Isnin, 23 September 2013

ORANG YANG TERLALU CINTAKAN DUNIA BIASANYA TAK INGAT MATI

7 rombongan iblis ketika sakaratul maut

ustazharidrus.blogspot.com, 23 Sep 2013
Syaitan dan Iblis akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Iblis mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan. Hadith Rasulullah SAW. menerangkan: Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1

Akan datang Iblis dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Iblis itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah SWT inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Iblis kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah SWT, matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3

Akan datang Iblis mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi). Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah SWT. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Iblis merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya.

Rombongan 5

Akan datang Iblis merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Iblis, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.” Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Iblis merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Iblis yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?” Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.” Berkata ulamak Iblis: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah SWT hendaklah kamu patuh kepada kami.” Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Iblis bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu: “Bagaimanakah Zat Allah?”
Iblis merasa gembira apabila jeratnya mengena. Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu.” Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi. Berkata Iblis: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.” Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.” Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7

Rombongan Iblis yang ketujuh ini Iblis terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad SAW bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat. Ketahuilah bahawa Iblis itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Iblis dan syaitan yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut. Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah.” Iblis Dengan Ahli Neraka

DALAM sebuah hadith diterangkan bahawa apabila penghuni neraka sudah sampai di neraka, maka di situ disediakan sebuah mimbar dari api, dipakaikan pakaian dari api, bermahkota dari api dan diikat iblis itu dengan tali dari api. Kemudian dikatakan kepada Iblis laknat: “Wahai Iblis, naiklah kamu ke atas mimbar dan bersyarahlah kamu kepada penghuni neraka.” Setelah Iblis menerima arahan maka dia pun naik ke atas mimbar dan berkata: “Wahai para penghuni neraka.” Semua orang yang berada dalam neraka mendengar akan ucapannya dan memandang mereka kepada ketua mereka iaitu Iblis. Kata Iblis: “Wahai orang-orang yang kafir dan orang-orang munafiq, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kepadamu dengan janji yang benar bahawa kamu semua itu mati dan akan dihalau dan akan dihisab dan akan menjadi dua kumpulan. Satu kumpulan ke syurga dan satu kumpulan ke neraka Sa’ir.” Berkata Iblis lagi: “Kamu semua menyangka bahawa kamu semua tidak akan meninggalkan dunia bahkan kamu semua menyangka akan tetap berada di dunia. Tidaklah ada bagiku kekuasaan di atasmu melainkan aku hanya mengganggu kamu semua. akhirnya kamu semua mengikuti aku, maka dosanya adalah untuk kamu. Oleh itu janganlah kamu mengumpat aku, mencaci aku, sebaliknya umpatlah dari kamu sendiri, kerana sesungguhnya kamu sendirilah yang lebih berhak mengumpat daripada aku yang mengumpat.” Berkata Iblis lagi: “Mengapakah kamu tidak mahu menyembah Allah SWT sedangkan dia Allah yang menciptakan segala sesuatu?” Akhirnya Iblis berkata: “Hari ini aku tidak dapat menyelamatkan kamu semua dari seksa Allah, dan kamu juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Sesungguhnya pada hari aku telah terlepas dari apa yang telah aku katakan kepada kamu, sesungguhnya aku diusir dan ditolak dari keharibaan Tuhan seru sekalian Alam.”

Setelah mereka (ahli neraka) mendengar kata-kata Iblis itu maka mereka melaknati Iblis itu. Setelah itu Iblis dipukul oleh Malaikat Zabaniah dengan tombak dari api dan jatuhlah dia ke tempat yang paling bawah, dia kekal selama-lamanya bersama-sama dengan orang-orang yang menjadi pengikutnya dalam neraka. Malaikat Zabaniah berkata: “Tidak ada kematian bagi kamu semua dan tidak ada pula bagimu kesenangan, kamu kekal di dalam buat selama-lamanya.” Janganlah kita menjadi orang yang bodoh apabila kita tahu bahawa Iblis itu hanya menipu kita, Iblis itu adalah musuh ketat kita. Oleh itu janganlah sekali-kali kita ikut menjadi ahli keluarganya, selagi kita bernafas cepatlah kita kembali ke pangkal jalan kalau nafas sudah berhenti maka segala-galanya tidak berguna lagi. Mereka yang takut kepada Allah SWT adalah orang yang akan mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat, oleh itu sembahlah hanya kepada Allah. Orang yang takut kepada   Allah SWT adalah mereka ini disebut orang yang amanah, orang yang bersopan santun, orang yang menganggap semua orang Islam itu sebagai saudaranya. Mereka yang mencabar kekuasaan Allah SWT dengan berketuakan Iblis dan Syaitan adalah mereka ini dikenali sebagai kaki bohong, kaki pencuri, kaki judi, kaki arak, kaki dadah dan sebagainya. bagi mereka ini setiap yang sama dengan mereka adalah ahli atau kakitangan Iblis. Kerja mereka adalah menjatuhkan maruah mereka sendiri dan menghancurkan Islam.

waallahua'alam

Menteri tak jawab adakah Tanda Putera kisah benar

Hazayani Zakaria, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Program Penerbitan Filem Kenegaraan Dan Warisan di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperuntukkan sebanyak RM2 juta untuk pembikinan Filem Tanda Putera.

Jumlah tersebut diberikan dalam bentuk peruntukan tunai manakala RM700,000 lagi diperuntukkan dalam bentuk penggunaan produksi.

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) pula memperuntukkan sebanyak RM2 juta melalui geran pembangunan kandungan (BCi2) untuk pembikinan filem yang ditayangkan bermula 29 Ogos lalu itu.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hasil kutipan tayangan filem tersebut akan disalurkan semula ke dalam dana program bagi membangun dan memberi peluang kepada lebih banyak filem kenegaraan seperti Tanda Putera dihasilkan.

Bagaimanapun, selepas seminggu ditayangkan, filem penuh kontroversi itu gagal mencapai sasaran pecah panggung menyebabkan ia terpaksa dipindahkan ke pawagam lebih kecil.

Seminggu tayangan, Tanda Putera hanya berjaya mengutip RM500,000 daripada penjualan tiket di 70 pawagam seluruh negara dari hari bermula tayangan.

Pengerusi Skim Wajib Tayang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Mustapha Maarof menyifatkan perkara tersebut sebagai sangat memalukan dan menyedihkan.

Kutipan box office Tanda Putera disifatkan sangat menyedihkan jika dibandingkan dengan filem KL Zombie yang mendapat kutipan RM3 juta bagi tempoh sama.

Lim dalam soalannya meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan sama ada filem Tanda Putera tersebut berdasarkan kisah benar punca peristiwa berdarah 13 Mei, dan sekiranya tidak, beliau ingin tahu sebab agansi-agensi kerajaan terlibat dan duit rakyat RM4.8 juta digunakan dalam penerbitan ini.

Menteri dalam jawapannya bagaimanapun tidak menjawab sama ada Tanda Putera berdasarkan kisah benar punca peristiwa berdarah 13 Mei atau tidak.

Beliau sebaliknya hanya memberitahu bahawa Tanda Putera adalah filem kenegaraan yang mengangkat kisah persahabatan dan pengorbanan dua negarawan iatu Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

"Ia digarap dengan menarik serta mengupas dengan jelas kemelut yang terpaksa diharungi kedua tokoh negarawan ini dalam menangani cabaran peristiwa 13 Mei," kata Ahmad Shabery.

Naik subsidi minyak elak tambang bas naik

Hazayani Zakaria, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan disarankan menaikkan subsidi minyak kepada pengusaha pengangkutan awam khususnya bas ekspres agar mereka tidak ada alasan untuk menaikkan tambang.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen baru-baru ini menyebabkan pengusaha bas ekspress menaikkan tambang sebanyak 10 peratus

"Contohnya bas dari Kuala Lumpur ke Alor Setar naik sebanyak RM5 selepas Aidilfitri. Minyak naik 20 sen sahaja tapi tambang naik sampai lima ringgit.

"Jadi kerajaan perlu beri subsidi yang lebih kepad apengusaha bas ekspres," kata beliau ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat siang tadi.

Awal September lalu, walaupun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan bahawa tiada kenaikan tambang untuk perkhidmatan bas ekspres buat masa ini, pengusaha bas ekpress dibenarkan mengenakan caj tambahan 10 peratus sehingga tambang baharu diumumkan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam jawapannya berkata, kerajaan tidak pernah menaikkan harga minyak sebaliknya ditetapkan oleh harga pasaran minyak sedunia.

Ahmad berkata, kerajaan hanya mengurangkan subsidi dan tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap kenaikan harga minyak.

Katanya, golongan berpendapatan tinggi, 40 peratus daripada keseluruhan rakyat, menikmat hampir 80 peratus subsidi yang diberikan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau berkata, subsidi tidak begitu berkesan untuk sampai ke kumpulan sasaran.

Presiden, timbalan tiada pertandingan, negara akan binasa juga

Aspan Alias, 23 Sep 2013
Najib berkata dengan tiada siapa yang mencabar kedudukan beliau dan timbalannya dalam pemilihan parti kali ini menunjukkan yang UMNO bertambah kuat dan akan terus menjadi parti harapan untuk rakyat dan negara. Katanya lagi dengan memenangi kerusi Presiden tanpa bertanding itu adalah petanda arah yang parti semakin kuat bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.

Sebenarnya UMNO yang asal dan UMNO yang baru ini telah wujud selama 67 tahun dan dalam usia yang sebegitu lama hanya dua kali sahaja pertandingan di peringkat Presiden itu berlaku. Pertamanya pada tahun 1978 dalam mana Haji Sulaiman Palestin yang telah bertanding jawatan Presiden itu menentang Hussein Onn dan pada 1987 dalam mana Tengku Razaleigh Hamzah telah tampil memberikan saingan kepada Presiden UMNO semasa itu Dr Mahathir Mohammed.

Dalam Perhimpunan Agung yang lainnya tiada pertandingan di peringkat Presiden ini. Selepas pertandingan 1987 dahulu UMNO tidak pernah ada pertandingan di peringkat Presiden tetapi selepas itu pula lah UMNO bertambah lemah seperti yang kita lihat pada hari ini. Tiada pertandingan telah membuktikan yang UMNO itu bertambah lemah dan ini terbukti dengan jelas dan nyata.

Dalam erti kata lain pertandingan tidak semestinya melemahkan parti dan jika tidak ada pertandingan tidak bermakna parti UMNO itu akan kuat. Ia bergantung kepada tahap mana kita boleh menjaga semangat demokrasi itu dengan betul dan baik. Begitu jugalah jika tiada pertandingan ia tidak bermakna yang sedia ada itu adalah yang terbaik dan jika ada pula pertandingan ia tidak bermakna yang ada itu tidak baik.

Dalam kes UMNO ini yang menyebabkan tiada pertandingan itu ialah kerana masing-masing yang ada dalam barisan kepimpinan itu lebih mengira dan menjaga kepentingan serta keseronokan berkuasa dalam kerajaan. Jika kita dengar gossip dan pandangan ahli-ahli UMNO itu Najib itu adalah pemimpin yang sepatutnya tidak berada di puncak kepimpinan UMNO dan negara.

Tetapi oleh kerana manusia yang didalam kepimpinan parti itu tidak berani bertindak maka mereka terpaksa mengikut lenggang dan lenggok pucuk pimpinan itu sahaja. Mereka memberikan alasan yang biasa iaitu kesatuan dan perpaduan sebagai alasan untuk mengikut kehendak pucuk pimpinan yang berkuasa itu. Itu sebab saya selalu berkata UMNO sememangnya tidak boleh diperbaiki lagi kerana pemimpin yang baik berada di luar barisan kepimpinannya.

Bagi saya UMNO akan hanya boleh berubah apabila parti itu benar-benar tersungkur sahaja baru memulakan perubahan. Tiada apa yang akan berubah, dan ia akan tetap sama seperti UMNO sekarang dan semalam. Jika begitu lama kita menganggap UMNO mempunyai barisan pimpinan yang rasuah, maka itu jugalah keadaan selepas pemilihan ini. Tidak akan ada perbezaannya dalam apa perkara sekali pun.

UMNO akan menjadi parti yang kian hari kian buruk dan tidak ada apa yang hendak kita harapkan di masa hadapan selain dari penerusan budaya rasuah, menyalah gunakan kuasa, serta membina budaya kronism dalam pentadbiran negara.

Telinga kita akan disumbatkankan dengan puluhan malah ratusan slogan baru yang bertentangan nilainya di antara satu dengan lain. Kita akan berhadapan dengan perancangan-perancangan baru yang akan berubah dalam tempoh beberapa bulan sahaja dan Najib akan terus menerus melancarkan satu perancangan setiap beberapa bulan sekali.

UMNO akan tetap merancang banyak perkara sehinggakan tiada masa untuk melaksanakannya. Idris Jala ada di Jabatan Perdana Menteri, mengarang dan mencipta perancangan untuk Najib mengumumkannya melalui media masa dengan majlis-majlis pelancarannya. Semua perancangan-perancangan ciptaan Idris Jala itu ialah untuk Najib mengadakan majlis pelancarannya yang kita tahu dari awal tidak akan membawa negara ke mana-mana sekali pun.

Jika ada pun cara untuk merubah keadaan ini hanya parti-parti dalam komponen Barisan Nasional sahaja yang mampu melakukannya. Jika PAS dalam Pakatan Rakyat sudah mula berfikir untuk mengkaji semula gabungan dan perhubungan dengan rakan kongsinya PKR, parti-parti dalam BN juga boleh melakukan perkara yang sama demi untuk mencari jalan penyelesaian masalah-masalah ciptaan UMNO dan kepimpinannya terhadap negara dan kerajaan.

Itulah sebabnya saya tetap mengekalkan pendapat saya yang perubahan mesti dilakukan dari awal seolah-olah kita belum ada kerajaan. Kita mulakan sebuah negara baru dengan perubahan kepada sistem yang baru agar dapat kita membina kembali siasah negara ini ke tahap negara yang benar-benar demokrasi dan bersih dari dosa dan noda rasuah dan budaya kuning dalam pembangunan negara dan rakyatnya. Sesungguhnya kita sedang berada dalam kesulitan yang tiada penghujungnya.

Ramailah yang akan mengkritik pandangan saya ini tetapi yang penting bagi saya pandangan ini akan pasti menjadi kenyataan tidak berapa lagi. Sementara menunggu kebenarannya biarlah saya tanggung dahulu maki hamun dan kritikan yang bakal mendatang itu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Belanjawan Selangor 2014 mesra rakyat

Selangorku, 23 Sep 2013
SUBANG JAYA: Kerajaan negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, mulai hari ini hingga esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan itu penting supaya perlaksanaan Belanjawan Selangor 2014 selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat.

Sebelum ini, kerajaan negeri turut melaksanakan sesi dialog serupa bagi membincangkan perlaksanaan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) Pakatan Rakyat.

Maklum balas dari sesi dialog itu dimuatkan dalam Pelan Tindakan Lima Tahun.

“Ia untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, pensyarah dan lain-lain untuk dibincangkan bagi Belanjawan 2014 Selangor.

“Ia ambil kira kehendak rakyat walaupun mereka tahu sekatan belanjawan melalui hasil negeri antara RM1.4 hingga RM1.6 bilion,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di sini.

Abdul Khalid berkata, penekanan kepada belanjawan berimbang masih menjadi keutamaan pentadbiran beliau. Sebarang program dan pelan tindakan hanya akan dirangka berdasarkan kepada had Belanjawan dan mengikut hasil pendapatan kerajaan negeri.

“Belanjawan bagi Selangor ialah belanjawan berimbang dengan tiada perbelanjaan defisit. Apa yang kita hasilkan itu sahaja yang boleh kita gunakan,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri mahu meneruskan usaha memuktamadkan pengambilalihan industri air negeri menjelang Disember tahun ini.

Turut diberi penekanan adalah pengagihan saham-saham air kepada rakyat Selangor sekiranya pengambilalihan ini berjaya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata skim air percuma 20 meter padu juga dapat diteruskan 10 tahun lagi dengan pengambilalihan itu.

Menyedari permasalahan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor akan dirancakkan lagi melalui dasar baru Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH), serta peranan semi-otonomi kepada unit bertanggungjawab di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Antara tujuan lain yang diberi penekanan adalah pembinaan Pengkalan Data Bersepadu bagi semua program-program yang dibiayai kerajaan negeri termasuk statistik penerima bantuan dan penerima manfaat agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), penyenaraian program-program baru dan butiran penambahbaikan program sedia ada.

Bagi membantu menjana ekonomi usahawan, semua aktiviti dan program keusahawanan akan dipusatkan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri yang menjadi agen sehenti pembangunan keusahawanan setempat, serta menambah daya program-program komuniti yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Kerajaan negeri juga akan melaksanakan kaji selidik menyeluruh sebelum menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor, yang bertujuan membantu menangani isu-isu pensijilan halal bagi produk-produk tempatan.

80 terbunuh termasuk kanak-kanak pada Ahad

Harakahdaily, 23 Sep 2013


DAMSYIK: Sekurang-kurangnya 80 terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita dalam serangan terbaru tentera rejim Syria kelmarin.

Jaringan Hak Asasi Manusia Syria (SNHR) memaklumkan, pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad membunuh 29 orang di pinggir bandar Damsyik, 19 di Aleppo, 15 di Idlib, 7 di Dare ez-Zor, 4 di Derra, 2 di Latakia dan Homs dan masing-masing satu di Rakka dan Hama.

Mereka juga memaklumkan sekurang-kurangnya 13 orang tentera regim manakala enam Tentera Pembebasan Syria (FSA) terbunuh dalam pertempuran antara keduanya sejak semalam.

Dalam perkembangan terbaru hari ini, FSA didakwa telah mengawal empat kampung di Aleppo di utara Syria, dan telah membunuh lebih daripada 60 tentera rejim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan