Rabu, 31 Julai 2013

SAMAN JANGAN TAK SAMAN...DAKWAAN ALLAH DIAKHIRAT KEPADA PENJAHAT2 DIDUNIA SATU ZARAH PUN TAK LEPAS....MEREKA AKAN RASA HUKUMAN ALLAH DIAKHIRAT SESUAI KEJAHATAN YANG MEREKA BUAT JAHAT DIDUNIA...SEKARANG SAPE PADAN MUKA PULAK...BUAH ZAKOM MENUNGGU PEJAHAT2 NI

Siasat bagaimana rakyat mudah miliki senjata api

Harakahdaily, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak PDRM menyiasat sedalam mungkin punca pemilikan senjata api dengan mudah, apakah ia dari rakyat di negara ini sendiri atau dibawa masuk dari luar.

“Apakah senjata api menjadi suatu industri gelap dilakukan di kawasan hitam, dimiliki sekumpulan  kongsi gelap serta memiliki rangkaian di seluruh negara?” tanya Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil dalam satu kenyataan.

Katanya, persoalan itu perlu dijawab dengan kerajaan perlu berusaha menumpaskan jenayah ini sehingga ke akar umbi agar tiada lagi mangsa ditembak selepas ini.

Kenyataan penuh beliau seperti di bawah.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melahirkan kebimbangan atas kejadian yang berlaku sejak akhir-akhir ini melibatkan jenayah bersenjata api. Insiden terbaharu berlaku apabila pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian Hussain Ahmad Najadi mati ditempat kejadian setelah ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari Tokong Kuan Yin di Lorong Ceylon jam 2 petang semalam. Isterinya pula cedera parah ditembak pada kejadian yang sama.

Dua hari lepas, pengerusi NGO MyWatch, R Sri Sanjeevan cedera parah ditembak dari jarak dekat oleh individu yang tidak dikenali. Insiden ini berlaku pada tempoh yang berdekatan dan dilakukan melalui modus operandi yang sama.

Beberapa minggu yang lalu, dua orang guru mati ditembak melalui insiden yang berasingan juga melalui modus operandi yang sama. Dalam masa yang hampir sama, PDRM menahan dua individu yang didakwa memiliki senjata api yang digunakan untuk disewakan.

Nampaknya kehadiran pasukan peronda polis sudah tidak lagi digeruni penjenayah. Rondaan kerap juga dilihat gagal mematahkan helah dan strategi penjenayah mencari mangsanya.

Kamera litar tertutup atau CCTV seperti tidak berfungsi untuk mematahkan jenayah daripada berlaku.  Polis juga sudah tidak lagi berjaya mewujudkan suasana aman di negara ini sehingga wujudnya insiden jenayah di mana-mana.

Isunya adalah bagaimana kejadian jenayah melibatkan senjata api boleh berlaku begitu mudah di kawasan terbuka, orang ramai serta berlaku di waktu siang sejak kebelakangan ini?

Mengapa penjenayah sudah semakin berani menggugat keselamatan awam dengan melakukan aksi samseng atau kongsi gelap dengan melepaskan tembakan sesuka hati kepada suspek tanpa merasa takut?

DPPM mempersoalkan mengapa senjata api mudah dimiliki, dibawa masuk atau diseludup ke dalam negara dengan begitu mudah?

Apakah pintu sempadan negara sudah bocor diterobos oleh penjenayah licik sehingga gagal dikesan aktiviti penyeludupan senjata api ke negara ini atau adakah industri pembuatan senjata api boleh dibuat dalam negara ini melalui teknologi yang ada pada rakyat negara ini?

Isu pemilikan senjata api mengingatkan rakyat bagaimana insiden sekumpulan pengganas luar menceroboh masuk ke dalam negara di Lahad Datu, memiliki senjata api berat, mengancam penduduk tempatan dan mengisytiharkan perang ke atas kerajaan Malaysia.

Jika sekumpulan penceroboh dan pengganas membawa senjata berat masuk ke dalam negara gagal dikesan, tidak mustahil pula penjenayah individu atau sekumpulan kecil menerobos masuk ke dalam negara membawa senjata kecil dan ringan.

Insiden ini menunjukkan bahawa Malaysia sudah bukan lagi sebuah destinasi aman dan selamat bagi rakyatnya. Negara ini sudah mirip menjadi seperti negara Amerika Selatan, Afrika atau sebahagian negara yang sedang berkonflik perang serta memiliki rangkaian kartel dadah terbesar sehingga samseng, kongsi gelap atau pembunuh upahan yang bermaharajalela sesuka hati.

Keamanan negara-negara tersebut ditentukan oleh pengaruh kekuatan kumpulan masing-masing, siapa kuat dia berkuasa dan mereka menentukan keamanan atau huru hara sesebuah kawasan.

DPPM dengan ini mendesak kerajaan agar segera menubuhkan pasukan khas memantau, mencegah serta memerangi jenayah senjata api. Isu ini perlu ditangani serta merta dengan tindakan bersepadu agar insiden ini tidak berulang ke atas mana-mana mangsa lain.

Golongan korporat, usahawan, ahli politik dan profesional paling merasa terancam dengan kejadian ini dan bimbang jika mereka pula menjadi sasaran pula selepas ini.

DPPM juga mendesak PDRM menyiasat sedalam mungkin punca pemilikan senjata api dengan mudah, apakah ia dari rakyat di negara ini sendiri atau dibawa masuk dari luar.

Apakah senjata api menjadi suatu industri gelap dilakukan di kawasan hitam, dimiliki sekumpulan  kongsi gelap serta memiliki rangkaian di seluruh negara?

Persoalan ini perlu dijawab dengan kerajaan perlu berusaha menumpaskan jenayah ini sehingga ke akar umbi agar tiada lagi mangsa ditembak selepas ini.

Di mana bocornya kemasukan senjata api?

Harakahdaily, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS berpendapat mengenal pasti punca sebenar senjata api jatuh ke tangan pihak yang bertanggungjawab adalah terpenting bagi PDRM dalam menyelesaikan kemelut yang meletakkan rakyat Malaysia dalam kebimbangan yang teramat sangat.

“Jika kebocoran itu berlaku daripada pemilik lesen yang sah, mereka ini perlu dihukum dengan hukuman yang maksima,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, jika kebocoran kerana sindiket haram, PAS menyarankan agar PDRM bekerjasama pihak Imigresen dan Kastam juga mengetatkan pemeriksaan di semua pintu kemasukan dalam negara bagi mengelakkan senjata diseludup masuk.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Akta Senjata 1960 yang dipinda pada 1971 untuk penalti lebih berat menunjukkan kerajaan Malaysia mempunyai polisi yang sangat ketat untuk memiliki senjata atau lesen senjata.

Seriusnya kerajaan Malaysia untuk membendung rakyat Malaysia diancam dengan senjata api boleh dilihat daripada peruntukan akta ini yang membawa penalti maksima iaitu hukuman mati dan penjara seumur hidup sekiranya seseorang disabit kesalahan.

Di bawah Seksyen 3 Akta Senjata 1960 dinyatakan dengan jelas: “Seseorang tiada boleh memiliki, membawa atau menggunakan senjata-senjata tanpa lesen senjata atau permit senjata. “

Namun begitu, kelonggaran diberikan di bawah Sekyen 4 di mana “Permohonan untuk suatu lesen senjata atau permit senjata hendaklah dibuat dalam borang yang ditetapkan kepada Ketua Pegawai Polis Negeri di mana pemohon tinggal, dan hendaklah menyatakan butir-butir tertentu sebagaimana yang diperlukan dalam borang tersebut.”

Di Sekyen 4 Perkara 2 Akta Senjata 1960, dinyatakan juga “seorang Ketua Pegawai Polis boleh memberi kepadaeeorang pemohon suatu lesen senjata atau permit senjata, mengikut mana yang berkenaan, jika ia berpuashati bahawa pemohon mempunyai alasan baik untuk memiliki, menjaga atau mengawal, atau membawa dan menggunakan mengikut mana yang berkenaan, senjata dan amunisi mengenainya permohonan dibuat, dan bahawa orang itu boleh diberi kuasa untuknya tanpa bahaya kepada keselamatan awam atau kepentingan awam.”

Mengikut laman di Kementerian Dalam Negeri, terdapat 3 asas rayuan bagi seorang untuk membeli baru/menukar milik senjata api jenis pistol dan senjata patah iaitu mencegah musuh tanaman, kegunaan sukan dan menjaga keselamatan diri dan hartabenda.

Antara syarat-syarat am yang dikenakan pada pemohon ialah pemohon perlu membukti bahawa ia tidak mempunyai rekod jenayah dan berada pada kesihatan yang baik.

Bagi pemohon membeli baru/menukar milik senjata api jenis senapang patah, ia perlu membuktikan bahawa ia bergantung hidup kepada hasil pertanian dan hasil tanaman mengalami kerosakan serius. Bagi pemohon pistol pula ia perlu membuktikan ia mempunyai asas yang memerlukan penggunaan senjata api disertakan dengan laporan ancaman dan sokongan majikan.

Di Seksyen 4 Perkara 4 Akta Senjata 1960, dinyatakan dengan jelas bahawa “Suatu lesen senjata atau pemlit senjata hendaklah, melainkan telah ditarik balik atau dibatalkan dahulu, habis tempoh pada 30 haribulan Jun akan datang berikutan dengan tarikh pengeluarannya, tetapi boleh dibaharui oleh Ketua Pegawai Polis Negeri.”

Butir-butir tiap-tiap lesen senjata atau permit senjata yang diberi atau dibaharui di bawah seksyen ini hendaklah dicatatkan dalam sebuah daftar yang akan disimpan oleh Ketua Pegawai Polis bagi sebuah negeri dalam borang dan cara tertentu dan pada suatu tempat tertentu sebagaimana yang akan ditetapkan di dalam Seksyen 4 Perkara 5 Akta Senjata 1960.

Segala lesen memilik senjata api dikeluarkan oleh PDRM dan permohonan untuk memiliki senjata api boleh dikemukakan di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah yang bertanggungjawab terhadap daerah tempat tinggal perayu.

Berlatarbelakangkan pemahaman ini, dan dengan kejadian jenayah menembak dengan tujuan membunuh yang semakin berleluasa, PAS berharap PDRM dapat memberikan pencerahan jumlah lesen senjata api yang telah dikeluarkan setakat ini.

PDRM perlu berusaha mencari lubang bagaimana senjata api boleh jatuh ke tangan penjenayah di negara ini kerana kawalan lesen pemilikan senjata adalah 100% di bawah kuasa mereka.

PDRM harus mengkaji semula aktiviti-aktiviti setiap pemilik lesen senjata api di negara agar tidak disalahgunakan. Senarai pemilik-pemilik senjata, jika tiada kekangan undang-undang dan faktor yang mengancam keselamatan negara, juga harus dipamerkan untuk tatapan awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga ada menyatakan polis sudah mendekati mereka yang terlibat dengan sindiket senjata api dan mengenalpasti mereka yang membawa senjata api ke negara.

Selain memburu penjenayah yang cuba membunuh pengerusi MyWatch Sri Sanjeevan dan pembunuh pengasas Arab Malaysian Banking Group Hussain Ahmad Najadi, PAS berpendapat mengenalpasti punca sebenar senjata api jatuh ke tangan pihak yang bertanggungjawab adalah terpenting bagi PDRM dalam menyelesaikan kemelut yang meletakkan rakyat Malaysia dalam kebimbangan yang teramat sangat.

Jika kebocoran itu berlaku daripada pemilik lesen yang sah, mereka ini perlu dihukum dengan hukuman yang maksima. Jika kebocoran kerana sindiket haram, PAS menyarankan agar PDRM bekerjasama dengan pihak Imigresen dan Kastam juga mengetatkan pemeriksaan di semua pintu kemasukan dalam negara bagi mengelakkan senjata diseludup masuk.

Selain itu, PDRM disaran memastikan penguatkuasaan menyeluruh Akta Senjata 1960 untuk memulihkan kewibawaan polis di mata rakyat. PAS berharap kes tembakan terhadap Sanjeevan dan Ahmad Najadi adalah kes yang terakhir di Malaysia.

Kumpulan peguam Mesir saman kerajaan sementara

Harakahdaily, 31 Jul 2013

MESIR: Sekumpulan para peguam Mesir semalam mengemukakan saman terhadap kerajaan sementara lantikan tentera yang melakukan rampasan kuasa terhadap Presiden Dr Muhammad Morsi.

Kumpulan peguam itu yang diketuai Hameed Sodiq menamankan Presiden sementara Adli Mansour, Naib Presiden Dr.Mohammed El-Baradei, Perdana Menteri Hazim Beblawi, Menteri Pertahanan Abdul Fattah As-Sisi, Syeikh Al-Azhar Dr.Ahmed Toyyib dan Ketua Gereja Koptik Pope Tawadhrox sebagai defendan.

Saman tersebut antara lain atas dakwaan merancang dan menyebabkan pembunuhan lebih 200 orang penunjuk perasaan yang berhimpun secara aman, menggunakan kekerasan melalui polis dan tentera yang menganggap mereka ini adalah "pengganas".

Pemimpin Islam terus diburu

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Mesir terus memburu pemimpin Islam dalam usaha mereka meredakan kebangkitan rakyat yang membantah rampasan kuasa tentera.

Semalam dua lagi aktivis Islam ditahan iaitu Presiden Parti Wasat Ir.Abul 'Ela Madhi dan Naib Presiden Esom Sultan.

Kedua-dua mereka diperintah oleh mahkamah untuk ditahan reman selama 15 hari bagi disoalsiasat.

Esom Sultan didakwa bertanggungjawab membunuh, membakar pejabat-pejabat kerajaan, menangkap serta menyeksa mangsa yang terdiri dari rakyat Mesir di dataran Raba'ah.

Ianya dilihat satu dakwaan yang pelik dan dianggap banyak pihak sebagai "dakwaan rekaan" yang bermotif politik.

Esom Sultan adalah antara pimpinan Islam yang lantang mengkritik rampasan kuasa dan beliau antara yang berkampung di Dataran Raba'ah bersama jutaan lagi rakyat mendesak Morsi dikembalikan.

Beliau juga adalah bekas salah seorang anggota Panel Penggubal Perlembagaan 2012 ketika Morsi ditampuk kuasa.

Selain mereka, lapan lagi pemimpin Ikwanul Muslimin masih lagi ditahan dan belum dibebaskan.

Antara mereka termasuk bekas Mursyidul Am Ikhwan Muslimin Syeikh Mahdi 'Akif dan Presiden Parti Rayah (Salafi) Syeikh Hazim Abu Ismail.

Benarkah PAS alami perpecahan?

Mazlan Aliman, 31 Jul 2013

Ramai yang bertanya kepada saya, benarkah PAS sedang menghadapi krisis kepimpinan yang serius? Ada kelompok kepimpinan, kem tertentu, diresapi fahaman Islam Liberal, menganut ajaran Syiah dan lain-lain.

Saya mula berjinak-jinak dengan PAS sejak tahun 1985 dan secara rasmi sebagai ahli tahun pada tahun1986. Bermula sebagai ahli biasa yang menampal poster, pasang bendera, kutip derma masa ceramah, kawal lalu lintas dan berbagai-bagai tugasan yang diamanahkan.

Daripada ahli biasa, meniti hierarki kepimpinan sampai pada waktu ini. Bergaul dengan macam-macam jenis manusia melalui program pentarbiahan dan dalaman parti; hingga percampuran dengan masyarakat di luar. Latar belakang ahli tentulah berbeza. Ada yang dulunya Umno, Arqam, Tabligh, Jim, Abim; hingga kepada penganut Tarekat dan sesetengahnya beramal dengan ajaran yang pelik-pelik yang diwarisi sebelum menyertai PAS.

Alhamdulillah, manhaj tarbiah yang dipeloleh daripada PAS atas nama usrah, tamrin, kuliah dan lain-lain dapat menyelaraskan Wehdatul Fiqh dan Wehdatul Amal. Namun, bezanya dalam PAS ialah keterbukaannya. Sama ada pandangan pimpinan sendiri yang dinukilkan dalam buku-buku yang diterbitkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Haji Hadi, Ustaz Fadhil Nor, Haji Yusof Rawa, Ustaz Yahya Osman (sekadar beberapa nama) atau tokoh gerakan Islam luar, antaranya Yusof Qardhawi, Syed Qutb, Hassan al-Banna dan lain-lain - dijadikan sandaran ilmu dalam memperkasa jemaah, khususnya dasar perjuangan PAS yang bersesuaian dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

Dalam tempoh lebih 25 tahun bersama PAS, hari ini PAS telah berada di landasan yg terbaik. Berkembang dengan pesat, organisasi yang kian tersusun dan tentunya jumlah ahli dan penyokong jutaan orang. Saya melaluinya sendiri dari zaman Yusof Rawa hingga ke era Tuan Guru Haji Hadi. Ahli PAS bebas memberi pandangan dan mengkritik parti menerusi program dalaman, penulisan; hatta mesyuarat parti hingga ke Muktamar Tahunan PAS. Seperti mana Ketua Cawangan PAS ditegur dalam mesyuarat hinggalah Presiden PAS pun turut di kritik dan dinasihati oleh AJK PAS Pusat dalam mesyuarat bulanannya.

Selain AJK PAS Pusat, saya juga adalah anggota Lajnah Politik PAS Pusat dan memegang pelbagai jawatankuasa lain yang ditubuhkan oleh parti. Ahli mesyuarat bebas memberikan pandangan berasaskan tahap intelektual masing-masing. Kehebatan berhujah adalah keistimewaan yang dimiliki termasuk Pesuruhjaya Negeri. Presiden PAS selaku pengerusi mesyuarat sangat terbuka dalam meraikan semua pandangan. Presiden parti tidak menggunakan kuasa Veto, akur keputusan bersama.

Saya merasai detik-detik mendebarkan dan perbincangan hangat tatkala memutuskan kedudukan Dato' Dr Hassan Ali, polemik Kedah dan isu kerusi Kota Damansara. Namun, bagaimana panas sekalipun, ia tetap dalam ruang lingkup akhlak. Maknanya, tidak benar jika ada yang menuduh sesetengah AJK PAS Pusat bersikap kurang ajar dan tidak wala' dengan keputusan mesyuarat.

Justeru, tidak benar, hanya perbezaan pandangan dan kritikan tajam dianggap berpecah. Pimpinan PAS kekal mantap dan dihormati kawan dan lawan

Kebiasaannya mesyuarat di mulakan dengan usrah, selesai mesyuarat yang kadang kala berlarutan lebih 5 jam; kami makan bersama dalam suasana santai dan penuh mesra. Apa-apa yang didebatkan dalam mesyuarat meskipun berbeza pandangannya, menjadi keputusan yang mesti dipatuhi. Semangat syura yang hidup dan segar, menjadi rahsia kekuatan PAS hari ini.

Adalah tidak benar apabila muncul tuduhan dalam facebookb, blog dan lain-lain, kononnya ada berbagai puak dalam parti, dakwaan tidak wala'; apatah lagi tuduhan sesetengah pimpinan menganut fahaman tertentu. Jika ada aduan rasmi, maka Jawatankuasa Disiplin parti akan bicarakan dengan adil. Sejarah pemecatan ahli dalam parti akibat kesalahan tertentu, ada dan jelas.

Saya tegaskan hal ini sebagai gambaran bahwa PAS sebenarnya sebuah parti dan gerakan Islam yg mantap dan tentulah cabaran mengurus organisasinya bukan mudah. Hakikatnya, PAS lebih mantap daripada Umno dan parti-parti lain di Malaysia. Meskipun bersikap terbuka, tapi ada peraturannya; kritiklah, tapi jangan membuat fitnah.

Melabel pemimpin tertentu hingga timbul cakap-cakap untuk menjatuhkan seseorang yang tidak sehaluan adalah hak perwakilan. Tetapi adalah menyedihkan, jika tokoh yang mahu ditolak itu adalah berdasarkan emosi semata-mata, marah atau sebab-sebab yang tidak jelas. Lebih malang, kalau tokoh itu sangat menyerlah, ada wibawa; tapi tidak disenangi kerana kelantangannya.

Kita sayang pada PAS, jamaah yang kita sertai berasaskan kefahaman dan kesedaran kita. Daripada menuding jari dan melabel orang, lebih baik tumpukan pada tanggungjawab yang diamanahkan. Tidak cukup masa kita untuk cari salah orang lain, kalau kita sibuk dengan urusan perjuangan!.

Kita sebuah parti yang kukuh, ada kerajaan yang kita kuasai pemerintahannya, harapan rakyat terlalu tinggi kepada kita. Jangan buang masa berbalah. Hentikan prasangka sesama kita. Eratkan perpaduan, perkukuh saf di semua peringkat. Mainkan peranan masing-masing, sama ada berjawatan atau tidak.

Sama ada kita ulama, profesional, aktivis atau siapa pun kita; semuanya bertanggungjawab kepada parti. Betulkan nawaitu, ikhlaskan diri kerana Allah.

Teringat kata-kata Tuan Guru Haji Abd Hadi, “Maqam takwa ahli biasa yang kerjanya hanya penampal poster boleh jadi lebih tinggi dari Presiden parti.”

Selamat Berpuasa

* Mazlan adalah AJK PAS Pusat dan Pengerusi Anak, NGO yang perjuangkan peneroka Felda. Beliau menang dengan undi tertinggi dalam muktamar PAS yang lalu.


3 Jenis Makanan Dalam Neraka

Gambar neraka


Neraka merupakan suatu tempat yang wajib diyakini oleh umat Islam sebagai satu tempat pembalasan yang mempunyai kesengsaraan abadi setelah mati. Jika baik amal seorang manusia itu, dengan rahmat Allah, dia akan masuk ke syurga dan jika buruk amal seseorang manusia itu, dia akan dihumban ke dalam neraka dan diberi 3 jenis makanan yang mengerikan ini.Apakah 3 jenis makanan di neraka itu?

(1) ZAQQUM

Firman Allah swt: Sesungguhnya pohon zaqqum itu, makanan orang yang banyak berdosa. Ia bagaikan kotoran minyak yang mendidih di dalam perut, seperti mendidihnya air yang amat panas. (43 – 46 : ad-Dukhan)

Firman Allah swt: (Makanan surga) itukah hidangan yang lebih baik ataukah pohon zaqqum.?
Sesungguhnya Kami menjadikan pohon zaqqum itu sebagai ujian bagi orang-orang yang zalim (samada mereka percaya atau tidak). Sesungguhnya ia adalah sebatang pohon yang tumbuh dari dasar neraka. Buahnya seperti kepala syaitan-syaitan. Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebagian dari buah pohon itu sehingga memenuhi perutnya dengan buah zaqqum itu. (62 – 66 : as-Saffat).

Ibnu Abbas berkata: “Sesungguhnya Nabi saw membaca ayat ini: “bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.”

Rasulullah saw bersabda: 

“Sekiranya setitis zaqum menitis ke dunia nescaya akan merosakkan seluruh kehidupan ahli dunia. Bagaimana keadaan orang yang setiap hari buah zaqum menjadi makanannya?”


Hadis riwayat Tirmizi, Nasaie, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban. Syekh Syuaib menyatakan sanad hadis ini sahih.

Imam Ibnu Kathir berkata: “Allah swt menyatakan mereka memakan pokok ini walaupun rupanya sangat buruk dan sangat hodoh. Tambahan lagi dengan rasanya yang tidak sedap dan bau yang busuk. Mereka terpaksa makan kerana tidak ada yang lain.”

(2) GISLIN

Firman Allah swt: Maka tiada seorang temanpun baginya pada hari ini di neraka ini Dan tiada (pula) makanan sedikitpun (baginya) kecuali dari darah dan nanah. Tidak ada yang memakannya kecuali orang-orang yang berdosa. (35-37 : al-Haqqah).

Ulama berselisih pendapat terhadap hakikat Gislin seperti berikut:

1~ Nanah ahli neraka yang keluar dari luka dan kemaluan mereka. (Ibnu Abbas)
2~ Pohon yang menjadi makanan ahli neraka. (Dahhak dan Rabie bin Anas)
3~ Air dari basuhan daging dan darah ahli neraka. (Akhfasy)


(3) DARIE’

Firman Allah swt: Mereka tiada memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri. yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar. ( 6 dan 7 : al-Ghasiah)

Para Ulama berselisih pendapat terhadap Darie’. Diantaranya adalah seperti berikut:

1~ Tumbuhan yang berduri yang melata di tanah. (Pendapat Ikrimah, Mujahid dan kebanyakan ulama tafsir).
2~ Batu (pendapat Said bin Jubair).
3~ Tumbuhan hijau yang busuk. Ianya dilemparkan laut ke daratan. (pendapat Khalil).
4~ Pohon berasal dari api neraka. (Pendapat Ibnu Abbas)

Pendapat yang dipilih adalah seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi:

“Pendapat yang lebih jelas adalah ianya pokok yang berduri seperti ianya di dunia. Daripada Ibnu Abbas ra, Nabi saw bersabda: “ Darie adalah sesuatu yang ada dalam neraka. Ia meyerupai duri. Lebih pahit dari pokok lidah buaya. Lebih busuk dari bangkai. Lebih panas dari api. Allah swt namakannya sebagai Darie.” (Hadis riwayat Ibnu Mardawiyah – sanadnya lemah)
MAKANAN YANG SUKAR UNTUK DITELAN

Kerana sesungguhnya pada sisi Kami ada belenggu-belenggu yang berat dan neraka yang menyala-nyala. Dan makanan yang menyebabkan tercekik di kerongkong dan azab yang pedih. (12 – 13 : al-Haqqah)

Ibnu Abbas berkata: 

“Makanan yang tidak boleh ditelan dan tersangkut di halkum. Tidak boleh turun ke perut dan tidak boleh dikeluarkan. Makanan ini adalah Gislin, Zaqqum dan Dharie.”



KELAPARAN YANG MENYEKSAKAN

Abu Darda berkata: Rasulullah saw bersabda: “ Dicampakkan rasa lapar kepada ahli neraka. Kelaparan yang mereka rasai menyamai azab yang mereka alami dalam neraka. Lalu mereka menjerit meminta tolong dan mereka pun diberikan Darie yang tidak menghilangkan kelaparan mereka. Lalu mereka menjerit meminta makanan dan mereka pun dibawa makanan yang menyebabkan mereka tercekik. Mereka teringat kalau tercekik didunia mereka hilangkan dengan air. Mereka pun meminta air minuman. Lalu mereka diberi air yang sangat panas dengan besi-besi panjang yang berkapala sabit. Muka mereka hangus terbakar apabila air ini menghampiri mereka. Segala isi perut terputus apabila masuk kedalam perut mereka."

Hadis riwayat Tirmizi dengan sanad yang lemah. Kebanyakan apa yang disebut dalam hadis ini ada disebut dalam ayat Quran dan Hadis sahih yang lain.

RUJUKAN:
Tafsir Qurtubi, Tafsir Ibnu Kathir, Tuhfatul Ahwazi, Sunan Tirmizi tahqiq syeikh Syuaib, Muntaqa oleh Dr Yusuf Qardawi, Tazkirah oleh Qurtubi, Buhur Zahirah oleh Imam as-Safirani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan