Khamis, 25 Julai 2013

SELANGOR BERI BONUS

Petisyen: PKR kekal di Batu, BN di Titiwangsa

Harakahdaily, 24 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Mahkamah Pilihan Raya Kuala Lumpur membatalkan petisyen BN bagi Parlimen Batu yang difailkan oleh Setiausaha Agung Pemuda Gerakan, Dominic Lau.

Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof juga memutuskan petisyen itu cacat dan Naib Presiden PKR, Tian Chua telah dipilih dengan sewajarnya dalam pilihan raya umum pada 5 Mei lalu.

Dominic dalam petisyennya menamakan Tian atau nama sebenarnya – Chua Tian Chang, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Batu, Mustafa Mohd Nor dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Menerusi petisyen tersebut, Dominic dilapor mendakwa Tian tidak berkelayakan untuk bertanding kerana Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara, atas kesalahan mencederakan anggota polis pada 2007.

Beliau juga dilapor mendakwa, selaras dengan Perkara 48 1(e) dan 48(5) Perlembagaan Persekutuan, sabitan jenayah dan denda tidak kurang daripada RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian telah tidak melayakkan beliau untuk bertanding dan dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh, yang mewakili Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), tidak memohon untuk kos terhadap BN.

Sementara itu, mahkamah juga dijangka membuat keputusan berhubung petisyen bagi kerusi Parlimen Lembah Pantai yang dimenangi Naib Presiden PKR Nurul Izzah pada PRU13 lalu.

Petisyen tersebut sebelum ini difailkan seorang pengundi Mohamad Sazali Kamilan, 40, untuk memohon pengisytiharan PRU 13 di kawasan itu sebagai tidak sah.

Mohamad Sazali menamakan Nurul Izzah, Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya Parlimen Lembah Pantai, Rolan Abd Rahman dan SPR sebagai responden pertama hingga ketiga.

Mohamad Sazali dilapor mendakwa pada 4 Mei lalu (sehari sebelum pengundian), Nurul Izzah telah mengganggu pengundi kawasan itu supaya tidak mengundi calon BN, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin dengan memberi kenyataan palsu di laman web Malaysiakini.

Dalam satu lagi kes petisyen bagi kerusi Titiwangsa, Hakim Zabariah pagi tadi memutuskan bahawa kerusi parlimen itu kekal di tangan BN selepas beliau membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh BN.

Berikutan itu, peguam kanan persekutuan itu memohon untuk kos sebanyak RM50,000 daripada calon PAS, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami.

Kuala Besut: Akhirnya rakyat menang

Hambali Akram,
PRK Kuala Besut merupakan yang pertama selepas PRU13. Kita tidak tahu akan ada lagikah PRK lain sehingga PRU14 nanti. Sememangnya keputusan PRK ini dinantikan dengan penuh debar oleh kedua-dua belah pihak kerana bakal menentukan nasib kerajaan Terengganu selepas ini.

Walau bagaimanapun dari sudut yang lain, keputusan PRK Kuala Besut, sama ada PAS mahupun BN yang menang, hakikatnya rakyatlah yang menang. Rakyat menang kerana kedua-dua belah pihak akan melakukan apa-apa sahaja untuk memenangi hati pengundi. Lebih-lebih bagi pihak yang memegang kuasa seperti BN.

Hal ini kerana, setiap kali berlangsungnya PRK, pihak kerajaan yang diterajui BN akan menabur pelbagai tawaran pembangunan, di samping imbuhan segera sama ada wang ringgit, geran, rumah dan sebagainya. Tidak hairanlah, jumlah bantuan segera yang ditawarkan lebih RM300 juta.

Inilah untungnya ada persaingan. Diandaikan kawasan ini 100 peratus bakal dimenangi BN, maka tidaklah mereka beria-ia menawarkan itu dan ini. Apabila adanya persaingan, maka setiap pihak tidak ada pilihan dan terpaksa memberikan tawaran yang terbaik.

Namun, dari sudut positif, jika rakyat dapat berfikir selangkah ke depan, bahawa inilah peluang terbaik untuk mereka meminta apa-apa sahaja yang difikirkan layak untuk dipohon.

Dari sudut lain, saya juga berharap suatu hari nanti, rakyat Malaysia akan celik politik dan benar-benar memahami hak mereka sebagai rakyat yang membayar cukai. Jika ini berlaku, mana-mana parti yang menerajui kerajaan, sudah tentu tidak akan hanya menabur janji dan menunjuk muka hanya pada musim pilihan raya dan PRK.

Dalam suasana kematangan politik yang separuh masak seperti Malaysaian hari ini, ada kalangan rakyat yang berharap berlaku PRK di kawasan mereka. Melaluinya, mereka bakal memperoleh pelbagai durian runtuh dan segala keluhan bakal diberi perhatian.

Wujudkan suasana kondusif di sekolah

Harakahdaily , 24 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta pihak pentadbiran SK Seri Pristana tidak mengulangi kesilapan apabila menjadikan bilik persalinan perempuan sekolah itu sebagai kantin.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, meskipun Kementerian Pendidikan telah mengarahkan kantin sekolah yang ditutup kerana proses pengubahsaian dibuka semula, namun implikasi daripada tindakan sekolah menggunakan bilik persalinan amat besar terutama kepada ibu bapa.

"Bagi DPPM tindakan pihak sekolah terbabit dianggap sebagai tindakan tidak bijak meskipun mereka beralasan keadaan kantin sedia ada tidak cukup menampung pelajar yang bertambah di sekolah itu serta keadaan kantin yang sedang dalam proses pengubahsuaian.

"Sepatutnya pihak sekolah mengkaji dahulu kesesuaian bilik persalinan dijadikan sebagai kantin sebelum keputusan dibuat. Banyak alternatif lain boleh digunakan bagi memastikan keselesaan pelajar dan ibu bapa," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Riduan, umum mengetahui bahawa kawasan tandas atau bilik persalinan adalah kawasan sulit dan dianggap sebagai tempat yang jijik dan kotor.

Beliau mempersoal bagaimana pelajar boleh makan dalam keadaan selesa jika kantin tersebut berada di dalam tandas atau bilik persalinan.

"Soal bersih atau kotor bilik persalinan itu bukan suatu isu kerana masyarakat yang mengetahui isu ini pasti memandang ketidak wajaran tindakan sekolah berbuat demikian," katanya.

Lebih dari itu, isu ini ujarnya menimbulkan persepsi yang negatif terutama bagi golongan bukan Islam yang menganggap pihak sekolah menganaktirikan anak-anak mereka yang makan dan minum di bulan Ramadan dengan menyediakan kemudahan kantin hanya di bilik persalinan.

Justeru katanya, pihak sekolah perlu memperbaiki kesilapan ini dengan mewujudkan suasana yang kondusif, selesa, selamat dan bersih kepada semua pelajar di sekolah berkenaan.

Iklan tidak sopan dalam papan iklan elektronik

SM Mohamed Idris,
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak segera untuk menarik balik iklan yang dipaparkan oleh sebuah kelab malam di papan iklan elektronik yang terletak di Jalan Burma, Pulau Pinang.

Iklan di papan iklan elektronik itu memaparkan gambar wanita berpakaian yang mendedahkan tubuh mereka. Kandungan iklan itu termasuklah pengumuman persembahan oleh sebuah kumpulan muzik dan gambar ‘Hot Girls’. Pemaparan kepada awam wanita berpakaian yang  mendedahkan tubuh telah menjatuhkan martabat mereka dan gambaran stereotaip wanita.

Lebih buruk lagi kelab malam itu terletak di Lebuh Union yang merupakan sebahagian daripada tapak warisan dunia.

Iklan ini juga telah mencabuli Garis Panduan Penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang menyatakan:
1)    Iklan bagi barangan atau perkhidmatan yang mungkin memudaratkan kepada ketenteraman awam, keselamatan, moral, mengejutkan pendapat awam, bertentangan kepada mana-mana undang-undang, menjejaskan kepentingan awam dan kepentingan negara adalah tidak dibenarkan;
2)    Iklan mengandungi sensitiviti agama, menjatuhkan maruah budaya atau cara hidup oleh perbezaan kaum dan mengancam nilai dan norma masyarakat Malaysia;
3)    Bagi gambar yang tidak berniat untuk mengiklankan pakaian dalam, hanya gambar di samping kolam dan pantai dibenarkan selagi gambar itu tidak mengghairahkan.

Menurut Garis Panduan bagi Papan Iklan Luar, iklan itu gagal untuk mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan:
1)    Kandungan yang memaparkan gambar wanita atau lelaki berpakaian dalam atau menunjukkan aksi tidak sopan adalah tidak dibenarkan;
2)    Temanya mestilah sesuai dengan kandungan iklan dengan perkara yang ingin diiklankan. Kandungan yang mengeksploitasikan tubuh dan muka seseorang terutama sekali wanita dan tidak mempunyai kaitan dengan perkara yang ingin diiklankan adalah tidak dibenarkan. Begitu juga dengan elemen eksploitasi terhadap lelaki, kanak-kanak dan mereka yang kurang upaya juga tidak dibenarkan.

Kami menggesa pihak berkuasa yang berkenaan supaya mengambil tindakan segera dengan menarik balik iklan yang telah melanggar garis panduan itu. CAP juga menggesa Kerajaan supaya menggubal peraturan yang lebih lengkap bagi mengawal industri pengiklanan dan menguatkuasakannya.


Presiden CAP

Himpunan kutuk rampasan kuasa Mesir 26 Julai

Harakahdaily, 24 Jul 2013


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) akan menganjurkan Himpunan Solidariti Ummat bersama Rakyat Mesir mengutuk rampasan kuasa terhadap Presiden Dr Mohammad Morsi 26 Julai ini.

“Himpunan ini dianjurkan bersama antara DPPM, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mahasiswa,” ujar Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Himpunan itu, katanya akan diadakan pada hari Jumaat, 26 Julai 2013 bersamaan 17 Ramadhan 1434, selepas solat Jumaat bermula dari Masjid Tabung Haji, Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan akan berarak ke Kedutaan Amerika Syarikat yang terletak di lokasi berhampiran.

Kenyatan beliau seterusnya.

Himpunan Solidariti ini akan dipimpin oleh Ustaz Nasrudin Hassan – Ketua DPPM, Ustaz Nik Mohamad Abduh  (timbalan), Dr Raja Ahamd Al Hiss (naib) dan lain-lain lagi. Selain mereka, turut akan hadir adalah pemimpin-pemimpin tertinggi NGO.

Himpunan ini bertujuan menyatakan sokongan terhadap Presiden Mesir yang sah Dr Mohammad Morsi  yang digulingkan secara kudeta oleh tentera negara tersebut.

Ia juga bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan biadap tenter Mesir melakukan rampasan kuasa dengan bertindak kasar terhadap penunjuk perasaan.

Dilaporkan beratus umat Islam menemui syahid akibat ditembak dengan peluru hidup oleh rejim tentera Mesir ketika mereka mengadakan bantahan.

Sesungguhnya mesej jelas yang ingin disampaikan adalah umat Islam di Malaysia bahkan rakyat seluruhnya menolak tindakan biadap anti demokrasi yang dijalankan oleh rejim tentera Mesir.

Kerajaan kudeta Mesir mesti berdamai dan berundur dengan segera dengan kepemimpinan negara tersebut dipulangkan kembali ke pangkuan Presiden Dr Mohammad Morsi yang sah dipilih oleh rakyat melalui proses pilihanraya di negara itu.

Rakyat Malaysia  juga menolak campurtangan secara langsung atau tidak langsung dari kerajaan Ameriksa Syarikat, Israel, Arab Saudi dan lain-lain negara dalam konflik di Mesir. Sebarang campurtangan akan mengeruhkan keadaan dan boleh menyebabkan krisis ini menjadi semakin parah.

Himpunan Solidariti sejuta ummah ini diadakan bersempena dengan semarak Ramadhan, ketika umat Islam menyambut hari Nuzul Qur’an pada 17 Ramadhan, mengenang kembali peristiwa penurunan Al-Qur’an.

Ia menjadi simbolik pemangkin semangat umat Islam berkorban dan berjihad bagi mengembalikan izzah umat Islam yang tercalar.

Umat Islam menangisi kesyahidan sejumlah aktivis dan pemimpin ikhwan yang terkorban dalam aksi luar kemanusiaan yang dilakukan oleh junta tentera Mesir.

DPPM mengharapkan seluruh umat Islam yang prihatin akan turun hadir berhimpun bagi menyatakan sokongan dan bantahan ini dan dijangkakan jutaan umat Islam seluruh dunia akan turut berhimpun bagi melaungkan slogan dan kalimah yang sama.

Hanya Allah yang membantu dan memenangkan umat Islam.


7 PENYAKIT HATI :
1-Suka dipuji = SUM'AH.
2-Suka berbangga diri = TAKBUR
3-Suka pandang rendah kpd org lain = SOMBONG.
4- Suka puji seseorang di hadapan tetapi kutuk di belakang = MUNAFIQ.
5- Suka menunjuk-nunjuk = BERLAGAK.
6- Suka sakit hati terhadap nikmat org lain = BUSUK HATI / DENGKI.
7- Suka berfikiran negatif terhadap org lain = BURUK SANGKA.

(Ustaz Mohd Izhar Ariff)

S'gor umum bonus sebulan gaji untuk k'tangan awam
2:31PM Jul 24 2013
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan pemberian bonus sebulan gaji untuk kakitangan awam di Selangor.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, keputusan itu dipersetuju oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini.

"Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk pemberian bonus kepada 21,776 kakitangan tetap, kontrak dan sambilan yang akan diberikan selewat-lewatnya pada hujung bulan ini," katanya.

Abdul Khalid berkata, sekiranya kerajaan pusat mengumumkan pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada kakitangan awam, maka kerajaan Selangor akan menambah lagi setengah bulan gaji kepada kakitangan awam di negeri ini.

"Saya berharap bonus ini dapat meringankan tanggungan warga kerja kerajaan negeri bagi menghadapi persiapan Hari Raya.

"Kita berharap kakitangan awam berbelanja dengan berhemah dan memperuntukkan sebahagian bonus ini untuk simpanan untuk kegunaan pada masa depan," tegas menteri besar.

PM umum bantuan RM500 kepada penjawat awam
Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 sebagai persiapan hari raya kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka.

Katanya pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 31 Julai ini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan itu masing-masing membabitkan peruntukan kewangan RM670 juta dan RM165 juta, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Di samping bayaran bantuan khas itu, penjawat awam menikmati dua Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) pada tahun ini, katanya.

"Pertama, kenaikan gaji tahunan biasa dan kedua adalah pemberian faedah pemindahan gaji yang diawalkan bersamaan dengan amaun 1KGT mengikut gred gaji masing-masing yang akan diterima esok, sebagaimana yang diumumkan oleh saya dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-13," katanya.

Najib berkata langkah itu berikutan kajian penambahbaikan skim perkhidmatan dan pembetulan struktur gaji yang akan diselesaikan pada Disember ini dalam Sistem Saraan Transformatif.

Katanya, pembayaran KGT ini melibatkan peruntukan kewangan RM1.3 bilion bagi 1.4 juta penjawat awam bagi tempoh enam bulan atau RM3.9 bilion untuk setahun.

"Faedah ini akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan. Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini," katanya.

Najib berkata kerajaan memperuntukkan RM4.7 bilion bagi pembayaran KGT dan Bayaran Bantuan Khas Kerajaan bagi penjawat awam dan pesara bagi membantu meringankan beban kewangan bagi persiapan hari raya. - Bernama

Warga Kuala Besut, nantikan limpahan pembangunan

Dr Azman Ibrahim, 24 Jul 2013


Pertama sekali tahniah kepada warga Kuala Besut atas pilihan anda semua. Nyata dan jelas sekali BN masih di hati pengundi Kuala Besut.
Pada PRK Kuala Besut hari ini, calon PAS, Endot @ Azlan Yusof yang mesra dengan panggilan Che Long mendapat 5,696 undi sementara calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman memperoleh 8,288 undi.
Walaupun rata-rata pengundi yang sempat saya temui sepanjang tempoh kempen mengakui ketinggian budi, keluhuran peribadi calon PAS, tetapi… saya nukilkan beberapa dialog yang dilalui sendiri sepanjang 12 hari kempen PRK Kuala Besut dengan masyarakat setempat.

“Mok cik ni jak zaman ritu lagi pakoh dacing, lagu mano pun mok cik dok leh tukar, hok awe royat tu comey blako doh, tapi nak wat guano, mok cik dok leh pakoh hok lain dari dacing..”

“Calon Pas ni kito kenal, ore baik, jjuruh, suko tolong ore. Tapi gak ambo dok tukar dengan dacing walau mari malaikat pun…”

“kawe ni ore susah, mmikir setakat nak makan anok beranok loo jah! Sapo hok buleh wi pitih, hok tu kawe undi..”

“Mintak maaf laa awe weehh… anok-anok ambo sekoloh ramai lagi, kan keno tarik bantuan, dok berasap laa dapur ambo…”

Apa yang cuba saya nukilkan di atas adalah sedikit gambaran cara berfikir warga Kuala Besut. Ternyata slogan ‘16:16 Terengganu Baru’ sedikit pun tak berbekas di hati pengundi yang digambarkan hasilnya dengan peningkatan majoriti kemenangan BN.

Ternyata orang Kuala Besut bukanlah idealis dan boleh dipengaruhi dengan isu-isu walaupun apa yang kita bawa adalah isu setempat yang mampu dipandang dan ‘dikelih’ oleh mata kasar.

Mereka lebih memikirkan survival hidup hari ini, esok dan seterusnya… ‘nok wat make loo’ ikut istilah orang Besut. Mungkinkah idea-idea yang  kita sepanjang kempen bawa tak mampu dihadam dengan baik oleh mereka?

Seorang teman seperjuangan menitipkan mesej, “bersabarlah wahai para pejuang. Kita bukan berlawan dengan Umno/BN, tetapi kita berhadapan dengan gerombolan kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri dengan segala macam machinery, money and media. ‘Habih tea’ ikut istilah orang Besut.

Saya mengakui kebenaran kata-kata sahabat ini. Apakah kemenangan dengan cara ini bermaruah? Aaah! Persetankan istilah maruah dan integriti. Dengan wang dan kuasa, segalanya mungkin.

Nyata dengan janji pembangunan yang tak pernah dilihat oleh mata, orang Kuala Besut akan memahat sejarah mencipta tamadun! Muara Sungai Besut akan bertukar menjadi gerbang pelancongan antarabangsa dengan peruntukan RM250 juta.

Empangan baru Pengkalan Nangka RM35 juta. Sekolah Menengah Alor Peroi, rumah pangsa mampu milik Tok Saboh serta pelbagai lagi projek pembangunan.

Diharap selepas ini Lebuhraya Pantai Timur akan disambungkan terus ke Kuala Besut. Peruntukan hampir RM400 juta untuk sebuah Dun sekecil Kuala Besut dengan hanya lebih 17 ribu pengundi adalah suatu limpahan yang hebat.

Tahniah sekali lagi warga Kuala Besut. Diharap tempiasnya akan mengalir sedikit sebanyak ke Jabi dan tentunya warga Pasir Puteh yang bersepadan juga berminat untuk tumpang sekaki.

Seorang teman di Besut sempat melahirkan ‘kebimbangannya’ “Lagu tu punyo janji, ambo bimbe kawasan lain pun turut buat semayang hajat, mintok tok wokil dia mati awal…” saya hanya mampu tersenyum. Selamat menempuh baki 15 hari lagi dari bulan Ramadhan al Mubarak.

BN pertahan kerusi Dun Kuala Besut
BN pertahan kerusi Dun Kuala Besut
Terpancar wajah ceria Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman selepas keputusan Pilihan Raya Kecil Besut diumumkan. - Foto Sinar Harian oleh KHIRU SHALEH ABDULLAH
BESUT - [Dikemaskini] Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut yang berlangsung di sembilan pusat mengundi dimenangi oleh calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan 2, 592 undi.
Beliau mengalahkan calon Pas, Azlan@Endut Yusof, seorang ahli perniagaan dan calon tempatan yang dikenali ramai sebagai Che Long.

Pengarah Pilihan Raya, A Rahim Jusoh mengumumkan kemenangan calon BN itu kira-kira jam 10 malam di Dewan Majlis Daerah Besut, di sini.

"Tengku Zaihan telah memperolehi 8, 288 dan Che Long 5, 696," katanya.

Sebelum ini calon BN, Dr A Rahman Mokhtar memenangi kerusi itu dengan majoriti 2, 434 undi mengalahkan calon Pas, Napisah Ismail pada PRU13.

Dalam pada itu, Pengarah PRK Dun Kuala Besut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan, Datuk Ahmad Maslan, ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Timbalan Pengarah PRK, Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dan ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim turut hadir ke pusat pengiraan undi jam 9.58 malam.

Bagaimanapun calon Pas, Che Long tidak kelihatan pada sesi itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan