Isnin, 19 Ogos 2013

AKHLAK ITU PENTING...RASULLULLAH SAW DITURUNKAN UNTUK MEMPERBAIKI AKHLAK MANUSIA

Adakah Nazri Aziz mula jadi beban kepada Umno?

Harakahdaily, 18 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Najib Razak yang terpaksa mengubah pendirian dan menjadi flip-flop berhubung keputusan Nazri Aziz melantik anaknya itu, walaupun mengundang persepsi yang berbagai mengenai kefahaman Perdana Menteri sendiri berhubung pelantikan ahli keluarga oleh seseorang menteri, tetapi secara nyata menunjukkan bahawa apa yang dilakukan Nazri itu adalah salah.

Cumanya, bagi penulis Shahbudin Husin, mungkin atas sebab-sebab tertentu dan hubungan peribadi yang agak lama, Najib segan memberitahu secara terus-terang agar Nazri mengeluarkan anaknya daripada kementerian itu.

Menurutnya, dengan meletakkan anaknya duduk di kementerian, walaupun gajinya dibayar oleh bapanya sendiri tetapi sudah tentu pelbagai kemudahan kerajaan akan turut digunakannya.

“Lagi pula meletakkan anak dan ahli keluarga sendiri di di kementerian di mana bapanya menjadi menteri, turut juga mengundang persepsi yang tidak baik kepada rakyat dan kakitangan kementerian itu sendiri,” tulis beliau di dalam blognya semalam.

Namun, baginya Nazri nampaknya, baik sebelum pilihanraya, apatah lagi selepas pilihanraya ini apabila dipindahkan ke kementerian yang penuh warna-warni, sikapnya semakin jauh daripada amalan pemimpin yang diharapkan oleh rakyat.

Tambahnya, tidak hairanlah bukan saja parti lawan yang mengkritiknya, bahkan kritikan daripada dalam Umno sendiri ternampak semakin melebar.

Baca di sini

Mesir: PAS Melaka batal jamuan hari raya

Ahmad Danial, 18 Ogs 2013
MELAKA: PAS Melaka membatalkan majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri tahun ini bagi menghormati nasib yang dihadapi umat Islam dan rakyat Mesir yang dizalimi oleh rejim tentera.

Pesuruhjayanya, Adly Zahari (gambar) berkata, PAS Melaka menghormati penderitaan umat Islam Mesir yang terus dizalimi oleh rejim kerajaan zalim.

Katanya, PAS Melaka mengambil sikap menggantikan jamuan Aidilfitri kepada dana rakyat Mesir yang dizalimi.

“Bagi PAS kawasan dan cawangan yang sudah bersedia mengadakan sambutan Aidilfitri, disarankan mengadakan secara sederhana di samping mewujudkan dana bantuan untuk rakyat Mesir," ujar beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Adly membuat kenyataan tersebut di dalam facebook beliau.

Katanya, keputusan yang dibuat oleh beliau telah mendapat sokongan penuh dari semua kepimpinan PAS negeri dan kawasan-kawasan.

Timbalan Pesuruhjaya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Tangga Batu, Ustaz Mohd Nor Omar berkata keputusan itu sangat dipersetujui demi membuktikan solidariti bersama saudara-saudara kita di Mesir.

“Sangat setuju, rasa bersalah kita makan-makan, Ikhwan kena makan,” ujar beliau ringkas

Antara pimpinan PAS kawasan yang menyatakan persetujuan dengan keputusan itu ialah Yang Dipertua PAS Kota Melaka, Harun Mohamad dan Yang Dipertua PAS Bukit Katil, Mohd Sofi Abdul Wahab.

Sementara itu Bendahari PAS Melaka, Husni Ali berkata semua sumbangan boleh disalurkan melalui akaun bank PAS Melaka yang boleh diperolehi di dalam blog PAS negeri iaitu http://pasmelaka.blogspot.com.

Majlis sambutan Aidilfitri PAS Negeri Melaka sepatutnya diadakan pada 24 Ogos ini di Bukit Katil, segala persiapan awal telah diadakan sejak minggu lepas.

‘Kejayaan’ 100 hari BN, jenayah meningkat

Muhammad Faizal, 18 Ogs 2013
KUALA LUMPUR: Seratus hari pentadbiran Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu menyaksikan peningkatan kadar jenayah yang amat membimbangkan terutamanya melibatkan senjata api.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain meningkatnya kadar jenayah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga gagal memenui kehendak rakyat apabila rakyat terus terbeban dengan kenaikan harga barang.

"Saya melihat sepanjang seratus hari pendatbiran BN, Najib gagal melakukan satu tranformasi baru kepada kebajikan rakyat terutamanya dalam soal kehidupan harian mereka.

"Apa yang kita lihat rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang dan turut berada dalam ketakutan serta tidak selamat apabila jenayah melibatkan senjata api kian meningkat," jelasnya kepada Harakahdaily ketika dihubungi.

Malah menurut beliau lagi, seratus hari pentadbiran Najib tidak ada satu pembaharuan dilakukan selain daripada menyelamatkan kroni demi kepentingan peribadi.

Jelasnya, Najib cuba menyelamatkan kedudukan beliau pada pemilihan Umno nanti dengan memasukkan individu yang kalah pada PRU13 serta yang tidak layak di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Seratus hari tumpuan hanya diberikan pada pemilihan Umno, Najib yang ingin menyelamatkan kedudukan beliau mencari sokongan dengan memasukkan individu yang kalah dan tiada kelayakan di dalam GLC.

"Dengan ini beliau merasakan istilah mengenang jasa dapat menyelamatkan beliau, seratus hari sepatutnya ditumpukan kepada permasalah rakyat tidak ditekankan," sambung beliau.

Beliau menambah walaupun Najib merasakan seratus hari masih terlalu awal, tetapi rakyat tetap mahu melihat apa yang akan perolehi sepanjang tempoh tersebut.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, rakyat juga mahu melihat adakah kehidupan mereka masih di takuk lama atau terus diabaikan kebajikan selain terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan.

Firaun moden ulangan sejarah Firaun zaman Nabi Musa

Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, 17 Ogs 2013
Tindakan ganas oleh regim pemimpin diktator General Abdel Fatah el-Sisi di Mesir dilakukan dengan nada sunyi yang memekakkan dari Amerika dan Israel lahir daripada kebimbangan mereka terhadap kebangkitan Gerakan Islam di Mesir dan kemunculan semula sistem khilafah yang telah berjaya dihapuskan pada tahun 1923 di Turki.

Ketakutan mereka ini mengingatkan kita kepada tindakan ganas dan kejam di era pemerintahan Firaun. Oleh sebab takut dan yakin akan munculnya seorang anak lelaki yang bakal menjatuhkan kerajaan mereka, lalu Firaun telah bertindak ganas terhadap mana-mana anak lelaki yang lahir dan terus mereka dibunuh.

Namun pembunuhan tersebut gagal menghalang lahir dan kemunculan Nabi Musa sehingga akhirnya Firaun dijatuhkan. Kini di dalam era moden ini, ketakutan itu muncul kembali.

Kalau Firaun dahulu hanya membunuh kanak- kanak lelaki, kini semua peringkat umur dibunuh kerana semua pihak menjadi penyumbang kepada kesedaran rakyat bagi mempertahankan pemimpin yang dipilih.

Nyata firaun moden lebih zalim dari firaun di era Nabi Musa. Firaun el-Sisi langsung tidak mengambil pengajaran dari apa yang telah berlaku. Halangan dan tindakan ganas akan pasti gagal seperti usaha menahan kemunculan 'Nabi Musa' di zaman dulu.

Tindakan ganas Firaun moden menghalang kemarahan rakyat dan kebencian akan diterjemahkan dengan kerelaan mereka untuk terus berjuang sehingga pimpinan pilihan rakyat Dr Mohamad Mursi kembali semula ke tampuk pemerintahan.

Kemunculan Nabi Musa telah mengubah landskap politik di sekitar Mesir, Jordan, Syria (Wilayah Syam). Kegilaan Firaun moden ini dijangka akan menyebabkan berlakunya satu perubahan besar senario politik Timur Tengah. Kebangkitan semula Islam inilah yang sangat ditakuti oleh rejim Firaun moden kini khususnya ketakutan oleh Amerika dan Israel.

Senyum

Bertindaklah tapi bukan roboh surau!

Subky Latif, 15 Ogs 2013
Semua pihak yang berkenaan – polis, Jabatan Agama Islam Johor, istana dan lain-lain – telah mengambil langkah sewajarnya bagi menjernihkan kejadian menjolok mata di resort Sedili Besar, Kota Tinggi.

Memang menggemparkan surau yang disediakan untuk pekerja dan pelanggan Islam dari jauh dan dekat beribadat, telah dimanfaatkan oleh pelancong Buddha menyembah dan memuja tuhannya.

Ia kejadian yang tidak wajar berlaku, tetapi kejadian itu adalah satu perkara bagi mengkritik kecuaian umat Islam umum dan khusus yang tinggal berdekatan dengan resort itu. Semua bumi Allah ini tempat yang suci bagi didirikan rumah ibadat sesuai dengan keadaan sekitar. Ia wajar dimakmurkan. Apabila orang Islam tidak memakmurkannya, maka diisi oleh suatu yang lain.

Sama seperti rumah atau bangunan yang tidak dihuni, ia akan  diisi oleh jin. Justeru jangan biarkan rumah kosong lama. Kalau jin tidak masuk di zaman ini, si rempit dadah akan bertenggek di situ.

Kiranya pekerja-pekerja resort dan jiran-jiran yang berdekatan selalu solat di surau itu, nescaya tiadalah orang lain mencemar bangunan suci.

Kejadian itu satu kritikan kepada kesibukan orang Islam mengisi pembangunan meterial, maka tempat ibadat yang disediakan telah terabai.

Pernah saya terbaca satu kisah pada zaman salah Nabi Daud AS atau Nabi Sulaiman AS. Justeru kesibukan dengan urusan pemerintahan dan isteri yang ramai, maka seorang isterinya telah mengadakan berhala sesuai dengan kawasan bilik kediamannya. Tidak wajar kediaman Nabi ada penyembahan menyengutukan Allah.

Kejadian ini adalah satu kritik bagi menyedarkan Nabi itu kejadian seperti itu boleh berlaku jika terdapat kecuaian sekalipun kecil. Kejadian ini bagi mengingatkan Nabi tadi supaya sentiasa berwaspada. Kejadian di Sedili Besar itu adalah ingatan kepada sekalian umat Islam khususnya penguasa umat Islam supaya sentiasa waspada terhadap semua urusan orang Islam.

Syukur kejadian di resort itu telah menyedarkan umat Islam supaya jangan mensia-siakan nikmat surau yang didirikan. Isi ia dengan ibadat sekalipun oleh seorang setiap waktu atau setiap  hari. Jika ada orang memanfaatkannya, maka tidaklah ia dimanfaatkan oleh kegiatan agama lain.

Apa tindakan yang akan disambil terserah kepada pihak berwajib di situ, tetapi saya tidak setuju cadangan merobohkan surau itu atas sebab ia tidak didaftarkan atau kerana ia telah dicemar oleh  kegiatan bukan Islam.

Surau itu tidak ada apa-apa kesalahan. Jika gereja Aya (Saint) Sofia di Konstantinopel ditukar menjadi masjid apabila kota itu menjadi Istambul, dan banyak gereja di England dibeli bagi dijadikan masjid, maka mengapa surau sekalipun pernah dicemar mesti dihukum roboh.

Isi ia dengan kegiatan Islam. Jangan cerewet kerana ia tiada sijil izin kadhi maka ia dikira haram lalu boleh diroboh. Isu kiblat tidak tepat bukan hujah surau diroboh atau tidak boleh buat surau. Pihak berkuasa tempat  yang memberi izin pembinaan resort, hotel atau homestay wajar mengingatkan pemaju mendapat panduan arah kiblat yang tepat.

Resort kini bukan sekadar tempat makan angin atau penginapan bagi pengembara, tetapi ia menjadi tempat seminar dan mesyuarat. Maka pelanggan memerlu dewan solat dan lain-lain kegiatan. Jangan lihat pembinaan surau agak besar sebagai usaha menundakan masjid mukim. Perlu dimaklumkan bukan tempat solat Jumaat.

Adapun bagi pengunjung berkumpulan bagi agama selain Islam yang menginap di resort perlukan ruang kegiatan agamanya, resort boleh fikirkan satu tempat lain tetapi bukan mengisi surau yang tidak gunakan oleh umat Islam. Lainlah kalau umat Islam selluruhnya sudah tidak mahukan agamanya lagi.

Nahdah dan Raba'ah, Rebah Berdarah

A Gafar Mahdi , 16 Ogs 2013
Nahdah dan Raba'ah,
Terhampar di kota Kairo
dua dataran perjuangan
medan berhimpun para mujahidin
pemuda dan wanita
bocah kecil, juga ibu-ibu dan para bapa
pencinta kebenaran
penegak keadilan
penyeru kebangkitan
pemburu kemenangan
perindu kesyahidan.
Mereka,
menunggu dan tetap menunggu
menanti dan terus menanti
sedari mula kudeta tentera
yang merampas posisi Morsi
mengangkat Assisi
meruntuhkan suara demokrasi

Ikrar mereka laungkan,
"Hidup mulia atau syahid menuju syurga!"

Nahdah dan Raba'ah,
Sudah sepekan Syawal dirai di sini
Namun, suka seketika beralih duka derita
Kekejaman merasuk segenap kota perjuangan ini
Kezaliman meranapkan medan kebangkitan ini
Tanpa rasa kasihan belas insani
Siapa sahaja menjadi mangsa
Ditembak, dibunuh dan dibakar
Masjid dan rumah sakit juga
musnah hancur berderai menjadi puing-puing
menebarkan abu, menimbunkan batu
Lalu, warna-warna panjinya berubah:
Merahnya darah
Putihnya kafan
Hitamnya arang.
Apakah ini harga sebuah keadilan dan kebebasan
yang dikhianati sendiri oleh penyembah tuhan demokrasi?

Nahdah dan Raba'ah,
Di sini rebahnya ribuan syuhada
Darah yang mengalir menjanjikan syurga
Sungguh!
Walau rebah, takkan goyah
Perjuangan suci tidak akan terhenti
Tidak akan pernah mengalah
Syahadah demi menegakkan syari'ah Allah
menenggelam kesesatan syiah dan golongan kuffar
membenamkan parah liberal dan barah sekular
moga tiada tersisa lagi, walau seinci.

A Gafar Mahdi
Aktivis PEMBINA
16 Ogos 2013 | 12.00 am
Balingian, Sarawak

Politik Kedah dan buku Pak Lah

Ahmad Lutfi Othman, 17 Ogs 2013
Cuti Aidilfitri lalu, saya tidak sempat beraya lebih lama di kampung halaman - Kg Raja, Tunjang, Kubang Pasu. Hanya dua hari satu malam. Agak kalut menyusun jadual. Apa pun, terubat juga kerinduan walaupun dua tiga temujanji dengan rakan-rakan lama terpaksa ditangguhkan.

Ia kunjungan pertama saya -- balik kampung -- selepas PRU13, yang menyaksikan Kedah dirampas semula BN. Sebelumnya, sehari sebelum mengundi, saya ditemani isteri meninjau rambang situasi politik sekitar Alor Setar, Kuala Kedah, Jitra dan Jerlun, dalam keadaan bimbang Kedah terlepas kepada BN. Peliknya, teman-teman dalam PAS yang "berhempas-pulas" di lapangan tidak langsung berkongsi kerisauan itu. Mereka kelihatan yakin Pakatan Rakyat mampu bertahan.

Semasa menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor, di Alor Setar, 19 Jun lalu, saya gagal untuk mencuri peluang singgah di desa kelahiran. Polemik punca kekalahan Pakatan menerajui Jelapang Padi buat penggal kedua hanya riuh di meja makan semasa seminar berhenti rehat. Pandangan lebih menjurus kepada kelemahan diri.

Saya sebenarnya lebih teruja untuk menyelami getaran rasa penyokong akar umbi berbanding analisis kepemimpinan parti. Sama-sama merasai kepedihan apabila kemenangan gagal dipertahankan. Dan tekaan saya tidak jauh tersasar; aktivis di peringkat bawah lebih senang untuk mengkoreksi diri dan bermuhasabah, tanpa menafikan sistem dan proses pilihan raya berjalan penuh ketempangan.

"Tidak mudah untuk kita bangkit semula selepas kalah ketika berkuasa," kata seorang daripadanya sambil mengharapkan bedah-siasat terperinci dilakukan secara jujur. "Kelantan memerlukan 12 tahun, itu pun hasil Angkatan Perpaduan Ummah dan Terengganu hampir 40 tahun melalui Barisan Alternatif," tambahnya. Dua tiga orang yang lain cuba meyakinkan saya bahawa kekalahan di Kedah banyak berpunca daripada masalah dalaman, termasuk perebutan menjadi calon.

Saya menyanggah dengan meminta sokongan fakta atas dakwaan mereka itu. "Kami tak mahu berdebat, tapi tengoklah sendiri apa perubahan di Kedah. Semangat ahli-ahli juga jatuh merosot, pada petang hari mengundi pos-pos kita lengang sedangkan markas BN penuh," jelas seorang jiran yang ternyata kecewa apabila masyarakat Melayu tidak dapat "dijinakkan" selama lima tahun PAS menerajui kuasa.

"Dulu hang sendiri tulis, di Kedah, PAS kalah bukan kerana pengundi Melayu tak sokong tetapi disebabkan orang bukan Melayu tetap setia dengan BN. Peratusan Cina dan India agak besar berbanding negeri-negeri Melayu, Kelantan dan Terengganu. Tapi, sekarang bila masyarakat Cina habis-habisan menyokong Pakatan, kenapa kita boleh kalah? Mengapa orang Melayu beralih undi?" sambungnya, mengharapkan jawapan.

Mulanya mahu saja berhujah terus tetapi saya memilih untuk mendengar dan mengamati keluhan mereka. Bukankah kita seringkali mengambil mudah rungutan dan suara hati mereka? Saya agak terpukul bila salah seorang mencelah: "Takkan takda langsung kelemahan dan kesalahan kita? Dulu kita minta mandat lima tahun dan pengundi sudahpun menunaikannya. Jadi, tentu ada sebab mengapa sekarang kepercayaan itu ditarik balik?"

"Betul Lutfi, pengundi terpengaruh dengan janji-janji BN, terutama untuk menaikkan kadar bayaran BR1M hingga RM1,2000, dan lain-lain bantuan," sambut rakannya yang lebih muda, "tetapi kita pun pegang kerajaan juga, sudah tentu ada kemudahan untuk lebih mendekati rakyat, turun bersama mereka, tapi bagaimana pula dengan prestasi wakil-wakil rakyat kita? Ataupun, apakah rakyat Kedah jahil tentang apa yang kita buat selama ini, jadi di mana salahnya jentera penerangan kita?"

Dan sembang-sembang malam raya ketiga itu berlarutan melewati dinihari. Semua setakat menyuarakan keresahan, meluahkan impian, tetapi tidaklah sampai menyerah kalah. Tetap optimis bahawa kemenangan boleh saja berulang asalkan segala kelemahan diperbaiki dan sistem pilihan raya yang penuh tipu daya ini segera dipulihkan.

"Macamana dengan desakan Pengerusi SPR dan timbalannya letak jawatan? Dah senyap tak berbunyi? Lagi satu, aku dengar dari jauh, masa depan Pakatan Rakyat seperti ada masalah aja?" Saya agak tersentak dengan soalan provokasi itu. Tapi rasa mengantuk amat sangat menyebabkan saya tidak terdaya untuk membalasnya. Ya, tidak semestinya setiap soalan dijawab segera, 'kan?

II.

Saya belum membaca buku Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia. Gagal mencarinya di toko-toko buku. Seperti orang lain, saya tertarik dengan promosi percumanya. Bagus juga. Sekurang-kurangnya masyarakat menyedari kehadiran buku yang dikendalikan dua penganalisis politik berwibawa, Dr Bridget Welsh dan Prof James Chin.

Jika tidak dikritik secara terbuka dalam media Umno, mungkin koleksi esei 620 halaman itu  sukar mendapat tempat di hati pembaca, apatah lagi di musim perayaan ini. Daya penariknya dikatakan merujuk wawancara bersama bekas Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, terutama berkaitan jawapannya terhadap perselisihan dengan Dr Mahathir Mohamad.

Semasa giat menjelajah seluruh tanah air untuk "membelasah" Abdullah, saya sempat mengikuti empat ucapan Mahathir, termasuk di Alor Setar dan Kota Bharu. Tentulah bidasan terbuka Mahathir itu memberikan banyak ilham kepada saya tetapi -- seperti gaya lazim Mahathir -- kandungan ucapannya, terutama menyerang Khairy Jamaluddin, boleh dikira keterlaluan, emosional dan boleh dipertikai rasionalitinya.

Abdullah memilih untuk tidak menjawab. Mungkin disebabkan personalitinya yang tidak gemar berdepan kontroversi, apatah keupayaannya untuk bertembung langsung dengan Dr Mahathir agak terbatas. Saya yakin jika Abdullah juga pendebat yang baik, seperti Anwar Ibrahim misalnya, banyak argumen Dr Mahathir mudah untuk diremehkan begitu saja. Ataupun Abdullah yang masak dengan perangai Dr Mahathir tidak bersedia membazir waktu untuk melayan karenah bekas bosnya yang hanya mahu memaksa pandangan beliau kepada orang lain.

Sikap Mahathir terhadap Abdullah berubah hanya kerana pewaris takhtanya itu cuba menjarakkan diri (proses de-Mahathirisation), selain menangguhkan projek meganya dan kelihatan mempunyai caranya tersendiri untuk mentadbir negara. Abdullah bukan lagi budak yang boleh disuruh-suruh Mahathir dan ini begitu mengejutkannya.

Keterbukaan Abdullah tidak boleh dinafikan walaupun dalam masa sama ia dilihat sebagai sisi lemahnya. Kekerapan Harakah sendiri, yang dipancung penerbitannya oleh Dr Mahathir, daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan selepas Pilihan Raya Umum 1999, telah dikembalikan oleh Abdullah pada pertengahan 2008. Ya, ketika BN mendapat tamparan paling hebat dalam PRU12.

Dalam buku Wacana Baru Politik Malaysia (2012), Muhammad Takiyuddin Ismail dan Dr Ahmad Fauzi Abd Hamid dalam esei Umno dan Konservatisme mencatatkan: "Selain dari personalitinya yang tidak seagresif Mahathir dan gemar menggunakan pendekatan lunak, beliau (Abdullah) berikrar untuk bersikap lebih mendengar, membawa tenaga-tenaga muda sebagai penasihatnya, melakukan liberalisasi ekonomi, melakukan pertautan dengan masyarakat sivil dan golongan proreformasi, melancarkan agenda integriti dan pembanterasan rasuah, membuka lebih banyak ruang kebebasan dan memperbaiki tadbir urus demokratik."

Beberapa perubahan yang ingin diusahakan Abdullah, seperti mengurangkan projek mega menerima rasa tidak senang daripada elit ekonomi dan juga perwakilan dalam Umno. Pembebasan Anwar juga menerima reaksi negatif daripada Umno sendiri. Reformasi institusi terpenting iaitu Suruhanjaya Bebas dan Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak dapat dilaksanakan ekoran tentangan pasukan polis dan Umno.

Dua badan lain yang ditubuhkan -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Perlantikan Kehakiman (JAC) terpaksa dilaksanakan dalam versi yang dilembutkan berikutan tentangan Umno. Permohonan terhadap badan kehakiman (ekoran kes pemecatan Tun Salleh Abas dan Hakim Mahkamah Agung, 1988) juga ditolak oleh kabinet.

Namun begitu, Abdullah juga terperangkap dengan putaran ganas politik wang, rasuah dan kronisme. Beliau turut tenggelam dengan penyakit yang menimpa elit penguasa walaupun ada usaha untuk melakukan pembaharuan.

Dalam Umno, Abdullah dilihat bukan seorang strategis yang taktikal-licik dan kesalahan terbesarnya ialah membubarkan Parlimen sewaktu terlalu banyak isu kritikal yang mencengkam rakyat belum diselesaikan. Lagi pula Umno merasakan mereka lebih memerlukan pemimpin yang mempunyai watak keras, seperti Mahathir, bukannya bersikap lunak dan terbuka kepada pembangkang.

Kita menunggu episod seterusnya, terutama reaksi Dr Mahathir terhadap Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia dan bagaimana pula respons Najib Razak yang dianggap budak suruhannya. Selama ini faktor Abdullah bagai sudah dilupakan; mampukah kontroversi buku ini menimbulkan gelombang baru dalam Umno atau pun riak kecil di permukaan akan mudah hilang?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan