Khamis, 19 September 2013

CARILAH DUNIA SETAKAT KEPERLUAN....LEBIHKAN AKHIRAT KERANA AKHIRAT KEKAL ABADI

Pemimpin Akar Umbi Dicari-cari, Pemimpin Tertinggi Dilabel-label
Posted on Wednesday, September 18 @ 14:43:33 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Blog Tulahan



Dua hari penulis balik raya di kawasan, dapatlah juga penulis pergi beraya ke rumah beberapa orang pimpinan cawangan yang masih belum berupaya buat mesyuarat agung. Tujuannya, nak tunjukkan kesungguhan jamaah kawasan supaya cawangan mengadakan mesyuarat agung.

Sepatutnya pertengahan Ramadhan lepas dah tamat tempoh cawangan adakan mesyuarat agung. Namun, jamaah kawasan longgarkan sehingga selepas Syawal kerana cawangan sukar cari masa sesuai adakan mesyuarat agung dalam bulan Ramadhan.

Seminggu selepas penulis balik, dua daripada cawangan ini dapat adakan mesyuarat agung. Lima daripada tujuh yang belum adakan mesyuarat agung penulis yakin mampu adakan mesyuarat agung .

Cuma dua cawangan yang penulis rasa sukar adakan mesyuarat agung, satu kerana Ketua Cawangannya sakit dan beliaulah selama ini menguruskan cawangan itu. Satu lagi kerana SU cawangannya tinggal di Pulau Pinang ada masalah peribadi, selama ini dia yang uruskan mesyuarat agung.

Inilah masalah jika, jika cawangan gagal sediakan pelapis. Jika berlaku masalah kepada tonggak cawangan, tiada yang mampu menganti kerana selama ini diserah kepada hanya seorang menguruskannya. Kedua-dua cawangan ini setiap tahun adakan mesyuarat agung sebelum ini, harapnya cawangan ini dapat juga adakan mesyuarat agung.

Pun begitu, penulis puas hati kerana tahun ini jumlah cawangan yang gagal adakan mesyuarat agung kecil. Cawangan yang dah bertahun tak mampu adakan mesyuarat agung dah dapat adakan mesyuarat agung. Dua cawangan penaja telah diluluskan pendaftaran jadi dapatlah dua cawangan ini hantar perwakilan ke mesyuarat agung kawasan.

Bila penulis turun bertemu pimpinan cawangan, penulis rasa kagum dengan keihlasan dan semangat mereka untuk berjuang . Mereka bagi tahu sukarnya nak gerakkan ahli di cawangan untuk buat kerja jamaah, kebanyakan ahli hanya turun berkerja semasa pilihanraya.

Walaupun ada antara mereka yang sakit, ada yang sudah berumur tapi tetap buat kerja jamaah apabila terima arahan dari jamaah kawasan. Bukan tidak ada yang muda, ada tapi macam-macam alasan diberi. Kerja kerajaanlah, ngajar J-Qaf tak boleh politiklah, takut dipecat ngajar KAFAlah, macam-macam alasan.

Inilah hakikat sebenarnya yang berlaku di akar umbi, ramai ahli termasuk yang ada kelulusan tinggi, lulusan agama tapi tak ramai yang berani ke depan. Ada yang dulu di kampus, dialah yang hebat tapi bila berada di medan sebenar, kerja pula kerajaan jadi penyokong senyap.

Tapi penulis hairan di musim pemilihan ini, dah mula timbul kenyataan pemimpin golongan itu dan ini tak layak memimpin jamaah. Pelik, di akar umbi tiada yang mahu ke depan memimpin jamaah sehingga banyak cawangan jamaah seluruh negara mati kerana tiada pelapis. Bila bab pilih pemimpin tertinggi jamaah ramai pula yang bersungguh nak ambil berat.

Yang buat kenyataan ini pula ada antaranya tidak pun berada di medan.Mereka buat kenyataan begini ikut pemimpin kesukaan mereka, ikut naqib, ikut murabi. Kalau naqib mereka tak suka pemimpin itu dan ini, mereka pun ikut tidak suka pemimpin berkenaan.

Mereka taksub kepada naqib melebihi ketaatan kepada jamaah, walaupun terbukti naqib mereka melanggar keputusan jamaah, mereka tetap mempertahankan naqib mereka.

Label melabel sudah jadi makanan mereka tak kira dosa pahala. Tak kira siapa pemimpin itu, jika naqib tak berkenan, siaplah pemimpin itu dilabel parasitlah, pengkhianat partilah, macam-macam.

Facebook jadi medan mereka menghentam pemimpin, peringkat awal ramai yang dikenali tapi bila sudah ramai yang kenal mereka, dicipta akaun facebook pelbagai nama samaran tanpa mendedahkan identiti diri.

Mereka bertindak tanpa batas, tak kira siapa yang menyanggah pendapat mereka atau pandangan naqib mereka terus dilabel parasit.Serangan mereka kepada sesiapa yang menyanggah terlalu keras, walaupun mereka yang menyanggah bertujuan memberi nasihat dan tidak menyebelah mana-mana pihak

Penulis ada pengalaman post berkenaan aktiviti Ahli Parlimen kawasan penulis dalam facebook jamaah kawasan. Terus ada komen, “ buat aktiviti parasit “ dari seorang friend facebook yang penulis tahu sedang belajar di Mesir.

Bila beri nasihat supaya jangan komen macam tu sebab pemimpin tu AJK pusat jadi kena hormat pemimpin, terus dilabel penulis dengan orang-orang jamaah kawasan penulis sama parasit.

Serangan terhadap pemimpin jamaah semakin mengila tanpa kawalan. Penulis juga yakin mereka berani menyerang secara terbuka kerana mencontohi naqib mereka.

Jika naqib mereka yang berjawatan dalam majlis syura, dalam Jawatankuasa Pusat, dalam Dewan Ulama, dalam Dewan Pemuda, dalam Dewan Muslimat pun melakukan tindakan menyebarkan buruk pemimpin lain dalam facebook. Bagaimana pengikut naqib ini akan berhenti melakukan tindakan serupa.

Penulis mendapat tahu serangan terhadap pemimpin ini bukan sahaja berlaku di facebook dan blog malah sudah berlaku dalam program anjuran jamaah sendiri. Setakat yang penulis dengar dari seorang sahabat dari kawasan lain. Mereka berselindung di sebalik program tarbiyah untuk memburukkan pemimpin-pemimpin yang tidak disukai.

Penulis hanya tahu program-program tarbiyah yang jadi medan menghentam pemimpin, namun bagi penulis tak kira apa-apa program jamaah, program lajnah, program dewan-dewan, semuanya tidak sepatutnya jadi medan menghentam antara satu sama lain.

Tak tahulah ada atau tidak perkara ini dibincang secara serius di peringkat pusat, atau dibiarkan sahaja. Setakat ini tiada AJK Pusat yang secara terbuka menegur budaya tidak beradap ini. Kalau ada pun, secara kiasan atau secara tersirat.

Adakah pimpinan pusat tidak berani menegur kerana naqib itu Ahli Majlis Syura, kerana naqib itu AJK Pusat? Tegurlah mereka, lakukanlah sesuatu kerana semakin hari sudah semakin biadap dan tidak beradap tindakan mereka.

Wasalam

tulahan.blogspot.com


 BANCIAN: Anwar digemari Utusan, tapi portal suka Najib
Posted on Wednesday, September 18 @ 14:00:59 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu



Hubungan media negara ini dengan dua pemimpin politik tertinggi negara boleh diibaratkan seperti 'benci-benci sayang'.

Satu kajian media mendapati keghairahan Utusan Malaysia dalam memberi liputan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan beliau ahli politik yang paling banyak diberikan publisiti oleh akhbar itu (carta di atas).

Pada masa sama, media bercetak lain seperti New Straits Times, The Star dan Sinar Harian pula lebih menyerlahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Anwar menduduki carta teratas dalam liputan oleh Utusan. Namun, beliau didapati dihentam secukup-cukupnya oleh akhbar itu dalam satu laporan pemantauan media dalam tempoh 7 April 2013 sehingga 7 Mei 2013.


Portal Malaysiakini (lihat carta atas) dan The Malaysian Insider yang sering dituduh sebagai propembangkang bagaimana pun didapati memberikan liputan paling banyak kepada Najib.


Namun, Najib didapati diberikan liputan positif dan negatif pada masa yang sama oleh portal-portal itu, seperti dikaji University of Nottingham dan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ).

Sementara itu, Malaysiakini didapati memberikan liputan seimbang untuk kedua-dua pihak, iaitu BN dengan 48 peratus dan Pakatan 49 peratus (kanan).

Lain-lain pihak, termasuk bebas mendapat liputan 5 peratus.  


 Ops Bubar: Hakim dengar permohonan Khamis ini
Posted on Wednesday, September 18 @ 13:30:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

TAIPING: Mahkamah Tinggi Taiping hari ini menetapkan 19 September ini (Khamis) untuk pendengaran permohonan penangguhan hukuman yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi di Bukit Chandan ketika krisis politik Perak tahun 2009 lalu.

Hakim, Datuk Ahmad Nashfi telah menerima permohonan tersebut untuk didengarkan selepas bertemu dan berbincang dengan pihak peguam tertuduh ketika prosiding.

Peguam tertuduh, Aminuddin Zulkipli turut memfailkan perakuan segera bagi mempercepatkan pendengaran kes tersebut.

"Setelah berbincang, berjumpa dengan hakim, Yang Arif telah menerima untuk pendengaran penangguhan hukuman tersebut pada Khamis ini.

"Dan kita akan serahkan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) sama ada mereka akan membantah atau tidak membantah permohonan itu dan kita akan tengok keputusannya," katanya.

Kesemua 13 tahanan tersebut akan turut dibawa ke mahkamah untuk pendengaran tersebut pada Khamis ini.

Ketika ditanya tentang peluang permohonan tersebut, Aminuddin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak menyeru seluruh rakyat khususnya penyokong Pakatan Rakyat serta pencinta demokrasi dapat bersama-sama berdoa agar ada sinar kegembiraan dalam proses pendengaran itu nanti.

"Kalau tanya saya, sudah semesti saya kata ada peluang cerah, tanya peguam mana pun mereka akan jawab begitu," jelasnya dalam nada spontan.

Antara pimpinan yang hadir ialah Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Safarizal Saleh, Yang Dipertua PAS Taiping, Ustaz Fakhruddin dan Adun Kuala Sepetang, Chua Yee Ling.

Hadir sama ialah ahli keluarga tahanan dan aktivis masyarakat serta penyokong Pakatan Rakyat.-HD


 Kisah di kedai buku.
Posted on Wednesday, September 18 @ 12:59:06 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Blog Dari kacamata

Hari Sabtu tengah hari, pukul 3.00 petang aku dengan keluarga aku ke kedai buku Hassani di Carrefour (sekarang ni AEON Big, tapi aku lebih suka sebut Carrefour). Anak aku nak cari novel, sebab dah lama tak beli novel. Novel untuk kanak-kanak.

Sampai kat sana aku dok belek-belek buku-buku novel Islam, kisah-kisah motivasi ,saja baca dua tiga baris,letak balik. Tengah dok belek-belek buku,

"Laaa, tak pakai tudung pun cari buku Islam" aku toleh tengok ,ada dua remaja lelaki tengah pandang seorang perempuan (dalam 30an) bersama anak kecilnya .
Aku pandang arah perempuan tu, dia tengah leka belek buku bercirikan Islam. Di tangan dah ada beberapa buah buku. Salah satunya adalah "Amalan harian Sepanjang Zaman", Dato Ismail Kamus.

Sebelum apa-apa timbul dalam hati aku, aku pangkah awal-awal, "Hidayah adalah kuasa Allah".

Kita selalu rasa kita lebih dari orang lain terutama dalam hal-hal ibadat. tambahan pula kita cukup solat 5 waktu, ditambah pula dengan solat sunat. kerap solat berjemaah. kadang -kala timbul riak dan pandang orang lain jahil. Kita ketawakan orang lain bila membeli buku-buku asas-asas dalam ibadah. Bila nampak seseorang (tambahan orang itu dah berumur) beli buku "Cara-Cara solat", terus kita buat tanggapan;

"Ehhh dah tua tak tau solat lagi??" terus dalam hati kita kata" aku lagi alim walaupun aku muda lagi", takut juga bila terlintas rasa riak, bangga dengan amalan kita yang tak seberapa.

Teringat aku masa satu kuliah seorang ustaz kata
"kita sangkakan kita dah kaya di akhirat tapi rupanya kita miskin". Maksudnya kita rasakan amalan yang kita buat dah cukup sebab solat cukup berjemaah lagi, kerap baca Al Quran, sedekah, tapi bila ditimbang rupanya ringan sebab amalan yang kit abuat disertai dengan Riak dan rasa bangga.

"Ya Allah jauhkan lah kami dari rasa riak dalam menunaikan tanggungjawap kami sebagai hamba Mu"

speckmata.blogspot.com


 Kudeta Perak: Hukuman terlalu keras – Anwar
Posted on Wednesday, September 18 @ 13:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

KUALA LUMPUR 16 SEPTEMBER: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak hukuman dua tahun penjara yang dijatuhkan terhadap 13 peserta demonstrasi dalam insiden rampasan kuasa di Perak pada tahun 2009.

“Terlalu keras hukuman,” tegas Anwar dalam twitter.

Beliau mengulas keputusan hakim Norsalha Hamzah yang memutuskan semua peserta didenda RM5,000 dan penjara dua tahun mandatori.

Sementara itu, Naib Pengerusi KEADILAN Perak, Chang Lih Kang pula menyifatkan hukuman berkenaan mirip seperti yang berlaku di Mesir sekarang.

Katanya, hukuman itu hanya mendedahkan kebobrokan demokrasi di Malaysia apabila hak asasi rakyat ditutup dengan penjara manakala pemimpin korup terus kekal berkuasa.

“Hukuman itu juga langsung tidak mengikut prinsip kedaulatan undang-undang apatah lagi hakim yang mengadili pula lebih cenderung untuk menghukum Orang Kene Zalami (OKZ) berbanding mendidik, ini tidak ubah seperti di Mesir!

“Apatah lagi tidak ada penangguhan pelaksanaan dibenarkan walhal Mahkamah Sesyen sepatutnya membenarkan perkara itu dilaksanakan atas budi bicara untuk menghormati OKZ dan keluarganya,” ujar Adun Teja itu kepada Keadilan Daily.

Mengulas lanjut, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya tangan ghaib yang mengatur hukuman itu sebagai amaran supaya rakyat lain tidak bangkit menyatakan kebenaran.

“Ini yang buat kita khuatir kerana mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat rakyat menuntut keadilan sudah bertukar menjadi gelanggang untuk tangan ghaib yang zalim menunjukkan keangkuhan mereka.

“Justeru, saya desak mahkamah segera membebaskan kesemua OKZ itu tanpa sebarang syarat kerana apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan prinsip perlembagaan yang membolehkan himpunan aman dibuat,” katanya.

Tambah Lih Kang lagi, Pakatan Rakyat Perak turut mengadakan kutipan dana untuk membantu OKZ membayar denda RM5,000 yang dikenakan selain program kebajikan untuk membantu keluarga mangsa tersebut.-KD


 Keranamu Epal. Marilah memperkasakan Islam.
Posted on Wednesday, September 18 @ 12:18:21 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh: mat_sempoi

"Beberapa hari lalu. Ada dibincang isu McD. Kesinambungan dari isu tersebut. Rasa-rasalah, mungkin sudah tiba masanya kita memperkasakan jenama dan produk Islam.

Kita biasa dengar sijil "Good Manufacturing Practice (GMP)" yang biasa dikeluarkan, untuk menjamin pengguna bahawa produk tersebut telah dikeluarkan melalui proses pembuatan yang bersih, berkualiti, selamat dan berintigriti serta melepasi piawaian tertentu.

Bagaimana pula jaminan bahawa produk tersebut benar-benar HALAL dan menepati syarat pembuatan islam? Kerana ianya lebih jauh melepasi syarat GMP dan lebih baik sekiranya dipraktikkan, terutama di negara yang majoritinya Islam. "Halalan Tayyiban" bukan sahaja proses pembuatan tersebut perlu bersih, berkualiti, selamat dan menepati piawaan; malahan sumber perlulah halal, persekitaran dan praktis nya perlu menepati syariat Islam, dimana proses tidak boleh sama sekali bersama sumber yang haram, pekerja perlulah memahami 'halal' dan 'haram' dan sebagainya. Seperti "Good Islamic Manufacturing Practice" atau mungkin lebih tepat "Islamic Manufacturing Practice (IMP)" (sebab Islamic ini, sudah pastinya lebih baik daripada good) seperti yang perkara diketengahkan oleh IKIM.

Untuk memudahkan cerita, teringat saya pada satu kisah ini:

Pada suatu hari, terdapatlah seorang lelaki soleh yang sedang berehat dibawah sebatang pokok ditepi sungai. Setelah lama berehat, beliau terasa amat lapar, dan dengan kehendak Allah, nampak lah beliau sebiji buah epal terapung-apung didalam sungai tersebut. Maka, tanpa berfikir panjan, pemuda tersebut mengambil dan terus memakan buah epal tersebut.

Tiba-tiba terdetik dihatinya kekesalan dan TAQWA, kerana beliau sedari buah yang dimakan tersebut adalah milik seseorang dan beliau tidak mendapat restu dari pemiliknya.

Maka tanpa berfikir panjang, beliau terus menyusuri sungai tersebut untuk mencari puncanya. Setelah itu, beliau menemui sebuah ladang epal dan terus bertemu dengan pemilik ladang tersebut. Maka beliau menceritakan apa yang berlaku, dan memohon maaf serta keizinan dari tuanpunya ladang.

Tuan ladang berasa kagum dengan kesolehan pemuda tersebut, maka mahu diujinya pemuda tersebut. Beliau memberi syarat bahawa beliau akan maafkan dan halalkan epal tersebut sekiranya pemuda tersebut sanggup bekerja secara percuma diladang beliau selama 10 tahun.

Mak oooi.... betapa kejam dan dahsyatnya syarat tersebut! Tetapi kerana memikirkan pentingnya mendapat restu tuanpunya epal, syarat tersebut diterima. Setelah bekerja selama 10 tahun, maka tibalah masanya untuk pemuda tersebut mendapat apa yang telah dijanjikan, iaitu kemaafan dan izin 'halal'.

Tetapi, setelah bertemu tuanpunya ladang, syarat tambahan telah dikenakan pula, iaitu pemuda tersebut hendaklah bernikah dengan anak tuanpunya ladang yang cacat 3-rangkai, iaitu 'buta', 'bisu' dan 'pekak'.

Mak ooiii.... nampaknya terkena lagi pemuda tersebut. Kejam sungguh tuanpunya ladang. Siapa mahukan gadis sebegini? Tetapi setelah memikirkan pentingnya mendapat restu tersebut dan 'ahzab akhirat', beliau dengan berat hati terpaksa menerima.

Setelah selesai upacara pernikahan, maka bertemu buat pertama kali pemuda tersebut akan gadis cacat itu dibiliknya. Maka terkejut pemuda tersebut, kerana gadis tersebut sebenar sempurna segala-galanya dan tidak cacat. Rupa-rupanya yang dimaksudkan tuanpunya ladang adalah, BUTA kerana tidak pernah (tidak mahu) melihat perkara HARAM dan tidak baik, PEKAK kerana tidak pernah dan tidak mahu mendengar perbicaraan yang tidak baik dan BISU kerana tidak pernah bertutur perkara-perkara tidak baik.

Diriwayatkan, hasil pernikahan tersebut. Pasangan soleh/solehah tersebut telah dikurniakan seorang anak yang masyhur dan tinggi ilmunya yang bernama Syeikh Abdul Qadir al-Jailani.

Moral daripada cerita tersebut:

1. Sekiranya ISLAM diperkasakan, maka terjamin sumber makanan bagi ummah Islam, yang kualitinya jauh lebih baik daripada produk yang baik

dimasakini. Dimana, makanan atau produk yang HALAL bukan sahaja bermakna ianya dari sumber yang halal (seperti epal tersebut), malahan

ianya perlulah melalui proses yang halal (seperti penyembelihan dll) dan menepati syariat Islam (seperti 'akad', bukannya ada unsur

syubahah, penglibatan haram dsbagainya).

2. Sekiranya ISLAM diperkasakan, maka lahirlah ummah dan modal insan yang amat berkualiti seperti pemuda dan gadis solehah tersebut. Maka

masalah sosial, ekonomi dan politik dapat dihapuskan dari akar umbi, dimana tiada pecah amanah, rasuah, pemborosan dll.

3. Sekiranya ISLAM diperkasakan, umat ISLAM pasti menjadi ummah yang kuat dan disegani.

Permasalah kini, nampaknya kita lebih cenderung memilih orang yang berstatus tinggi dan elit sebagai pemimpin kita, berbanding dengan mereka yang tinggi islamiknya (amanah, anti-rasuah, zuhud dll).

Kita 'redha' memiliki pemimpin sebegini, dan sanggup menyatakan ianya semua adalah 'ketentuan ALLAH'. Sebab itulah sistem menjadi haru-biru dan bakal binasa. Wallahhualam.

Jadi, marilah kita memperkasakan ISLAM, kerana ISLAM itu adalah CARA HIDUP!!! Sekiranya inginkan menantu (atau pemimpin), carilah dan pilihlah mereka yang soleh dan solehah.

Rujukan:
http://www.ikim.gov.my-imp

http://www.pelitabrunei.gov.bn"


 TERJAH : Kereta Porche disimpan dalam kandang lembu?
Posted on Wednesday, September 18 @ 12:37:05 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh: tokpepijat

"

Bos baham pitih lembu
Bos ternak lembu dalam kondominium
Bos pakai pitih lembu buat umrah jalan-jalan cari makan
Bos angkat anak beranak terajui syarikat lembu

Kuli baham pitih orang miskin
Kuli ternak kereta mewah
Kuli ternak kereta mewah guna pitih orang miskin

Bos ternak lembu dalam kondominium
Kuli ternak kereta mewah dalam kandang lembu

Kita sehati sejiwa
Lembu kereta sehati sejiwa....berpisah tiada !

TERJAH : Kereta Porche disimpan dalam kandang lembu?"


 Negara dalam bahaya kerana ancaman "benda ini" !
Posted on Wednesday, September 18 @ 12:08:54 MYT
Dilulus untuk paparan oleh lararatu

Oleh: tokpepijat

" Sekonyong-konyong IGP Khalid mengarahkan entah berapa unit polis mengawasi agar sempadan Malaysia tidak dicerobohi oleh "musuh ketat" negara dalam bentuk "abu" mayat Chin Peng.

IGP Khalid memberi arahan demikian setelah Menteri Polis Zahid Hamidi mengatakan bumi Malaysia tidak menerima abu Chin Peng.



Itu belum lagi arahan Menteri Kapal Selam Hishamudin Husein. Barangkali Hisham akan arahkan beberapa batalion termasuk Regimen Gerak Khas mengawasi sempadan negara laut,darat dan udara agar abu itu tidak masuk ke dalam negara ini.

Skuadron Jet pejuang MIG 29 juga diarahkan berjaga-jaga atas kemungkinan tiupan angin boleh menyebabkan abu itu bercampur jerebu masuk ke negara ini. Bahaya.

Armada Kapalselam juga diarah bersiap siaga atas kemungkinan abu itu dilekatkan pada perut paus maupun jerung untuk diseludup masuk melalui perairan pantai Malaysia.

Lebih hebat dari persiapan menghadapi ancaman Sulu!

Inilah akibat terlalu "pandir" sangat!

Kerana "abu", Menteri dan IGP "gatal mulut" mempromosikan dan mensensasikan isu ini. Rakyat Malaysia yang tidak kisah dengan kematian Chin Peng menjadi ingin tahu kisahnya.

Mengapa takut sangat dengan abu ?

Takut pemuja komunis memujanya di tugu macam Syiah keliling kubur imam mereka? Apa bezanya dengan polis dan tentera kita? Setiap tahun "sembah" Tugu Negara.

Masih ramai lagikah pemuja komunis di negara kita setelah komunis ditaklqinkan 30 tahun yang lampau? Apa ada pada abu? Adakah abu itu boleh menghidupkan kembali fahaman komunis?

Barangkali yang ingin keliling "tawaf" abu Ching Peng hanyalah Hishamudin Rais sahaja.

Bermula dari politikus,IGP hingga JKKK semuanya di"pandirkan" oleh abu Chin Peng!

Sekarang isu ini dipanjangkan dengan pertanyaan, jika Chin Peng dianggap sebagai pengganas dan pengkhianat negara, bagaimana arwah bapa PMNajib yang pernah menjalani perkaderan tentera Jepun semasa penjajahan Jepun di negara ini?

Sepatutnya pimpinan politikus,pmpinan polis dan tentera tidak panjangkan isu ini. Biarkan ianya berlalu begitu sahaja. Tidak ulas dan komen panjang-panjang.

Pandirnya kita kerana menyibukkan diri dengan abu sedangkan kadar jenayah bertambah meningkat di negara kita.

Negara dalam bahaya kerana ancaman "benda ini" !"


 



 

 Kelebihan Membaca Surah Al-Mulk
Posted on Wednesday, September 18 @ 11:45:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh korokkering



Alhamdulillah sahabat-sahabat semua, syukur kehadrat Allah SWT kerana memberi peluang serta ruang untuk kita untuk terus bernafas lagi hingga ke saat ini. (Hembuskan nafas, ucapkan alhamdulillah)..

Jika di kolej kediaman, setiap hari Rabu malam Khamis, biasanya kita semua akan membaca surah Al-Mulk di bilik rehat masing-masing kan ?

Syukur, alhamdulillah, kita tetap istiqomah dan tidak tinggal untuk membaca surah itu setiap sekali dalam seminggu. Allah beri peluang dan berikan hidayahNya kepada kita untuk terus tetap meluangkan sedikit masa untuk membaca surah Al-Mulk.



Pasti ada sekelumit rasa keterpaksaan dalam hati kita kadang-kadang apabila kita sedang sibuk dengan tugasan yang banyak, tapi perlu meluangkan sedikit masa untuk membaca Al-Quran.

Dalam keterpaksaan itulah lahirnya pengorbanan yang tinggi dalam diri kita untuk meninggalkan sebentar tugasan-tugasan itu dan meluangkan masa sebentar cuma untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sahabat-sahabat semua, tiada janji yang boleh disangkal lagi kebenarannya melainkan janji Allah untuk hambanya. Dijanjikan kepada setiap hambanya akan ganjaran pahala, syurga dan sebagainya atas segala kebaikan yang kita lakukan.

Dalam melakukan amalan harian pula, khususnya membaca Al-Quran, beberapa bahagian pahala dariNya untuk kita,

-pahala mendengar bacaannya,
-membacanya,
-pahala untuk berusaha membaca walaupun tersekat-sekat,
-pahala untuk belajar,
-pahala untuk mengajar,
-pahala untuk setiap huruf yang kita baca,
-pahala untuk setiap ayat yang kita baca dan fahamkan,
-pahala untuk mengamalkan isinya,
-pahala untuk menghafalnya

dan banyak lagi yang kita perlu terokai akan balasan kepada kebaikan yang kita lakukan untuk membaca Al-Quran.

Kelebihan Surah Al Mulk

Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur. Kelebihan juga dinyatakan pada malam hari. Seseorang yang membacanya pada malam hari telah melakukan banyak ibadah dan telah melakukan satu amalan yang baik.
“Sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur melainkan setelah membaca surah As Sajadah dan surah Al Mulk.”
Di antara kelebihan Surah ini ialah:
1. Surah ini akan menjadi penyelamat.
2. Penegah pembacanya dari seksa kubur.
3. Berada di bawah naungan sayap malaikat (mendapat rahmat Allah).
4. Di hari kiamat rupanya akan dicerahkan seperti wajah Nabi Yusuf (cantik).
5. Dinamakan Surah gagah perkasa, pintar lagi cerdik.
.
Fadhilat Dari Hadis
Terdapat banyak hadis tentang fadhilat yang terkandung dalam Surah Al Mulk, iaitu:
.
1. Mendapat Syafaat
  • Daripada Abu Hurairah r.a dari Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam al_Quran ada 30 ayat memberi syafaat kepada pembacanya sehingga diberi keampunan untuknya iaitu surah al-Mulk.”
  • Abu Hurairah meriwayatkan hadis, katanya: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran itu, ada satu surah yang mengandungi 30 ayat, ia mensyafaat bagi lelaki yang membacanya. Maka selagi mana lelaki itu membacanya, selagi itu pula ia meminta ampun untuknya. Surah itu ialah surah Al Mulk.” 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sebahagian surah-surah yang terdapat di dalam Al-Quran ada satu surah yang mengandungi 30 ayat. Surah itu surah Al Mulk. Ia memberi syafaat kepada orang yang membacanya dengan mengeluarkannya dari Neraka dan memasukkannya ke dalam Syurga.” 
  • Ulama berkata: ”Sesungguhnya surah Al Mulk itu melepaskan pengamal-pengamalnya dari kena azab. Ia akan bersoal jawab pada hari kiamat di hadapan Tuhan kerana menuntut kelepasan mereka yang mengamalkannya dari azab api Neraka.”
 .
.
2.  Menyelamatkan daripada seksa kubur
Di dalam kubur orang yang telah mati para malaikat azab datang pada sisi kakinya untuk memberi  hukuman.  Kakinya berkata; “kamu tidak dapat hampir dari sisi kakiku kerana orang ini pernah berdiri dalam solat dan membaca Surah Al-Mulk”. Kemudian mereka datang dari sisi dada (hati) dan perut, dan mereka juga terhalang. Kemudian mereka datang dari sisi kepala.
Pendekata, setiap sendi berkata; “kamu tidak dapat datang dari arah ini kerana orang ini selalu membaca Surah Al-Mulk”. Maka, Surah ini menyelamatkannya daripada azab kubur.
.
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Surah Al Mulk itu memelihara dan menghindarkan pembacanya dari azab kubur.” 
  • Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk setiap malam, diselamatkannya dari azab kubur.” 
  • Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa membaca surah Al Mulk pada mana-mana malam, nescaya datang ke dalam kuburnya surah itu sebagai penganti untuk bersoal jawab dengan Munkar Nakir”. 
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Sesungguhnya di dalam Al-Quran ada satu surah yang terkandung 30 ayat. Surah itu ialah surah Al Mulk. Ia akan datang kepada pembacanya untuk membantu bersoal jawab dalam kubur sehinggalah mereka selamat masuk ke dalam Syurga.” 
  • Saiyidina ‘Abdullah bin Abbas berkata: “Sesiapa membaca surah Al Mulk sehingga menjadi amalan wiridnya, nescaya ia mendapat bantuan dan pertolongan dari Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam kuburnya. Bila azab hendak datang ke kepala, terdengar satu seruan: “Tidak boleh engkau datang ke pihak kepala ini kerana ada surah Al Mulk.”
  • Daripada Ibnu Abbas r.a berkata, seorang sahabat Rasulullah SAW telah mendirikan khemah di atas kubur dan beliau tidak tahu ianya kubur. Maka di dalamnya terdengar suara bacaan surah al-Mulk sehingga khatam maka beliau menemui baginda SAW dan berkata : “Wahai Rasulullah SAW, saya dirikan satu khemah di atas satu kubur dan saya tidak tahu bahawa ianya kuburdan saya terdengar seorang manusia sedang membaca surah al-Mulk sehingga khatam. ” Nabi SAW bersabda; “Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia daripada siksa kubur.”  (HR At-Tarmizi)
 .
 .
3. Hati Beriman
  • Rasulullah SAW bersabda: “Hatiku ingin supaya Surah Al-Mulk berada di dalam hati setiap orang yang beriman.” (iaitu setiap muslim hendaklah mempelajarinya dan membacanya dengan istiqamah).
  • Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda: “Aku sungguh gembira, sekiranya orang mukmin sentiasa membaca surah Al Mulk sehingga seolah-olah surah itu tertulis di dalam hatinya.”
 .
 .
4.  Mendapat Keistimewaan
  • Saiyidina ‘Ali berkata: ”Sesiapa mengamalkan surah Al Mulk, nescaya dibawa ia pada hari kiamat di atas sayap malaikat serta wajahnya yang cantik seperti nabi Yusuf.” 
  • Ulama berkata: “Sesungguhnya surah Yasin dan surah Al Mulk terkandung di dalamnya beberapa rahsia dan kelebihan. Sesiapa mengamalkannya, nescaya ia mendapat rahsia-rahsia dan kelebihan-kelebihan itu serta dikasihi oleh semua manusia dan juga menjadi hebat pada pandangan makhluk.” 
InsyaAllah, sama-sama kita doakan supaya Allah terus membuka dan melembutkan hati kita untuk terus terpaut dengan Al-Quran, dan terus istiqomah dalam melakukan kebaikan.
Tidak rugi kan kita baca Al-Mulk. Kalau boleh, kita baca la sendiri sebelum tidur setiap hari. 
Bacalah Al-Quran sahabat, jangan biarkan rumah atau bilik kita itu menjadi seperti kubur yang sepi, seperti rumah yang tidak berpenghuni kerana tiada dibacakan ayat-ayat Allah di dalamnya.
Selamat beramal ! :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan