Sabtu, 31 Ogos 2013

YANG BANYAK MASALAHLAH YANG BIASANYA TERDESAK

Selesai ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan pr
Posted on Saturday, August 31 @ 07:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur




Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan penyelesaian kepada masalah-masalah yang membawa ekonomi negara ke tahap yang membimbangkan hari ini di mana hutang negara hampir melepasi paras 55% KDNK (Keluaran Negara Dalam Kasar) dan fiskal defisit yang mencecah RM14.9 bilion.


Meningkatkan pendapatan negara melalui GST tidak berguna tanpa penyelesaian sebenar kepada punca ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan projek tanpa tender yang menyebabkan perbelanjaan kerajaan melambung tanpa kawal.

Contoh terbaik yang boleh dilihat rakyat ialah pada projek KLIA2. Projek KLIA2 yang sehingga kini tidak diketahui tarikh siap telah memperlihatkan kosnya meningkat lebih 2 kali ganda daripada RM1.7 bilion di 2009 semasa projek ini dimulakan, ke RM4 bilion pada tahun ini.
Apa gunanya pendapatan negara ditingkatkan tanpa menutup ruang kebocoran kewangan di dalam sistem pentadbiran negara?
GST tidak boleh menyelesaikan masalah ekonomi negara yang berpunca daripada ketirisan, pembaziran, kelemahan pengurusan dan budaya penganugerahan projek tanpa tender.
Tanpa pengurusan kewangan yang cekap dan efektif, apa-apa cara mempelbagaikan pendapatan kerajaan hanya merugikan rakyat kerana duit lebih yang dijana akhirnya akan terbazir begitu sahaja di dalam sistem pentadbiran yang penuh kebocoran tanpa membawa manfaat kepada ekonomi negara.
Dengan ekonomi serantau yang semakin tidak menentu dan kejatuhan ringgit yang mendadak, melepasi 8 peratus tahun ini, PAS berasa amat tidak wajar bagi kerajaan untuk melaksanakan GST. GST bakal memberikan tekanan kos hidup pada rakyat, terutamanya golongan pendapatan pertengahan ke bawah di kawasan bandar lebih-lebih jika kegawatan ekonomi berlaku.
Jangan kerana kelemahan pentadbiran kerajaan BN, rakyat dianiaya secara berganda dengan penarikan balik subsidi daripada program rasionalisasi subsidi dan kemudian dipaksa membayar lebih untuk barangan keperluan melalui GST di dalam Bajet 2014.
Jika kerajaan boleh memikirkan cara seperti meletakkan para peminjam PTPTN di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) (Alhamdulilah, ia sudah ditolak kini) untuk mendapat kembali wang, mengapa kerajaan tidak mahu berusaha memikirkan cara menutup kebocoran kewangan di dalam sistem pentadbiran dan berusaha mendapatkan kembali duit kerajaan yang dibazirkan seperti yang tertera di dalam laporan tahunan audit negara?

Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat

 Perutusan Kemerdekaan ke 56 Presiden PAS
Posted on Saturday, August 31 @ 06:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

بسم الله الرحمن الرحيم

Setelah kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah pada 3 Mac 1924, umat Islam berhadapan dengan cabaran baru yang amat hebat. Umat Islam diserang dan dikepung dari kiri dan kanan, utara dan selatan. Sempadan geografi negara umat Islam dipecah-pecahkan, negara di bahagi-bahagikan, khazanah negara pula dijadikan hasil mahsul para penjajah, manakala rakyat pula berdepan dengan masalah baru yang mengepung mereka di setiap masa.

Di saat inilah pihak yang bermusuh dengan Islam merencana pendekatan baru bagi mengawal pemikiran umat Islam supaya selari dengan perencanaan mereka walaupun secara fizikalnya para penjajah ini telah meninggalkan bumi mereka berpijak. Senjata ini dikenali sebagai senjata pemikiran yang lebih halus dan memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

Ketika inilah diwujudkan barangan dengan jenama baru - islam suku agama suku, politik adalah berpisah dari agama, islam tanpa negara, negara tanpa politik, negara tanpa syariat, dan sebagainya. Ditanam proksi-proksi mereka di serata negara umat Islam dan diberi mandat memerintah dengan mudah. Kemudian diberikan kemerdekaan bersyarat, wajib mengikut dan melaksanakan segala yang ditetapkan oleh mereka.

Setelah penjajahan pemikiran berlangsung beberapa dekat, manusia mula terasa bahang seksa dan mula mencari solusi. Ramai yang membicarakan topik keadilan dan kesejahteraan tetapi masih teraba-raba faktor utama bencana tersebut. Sedangkan dalam satu hadith riwayat Tabarani, Nabi SAW telah mengingatkan tentang bahana sekularisasi;

“Sesungguhnya (di zaman pemisahan Islam dan pemerintahan) pemimpin-pemimpin kamu hanya bekerja untuk diri mereka bukan untuk diri kamu. Jika lawan kamu akan dibunuh. Jika taat kamu akan sesat”

Inilah realiti yang berlaku serata dunia umat Islam. Penindasan dan penafian hak berpunca dari ideologi yang berperanan sebagai berhala moden. Kegagalan manusia untuk berlaku adil adalah kerana mereka tidak hidup beracuan wahyu.

Sedarlah kita, misi yang amat berat masih terpundak di bahu-bahu kita. Memerdekakan negara dari penjajah seterusnya memerdekakan jiwa manusia dari penjajahan pemikiran. Konflik yang berlaku di rantau Asia Barat adalah antara siri-siri perjalanan umat membebaskan diri mereka dari ajaran pemisahan antara manusia dan Tuhan. Malangnya kini, umat Islam yang dibunuh tetapi umat Islam yang dituduh sebagai pengganas. Mereka dikhianati oleh demokrasi sendiri, kemudian dituduh sebagai pengkhianat. Darah mereka sebagai modal kemenangan Islam kelak.

Sempena Sambutan Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia, marilah kita menyatakan ikrar kesungguhan membebaskan diri dari belenggu penjajahan minda yang masih berlangsung. Perjuangan kita belum tamat. Selagi wujud kuasa yang menafikan Islam sebagai solusi, selagi itulah penindasan tetap akan berlaku.

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

 TEKA: Adakah katak ada tahi gigi dan tahi telinga...?
Posted on Saturday, August 31 @ 05:30:43 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: tokpepijat

"
Perang besar bakal berlaku. Puncanya kerana KJ "mengusik" sarang katak!

Marah benar Ibrahim Ali terhadap menantu Pak Lah. Semua sejarah dan kisah lama diungkitnya.Kisah dia mendaki "gunung Kilimanjaro" untuk jadi pimpinan UMNO berbanding KJ naik jadi Ketua Pemuda kerana menantu PM ketika itu.

Kisah KJ "merayu" kepadanya dalam kes saman Anwar Ibrahim. Lebih "menyayatkan hati" dia menyesal kerana tidak jadi menantu pimpinan tertinggi UMNO.Tidak seperti nasib KJ.

Inilah kisah Ibrahim Ali.Begitu banyak kisahnya yang "mengharukan,memilukan dan menyayat kan hati" bila mendengarnya. Elok Shuhaimi Baba filemkan kisah Presiden Perkasa ini agar menjadi tatapan generasi kemudian!

Selepas ini,elok budak-budak PERKASA pakat buat demo depan Kementerian KJ kerana menghina Presiden mereka.

Agaknya apa jawapan KJ apabila Ibrahim Ali mengatakan KJ naik jadi Ketua Pemuda kerana beliau menantu PM ketika itu?

Barangkali KJ juga ada jawab balasnya.Mungkinkah KJ akan berkata, "  Memang aku naik kerana jadi menantu PM,you pula apa kurangnya....banyak jawatan kerana kau seekor katak....boleh lompat-lompat!"

Jika Hang Nadim berjaya tewaskan todak,adakah budak Tingkat 4 berjaya tewaskan katak?

Ingat KJ ! Nanti Ibrahim mengadu kat tok gurunya,Dr Mahathir!

TEKA : Adakah katak ada tahi gigi dan tahi telinga...?"

Dialog Untuk Negara: Cadangan Yang Baik Tetapi Sukar Menjadi Kenyataan
Posted on Saturday, August 31 @ 05:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Cadangan Anwar Ibrahim Najib Razak mengaturkan dialog bersama Pakatan Rakyat bagi mengendurkan beberapa isu yang menekan negara waktu ini hendaklah diterima secara positif oleh semua orang baik dari pihak BN dan juga PR. Terimalah keterbukaan Anwar itu sebagai satu hadiah hari ulang tahun kemerdekaan ke 56 yang sedang diraikan ini.

Saya yakin Anwar ikhlas dan suci hati dengan pelawaan itu setelah menginsafi senario politik dan situasi negara hari ini. Bukan kerana disebabkan kalah dalam pilihan raya lalu maka beliau merasakan perlu agenda negara dibincang bersama tetapi ada tolakan lebih penting dari itu. Saya rasa kalau Pakatan Rakyat menang baru-baru ini pun, agenda bersama membangun negara pasti ada dalam minda kepahlawanan Anwar.

Bukan saja Anwar, sesiapa kena memahami kedudukan dan corak negara kita. Bahawa tidak ada mana-mana pihak mampu membangun negara secara bersendirian tanpa kerjasama di antara satu sama lain. Pencapaian dalam pilihan raya lalu sangat jelas sinifikennya. Kegagalan UBN mendapat undi popular mengatasi undi popular Pakatan Rakyat jelas. Jadi UBN tidak boleh mendabit dada dengan keputusan yang dicapai itu. UBN menang yang tidak menang, manakala PR pula kalah yang tidak kalah.

Anwar atau Pakatan Rakyat boleh terus berlagak sombong dengan pencapaian itu. Apa lagi rakyat sedang 'menggilai' mereka. Tetapi kerana memikirkan masalah negara lebih penting, dengan isu perkauman, agama, sosial serta kemelesetan ekonomi, maka tawaran berkenaan dibuat. Dalam suasana yang harmoni begini janganlah hendaknya ada yang degil atau sombong sendiri untuk tidak mengadakan kerjasama demi negara. Orang-orang yang selamanya mahu menunjukkan kedegilan adalah mereka yang tidak patriortik dan menggunakan politik untuk diri sendiri sahaja.

Sikap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang awal-awal membuat tempelak kepada pelawaan Anwar itu dengan mengatakan Anwar terdesak kerana kalah pilihan raya, sesuatu yang tidak menggambarkan sikap patriotik dan profesional dari seorang ketua pemuda Umno yang baru mendapat kuasa itu.

Tidak sepatutnya pemimpin muda yang bakal menjadi pemacu masa depan negara terus merenggangkan hubungan persaudaraan senegara dan mengelecahkan pemikiran ke lemah kekolotan. Khairy seharusnya menjadi juara mengalu-alukan kerjasama demi negara bukan cuba terus mempraktikan politik dendam dan kekolotan.

Hendaknya tidak ramai yang akan bercakap senada dengan Khairy. Dalam menerima hal ini seharusnya kepentingan diri dan puak di ketepikan tetapi meletakkan kepentingan negara di hadapan. Bukan saja di kalangan politician tetapi individu-individu perjuang lain dalam NGO juga. Mereka tidak patut menjadi penghasut tetapi apa yang mereka kena lakukan menjadi 'pembaja'.

Bagaimana pun bagi hemat saya pelawaan Anwar itu tidak mudah dilaksanakan walaupun ia sangat praktikal dalam keadaan seperti hari ini. Kandati ia dibincang oleh Majlis Tertinggi Umno malam ini tetapi bukan mudah mendapat kata sepakat. Seperti mana kata Hishmauddin Onn, cadanagan Anwar itu ada dibincang tetapi hanya Najib Razak yang berhak mengumumkannya. Dalam erti kata lain MT tidak boleh mengeluarkan kenyataan ini menunjukkan pelawaan itu dipandang berbelah bahagi dalam MT.

Ulasan diluar oleh Mukhriz Mahathir yang senada dengan Khairy makin menjadikan perkara itu mustahil untuk menjadi realiti. Kali ini mungkin buat pertama kali Mahathir Mohamad akan sependapat dengan Khary untuk tidak memberi laluan kepada Anwar. Jika mengambil kira suara Mukhriz itu adalah suara Mahathir, penolakan itu sudah jelas, kerana Mukhriz juga menimbulkan keraguan di atas cadangan Anwar itu. Dari kata-kata Mukhriz itu beliau tidak setuju dengan ajakan Anwar itu.

Dan adalah sesuatu yang mengejut kalau esok atau lusa Mahathir akan memberi respon baik ke atas pelawaan Anwar itu. Rakyat semua akan menerima berada dalam mimpi indah kalau Mahathir bersetuju dengan gesaan Anwar itu. Persetujuan Mahathir itu juga menandakan tamatnya dendam kesumat beliau ke atas Anwar selama ini. Namun saya rasa tidak berlaku demikian kerana kita kenal siapa Mahathir.

Kalaupun Mahathir memberi nasihat menolak dialog demi negara oleh Anwar itu, Najb tidak perlu akur dengan Mahathir. Najib harus membuat penilaian dan mengambil sikap sendiri yang berbeza dengan Mahathir. Cukup penting Najib ada stand sendiri untuk beliau menunjukkan atau membuat jasa kepada perpaduan Melayu.

Kalau Najib tunduk juga kepada Mahathir dalam soal ini, selama itulah orang akan melihat kerajaan Najib dibayangi Mahathir.

Apakah Najib mampu menunjukkan wibawa dan 'jiho'nya sebagai pemimpin Umno dan perdana menteri? Kalau beliau berani beliau akan landa pandangan buruk sesetengah pemimpin Umno itu kemudian segera mengatur dialog bersama Pakatan Rakyat.

Dipihak Pakatan Rakyat pula khasnya DAP jangan membuat spekulasi tertentu sekiranya berlaku dialog berkenaan. Mereka tidak perlu bimbang akan ditinggalkan Anwar dan Pas, kerana mereka juga tentu akan berada di meja bundar dalam dialog berkenaan. Kita semua kena insaf dan sedar dialog seperti itu untuk masa depan negara, menyelesaikan isu-isu yang boleh membantutkan pembanguna nusa dan bangsa sesuatu yang baik.

Mulalah demi nusa dan bangsa. Abdul Hadi tentu tersenyum dan berdeham membaca posting ini. [wm.kl.11:28 pm 30/08/13]-msomelayu

 Dialog PR, BN - Anwar Yang Terdesak Atau Pemimpin UMNO Yang Tersedak?
Posted on Saturday, August 31 @ 04:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh memo

Oleh Shahbudin Husin
Dalam perutusan sempena sambutan merdeka tahun ini, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menawarkan kepada Perdana Menteri, Najib Razak supaya diadakan rundingan meja bulat antara PR dan BN dalam beberapa isu demi untuk kepentingan rakyat dan negara. Antara isu yang disentuh Anwar sebagai wajar dibincangkan bersama ialah berkaitan kaum, agama, jenayah dan ekonomi.

Meskipun Anwar secara jelas menyebut bahawa perbincangan atau dialog itu tidak berkaitan sama-sekali dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang diheboh-hebohkan sebelum ini tetapi tawaran ini segera mengundang reaksi yang tidak menyenangkan daripada kebanyakan pemimpin UMNO.

Apatah lagi seiring dengan tawaran kesediaan mengadakan rundingan itu, Anwar juga menyatakan keterbukaan untuk melupakan perbezaan dan persengketaan selama ini serta menerima keputusan pilihanraya umum lalu dan ini seolah-olah memenuhi syarat Najib sebelum ini bahawa sebarang rundingan antara BN dengan PR tidak mungkin diadakan selagi pakatan pembangkang tidak menerima keputusan pilihanraya, malah terus mempertikaikannya.

Beberapa pemimpin UMNO lantas mempertikaikan niat dan keikhlasan Anwar yang secara tiba-tiba membangkitkan soal dialog, rundingan atau kerjasama antara PR dengan BN ini. Mereka menyifatkannya sebagai langkah terdesak Anwar setelah kalah pilihanraya dan hampir kesemua petisyen yang dikemukakan PR ditolak oleh mahkamah. Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir dan Hishammuddin adalah antara pemimpin UMNO yang terawal menolak cadangan Anwar itu sambil mempersoalkan niat serta tujuannya.

KJ dan Mukhriz yang diketahui bermusuh dalam UMNO tiba-tiba dilihat senada dan mempunyai hujah penolakan yang hampir sama. Dipercayai juga ramai lagi pemimpin UMNO yang turut menolak tawaran dialog oleh Anwar ini. Bekas Perdana Menteri, Mahathir tentulah lebih diketahui pendiriannya berhubung isu ini.

Sementara Anwar dianggap terdesak kerana mengemukakan tawaran dialog ini, sebaliknya Anwar juga berjaya membuatkan ramai pemimpin UMNO tersedak dengan kejutan yang dibuatnya ini. Beliau yang selama ini dilihat begitu keras dan tidak berkompromi dengan UMNO, bahkan sering mengucapkan perkataan "lawan tetap lawan" seolah-olah sudah berubah dan mengalah berikutan pendirian mahu berdamainya ini.

Reaksi pantas KJ, Mukhriz dan Hishamuddin yang memperlekeh tawaran Anwar itu sambil mempertikaikan niatnya, walaupun dalam perutusan Anwar sudah dijelaskan bahawa ianya demi kepentingan rakyat dan negara, jelas membuktikan mereka terkejut dah mungkin tersedak beberapa kali kerananya.

Mahathir yang sedang berehat di rumahnya sambil minum-minum petang juga mungkin lebih kerap tersedak mendengar berita ini.

Dalam mesyuarat MT UMNO petang semalam, isu itu turut dibincangkan dan mungkin paling ramai pemimpinnya mengambil bahagian serta memberikan pelbagai pandangan mengenai dialog PR dengan BN itu. Jika sebelum ini Anwar mengatakan Najib yang cuba berbaik-baik dengannya, tawaran yang dibuatnya kali ini nyata menggambarkan sebaliknya dan membuatkan mereka tidak senang dengannya.

Benarkah Anwar sedang terdesak dan kini mahu berbaik-baik dengan Najib? Mungkinkah ini petanda Anwar sudah keletihan dan mengakui usianya yang semakin meningkat tidak sesuai lagi meneruskan perjuangan menumbangkan BN? Atau ini adalah merupakan langkah awal Anwar berbaik-baik dengan BN yang mana matlamat akhirnya ialah menubuhkan kerajaan perpaduan walaupun dinafikan pada ketika ini?

Atau mungkinkah ini hanya strategi Anwar untuk meredakan ketegangan memandangkan PRU 14 masih jauh lagi? Mungkin juga ini merupakan percaturan Anwar untuk menyelamatkan kerjaya politiknya dan ingin menempatkan penyokong setianya dalam kerajaan?

Pelbagai kemungkinan boleh diramalkan mengenai isu ini dan apa yang mungkin berlaku disebaliknya. Tetapi sementara menanti yang mana satu kemungkinan itu akan menjadi kenyataan, haruslah disedari bahawa perdamaian Anwar dan Najib bukanlah sesuatu yang mustahil. Politik sentiasa memungkinkan kawan menjadi musuh dan musuh bertukar menjadi kawan.

Mahathir pernah memusuhi Tengku Razaleigh dan Semangat 46 tetapi kemudiannya menawarkan perdamaian sehingga menyebabkan Ku Li membubarkan partinya dan menyertai UMNO secara beramai-ramai pada 1996. Walaupun perdamaian itu dinamakan atas tiket perpaduan Melayu tetapi kemudian disedari bahawa ia semata-mata untuk memudahkan Mahathir menyingkir dan memecat Anwar pada 2 September 1998.

Ketika Mahathir memecat, mengaib dan memenjarakan Anwar, seluruh pimpinan UMNO menyokongnya tetapi siapa sangka apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, beliau membebaskan Anwar dan menghantar menantunya, KJ ke rumah Anwar di Bukit Damansara untuk menguruskan soal passport Anwar yang perlu menjalani pembedahan tulang belakang di Jerman.

Jika Mahathir memenjarakan Anwar, kemudian Pak Lah membebaskannya, maka tidaklah mustahil Najib pula yang berganding tangan bersatu hati dengan Anwar memimpin negara selepas ini.

Kalau Mahathir boleh berbaik semula dengan Ku Li yang merupakan musuh yang diciptanya sendiri, tidaklah sukar sebenarnya bagi Najib berbaik-baik dengan Anwar kerana Anwar bukanlah musuh yang dicipta oleh Najib. Beliau bermusuh dengan Anwar hanya kerana mewarisi pusaka yang ditinggalkan oleh Mahathir untuknya. Pak Lah telah membuktikan tidak mahu mewarisi permusuhan dengan Anwar yang ditinggalkan Mahathir, maka tidaklah mustahil Najib juga berbuat perkara yang sana.

Demi survivalnya, tidak menjadi kesalahan Najib dan Anwar berbaik-baik, sama seperti tidak menjadi kesalahan ketika Mahathir berbaik-baik semula dengan Ku Li dan kemudian menukar Anwar daripada sahabat kepada musuhnya.

Sama ada dialog PR dengan BN ini akan menjadi kenyataan dan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara atau ianya merupakan permulaan kepada penubuhan kerajaan perpaduan atau mungkin tersekat di tengah jalan dan sekadar menjadi perisa yang menambahkan masam manis santapan dunia politik kita, semuanya bergantung kepada keadaan dan perubahan yang berlaku selepas ini.

Walaupun apa pun yang bakal berlaku antara PR dan BN atau antara Najib dan Anwar, bersedialah dengan segala kemungkinan serta belajar menerima seadanya supaya apabila berlaku sesuatu yang mengejutkan nanti, tidak ada sesiapa yang tersedak lagi. (SH 31/08/2013)

shahbudindotcom.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan