Selasa, 20 Ogos 2013

KEZALIMAN MENGUNDANG BALASAN ATAU HUKUMAN ALLAH ATAS KEMUNGKARAN SERTA KEJAHATAN KITA BUAT....SAMA2 KITA TUNGGU

Detik cemas wartawan dikepung tentera Mesir

Harakahdaily, 19 Ogs 2013

(Polis menangkap penyokong Morsi yang berlindung dalam Masjid Fath)

MESIR: Seorang wartawan perempuan Agensi Anadolu, yang turut terkepung di Masjid Fath, Ramsis, Sabtu lalu, berkongsi detik cemas yang dihadapi beliau dan ratusan penyokong legitimasi yang berlindung di masjid tersebut.

Menyifatkan kejadian itu sebagai "detik paling sukar" dalam hidupnya, Heba Zakariya (gambar) mendakwa ianya bermula dengan satu kunjungan biasa beliau ke Medan Ramsis untuk membuat liputan himpunan penyokong Morsi di situ.

Secara tiba-tiba katanya, suasana seperti pertempuran meletus apabila pihak tentera melepaskan tembakan peluru hidup yang memaksa para penyokong Morsi dan mereka yang cedera mencari perlindungan di Masjid Fath di medan itu.

Sebuah hospital sementara juga telah dibuka bagi merawat mereka yang terdera dan bagi menempatkan jenazah mereka yang terkorban.

"Saya menuju ke Masjid Fath untuk meninjau keadaan. Terdapat banyak mayat dan mangsa yang cedera di dalam masjid," katanya menceritakan.

"Saya masih ingat seorang kanak-kanak 11 tahun yang ususnya telah terkeluar selepas ditembak dengan peluru sniper," katanya sambil menangis.

"Tidak lama selepas itu, kenderaan tentera, pasukan polis dan helikopter mengepung tempat itu dan cuba untuk mengheret penunjuk perasaan ke luar masjid dengan kekerasan. Pada masa ini, kami berpendapat pembunuhan beramai-ramai mungkin berlaku," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, ramai yang mengambil sikap enggan keluar dari masjid kerana bimbang diserang oleh samseng upahan, dan pihak polis.

(Polis menyerbu masuk ke masjid, memaksa penyokong Morsi agar keluar dari masjid)

Selepas itu katanya, pasukan keselamatan mengetatkan kawalan di seluruh kawasan, dan mengepung masjid semalaman.

Pagi keesokannya, pasukan keselamatan bertindak untuk "membersihkan" masjid dari penyokong Morsi yang berada di dalamnya.

Penyokong Morsi dipaksa untuk keluar dari masjid.

"Tentera dan polis mula mengiringi penunjuk perasaan (keluar dari masjid), termasuk 33 wanita , di luar masjid di tengah-tengah penghinaan samseng yang berdiri di luar," katanya.

"Penunjuk perasaan bergegas ke dalam kenderaan pengangkutan banduan di luar masjid, mereka khuatir diserang oleh samseng," katanya.

"Saya ditumbuk di muka, tangan dan kaki sebelum ketika berjalan menuju ke kenderaan."

"Saya merasakan mereka "raksasa yang mahu mengganas" dan ianya memalukan kerana kita mempertahankan kebebasan dan ingin menyampaikan kebenaran," kata beliau.

Beliau kemudian dibawa ke Penjara Tora di selatan Kaherah, bersama-sama dengan penyokong Morsi yang lain yang diambil dari masjid.

Di dalam penjara, Heba Zakaria telah melalui satu lagi pusingan penderitaan.

"Orang-orang yang ditahan didera secara fizikal, manakala wanita telah dilayan dengan kasar oleh tentera yang membuat ancaman terhadap mereka jika mereka tidak menurut perintah," ujarnya.

"Pada 02:30, kami diberitahu bahawa wanita akan dibebaskan. Sejurus kemudian, kenderaan pengangkutan banduan tiba dan membawa kami ke Masjid Al-Azhar di mana kami dikumpulkan sehingga saudara-mara kami datang untuk membawa kami ke rumah."

"Itulah 30 jam yang paling sukar dalam kerjaya saya," katanya membuat kesimpulan.

Dalam pada itu sumber Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) menyebut, polis melepaskan gas pemedih mata ke dalam masjid pada waktu Subuh, Ahad lalu, bagi memaksa penyokong Morsi keluar.

Institut Pemikiran Tok Guru kini beroperasi

Aslani M, 19 Ogs 2013
KOTA BHARU: Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG) kini beroperasi di aras bawah blok Dewan Undangan Negeri, Kota Darulnaim.

IPTG menggalas objektif menjadi sebuah institut rujukan, latihan dan pengembangan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) atas prinsip Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan.

Pengarahnya, Dr Che Samsudin Mohamed Noor (gambar) berkata, di samping itu IPTG berperanan sebagai pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi pentadbiran Kelantan.

“IPTG merangka tiga komponen iaitu aktiviti keilmuan, perpustakaan dan pusat sumber serta pusat penyelidikan dan pengembangan (R&D) pentadbiran negeri,” katanya di sini.

Idea penubuhan IPTG dicetus Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob selepas menggantikan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ketua kerajaan negeri.

Menurutnya pemikiran dan legasi yang berharga yang ada pada Mursyidul Am PAS perlu terus disuntik dalam jentera kerajaan negeri.

IPTG dipengerusikan Menteri Besar, manakala Tok Guru Nik Abdul Aziz dilantik sebagai penasihat atau murabbi ummah.

Dr Che Samsudin berkata, konsep Murabbi merujuk kepada pendidik yang bukan hanya penyampai ilmu atau mu`allim, namun dalam masa sama memastikan masyarakat menghayati dan mengamalkan ilmu dipelajari.

Murabbi ummah bermaksud menumpukan penghayatan sesuatu ilmu, sekali gus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat ummah. 

Katanya, aktiviti keilmuan IPTG merangkumi kuliah dan kursus kepada anggota perkhidmatan awam negeri, seminar, forum  dan wacana akademik.

Komponen perpustakaan pula akan menyediakan koleksi buku, kajian ilmiah, tesis dan sebarang penulisan mengenai Tok Guru.

Ia juga mengandungi pusat sumber yang berfungsi sebagai bilik audio-visual  kepada pengunjung serta sumber rujukan kepada mana-mana pihak yang ingin membuat kajian.

Manakala pusat penyelidikan IPTG menyediakan kemudahan aktiviti penyelidikan dan pengembangan, mengkaji input dan mengeluarkan output bagi pentadbiran negeri, serta unit perisian data dan statistik.

“Selaku murabbi ummah Tok Guru akan sentiasa menasihati pergerakan IPTG supaya berjalan di atas acuan fikrah yang diasaskannya, di samping mencetuskan idea-idea baru,” ujarnya.

Kata beliau fikrah Tok Guru perlu dimanfaatkan untuk kepentingan ummah.

Menurutnya juga Tok Guru berpeluang melengkap dan merealisasikan idea serta perancangan baru sebagai kesinambungan 23 tahun ketika mengetuai kerajaan negeri.

Jauhnya Mesir dari kita

Hjarib, 19 Ogs 2013
Mesir
Jauhnya dari kita
Bukan jarak, masa atau ruang
Bukan warna atau tutur bicara
Bukan juga citra-budaya
Tapi rasa
Cinta dan benci
Takut dan berani
Hidup dan mati
Gimana mungkin di dekatkan
Mereka rela nyawa melayang,
Puasa zon selesa
Demi secebis Kemenangan yang dirompak
Himmah yang tinggi
Berdarah tak terperi
Dunia sepi tanpa inti
Khabar berita hanya cerita bersiri,
cerita basi
Versi konspirasi bertatah kasturi
Tangan-tangan keji memukul curi
Kala peluru menghujani masjid terbuka
Raya di jalan raya
jiwa entah bila disapa
Kita sama sahaja
Suka suka
Sahaja sahaja
Itu Mesir, kucar kacir
Kita hening, bening dan terus lena
Dibuai mimpi ngeri, ah... hanya mimpi
Peduli apa kita
Samakah kita dengan Mesir
Sama itu Satu
Sama itu Haq
Sama itu Cahaya
Sama itu redha Pencipta
Sama-sama sama
Sama-sama dekat
Dekat dalam doa

Hjarib
Kubang Kerian
2 Syawal 1434
8 Ogos 2013

ISA: 1 Syawal sudah berlalu, mana ‘berita baik’

Harakahdaily, 19 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Jika niat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hanya sekadar ingin mempermainkan perasaan para keluarga tahanan ISA dan meraih populariti murahan, maka Suaram mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan menyifatkan ia sebagai kejahilan menteri dalam menjaga sensitiviti tahanan ISA dan keluarga.

Penyelaras Suaram, Syukri Razab berkata, kenyataan menteri itu yang mengatakan keluarga tahanan ISA bakal mendapat ‘berita baik’ menjelang hari raya yang lepas nyata sekadar kenyataan yang tidak tanggungjawab dan tidak peka dengan sensitiviti tahanan dan keluarga tahanan.

Tambahnya, tidak cukup dipisahkan secara berpanjangan, para tahahan dan keluarga semestinya lebih menderita dengan kenyataan Menteri yang seolah-olah memberi janji palsu.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan pada 11 Julai itu hanya menyebabkan keluarga tahanan ISA semakin terluka akibat harapan yang dipermainkan.

Sehingga hari ini, jelasnya 8 orang tahanan ISA masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

“Data ini adalah berdasarkan rekod perintah tahanan yang dimiliki Suaram. Daripada 8 tersebut, 5 adalah warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Indonesia dan seorang warga Filipina,” ujarnya dalam satu kienyataan.

Ini, katanya merupakan kali kedua para tahanan dan keluarga diberikan harapan palsu oleh pihak yang bertanggungjawab.

Katanya, kali pertama ialah sewaktu Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA pada 15 September 2011 yang disambut penuh gembira oleh tahanan ISA dan keluarga.

Namun, kata Syukri tahanan terus hampa apabila mereka terus ditahan walaupun selepas 2 tahun pengumuman itu dibuat.

Sehubungan itu, ujarnya Suaram menuntut Menteri Dalam Negeri untuk lebih bertanggungjawab atas sebarang kenyataan yang dibuat.

“Sebagai seorang bekas tahanan ISA yang pernah meringkuk di Kem Tahanan Kamunting, Datuk Seri Zahid Hamidi seharusnya lebih faham mengenai sensitiviti keluarga yang perlu dihormati,” katanya.

Tambah beliau lagi, tindakan memberi harapan tanpa tanggungjawab tidak ubah seperti menambah hukuman terhadap keluarga tahanan yang sudah sekian lama dizalimi oleh ISA.

Menurutnya, Suaram percaya, Zahid Hamidi selaku Menteri yang bertanggungjawab tidak pernah mengetahui dan memahami keperitan yang dilalui oleh para isteri dan anak-anak tahanan ISA.

“Maka atas sebab itu Zahid Hamidi tampak jahil apabila sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur harapan tanpa disusuli dengan tindakan yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Suaram juga, kata beliau ingin melahirkan rasa hairan di atas keengganan pihak Kerajaan khususnya Menteri Dalam Negeri untuk membebaskan baki tahanan ISA.

Beliau berkata, pihak menteri tidak pernah memberi alasan yang kukuh mengapa penahanan ini diteruskan meskipun jumlah tahanan ISA sudah terlalu sedikit.

“Penahanan ini bukan sahaja meneruskan kezaliman ISA bahkan memperlihatkan seolah-olah Menteri sengaja ingin menunjukkan kuasa yang dimilikinya dengan menangguh-nangguhkan pembebasan,” katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya Suaram ingin menyuarakan tuntutan berikut kepada Menteri Dalam Negeri:
Pertama, Menteri Dalam Negeri perlu memohon maaf kepada Keluarga tahanan ISA di atas harapan palsu yang diberikan.

Kedua, Menteri Dalam Negeri perlu membebaskan dengan segera kesemua baki tahanan ISA tanpa syarat.

Ketiga, Menteri Dalam Negeri perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua dakwaan salah laku Polis terhadap tahanan sepanjang mereka ditahan di bawah ISA dan mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Firaun moden ulangan sejarah Firaun zaman Nabi Musa

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, 17 Ogs 2013
Tindakan ganas oleh regim pemimpin diktator General Abdel Fatah el-Sisi di Mesir dilakukan dengan nada sunyi yang memekakkan dari Amerika dan Israel lahir daripada kebimbangan mereka terhadap kebangkitan Gerakan Islam di Mesir dan kemunculan semula sistem khilafah yang telah berjaya dihapuskan pada tahun 1923 di Turki.

Ketakutan mereka ini mengingatkan kita kepada tindakan ganas dan kejam di era pemerintahan Firaun. Oleh sebab takut dan yakin akan munculnya seorang anak lelaki yang bakal menjatuhkan kerajaan mereka, lalu Firaun telah bertindak ganas terhadap mana-mana anak lelaki yang lahir dan terus mereka dibunuh.

Namun pembunuhan tersebut gagal menghalang lahir dan kemunculan Nabi Musa sehingga akhirnya Firaun dijatuhkan. Kini di dalam era moden ini, ketakutan itu muncul kembali.

Kalau Firaun dahulu hanya membunuh kanak- kanak lelaki, kini semua peringkat umur dibunuh kerana semua pihak menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat bagi mempertahankan pemimpin yang dipilih.

Nyata firaun moden lebih zalim dari firaun di era Nabi Musa. Firaun el-Sisi langsung tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku. Halangan dan tindakan ganas akan pasti gagal seperti usaha menahan kemunculan 'Nabi Musa' di zaman dulu.

Tindakan ganas Firaun moden menghalang kemarahan rakyat dan kebencian akan diterjemahkan dengan kerelaan mereka untuk terus berjuang sehingga pimpinan pilihan rakyat Dr Mohamad Mursi kembali semula ke tampuk pemerintahan.

Kemunculan Nabi Musa telah mengubah landskap politik di sekitar Mesir, Jordan, Syria (Wilayah Syam). Kegilaan Firaun moden ini dijangka akan menyebabkan berlakunya satu perubahan besar senario politik Timur Tengah. Kebangkitan semula Islam inilah yang sangat ditakuti oleh rejim Firaun moden kini khususnya ketakutan oleh Amerika dan Israel.

Senyum

Harga minyak naik akibat krisis Mesir

Abdul Aziz Mustafa, 19 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Harga minyak naik sedikit dalam dagangan di Asia akibat kebimbangan akan menularnya krisis di Mesir ke negara-negara Timur Tengah lain sehingga menyebabkan bekalan disekat.

Dagangan di West Texas Intermediate di New York naik AS$0.04 (13 sen) menjadikan harganya AS$107.50 untuk penghantaran September dalam dagangan pertengahan pagi.

Dagangan minyak mentah di Brent North Sea untuk penghantaran Oktober juga naik AS$0.04 menjadikan harganya AS$110.44.

"Harga minyak terus dipengaruhi oleh situasi di Mesir dengan kebimbangan ia boleh merebak ke tempat-tempat lain di Timur Tengah," AFP memetik Desmond Chua, penganalisis pasaran di CMC Markets di Singapura.

"Masih terdapat kebimbangan terhadap bekalan yang melalui Terusan Suez dan saluran minyak Sumed," katanya.

Krisis berdarah di Mesir telah pun mengorbankan sehingga 800 orang dalam masa lima hari, menurut angka rasmi, di mana semalam sahaja 36 orang tahanan dilaporkan terbunuh di dalam apa yang didakwa oleh kerajaan yang merampas kuasa sebagai percubaan untuk melarikan diri dari penjara.

Kerajaan yang merampas kuasa semakin meningkatkan tekanan dan keganasan ke atas penyokong-penyokong presiden yang digulingkan, Mohamed Morsi.

Pertumpahan darah di Mesir itu menyebabkan kecaman meluas di peringkat antarabangsa, di mana diplomat-diplomat kanan Kesatuan Eropah (EU) memutuskan untuk mengadakan pertemuan tergempar untuk membincangkan keadaan yang berlaku dan rancangan EU seterusnya.

Walaupun Mesir bukan pengeluar utama minyak, para pedagang bimbang kejadian yang semakin meruncing di negara itu akan menjejaskan laluan bekalan minyak di Terusan Suez dan saluran minyak Sumed, yang menjadi penghubung antara Eropah dan pengeluar-pengeluar minyak di negara-negara Teluk.

Terusan Suez menjadi laluan kepada kapal-kapal yang membawa kira-kira 2.5 juta tong minyak sehari, iaitu 2.7 peratus dari bekalan sedunia.

Para pelabur pula mengambil sikap berhati-hati menjelang penyiaran minit mesyuarat bulan Julai Federal Open Market Committee di bawah bank negara Amerika Syarikat yang melibatkan penetapan polisi di mana ia juga memberi pengaruh yang ketara kepada pasaran.

Raba'ah, Ramsis jadi medan berdarah

Harakahdaily, 19 Ogs 2013
(Samseng bersenjata, dan polis mengepung Masjid Al-Fath, Ramsis)

MESIR: Selepas berjaya "membersihkan" Medan Raba'ah, yang menyaksikan ribuan rakyat Mesir terkorban digempur tentera Rabu, 14 Ogos lalu, pihak tentera terus memburu rakyat yang berkumpul dan berlindung di Medan Ramsis.

Pada Jumaat lalu, Medan Ramsis menjadi pusat himpunan "Jumaat Kemaraan" oleh penyokong legitimasi bagi membantah pembunuhan beramai-ramai rakan mereka oleh tentera di Medan Raba'ah sebelum ini.

Himpunan itu bagaimanapun juga turut berdepan serangan peluru hidup pihak keselamatan Mesir yang kononnya atas alasan mahu "menyuraikan himpunan" yang mengakibatkan ratusan penyokong Morsi terkorban dan ribuan lagi cedera.

Masjid Al Fath, yang menjadi tempat berlindung dan tempat pengumpulan jenazah yang terkorban juga di kepung dan diserang oleh samseng upahan dan pihak polis.

(Kepulan asap gas pemedih mata yang ditembak ke dalam masjid Al-Fath)

Mereka memaksa penyokong Morsi termasuk wanita dan kanak-kanak yang berlindung didalamnya keluar, dengan melepaskan gas pemedih mata ke dalam masjid.

Tidak cukup dengan itu, penyokong Morsi yang bertindak keluar dari masjid itu akibat kelemasan asap gas pemedih mata, dupukul pula oleh pihak samseng upahan serta polis sebelum ditahan.

Pasukan tentera dan polis menempatkan penembak tepat di atas bangunan-bagunan termasuk di menara masjid bagi memudahkan "operasi pembunuhan" tersebut.

Pihak Hospital Lapangan Ramsis menyebut, lebih 150 korban dicatatkan dan ratusan lagi cedera akibat serangan terbaru di Ramsis itu.

Cucu Hassan Al-Banna antara terkorban

Dalam pada itu, serangan di Ramsis itu menyaksikan cucu kepada Imam Hassan Al-Banna (pengasas Ikhwanul Muslimin), Khaled Al Banna, 30, terkorban.

Turut menjadi mangsa kekejaman tentera termasuk Ammar Muhammad Badie' iaitu anak lelaki kepada Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Dr Muhammad Badie'.

Kedua-dua mereka terkorban selepas terkena tembakan peluru hidup.

Selain mereka, turut menjadi mangsa korban adalah penyanyi terkenal Mesir Mohamed Bayomi dan ahli gusti Abdul Rahman Al Tarabilee (gambar).

Operasi tangkapan

Sementara itu, pasukan tentera dan polis mesir kini menjalankan operasi tangkapan besar-besaran terhadap pemimpin Ikhwan Muslimin dan parti Islam lain.

Dilaporkan ribuan telah ditahan oleh tentera atas tuduhan kononnya mencetuskan keganasan dan memiliki bom dan senjata api.

Tindakan kerajaan sementara itu juga dipercayai bertujuan melemahkan Ikhwan Muslimin di mana mereka kini sedang berusaha untuk mengharamkan gerakan Islam itu.

Banteras pencerobohan bot pukat tunda – CAP

Harakahdaily, 19 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Perikanan mengambil tindakan segera membanteras  pencerobohan bot pukat tunda di kawasan tangkapan nelayan pantai di perairan barat Selangor ketika ini.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, kegiatan tersebut bukan saja menjejaskan sumber pendapatan 300 nelayan pantai di sekitar Sungai Haji Dorani dan Sungai Burong di sini tetapi juga turut memusnahkan alat tangkapan mereka.

Mengulas laporan akhbar tempatan mengenai kejadian itu, ujarnya CAP kesal walaupun masalah itu berlarutan sejak tiga tahun yang lalu namun hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil sehingga pendapatan nelayan terbabit merosot hampir 70% setiap kali turun ke laut.

“CAP meminta pihak berkenaan menguatkuasakan Akta Perikanan 1985 dengan tegas supaya kegiatan pencerobohan tersebut dapat dikawal dengan berkesan,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, CAP mencadangkan supaya nelayan-nelayan pantai yang mengalami kerugian akibat kerosakan jaring kerana dilanggar oleh bot pukat tunda diberi pampasan atau bantuan bagi meringankan beban hidup mereka.

Katanya lagi, CAP percaya jika masalah itu dibiarkan bukan sahaja kehidupan nelayan pantai yang terlibat akan terancam dengan lebih serius lagi pada masa depan malah sumber perikanan di kawasan pantai juga akan mengalami kepupusan.

Menurutnya, sebuah bot pukat tunda memerangkap dan membunuh lebih 60% anak ikan (benih) yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan.

“Keadaan ini amat membimbangkan CAP jika penggunaan alat tangkapan moden itu terus disalahgunakan dan tidak mengikut peraturan-peraturan yang termaktub di bawah undang-undang yang ada,” ujarnya.

Katanya, demi masa depan sektor perikanan negara dan bekalan makanan yang mencukupi untuk rakyat di sini, CAP menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan pukat tunda dengan segera.

Tambah beliau, tinjauan CAP mendapati lebih kurang 50,000 nelayan pantai di seluruh negara terjejas kehidupan mereka akibat kegiatan pencerobohan bot pukat tunda yang gagal dikawal dengan berkesan serta pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang yang lemah.

Sekarang, jelas beliau lebih kurang 150 spesies hidupan laut telah dan sedang diancam kepupusan.

“CAP menjangkakan 20 tahun akan datang perairan Malaysia akan ketandusan sumber perikanan jika keadaan ini gagal ditangani dan penggunaan pukat tunda tidak diharamkan,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan