenomena ini menyebabkan negara ini dapat mencapai kekayaan dan kemajuan teristimewa di zaman pemerintahan keluarga Bani Fatimah, Bani Ayub dan di zaman kesultanan Mamluk. Bekas peninggalan raja-raja daripada keluarga masing-masing telah membuktikan kebenarannya. Selain itu, Mesir bukan sahaja mempunyai hasil buminya yang subur, malah juga terdapat dalam bidang perusahaan pertukangan dan perdagangan. Ini dapat dibuktikan di masa pemerintahan Mamluk.

Jika dinilai dari perkataan Mamluk itu sendiri jelas menunjukkan bahawa golongan tersebut berasal dari kalangan hamba. Mereka bukanlah seperti hamba biasa yang bekerja di istana ataupun di rumah-rumah pembesar tetapi Mamluk merupakan gelaran yang diberikan kepada golongan hamba yang diserap masuk ke dalam tentera Islam. Kewujudan golongan hamba ke Timur Tengah bermula sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi tetapi perkembangannya masih belum meluas seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan Abbasiyah. Hasil dari kemasukan hamba-hamba ini telah muncul pelbagai bangsa yang mendiami wilayah Islam di Timur Tengah. Ini kerana golongan ini bukanlah terdiri daripada satu kelompok hamba sahaja.

najid-sejahtera.blogspot.com


 Kisah Anak Berbakti, Kunyahkan Makanan Untuk Ibunya Yang Lumpuh
Posted on Wednesday, September 25 @ 17:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur



Ibu selalu menjadi ratu di hati anak-anaknya. Sosok yang merawat dan membesarkan mereka saat mereka belum bisa apa-apa dan belum tahu banyak tentang kehidupan ini. Namun kisah yang satu ini, akan menyentuh hati nurani Anda..


Zhang Rongxiang adalah seorang ibu yang tengah hamil saat sebuah kecelakaan menimpanya pada tahun 2010 lalu. Sejak saat itu, ia koma dan divonis mungkin tak akan pernah bangun lagi. Sang suami, Gao Dejin, dan dokter yang merawat Zhang Rongxiang, menemukan bahwa wanita itu sedang hamil.
Hari-demi hari berlalu, Zhang memang tidak bangun. Namun pada tahun 2011, akhirnya ia melahirkan meski masih dalam keadaan koma. Zhang melahirkan seorang putra yang diberi nama Gao Qianbo. Tak seperti kebanyakan bayi yang lahir, Gao Qianbo tidak merasakan sambutan hangat dan pelukan dari sang ibu.

Qianbo selalu berada di samping ibunya (c) dailymail.co.ukQianbo selalu berada di samping ibunya (c) dailymail.co.uk

Gao Dejin, memutuskan membawa istrinya pulang untuk dirawat di rumah. Sang anak juga selalu berada tidak jauh dari sang ibu. Dua tahun berlalu, Gao Qianbo masih setia berada di sekitar ibunya. Ia sudah tumbuh menjadi seorang balita yang lincah.
Dokter memang mengatakan bahwa Zhang mungkin tak akan pernah bangun. Oleh sebab itu, tak mungkin selamanya Gao Dejin membiarkan istrinya di rumah sakit. Sambil terus berharap dan berdoa akan kesembuhan istrinya, Gao Dejin juga merawat sang anak hingga tumbuh jadi balita yang menggemaskan.

Selain menggemaskan, ternyata Qianbo adalah keajaiban yang mematahkan vonis dokter. Pada bulan Mei lalu, suara malaikat kecil Qianbo membangunkan Zhang dari tidur panjangnya selama 2 tahun. Namun wanita ini tak bisa mengunyah makanan. Ia hanya boleh menelan makanan yang masuk di mulutnya. Tak disangka, Qianbo yang masih kecil ini melakukan sesuatu yang sangat menyentuh hati.

Rongxiang terbangun karena suara sang anak, Qianbo (c) dailymail.co.ukRongxiang terbangun karena suara sang anak, Qianbo (c) dailymail.co.uk

Qianbo membantu mengunyahkan makanan bagi ibunya dan menyuapkan makanan dari mulut ke mulut. Koma selama dua tahun memang membuat Zhang Rongxiang mengalami kelumpuhan dan tak bisa bergerak banyak. Namun ternyata, malaikat kecil yang ia lahirkan dan semestinya ia rawat, malah balik merawat ibunya yang sedang tak berdaya.
Kisah hidup Gao Qianbo dan sang ibu ini menunjukkan kasih sayang yang sangat alami di antara ibu dan anak. Seharusnya mungkin seorang ibu yang mencurahkan perhatian dan kasih sayang merawat anaknya yang belum bisa apa-apa. Tapi Tuhan menganugerahkan seorang Qianbo yang begitu penyayang ketika ibunya tak boleh apa-apa.

BORAK KOSONG
Sumber link

Tiada ulasan:

Catat Ulasan