Rabu, 18 September 2013

BAGAIMANA PENCEMARAN BUDAYA SERTA KEGIATAN2 LAIN YANG TAK MENGIKUT HUKUM2 ALLAH...SEPERTI PERGAULAN BEBAS DAN MASALAH AURAT TAK DIAMBIL BERAT

Pemuda PAS kecam hukuman mati Quader Molla

Harakahdaily, 17 Sep 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk keputusan Mahkamah Agung Bangladesh yang telah menjatuhkan hukuman mati kepada Syeikh Abdul Quader Molla, Penolong Setiausaha Agung Jamiat Islami.

Abdul Quader dijatuhkan hukuman berkenaan ekoran pertuduhan terhadapnya dengan melakukan pembunuhan besar-besaran semasa peperangan dengan Pakistan pada 1971.

"DPPM merasa kesal kerana Mahkamah Agung Bangladesh sanggup menukar hukuman asal yang dikenakan ke atasnya daripada penjara seumur hidup kepada hukuman mati.

"Hukuman ini pula berikutan daripada protes daripada segelintir golongan sekular yang menganggap keputusan asal terhadap Abdul Quader Molla terlalu ringan dan mendesak hukuman lebih berat dikenakan ke atasnya," kata Naib Ketua DPPM Dr Raja Ahmad Al-Hiss.

Dalam hal ini katanya, Mahkamah Agung Bangladesh telah tunduk kepada tekanan segelintir golongan pelampau dengan mengenepikan keadilan yang sebenar yang sepatutnya dinikmati oleh Abdul Quader.

Menurutnya, Mahkamah Bangladesh sepatutnya melihat kepada keadilan dengan berpandukan kepada fakta kes dan bukan kepada sentimen sesetengah pihak semata-mata.

"Apakah Abdul Quader telah mendapat keadilan yang sewajarnya dengan hukuman mati dan adakah ia adil untuk rakyat Bangladesh," soalnya.

DPPM juga katanya melihat langkah politik Sheikh Hasina sumbang dengan melakukan tindakan kejam terhadap pesaing politiknya terutama kepada Jamiat Islami.

Kata beliau, dalam keadaan parti politik seperti Jamiat Islamiyy semakin berpengaruh dan mendapat tempat di hati rakyat, kerajaan Bangladesh sanggup mengharamkan Jamiat Islamiyy pada bulan lepas.

Sementara itu, hampir kesemua pemimpin tertinggi Jamiat Islami ditangkap dan beberapa orang pemimpin telah dijatuhkan hukuman mati.

"Apakah ini bentuk demokrasi yang ingin disuburkan di Bangladesh," soal beliau lagi.

Justeru, DPPM mendesak kerajaan Bangladesh mengkaji balik hukuman tersebut dengan memastikan keputusan yang dibuat berdasarkan kepada keadilan yang sebenar.

Tentera kudeta serang perkampungan Delga

Harakahdaily, 17 Sep 2013

MESIR: Tentera kudeta semalam melancarkan serangan ke atas penduduk di perkampungan Delga yang terletak di dalam wilayah Almanya dipercayai sebagai usaha menyekat perhimpunan membantah rampasan kuasa oleh tentera.

Difahamkan, pihak tentera mengepung segenap penjuru perkampungan tersebut dan melepaskan tembakan peluru hidup termasuk tembakan dari atas helikopter.

Tentera kudeta didakwa menggunakan alasan bahawa terdapat persengkataan di antara puak-puak di dalam kampung tersebut, dan menuduh penduduk menyimpan senjata dan pelancar roket di perkampunagn tersebut.

Menurut seorang saksi yang juga pendudk kampung berkenaan, pihak tentera melepaskan tembakan rambang pada awal pagi semalam dan berlanjutan hingga ke waktu malam.

Beliau juga menafikan tuduhan pihak tentera yang disifatkan sengaja mereka alasan untuk menghalang himpunan rakyat menuntut legitimasi dikembalikan.

Katanya, perkampungan Delga hidup dengan aman damai sebelum ini bersama penduduk-penduduk Kristian bahkan ada segelintir dari mereka yang menyokong legitimasi dan menentang rampasan kuasa dan turut serta dalam perhimpunan-perhimpunan yang dijalankan.

Beliau juga tidak dapat memastikan jumlah kematian dan kecederaan kerana mendakwa serangn berlaku di seluruh kawasan perkampungan.

Sementara itu, pasukan keselamatan menyatakan sekurang-kurangnya 45 orang ditahan dalam serangan operasi semalam.

Mereka juga memberitahu, bahawa 10 kereta perisai dan 30 tentera telah dikerahkan untuk operasi menyerang kampung tersebut.

Kerajaan kudeta turut mengisytiharkan satu perintah berkurung di kampung tersebut atas alasan mahu menghalang mana-mana individu dikehendaki daripada melarikan diri.

Keputusan muktamad dalam Muktamar

Salmiyah Harun, 17 Sep 2013

Dr Mahfodz menyampaikan anugerah kepada pelajar cemerlang Kuizm.

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyerahkan kepada Muktamar PAS yang akan berlangsung pada November nanti sama ada menolak atau menerima Resolusi Multaqa Ulamak Se-Malaysia yang berlangsung di Kedah Sabtu lalu.

Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, pandangan dan kritikan ulamak yang dilontarkan itu akan dirumuskan di dalam Muktamar PAS nanti.

"Ahli kita ramai hampir setengah juta, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri. Dalam hal ini biarlah AJK PAS Pusat yang akan rumuskan dalam Muktamar nanti," katanya.

Malah katanya, ulamak terbuka untuk menerima apa sahaja keputusan yang akan dibuat dalam Muktamar nanti.

Mengulas lanjut resolusi ulamak yang kini menimbulkan pelbagai persepsi, beliau berkata 'review' yang dimaksudkan bukan untuk mengundur tetapi untuk ke hadapan.

"Tidak semestinya kita undur semula, review itu adalah untuk kaji semula untuk memperkukuhkan PAS," katanya ditemui Harakahdaily selepas Majlis Konvokesyen Pelajar Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhamad (Kuizm).

Mengulas perlabelan golongan ulamak dan profesional dalam parti,  beliau berkata kedua-dua golongan ini diperlukan di dalam PAS dan ianya perlu seimbang dan masing-masing ada wakil di dalam sayap parti.

"Ulamak ada wakil, profesional pun ada wakil, biar seimbang kalau satu golongan sahaja kurang sempurnalah. Ini semua akan menambahbaikkan PAS. Ahli PAS bermacam-macam latar belakang," katanya.

Kes 533 peneroka Bera saman Felda ditangguh

Khairil Abdul Rahim, 17 Sep 2013


TEMERLOH: Kes saman 533 peneroka dari Felda Gugusan Bera yang menuntut pihak Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd membayar ganti rugi hasil penjualan sawit mereka sejak tahun 1995, hari ini ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal.

Peguam bagi pihak peneroka Nasar Mirbas Khan berkata, hakim di Mahkamah Tinggi Temerloh mengarahkan pihaknya mendapatkan rekod jualan sawit semua peneroka kepada kilang-kilang Felda atau pihak ketiga.

“Hakim hari ini mengarahkan plaintif menyiapkan rekod jualan mereka bagi dibandingkan rekod dengan rekod yang disimpan di kilang Felda.

“Mahkamah memberi tempoh seminggu dan minggu kes ini akan dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk pengurusan kes. Selepas itu baru akan ditetapkan tarikh perbicaraan seterusnya,” katanya dalam sidang media.

Turut hadir, seorang lagi peguam bagi pihak peneroka Mohamed Hanipa Maidin, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman serta para peneroka.

Pada 20 September tahun lalu 533 peneroka dari 9 Tanah Rancangan Felda Gugusan Bera telah memfailkan writ tuntutan tersebut di Mahkamah Tinggi Temerloh.

Nasar Khan berkata, tuntutan peneroka ialah berkaitan kadar perahan gred (KPG) yang dibayar kepada peneroka dengan terdapat unsur penipuan kerana lebih rendah daripada gred sebenar.

“Selain daripada itu peneroka juga menuntut wang isi rong sawit, tandan yang ditolak tetapi diproses, keladak minyak dan abu tandan sawit yang semuanya mempunyai nilai tetapi tidak dibayar atau dikembalikan oleh Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd selaku defendan.

“Untuk tahun 2008 sahaja, kerugian yang dialami peneroka kerana tidak dibayar hasil yang disebutkan ialah RM19 juta dan tuntutan bermula sejak tahun 1995. Jadi kita jangka peneroka sepatutnya dibayar sekitar RM300 juta lagi,” katanya.

Sebelum ini, peneroka-peneroka Felda Kemahang dan Sungai Koyan telahpun memenangi kes saman melibatkan isu yang sama.

Lagi satu berita buruk untuk Khairy Jamaluddin

http://cenangau.blogspot.com, 17 Sep 2013

Lagi satu berita buruk untuk Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin


Tapi dengan adanya sorang lagi bakal calon ni nampaknya Khairy terpaksa 'berbelanja' lebih besar untuk menang tanpa bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tu.

mStar melaporkan:
Seorang lagi mungkin akan mencabar jawatan Ketua Pemuda Umno semasa pencalonan Sabtu ini.

Razman Hakimi Abdullah, merupakan seorang blogger dan bekas ketua unit komunikasi korporat sebuah kementerian pada Isnin berkata, beliau akan menyertai pertandingan itu sekiranya pencabar Akhramsyah Sanusi Akhramsyah Muammar Ubaidah tidak meneruskan hasratnya untuk menentang penyandang Khairy Jamaluddin bagi jawatan itu. - mStar.

Baca lagi

ASB2 sekadar melepas batuk di tangga

Anis Nazri, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pelancaran Amanah Saham Berhad 2 (ASB2) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekadar melepaskan batuk di tangga, selain tidak mengambil iktibar dari kegagalan program-program terdahulu.

Sebaliknya, Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu melakukan perubahan pendekatan dan struktur supaya menjadi lebih dinamik dan dapat bersaing secara agresif bagi menjana pendapatan tinggi.

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad berkata PNB sebenarnya boleh mengerakkan ASB2 tanpa perlu menunggu Najib berbuat demikian.

“PNB ini mengambil pendekatan jalan selamat. Mereka tidak agresif untuk membangunkan dan mengangkat pendapatan negara kasar (GNI) berkapita orang Melayu kerana kaedah perlaksanaan kerja masih sama.

"Mereka masih menggunakan pendekatan tidak mahu mengambil risiko, dengan kata lain tidak mahu memecah dan menembus pasaran rantaian pembekalan,” jelas Dr Dzulkefly dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

PNB merupakan syarikat pengurusan modal terbesar di Malaysia dengan misi sebagai organisasi pelaburan untuk meningkatkan kekayaan ekonomi Bumiputera.

Tambah beliau, jika PNB berfikir secara bersungguh, memikirkan dan menganalisa apa lompang serta kegagalan model yang lalu, mereka didapati tidak menganalisa secara mendasar atau struktural, khususnya untuk mengangkat apa yang dikatakan pendapatan berkapita orang Melayu.

“Mengambil contoh, kalau kita katakan ASB2 mempunyai ’strategi’  yang bukan sahaja mengambil pendekatan jalan selamat tetapi mengambil sedikit lebih risiko untuk terlibat dalam membangunkan syarikat-syarikat ‘upstream’, ‘down stream’ termasuklah terlibat dalam mempastikan urusan pasaran syarikat-syarikat vendor mereka.

“Tidak hanya mengambil ekuiti semata-mata tetapi mempunyai keprihatinan membangunkan vendor-vendor bagi menjana nilai tambah dan mempunyai keprihatinan untuk membangunkan seluruh vendor dalam 'supply chain' itu,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Najib turut mengumumkan suntikan 10 bilion unit saham di bawah ASB2 yang akan dilancarkan PNB.

Pengerusi PNB, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dilaporkan berkata, setiap individu diberi had maksimum dalam pelaburan Amanah Saham Bumiputera adalah RM200,000 bagi menggalakkan penyertaan daripada golongan menengah Bumiputera dalam pemilikan saham.

Liwat: Anwar berjaya ketepi Tengku Maimon sebagai panel hakim rayuan

Selangorku, 17 Sep 2013

Foto ehsan Keadilandaily.

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimon Tengku Mat hari ini menarik diri dari menganggotai panel tiga hakim perbicaraan kes rayuan liwat 2 yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tindakan itu diputuskan secara sukarela selepas kedudukan beliau sebagai panel hakim kes itu mendapat bantahan daripada barisan peguam Ketua Umum PKR itu.

Pengganti Tengku Maimon akan diputuskan dalam perbicaraan yang akan di sambung esok pagi.

Menurut Ketua Pasukan Peguambela yang mewakili Anwar, Karpal Singh, bantahan tersebut dibuat kerana Tengku Maimon merupakan pesuruhjaya kehakiman yang terlibat dalam prosiding saman fitnah Anwar terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan homoseksual pada 2007.

“Permohonan dibuat untuk mengenepikan Tengku Maimon dan permohonan itu berjaya. Dia sendiri yang ketepikan diri sendiri sebagai hakim kes ini,” kata Karpal.

Selain Tengku Maimon, dua lagi panel hakim yang mendengar perbicaraan itu, Datuk Ramli Ali (ketua) dan Mohd Zawawi Salleh.

Terdahulu, pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Anwar tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu beliau, Saiful Bukhari Azlan.

Pihak pendakwaan tiga hari kemudiannya memfailkan rayuan bagi membatalkan keputusan itu.

CAP gesa Kedah atasi pencemaran Pantai Merdeka

Harakahdaily, 17 Sep 2013

Parit di Pantai Merdeka kotor dan menjijikan.

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Kedah memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah kebersihan dan kemudahan asas di kawasan perkelahan Pantai Merdeka dekat Sungai Petani.

“Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati kawasan ini bukan saja dicemari air kumbahan dan berbagai jenis sisa buangan malah peralatan di taman permainan kanak-kanak di sini juga terbiar dan berbahaya,” ujar Presiden CAP, SM Mohamed Idris dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Katanya, di samping kelihatan jijik oleh sisa kotoran yang terdapat di dalam parit di situ, keadaan itu menjadi lebih buruk apabila sistem saliran yang dibina agak sempit dan kurang sempurna menyebabkan pengaliran air tersekat serta mudah bertakung.

Menurutnya lagi, manakala di Medan Selera pula lantainya licin dan kotor kerana beberapa sinki telah bocor dan tidak dibaiki oleh pihak berkenaan.

Keadaan tersebut, kata beliau bukan saja menjejaskan selera makan para pengunjung gerai makanan di tempat itu malah ia juga boleh menjejaskan keselamatan mereka yang melalui kawasan itu.

“CAP berpendapat masalah ini tidak sepatutnya berlaku kerana para peniaga di sini dikenakan bayaran sewa oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) antara RM50 hingga RM150 sebulan,” katanya lagi.

Tambahnya, amat mendukacitakan CAP terdapat banyak peralatan di taman permainan kanak-kanak di Pantai Merdeka telah rosak dan berkarat.

Katanya, CAP bimbang dan percaya jika keadaan itu dibiarkan keselamatan kanak-kanak yang bermain akan terancam pada masa akan datang kerana besi-besi peralatan mainan yang pecah, berkarat dan tajam boleh mencederakan mereka.

“CAP kesal walau pun Pantai Merdeka merupakan salah satu tempat perkelahan terkenal di negara ini dan menjadi tumpuan ramai pengunjung namun alam sekitar dan kemudahan asas di kawasan ini terabai dan tidak diberi perhatian secukupnya,” ujarnya.

Sehubungan itu, kata beliau CAP meminta kerajaan Kedah, Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK) dan Majlis Daerah Kuala Muda (MDKM) menyiasat dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah-masalah yang berlaku.


Lantai besi berlubang dan berkarat yang boleh mencederakan kanak-kanak.

Jelajah bantah TPPA dilancar malam ini

Harakahdaily, 17 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Pelancaran Jelajah Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (Bantah TPPA) akan berlangsung jam 9.00 malam ini di Taman Melati, Wangsa Maju.

Pelancaran ini sebagai permulaan kepada siri Jelajah Bantah TPPA ke seluruh negara sebagai mobilisasi rakyat bagi membantah TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10 dan 11 Oktober depan.

Jelajah Bantah TPPA adalah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA (Bantah) yang turut dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM).

Pentas pelancaran malam ini akan digegarkan oleh Ahli Parlimen Kuala Krai Dr. Hatta Ramli yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat. Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR, Penyelaras SAMM che'GuBard, aktivis Hishamuddin Rais, wakil mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli.

Turut bersama-sama ialah wakil NGO Bantah TPPA antaranya Nizam Mahshar (MTEM), Cikgu Azmi (Mapem), Syed Ibrahim (Ikram), Azlan Awang (Blindspot), Anas Alam Faizli (Blindspot), Sivarajan (Jerit).

"SAMM menjemput seluruh warga kota untuk hadir bersama menghadam maklumat mengenai bahana perjanjian TPPA dan isu semasa yang menghangat. Pesta kesedaran akan terangkan semula biarpun sekadar berbentuk ceramah sebagai pemula, ia cukup menjadikan api kemarahan rakyat dinyalakan sebaiknya. Cukuplah waktu rehat, kini tiba masanya bersama menggerak massa menyelamatkan tanahair," kata Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Jelajah Bantah TPPA akan bergerak ke 13 negeri sebelum kembali semuala ke Kuala Lumpur dalam satu pentas kemuncak yang mungkin mempertemukan dua tokoh terbesar tanah air.

Jelajah ini juga akan memastikan orang ramai dari seluruh negara akan bergerak dan sampai ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 demi satu perhimpunan di KLCC 'menyambut' Presiden Amerika, Barrack Obama dengan cara tersendiri.

"Maka bermula hari ini, SAMM bersama rakan sekutu akan menjengah ke seluruh negara dalam satu siri jelajah mobilisasi menentang perjanjian TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10-11 Oktober ini.

"Siri jelajah juga akan dipanaskan dengan beberapa isu semasa termasuklah isu kesan kenaikkan harga petrol dan pemenjaraan 13 pejuang demokrasi," kata Edy.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan