Sabtu, 24 Ogos 2013

TIADA PERIKEMANUSIAN SERTA DAH MELAMPAU

Mesir: Gambar paling sedih ke atas syuhada

http://kachipemas.blogspot.com, 24 Ogs 2013

Ar Raba" Mesir: Gambar Paling Sedih Sekali Ke Atas Syuhada

Prihatin Mesir | Medan Nahdhah | Syuhada' dibakar.

Gambar paling menyayat hati, seorang syahid rentung dibakar regim As-sisi.

Semasa pasukan polis dan tentera merempuh medan Nahdhah, 14 Ogos lalu, mereka turut membakar khemah-khemah dan jenazah syuhada.
Tidak cukup dengan menembak rakyat, nafsu kebinatangan mereka membuak-buak dengan membakar jasad syuhada'.

#prihatinmesir.

1.4 juta Bangla, bagaimana pastikan mereka pulang

Harakahdaily, 23 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: PAS memandang kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan dengan serius.
“Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

“Apakah kerajaan sudah memikir impaknya terhadap indeks jenayah dan orang setempat dengan kebanjiran warga asing ini?” tanya Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Menurutnya, melihat kepada kebanjiran warga asing yang sudahpun tidak terkawal kini, apakah kerajaan sudah ada jalan memastikan warga asing ‘tidak hilang’ dari pemantauan negara dan memastikan mereka dihantar pulang apabila habis tempoh kontrak pekerjaan mereka.

Kenyataan penuh beliau di bawah.

Merujuk kepada kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa seramai 1.4 juta pekerja Bangladesh yang dijangka dibawa masuk secara berperingkat ke negara ini menjelang awal tahun depan.

PAS memandang perkembangan ini dengan serius. Apakah peluang pekerjaan di negara begitu banyak sehingga memerlukan tenaga kerja sebegitu besar dari negara Bangladesh?

Apakah kerajaan sudah memikir impaknya terhadap indeks jenayah dan orang setempat dengan kebanjiran warga asing ini?

Melihat kepada kebanjiran warga asing yang sudahpun tidak terkawal kini, apakah kerajaan sudah ada jalan memastikan warga asing ‘tidak hilang’ dari pemantauan negara dan memastikan mereka dihantar pulang apabila habis tempoh kontrak pekerjaan mereka?

Bagaimana pula impaknya pada rakyat Malaysia yang dikahwini warga Bangladesh ini? Apakah warga Bangladesh ini akan terus diberi kerakyatan semata-mata mengahwini rakyat tempatan?

Bagaimana kerajaan boleh memastikan golongan ini tidak ‘diMelayukan’ dan dijadikan warganegara semata-mata kerana beragama Islam?

Zahid mewar-warkan bahawa warga Bangladesh akan diberi kad pengenalan khas itu akan dilengkapi teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), biometrik, fungsi kad debit dan kad simpan nilai (seperti Touch & Go).

Tapi bagi PAS, perkara itu bukanlah terpenting, kerana sebelum ini terdapat pelbagai kes di mana kad pengenalan sementara dan berwarna merah juga dapat didaftarkan sebagai pengundi oleh SPR.

Apakah jaminan kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak diberikan kad pengenalan biru dan dapat mendaftarkan diri sebagai pengundi di dalam daftar SPR?

Kerajaan perlu telus untuk memaparkan jumlah yang diminta oleh setiap sektor pekerjaan. Dan apakah peluang pekerjaan tersebut tidak boleh diisi rakyat tempatan?

Krisis ekonomi yang sedang melanda Indonesia dan Thailand tidak harus dipandang ringan. Dengan kebanjiran 1.4 warga Bangladesh ini, apakah rakyat Malaysia perlu bersaing untuk mendapatkan pekerjaan, lebih-lebih lagi sekiranya kemerosotan ekonomi berlaku.

Rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera dan kaum Melayu harus peka kepada isu ini. Terlalu banyak contoh di negara kita di mana warga asing yang beragama Islam dan mengambil keputusan untuk memeluk Islam mengambil kesempatan semata-mata untuk dilihat sebagai seorang Bumiputera dan Melayu untuk menikmati hak-hak sebagai rakyat Malaysia. Mereka tidak akan memilih untuk menjadi orang Cina dan India atau bangsa lain.

Sekiranya situasi ini berterusan, anak-anak kita akan bersaing dengan anak-anak warga asing ini terutamanya dari pelbagai segi sosial dan ekonomi.

Kerajaan perlu memastikan masalah pengangguran di dalam negara diselesaikan dahulu. Jangan kerana semata-mata ada industri yang inginkan buruh murah, maka kedaulatan negara digadaikan. Kerajaan seharusnya mencari penyelesaian bagaimana rakyat sendiri boleh memenuhi ruang pekerjaan ke dalam industri yang memerlukan tenaga buruh rendah dan bukannya dengan mengambil jalan mudah dengan mengambil 1.4 juta warga Bangladesh.

Apakah ini satu lagi cara untuk pihak tertentu mengaut keuntungan hasil daripada komisyen membawa masuk warga Bangladesh yang ramai ini?

Mohon kerajaan BN menjawab.

Beza 3 kerusi, sidang Dun Perak dijangka panas

Muhammad Faeez Azahar, 23 Ogs 2013
IPOH: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak bermula 26 Ogos ini dijangka panas apabila hanya tiga kerusi yang membezakan Pakatan Rakyat dengan BN.

Pengerusi Sekretariat Adun PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki (gambar) berkata, pihaknya telah meneliti soalan-soalan yang bakal ditanya oleh kelima-lima Adun PAS dalam sidang Dun nanti.

Menurutnya, ianya meliputi aspek kebajikan rakyat, ketelusan serta kecekapan dalam pentadbiran dan polisi kerajaan yang menjadi perhatian oleh masyarakat khususnya di negeri itu.

Beliau menjelaskan, sekretariat Adun PAS telah mengkaji sebaik mungkin agar segala dakwaan serta soalan yang bakal ditanya nanti adalah berasaskan bukti dan fakta yang sahih.

"Adun-Adun PAS Perak sudah bersedia dengan soalan-soalan mencabar yang akan menggegar sidang Dun Perak.

"Soalan-soalan bertulis dan lisan terutamanya akan menjadi medan untuk rakyat mendapat penjelasan daripada kerajaan dalam beberapa isu yang menjadi perhatian masyarakat," katanya kepada Harakahdaily.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu menjelaskan, rakyat mengharapkan semua soalan hendaklah dijawab dengan jujur oleh kerajaan negeri dan tidak berniat untuk menyelindung apa-apa perkara.

Misbahul menyatakan, soalan bertulis yang berkaitan dengan isu-isu rakyat perlu diberi keutamaan untuk dijawab dan jangan ada daripada soalan yang dikemukakan itu tidak dijawab oleh kerajaan.

"Masa soal jawab lisan juga hendaklah diberikan secukupnya agar semua Adun mendapat ruang untuk berhujah tentang soalan yang dikemukakan.

"Rakyat tidak mahu speaker hanya memilih soalan-soalan dari anggota kerajaan sahaja, sebaliknya mesti adil dan saksama terhadap Adun-Adun Pakatan Rakyat khususnya PAS," jelasnya lagi.

Justeru, beliau berkata, PAS menyeru agar rakyat tidak lepaskan peluang untuk mendengar perbahasan dari Adun PAS dan rakan-rakan daripada DAP dan PKR.

Dalam Dun Perak, PAS mewakili 5 Dun iaitu Ustaz Abu Bakar Hussien (Titi Serong), Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Ustaz Zawawi Hassan (Gunong Semanggol) Radzi Zainon (Sungai Rapat) dan Husin Din (Selinsing).

Tetap masa kempen didik rakyat jaga kebersihan

Harakahdaily, 24 Ogs 2013
AMPANG: Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor, Iskandar A. Samad mahu tindakan tegas diambil ke atas mereka yang membuang sampah merata-rata.

Ahli Dewan Negeri Chempaka itu berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menetapkan satu jangka masa tertentu untuk kempen mendidik rakyat supaya menjaga kebersihan dan setelah tempoh itu tamat tindakan yang tegas seperti mengenakan kompaun diambil.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Gotong Royong Perdana Negeri Selangor peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Medan Selera Bukit Indah, pagi tadi.

Katanya, ada segelintir dari masyarakat yang hanya akan faham tindakan penguatkuasaan seperti itu, justeru tindakan itu perlu demi menjaga kepentingan orang ramai.

Iskandar juga memberi contoh kawasan Pandan Indah di mana terdapat penduduk yang sesuka hati membuang tilam buruk dan almari lama di tepi-tepi jalan tanpa memikirkan implikasinya.

Beliau juga menambah, Undang-Undang Kecil Pungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah (MPAJ) 2007 membolehkan mereka dikompaun sehingga RM1,000 dan jika dibawa ke mahkamah boleh didenda sehingga RM2,000 atau dipenjara sehingga 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut beliau, apabila ramai penduduk kediaman berstrata gagal membayar caj penyelenggaraan, pangsapuri-pangsapuri telah gagal diselenggara sehingga terdapat lif-lif yang tidak berfungsi berbulan-bulan lamanya.

Oleh yang demikian, katanya demi menjaga kepentingan umum kerajaan negeri telah mengambil keputusan untuk mendakwa di mahkamah mereka yang mempunyai tunggakan caj yang tinggi.

“Tindakan ini adalah setelah kempen yang dijalankan gagal memujuk mereka untuk menjelaskan tunggakan,” katanya.

Iskandar yang juga turut merasmikan Kempen Membasmi Tikus pagi tadi juga berkata peningkatan penyakit kencing tikus (leptospirosis) adalah amat membimbangkan dan hanyalah kerjasama semua pihak berupaya menghapuskan ancaman penyakit itu.

Katanya, ia bukan hanya tanggungjawab PBT tetapi adalah juga tanggungjawab para penjaja, peniaga, pekedai dan penduduk secara keseluruhan.

Beliau juga berkata penyelesaiannya bukan sekadar menangkap tikus sahaja tetapi memastikan punca-punca makanan yang membolehkan tikus-tikus itu membiak dihapuskan sama sekali.

Sehubungan itu, ujarnya penjagaan kebersihan seperti membuang sampah di tempat yang disediakan dan memastikan kebersihan premis-premis perniagaan yang melibatkan makanan adalah teramat penting.

Turut hadir pada program itu adalah Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz dan Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Abdul Hamid Hussin.

Beri pendidikan percuma, tolak PTPTN – Pemuda PR

Harakahdaily, 22 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat menganggap keputusan kabinet semalam yang menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN mulai bulan ini adalah hasil kejayaan perjuangan rakyat sehingga kerajaan tunduk dengan tekanan semua pihak.

Demikian kata Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan, Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ketua DAPSY, Teo Kok Siong dalam kenyataan bersama.

Bagi Pemuda PR, keputusan kabinet belum cukup melegakan peminjam PTPTN kerana mereka masih lagi terbelenggu dengan hutang yang perlu dijelaskan.

“Pengumuman kerajaan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga atau sekadar tindakan politik bagi meredakan kemarahan rakyat,” ujarnya mereka.

Kenyatan penuh seperti di bawah.

Pemuda Pakatan Rakyat menganggap keputusan kabinet semalam yang menolak cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN mulai bulan ini adalah hasil kejayaan perjuangan rakyat sehingga kerajaan tunduk dengan tekanan semua pihak.

Bagi Pemuda PR, keputusan kabinet belum cukup melegakan peminjam PTPTN kerana mereka masih lagi terbelenggu dengan hutang yang perlu dijelaskan.

Pengumuman kerajaan ibarat hanya melepaskan batuk di tangga atau sekadar tindakan politik bagi meredakan kemarahan rakyat.

Peminjam PTPTN masih lagi diburu, diambil tindakan-tindakan lain serta dipaksa menjelaskan hutang mereka sekalipun belum mampu melangsaikannya.

Apa yang diketahui, sebahagian besar peminjam PTPTN masih belum keluar dari kemelut ekonomi yang mencengkam hidup mereka akibat kos sara hidup yang tinggi, tiada pekerjaan tetap, pendapatan yang tidak mencukupi atau di bawah tahap kelayakan mereka, selain menampung keluarga dan keperluan-keperluan lain.

Rakyat sebenarnya menginginkan pengumuman kerajaan lebih daripada membatalkan cadangan PTPTN melaksanakan CCRIS.

Golongan belia mahukan peminjam PTPTN diberi kelonggaran atau fleksibility dalam pembayaran hutang atau dikurangkan jumlah pembayaran ke tahap yang memuaskan.

Perbincangan perlu dibuat bagi keselesaan antara golongan belia dengan pihak kerajaan supaya tidak wujud jurang serta ketidak puasan hati antara rakyat dengan kerajaan.

Pemuda PR mendesak agar diwujudkan lebih banyak bantuan kewangan seperti biasiswa kepada mahasiswa segenap peringkat.

Kerajaan perlu melabur dalam aspek pendidikan melalui pemberian biasiswa kerana rakyat adalah aset negara dan pendidikan yang mereka perolehi disumbangkan pula untuk negara di kemudian hari.

Tidak ada salahnya kerajaan berbelanja besar dalam sektor pendidikan demi rakyat kerana rakyat itu jugalah yang akan memberi hasil kepada negara.

Pemuda PR menegaskan, komitmen PR untuk memberikan pendidikan percuma adalah agenda utama yang akan diperjuangkan sehingga akhirnya ianya akan dilaksanakan.

Dengan pendapatan dan hasil negara yang banyak, agenda ini bukan mustahil untuk dilaksanakan malah ianya mampu dilaksanakan sekiranya kerajaan mahu.

Pendidikan percuma adalah impian dan aspirasi rakyat kerana ia adalah keperluan utama rakyat dan PR bertekad tidak ada rakyat yang tercicir mendapat pendidikan sehingga ke tahap tertinggi denagn kemudahan percuma yang semua rakyat di negara ini boleh miliki.

Kelantan agresif penerangan ke pedalaman

Aslani M, 22 Ogs 2013
KOTA BHARU: Mengambil kira kawasan pedalaman di Kelantan kurang mendapat info mengenai kerajaan negeri, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) merancang memperkasakan lagi peranannya.

Antaranya memberi tumpuan melalui program penerangan, aktiviti pemimpin bersama rakyat dan ramah mesra secara lebih agresif di kawasan terbabit.

Selain itu UPKN juga merancang mewujudkan Unit Hubungan Serantau dan membuka pejabat cawangan di luar Kelantan.

Pengarahnya, Wan Yusoff Wan Mustapha (gambar) berkata, Unit Hubungan Serantau diwujudkan bagi membolehkan anak-anak Kelantan yang tinggal di merata tempat mendapat info lebih tepat mengenai kerajaan negeri.

“Anak-anak perantau tinggal di seluruh pelusuk negara. Dengan ada unit khas membolehkan pelbagai aktiviti dapat dilaksanakan. Pejabat cawangan dirancang diwujudkan di Kuala Lumpur.

“UPKN dengan kerjasama sama Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan) menyalurkan lebih banyak maklumat dan menganjurkan pelbagai program,” katanya di sini.

Menurutnya unit tersebut akan diketuai seorang Penolong Pengarah dengan dibantu pegawai dan pembantu.

UPKN sekarang mempunyai tiga unit iaitu Penerangan, Penerbitan dan Multimedia dengan bilangan pegawai dan kakitangan seramai 29 orang. Ia diwujudkan sejak 1990.

Selain itu kerajaan negeri juga mempunyai Urusetia Pembangunan Belia, Sukan dan NGO serta Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.

Wan Yusoff juga berkata, UPKN memberi fokus lebih kepada kawasan di pedalaman memandangkan penduduk di kawasan berkenaan didapati belum mendapat maklumat mendalam mengenai kerajaan negeri.

“Program turun ke bawah akan diberi tumpuan di kawasan berkenaan terutamanya Gua Musang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Machang.

“Penduduk di kawasan terbabit tidak mendapat pendedahan lengkap mengenai kerajaan negeri disebabkan keupayaan penebusan internet di kawasan tersebut masih terkebelakang.

“Tumpuan sekarang mengadakan majlis-majlis penerangan, dialog, pameran dan ramah mesra pemimpin bersama penduduk,” ujarnya.

Selain itu UPKN juga merancang melihat sejauh mana maklum balas rakyat terhadap program dianjurkan kerajaan negeri melalui kajian yang akan dilakukan.

Menurutnya, maklum balas rakyat di peringkat bawah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman cukup penting bagi membolehkan kerajaan negeri merancang agenda bertindak.

Menurutnya juga kerajaan negeri merancang memperluaskan akses internet di kawasan pedalaman dengan mewujudkan rangkaian internet percuma di kawasan pusat bandar, masjid dan pusat khidmat wakil-wakil rakyat.

“Kemudahan internet cukup penting terutamanya bagi membolehkan penduduk mendapat gambaran lebih jelas mengenai sesuatu isu yang berlaku.

“Petugas unit multimedia akan menyalurkan maklumat melalui media baru termasuk facebook bagi membolehkan orang ramai mendapat maklumat segera,” ujarnya.

Sebelum ini Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob menjelaskan antara faktor PAS gagal bertapak kukuh di Gua Musang dan Jeli memandangkan banyak maklumat tidak sampai ke pengetahuan rakyat.

Peserta Felcra digesa semak status perjanjian

Muhammad Faeez Azahar, 22 Ogs 2013

Zamri (kiri) menjawab soalan media sambil diperhatikan Razman.

IPOH: Badan Bertindak Peserta Felcra (Bapa) menggesa peserta menyemak semula status dan tarikh perjanjian dengan Felcra.

Pengerusinya, Razman Zakaria berkata, ini sangat penting bagi memastikan peserta tidak terus dibelenggu oleh Felcra dan hak sebenar mereka tidak disalahguna.

Menurutnya, terma perjanjian peserta dengan Felcra mengelirukan dan tidak dijelaskan secara nyata apakah bayaran yang perlu dibayar oleh peserta kepada Felcra serta berapakah amaun yang perlu dibayar sepanjang tempoh perjanjian.

Malahan katanya tempoh perjanjian juga tidak dinyatakan secara jelas kepada peserta Felcra.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, baru-baru ini, Mahkamah Majistret Lenggong telah memutuskan bahawa tuntutan kos pembangunan oleh Felcra terhadap dua orang peserta berikut ditolak dengan kos.

Asas penghujahan peserta katanya adalah berkenaan perjanjian yang ditandatangani di antara Felcra dan peserta tidak sah, tidak mempunyai kuat kuasa serta telah tamat tempoh.

Razman menjelaskan di dalam kedua-dua kes tersebut, tuntutan balas peserta untuk ganti rugi berasaskan bahawa Felcra telah melakukan pencerobohan terhadap tanah peserta berikutan tindakan Felcra yang terus mengusahakan tanah peserta setelah tamat tempoh perjanjian telah dibenarkan oleh mahkamah dengan kos.

"Memandangkan asas utama kes ini adalah berkenaan perjanjian, dan saya difahamkan perjanjian tersebut adalah merupakan perjanjian standard yang digunakan oleh Felcra di seluruh negara.

"Bapa mengesyorkan agar peserta-peserta Felcra di seluruh negara menyemak kembali perjanjian mereka dgn Felcra Bhd terutama tempoh perjanjian," katanya dalam satu sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, peguam, Zamri Ibrahim menggesa agar semua peserta berhati-hati jika Felcra meminta peserta menandatangani apa-apa dokumen untuk memperbetulkan perjanjian yang telah ditandatangani terutamanya perjanjian tambahan.

Ianya kata beliau sangat penting untuk mempertahankan hak mereka masing-masing daripada sebarang risiko.

"Saya peguam mewakili Bapa menasihati peserta agar dapat merujuk kami sebelum menandatangani sebarang dokumen serta perjanjian tambahan.

" Jika perjanjian telah tamat tempoh dan peserta ingin mengusahakan sendiri dan tidak mahu lagi bersama Felcra bolehlah berbincang dengan pihak kami berkenaan apa yang perlu dilakukan.

"Hubungi kami 01113300183 dan kami sudi membantu peserta bagi mengelak daripada terus dibelenggu Felcra," jelas Pengerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Perak itu.

Polis tiada kuasa senarai hitam pemandu - Kase

Muhammad Faizal, 21 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Penasihat Undang-Undang Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff memohon jasa baik Kamar Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang PDRM agar menasihati Ketua Polis Negara (KPN) berkaitan bidang kuasa PDRM sebelum membuat sebarang kenyataan agar tidak menjadi bahan ketawa dunia yang akhirnya akan menjatuhkan maruah pasukan Polis.

Ini ekoran KPN yang dilaporkan sebagai berkata seramai 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan menjelaskan tunggakan saman bakal berdepan tindakan lesen memandu mereka dibatalkan.

Katanya, tindakan tersebut katanya akan dilaksanakan dalam masa terdekat ekoran peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Op Selamat III.

“Kase ingin memaklumkan KPN bahawa PDRM tiada sebarang kuasa di bawah sebarang peruntukan undang-undang untuk menyenarai hitam pemegang lesen memandu,” ujar Zulhazmi dalam satu kenyataan.

Jelasnya, sejak penubuhan Kase pada Ogos 2009, Kase telah berulang kali menegaskan bahawa pihak PDRM tiada sebarang kuasa untuk menyenarai hitam kenderaan atau pemilik lesen memandu.

Katanya lagi, kuasa untuk menyenarai hitam atau dalam istilah undang-undangnya ialah menghalang transaksi terletak pada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] melalui Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Utusan Online 21 Ogos 2013 melaporkan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebagai berkata seramai 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan menjelaskan tunggakan saman bakal berdepan tindakan lesen memandu mereka dibatalkan. Tindakan tersebut katanya akan dilaksanakan dalam masa terdekat ekoran peningkatan jumlah kemalangan maut dalam Op Selamat III.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor [KASE] geli hati dengan kenyataan tersebut. KASE memohon jasa baik Kamar Peguam Negara atau Penasihat Undang-Undang PDRM agar menasihati Ketua Polis Negara [KPN] berkaitan bidang kuasa PDRM sebelum membuat sebarang kenyataan agar tidak menjadi bahan ketawa dunia yang akhirnya akan menjatuhkan maruah pasukan Polis.

KASE ingin memaklumkan KPN bahawa PDRM tiada sebarang kuasa di bawah sebarang peruntukan undang-undang untuk menyenarai hitam pemegang lesen memandu. Sejak penubuhan KASE pada Ogos 2009, KASE telah berulang kali menegaskan bahawa pihak PDRM tiada sebarang kuasa untuk menyenarai hitam kenderaan atau pemilik lesen memandu. Kuasa untuk menyenarai hitam atau dalam istilah undang-undangnya ialah menghalang transaksi terletak pada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan [JPJ] melalui Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bagaimana KPN boleh dengan suka hati mengatakan bahawa terdapat 1.7 juta individu yang disenarai hitam kerana enggan membayar saman? Siapa yang menyenarai hitam? Ironinya lagi, sejak November 2009 Kerajaan telah umumkan bahawa senarai hitam khasnya bagi Notis Pol 170A yang dikenali dengan saman ekor telah ditarik balik. Justeru KASE memohon penjelasan KPN, 1.7 juta yang dinyatakan tersebut saman apa?

Seksyen 119B Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah dipinda pada Disember 2012 hasil gerakan KASE menolak dan mendesak Kerajaan khususnya PDRM dan JPJ menarikbalik polisi senarai hitam pada 2009.

Untuk makluman KPN dan seluruh rakyat Malaysia, Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga hanya memberi kuasa kepada Ketua Pengarah JPJ untuk menggantung atau membatalkan lesen memandu seseorang. KASE mengajak KPN untuk merujuk peruntukkan Seksyen 35 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tujuan tersebut.

Kenyataan paling kelakar daripada KPN ialah tindakan tersebut akan dilaksanakan ekoran peningkatan jumlah kemalangan semasa Op Selamat III. Adakah dengan tindakan 1.7 juta individu tersebut membayar saman maka jumlah kemalangan akan berkurangan? Apa kaitan bayar saman dengan jumlah kemalangan?

KASE memohon KPN supaya lebih teliti mengeluarkan kenyataan dan membuat tindakan. Seharusnya PDRM, Kementerian Pengangkutan dan agensi-agensi Kerajaan termasuk Jabatan Keselamatan Jalan Raya [JKJR] bekerjasama dengan lebih mantap untuk memberikan kesedaran pengguna tentang keselamatan jalan raya. KASE menyokong sebarang usaha untuk mengurangkan kemalangan demi keselamatan pengguna dan masyarakat. Tindakan dan pendekatan lebih komprehensif perlu dibuat bukan dengan hanya mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan yang tidak bersandarkan undang-undang.

PAS mahu pengajian pelajar Mesir dapat diteruskan

Khairil Abdul Rahim, 22 Ogs 2013
TEMERLOH: PAS Pahang mahu pelajar-pelajar dari negeri ini yang menuntut di Mesir bukan sekadar dibawa pulang dengan selamat malah kerajaan negeri juga mestilah memastikan kesinambungan pelajaran mereka.

Dalam sidang medianya semalam, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelajaran mereka penting diteruskan termasuk di dalam negeri memandangkan konflik di Mesir tidak diketahui sehingga bila selesainya.

“Jadi soal penerusan pelajaran pelajar-pelajar juga perlu dijamin selain memastikan keselamatan mereka,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kelmarin yang akan membawa pulang pelajar-pelajar Pahang di Mesir.

Pada ketika ini, dianggarkan sekitar 1,000 orang pelajar dari negeri ini yang menuntut dalam bidang agama dan perubatan di Mesir.

Dalam perkembangan yang sama beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat kagum dengan kesabaran Ikhwan Muslimin kerana walaupun ditawarkan senjata untuk melawan rejim tentera tetapi tidak menerimanya kerana bimbang terperangkap dengan mainan pihak ketiga.

Tambah Tuan Ibrahim, krisis yang berlaku di Mesir sekarang bukannya tercetus hasil demonstrasi membantah kerajaan sebagaimana difahami sesetengah pihak, sebaliknya ada dalang yang sengaja tidak mahu melihat Islam memerintah di Mesir.

“Berdasarkan pengeboman terowong ke Gaza oleh tentera, pembebasan Hosni Mubarak dan seterusnya pengharaman Ikhwan Muslimin menunjukkan rampasan kuasa tentera bukanlah akibat demonstrasi rakyat sebelum itu.

“PAS percaya kejayaan pimpinan Dr Morsi menyelesaikan banyak masalah dalam masa yang singkat membimbangkan kuasa dunia yang akhirnya akan menjadi inspirasi kepada negara-negara lain memilih pemerintahan Islam,” tegasnya.

AES: Lagi ‘flip-flop’ BN untuk untungkan kroni

Selangorku, 22 Ogs 2013
SHAH ALAM: Tindakan ‘flip-flop’ Kerajaan Umno BN dalam beberapa isu yang melibatkan pengambilan wang rakyat dilihat seolah-olah sengaja dilakukan bagi membolehkan pemimpin-pemimpin Umno/BN menyalurkan keuntungan kepada para kroni.

Ini termasuklah pengumuman terbaru kerajaan yang bercadang untuk mengambilalih Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang diumumkan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata tidak mustahil kerajaan sudah merancang pengambilalihan operasi AES sebelum sistem perangkap had laju berkamera itu memulakan operasinya tahun lalu.

Johari yakin tindakan kerajaan tersebut diambil ekoran respon dari bantahan yang dibuat rakyat dan pembangkang.

Beliau juga menjangkakan pengambilalihan ini akan melibatkan pengaliran dana kerajaan kira-kira RM1 bilion kepada dua syarikat pengendali terbabit, sekaligus merugikan rakyat.

“Ini bukan dasar ‘flip-flop’, tetapi memang ‘di-design’ untuk ‘flip-flop’ sebab sepatutnya projek seperti ini perlukan tata kelola yang betul, kajian mendalam termasuk ahli akademi dan respon dari persatuan berkaitan.

“Tetapi di Malaysia tidak berlaku, kerajaan lebih berminat memberi projek kepada kroni yang datang dengan pelbagai cadangan, bila gagal dilaksanakan atau dapat tentangan, akhirnya kerajaan mengambil balik projek tersebut dengan bayaran pampasan yang mahal.

“Jadi seolah-olah ia sengaja direka sebegitu rupa, mereka tahu akan mendapat tentangan rakyat dan pembangkang dan akhirnya masalah itu kononnya diselesaikan dengan bayaran kepada pihak swasta,” kata Johari ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Johari berkata antara beberapa projek swasta yang diambilalih kerajaan sebelum ini termasuklah Indah Water Konsortium, MAS dan program Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

“Zaman Tun Dr Mahathir pun sama juga, adakan PPSMI tetapi akhirnya ditukar semula kepada Bahasa Melayu dan menyebabkan kita kerugian kira-kira RM6 bilion untuk kos mencetak buku teks dan lain-lain.

“Dasar ini merugikan rakyat dan dalam isu AES ini sepatutnya dihentikan terus bukan kerajaan ambilalih,” ujar Johari lagi.

Johari menambah, isu ini akan dibangkitkan pembangkang dalam persidang dewan rakyat akan datang.

Selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Hishamuddin berkata kerajaan sedang menimbang untuk mengambil alih keseluruhan operasi dan penguatkuasaan AES daripada pengendali sedia ada.

Segarkan XPDC dakwah di semua peringkat

Khairul Faizi Ahmad Kamil, 22 Ogs 2013



Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

1. Alhamdulillah, XPDC Dakwah (Preaching of Islam Expedition) yang dirancang telah berjaya dilaksanakan. Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan XPDC ini walaupun pemberitahuannya agak lewat.


2. Saya tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) lebih kurang pukul 5 petang, menggunakan perkhidmatan LRT sebelum bersambung dengan perkhidmatan Monorel daripada Stesyen Hang Tuah ke Stesyen Maharajalela.

3. Ketika mula menaiki monorel, saya mula terasa 'bahang' apabila segerombolan manusia berbaju hitam begitu teruja untuk ke Stdium Merdeka, tidak sabar untuk menatapi kumpulan muzik kesayangan mereka sejak sekian lama.

4. Sempat saya bertegur sapa dan bertanya ke mana mereka tu. Ada di antara mereka yang berkata bahawa ada kumpulan yang akan protes konsert Metallica ini dan beliau berkata kepada saya "Tengok la nanti, siapa protes siapa" yang saya percaya bahawa ia ditujukan kepada XPDC yang kami akan laksanakan pada petang itu.

5. Tak kala tiba di perkarangan stadium, ribuan peminat setia kumpulan Metallica sedang memenuhi perkarangan stadium untuk menunggu pintu masuk dibuka. Rata-rata di kalangan mereka ini berusia seperti saya, ada yang tua sedikit tetapi sukar untuk melihat golongan remaja berlegar-legar di stadium.

6. XPDC Dakwah bermula sekitar pukul 6.00 petang, ditemani oleh sdr Sany Hamsan (Pengarah Pilihan Raya DPPM), sdr Kamaruzaman Mohamad (Ketua DPPWP), Sdr Suhaimi Aziz (Timbalan Ketua DPPWP) Sdr Yusapiza Yaakob (Ketua Penerangan DPPWP) dan ramai lagi pemuda-pemuda daripada WP dan Selangor. Saya jangka ia tidak kurang daripada 50 orang kesemuanya.

7. Fokus XPDC Dakwah pada kali ini adalah berkaitan dengan isu yang sedang melanda di Mesir pada ketika ini. Kerana itu, risalah yang diedarkan pada petang tadi tertulis: "If you can pay RM195 for Metallica, why not share some to help Egyptians?" Jika kamu dapat bayar RM195 untuk Metallica, kenapa tidak berkongsi sama membantu rakyat Mesir?". Itu tiket yang paling murah, bagaimana pula dengan pembeli tiket yang berharga RM 380 atau RM 680?

8. Namun, jika mereka tidak mampu untuk menderma maka paling tidak pun mereka boleh berdoa untuk rakyat Mesir. "Or At Least Pray For Egypt" (atau sekurang-kurangnya berdoa untuk Mesir).

9. Pada awalnya, sukar juga untuk memulakan XPDC ini kerana mungkin sudah ada tanggapan bahawa kehadiran kami adalah sebagai 'penggugat ketenteraman awam' namun apabila risalah telah berada di tangan mereka maka ia dapat diterima dengan baik. Ada penerima risalah berkata secara spontan kepada saya, "Insya Allah saya akan bantu mereka nanti, tahniah Pemuda PAS buat aktiviti macam ini".

10. XPDC Dakwah ini akan disegarkan semula dalam diari Pemuda PAS di semua peringkat. Ia perlu dirutinkan kembali agar konsep dakwah yang pernah dipelopori oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna berdakwah sehingga ke kelab malam dapat diteruskan seperti mana rutinnya usrah Pemuda pada ketika ini.

11. Target terdekat selepas ini, Malam Ambang Merdeka 2013. Pemuda PAS kawasan perlu bersiap sedia untuk XPDC ini. Kita turun beramai-ramai di seluruh negara!

Sekian, wassalam.

Jalan Raja Laut, KL
22 Ogos 2013, 1.19 pagi.

Terus berjuang!
Penulis ialah Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Apa kaitan tidak bayar saman dengan kemalangan

Harakahdaily, 22 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak sesekali menduga kemarahan rakyat apabila sering kali menghadirkan cadangan yang tidak berperikemanusiaan.

Justeru, SAMM melihat pengumuman Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam bahawa seramai 1.7 juta pemandu yang disenarai hitam oleh polis trafik supaya dibatalkan lesen memandu jika enggan membayar baki tertunggak saman lalu lintas, adalah keterlaluan dan umpama hilang kewarasan.

“Cadangan 'jahat' ini dilihat lebih menjengkelkan dengan alasan kononnya tidak berpuas hati dengan keputusan statistik kemalangan Ops Selamat ketika Aidilfitri lalu.

“Apakah kaitan antara tidak bayar saman dengan peningkatan jumlah kemalangan?” tanya beliau dalam satu kenyataan, semalam.

Katanya, jika KPN tidak berpuas hati dengan statistik kemalangan, sila buat kajian lebih terperinci punca kemalangan berlaku, sudah pasti bukan kerana pemandu tidak membayar saman.

Namun, ujarnya pemikiran yang mungkin dipengaruhi oleh kedudukan kantung kewangan kerajaan maka lahirlah idea yang menafikan hak untuk rakyat memandu.

“Apalah nasib rakyat Malaysia, dari menteri sampai ke polis, semuanya seolah berniat untuk menganiaya rakyat,” ujarnya.

Katanaya lagi, rakyat yang tersepit dengan kesempitan hidup tidak mampu untuk membayar saman, akhirnya dihukum lagi dengan pembatalan lesen memandu sekaligus bagaikan menghalang seorang ayah menghantar anak ke sekolah.

“Jika semalam dapat disaksikan cadangan peminjam PTPTN disenarai dalam CCRIS dan Menteri Belia dan Sukan mendapat nama hasil dari kemelut ciptaan sendiri, kali ini menteri mana pula yang bakal menjuarai isu kononnya membela nasib pemandu yang punya saman ini?” kata beliau lagi.

Justeru, katanya cukuplah bersandiwara, rakyat bukan bahan eksperimen untuk dicucuk-cucuk dengan cadangan yang menguji kesabaran.

“SAMM mendesak supaya berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang cadangan, kaji sebelum diumumkan.

“SAMM berjanji jika cadangan ini dilaksanakan, SAMM akan menggerak mobilisasi besar mengajak semua pemandu yang mempunyai saman supaya mempertahankan hak untuk 'hidup' di tanahair ini,” tegasnya.

Dasar: Bincang dahulu, jangan kelirukan rakyat

Khairil Abdul Rahim, 22 Ogs 2013
TEMERLOH: Kabinet perlu berbincang semasak-masaknya dahulu sebelum mengumumkan sesuatu dasar supaya tidak mengelirukan rakyat, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta menulas mengenai penarikan balik Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang menyenaraikan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) oleh kabinet.

Katanya, ini penting supaya pengumuman yang tergesa-gesa kemudian ditarik balik, tidak mengelirukan rakyat.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata demikian pada sidang media sselepas mempengerusikan mesyuarat PAS negeri di sini, semalam.

CCRIS merupakan sistem pangkalan data Bank Negara yang menyimpan maklumat kredit peminjam yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan.

Kelmarin Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar bermula bulan ini.

Katanya, menerusi pendekatan tersebut, peminjam PTPTN yang ingkar menerima kesan seperti peminjam institusi kewangan lain, terutama membabitkan kelulusan permohonan pinjaman, kad kredit, sewa beli dan sebagainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan