Isnin, 23 September 2013

HUTANG TERGANTUNG AMAL...BAGAIMANA JUTA2 TAK BAYAR

Peruntukan pembangkang: Pusat patut ikut P Pinang

Harakahdaily, 23 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak digesa untuk mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan memberikan peruntukan tahunan kepada ahli parlimen pembangkang.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari membuat gesaan itu dalam satu kenyataan bersama.

Ini ekoran Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa semua Adun negeri tersebut, termasuk Adun pembangkang, akan diberikan peruntukan untuk projek pembangunan kecil.

Justeru, 10 orang Adun pembangkang daripada Umno akan diberi peruntukan sebanyak RM40,000 bagi tujuan tersebut mulai 2014.

Bagi Sin dan Zairil, tindakan tersebut jelas merupakan satu langkah besar ke hadapan untuk mewujudkan sebuah demokrasi yang matang di negara kita.

Kata mereka, ia sekaligus juga membuktikan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bermain politik dan sebaliknya serius dalam usaha pendamaian nasional yang tidak pernah diamalkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Usaha ini patut dicontohi setiap kerajaan negeri di Malaysia dan sudah tentu sekali oleh kerajaan Persekutuan,” ujar mereka.

Pada tahun ini, sejumlah RM185.5 juta telah diperuntukkan kepada semua 222 kawasan parlimen, bersamaan dengan lebih kurang RM835,000 setiap kawasan.

“Malangnya, Ahli Parlimen pembangkang langsung tidak diberi kuasa untuk mengurus ataupun meluluskan sebarang projek menggunakan peruntukan tersebut,” kata mereka lagi.

Jelas, ujar mereka tindakan itu merupakan diskriminasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang dan pencabulan terhadap prinsip demokrasi, juga boleh dilihat sebagai menghina rakyat di kawasan-kawasan pembangkang.

Justeru, mereka menggesa kerajaan Persekutuan terutamanya Najib untuk mengikut jejak langkah kerajaan negeri Pulau Pinang dan memberikan peruntukan tahunan kepada Ahli Parlimen pembangkang agar kami dapat melaksanakan kewajiban kami sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah.

“Kami juga berharap Perdana Menteri akan mengambil peluang ini untuk bertindak secara berhemah dan membelakangkan kepentingan politik sempit demi mencapai kematangan proses demokrasi di negara kita,” kata mereka.

Menteri cerita diabetes kerana nak naikkan harga gula?

http://www.ekeleh.com, 22 Sep 2013

Menteri mula cerita pasal diabetes kerana nak naikkan harga gula!

Sebelum ini, semasa kenaikan harga gula ada Menteri dan Timbalan menteri bercerita pasal diabetes. Penting harga gula dinaikkan untuk mengurang bilangan pesakit diabetes. Masa harga gula tak dinaikkan Menteri bukannya nak hiraukan tentang diabetes.
Kali ini giliran Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam bercerita tentang diabetes kerana nak menaikkan harga gula. Kerajaan disaran mengurangkan subsidi harga gula secara berperingkat sebagai langkah menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman serta mengurangkan penghidap diabetes, lapor Bernama.
“Setakat ini bilangan penghidap diabetes di negara ini telah meningkat kepada 2.6 juta orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
“Ini semua berlaku kerana rakyat kita tidak mengawal penggunaan gula dalam makanan dan minuman,” katanya.
Selepas ini, kalau nak naikkan harga ayam, mereka akan bercerita kebaikan ikan pulak!!

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Pemuda PAS Kelantan tubuh Madrasah Ustaz Yahya Othman

Salmah Mat Husain, 22 Sep 2013


KOTA BHARU: Lajnah Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan telah menubuhkan Madrasah Murabbi Ummah, Ustaz Yahya Othman.

Majlis perasmian madrasah bagi membentuk generasi murabbi itu telah dirasmikan oleh ketuanya, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, semalam.

Hampir 120 orang menghadiri program pertama itu yang terdiri dari pelbagai latar belakang pendidikan untuk memantapkan lagi konsep tarbiah pada diri mereka.

Program yang bermula pada 21 September lalu akan diadakan selama dua kali sebulan setiap hari Sabtu bermula jam 10.00 pagi selama dua jam di Syabab Point yang bakal mengupas buku-buku yang ditulis golongan ulama tersohor, termasuk allahyarham Ustaz Yahya sendiri.

Abdul Latif ketika berucap pada majlis perasmian itu berkata, madrasah berkenaan diwujudkan bagi membentuk generasi murabbi memandangkan almarhum merupakan insan yang berjaya memberikan tarbiah kepada anggota jemaah.

“Apabila kita sebut  tentang tarbiah, kenapa almarhum Ustaz Yahya Othman yang kita fikirkan? Ini kerana allahyarham beramal dengan ilmu yang dipelajari.

“Allahyarham berjaya mendidik anggota keluarga terutama anak-anak pada jalan dakwah dan tarbiah sebelum meneruskannya pada anggota gerakan Islam,” ujarnya.

Abdul Latif bagaimanapun berharap program berkenaan tidak terhenti di tengah jalan kerana generasi muda hari ini memerlukan suatu contoh pentarbiahan yang unik dan berjaya.

Beliau turut menyentuh keistimewaan allahyarham antara lain tiada sifat dendam, malah mengingatkan anggota jemaah agar menjauhi sifat itu.

Pada masa yang sama beliau turut melahirkan rasa kesal di atas tindakan anggota parti yang mengkritik jemaah secara terbuka di laman sosial facebook.

Menurutnya, jika sebelum ini teguran di kedai kopi sudah dianggap tidak wajar dilakukan oleh anggota parti, apa lagi dalam facebook yang lebih terdedah kepada ribuan orang.

“Rasa tidak puas hati, kesilapan yang perlu diperbaiki oleh pimpinan, perbetulkanlah di tempat yang baik dan bukannya di facebook,” ujarnya.

Untuk itu, tambahnya program tarbiah mesti diteruskan dalam usaha untuk menyelamatkan keluarga, anggota jemaah untuk persiapan mereka sebagai pimpinan pada masa akan datang.

Pajak: Anak khuatir peneroka bakal hilang tanah

Muhammad Faizal, 22 Sep 2013


KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) akan membuat satu laporan polis pada 30 September nanti berhubung dakwaan terdapat pujukan daripada pihak pengurusan Felda agar peneroka memajak tanah milih mereka.

Presidennya Mazlan Aliman berkata, maklumat tersebut diperolehi daripada peneroka dan anak mereka.

Katanya, usaha tersebut sudah pun berada pada peringkat memberi taklimat kepada peneroka tentang kebaikan dan keuntungan yang mereka akan perolehi.

Katanya lagi, tindakan itu menimbulkan tanda tanya tentang tawaran yang akan diberikan kepada peneroka memandangkan tempoh pajakan adalah selama 30 tahun.

"Saya cukup bimbang dengan tawaran yang berlaku sekarang iaitu memujuk peneroka agar memajak tanah milik mereka dalam tempoh 30 tahun.

"Walaupun tiada dokumen yang sah kita perolehi tetapi tindakan ini merupakan satu usaha yang tidak sepatutnya berlaku dan saya harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan atas laporan yang akan kita lakukan nanti," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini. Hadir sama ialah pakar ekonomi, Dr Rosli Yaakop dan peguam Haris Abdullah.

Tambah beliau, usaha tersebut telah berlaku dan taklimat itu dilakukan oleh di Dewan JKK, Felda Kemahang 1.

"Mereka menawarkan kepada peneroka dalam bentuk wang tunai bayaran sekaligus RM500,000 sekiranya peneroka bersetuju memajak tanah mereka sepuluh ekar untuk tempoh 30 tahun.

"Cara pambayarannya adalah setiap bulan iaitu sebanyak RM5,000 sepanjang tempoh pajakan, kemudian dalam bentuk wang tunai RM500,000 diberikan mengikut pecahan iaitu RM100,000 dibayar kepada peneroka, RM150,000 dimasukkan ke dalam Koperasi Permodalan Felda (KPF), manakala selebihnya digunakan untuk pengurusan peneroka sepanjang tempoh 30 tahun.

"Saya juga mendapat maklumat taklimat turut berlaku di Felda Sungai Tengi dan juga di Felda Teloi Timur, maklum balas mengatakan sebahagian peneroka bersetuju untuk menyerta tawaran ini," jelas beliau.

Mazlan juga mendesak agar Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan juga Pengarah Besar Felda Datuk Faizoull Ahmad memberikan penjelasan mengenai dakwaan tawaran dibuat oleh pentadbiran Felda.

"Kita minta penjelasan dari mereka untuk tampil menjelaskan tentang tawaran yang dibuat, kita tidak ada bukti kukuh tetapi segala maklumat tersebut diperolehi daripada peneroka sendiri.

"Usaha ini menggambarkan keadaan terdesak kewangan Felda dan kalau benar ini berlaku yang mana mereka menjana kewangan dengan memajak tanah peneroka itu merupakan satu yang malang untuk seluruh peneroka yang bakal kehilangan tanah mereka.

"Kita akan mengumpulkan bukti setiap dakwaan tersebut dan satu tindakan yang tegas perlu diambil agar nasib peneroka terus terbela dan bukannya dijadikan mangsa,” katanya.

Jelasnya, Anak akan mengadakan jelajah memberi penerangan kepada peneroka tentang muslihat di sebalik tawaran tersebut pada bulan Oktober nanti yang akan bermula di Jengka, Pahang.

Sementara itu, peguam Haris Abdullah meminta agar peneroka berfikir sebelum bersetuju dengan tawaran tersebut.

Jelasnya, peneroka bakal kehilangan tanah apabila Felda gagal melunaskan pinjaman pajakan mereka setelah tamat tempoh tersebut yang membenarkan tanah tersebut dilelong.

Hutang isi rumah rakyat Malaysia membimbangkan

Hazayani Zakaria, 22 Sep 2013
SHAH ALAM: Jumlah hutang isi rumah sebanyak 75.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) nominal pada akhir Julai 2012 merupakan fakta yang membimbangkan.

Menurut Setiausaha Penasihat Syariah, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) Mohd Nazri Bin Chik, sehingga Mac 2013, angka tersebut meningkat kepada 82.9 peratus dan merupakan yang tertinggi di rantau ini.

Beliau berkata, pinjaman terkumpul bagi pembelian harta kediaman dan kenderaan iaitu 64 peratus adalah bahagian terbesar pinjaman isi rumah.

"Peratusan ini menunjukkan kesan pembiayaan peribadi dalam menggiatkan industri perumahan dan automobil negara dengan membolehkan individu membeli rumah dan kenderaan," kata beliau sewaktu membentangkan kertas kerja bertajuk "Pembiayaan Peribadi Oleh Perbankan dan Kesannya KEpada Kuasa Beli Pengguna" di Seminar Kebangsaan Maqasid Syariah 2013 anjuran Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) dekat sini, semalam.

Menurut beliau juga, penggunaan kad kredit kekal tinggi dengan urus niaga meningkat 6.7 peratus kepada RM53.6 billion (Januari hingga Julai 2011: 11.8 peratus, RM50.3 billion).

Jumlah baki tertunggak kad kredit adalah sebanyak RM32.9 billion (akhir tahun 2011: RM33.4 billion).

"Perbelanjaan kad kredit mewakili 3.1 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan dan 5.6 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah pada akhir Julai 2012.

Jumlah pinjaman tidak berbayar bagi hutang kad kredit berkurang sebanyak RM491 juta dan nisbah pinjaman terjejas bertambah baik kepada 1.5 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul sistem perbankan pada akhir Juli 2012 (akhir tahun 2011: RM528 juta, 1.6 peratus.

Didik rakyat

Munurut Nazri, tiada statistik dan data khusus tentang tujuan pengambilan pembiayaan peribadi oleh pelanggan dalam sistem perbankan.

"Banyak kesan negatif dalam ekonomi apabila sekelopok rakyat gagal menguruskan perancangan kewangan individu termasuk memiliki timbunan hutang yang berlebihan," katanya.

Bagaimanapun katanya, sistem perbankan dengan kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM) telah memainkan peranannya dalam membantu menggiatkan aktviti ekonomi negra melalui pendanaan dan pembiayaan bersumberkan dana daripada unit-unit lebihan dalam sektor ekonomi negara.

Beliau menyarankan agar usaha digiatkan untuk mendidik rakyat, umat Islam khususnya untuk memiliki ilmu perancangan kewangan peribadi.

"Umat Islam khususnya, perlu dididik untuk berurusan dengan sistem perbankan Islam  jika memerlukan kemudahan perbankan.

"Peranan sistem perbankan dalam ekonomi perlu diteruskan dengan urus tadbir yang baik, amalan pengurusan risiko yang berkesan dan pembiayaan yang bertanggungjawab untuk memastikan sistem ekonomi negara keseluruhannya teguh dan mampan dalam menempuh persekitaran ekonomi dunia yang semakin mencabar," katanya.

Antara pembentang kertas kerja ialah Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (Isra), Prof Madya Dr Mohamad Akram Laldin;  Pengerusi Pembangunan Sosial Ikram, Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail.


Berhutang – Roh Tergantung Antara Langit Dan Bumi…

Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:
“Roh seorang mukmin yang berhutang jika hutangnya tidak dijelaskannya maka tergantung-gantunglah ia di antara langit dan bumi, yang bererti terseksalah roh itu hingga dibiarkan hutangnya itu”
Oleh itu, walaupun banyak amal ibadat kita, banyak sedekah kita, jika ada hutang yang tidak selesai walaupun satu sen pasti roh kita akan terseksa setelah kita mati.
Oleh itu, jika berhutang hendaklah ditulis dan beritahu kepada waris kita sebelum kita mati supaya waris kita dapat menyelesaikannya.
Seperti firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 282:
“Wahai orang mukmin, apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan cara berhutang (yang bertempoh) hingga ke ssuatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulisnya (kadarnya dan tempohnya) dan hendaklah ada jurutulis yang menulisnya dengan adil dan benar, dan janganlah seorang penulis itu enggan menulis/mencatit sebagaimana Allah telah ajarkan. Oleh itu hendaklah penulis itu mengikut yang merencanakan oleh pihak yang terlibat dengan penuh rasa taqwa kepada Allah Tuhannya dan janganlah dia mengurangkan sesuatupun dari jumlah atau kadar dan tempoh masa berhutang itu dimulakan hingga selesai dibayarkan balik dengan sempurna.”


Kisah Tauladan Kerana Hutang Duit Kopi 5 Sen

Kisah Tauladan Kerana Hutang Duit Kopi 5 Sen | Kisah ini adalah kisah benar yang menceritakan seorang hamba Allah tergantung amal solehnya ketika mati oleh kerana berhutang duit kopi 5 sen daripada kawannya.
Ustaz Halim (bukan nama sebenar), telah diganggu dengan suatu mimpi yang dia sendiri tidak memahaminya. Berbulan bulan dia tidak lelap tidur kerana mimpi tersebut. Dia bermimpi datang seorang lelaki yang dalam keadaan yang amat terseksa dan melambai-lambaikan tangan kepadanya dengan berkata “tolong bebas kan aku”.
Setelah bersolat hajat, bertanya dengan orang-orang ‘alim akhirnya dia telah bertanya dengan ibunya dimanakah kubur bapanya. Ibunya bercerita, ketika berlaku serangan Jepun di Tanah Melayu, dia telah terpisah dengan suaminya. Hampir 40 tahun berlalu dia tidak pernah dengar langsung khabar berita. Maklumat yang diketahui ayahnya telah terbunuh ketika perang Jepun dahulu.
Setelah berlalu beberapa bulan, Ustaz Halim tidak jemu-jemu bermunajat dan berdoa agar Allah memberikan petunjuk supaya dia dapat menyelesaikan mimpinya. Mengikut orang-orang ‘alim, orang yang memanggilnya didalam mimpi tersebut ialah roh ayahnya.
Ustaz Halim sentiasa berdoa kepada Allah supaya mengampuni dosa ayahnya dan melepaskan siksaan yang diderita oleh ayahnya. Namun setelah dua tahun berlalu dia masih diganggu oleh mimpi tersebut lagi. Masa berlalu, akhirnya dia dapat maklumat bahawa sebenarnya ayahnya baharu meninggal lebih kurang dua tahun yang lalu. Maklumat yang diterima, ayahnya adalah seorang yang berjaya dalam perniagaan dan telah banyak melakukan amal kebajikan untuk kabaikan Islam.
Setelah terpisah ketika perang Jepun, arwah ayahnya telah berikthiar mencari isterinya namun tidak berjumpa. Ayahnya mendapat tahu isterinya telah meninggal dunia kemudian telah mendirikan rumahtangga dengan isteri kedua dan dikurniakan dengan lima orang anak perempuan. Ustaz Halim telah pergi ke rumah ibu tirinya untuk mengetahui jika ayahnya dahulu ada meninggalkan apa-apa hutang yang belum selesai. Ibu tirinya dan adik-adik tirinya tidak memberikan kerjasama yang baik setelah mengetahui bahawa Ustaz Halim adalah juga waris kepada simati. Dia takut Ustaz Halim akan menuntut haknya daripada harta simati.
Bagimanapun daripada peguam keluarga ayahnya memberitahu bahawa semua hutang simati telah dijelaskan dan tidak ada satu pun yang tinggal. Ustaz Halim terus menyiasat, kepada semua kenalan arwah bapanya dan memohon semua kenalan bapanya jika ada salah dan silap ketika dia hidup harap diampunkan. Masa berlalu, mimpi masih terus menganggu.
Suatu hari Ustaz Halim pergi semula kerumah ibu tirinya, menceritakan kepada ibu tirinya tentang mimpi yang dialaminya.Mimpi tersebut bermula setelah kematian ayahnya. Ibu tirinya merasakan tidak mungkin sebab arwah ayahnya adalah seorang yang taat beribadah dan rajin bersedekah. Suka menolong orang susah. Tidak pernah lambat menjelaskan zakat perniagaannya. Bagaimana dia boleh terseksa. Ibu tirinya berpendapat itu mungkin bukan arwah suaminya. Mungkin orang lain. Setelah panjang lebar berbincang dengan ibu tirinya, dia pun mengambil keputusan untuk balik.
Ketika keluar daripada rumah tersebut, dia bertemu dengan seorang lelaki. Lelaki tua tersebut bertanya ini kah rumah Datuk Azlan bin Affendi (bukan nama sebenar). Ustaz Halim menjawab betul. Dia ada dirumahkah? Tanya lelaki tua tersebut. Kemudian tanpa banyak soal, ustaz Halim membawa orang tua tersebut ke kubur arwah ayahnya. Di dalam perjalanan, Ustaz Halim menceritakan segala-galanya dan orang tua tersebut menceritakan pula dia adalah sahabat karib kepada kawannya Azlan.
Beberapa minggu yang lepas dia terbaca satu buku dan dibelakang buku tersebut ada biodata kawannya itu. Lalu dia terus datang ke KL untuk berjumpa dengannya. Sebelum sampai ke kubur, mereka singgah sebentar minum di warung kopi. Ustaz Halim bertanya dengan orang tua tersebut. Pernahkan pakcik berselisih faham dengan ayah saya? Jawap orang tua tersebut, tidak pernah dan kalau adapun dia telah mengampunkan segala dosanya.
Ustaz Halim terus bertanya berkenaan dengan hutang. Orang tua itu kata tidak pernah Azlan berhutang dengannya. Mereka terus ke kubur dan berdoa. Selesai berdoa orang tua terebut teringat peristiwa sebelum mereka berpisah ketika perang Jepun. Ketika itu kami sedang minum kopi di warung. Azlan telah tergesa-gesa pulang dan meminta dia membayarkan duit minum kopi yang berharga 5 sen dahulu. Dia berjanji akan membayar balik.
Kemudian Jepun menyerang kampung kami dan kami terus berpisah. Orang tua tersebut terus berdoa Ya Allah aku halalkan hutang lima sen yang kawan ku Azlan berhutang kepada ku. Setelah hari itu, Ustaz Halim tidak lagi diganggu dengan mimpi tersebut lagi.
Ini adalah kisah benar (Nama sebenar dirahsiakan oleh penulis).
Wallahu’alam.


Hutang Piutang

Oleh: Mohd Erdi Fikri Bin Ismail

Hukum hutang piutang bersifat fleksibel tergantung situasi dan toleransi. Pada umumnya pinjam-meminjam hukumnya sunah / sunat bila dalam keadaan normal. Hukumnya haram jika meminjamkan wang untuk membeli narkoba, berbuat kejahatan, menyewa pelacur, dan lain sebagainya. Hukumnya wajib jika memberikan kepada orang yang sangat memerlukan seperti tetangga yang anaknya sedang sakit tenat dan memerlukan wang untuk membeli ubat.
Dalam Hutang Piutang Harus Sesuai Rukun yang Ada :
- Ada yang berhutang / peminjam / piutang / debitor
- Ada yang memberi hutang / kreditor
- Ada ucapan kesepakatan atau ijab qabul / qobul
- Ada barang atau uang yang akan dihutangkan

Hutang piutang dapat memberikan banyak manfaat / syafaat kepada kedua belah pihak. Hutang piutang merupakan perbuatan saling tolong menolong antara umat manusia yang sangat dianjurkan oleh Allah SWT selama tolong-menolong dalam kebajikan. Hutang piutang dapat mengurangi kesulitan orang lain yang sedang dirudung masalah serta dapat memperkuat tali persaudaraan kedua belah pihak.

Hutang penghalang untuk masuk syurga

Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Islam amat mengambil berat tentang kesejahteraan penganut-penganutnya baik dari segi fizikal iaitu melalui penjagaan dan amalan hidup yang bersih dan sihat mengikut pandangan dan ajaran Islam, bahkan juga dari segi kesejahteraan mental dan jiwa seseorang itu pun diberi perhatian oleh ajaran Islam, supaya setiap orang Islam itu jangan sampai setiap masa dalam keadaan fikiran yang runsing, kusut dan resah-gelisah, sehingga mengganggu bukan sahaja ketenangan hidup bahkan ketenangan dan kekhusyukan beribadat khasnya dalam ibadat sembahyangnya.

Mengikut ajaran Islam di antara perkara yang boleh menyebabkan seseorang itu menghidap penyakit runsing atau tekanan jiwa (stress) ialah akibat dari menanggung beban hutang yang banyak.

Apa yang diistilahkan banyak menanggung beban hutang itu ialah bilamana seseorang itu berhutang melebihi dari pendapatan dan kemampuan untuk membayar balik hutangnya itu. Keadaan yang demikian itulah yang dikatakan oleh syarak sebagai 'alhamm' iaitu keadaan runsing dan risau yang ada di dalam diri dan fikiran seseorang sehingga menyebabkan hidupnya tidak merasa tenteram dan tenang.

hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu dari Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda: Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.’’ Riwayat Al-Imam Al-Bukhari.

Salah satu kesan yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan dan ahli-ahli waris tidak mahu bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut sebuah hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bahawa orang yang mati dalam keadaan masih menanggung hutang, maka rohnya tidak akan sampai naik ke langit, ia hanya akan terapung-apung di antara langit dan bumi, sedangkan roh orang mukmin yang lain dapat naik ke langit untuk kembali ke tempat asalnya sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud: “Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan.’’ (Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).

Walaupun Islam tidak menghalang kita berhutang, tetapi adalah elok jika kita dapat mengelakkan diri dari berhutang, apatah lagi jika berhutang kepada pemberi hutang yang mengambil kesempatan. Perlu diingat, berhutang memanglah senang tetapi membayarnya sangatlah susah. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada mengajarkan doa hutang yang dibaca pada waktu pagi dan waktu petang, doanya ialah memohon kepada Allah Subhanahu Wataala akan memberikan perlindungan daripada hutang, doa tersebut ialah yang bermaksud: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesusahan dan kedukaan dan aku berlindung dari lemah dan tidak berdaya dan rasa malas dan aku berlindung dari sifat pengecut dan bakhil dan aku berlindung dari tenggelam dalam hutang dan tekanan (kezaliman) orang.’’

Sebenarnya Islam telah mengajar kita dalam soal berbelanja dan cara mengurus pendapatan ini. Andainya kita menghayati ajaran-ajaran Islam, sudah pasti kita tidak terjebak dalam timbunan hutang yang membelenggu kehidupan kita. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Furqan ayat 67 yang tafsirannya: “Dan juga mereka yang diredai Allah itu ialah yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara itu (boros dan bakhil).’’

Oleh itu sebagai seorang Islam biarlah kita hidup dengan sifat kanaah iaitu sifat hidup berpada dan bersederhana dalam memenuhi keperluan hidup seharian. Ukurlah baju di badan sendiri, ingatlah kekayaan sebenar seseorang itu bukan terletak pada hartanya akan tetapi adalah di dalam hidup yang bersifat kanaah iaitu yang bersederhana dalam hidup.
Firman Allah dalam Surah Al-Israa' ayat 26 - 27 yang tafsirannya: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.’’

Hukum Pertanggungan Hutang Dalam Islam (Dhaman)
Dhaman berarti menganggung hutang orang yang berhutang.
Hukum-hukumnya :
• Kerelaan dhamin (penanggung).
• Hutang madhmun (tertanggung) tidak lunas kecuali dilunasi oleh dhaman.
• Dhamin tidak harus mengenal madhmun, begitu juga sebaliknya.
• Dhaman hanya pada hutang yang pasti.
• Dhamin boleh lebih dari 1 orang, dan diperbolehkan dhamin ditanggung oleh orang lain.

Bersegera membayar hutang puasa

Puasa Ramadan adalah salah satu rukun Islam yang difardukan ke atas setiap muslim dan bulan yang penuh keberkatan dengan bermacam Rahmat Allah s.w.tKefarduan puasa Ramadan dan menggantikan puasa yang ditinggalkan ke atas setiap Muslim dijelaskan dalam firman Allah s.w.t.:

Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa, (iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya (orang yang sakit berat, yang tersangat tua, hamil atau menyusui), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan (memberi makan kepada lebih seorang dari orang miskin untuk satu hari), maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (al-Baqarah: 183-184).

Harus diingat hutang bukan sekadar wang ringgit dan harta benda tetapi juga terhadap amal ibadah rukun lain termasuk puasa Ramadan.

Dalam Islam, setiap pemiutang wajib melunaskan hutang-hutang semasa hayatnya. Jika tidak ia akan dipusaka oleh ahli warisnya apabila ia mati.

Setiap mukmin sepatutnya mesti takut dan menghindari dari kedua-dua bentuk hutang ini, lebih-lebih lagi dalam amal ibadah yang telah difardukan.

Hutang juga bukan hanya setakat melibatkan hak sesama manusia malah lebih utama hak terhadap Allah s.w.t. Hutang sesama manusia mungkin boleh terlepas dan dilepaskan serta ditanggung oleh ahli waris secara jelas selepas hayatnya berakhir.

Tetapi tidak dengan puasa dan amalan fardu lain kerana ia melibatkan terus akan hak Allah s.w.t dan hanya individu terlibat yang tahu jumlah hutangnya yang sebenar. Setiap puasa yang ditinggalkan wajib diqada mengikut apa yang ditetapkan al-Quran dan al-sunah.

Setiap perkara yang wajib pula mestilah diutama atau didahulukan. Melunaskan hutang puasa jangan dilengah-lengahkan sehingga menjelang Ramadan akan datang, sebab ajal itu datangnya bila-bila masa tanpa boleh ditangguhkan walau sesaat sekalipun.

Malah Rasulullah s.a.w. bersabda:

Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringinya dengan enam hari bulan Syawal, maka seolah-olah ia telah berpuasa sepanjang masa. (Riwayat jemaah ahli hadis kecuali Bukhari dan Nasa’i).


HARTA PUSAKA ISLAM
Perihal Hutang

Antara hal yang perlu diketahui oleh setiap Muslim ialah agama Islam menyuruh umatnya supaya berlaku sederhana dalam semua tindak - tanduk kehidupan seharian mereka.

Dengan kesederhanaan ini kita akan sentiasa merasa cukup dan berpada dengan apa yang ada. Suasana ini akan dapat menghindarkan diri kita daripada berhutang. Rasulullah s.a.w tidak suka umatnya membiasakan berhutang. Dalam pandangan Islam hutang adalah merupakan kesusahan di malam hari dan suatu penghinaan di siang hari. Justeru itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam selalu berdoa kepada Allah s.w.t supaya terhindar dari berhutang.

Agama Islam menitikberatkan masalah hutang dan nilai melunaskan pembayarannya. Walaubagaimanapun, Islam masih memberikan ruang dan kelonggaran untuk berhutang khususnya dalam keadaan darurat dan sangat-sangat memerlukannya, iaitu dalam masalah kebaikan.Kewajipan membayar hutang itu tidak akan terlepas sekalipun dengan melaksanakan ibadat-ibadat yang besar pahalanya. Oleh sebab itu Islam mengenakan syarat-syarat tertentu terhadap hutang - piutang sehingga orang yang berhutang tidak boleh lari daripada membayarnya.

Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Imam At-Tarmizi dan Imam Ahmad dan Imam Ibni Hibban yang bermaksud :”Roh seseorang mukmin itu tergantung yakni dihalang daripada tempat yang mulia dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dijelaskan”.

Dan dalam hadith yang lain daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah s.a.w bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah yang maksudnya : “Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambil ganti daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham”.

Rasulullah s.a.w ada menjelaskan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksudnya : “Sesiapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambil dengan niat akan membinasakannya dengan tidak membayarnya maka Allah akan membinasakan dia”.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Mukminun, ayat 8 :-

Tafsirnya : “ Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah yang dipikul dan janjinya” .

Hak-hak yang berkaitan dengan peninggalan

Menyelesaikan hutang adalah antara perkara yang berkaitan dengan pengurusan harta pusaka si mati, selain daripada :

a] Biaya pengurusan jenazahnya. Pengurusan jenazah itu maksudnya mengerjakan segala yang diperlukannya mulai saat kematiannya sampai penguburannya. Bahkan apa-apa yang diperlukannya sampai dia dimasukkan ke liang lahad. Biaya yang diperlukan untuk pengurusan jenazah tidak sama kerana ada yang kaya dan yang miskin, ada lelaki dan ada wanita.

b] Menunaikan wasiatnya. Bererti hartanya diambil untuk menunaikan wasiatnya.

c] Dan akhir sekali, membahagi harta yang tinggal. Setelah dikeluarkan setelah pengurusan jenazah, membayar hutang dan menunaikan wasiatnya, baki dari harta si mati dibahagikan kepada ahli waris yang berhak dengan ketentuan al-Quran, sunnah dan ijmak ulama. Membayar hutang simati bermaksud : hutang kepada sesama hamba dan hutang kepada Allah. Hutang sesama manusia, ertinya ada pihak yang akan menuntut. Harta yang masih diperlukan si mati (termasuk hutang), tidak dibagi-bagi kepada ahli waris. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Diri seseorang mukmin itu masih bergantung kepada hutangnya sampai hutang itu dibayar”.

Hutang kepada Allah s.w.t, mesti dibayar dengan harta peninggalan si mati. Hutang kepada Allah yang mungkin belum dibayar misalnya zakat, kaffarah dan nazar. Menurut jumhur ulama, wajib dibayar dengan harta peninggalannya sebelum ia dibahagi-bahagi kepada ahli waris.

Pendapat Jumhur Ulama :

Hutang seperti ini wajib dibayar seperti hutang kepada sesama manusia. Membayarnya tidak memerlukan niat kerana bukan ibadat semata, tetapi hak-hak yang berkaitan dengan harta. Biaya untuk membayarnya diambil dari peninggalan si mati.

Bahkan menurut mazhab Syafie didahulukan membayar hutang ini daripada hutang sesama manusia. Menurut mazhab Maliki didahulukan membayar hutang kepada manusia.

Dalil mengenai hutang

Dalil al-Quran : Surah an-Nisa’ ayat 11-12 yang bermaksud :“pembahagian-pembahagian tersebut sesudah dipenuhi wasiat yang ia buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya”. “sesudah dipenuhi wasiat yang mereka buat atau (dan) sesudah dibayar hutangnya”. “sudah dipenuhi wasiat yang kamu buat atau (dan) sesudah dibayar hutang-hutangmu”. “sesudah dipenuhi wasiat yang dibuat olehnya atau sesudah dibayar hutangnya dengan tidak memberi mudharat (kepada ahli waris).

Dalil Hadis : Hadis Abu Hurairah r.a : “Sesungguhnya pernah ada jenazah seorang lelaki yang mempunyai hutang dihadapkan kepada Rasulullah s.a.w, maka baginda bertanya: Apakah dia ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya? Sekiranya baginda diberitahu bahawa orang tersebut ada meninggalkan sesuatu untuk membayar hutangnya, maka baginda akan mendirikan sembahyang ke atas jenazahnya sekiranya dia tidak meninggalkan sesuatu baginda bersabda: Sembahyangkanlah ke atas temanmu itu. Setelah Allah memberikan kemudahan kepada baginda dalam menaklukkan negeri, baginda bersabda: Aku lebih berhak terhadap orang-orang mukmin dari pada diri mereka sendiri. Oleh itu sesiapa yang mati meninggalkan hutang maka akulah yang akan membayarnya dan sesiapa yang mati meninggalkan harta, maka harta itu untuk ahli warisnya”.

Hadis Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w :“Nabi s.a.w sering berdoa ketika sembahyangnya dengan berkata :Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada seksa kubur dan aku memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah Dajal. Aku juga memohon perlindungan kepada-Mu daripada fitnah semasa hidup dan selepas mati. Ya Allah! Aku memohon perlindungan kepada-Mu dari segala dosa dan hutang. Aisyah berkata lagi: Seseorang telah berkata kepada Rasulullah s.a.w: Alangkah banyaknya kamu memohon perlindungan dari beban hutang wahai Rasulullah! Lalu Rasulullah bersabda: Sesungguhnya seseorang yang sudah terkena beban hutang, apabila dia berkata-kata dia akan berdusta dan apabila berjanji dia akan mengingkari”

Ali bin Abi Talib berkata : “Mungkin kamu memahami ayat itu dengan mendahulukan wasiat daripada hutang, tetapi Rasulullah mendahulukan hutang daripada wasiat”.

Adapun hikmah mendahulukan sebutan wasiat dalam ayat, kerana hutang tetap menjadi hak orang yang berpiutang sebelum dan sesudah wafatnya orang yang berhutang. Apabila orang yang berhutang meninggal dunia, orang yang punya piutang mungkin menuntut kepada ahli warisnya. Maknanya hutang akan dibayar juga.

Berlainan dengan wasiat si mati yang mungkin tidak ada pihak lain yang menuntut, maka didahulukan sebutannya dalam ayat supaya diingat dan menjadi perhatian.

HARTA PUSAKA - CARA PEMBAHAGIAN DALAM ISLAM

Pengurusan pewarisan dalam Islam sangat penting.Di antara cabarannya ialah kecenderungan masyarakat kita yang mementingkan kebendaan sehingga boleh mencetuskan pertikaian, perbalahan, pergaduhan serta permusuhan antara suami isteri, ibu bapa, anak beranak, saudara mara atau sebagainya.

Sehubungan ini Rasulullah s.a.w. bersabda : Hendaklah kamu pelajari ilmu faraid, maka sesungguhnya ilmu faraid adalah suruhan daripada agama kamu, dan bahawa ilmu faraid adalah seperdua daripada ilmu dan yang mula-mula dicabut daripada umatku. (Riwayat Ahmad)

Ilmu faraid

Ini sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w : Allah s.w.t. tidak mengambil ilmu Islam itu dengan cara mencabutnya daripada manusia. Sebaliknya Allah s.w.t. mengambilnya dengan mengambil para ulama sehingga tidak tertinggal walaupun seorang. Manusia melantik orang yang jahil menjadi pemimpin. Apabila mereka ditanya, mereka memberi fatwa tanpa berdasarkan kepada ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka sesat dan menyesatkan orang lain pula (Muttafaq `alaih)

Sesungguhnya pada masa ini tidak ramai di kalangan ulama kita yang mahir dalam ilmu faraid jika dibandingkan dengan ilmu fikah lain seperti solat, puasa dan lain-lain, sedangkan hadis yang pertama di atas menerangkan tentang betapa pentingnya ilmu faraid sehinggakan di anggap sebagai seperdua daripada ilmu. Dalam hadis yang lain,

Rasulullah s.a.w. bersabda : Hendaklah kamu pelajari ilmu faraid dan kamu ajarkan kepada manusia, maka sesungguhnya akulah orang yang di dalam genggaman Allah dan bahawa ilmu faraid itu kelak akan digenggam dan akan nyata beberapa fitnah sehingga berselisih dua orang mengenai faraid, maka kedua-duanya tidak memperoleh orang yang menghukumkan dan menyelesaikan perselisihan di antara kedua-duanya. (Ibnu Majah)

Orientalis

Sebaliknya mereka yang memahaminya dengan jelas, memberikan komen yang baik, walaupun mereka terdiri daripada orientalis yang sentiasa mencari jalan memperlecehkan Islam.Sebagai contoh, seorang orientalis, Rumsey menyatakan: “Pembahagian harta pusaka dalam Islam tidak syak lagi merupakan sistem perundangan harta yang paling baik dan canggih yang pernah diketahui oleh dunia bertamadun.”

Sementara itu, seorang lagi orientalis, Professor N. J. Coulson yang pernah mengajar di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London menyatakan: “Undang-undang pembahagian harta pusaka dalam Islam merupakan suatu pencapaian teknikal yang mantap, dan sayugianyalah ilmuan Islam berasa bangga dengan ketepatan matematik dalam menentukan hak mana-mana waris, dalam keadaan bagaimana sekalipun, boleh ditentukan.”

Kepentingan ilmu faraid mendapat tempat di dalam al-Quran. Al-Quran sendiri menerangkan dengan panjang lebar tentang pembahagian harta pusaka. Sedangkan ia bukan salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Berdasarkan kepada al-Quran, hadis serta pandangan dan pendapat sahabat, para ulama membuat beberapa rumusan bagi memudahkan orang awam seperti kita mengetahui tentang pembahagian harta pusaka menurut Islam.

Mereka menyatakan, waris-waris yang layak menerima harta pusaka adalah seperti berikut :

Dari pihak lelaki : Anak lelaki, cucu lelaki daripada anak lelaki, bapa, datuk sebelah bapa ke atas, saudara sekandung, saudara seayah, saudara seibu, anak lelaki daripada saudara sekandung, anak lelaki daripada saudra seayah, bapa saudara (sebelah ayah) yang sekandung dengan ayah si mati, bapa saudara (sebelah ayah) yang sebapa dengan ayah si mati, anak lelaki daripada bapa saudara sekandung (sebelah ayah), anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sebelah ayah), suami.

Dosa tak diampun jika lengah bayar hutang

Konsep berhutang menurut perspektif Islam ialah memberikan sesuatu kepada seseorang dengan perjanjian bahawa orang yang diberi pinjam itu akan membayar dengan kadar sama. Amalan berhutang kini menjadi persoalan biasa di kalangan masyarakat Islam.

Firman Allah S.W.T bermaksud "Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya" (Surah al-Baqarah ayat 282).

Dalam ayat sama Allah melanjutkan FirmanNya bermaksud "Dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan benar, dan janganlah penulis enggan menulisnya sebagaimana yang telah diajarkan oleh Allah, maka hendaklah ia menulis dan orang yang berhutang itu mengimlakkan (menyebutkan) mengenai apa yang ditulis itu dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah dan jangan ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya.


Jika berhutang itu orang lemah akalnya atau lemah keadaan dirinya atau dia sendiri tidak mampu mengimlakkan, maka hendaklah walinya (penjaga) mengimlakkan butiran hutang itu dengan jujur. Persaksikanlah (urusan penulisan hutang itu) dengan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu, jika tidak ada dua orang lelaki, maka boleh dengan seorang saksi lelaki dan dua orang perempuan sebagai saksi yang kamu redhai supaya jika salah seorang lupa (butiran hutang piutang), maka seorang lagi boleh mengingatkannya"

Ayat ini menjelaskan bahawa Islam membenarkan amalan berhutang dengan pelbagai syarat dan peraturan supaya kezaliman di antara manusia tidak berlaku dan urusan pinjaman berlaku secara adil dan reda meredai. . Namun begitu, perlu diperjelaskan di sini bahawa bebanan bakal diterima si penghutang adalah berat, terutama jika hutang tidak dibayar. Lebih berat jika dia meninggal dunia dalam keadaan hutang tidak dilangsaikan.

sebenarnya kesudian memberi pinjam kepada orang lain adalah digalakkan terutama kepada mereka yang berkemampuan dan berpendapatan tinggi. Orang yang memberi hutang termasuk dalam golongan mereka yang berhati mulia. Mereka memberi pertolongan kepada golongan yang memerlukan dan mereka akan diberi pahala daripada Allah. FirmanNya yang bermaksud : "Dan bertolong-tolonglah kamu atas tujuan kebaikan dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan" (Surah al-Maidah ayat 2).

Rasulullah juga bersabda seperti yang diriwayatkan Ibn. Mas'ud: “Seseorang Muslim yang memberi hutang kepada seorang Muslim sebanyak dua kali, seolah-olah dia bersedekah kepadanya satu kali".

Perkara zalim dalam urusan hutang piutang mesti dielakkan dan dijauhkan seperti mengenakan riba', faedah dan bunga yang tinggi kerana ia ternyata membebankan si penghutang. Lebih parah dengan kadar bunga yang terlalu tinggi menyebabkan berlaku nilai bunga yang sepatutnya dibayar semula jauh lebih tinggi daripada kadar wang dipinjam. Ia ternyata penganiayaan kepada manusia lemah dan tidak berkemampuan.


Adab Hutang - Piutang

Dalam ajaran Islam,hutang-piutang adalah muamalah yang dibolehkan, tapi diharuskan untuk ekstra hati-hati dalam menerapkannya.

hadits Rasulullah saw: “Bahawasanya ada seseorang yang meninggal dunia lalu dia masuk syurga, dan ditanyakanlah kepadanya, ‘amal apakah yang dahulu kamu kerjakan?’ Ia menjawab, ‘Sesungguhnya dahulu saya berjualan. Saya memberi tempoh (berutang) kepada orang yang dalam kesulitan, dan saya memaafkan terhadap mata wang.” (HR. Muslim)

fadhilah bagi pemberi utang:
• Siapa yang memberi pinjaman atas kesusahan orang lain, maka dia ditempatkan di bawah naungan singgahsana Allah pada hari kiamat. (HR. Thabrani, Ibnu Majah, Baihaqi)
• Barangsiapa meminjamkan (harta) kepada orang lain, maka pahala shadaqah akan terus mengalir kepadanya setiap hari dengan jumlah sebanyak yang dipinjamkan, sampai pinjaman tersebut dikembalikan. (HR. Muslim, Ahmad, Ibnu Majah).
Menghindari hutang.

Sebaliknya, Islam menyuruh pembeli menghindari hutang semaksima mungkin jika ia mampu membeli dengan tunai. Kerana hutang, menurut Rasulullah SAW, penyebab kesedihan di malam hari dan kehinaan di siang hari. Hutang juga dapat membahayakan akhlaq, kata Rasulullah, “Sesungguhnya seseorang apabila berutang, maka dia sering berkata lantas berdusta, dan berjanji lantas memungkiri.” (HR. Bukhari).

Rasulullah pernah menolak mensolatkan jenazah sesorang yang diketahui masih meninggalkan hutang dan tidak meninggalkan harta untuk membayarnya. Sabda Rasulullah, “Akan diampuni orang yang mati syahid semua dosanya, kecuali hutangnya.” (HR. Muslim).

Bagaimana Islam mengatur berutang-piutang yang membawa pelakunya ke surga dan menghindarkan dari api neraka ? Perhatikanlah adab-adabnya di bawah ini:

Adab Umum

• Agama membolehkan adanya hutang-piutang, untuk tujuan kebaikan. Tidak dibenarkan meminjam atau memberi pinjaman untuk keperluan maksiat. (HR. Bukhari, Muslim, Ibnu Majah, Hakim)

• Pembayaran tidak boleh melebihi jumlah pinjaman. Selisih pembayaran dan pinjaman dan pengembalian adalah riba

• Jangan ada syarat lain dalam hutang-piutang kecuali (waktu) pembayarannya. (HR. Ahmad, Nasa’i).

Adab untuk pemberi hutang

• Sebaiknya memberi tempoh pembayaran kepada yang meminjam agar ada kemudahan untuk membayar. (HR. Muslim, Ahmad).

• Jangan menagih sebelum waktu pembayaran yang sudah ditentukan. (HR. Ahmad)

• Hendaknya menagih dengan sikap yang lembut penuh maaf. (HR. Bukhari, Muslim, Tirmidzi).

• Boleh menyuruh orang lain untuk menagih hutang, tetapi terlebih dahulu diberi nasihat agar bersikap baik, lembut dan penuh pemaaf kepada orang yang akan ditagih. (HR. Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Hakim).



Adab bagi pengutang

• Sebaik-baik orang adalah yang mudah dalam membayar hutang (tidak menunda-nunda). (HR. Bukhari, Nasa’i, Ibnu Majah, Tirmidzi).

• Yang berutang hendaknya berniat sungguh-sungguh untuk membayar. (HR. Bukhari, Muslim)

• Menunda-nunda hutang padahal mampu adalah kezaliman. (HR. Thabrani, Abu Dawud).

• Barangsiapa menunda-nunda pembayaran hutang, padahal ia mampu membayarnya, maka bertambah satu dosa baginya setiap hari. (HR. Baihaqi).

• Bagi yang memiliki hutang dan ia belum mampu membayarnya, dianjurkan banyak-banyak berdoa kepada Allah agar dibebaskan dari hutang, serta banyak-banyak membaca surat Ali Imran ayat 26. (HR. Baihaqi)

Waris Wajib Lunas Hutang Si Mati

Waris perlu segera melunaskan hutang si mati jika ada.

SOALAN:

Apabila seorang anak berhutang dengan ayahnya, kemudian ayahnya meninggal dunia. Hutang tersebut masih belum dibayar. Adakah rohnya akan terapung disebabkan perkara tersebut ataupun rohnya tidak apa-apa.

Adakah hutang tersebut perlu dihalalkan sahaja sedangkan ibunya masih ada?

Jawapan:

Abu Hurairah menuturkan bahwa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jiwa (roh) seseorang Mukmin itu tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilunasi". (riwayat At-Tarmidzi, Ibn Majah, dan Al-Baihaqi)

Abu Said r.a. berkata: Telah dibawa kepada Rasulullah SAW jenazah untuk disembahyangkan, lalu baginda bertanya: "Adakah mayat ini masih menanggung hutang?" Sahabat menjawab: "Ya, Rasulullah".

Baginda bertanya: "Adakah ia ada meninggalkan harta kekayaan untuk membayarnya?" Jawab sahabat: "Tidak". Lalu baginda bersabda: "Sembahyanglah kamu pada kawanmu itu". Baginda sendiri tidak turut serta menyembahyangkannya.

Kemudian Ali bin Abi Talib berkata: "Wahai Rasulullah, biarlah saya yang membayar hutangnya". Sesudah itu baginda segera maju untuk menyembahyangkan jenazah sambil berkata kepada Ali: "Semoga Allah membebaskan tanggunganmu (dirimu) daripada api neraka, sebagaimana kamu telah membebaskan tanggungan saudaramu yang Muslim itu. Tidaklah seorang Muslim yang membayar hutang saudaranya melainkan Allah akan membebaskan tanggungannya (dirinya) daripada api neraka pada hari kiamat kelak". (riwayat At-Tabrani)

Said ibn al-Athwa mengisahkan: "Ayah kami meninggal dunia dengan meninggalkan 300 dirham, juga keluarga dan hutang. Aku ingin memberikan nafkah kepada keluarganya", lalu Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya ayahmu tertahan oleh hutangnya (rohnya tertahan). Oleh kerena itu bayarlah hutangnya itu". (riwayat Ahmad)

Inilah di antara hadis-hadis Rasulullah SAW yang memberi peringatan kepada mereka yang berhutang sedang bertemu ajal sebelum melangsaikan hutang semasa hidup.

Jelas sekali dalam hadis-hadis baginda, bahawa mereka yang berhutang terpaksa berhadapan dengan hukuman roh yang tidak diterima untuk mendapat balasan.

Sebenarnya, keadaan sebegini adalah sangat rumit kerana roh sepatutnya berada di alam barzakh bagi menemui nasib sama ada baik atau buruk. Tanpa mengetahui nasib tempat persinggahan adalah azab.

Berkaitan dengan soalan anda, saudara juga akan berhadapan dengan keadaan yang sama sekiranya saudara gagal melangsaikan hutang kepada mereka yang saudara berhutang walaupun hutang itu saudara beroleh daripada ayah sendiri, melainkan hutang itu dihalalkan.

Hutang tetap atas leher orang yang berhutang selagi mana ia tidak dihalalkan. Dalam keadaan sekarang saudara perlu melangsaikan hutang tersebut kepada waris terdekat iaitu bonda saudara, sekiranya bonda juga telah sudah tiada, bayaran itu kepada adik-beradik yang belum baligh, kerana mereka bergelar yatim.

Jika adik-beradik semuanya dewasa, maka duit hutang digunakan bagi melangsai hutang ayah jika ada. Sekiranya semua keadaan itu tidak wujud maka duit hutang dimasukkan dalam harta pusaka untuk diagihkan kepada secara faraid.

Justeru, Islam amat menitikberatkan persoalan memberi, menerima dan membayar semula hutang kerana ia melibatkan hubungan sesama manusia ketika hidup di dunia hingga ke akhirat kelak.

Seseorang yang berhutang wajib menjelaskan segala hutangnya, dan sekiranya ia meninggal dunia sebelum sempat menyelesaikan hutangnya maka tanggungjawab untuk membayar hutang tersebut adalah ke atas warisnya.

Semua hutang sama ada melibatkan orang perseorangan, pihak bank dan sebagainya hendaklah dibayar tanpa mengira jumlahnya yang sedikit ataupun banyak.

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang berhutang, kemudian ia berniat tidak akan membayar hutangnya, lalu ia mati, maka Allah akan bertanya pada hari kiamat: Apakah kamu mengira bahawa Aku tidak akan menuntut hak hamba-Ku? Maka diambil amal kebajikan orang itu dan diberikan kepada orang yang memberi hutang dan jika orang yang berhutang tidak mempunyai amal kebajikan, maka segala dosa orang yang memberi hutang itu, diberikan kepada orang yang berhutang".

1 ulasan:

  1. Hello
      Saya adalah Adil Onn
     Saya 31, saya seorang saintis komputer di bandar Valencia .Saya mempunyai kesukaran dalam kehidupan seperti ramai orang, saya benar-benar terdesak kerana saya telah mengisi semua syarat yang dikehendaki oleh bank untuk pinjaman . Pada suatu hari, salah seorang daripada saudara saya memberitahu saya tentang tawaran pinjaman antara individu dalam talian, saya tidak percaya kerana saya telah scammed dua kali oleh pemberi pinjaman dari Afrika tetapi satu hari saya jatuh seorang lelaki Perancis bernama Robert Bouxin yang memberikan saya berharap dengan memberikan saya pinjaman sebanyak 90.000 € tanpa apa-apa perkara sampingan pada 7 tahun dengan kadar faedah 3%. Terima kasih kepada beliau saya boleh memulakan perniagaan saya sendiri dan memulihkan aktiviti saya dan saya kepuasan seks sepenuhnya dalam hidup saya. Saya tidak akan berhenti sambil mengucapkan terima kasih dan saya fikir cara terbaik untuk melakukan ini adalah untuk menghormati komitmen saya dengan membayar bayaran bulanan saya. Anda mempunyai projek dan anda mempunyai kesukaran menulis kepada Encik Robert Bouxin di robertbouxin86@gmail.com maka aku akan memberikan anda alamat dia supaya anda boleh mencari kepuasan

    BalasPadam