Selasa, 20 Ogos 2013

HUKUM ALLAH ...PUN LANGGAR...INI KAN PULA JANJI

Mana janji kerajaan mahu kaji semula AES - Kase

Hazayani Zakaria, 20 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Keputusan Mesyuarat Ekonomi mengekalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membuktikan kerajaan tidak bersedia mengurangkan beban rakyat.

Penasihat Undang-undang Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff berkata, keputusan tersebut seperti yang diduga dan cadangan kerajaan untuk mengkaji semula penguatkuasaan AES hanyalah janji manis.

"Sebelum raya Kementerian Pengangkutan bagi janji manis untuk kaji semula AES. Kase nyatakan tidak mengharap apa-apa yang baik daripada pengumuman.

"Selepas raya kementerian umumkan AES kekal. Kita dah agak dah. Tiada apa yang boleh diharapkan daripada Kerajaan sedia ada untuk kebaikan rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Perkara tersebut diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam setelah mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk orang ramai.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan mendedahkan, sebanyak 1,079 kamera AES akan dipasang seluruh negara.

Lokasinya akan ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Kerajaan mengutip RM20 juta daripada 673,339 saman yang dikeluarkan sehingga 11 Jun 2013.

CCRIS tambah beban peminjam PTPTN - Persada

Anis Nazri, 20 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Lagi tindakan kerajaan menyenaraikan peminjam PTPTN yang ingkar ke bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) dikecam.

Kali ini, kecaman itu disuarakan Persatuan Anak Kelantan Darul Naim Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) melalui kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Setiausahanya, Razali Mat Ali berkata pengumuman terbaru kerajaan itu sudah semestinya memberi kesan yang besar kepada sebilangan besar peminjam PTPTN.

"Bagi kami amat tidak wajar kerajaan bertindak sedemikian seolah-olah cuba mendera rakyat dan menambahkan bebanan yang sedia ada.

“Sepatutnya kerajaan memikirkan satu langkah yang bijak selain dari tindakan kejam ini bagi menggalakkan peminjam melunaskan pinjaman mereka," tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi pendirian persatuan itu agar kerajaan bertindak memansuhkan hutang pinjaman PTPTN dan menukarkan kepada biasiswa dan menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.

Katanya, rakyat tidak harus dibebankan dengan tanggungan yang sepatutnya menjadi tanggungjawab kerajaan yang memerintah.

Dalam satu kenyataan semalam, PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar bermula bulan ini.

Tindakan tersebut turut dipersetujui Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh yang berkata CCRIS langkah terbaik untuk mereka yang gagal membayar PTPTN.

PTPTN: Jangan ugut anak muda dengan CCFRIS

Harakahdaily, 20 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: PKR menentang sekeras-kerasnya tindakan PTPTN yang akan menyenaraikan peminjamnya di dalam CCRIS (Central Credit Reference Information System atau Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat) yang diuruskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

“Tindakan yang tidak mempedulikan kebajikan rakyat ini mempunyai kesan besar kepada rakyat terutamanya anak muda,” tegas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, apabila maklumat pembayaran dan pinjaman PTPTN disenaraikan di dalam CCRIS, ia membolehkan institusi kewangan menambah rekod peminjaman PTPTN sebagai kriteria baru menilai kedudukan kredit kewangan seseorang.

Secara langsung, jelasnya tindakan ini akan digunakan oleh institusi kewangan untuk menafikan kemudahan pinjaman (perumahan, kenderaan dan peribadi) kepada peminjam PTPTN yang didaftarkan oleh PTPTN di dalam CCRIS.

Ini, ujarnya bermakna peminjam PTPTN seolah-olah jatuh ditimpa tangga, sudahlah dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan gaji yang rendah, mereka kini diugut oleh PTPTN untuk dinafikan hak memiliki rumah, kereta dan lain-lain.

“Ugutan PTPTN menyekat kemudahan pinjaman institusi kewangan ini bukanlah kali pertama PTPTN menggunakan cara kasar untuk menekan peminjam,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini pun, kata Rafizi PTPTN telah menyenaraihitamkan peminjam PTPTN dalam senarai imigresen hingga menyukarkan mereka ke luar negara.

Ugutan itu, katanya yang juga Ahli parlimen Pandan tidak pun berjaya memperbaiki kedudukan kutipan hutang PTPTN, maka ugutan terbaru menyenaraikan peminjam dalam CCRIS juga diyakini tidak akan berkesan.

“Oleh yang demikian, saya memberi amaran kepada Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak meneruskan niat untuk mengugut dan menghukum anak muda peminjam PTPTN dengan menyenaraikan mereka di dalam CCRIS.

“PKR akan menggerakkan kempen di seluruh negara untuk menentang hasrat ini sehinggalah ia dibatalkan oleh Barisan Nasional,” ujarnya.

Tentera fitnah Ikhwan lakukan keganasan

Abd Shukur Harun, 20 Ogs 2013
Pihak tentera Mesir sedang memikirkan untuk mengharamkan Ikhwan Muslimin. Hal ini dibayangkan oleh Perdana Menteri kerajaan sementara tentera,  Hazem el-Beblawi. Tetapi ramai yang percaya, Ikhwan tidak mungkin dapat dihapuskan.

Mereka percaya, jika Ikhwan diharamkan disegi undang-undang, gerakan Islam yang sudah berusia lebih 80 tahun itu akan bergerak ‘di bawah tanah’ dalam erti ia akan bergerak terus secara rahsia, seperti yang dilakukannya di zaman Presiden Gemal Abd Naseer dan Anwar Sadat.

Gerakan Islam Ikhwan yang diasaskan oleh Hassan al-Banna pada tahun 1928 itu bertujuan untuk menyebarikan dakwah Islam dan ketinggian moral, namun tujuan utamanya ialah melahirkan sistem politik Islam berasaskan syariat.

Pada tahun 1952, Ikhwan mulanya menyokong rampasan kuasa oleh General Gemal Abdel Nasser tetapi kemudiannya hubungan Abdel Nasser dengan Ikhwan telah putus, malah ramai pemimpin Ikhwan telah dibunuh dan dipenjarakan, kerana Nasser bimbang akan kekuatan Ikhwan.

Hal ini  menyebabkan Ikhwan bergerak secara rahsia, namun pengaruhnya semakin kuat dan disayangi rakyat kerana banyaknya khidmat masyarakat yang dilakukan oleh anggota Ikhwan kepada rakyat.

Ikhwan terus polular hinggalah ia menyertai pilihan raya parlimen pada 2012 atas nama Parti Kebebasan dan Keadilan dan bergabung dengan golongan koservatif, Salafi dan An-Nur dan menang 70 peratus kerusi parlimem. Dr Muhd Mursi dari Ikhwan dilantik sebagai Presiden secara demokratik melalui pilihan raya tersebut.

Tetapi krisis berlaku yakni Salafi dan An-Nur keluar dari gabungan itu dan ketika rampasan kuasa tentera berlaku sebulan yang lalu yang menggulingkan Dr Muhd Mursi, Salafi dan An-Nur menyokong tentera. Bagaimanapun Salafi dan An-Nur menarik balik sokongan kepada tentera kerana menentang tindakan tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penyokong Dr Mursi serta membakar dua masjid di Medan Raba’a Adawiyah dan di Medan Ramses. Dalam masa yang sama kerajaan sementara tentera sedang berusaha untuk membebaskan diktator Hosni Mubarak.

Krisis di Mesir ini mencetuskan banyak persoalan dan mendedahkan kelemahan dan kekeliruan pemimpin negara umat Islam, lebih-lebih lagi bagi negara Arab yang dipayungi Liga Arab, pimpinan Abu Mousa.

Pertama, mengapa negara OIC membisu seperti dalam kekeliruan dan ketakutan untuk mencegah pembunuhan beramai-ramai di Mesir itu. Juga suara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu kedengaran begitu lemah sekali. Setiausaha Agungnya, Ban Ki-moon hanya mengutuk dan mendesak tentera Mesir menghentikan pembunuhan beramai-ramai itu. Tidak ada sebarang arahan darinya supaya diadakan Sidang Majlis Keselamatan untuk membincangkan krisis Mesir ini seperti yang dituntut oleh Turki.

Demikian juga Kesatuan Negara Berkecuali yang tidak mengambil sebarang langkah, kecuali suara daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono yang mengecam tindakan tentera Mesir dan seterusnya menuntut supaya pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Mesir itu dihentikan segera. Hanya Kesatuan Negara Afrika yang bertindak menggantungakn keahlian Mesir, sementara Negara Kesatuan Eropah mendesak supaya dipulihkan segera demokrasi di Mesir dan menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai.

Pihak tentera Mesir kini mengalihkan perhatian dunia kononnya Ikhwan Muslimin yang melakukan kekerasan dan bertindak ganas menentang institusi kerajaan, seperti tentera dan polis iaitu media TV dan akhbar yang dikawalnya menyebarluaskan tuduhan ini. Bagaimanapun masyarakat dunia tidak percaya dengan propaganda tentera Mesir itu.

Siapakah yang membakar dan memusnahkan dua masjid, membunuh lebih 800 orang dan mencederakan ribuan rakyat?  Dunia tidak percaya anggota Ikhwan yang tidak bersenjata boleh melakukan kerja jahat itu.

Dunia percaya tentera dan polis Mesir yang melakukan pembunuhan beramai-ramai dan terbaru membunuh lebih 30 orang yang ditahan dalam trak tentera dengan melepaskan gas pemedih mata menyebabkan mereka lemas dan mati. Demikian juga sekian ramai yang mati dalam penjara kerana diseksa.

Kini pihak tentera yang digelar oleh ramai sebagai ‘Firaun Moden’ memutarbelitkan fakta supaya dunia mengutuk Ikhwan dengan menyebarkan fitnah konon kekejaman yang dilakukannya, namun dunia menolak pembohongan ini, walaupun beberapa pemimpin negara Arab yang kaya mempercayainya.

Pada zaman dulu, Firaun mengerahkan lebih 350,000 rakyat Mesir supaya untuk mengangkut batu-batan dari Empangan Aswan untuk membina Piramid dan akhirnya begitu ramai yang mati kerana diseksa, lapar dan dahaga semasa membawanya. Hingga kini, Piramid itu menjadi kemegahan pihak berkuasa Mesir dan menjadi tarikan pelancong ke negara itu.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berkunjung ke Mesir, dalam perjalanan dari lapangan terbang menuju ke bandar Kaherah, anda akan terbaca di pintu gerbangnya tulisan timbul yang berbunyi ‘Welcome To The Land of Farouh’ – Selamat Datang ke Bumi Firaun’.

Kini ‘Firaun Moden’ membunuh rakyatnya dengan menembak beramai-ramai di samping membakar masjid dan mencederakan serta memenjarakan ribuan rakyat.

Menurut laporan, General Abd Fatah As-Sisi yang merampas kuasa sangat memuji Gemal Abd Naseer dan mahu disetarafkan dengan Naseer yang juga amat kejam terjadap Ikhwan. Oleh itu, As-Sisi dipercayai tidak mudah menghentikan tindakannya.

Akibat krisis berat di Mesir ini, ekonomi negara itu hampir lumpuh. Pelancong tidak datang, stok simpanan gandum hanya tinggal beberapa hari saja lagi, aktiviti di Pelabuhan Iskandariah hampir lumpuh dan pasaran sahamnya menjunam. Yang memberi nafas kepada Mesir sekarang hanyalah bantuan dari negara Arab yang kaya yang amat takut dengan Ikhwan serta bantuan kelengkapan tentera oleh Amerika.

Tidak ada siapa yang boleh meramalkan masa depan Mesir, tetapi yang pasti tentera Mesir akan terus bermaharajalela. Justeru tentera beranggapan, pihaknyalah yang memegang kuasa selama-lamanya di Mesir. Namun kuasa Allahlah yang menentukan.

Mesir dan cabaran perubahan

Mohammad Faizal Che Yusof, 20 Ogs 2013
Perangkaan ini menjadi buah bualan kepada mereka yang kritis terhadap calon Ikhwan Muslimin Dr Muhammad Morsi dalam siri penggulingan oleh rejim tentera. Kadar pengangguran di Mesir telah mencatat pengningkatan dari 9 peratus pada 2012 kepada 13 peratus pada 2013. Pada bulan Jun tahun ini Kadar inflasi mencecah 9.75 peratus. Perbelanjaan nasional merekodkan defisit sehingga 25 Bilion USD. Semuanya dijadikan propaganda liar yang dicanang untuk menjustifikasikan secara rasional penggulingan Presiden Morsi kononya beliau gagal memulihkan ekonomi Mesir yang sememangnya tenat.

Mudah untuk menghukum saja calong Ikhwan Muslimin yang menang bertanding ini tanpa menoleh jauh ke belakang apa yang dialami oleh Mesir sejak dahulu. Di sebalik tohmahan kepada Dr. Morsi tersebut, apa kata seorang tokoh India sewaktu Dr. Morsi dan rombongannya melawat India?

Professor Gulshan Dietl, seorang felo kanan di Indian Council of Social Science Research (ICSSR) menyatakan betapa siknifikan lawatan tersebut bagi kepentingan bersama Mesir-India selaku rakan yang akan saling mengukuhkan antara satu sama lain dalam pertubuhan Afro-Asian Solidarity, dan Gerakan Negara Berkecuali, Non-Aligned Movement.

Dalam kunjungan tersebut, dalam satu majlis utama di Delhi, Morsi yang juga diiringi oleh menteri komunikasi, teknologi maklumat, perniagaan, perdagangan dan pelaburan, telah menyeru para pedagang dan pelabur India untuk melabur dan menanam modal di Mesir. Sebagai sebuah kuasa pelopor teknologi maklumat, India yang mempunyai lembah silikon terawal telah juga dipelawa khusus oleh Morsi bagi membantu Mesir menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan teknologi maklumat di Universiti Al-Azhar.

Dapat kita bayangkan dengan objektif-objektif di atas, kejayaan yang bakal diraih tentunya menjadikan Mesir sebuah kuasa perdagangan dan ilmu yang tidak mudah digugat di benua Afrika. Apatah lagi kedudukan geografi Mesir di tengah-tengah benua Eropah, Afrika dan Asia tentunya memberi tamparan hebat kepada kuasa barat jika apa yang difikirkan oleh Morsi Berjaya dilaksanakan.

Di sebalik propaganda liar yang dilemparkan terhadap Morsi, keadaan ekonomi yang begitu mencabar dan wawasan jauh Morsi, tidak sukar untuk rakyat dan penyokong Ikhwan Muslimin berada kukuh di belakang Morsi meskipun harganya ialah nyawa mereka sendiri. Penyelewengan yang berdekad lamanya di Mesir dan usaha pemulihan yang ingin dibawa oleh Morsi cukup difahami oleh kebanyakan rakyat di Mesir.

Nyatanya apa yang ingin diusahakan oleh Morsi dan Ikhwan Muslimin adalah suatu pembaharuan meskipun jalannya terlalu sukar. Apakah perubahan yang diusahakan itulah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak? Dalam suatu laporan bertajuk “Bawa pulang penuntut di Mesir jika keadaan tambah buruk”, Datuk Seri Najib mengulangi kenyatannya betapa tidak perlunya perubahan kepada tampuk pemerintahan asal ada cabaran mendepani perubahan tersebut.

Sebagai sebuah Negara anggota OIC yang dilihat mampu meneraju Negara-negara Islam, Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib sewajarnyalah memahami aspirasi rakyat dan penyokong kepada Presiden Morsi yang dipilih secara demokratik pertama kalinya di Mesir tersebut. Kekacauan yang berlaku di Mesir tidak sama sekali boleh dijustifikasikan penghalang kepada perubahan bila ada usaha yang sama dilakukan di Malaysia.

Jika di Mesir usaha perubahan akhirnya berhadapan dengan peluru dan kematian, di Malaysia usaha-usaha perubahan mudah saja dinafikan melalui sistem pilihan raya dan perundangan yang ada.

Di Malaysia cukup penafian perubahan dilakukan hanya dengan pilihan rayanya dijalankan oleh sebuah badan yang cukup dilihat membela parti pemerintah dan bersikap berani kepada parti-parti pembangkang. Seterusnya ia disokong oleh keputusan-keputusan mahkamah pilihan raya yang hanya menolak sesuatu aduan dengan alasan-alasan teknikal tanpa memberi ruang kepada perbicaraan dan penilaian merit.

Hakikat ini seharusnya telah cukup mematangkan para pendokong dan penyokong Parti Islam Semalaysia, PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Apapila kita meyakini bahawa apa yang kita perjuangkan adalah suatu perubahan ke arah yang lebih baik, ia telah cukup untuk kita fokus tanpa member ruang kepada pebalahan remeh antara satu sama lain dan terkadang terpukau dengan gendang yang dipalu oleh mereka yang tidak menyokong.

Sebagai sebuah parti politik, kita telah mempunyai kelompok rakyat yang cukup besar sebagai penguat untuk menampilkan wajah perubahan yang ingin kita tawarkan. Apatah lagi PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyatnya telah diberi peluang lagi menerajui kerajaan-kerajaan di peringkat negeri.

Aspirasi perubahan dan cabaran yang berlaku di Mesir perlu diterjemah dengan bahasa yang tersendiri, sesuai dengan budaya dan norma setempat. Tidak perlu kita tunggu datangnya gendang pilihan raya. Apatah lagi sebagai pendokong Islam, al-Quran dan Sunnah telah tersedia lama untuk diterjemahkan kepada perlaksanaan. – 13 Syawal 1434H.

Apa hal dermasiswa zakat Maidam ditukar ‘pinjaman’

Khairul Azlam Mohamad, 20 Ogs 2013
KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu buat hal lagi apabila didakwa bertindak menghentikan pemberian Dermasiswa Zakat para pelajar yang mendapat pembiayaannya.

Harakahdaily dimaklumkan, hampir 50 orang pelajar cemerlang ke Timur Tengah yang sebelum ini menerima tawaran itu dihentikan secara tiba-tiba serta ditukar kepada ‘pinjaman’.

Tawaran pinjaman tersebut dibuat oleh pihak Yayasan Terengganu (YT) melalui Tawaran Pinjaman Pelajaran Sultan Ismail Nasiruddin Shah Terengganu.

Justeru itu, ibu bapa dan penjaga pelajar berkenaan melahirkan rasa kecewa, dukacita serta terkilan dengan keputusan Maidam tersebut.

Seorang bapa pelajar yang enggan disebut namanya menyifatkan tindakan Maidam menghentikan Dermasiswa Zakat kepada para pelajar berkenaan tidak wajar sekaligus membebankan ibu bapa.

Ini kerana, katanya proses mendapatkan dermasiswa tersebut melalui temuduga serta kaji selidik berdasarkan polisi yang diterima pakai pihak Maidam sebelum ini.

“Saya rasa ini cukup membebankan ibu bapa dan pelajar yang sebelum ini menerima Dermasiswa Zakat dari Maidam. Sebab, kami bukan orang kaya atau terlalu senang untuk membiayai anak belajar.

“Kebanyakan pelajar pula sebelum ini pernah menerima tawaran dari pinjaman Mara dan JPA tetapi ditolak kerana ingin berkhidmat di Terengganu selepas tamat pengajian,” jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, pembatalan dermasiswa Maidam tersebut berlaku pada 23 Julai lalu melalui surat pembatalan serta surat tawaran pinjaman YT.

Difahamkan, ibu bapa para pelajar terbabit telah bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Datuk Mohd Rozali Salleh bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, tindakan Maidam itu seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab kebajikan kepada rakyat Terengganu serta membantu pelajar di Timur Tengah.

Sehubungan itu, PAS Terengganu turut kesal serta kecewa dengan langkah terbaru Maidam itu yang seolah-olah berlepas tangan untuk tidak memberikan bantuan zakat lagi kepada sesetengah pelajar di negeri ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Satiful Bahri Mamat (gambar) berkata sedangkan sebelum ini polisi Maidam adalah membantu pengajian pelajar sebagai alternatif bagi pelajar yang tidak mendapat apa-apa sumber kewangan.

“Pelajar secara khususnya yang belajar pengajian Islam berhak menerima zakat sebagai seorang ‘penuntut ilmu agama fi sabilillah’, bermusafir keluar negara bahkan dikecualikan berperang ‘sabilillah’ ke atas mereka,” ujarnya.

Beliau memetik dalil dari al-Quran yang menegaskan perkara tersebut dengan maksudnya, “Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan (ilmu) mereka tentang agama dan dan memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya”. (Surah at-Taubah: 122)

Bahkan katanya, dalam soal pemberian zakat kepada golongan pelajar, ulamak terkemuka dunia, Dr Yusuf Al-Qaradhawi dengan jelas menyokong keperluan zakat kepada mereka.

Katanya, ulama tersohor itu menyebut bahawa, “pelajar yang menghambakan dirinya dengan belajar, dibenarkan baginya menerima zakat. Sekiranya dia tidak mempunyai masa untuk menghimpunkan di antara mencari harta dan menuntut ilmu, maka ia diberikan zakat mengikut kadar yang dapat membantunya menyempurnakan keperluan hajatnya. Termasuknya adalah kesibukannya menulis ilmu yang perlu untuk perkembangan dunia dan agama”.

“Ini (zakat) merupakan hak pelajar itu sendiri dan bukannya hak ibu bapa mereka. Apatah lagi pihak Maidam sudah membuat pilihan (memilih) pelajar tersebut dan amalan ini telah dilaksanakan sekian lama,” tegasnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paka mendesak agar pihak Maidam bersikap bebas dan bertindak telus serta kembali kepada polisi lama yang lebih memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhan.

Tambahnya lagi, dengan bantuan zakat juga dapat membantu segelintir para pelajar  merasai nikmat hasil zakat yang banyak daripada yang dibayar oleh) rakyat Terengganu.


Tindakan yang diambil oleh Kerajaan BN negeri terutama selepas PRU13 lalu ternyata berbeza dengan apa yang pernah dilaksanakan oleh kerajaan negeri pimpinan PAS.

Sewaktu PAS memerintah negeri pada 1999-2004 lalu, pihak kerajaan negeri mencari para pelajar pengajian Islam di Timur Tengah untuk diberikan bantuan zakat kepada mereka yang tidak mendapat tajaan atau pinjaman daripada mana-mana pihak tanpa mengira status ibu bapa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan