Sabtu, 31 Ogos 2013

YANG BOLEH MENYATUKAN KAUM SERTA MANUSIA DIDUNIA NI IALAH AKIDAH....HANYA BERTAUHIDKAN ALLAH SWT

Ilmu al-Quran perlu dihidupkan semula

Khairul Azlam Mohamad, 31 Ogs 2013


Pelajar cemerlang Maahad Darul Quran, Nur Atikah Noor Azman menerima Sijil dan Anugerah  Khas Imam As-Syafie daripada Tuan Guru Abdul Hadi.

MARANG: Orang Islam akan menjadi lemah apabila meninggalkan ajaran Islam kerana kekuatan umat dan kemuliaannya terletak kepada Islam, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Sehubungan itu, beliau memetik ucapan Saidina Omar al-Khattab, “Kita adalah umat yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan yang lain dari Islam, kita menerima hukuman penghinaan dan menjadi bangsa yang hina. Percayalah, kita tidak boleh bangkit melainkan dengan Islam”.

Katanya, pada masa yang sama orang Islam sendiri telah meninggalkan ajaran Islam walaupun ‘berpegang’ dengan ajaran Islam.

“Kita berada dalam keadaan yang sangat menyulitkan, bukan sahaja menyulitkan untuk diri kita bahkan menyulitkan untuk menyelamatkan manusia seluruhnya.

“Kita menghadapi cabaran yang hebat apabila musuh-musuh Islam sengaja tidak mengizinkan orang Islam memimpin dunia semula. Mereka buat macam-macam terutamanya apabila mereka tahu Islam adalah asas kekuatan orang Islam.

“Al-Quran adalah punca ilmu orang Islam. Mereka melakukan pelbagai-bagai cara untuk melemahkan orang Islam dalam ilmu agama mereka sendiri. Di Turki, di Indonesia, di beberapa negara Afrika mereka melemahkan orang Islam dalam bahasa Arab, mereka menghilangkan tulisan Arab. Mereka berjaya di Indonesia, mereka berjaya di Turki dan mereka melemahkan di negeri kita ini,” jelasnya ketika berucap merasmikan Ihtifal Idul Ilmi Maahad Darul Quran (MDQ) ke-22 di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, semalam.
.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan ilmu al-Quran perlu dihidupkan semula dan dikaji melalui bahasanya iaitu bahasa Arab.

Katanya, tanggungjawab mengembalikan semula kepada ilmu al-Quran merupakan suatu kewajipan yang sangat besar kepada umat Islam.

“Tanggungjawab kita untuk mengembalikan semula kepada ilmu al-Quran suatu kewajipan yang sangat besar. Oleh kerana, kita tidak mendapat sokongan dan dukungan dari kerajaan-kerajaan yang memerintah.

“Maka terpaksalah parti-parti Islam dan kumpulan Islam di seluruh dunia menubuhkan madrasah-madrasah, menubuhkan maahad, menubuhkan universiti, pusat pengajian tinggi dan pelbagai pusat pengajian pondok, pasantren dan lain-lain lagi.

“Semua tujuannya untuk mempertahankan ilmu Islam dan mengajak semula generasi yang ada supaya menggali ilmu Islam ini untuk mengembalikan semula kekuatan umat kerana kekuatan umat dan kemuliaannya terletak kepada Islam,” tegasnya.

Ada pondok belum tentu ada anggota polis

Harakahdaily, 31 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Sekiranya pihak Polis tidak dapat menempatkan anggota mereka, terdapat penduduk yang sanggup melakukan rondaan secara sukarela, kata Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad.

“Pejabat saya juga akan memberi sokongan dan bantuan kepada penduduk yang mahu memastikan keselamatan kawasan dan harta benda mereka terjamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada tragedi yang menimpa eksekutif sebuah syarikat penerbangan, Shahrinawati Abu Bakar, yang meninggal dunia dalam insiden samun di Taman Cempaka, Ampang amat menyayatkan hati.

“Sebagai Ahli Dewan Negeri Kawasan Chempaka, saya ingin menyampaikan ucapan takziah saya kepada keluarga allahyarham. Saya mendoakan agar roh allahyarham dicucuri rahmat,” katanya lagi.

Sebagai Ahli Dewan Negeri, beliau merasakan sesuatu yang drastik perlu dilakukan di kawasan tersebut untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali.

Menurutnya, pejabat beliau telah menerima terlalu banyak aduan tentang kejadian jenayah seperti ragut, samun dan pecah rumah di kawasan-kawasan di sekitar Taman Chempaka.

Katanya, pada 22 Julai lepas, lebih kurang 500 meter dari tempat allahyarham disamun, pegawai dan penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang cuba menampal notis pada sebuah gerai haram di Kampung Pandan telah diserang dengan parang oleh 7 orang lelaki.

Hingga ke hari ini, jelasnya tidak ada siapa yang didakwa di mahkamah berhubung kes tersebut tetapi gerai haram yang hendak disampaikan notis itu masih bebas beroperasi.

“Sebagai langkah awal, pejabat saya akan mula membina 5 pondok polis sepertimana yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum 2013,” katanya lagi.

Dalam tahun 2008, Iskandar pernah bertanya kepada Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar ketika beliau ketika itu merupakan Ketua Polis Negeri Selangor tentang hasratnya untuk membina pondok-pondok polis.

“Walau bagaimanapun, beliau berkata tiada jaminan pihak polis boleh menempatkan anggota di setiap pondok yang dibina.

“Tetapi suasana hari ini telah menjadi tidak terkawal. Saya tidak akan menunggu jaminan pihak polis. Pembinaan akan dimulakan secara berperingkat-peringkat pada bulan Oktober ini,” ujarnya.

Jalur Gemilang kurang kerana merdeka ‘diUmnokan’

Khairil Abdul Rahim, 30 Ogs 2013
TEMERLOH: Menjelang beberapa jam sahaja lagi negara akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-56, rata-rata dilihat rakyat bagaikan tidak cakna dan tidak mempedulikan 31 Ogos tarikh yang dianggap 'keramat' oleh kerajaan itu.

Ini dapat diukur dengan kurangnya pengibaran bendera Jalur Gemilang pada kenderaan, premis-premis perniagaan dan di rumah kediaman sehingga sambutan merdeka tahun ini dilihat suram dan hambar jika dilihat daripada sambutan rakyat.

Dalam tinjauan sepanjang perjalanan dari plaza tol Bentong ke Kuantan, jumlah kenderaan yang lalu-lalang, didapati yang melekatkan atau mengibarkan Jalur Gemilang hanya boleh dibilang dengan jari.

Begitu juga dengan kebanyakan premis perniagaan seperti restoran, pusat membeli-belah dan stesen minyak, bangunan swasta, pejabat dan bangunan di kawasan komersial di beberapa jalan utama di Kuantan dan Temerloh juga dilihat tidak berbuat demikian.

Memang terdapat gesaan daripada pihak kerajaan terutama melalui media televisyen menyeru rakyat mengibarkan bendera kebangsaan. Namun jelas sekali gesaan tersebut hanya dipandang sepi oleh umum.

Kelmarin, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tampil melahirkan rasa kecewa kerana kurangnya sambutan masyarakat terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan ke-56 negara.

Lebih memalukan, pihak kerajaan atau penaja ada mengedarkan bendera percuma tetapi orang ramai masih enggan memasang atau mengibarkannya.

Namun tindakan tidak mengibarkan Jalur Gemilang ini tidak boleh dirumuskan bahawa rakyat negara ini sudah hilang semangat patriotiknya.

Bagi ahli jawatankuasa Persatuan Sejarah Pahang, Alang Ahmad Teh, 74, terdapat tanda-tanda seolah-olah rakyat sudah ‘bosan’ terutama golongan muda yang disumbatkan dengan maklumat seolah-olah hanya diperjuangkan oleh Umno bersama gabungannya MCA dan MIC mendapatkan kemerdekaan daripada Inggeris.

Sedangkan perjuangan berdarah yang panjang sebelum itu tidak dikaitkan langsung dengan kemerdekaan. Akhirnya kemerdekaan digambarkan hak milik Umno semata-mata.

Oleh itu, baginya sejarah yang betul perlu diajarkan mulai sekarang supaya rasa bersemangat mesti datang daripada kesedaran dan kesyukuran rakyat, bukannya paksaan daripada kerajaan.

“Yang kita bimbangkan ialah anak-anak muda mula naik menyampah apabila meraikan merdeka bermakna mereka meraikan kejayaan Umno. Saya nak tegaskan merdeka ini bukan dimonopoli oleh Umno saja, bahkan parti itu melaungkan merdeka setelah parti-parti yang memperjuangkan kemerdekaan diharamkan,” katanya.

Alang berkata, memang tidak nafikan Umno juga mendapatkan kemerdekaan secara bertulis di London tetapi tidak harus juga dilupakan jasa pencetus kemerdekaan sebenarnya.

“Maknanya janganlah dipadamkan sejarah kemerdekaan kerana sejarah perjuangan kemerdekaan bukannya bermula daripada Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman saja. Ramai pejuang-pejuang lain yang menyabung nyawa dan bermandi darah demi kemerdekaan tetapi seolah-olah dipadamkan daripada sejarah negara,” jelasnya.

Tambahnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) serta sayapnya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan lain-lain pertubuhan revolusioner lebih awal lagi berarak menuntut kemerdekaan  iaitu pada April 1945 di tengah-tengah bandar Temerloh.

Bagi peguam Ahmad Nizam pula, roh merdeka sudah hilang di hati rakyat kerana biasanya kalendar bulan merdeka setiap tahun hanya menjurus kepada persembahan hiburan melulu tanpa memberikan manfaat dalam membina kesedaran merdeka.

Katanya, sepatutnya dikenang juga tokoh-tokoh seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Muhammad, Ahmad Boestamam, Shamsiah Fakeh, Asiah Ghani dan lain-lain yang lebih terkehadapan memperjuangkan kemerdekaan.

“Jauh sebelum Perikatan ditubuhkan, telah wujud persepakatan dan kerjasama di antara parti politik kiri Melayu melalui PUTERA dengan parti dan pertubuhan Bukan Melayu yang bergabung di bawah AMCJA yang kemudiannya melahirkan Perlembagaan Rakyat 10 Perkara yang dianggap sebagai asas Perlembagaan Malaya Merdeka.

“Tanpa menafikan peranan dan jasa besar Tunku Abdul Rahman dalam memperjuangkan kemerdekaan namun yang dikesalkan adalah penafian peranan serta pengorbanan tokoh-tokoh progresif, parti-parti politik yang tidak senada dengan kepentingan kolonial di samping peranan golongan cerdik pandai agama serta para pengarang yang jasa dan peranan mereka tidak dimartabatkan di tempat sepatutnya di persada sejarah kemerdekaan tanahair,” katanya.

Tambahnya, keadaan ini berlaku kerana Umno mahu menunjukkan bahawa merekalah kononnya yang paling ulung memperjuangkan kemerdekaan dan sekaligus telah membohongi sejarah.

Merdeka: Bebaskan diri daripada penjajahan minda

Tuan Guru Abdul Hadi Awang, 30 Ogs 2013
Setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, umat Islam berhadapan dengan cabaran baru yang amat hebat. Umat Islam diserang dan dikepung dari kiri dan kanan, utara dan selatan. Sempadan geografi negara umat Islam dipecah-pecahkan, negara dibahagi-bahagikan, khazanah negara pula dijadikan hasil mahsul para penjajah, manakala rakyat pula berdepan dengan masalah baru yang mengepung mereka di setiap masa.

Di saat inilah pihak yang bermusuh dengan Islam merencana pendekatan baru bagi mengawal pemikiran umat Islam supaya selari dengan perencanaan mereka walaupun secara fizikalnya para penjajah ini telah meninggalkan bumi mereka berpijak. Senjata ini dikenali sebagai senjata pemikiran yang lebih halus dan memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

Ketika inilah diwujudkan barangan dengan jenama baru - Islam suku agama suku, politik adalah berpisah dari agama, Islam tanpa negara, negara tanpa politik, negara tanpa syariat, dan sebagainya. Ditanam proksi-proksi mereka di serata negara umat Islam dan diberi mandat memerintah dengan mudah. Kemudian diberikan kemerdekaan bersyarat, wajib mengikut dan melaksanakan segala yang ditetapkan oleh mereka.

Setelah penjajahan pemikiran berlangsung beberapa dekat, manusia mula terasa bahang seksa dan mula mencari solusi. Ramai yang membicarakan topik keadilan dan kesejahteraan tetapi masih teraba-raba faktor utama bencana tersebut. Sedangkan dalam satu hadith riwayat Tabarani, Nabi SAW telah mengingatkan tentang bahana sekularisasi: “Sesungguhnya (di zaman pemisahan Islam dan pemerintahan) pemimpin-pemimpin kamu hanya bekerja untuk diri mereka bukan untuk diri kamu. Jika lawan kamu akan dibunuh. Jika taat kamu akan sesat”.

Inilah realiti yang berlaku serata dunia umat Islam. Penindasan dan penafian hak berpunca dari ideologi yang berperanan sebagai berhala moden. Kegagalan manusia untuk berlaku adil adalah kerana mereka tidak hidup beracuan wahyu.

Sedarlah kita, misi yang amat berat masih terpundak di bahu-bahu kita. Memerdekakan negara dari penjajah seterusnya memerdekakan jiwa manusia dari penjajahan pemikiran. Konflik yang berlaku di rantau Asia Barat adalah antara siri-siri perjalanan umat membebaskan diri mereka dari ajaran pemisahan antara manusia dan Tuhan. Malangnya kini, umat Islam yang dibunuh tetapi umat Islam yang dituduh sebagai pengganas. Mereka dikhianati oleh demokrasi sendiri, kemudian dituduh sebagai pengkhianat. Darah mereka sebagai modal kemenangan Islam kelak.

Sempena Sambutan Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, marilah kita menyatakan ikrar kesungguhan membebaskan diri dari belenggu penjajahan minda yang masih berlangsung. Perjuangan kita belum tamat. Selagi wujud kuasa yang menafikan Islam sebagai solusi, selagi itulah penindasan tetap akan berlaku.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Perkauman masih tebal, merdeka gagal direalisasi

Muhammad Faeez Azahar, 30 Ogs 2013
IPOH: Kemerdekaan yang sebenar belum lagi dapat direalisasikan apabila hubungan antara pelbagai kaum di negara ini masih belum berjaya untuk diharmonikan.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, suasana ini berikutan semangat perkauman masih ditanam oleh kerajaan ketika ini.

Menurutnya, semangat perkauman masih diapi-apikan oleh BN demi meraih kepentingan politik mereka.

"Kita dapat lihat sekarang, pelbagai perkara yang berlaku di negara ini berikutan sikap tidak bertanggungjawab sesetengan pihak yang mengapi-apikan perkauman bagi menjayakan hasrat peribadi mereka.

"Tindakan ini menggambarkan negara ini masih belum benar-benar merdeka," katanya kepada Harakahdaily.

Oleh itu, kata beliau, rakyat perlu bersama-sama berusaha untuk membuang sentimen perkauman seterusnya berganding bahu mewujudkan sebuah negara yang aman makmur dan harmoni serta saling bermasyarakat.

Perpaduan antara kaum ini, katanya sangat penting bagi menjadikan negara ini lebih maju.

"Kami (Pakatan Rakyat) tidak ada langsung sentimen perkauman kerana ianya adalah tidak berketepatan dengan konsep perpaduan masyarakat dan ianya sangat dilarang oleh Allah," jelasnya.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, rakyat juga perlu membebaskan negara ini daripada dibelenggu kejahilan.

Katanya, BN sentiasa mahukan rakyat jahil dengan tidak membebaskan pemikiran mereka agar dapat terus diperdayakan dengan momokan yang tidak bertanggungjawab.

"Bebaskan negeri negara kita daripada dibelenggu kejahilan dan perkara-perkara yang tidak membebaskan kita.

"Pastikan negara ini dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang berwibawa dan berintegriti, tolak pemimpin yang rasuah dan bermasalah," jelasnya lagi.

Merdeka ke-56: Pemikiran rakyat masih dikongkong

Harakahdaily, 30 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Rakyat diharap dapat menghayati erti sebenar kemerdekaan iaitu membebaskan diri daripada segala bentuk penjajahan seperti pemikiran, perbuatan dan lain-lain lagi sehingga boleh menyekat kebebasan seseorang individu melakukan apa yang terbaik untuk diri sendiri.

“Kemerdekaan inilah yang menjadi penanda aras kepada amalan ibadah seseorang muslim diterima oleh Allah Taala,” kata Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hasbullah Ridzwan.

Sehubungan itu, beliau mewakili Pemuda PAS Selangor mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 pada tahun ini kepada seluruh rakyat Malaysia umumnya dan rakyat negeri Selangor khususnya.

Katanya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa amat dukacita apabila mutakhir ini masih lagi ada di kalangan pemimpin-pemimpin negara yang masih lagi cuba untuk memperbodohkan dan mengongkong pemikiran rakyat jelata supaya rakyat akan sentiasa dapat dikuasai dan dimanipulasikan oleh mereka-mereka yang mempunyai kuasa.

Tambah beliau, pihaknya juga berasa kecewa kerana kebanyakan pemikiran pemimpin negara khususnya daripada Umno BN masih lagi terkongkong dengan pemikiran penjajah yang masih mengekalkan perlembagaan dan budaya kerja penjajah.

Katanya, pemimpin Umno BN masih lagi melakukan proses 'menganaktirikan' kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa buah negeri daripada menerima hak mereka yang sepatutnya walaupun sudah 50 tahun lebih memerintah negara ini.

“Tetapi dalam masa yang sama sang penguasa rakus Umno BN inilah yang di beri ruang dan peluang untuk berbicara tentang demokrasi, keterbukaan, minda merdeka dan sebagainya seperti lagaknya orang yang 'bermuka-muka',” ujarnya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kata beliau lagi pihaknya juga mengucapkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah bertungkus lumus untuk membanteras kumpulan jenayah terancang, gangsterisme, kongsi gelap dan sebagainya melalui 'Ops Cantas' dan pengisytiharan pengharaman kumpulan-kumpulan tersebut secara terbuka.

Adun Gombak Setia itu menambah, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan tindakan yang diambil akan dapat membebaskan ketakutan masyarakat terhadap anasir-anasir gejala sosial yang menghantui masyarakat sebelum ini seperti rompakan bersenjata, samun dan ragut, ancaman dan peras ugut, gejala samseng budak sekolah, pembunuhan dan pelbagai lagi.

“Akhirnya, saya sekali lagi mewakili Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini dengan tema ‘Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku’ akan benar-benar difahami oleh para pemimpin yang berada di tampuk kuasa pemerintahan sebelum diterjemahkan tindakan kepada rakyat sekaliannya,” katanya lagi.

Ini, katanya kerana kesalahan memahami maksud sebenar tema akan menyebabkan pemimpin menjuruskan rakyat kepada risiko pengkhiantan yang tidak berpenghujung dan bernoktah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan