Khamis, 19 September 2013

BERCERAI ROBOH BERSATU KITA KUKUH

Mediu buka pendaftaran pelajar dari Mesir

Harakahdaily, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) mengadakan ‘Hari Pendaftaran Terbuka’ kepada pelajar-pelajar yang menuntut di Mesir bagi bidang Pengajian Islam dan Pengajian Bahasa Arab yang merangkumi Syariah Islamiah, Usuluddin, Dakwah, Dirasat Islamiah, Qiraat dan Bahasa Arab.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof. Dr. Muhammad Khalifa Al Tamimi dalam satu kenyataan memberitahu, Hari Pendaftaran Terbuka diadakan bermula hari ini hingga 20 September berpusat di Kampus Mediu, Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Katanya, pelajar diminta membawa dokumen pengajian semasa di Universiti Al-Azhar bagi memudahkan kerja-kerja pendaftaran beserta pemindahan kredit pengajian.

Sebelum ini, pihak Mediu menyatakan kesediaan untuk menempatkan pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar Mesir bagi menyambung pengajian mereka seramai 600 pelajar bagi pengajian secara konvensional (conventional learning).

Kuih bulan: PAS berjuang keadilan untuk semua

Harakahdaily, 18 Sep 2013


MIRI: Kehadiran PAS ke Sarawak bukan hendak memecah belahkan masyarakat berbagai kaum dan agama seperti dakwaan sesetengah pihak tetapi lebih kepada menyatukan masyarakat dan menegak keadilan untuk semua seperti mana yang dituntut oleh agama Islam.

Demikian dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Baru-baru ini, katanya PAS Miri bersama dengan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kawasan telah mengedarkan kuih bulan kepada masyarakat Cina di kawasan Senadin, sekitar bandaraya Miri dan juga di Niah, Sibuti.

“Pengagihan kuih bulan ini telah diketuai oleh Setiausaha DHPP Mr Yeo Kian Leong, khas untuk masyarakat Cina di sekitar kompleks membeli-belah, bazar di bandaraya Miri dan juga Sibuti,” ujarnya selaku Yang Dipertua PAS Miri.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Menurut kepercayaan orang Cina, kuih bulan adalah salah satu kek tradisional Cina yang dimakan ketika Pesta Pertengahan Musim Luruh. Kuih bulan dianggap makanan istimewa penting pada ketika itu, menurut "Li-Ji", sebuah buku Cina purba rakaman adat dan upacara, Maharaja Cina harus mempersembahkan korban kepada cahaya matahari pada musim bunga dan bulan pada musim luruh.

Kuih Bulan ditawarkan antara rakan-rakan atau perhimpunan keluarga ketika meraikan perayaan itu, salah satu daripada tiga perayaan Cina yang paling penting. Perayaan kuih bulan akan diadakan pada 19hb September tahun ini.

Baru-baru ini PAS Miri bersama dengan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong PAS) Miri telah mengedarkan kuih bulan kepada masyarakat Cina di kawasan Senadin, sekitar bandaraya Miri dan juga di Niah Sibuti. Pengagihan kuih bulan ini telah diketuai oleh Setiausaha DHPP Mr Yeo Kian Leong, khas untuk masyarakat Cina di sekitar kompleks membeli-belah, bazar di bandaraya Miri dan juga Sibuti.

Mr Yeo Kian Leong, seorang Cina yang komited dengan perjuangan PAS, beliau yang banyak membantu PAS memberi penerangan tentang perjuangan PAS kepada masyarakat Cina.

Penerimaan masyarakat Cina terhadap PAS amat menggalakkan dan mereka menerima PAS sebagai sebuah parti yang boleh menerima semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Walaupun pada mulanya mereka agak takut dengan kehadiran PAS tetapi setelah mereka mengenali PAS dengan adanya aktiviti PAS bersama masyarakat setempat, membolehkan mereka mengenali lebih dekat lagi tentang perjuangan PAS selama ini.

Apabila kita mengenali antara satu sama lain dan memahami adat resam dan budaya pelbagai kaum maka tiada timbul masalah perkauman. Perkara inilah yang PAS hendak dedahkan kepada masyarakat Cina dan yang bukan Islam bahawa agama Islam menyeru kepada keamanan agar mereka tahu bahawa PAS bukan memaksa mereka menganut agama Islam seperti dakwaan sesetengah orang yang memang tidak suka dengan PAS.

Soal kepercayaan adalah hak peribadi seseorang individu bukan boleh dipaksa-paksa tetapi oleh kerana ada segolongan manusia yang takut kehilangan kuasa dan kedudukan maka mereka sanggup melakukan fitnah terhadap PAS agar masyarakat Cina dan bukan Islam jangan menyokong atau bekerjasama dengan PAS.

Walaupun berbagai fitnah dan tohmahan buruk diberi oleh pihak lawan terhadap PAS namun masyarakat yang sudah mengenali PAS tidak mudah termakan dengan hasutan mereka yang tidak suka dengan kehadiran PAS di Sarawak.

Kita berharap masyarakat Cina dan yang bukan Islam dapat memberi kerjasama dengan PAS kerana PAS bukan hanya sebuah parti Islam tetapi lebih kepada parti yang berjuang keadilan untuk semua golongan tanpa mengira bangsa dan agama.

Begitu juga dengan masyarakat Melayu Muslim tempatan yang masih lagi takut atau tidak bersedia untuk bersama dengan PAS seharusnya terasa malu dengan masyarakat bukan Islam yang berani berjuang bersama PAS.

Kehadiran PAS ke Sarawak bukan hendak memecah belahkan masyarakat berbagai kaum dan agama seperti dakwaan sesetengah pihak tetapi lebih kepada menyatukan masyarakat dan menegak keadilan untuk semua seperti mana yang dituntut oleh agama Islam.

Isu-isu moral yang diperjuangkan oleh PAS lebih tertumpu kepada masyarakat Muslim yang menghadapi masalah moral di kalangan remaja Muslim dan bukan hendak memecahkan masyarakat Islam di Sarawak tetapi hanya untuk menyelamatkan aqidah mereka yang sudah mulai menyimpang dari ajaran Islam yang sebenarnya.

Berkenaan dengan masalah moral dan sosial dikalangan remaja Muslim, PAS amat perihatin dengan isu ini, sebab itulah PAS tidak mengalakkan penganut Islam terutama remaja Muslim terlibat dengan hiburan melampau yang boleh merosakkan aqidah mereka dan cara hidup mereka.  Ini bukan isu politik semata-mata tetapi lebih kepada nasihat kepada semua terutama remaja Muslim agar tidak terjebak dengan masalah sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Jadi fahamilah tujuan sebenar PAS, bukan hanya memainkan isu politik tetapi semua isu yang melibatkan rakyat terutama rakyat yang tertindas dan perlu bantuan. Kita akan terus perjuangkan nasib rakyat, demi menegak keadilan untuk semua.

Staf Komas didakwa kes tayang filem Sri Lanka

Harakahdaily, 18 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pegawai Program Komas Lena Hendry berdepan pendakwaan berhubung penayangan filem “No Fire Zone" sebuah dokumentari pembunuhan beramai-ramai di Sri Lanka, Julai lalu.

Menurut satu kenyataan Komas hari ini, Lena diminta hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada hari esok, 19 September, 2013.

"KDN telah mengeluarkan notis memaklumkan kepada Komas bahawa Lena Hedry akan didakwa dan dia diminta untuk hadir di mahkamah Majistret pada 19 September 2013 untuk didakwa di bawah akta penapisan filem," kata Tan Jo Hann, Pengarah Pusat Komas dalam satu kenyataan.

Pada 3 Julai lalu, Lena bersama Pengarah Eksekutif Komas Arul Prakkash dan seorang Ahli Lembaga Pengarah Komas Anna Har ditahan ketika tayangan filem “No Fire Zone, the Killing Fields of Sri Lanka”.

Penanahanan itu dibuat dalam serbuan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis dan Jabatan Imigresen.

Filem “No Fire Zone, Killing Fields Sri Lanka" adalah sebuah filem dokumentari yang memaparkan pencabulan hak asasi manusia di Sri Lanka yang dikenakan oleh kerajaan dan ketenteraan terhadap rakyat.

Menurut Komas, ketika serbuan pada hari tayangan tersebut 3 Julai lalu, wakil kedutaan Sri Lanka turut hadir untuk menghentikan penayangan.

"Ini adalah satu bentuk gangguan dan pelanggaran langsung kepada kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan oleh pihak berkuasa Malaysia.

"Adalah menyedihkan bahawa Malaysia yang merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia sebenarnya harus menjadi pembela bukannya menzalimi aktivis hak asasi manusia," kata Jo Hann.

Dyana Sofya pengkhianat?

Kolar Putih,
Usaha untuk memecahkan tembok perkauman tidak pernah menjadi satu usaha mudah. Universiti Teknologi MARA (UiTM) sepatutnya berbangga dengan pencapaian Dyana Sofya Mohd Daud yang menjadi Setiausaha Politik kepada penasihat DAP, Encik Lim Kit Siang. Umum mengetahui, DAP bukan parti yang berasaskan kaum walaupun parti itu didominasi oleh ahli berbangsa Cina (setakat ini).

Apabila ada seorang graduan UiTM yang beragama Islam dan berbangsa Melayu berjaya dipilih untuk menjawat jawatan itu, UiTM sepatutnya gembira dan bukan bertindak defensif mengenai perkara ini. Saya sendiri sebagai bekas graduan UiTM (Diploma dan Ijazah Sarjana Muda) amat mengenali dan faham mengenai UiTM. Semasa saya masih bergelar mahasiswa UiTM pengurusan dan pensyarah tidak pernah putus menyatakan impian UiTM adalah untuk melahirkan graduan yang berjaya saing dan boleh dipasarkan dalam kalangan kaum lain terutama berbangsa Cina. Nah!

Dengan ini, Dyana Sofya Mohd Daud adalah salah satu contoh terbaik graduan UiTM yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam kalangan organisasi yang majoritinya bukan Melayu. Jadi, persoalannya di sini, apa lagi UiTM mahu?

Dalam isu ini, yang rasis bukanlah DAP apatah lagi Dyana Sofya Mohd Daud, tetapi yang rasis adalah beberapa pemimpin Umno yang cuba memalitkan isu perkauman dalam perkara ini. Perkauman bukan sahaja menjadi senjata ampuh, bahkan darah daging kepada Umno. Semua isu akan dilihat melalui perspektif kaum.

Ya, survival orang Melayu amat penting, tetapi bukan melalui cara adu-domba dan taktik menakutkan orang Melayu seolah-olah bangsa Melayu hanya lahir selepas lahirnya Umno. Realitinya, Umno akan mati tanpa orang Melayu, tetapi orang Melayu tidak akan mati tanpa Umno. Malangnya masih ramai lagi orang Melayu tidak menyedari perkara ini dan terus untuk memilih mempercayai teori karut Umno.

Apabila UiTM sendiri memalitkan warna perkauman di dalam isu ini, pastinya mahasiswa-mahasiswi dan graduan UiTM tertanya-tanya apakah justifikasi kepada slogan 'Mengubah Destini Anak Bangsa' yang diilhamkan oleh Naib Canselor sendiri? Sekiranya pendirian UiTM adalah menganggap Dyana Sofea Mohd Daud sebagai pengkhianat, maka wajarlah slogan tersebut ditukarkan kepada 'Mengekalkan Destini Anak Bangsa', iaitu supaya orang Melayu kekal berjaya di kalangan orang Melayu sendiri sahaja.

Bagi memastikan kualiti graduan UiTM terus meningkat, UiTM seharusnya keluar dari kepompong politik yang menjumudkan visi, misi dan gerak kerja UiTM. Selagi UiTM taat kepada tuan politiknya, selagi itu mahasiswa dan mahasiswinya tidak bebas daripada proses doktrinisasi.

Pendidikan sepatutnya bebas daripada sebarang unsur politik kepartian dan wajar bersifat sebagai apolitikal, non-partisan. Semangat inilah yang harus disemai dan dijiwai oleh semua institut pengajian tinggi awam (IPTA) di Malaysia termasuk UiTM sendiri.

Akhir sekali, syabas dan tahniah kepada Dyana Sofya Mohd Daud. Ucapan penghargaan ini bukan sahaja kerana berjaya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, malah kerana sebagai graduan UiTM anda berjaya memecahkan dogma jumud dan klise UiTM.

Kepada UiTM, tahniah jua diucapkan kerana berjaya melahirkan graduan seperti Dyana Sofya Mohd Daud. Semoga lebih ramai lagi 'Dyana Sofya Mohd Daud' dapat dilahirkan. Apa lagi UiTM mahu?

Arak & maksiat: Contohi Brunei

Syed Abdullah Syed Osman,
Syabas Kerajaan Negara Brunei Darussalam apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei sendiri mengumumkan bahawa segala penerbangan yang membabitkan 'Royal Brunei Airline' tidak lagi boleh menghidangkan minuman keras didalam penerbangannya.

Negara Brunei yang berdaulat dan sentiasa peka dengan pembawaan Islamnya kini semua sedia maklum akan keberkatannya kerana boleh dikatakan seluruh rakyat Brunei dididik dengan pengetahuan agama yang mendalam dan mereka mengamalkannya.

Setiap kali apabila adanya sambutan kebesaran Islam seluruh rakyat komited bersama dengan pemerintah meraikannya dengan penuh kyusuk dan ikhlas. Pada masa yang sama, Brunei melarang keras penjualan arak secara terbuka mahupun tertutup, bahkan difahamkan tiada pusat hiburan saperti kelab malam atau kelab dangdut termasuk pusat karaoke. Hotel-hotelnya sentiasa dipantau dan bersih daripada kegiatan kemaksiatan dan setiap mereka yang ingin menginap dengan pasangan perlu memberikan butiran tentang hubungan mereka.

Pengisian ibadah dimasjid dan surau sentiasa penuh dengan majlis zikir dan selawat berterusan dan tidak ketinggalan dengan ceramah yang mampu memberikan manfaat kepada rakyatnya. Setiap rakyat yang sudah dewasa dan berkelayakan dapat menunaikan Haji secara percuma. Segala kebajikan saperti perubatan untuk penyakit kronik ditanggung oleh Kerajaan. Begitu juga elaun sara hidup bagi mereka yang memerlukan sentiasa sahaja diberikan bantuan. Walaupun nilai mata wang Brunei itu tinggi (mengikut nilai dolar Singapura) dan kos sara hidupnya yang agak tinggi, tetapi pendapatan dan gaji kakitangan Kerajaan dan juga swasta berpadanan dengan kos hidup.

Pada pandangan saya untuk membenteraskan segala minuman keras di dalam syarikat penerbangan kita dan mencegah maksiat perlu dilihat sejauh manakah komitednya pemimpin kita dalam menegakkan sebuah negara islam mengikut segala perintah yang diperturunkan melalui Al-Quran yang disampaikan oleh Rasulullah SAW itu. Tidak ada istilah tangguh atau apa juga alasan menidakkan hukum-hakam-Nya.

Selagi kita tidak kembali kepada Islam yang sebenarnya, selagi itulah masalah jenayah, maksiat dan masalah sosial yang lainnya tidak dapat diselesaikan malahan bertambah berat lagi. Hanya melalui kaedah Islam sahaja yang mampu memberikan jawapannya dan penyelesaianya.

Lagi satu berita buruk untuk Khairy Jamaluddin

http://cenangau.blogspot.com, 17 Sep 2013

Lagi satu berita buruk untuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin


Tapi dengan adanya sorang lagi bakal calon ni nampaknya Khairy terpaksa 'berbelanja' lebih besar untuk menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tu.

mStar melaporkan:
Seorang lagi mungkin akan mencabar jawatan Ketua Pemuda Umno semasa pencalonan Sabtu ini.

Razman Hakimi Abdullah, merupakan seorang blogger dan bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian pada Isnin berkata, beliau akan menyertai pertandingan itu sekiranya pencabar Akhramsyah Sanusi Akhramsyah Muammar Ubaidah tidak meneruskan hasratnya untuk menentang penyandang Khairy Jamaluddin bagi jawatan itu. - mStar.

Baca lagi

# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.

Gambar Mursi terkini tersebar. Allahuakbar

http://kerabubersuara.blogspot.com, 18 Sep 2013

Terkini! Gambar Mursi Terkini Tersebar. Allahuakhbar

September 18, 2013



Doakan Mursi diberi kesihatan dan kekuatan dalam melawan kezaliman.

#TerkiniMesir #Unite4Egypt

Keratan akhbar Parti kebebasan dan keadilan bertarikh 18.9.2013

Antara tajuk-tajuk berita:

Presiden Mursi : Aku akan terus tetap hingga akhir hayatku!

4 pimpinan ikhwan ditangkap(abu bakar,al-haddad,Abu Zayd, dan diab)

Kepungan ke atas 'Delga' diperketatkan dan penangkapan berterusan
Sumber: حزب الحرية و العدالة - الصفحة الرسمية

Aku tak akan mundur meski nyawa jadi taruhan - Mursi

http://greenboc.blogspot.com, 18 Sep 2013

Mursi: "Aku Tak Akan Mundur Meski Nyawa Jadi Taruhan"

Presiden Mesir yang digulingkan Muhammad Mursi bertekad dengan tegas terhadap rejim baru negara itu dalam merebut kekuasaan. Mursi menyatakan, tidak akan mundur dari peta politik meski nyawa menjadi taruhannya.
"Saya tetap berdiri di tanah ini (Mesir) sampai nafas terakhirku," kata Mursi, baru-baru ini, seperti disiarkan Anadolu Agency, Selasa (17/9). Ungkapan itu diucapkan sewakrtu beliau melakukan komunikasi rahsia bersama sanak keluarganya.

Anadolu Agency melaporkan, Mursi berhasil melakukan sambungan telepon dengan anggota keluarga. Di dalam percakapan tersebut, Mursi mengatakan keadaan dirinya setakat ini baik saja.

Meski pun, katanya, sewaktu berada dalam penjara, tidak satu pun maklumat dari luar luput dari pantauannya. Hanya saja, menurutnya, dirinya tidak tahu beliau berada di penjara mana.

Sambungan melalui seluler itu dikatakan komunikasi pertama Mursi setelah beliau dimasukkan ke penjara oleh pihak tentera.

Pejabat berita di Ankara, Turki itu menyatakan, sejak dikudeta oleh Panglima Tentera Jenderal Abdel Fattah el-Sisi, Mursi dilarang bertemu dan berkomunikasi dengan sanak keluarga serta handai taulan.

Selama percakapan, Mursi pun menceritakan tentang introgasi paksa terhadap dirinya. Bulan lalu, kata di, seorang mengaku pendakwa menemuinya di penjara. Tapi, cerita Mursi, introgasi dilakukan tanpa mengetahui muka.

Itu dikatakan dia, lantaran penjaga penjara memberi kain hitam penutup mata dan wajah terhadap Mursi. Pembicaraan itu pun dikatakan dia tidak berlangsung lama.
"Saya katakan kepada mereka (pengintrogasi), 'saya presiden yang sah negara ini'," sambung Mursi.

Selanjutnya, kata dia, apapun yang dituduhkan terhadapnya adalah tidak benar. Mursi menegaskan punya kekebalan hukum sebagai presiden yang sah di Negeri Piramid itu.

"Saya menolak untuk mengakui semua itu (tuduhan)," ujar dia.

Q&A: Patung mainan berupa dajjal, mata satu

Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 18 Sep 2013
Soalan;
Mengenai watak kartun minion bermata satu dalam kartun Dispicable Me. saya telah membeli anak patung (soft toy) yang bermata satu tersebut untuk anak saya. Adakah perbuatan itu salah? Adakah akan terpesong akidah kita? Adakah akan mengkafirkan dan menjahilkan sifat seseorg itu? Sedangkan kita sebagai ibu bapa tidak terlintas atau terniat langsung tentang anak patung yang menyerupai dajal. Sehingga ada segelintir juga menyatakan logo Disney juga menyerupai mata satu dan disarankan supaya tidak membeli barang yang berjenama disney kerana logonya itu. Harap dapat penjelasan ustaz. Terima kasih.

Jawapan

1.Di antara tanda iman ialah kita menyintai orang yang dicintai Allah dan membenci orang yang dibenci Allah. Maksud menyintai itu termasuklah kepada sifat-sifat dan keperibadiannya. Dajjal adalah di antara makhluk yang dibenci Allah kerana ia menyesatkan manusia. Segala imej yang menyerupai orang yang dibenci Allah atau menggambarkan apa-apa sifatnya hendaklah dijauhi dari anak-anak sekalipun hanya berupa mainan.

2.Dari segi gambaran Dajjal bermata satu, gambaran itu tidaklah tepat. Yang disebut dalam hadis ialah; buta sebelah matanya, bukan bermata satu. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan akan memperingatkan umatnya tentang seorang penipu yang buta sebelah matanya (iaitu dajjal). Ketahuilah bahawa ia buta sebelah matanya dan Tuhanmu tidaklah buta sebelah matanya. Di tengah antara dua matanya tertulis ‘kafir’.” (Soheh al-Bukhari; 7408. Soheh Muslim; 2933, dari Anas bin Malik RA). Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda; “Dajjal itu mata kirinya buta, rambutnya lebat/kusut, serta mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya adalah syurga, sedang syurganya adalah neraka.” (Soheh Muslim, 2934, dari Huzaifah RA).

3.Dari segi dosa, tidaklah dikira dosa perkara yang kita lakukan kerana tersalah atau jahil. Kita hanya berdosa jika tidak membetulkan kesalahan dan kejahilan itu setelah mengetahui apa yang benar tentangnya.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

PAS dalam Pakatan perkukuh sistem dua parti

Anis Nazri, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat memandangkan hubungan parti itu lebih kukuh dan baik berbanding hubungan antara parti dalam Barisan Nasional.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, berkata hubungan dalam Pakatan Rakyat itu perlu diteruskan sebagai sistem dua parti.

"Memang semua parti politik dalam Pakatan Rakyat mempelajari cara parti masing-masing. Sehingga kini kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN," tegas beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, petang ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kerjasama PAS dalam Pakatan rakyat, khususnya dengan PKR.

Mengulas isu sama ada PAS bersedia untuk mengkaji semula tahaluf siasi kerana kononnya menjadi sebab kemerosotan undi terhadap PAS, beliau bagaimanapun menafikannya.

"Tahaluf siasi bukan penyebabnya. PAS dapat meningkatkan undi di Selangor. Dari tiga exco kepada empat exco dan dari lapan kerusi kepada 15 kerusi. Begitu juga di Terengganu. Kita juga dapat tambah kerusi di Melaka, juga Johor," tegas beliau.

Tambah beliau, jika kemerosotan undi dijadikan penanda aras kekuatan sesebuah parti, BN lebih mengalami kemerosotan undi pada pilihan raya umum lalu.

"Kalau nak tengok undi merosot, BN lagi merosot undinya di Terengganu, Selangor dan Johor," kata beliau sambil menyatakan sebab kemerosotan undi terhadap BN menyebabkan parti itu teraba-raba mencari kawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan