Selasa, 17 September 2013

BANYAK LAGI PERJUANG2 ISLAM YANG TIDAK DIKENALI....YANG MENGENALINYA HANYA ALLAH SAJA...MEREKA TAK PERLUKAN SANJUNGAN TAPI KEIKHLASAN SERTA MEREKA NI MENGHARAPKAN RAHMAT ALLAH SEMATA2

Himpunan haji dan masalah ummah

Abd Shukur Harun, 17 Sep 2013
Jemaah haji seluruh dunia sedang berdatangan ke Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk menunaikan Fardhu Haji mulai 9 Zulhijjah tahun ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, kira-kira tiga juta setengah jemaah haji akan berhimpun di dua kota suci itu yang puncaknya berwukuf di Arafah dan melontar Jumrah di Mina, kemudian tawaf dan saie.

Suasana musim haji kali ini bertambah sibuk, terutama Bandaraya Makkah dan Madinah yang sedang diperbesarkan dan sudah tentu sibuk dengan kerja-kerja pembesarannya yang menelan belanja berbilion ringgit.

Bagi jemaah haji yang kaya atau super-kaya, terutama sheikh-sheikh Arab dari negara Teluk, mereka menyewa hotel mewah yang berdekatan dengan Masjidil-Haram atau Masjid Nabawi. Sementara jemaah haji biasa, tinggal agak jauh dari dua masjid tersebut. Kebanyakannya tinggal di apartmen yang kebanyakannya baru. Untuk pergi ke masjid, mereka boleh menggunakan bas dan teksi, tetapi bagi jemaah yang berbadan tegap, ada yang berjalan kaki saja ke masjid. Di samping itu, jualan pelbagai jenis barang kelihatan merata-rata dan biasanya jemaah haji juga mengambil kesempatan untuk membeli-belah.

Kerajaan Arab Saudi yang menjadi Khadam Al-Haramain (Pelindung Dua Tanah Haram) telah membuat persediaan dan kemudahan yang cukup untuk jamaah haji yang bertambah setiap tahun.

Wukuf di Arafah di mana semua jemaah berkhemah - menunaikan rukun utama ibadah haji - adalah manifestasi himpunan terbesar umat Islam seluruh dunia yang datang dari pelbagai negara, menyahut seruan Nabi Ibrahim AS dan di sana kita menyaksikan pelbagai bangsa, warna kulit, perwatakan, bahasa, budaya dan sebagainya.

Himpunan musim haji kali ini akan berlangsung ketika beberapa negara umat Islam menghadapi krisis kemanusiaan paling berat. Pebunuhan beramai-ramai oleh tentera Mesir terhadap rakyatnya sendiri akibat rampasan kuasa tentera di Mesir yang berterusan hingga kini, pebunuhan beramai-ramari rakyat Syria oleh rejim diktator Bashar Al-Assad, pertempuran berterusan antara pejuang pemisan Islam di Zamboanga, selatan Filipina, penderitaan Muslim Rohingya di Myanmar, derita kerana kemiskinan hidup umat Islam di mana-mana, termasuk di negara Arab sendiri dan juga kekeliruan umat akibat pelbagai kekeliruan yang ditimpakan oleh golongan sekular.

Di samping itu, demonstrasi berterusan puak sekular yang menentang kerajaan An-Nahdah yang  sah dipilih oleh rakyat di Tunisia, pelarian rakyat Syria yang puluhan ribu jumlahnya di sempadan Syria-Turki, kehidupan rakyat Gaza yang sangat kritikal dan pelbagai peristiwa lagi.
Para jemaah haji tentunya terlalu sibuk dengan urusan melaksanakan rukun haji dan mungkin tidak sempat atau tidak tahu akan nasib malang saudara Islam mereka di pelbagai negara yang disebutkan. Oleh itu mungkin tidak ada masa pula untuk memikirkan masalah itu semua.

Maka himpunan musim haji di Tanah Suci itu akan berlansung seperti biasa hingga selesai para jemaah menunaikan fardhu haji, lalu merekapun pulang ke negara masing-masing.

Apakah kesan himpunan musim haji itu terutama terhadap pelbagai krisis kemanusiaan yang dihadapi oleh umat Islam di negara tersebut?

Lebih tiga juta umat Islam yang berhimpun itu adalah suatu jumlah yang dikira besar. Tetapi dengan jumlah itu kelihatan tidak menimbulkan sebarang impak atau kesan kepada kuasa-kuasa besar dalam membuat keputusan  politik. Malah mereka tidak hiraupun himpunan umat Islam itu, lebih-lebih lagi bagi pemimpin negara Arab yang kaya sendiri yang tidak hiraukanpun apa yang terjadi kepada umat.

Bantahan dan ratap tangis umat Islam Mesir akibat rampasan kuasa itu yang mengorbankan puluhan ribu nyawa, cedera dan diseksa, pembunuhan beramai-ramai di Syria akibat kesan racun kimia yang disembur oleh rejim Bashar Al-Asaad dan lain-lain, tidak menggugah perasaan pemimpin negara Arab yang kaya raya itu.

Inilah yang terjadi apabila ibadah haji menjadi ibadah ritual yang sangat peribadi sifatnya. Pada hal himpunan ummah pada musim haji itu, sewajarnya menjadi himpunan yang turut membincangkan masalah ummah seperti yang dipesan oleh Rasulullah SAW dalam Khutbah Wada’ Baginda yang disampaikan di Jabal Rahmah di Arafah.

Khutbah itu, penuh dengan pelbagai pesan dan arahan kepada ummah untuk menghadapi cabaran masa depan. Khutbah itu  mengandungi mesej politik kepada ummah. Ia disampaikan di Jabal-Rahmah, di tengah ribuan umat yang menunaikan haji bersama Rasulullah SAW.

Hal ini bermakna ibadah haji itu bukan sekadar ibadah yang sangat peribadi sifatnya, bahawa ibadah itu hanya untuk mencuci dosa peribadi, meningkatkan takwa peribadi, menambah pahala sebanyak mungkin untuk peribadi juga.

Anggapan ini tidak tepat dengan kehendak Islam yang sebenarnya, yakni setiap masalah ummah dirasakan dan difikirkan bersama kerana himpunan haji bersifat himpunan ummah yang sangat penting untuk membincangkan masalah ummah seluruhnya. Oleh itu, sewajarnyalah umat Islam mengambil contoh dan menghidupkan kembali roh dan semangat dari apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, khususnya amanat yang disampaikannya.

Selalu kedengaran ucapan oleh golongan sekular, “Jangan campur adukkan ibadah dengan politik”. Pada hal membincangkan masalah ummah adalah juga ibadah, justeru ibadah sangat luas pengertian dan bidangnya.

Tinggal lagi, bagaimana cara untuk membincangkan masalah ummah ini pada musim haji perlu dibincangkan dan dibina mekanismenya tanpa mengganggu perjalanan ibadah haji dengan segala rukun dan tertibnya. Hal ini tidak juga bermakna jemaah mengganggu urusan politik dan pentadbiran negara Arab Saudi yang telah menyediakan kemudahan untuk jemaah menunaikan Fardu Haji dengan sangat baik.

Oleh itu, yang penting bagi umat Islam, khususnya jamaah haji, ialah menghayati amanat Rasulullah SAW supaya umat Islam menjadi umat yang terpandang, dihormati, dirasakan kehadirannya dan dalam masa yang sama berperanan sebagai umat yang memandu manusia, sesuai dengan sifatnya sebagai ‘Ummatan Wasatan’, yang menjadi pengimbang, penegak kebenaran dan keadilan.

Kepada para hujjaj, diucapkan selamat menunaikan Fardhu Haji, semoga dikurniakan Allah SWT haji yang mabrur.

Bakar rumah taktik halau setinggan Batu Sapi?

Teks dan foto: Azamin Amin, 17 Sep 2013
PADANG JARAK...lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.

SANDAKAN: Setiap kali penduduk setinggan atau tanah teroka diarah berpindah akan berlaku insiden kebakaran misteri yang menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa.

Kejadian ini lazimnya terjadi selepas keengganan penduduk menuruti arahan kerana tidak berpuas hati dengan tempat tinggal baru yang disediakan termasuk pampasan rendah yang dijanjikan.

Demikian kata pengasas PAS Sabah yang juga Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Hamzah Abdullah, 7 September lalu kepada  kami -- saya dan Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman -- ketika berkunjung ke tempat kejadian, dekat Sandakan baru-baru ini.

Harakah dibawa melihat sebahagian rumah atas air Kampung Cenderamata, Batu Sapi, yang musnah dijilat api pada hari pertama Syawal lalu. Rombongan kami, yang kebetulan lewat tiba, ketika azan Maghrib hampir berkumandang, disambut penuh harapan.

Jelas sekali impian besar mereka mahu masalah yang menghimpit dapat diberi liputan meluas oleh pihak media, khususnya Harakah, agar penyelesaian tuntas dapaty disegerakan.

Seorang maut susulan kebakaran besar itu manakala lebih 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan terpaksa menetap di khemah sementara dan garaj kereta yang dibina berhampiran tempat kejadian.

Kata Hamzah, beberapa kes sama telah berlaku membabitkan setinggan, namun sehingga kini masih tidak ada tindakan daripada pihak berkuasa dan agensi kerajaan.

Bagi seorang penduduk, Edi Sumardi Jaffar, kebakaran itu dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat.

Pada hari kejadian katanya, sepasang suami isteri dilaporkan bergaduh dan si suami dikatakan bertindak membakar rumahnya sendiri.

Namun yang menimbulkan kemusykilan lelaki yang dipercayai suami pasangan, telah mengeluarrkan seluruh isi barang dalam rumah terlebih dahulu, kemudian bertindak membakar menyebabkan api marak, melibatkan rumah kejiranan yang lain.

"Saya lihat percikan api yang jatuh ke dalam air disambar dengan cepat ... seolah-olah ada minyak yang telah disimbah di seluruh kawasan air dan sekitar rumah.

"Kita telah buat tiga laporan polis dibuat di Balai Polis Sandakan tetapi tiada dimaklumakan hasilnya.Ini termasuk siasatan pasukan bomba yang tidak mendedahkan punca kebakaran," kata Edi kepada Harakah.

Beliau memberitahu bahawa sebilangan besar penduduk yang menjadi mangsa sudah sebulan tinggal di dalam khemah dan garaj kereta sejak Aidilfitri lepas.

"Lebih sedih, dalam susah begini, mereka suruh kami pindah ke Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dengan membayar deposit...mana kami ada duit," katanya.

Wakil Rakyat kawasan Sekong Dato' Samsudin Yahya pernah dilaporkan berkata beliau bersama Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen akan berbincang dengan Ketua Menteri, Dato' Seri Panglima Musa Haji Aman mengenai cadangan pembinaan PPRT itu.

Dalam bencana itu, dengan segera PAS Sabah bersama anggota Jabatan Amal Malaysia, berusaha membantu meringan beban mereka, jelas Hamzah.

"Antara sumbangan yang disalurkan ialah berupa keperluan harian seperti beras, roti, baldi dan sebagainya serta pakaian terpakai dan duit raya kepada kanak-kanak," katanya.

Rata-rata mangsa kebakaran, termasuk Edi, melahirkan rasa kecewa sehingga sebulan lebih, insiden yang menimpa masih belum mendapat perhatian serius serta bantuan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Edi berkata penduduk sebelum kejadian itu telah lama mencuba untuk mengemukakan permohonan kepada pihak kerajaan untuk mendapatkan status kampung bagi mewujudkan perkampungan.

Keputusannya ialah arahan berpindah dan ianya dibuat sebelum kejadian kebakaran menimpa.

Selepas kebakaran, pihak Barisan Nasional telah meminjamkan dua buah khemah sebagai tempat teduh sementara, bagi lebih 98 keluarga.

"Tiba-tiba tanpa penjelasan BN telah mengambil dua khemah itu semula.

"Kami terpaksa tidur di garaj kereta beratap zing tapi malam tak boleh, panas," luahnya.

Salurkan sumbangan terus ke dalam akaun Maybank HARAKAHDAILY DOT COM 5640 7000 0336. Bantuan akan diagihkan melalui PAS Kawasan Batu Sapi.


Keadaan penginapan mangsa di dalam khemah.

PAS tambah kerusi di Dun S'gor hasil kerjasama PR

Harakahdaily, 17 Sep 2013
SHAH ALAM: PAS Selangor yakin bahawa cadangan dari Dewan Ulama PAS supaya mengkaji semula kerjasama politik (tahaluf siyasi) dalam Pakatan Rakyat adalah untuk menguatkan lagi PAS dan sekaligus memperkukuh Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Khalid Abdul Samad berkata, beliau tidak melihat cadangan tersebut sesuatu yang harus dijadikan polemik kerana yakin ia adalah cadangan untuk "menambah baik".

Menurutnya lagi, realiti di Selangor, PAS mendapat lonjakan sokongan dari kerjasama dalam Pakatan Rakyat sehingga berjaya meningkatkan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Di Selangor, jelas PAS mendapat keuntungan besar hasil wujudnya Pakatan Rakyat apabila jumlah kemenangan kita meningkat sehingga 15 kerusi,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu.

Berbanding pada PRU 2008, iaitu sebelum membentuk kerajasan dalam Pakatan Rakyat, PAS hanya berjaya menguasai sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

Beliau juga berpendapat bahawa kerjasama dalam Pakatan Rakyat khususnya dalam realiti negeri Selangor adalah menguntungkan PAS.

“Pakatan tidak merugikan PAS dan kajian semula kalau ingin dilakukan adalah untuk menambah baik dan memperkukuhkan lagi Pakatan,” katanya.

Kerjasama tingkat sokongan kepada PAS

Abdul Aziz Mustafa, 16 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan mengadakan kerjasama dengan parti-parti lain bukan sahaja tidak merugikan malah meningkatkan sokongan kepada PAS, kata Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar.

Dengan mengambil kira kejayaan tersebut, beliau menyokong penuh pendirian Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mahu memperkuatkan lagi pakatan politik di dalam Pakatan Rakyat.

Sambil menyifatkan pendirian kedua-dua mereka sebagai pendirian yang jelas, Mahfuz berkata, sejak tahun 1990 lagi, di mana kerjasama PAS dengan Semangat 46 berjaya mengambil alih pemerintahan Kelantan dari Barisan Nasional (BN).


Beliau berkata, tindakan PAS mengadakan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan parti-parti lain lebih banyak menguntungkan PAS.

"Kalau neraca untung rugi yang mahu digunakan, amat jelas tahaluf siyasi menguntungkan perjuangan PAS seperti yang dihuraikan oleh kenyataan Mursyidul Am PAS mengenai perkara itu sebelum ini.

"Malah, dalam pilihan raya lalu pun, melalui sikap pro-perpaduan yang ditunjukkan oleh PAS, sama ada perpaduan antara kaum atau perpaduan antara parti, jangan dilupakan aspek positif yang diperolehi dalam pilihan raya tersebut di mana PAS berjaya meningkat penguasaannya di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun) di mana kita memperolehi 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

PAS, katanya, berjaya meningkatkan kerusi Dun di Selangor, Terengganu dan Johor serta mendapat kerusi sulung di Dun Melaka.

"Memang diakui kita kehilangan negeri Kedah, tetapi ia tidak ada kaitan dengan tahaluf siyasi," katanya.

Mahfuz yakin, rakyat sedar bahawa kejayaan Umno dan parti-parti lain di dalam Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan dan MIC mendapat undi orang-orang Melayu adalah disebabkan kejayaan menakutkan-nakutkan mereka dengan mengapi-apikan perkauman.

"Perkara itu diakui sendiri oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) yang menyatakan Umno dan BN menang bukan kerana kuat, tetapi kerana ketakutan Melayu," katanya.

Ketika Umno menakut-nakutkan orang-orang Melayu, katanya, Pakatan pula tetap dengan pendirian tidak mahu mengapi-apikan isu perkauman sebaliknya lebih menonjolkan isu-isu yang berkaitan dengan kesejahteraan ekonomi, kesejahteraan umum rakyat serta perpaduan antara kaum.

"Keengganan kita mengapi-apikan perkauman untuk mendapatkan undi bukan satu kegagalan, malah ia satu kejayaan.

"Adalah silap besar untuk menyatakan PAS mengalami kegagalan disebabkan ketegasan kita tidak mahu mengapi-apikan sentimen perkauman untuk mendapatkan undi seperti yang dilakukan oleh Umno," kata Mahfuz.

Mengulas cadangan untuk mengkaji kedudukan PAS di dalam Pakatan, Mursyidul Am dalam kenyataannya Ahad lalu menegaskan: "Kaji hanya untuk penambahbaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.

"Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan".

Sabariah: Pejuang senyap rakyat terbuang

Harakahdaily, 16 Sep 2013
BERIKUT adalah surat terbuka Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kepada bekas Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat, Senator Dr Syed Husin Ali atas pemergian ke rahmatullah isteri beliau, Almarhumah Sabariah Abdullah, jam 7.40 malam, 13 September 2013.

Assalamu’alaikum wbt.

Azizah memaklum kepada saya dengan nada sedih sedu bahawa isteri saudara tercinta, sahabat kami dan pejuang rakyat Allahyarhamah Sabariah Hj Abdullah telah kembali kerahmatullah dengan keadaan tenang diatas riba saudara.

Saya kenal Sabariah, mahasiswi Kelantan yang pendiam tatkala bersama di Universiti Malaya. Kampus, terutama di Dataran Sastera sekonyong-konyong riuh dengan berita pinangan saudara yang kemudian di ijabkabul.

Pastinya kita sering juga berceloteh soal keluarga tatkala bersama merengkuk dalam tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting. Saya terasa lebih mengenali sosok Sabariah, dan ketenagaannya menghadapi suasana kelam dan duka sekian lama. Hanya di kalangan yang mengharungi lingkaran perit derita dapat merasakan beban yang di tanggung mangsa tahanan dan isteri setia.

Namun yang lebih mengesankan adalah kegigihan Sabariah mempertahankan hak penghuni tanah ‘haram’ yang di usir pemaju dan penguasa. Saban bulan pejabat saya di Kementerian Kewangan atau Timbalan Perdana Menteri di hujani fax dari Sabariah mengenai rumah atau perkampungan rakyat yang bakal di robohkan oleh Bandaraya dan utamanya Selangor yang sedang pesat membangun. Malah beliau pernah mencemaskan kami manakala dua bas peneroka Shah Alam yang di usir muncul di hadapan rumah rasmi kami. Saya dan Azizah terpaksa jemput mereka utk jamaah maghrib dan makan sementara menghubungi MB Selangor ketika itu.

Dalam banyak kes, saya secara peribadi dikejutkan dari suasana selesa untuk menghubungi Dato Bandar atau MB agar menjamin pampasan atau layanan lebih adil buat rakyat kerdil. Sabariah memang berjasa kerana tidak ramai yang berani dan di berikan ruang terus ke pejabat peribadi saya. Namun yang di kemukakan adalah nasib serta keluhan rakyat dan tidak pernah selain itu.

Di tahun-tahun kebelakangan ini saudara Syed Husin bisikkan kepada saya dan Azizah mengenai keuzuran Sabariah. Tetapi bekalan doa, dukungan perjuangan tetap tegar.

Kami mendoakan agar roh Allahyarhamah disemadikan bersama para solehah dan dirahmati Allah azzawajalla.

ANWAR IBRAHIM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan