Rabu, 25 September 2013

MUNGKIN KITA TAK BERHARGA DIDUNIA...TAPI YANG PENTING BERHARGA DIAKHIRAT...HARGA DIDUNIA NILAI MANUSIA...NILAI MANUSIA DIAKHIRAT NILAI DARI ALLAH SWT

Masjid di zaman Uthmaniah sekarang jadi gereja

Lan Jusoh, 25 Sep 2013



BUDAPEST: Dahulunya pernah dijadikan tempat ibadat bagi orang Islam, namun sekarang bertukar menjadi gereja. Ia lokasi utama pelancong ke Hungary.

Senibina cukup mengkagumkan. Puncak menara menerjah ke awam dengan lambang salib. Gereja Matthias sekarang menjadi lokasi warisan sejarah di bawah Unesco. Ia terletak di puncak Matthias.

Masjid muncul ketika tentera Turki daripada kerajaan Uthmaniah menduduki bandar utama di Hungary pada 11 September 1526. Sultan Suleiman yang mengetuai tentera membawa pulang patung-patung gangsa ke Constantinople.

Tiga tahun selepas itu tentera Uthmaniah menduduki Budapest dan pada 1541 Budapest dijajah empayar Uthmaniah.

Tentera Islam juga menduduki Byzantine, Greece dan Bulgaria. Uthmaniah meluaskan empayar sehingga ke Algeria dan Tunisia.

Bagaimanapun selepas satu setengah abad berkuasa kerajaan Uthmaniah mulai goyang. Usaha menawan Vienna pada 1683 menemui kegagalan.

Kerajaan Uthmaniah juga menghadapi Persekutuan Austria, Poland, Venice dan Paus dan Rusia.

Akhirnya pada 1699 empayar Uthmaniah menemui kekalahan sehingga terpaksa menandatangani perjanjian damai Karlovitz dan menyerah wilayah-wilayahnya kepada Austria, Vennice dan Poland.

Pada abad ke-19, kerajaan Uthmaniah semakin kehilangan sebahagian besar wilayah apabila Greece memperolehi kemerdekaan pada 1829.

Malangnya Turki semasa di bawah Mustafa Kamal Ataturk menghapuskan nama kerajaan Uthmaniah pada 1922 dan diganti dengan Republik Turki.

Berdasar kepada perkembangan itu tidak hairanlah Hungary yang kaya dengan senibina berunsur Kristian pernah diwarnai elemen-elemen Islam.

Setidak-tidaknya kelihatan tiga kubah besar termasuk berwarna hijau kelihatan dari puncak Citadella, lokasi yang menempatkan kubu benteng pertahanan Hungary.

Kenapa perlu rahsiakan perjanjian AES?

Salmiyah Harun , 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS mempersoal tindakan kerajaan yang mengklasifikasikan perjanjian konsesi projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di bawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA).

Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, kenapa perjanjian antara dua syarikat swasta yang mengendalikan projek AES dijadikan dokumen akta rahsia rasmi kerajaan sedangkan projek itu bukanya menjejaskan keselamatan negara.

"Projek AES tidak ada kaitan dengan keselamatan negara kita dengan negara luar, sebab apa ia diletakkan di bawah akta Rahsia Rasmi,ia melibatkan kepentingan rakyat," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Apa yang patut dibuat kerajaan, katanya perjanjian itu perlu dibentangkan kepada parlimen sebagai langkah penilaian supaya ia dilihat secara telus sebelum melaksanakan perjanjian itu.

"Apa bentuk perjanjian? Kenapa hendak dirahsiakan? Kenapa digelapkan daripada pengetahuan rakyat?," soalnya.

Tegasnya, kerajaan hendaklah melihat perkara ini sangat penting untuk membolehkan ahli parlimen memberi pendapat untuk mengelakkan kerajaan menanggung kerugian semasa pelaksanaan.

Mahfuz tidak menolak pengambilalihan projek ini oleh syarikat baru AES Solution Sdn Bhd akan membabitkan kos pembayaran kepada syarikat asal iaitu Ates Sdn Bhd dan Beta Tegap.

"Dalam hal ini bukan sahaja pengambilalihan tetapi pengingkaran kerajaan terhadap perjanjian dengan syarikat asal. Apabila ambil alih di tengah jalan keuntungan kita akan hilang," katanya.

Misalnya kata beliau, kerajaan telah rugi lebih RM200 juta akibat membatalkan projek Jambatan Bengkok dengan syarikat Gerbang Perdana.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin turut mendesak agar kerajaan mendedahkan perjanjian konsesi AES kepada sidang parlimen.

"Ini untuk kita tahu sejauh mana ketelusan pengambilalihan tersebut berlaku," katanya yang turut bersama dalam sidang media itu.

Tambahnya, dalam isu AES ini kerajaan seolah-olah tidak peka dengan undang-undang misalnya tindakan untuk menyenaraihitamkan pemandu kerana melanggar AES ianya adalah salah.

"'Black list' orang yang langgar AES, terus dianggap bersalah. Ini tidak boleh, hanya mahkamah boleh buat keputusan sama ada orang tersebut bersalah dan mahkamah yang boleh menyenaraihitamkan orang tersebut,"katanya.

Kerajaan perlu serius tangani blog hina agama

Hazayani Zakaria, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memberikan penjelasan berhubung kriteria yang digunakan bagi menentukan sesuatu blog atau laman sesawang itu menghina Islam.

Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) berkata, kerajaan harus memberikan perhatian dan penelitian khusus berhubung perkara ini kerana mendakwa ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu ini untuk kepentingan politik.

"Saya ingin meminta penjelasan tentang penggunaan atau kriteria bagi melabelkan sesuatu laman sesawang itu menghina Islam atau tidak.

"Saya minta supaya perkara ini dibuat dengan penuh penelitian dan perhatian kerana apa yang berlaku dalam beberapa situasi di negara ini ialah portal yang dikatakan menghina Islam itu bukan sahaja persoalan dia menghina Islam tetapi juga mendapat liputan yang meluas sehingga asalnya untuk mengawal tetapi akhirnya menjadi isu yang besar.

"Jadi saya tidak mahu ada unsur-unsur politik yang cuba diambil kesempatan daripada portal-portal ini dan juga pihak tertentu menggunakan isu ini untuk kepentingan politik kerana ini sudah tentu tidak memeprlihatkan sikap serius kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini," kata beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau turut berkata, kerajaan juga tidak harus hanya memberikan perhatian ke atas portal yang menghina Islam sahaja sebaliknya perlu juga melihat portal yang menghina agama-agama lain.

"Jangan sahaja kita melihat portal yang menghina Islam tetapi juga harus melihat portal yang menghina agama lain juga kerana reaksinya adalah secara spontan begitu. Kalau ada blog yang menghina agama lain, maka akan ada blog yang menghina agama Islam," katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Timbalan menteri, Datuk Jailani Johari dalam jawapannya berkata, pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengenal pasti jenis kesalahan yang dilaukan pelimilik blog dan laman sesawang.

"Pihak kementerian tidak membezakan portal yang menghina agama Islam atau pun hina agama lain kerana biasanya dalam siasatan yang diambil kita akan kenal pasti jenis kesalahan, kenal suspek dan bawa kepada pendakwaan. Kita akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan sepeti Jabatan Kemajuan ISlam Malaysia (Jakim) dan PDRM," katanya

Mujahid dalam soalan asalnya meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia menyatakan jumlah blog yang menghina Islam, apakah tindakan yang telah dan akan diambil terhadap pemiliknya.

Jailani memberitahu, sehingga Ogos 2013 sebanyak lima kertas siasatan sudah dibuka  yang melibatkan kesalahan menghina agama Islam.

Selain tindakan mahkamah, sekatan juga dibuat ke atas blog-blog tersebut.

50 sen: Jangan samakan DAP dengan Umno

Harakahdaily, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Sekumpulan pemimpin Melayu dalam DAP hari ini tidak bersetuju dengan pandangan bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Zulkifli Mohd Noor yang mendakwa, calon Melayu dalam parti itu hanya berharga 50 sen yang tiada kepentingan dalam parti.

Dalam satu kenyataan hari ini, mereka yang terdiri dari ahli Melayu dari seluruh negeri itu berkata, agak mengecewakan apabila pihak yang sudah begitu lama terlibat dan menyumbang begitu banyak masa dan tenaga demi perjuangan parti akhirnya kalah dengan ego masing-masing demi merebut pengaruh dan kuasa politik.

"Hujah bahawa kononnya DAP tidak meletakkan nilai tinggi kepada kaum tertentu bukan sahaja dangkal, malah sangat jahat kerana tindakan sedemikian menggagalkan agenda parti ke arah sebuah negara yang menyediakan peluang saksama kepada semua pihak.

"Jika DAP juga menggunakan sentimen perkauman, apa yang membezakan ahli politik DAP dengan UMNO-Barisan Nasional," kenyataan itu dipetik.

Berikut kenyataan penuh mereka.


Aktivis DAP digesa henti sentimen perkauman kerana akan merencatkan aspirasi parti ke arah negara yang adil buat semua.

Menjelang pemilihan semula DAP hujung minggu ini, begitu hebat sekali kempen politik yang dijalankan pihak-pihak tertentu bagi menggagalkan kongres khas tersebut. Tidak kurang juga kempen politik sesetengah pihak lain yang barangkali tidak dapat lagi membendung rasa kecewa dan akhirnya meledak dengan melakukan perkara yang di luar kebiasaan serta amalan ahli parti.

Agak mengecewakan apabila pihak yang sudah begitu lama terlibat dan menyumbang begitu banyak masa dan tenaga demi perjuangan parti akhirnya kalah dengan ego masing-masing demi merebut pengaruh dan kuasa politik.

Parti Tindakan Demokratik adalah parti politik berbilang kaum yang tidak memandang kepada latar belakang keturunan.

Hujah bahawa kononnya DAP tidak meletakkan nilai tinggi kepada kaum tertentu bukan sahaja dangkal, malah sangat jahat kerana tindakan sedemikian menggagalkan agenda parti ke arah sebuah negara yang menyediakan peluang saksama kepada semua pihak.

Jika DAP juga menggunakan sentimen perkauman, apa yang membezakan ahli politik DAP dengan UMNO-Barisan Nasional?

Adakah dengan sekadar lahir sebagai kaum tertentu di negara ini maka mesti diberi hak berbeza dan istimewa dalam sebuah parti politik?

Tindakan pihak-pihak seperti saudara Zulkifli Mohd Noor yang sedang cuba menjaja isu perkauman di tengah-tengah ribut kencang pemilihan ini adalah amat memalukan dan harus dihentikan serta merta. Ini juga memberi bayangan bahawa masih terdapat segelintir pihak dalam kalangan aktivis parti yang gagal memahami aspirasi parti DAP.

DAP sedang berusaha keras untuk melahirkan imej parti yang lebih segar dengan membawa pendekatan politik baru dengan gaya berbeza untuk memperkukuh aspirasi politik dasar dan bukannya politik perkauman.

Kami sangat kecewa apabila aspirasi parti ke arah politik baru ini tidak dapat dihadam pihak-pihak tertentu yang sehingga ke hari ini menjaja keturunan kaumnya sebagai suatu modal politik demi mendaki tangga kedudukan politik. Seharusnya dengan pengalaman yang banyak, kesilapan-kesilapan politik yang begitu dangkal ini boleh dielakkan.


Oleh yang demikian kami menggesa supaya para aktivis parti berhenti menjaja sentimen perkauman yang akhirnya akan menjadi fitnah kepada parti dan membantut usaha bersama ke arah sebuah negara yang lebih baik tanpa batas-batas perkauman.

Sebaliknya setiap aktivis parti yang ingin dihargai oleh parti haruslah berusaha keras mengukuhkan agenda parti untuk membina Malaysia yang lebih sejahtera untuk semua tanpa mengira warna kulit, keturunan dan darjat.

Ditandatangani,

Mahdzir Ibrahim
Ahli MEK DAPSY Pusat

Hafiz Zainuddin
Timbalan Pengerusi DAP Cawangan Jalan Brunei Pudu

Mohd Hariszuan
Ketua Pemuda DAPSY Bukit Bendera

Dyana Sofya
Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah

Rozaimin Elias
Bendahari DAP Cawangan Bangkok Lane

Edry Faizal Eddy Yusof
Timbalan Pengerusi pro-tem DAP Cawangan Bandar Utama

Nur Fitriah Abd Halim
DAP Bukit Bendera

Mohamad bin Samat
Setiausaha Organisasi DAPSY Selangor

Mohammad Firdaus Babh
Penolong Setiausaha DAPSY Selangor

Wira Andika A. Halim
DAP Cawangan Bukit Bintang Baru

Izmil Amri Ismail
DAP Cawangan Bangkok Lane

AES: Kenapa menteri, AG tak jawab?

Muhammad Faizal, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-undang Kempen Anti Saman Ekopr (Kase), Zulhazmi Shariff hari ini mengulangi cabaran beliau agar Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien dan juga Peguam Negara menunjukkan sepatah ayat di dalam saman Penguatkuasaan Automatik (AES) yang menyebut "saman hendaklah dibayar".

Jelasnya lagi, beliau sanggup untuk menjelaskan ke semua saman-saman tersebut jika ada perkataan yang mengarahkan saman tersebut hendaklah dibayar.

"Sebelum ini saya telah mengemukakan cabaran kepada Pemangku Menteri Pengangkutan dan Peguam Negara berhubung dengan saman AES agar menunjukkan sepatah ayat di dalam saman tersebut yang menyebut saman hendaklah dibayar.

"Serta tunjukkan satu ayat bahawa kompaun hendaklah dibayar, jika ada saya akan tunggu di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menjelaskan semua saman-saman AES," jelas beliau.

Tambah Zulhazmi lagi, sekiranya kerajaan gagal menunjukkan arahan tersebut beliau mengesa agar kerajaan menghapuskan dan melupuskan ke semua saman AES yang telah dikeluarkan dan memulangkan semua duit kompaun yang telah dikutip.

"Malangnya sehingga hari ini tiada mana-mana pihak yang tampil menyahut cabaran saya tersebut.

"Justeru saya beranggapan bahawa sememangnya tiada sebarang ayat di dalam saman AES yang mewajibkan penerima saman untuk membayar," sambung beliau.

Zulhazmi turut memberitahu segala pengumuman atau tindakan kerajaan selama ini yang meminta malah mengugut penerima saman membayar saman atau membayar kompaun adalah tidak bersandarkan peruntukkan undang-undang.

"Jika kerajaan mahu rakyat mengikut undang-undang, Kerajaan mesti terlebih dahulu hormati undang-undang," katanya.

ProM ikrar pertahan kampus Lembah Klang

Harakahdaily, 25 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kumpulan Pro Mahasiswa Nasional (ProM) semalam menyatakan ikrar mereka untuk berusaha mengekalkan penguasaan kumpulan itu di semua kempus sekitar Lembah Klang pada Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang.

Pengerusinya Edikoup Lakip Sediyanto berkata, pihaknya juga sedang bersedia untuk membuat kejutan di beberapa kampus di seluruh Malaysia.

"Kami telah memulakan beberapa siri kempen kesedaran dan aktiviti-aktiviti lain bagi memperkenalkan calon-calon Pro Mahasiswa kepada para pelajar.

"Kami yakin, berdasarkan rekod kerja cemerlang yang ditunjukkan selepas memenangi pilihanraya lepas, para pelajar akan terus memilih Pro Mahasiswa sebagai wakil mereka bagi menyuarakan pandangan dan idea mereka kepada pihak pentadbiran universiti," katanya pada satu sidang media semalam.

Mengulas soal manifesto, beliau berkata ProM, akan memfokuskan tawaran kepada tiga teras utama iaitu Akademik, Kebajikan serta Autonomi Mahasiswa.

Dalam pada itu, ProM mendesak pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mengumumkan tarikh pilihanraya kampus segera bagi memenuhi tuntutan sebuah demokrasi dan memudahkan perjalanan pilihanraya kampus.

"Kami juga menuntut pilihanraya pada kali ini telus dan bersih serta bebas dari campurtangan politik luar.

"Sepertimana yang semua sudah maklum, pada tahun lepas Umno menggunakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melancarkan Ops 2020 bagi menawan semua 20 kampus IPTA seluruh Malaysia.

"Kami kesal dengan penyalahgunaan institusi kerajaan untuk kepentingan parti-parti politik dan campurtangan parti politik dalam perjalanan pilihanraya kampus ini," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan