Ahad, 21 Julai 2013

RETAK PUN JANGAN...ROBOH LAGI LAH...JANGAN

Che Long santuni pengundi awal di kem TUDM

Khairul Azlam Mohamad, 20 Jul 2013

BESUT: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N1 Kuala Besut, Endot@ Azlan Yusof atau panggilan mesranya Che Long berada di pusat pengundi awal dari pagi hingga petang.

Kehadiran Che Long seawal jam 8.30 pagi menyantuni anggota tentera dan polis yang terlibat dengan pengundian awal yang diadakan di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Gong Kedak Besut, hari ini.

Che Long ditemani Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad disambut mesra oleh hampir kesemua pegawai dan kakitangan anggota tentera dan polis yang mengundi awal ketika beliau memperkenalkan dirinya.

Kata Che Long, sambutan anggota tentera yang mengundi hari ini cukup baik dan berharap boleh berlaku perubahannya.

“Kita tahu masalah orang dalam kem ini bukan semuanya sokong kerajaan BN, tapi mungkin ada yang ‘takut-takut’. Insya Allah, kita berdoa semoga Allah SWT beri kekuatan kepada mereka (pengundi) untuk berubah.

“Insya Allah…Che Long harap mereka boleh undi Che Long dan beri kemenangan kepada PAS,” ujarnya.

Manakala, Ustaz Wan Azhar berpendapat reaksi muka di kalangan anggota tentera yang mengundi awal itu cukup baik dan ceria.

“Saya fakir berdasarkan reaksi muka mereka (tentera) yang keluar mengundi awal tadi, nampak cukup baik, mesra dan meyakinkan kita. Semoga undi boleh diberikan kepada calon kita, Che Long,” jelasnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Harakahdaily dimaklumkan, seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada pilihan raya kecil ini.

Pengundian awal tersebut dijalankan menerusi dua saluran yang dibuka oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di TUDM, Gong Kedak, Besut.

Surat terbuka untuk perantau Kuala Besut

Dr Azman Ibrahim,
Sahabatku perantau

Walau di mana saudara berada, saya doakan saudara semua dalam kesejahteraan dan rahmat Allah.

Saya masih ingat pesanan Tuan Guru Presiden PAS dalam satu program bersama Perantau, “Pulang untuk mengundi parti Islam adalah kewajipan fardhu ain bagi mereka yang berupaya...”

Kita perlu menjadi kuat demi kemenangan Islam. Jangan dihiraukan halangan yang cuba ditimbulkan oleh SPR yang sepatutnya di samping bertindak sebagai pengadil pertandingan, SPR juga perlu bertindak sebagai pemudah cara yang perlu melapangkan jalan seluas  mungkin bagi kemudahan pengundi menunaikan tanggungjawab. Sebarang tindakan untuk menghalang dan menyusahkan kepulangan pengundi untuk sama-sama menunaikan tanggungjawab di medan demokrasi adalah suatu tindakan tidak beretika yang perlu dicanggah.

Kita mengetahui betapa kesukaran sahabat semua untuk bermusafir dibulan Ramadhan ini tetapi jangan lupa bahawa Peperangan Badar, persiapan Peperangan Khandak, pembukaan Kota Mekah, Peperangan ‘Ain Jalut, pembebasan Baitul Maqdis oleh Salahuddin al Ayyubi, pembukaan Andalusia oleh Tariq bin Ziad semuanya berlaku di bulan Ramadhan. Alangkah kerdilnya kita sekiranya Ramadhan dijadikan alasan untuk kita tidak pulang mengundi.

Sahabatku

Sekadar membelanjakan sedikit wang minyak yang mungkin boleh dituntut semula serta hanya perlu memangkah di atas sekeping kertas, ternyata ianya sangat minima. Walaupun minima, ganjarannya besar di sisi Allah dengan  syarat yang dipangkah adalah parti yang ingin meninggikan agama Allah.

Saudara mungkin berkata, “Allah... dekat sangat dah dengan hari raya, balik mengundi 24 haribulan ni, lepas tu hari raya kena balik pulok!” Saya sekadar ingin bertanya, kalau Islam tak menang kerana disebabkan ketidak pulangan saudara untuk mengundi, bolehkah dengan jawapan di atas saudara jawab di hadapan Allah dan saudara yakin mampu melepaskan diri? Sekiranya yakin alasan sebegini boleh diterima, maka silakan. Tetapi bagi saya lebih mulia untuk kita berada dimartabat orang yang menjadi penyebab kepada kemenangan Islam dari menjadi yang sebaliknya.

Sahabatku perantau

Saudara tentu memaklumi bagaimana kebimbangan Umno dengan pengundi yang celik mata dan hati serta bermaklumat seperti saudara semua. Hari mengundi dihari Rabu serta ketika hampir dengan hari raya adalah percubaan dayus untuk menggagalkan penyertaan saudara semua dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut ini. Saudara nak tengok hilai tawa Umno yang penuh keangkuhan atau kita ingin sama-sama letakkan noktah kepada kepada kebebalan mereka? Kalau saya, tentunya saya memilih untuk kita akhiri segala drama jijik Umno sepanjang kempen Pilihanraya Kecil ini dengan takbir kemenangan.

Sahabatku perantau

Angka 16:16 mesti direalisasikan. Setiap kita berkewajipan. Saudara semua tentu memaklumi perit jerih sahabat-sahabat pengundi dan petugas di lapangan yang telah melakukan segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit, hati dan perasaan semenjak dari hari kekosongan kerusi N01 diisytiharkan. Mereka telah menunaikan kewajipan mereka. Hakikatnya dihari mengundi sekuat mana pun mereka, hanya satu undi yang mampu mereka sumbangkan, satu undi lagi ada pada saudara. Jangan sia-siakan ia.  Pulanglah perantau pakoh PAS!

Peguam Negara jangan aniaya Najib?

Shahbudin Husin, 20 Jul 2013
Berikutan tindakan yang sudah diambil oleh Peguam Negara terhadap pasangan blogger seks, Alvin Tan dan Vivian Lee yang didapati menghina Islam dan memuatkan perlakuan berunsur lucah mereka dalam internet, pihak kerajaan khususnya kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak sedang diasak untuk mengambil tindakan yang serupa terhadap pihak-pihak lain yang juga didapati menghina agama selain Islam.
Antara yang tersohor agar diambil tindakan oleh Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mahu membakar kitab Injil berbahasa Melayu yang menggunakan perkataan Allah dan Zulkifli Noordin yang didapati mempersenda penganut agama Hindu dengan mengejek tuhan agama itu tidak mempunyai kuasa walau untuk menghalang banjir sekali pun.

Sementara semua rakyat berbilang kaum dan agama mengalu-alukan tindakan tegas dan pantas yang diambil terhadap pasangan Alvin dan Vivian, rakyat juga sebenarnya mengharapkan tindakan yang serupa seharusnya diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli. Walaupun penghinaan yang dilakukan oleh Ibrahim dan Zulkifli mungkin tidak seserius dan seberat yang dilakukan oleh Alvin dan Vivian tetapi penghinaan walau dalam apa bentuk dan cara sekali pun, tetap merupakan penghinaan dan tidak boleh diterima sama-sekali.

Lebih-lebih lagi Ibrahim dan Zulkifli adalah "public figure" yang dikenali ramai dan mempunyai banyak pengikut, sudah tentu perbuatan mereka itu boleh mempengaruhi ramai orang.

Dalam hal ini, ketegasan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi semalam yang memberi amaran akan mengambil tindakan tegas kepada sesiapa saja dan yang menghina agama apa pun, seharusnya dibuktikan dengan perbuatan dan bukan sekadar amaran semata-mata.

Ini kerana mengambil tindakan yang menyeluruh dan sama rata bukan saja mencerminkan keadilan Islam yang menjadi agama rasmi negara tetapi juga mampu menyerlahkan cantiknya wajah Islam sendiri di mata rakyat pelbagai kaum. Dalam hal ini, Najib yang merupakan Perdana Menteri mempunyai tugas yang amat penting untuk memperlihatkan wajah Islam yang sebenar dan kepimpinannya yang adil itu kepada umum, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Kegagalan mengambil tindakan yang tegas dan menyeluruh kepada semua kelompok yang didapati menghina agama akan memperlihatkan cacatnya Islam yang diamalkan di negara ini dan juga menampakkan kegagalan Najib sebagai pemimpin yang beragama Islam.

Desakan pelbagai pihak juga membuatkan Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar bersuara bahawa siasatan terhadap Zulkifli sudah dilakukan oleh pihak polis dan telah diserahkan kepada Peguam Negara tetapi diberi respon NFA atau "no further action" (tiada tindakan lanjut) manakala bagi kes Ibrahim juga siasatan sudah dibuat tetapi tiada jawapan diberikan oleh Peguam Negara sehingga kini.

Dalam hal ini, maknanya pihak polis sudah menjalankan tanggungjawabnya, cuma Peguam Negara yang tidak melaksanakannya.

Soalnya kenapa kes itu NFA dan senyap? Apakah penilaian Peguam Negara berdasarkan keadilan sejagat atau kerana faktor-faktor lain?

Jika Peguam Negara boleh bertindak begitu tegas terhadap pasangan Alvin dan Vivian sehingga mereka tidak dibenarkan ikat jamin dan terpaksa bermalam di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang, walaupun kesalahan hanyalah di bawah akta SKMM dan Akta Hasutan, tidak ada sebab sebenarnya sebarang tindakan, walaupun lebih ringan, tidak boleh diambil terhadap Ibrahim dan Zulkifli.

Penghinaan Zulkifli terhadap agama Hindu sudah dilakukan 10 tahun yang lalu dan baru didedahkan dua atau tiga tahun yang lalu, sementara kes Ibrahim mahu membakar kitab Injil pula berlaku setahun yang lalu. Sekiranya Peguam Negara dapat bertindak tegas lebih awal ke atas kedua-dua kes ini, mungkin penghinaan Alvin dan Vivian kepada Islam tidak muncul.

Keberanian dan kebiadapan mereka melakukan penghinaan kepada agama lain ialah kerana mereka melihat orang lain juga bebas melakukan perkara yang sama sebelum ini dan tidak diambil apa-apa tindakan.

Dalam usaha menegakkan keadilan dan menunjukkan kemurnian Islam itu sendiri, Peguam Negara tidak seharusnya bertindak memilih bulu. Tindakan harus sama rata dan menyeluruh, barulah semua orang takut untuk melakukannya.

Sekiranya Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara, Gani Patail asyik dengan NFA saja dalam banyak cara kerjanya, terutama dalam kes-kes seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Noordin, tindakan beliau akan dilihat seperti menganiaya Perdana Menteri dan kepimpinan politik yang sentiasa cuba mewujudkan keharmonian kaum dan agama serta mahu melihat hubungan kaum kekal harmoni dan aman sepanjang masa.

Kepimpinan politik dan kerajaan sepanjang masa bercakap tentang keadilan Islam dan sikap kerajaan yang tidak memilih bulu walau melibatkan apa kaum dan agama sekali pun, namun banyak perkara tersekat apabila sampai ke Jabatan Peguam Negara.

Lainlah jika Peguam Negara memang mahu menyusahkan Perdana Menteri dan orang-orang politik. - http://shahbudindotcom.blogspot.com

Pandangan penulis tidak mewakili Harakahdaily.

Gambar Anwar Ibrahim tersebar lagi... saksikan!

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 20 Jul 2013
Apabila Najib dan Rosmah telah diberitakan pada sekitar November tahun lalu berangkat ke Mekah untuk menunaikan Umrah dan Haji maka gegak gempitalah isu ini dimainkan oleh pencacai-pencacai UMNO baik di Blog mahupun FaceBook.

Kononnya bagi mereka tindakan Najib dan Rosmah itu adalah bukti betapa luhur dan sucinya hati Najib sebagai seorang pemimpin, kononnya lagi bagi mereka ini sebagai bukti bahawa disebalik berita-berita yang disampaikan oleh berbagai media alternatif tentang keburukan dan salah laku Najib, beliau masih berani ke Mekah.

Maka dengan itu mereka mula menyindir Ketua Pembangkang,Anwar Ibrahim, kononnya kata mereka Anwar Ibrahim tak pernah ke Mekah.

Antara tohmahan yang dilemparkan ialah: "Bilalah agaknya Anwar Ibrahim hendak menunaikan Rukun Islam Kelima itu ye? London boleh pergi, Bangkok dah macam rumah kedua, takkan belum terbuka hati untuk mengerjakan haji?"

Itulah.. bila mereka hanya berkiblatkan TV3 dan Utusan Malaysia sebagai bahan bacaan, bukan sahaja mereka malah ramai yang tidak tahu bahawa Anwar Ibrahim telah berangkat ke Kota Suci Makkah untuk menunaikan Umrah sebanyak dua kali.. sila baca di ( SINI )

Bagaimanapun tiada sebarang rakaman gambar yang dapat memuaskan hati macai-macai UMNO..

Aku pernah meminta rakaman gambar beliau di Mekah tapi Anwar kata dia tak ada gambar di Mekah tu untuk menyokong hujjah..

Tapi bagi kali yang ke tiga beliau ke Umrah ini.. (dah selesai jumaat lalu).. ada gambar membuktikannya..


 

 

 

 

 

 

Apa ertinya ‘Agenda 16-16’ kepada pengundi Kuala Besut?

Dr Dzulkefly Ahmad, 20 Jul 2013
Ramadhan Mubarak adalah bulan anugerah AlLah SWT buat seluruh ummat Islam. Semua ummat Islam yang diberi Allah usia dan kesihatan layak menjadi peserta dan mengecapi kelebihan berpuasa di bulan yang mulia ini.

Dalam bulan ini juga AlLah SWT memberikan pelbagai ‘bonus’ istimewa kepada barang siapa yang AlLah pilih. Sukar untuk mendapat kepastian siapa yang terpilih untuk pemberian ‘bonus’ ini seperti beramal ketika Lailatul Qadr.

Namun satu lagi ‘bonus’ yang menjadi pemberian AlLah lebih mudah dapat disaksikan siapakah penerimanya pada Ramadhan 1436H ini.

Ya, negara yang baru sahaja selesai pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini sedang menyaksikan pilihanraya kecil (PRK) yang pertamanya. Hanya dalam pengetahuan Ilahi, mengapa negeri Terengganu dan khususnya DUN N.01 Kuala Besut, ‘dipilih’ AlLah SWT sebagai PRK pertama.

Umum sedar bahawa Pilihanraya Kecil sememangnya ‘bonus’ untuk sesebuah daerah atau kawasan parlimen. Hakikatnya PRK membawa pelbagai ‘habuan’ dan ‘pemberian’ dalam beranika rupa untuk rakyat dan pengundi. Pemberian wang tunai, pemberi-milikan tanah, jalan raya ditampal, peruntukan infrastruktur mencecah ratusan juta ringgit termasuk pemberian anak lembu, kambing dan ayam, menjadi amalan lumrah peguasa politik Umno-BN.

Namun mampukah pengundi-rakyat Kuala Besut benar-benar dapat menjadikan peluang ini ‘bonus’ ini sebagai ‘peluang kedua’ untuk melakukan apa yang telah ‘gagal’ mereka capai dalam PRU ke-13 yang lalu.

Peluang seperti ini adalah cukup unik untuk rakyat Kuala Besut yang mungkin tidak akan mereka ketemui dalam jangka hayat mereka lagi. Kebarangkalian peluang ini berlaku, tidak senang diramalkan dan tidak siapa dapat ramalkan mentelahan negara baru sahaja usai ‘perang  besar’nya dalam PRU ke-13.

Sesungguhnya Takdir AlLah mendahului tadbir manusia. Sebelum kematian AlLahyarham Adun Kuala Besut, Dewan Undangan (DUN) Terengganu terikat dengan keputusan 17-15 dengan BN memilikki lebihan 2 kerusi negeri. Kini sebutan keramat bagi mencapai matlamat kedudukan kerusi '16:16', bukan sahaja menjadi ramalan pihak kolumnis akhbar tempatan bahkan cerdik pandai, ahli akademik dan professor di menara gading. Tidak kurang juga topik ini menjadi mainan di bibir penduduk di kedai-kedai kopi dan sembang selepas more solat tarawikh.

Persoalan Besarnya ialah;

Mampukah pengundi-penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini untuk melakukan sesuatu yang bakal terakam sebagai satu sejarah politik negara yakni mengikat kedudukan 16-16 ?

Mampukah pengundi-penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini melakukan ‘kejuta besar’ untuk memenangkan calon PAS-Pakatan Rakyat sekaligus mengakibatkan satu senario ini yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara yang telah Merdeka selama 57 tahun ini?

Persoalan lebih dasar dan wajib dibahaskan dahulu ialah;

Mengapakah pengundi-rakyat Kuala Besut wajar bahkan hampir ‘wajib’ mempastikan pencapaian 16-16?

Inilah yang akan cuba di yakinkan penulis supaya pengundi-rakyat memahami kemestian untuk bersama-sama untuk menggalas ‘amanah besar’ ini.

Apa itu 16-16 dan apa pula implikasinya?

Pertamanya, 16-16 bermakna kedua-dua belah pihak samada Barisan Naisonal (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kelebihan kerusi dan undi dalam belah-bahagi yang dilalukan dalam perbahasan enakmen atau usul dalam DUN. Pungutan suara atau belah-bahagi akan bakal berakhir dengan seri 16-16, dengan andaian semua ahli DUN hadir dari kedua-dua pihak.

Peruntukan bahawa Yang Dipertua DUN (Speaker) yang dikatakan mempunyai 'Undi Penentu' atau "Casting Vote" dalam suasana keputusan undian 'belah-bahagi' terikat 16-16, hanya boleh digunakan kalaulah Speaker adalah seorang ahli DUN yang dipilih rakyat dan bukan yang dilantik kerajaan yang  secara ‘perlantikan' bukan dari anggota-ahli DUN yang dipilih rakyat. Keadaan di DUN Terengganu adalah seperti yang kedua yakni Speaker dilantik.

Ini membawa kita kepada 2 lagi senario atau kemungkinan. Pertama; Tuanku Sultan Terengganu memilih seorang Menteri Besar (MB) dari mana-mana belah pihak samada BN atau PR, yang pada hemat Tuanku Sultan mendapat kepercayaan rakyat Terengganu.

Andainya Baginda tidak mahu memilih maka senario terakhir maka opsyenya ialah membubarkan DUN Terengganu bagi memberi laluan kepada satu pemilihan kerajaan baru dalam satu pilihanraya negeri Terengganu melibatkan seluruhnya 32 kerusi negeri.

Walaubagaimana pun PAS bersedia dengan kemungkinan Tuanku Sultan akan memilih MB dari BN. PAS bersedia bertindak untuk menjadi pembangkang yang kuat dengan Umno-BN kekal sebagai kerajaan negeri Terengganu.

Penulis berpandangan bahawa bagi mendapatkan sebahagian besar ‘pengundi atas pagar’, senario Umno-BN kekal berkuasa adalah lebih memberikan ‘keselesaan’ untuk segmen pengundi ini. Faktor ‘Calon’, disamping ‘Isu dan Jentera’ juga adalah kritikal dalam PRK ini. Pelbagai ‘isu’ sedang sengit diperbahaskan dan berembung dalam PRK ini. PAS disaksikan mendominasikan ‘terjahan isu’ sementara Umno terpaksa mengikut rentak dan cuba menjawab balas.

Calon PAS Sdra Che Long, seperti diketahui umum mempunyai tarikan dan ‘goodwill’ tersendiri yang menjadikan ‘pengundi atas pagar’ selesa dengan beliau. Sangat menasabah segmen pengundi akan memberikan kelebihan undi kepada calon PAS ini.

Maka dalam percaturan strategi seperti itu, adalah realistik mengunjurkan bahawa ‘ pengundi atas pagar’ akan tergalak untuk memberikan kemenangan kepada calon PAS kalau tidak berlaku pertukaran kerajaan.

Ini sekaligus akan menyempurnakan ‘Agenda 16-16 PAS’ dalam PRK Kuala Besut nanti tanpa mencetuskan pelbagai senario ketidakstabilan dan huru-hara seperti digembargemburkan oleh pemimpin Umno.

Pengundi Kuala Besut menjadi ‘King-Maker’?

Dengan kata lain, pengundi Kuala Besut telah menjadi ‘King-Maker’ dalam penentuan arus politik negeri Terengganu. Walaupun apa pun senario kesudahan selepas 16-16 tercapai, jelasnya keputusan PRK ini akan menentukan masa depan politik negeri Terengganu. Itu yang dimaksudkan bahawa Kuala Besut mencipta sejarah.

Mengapakah rakyat-pengundi Kuala Besut perlu menjadi ‘King-Maker’ dalam politik Terengganu adalah penting untuk difahami pengundi dalam PRK N 01 ini. Untuk perhatian pengundi Kuala Besut, bukan sahaja keputusan PRK menentukn politik negeri Terengganu, bahkan seperti disebutkan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, ia penentu dalam survival kerjaya politik DS Najib Tun Razak sendiri selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO! Bukan kepalang! Huraiannya tidak semudah sebutannya dan di sini bukan pentasnya.

Mengapa pengundi Kuala Besut mesti menjayakan 16-16?

1.       Memberikan isyarat yang tajam dan peringatan keras kpada penguasa dan pemimpin politik Umno bahawa kepentingan rakyat di Kuala Besut khususnya dan Besut serta Terengganu amnya, tidak boleh lagi di ambil ringan. Kedudukan kemiskinan dan Kuala Besut serta ranking Terengganu sebagai negeri termiskin mesti ditamatkan dengan keputusan 16-16 dalam PRK ini.

2.       ‘Agenda 16-16’ adalah gagasan membangunkan Kuala Besut khasnya dan Terengganu amnya! Ia adalah semacam ‘manifesto’ PAS dalam PRK ini untuk mewujudkan ‘Pembangunan Mapan’ dan ‘Keadilan Untuk Rakyat Terengganu’ sekaligus membenteras kezaliman serta peminggiran rakyat dalam arus pembangunan serta pembolotan kekayaan oleh penguasa politik.

3.       Lebih terperinci 16-16 memberikan amaran kepada pemimpin Umno bahawa Kuala Besut jangan lagi tercicir dan terpinggir dari arus pembangunan berbanding dun-dun dalam kawasan Besut itu sendiri. 16-16 akan mempastikan pembangunan seimbang akan dicapai dan setaraf dengan Jerteh dan Kota Putera. Kuala Besut bakal menjadi Bandar lestari.

4.       Memperbaikki sistem perairan-empangan di Kuala Besut seumpama di alami petani sawah di Kampong Nangka, Kampung Baru, Gong Manok dan Kampong Tok Saboh dengan mendayakan kelompok ini dengan infrastruktur perairan-empangan sekaligus menebus guna 1000 ekar tanah terbiar. 16-16 akan mengizinkan penanaman padi dua kali setahun dapat diusahakan bagi meningkatkan pendapatan petani.

5.       Memajukan Kuala Besut sebagai kawasan pelancongan yang berdaya maju dan menarik dengan menaikkan taraf  jeti Kuala Besut untuk menarik lebih ramai pelancong untuk ke Pulau Perhentian kecil dan Perhentian besar. Pastikan RM250 juta yang dijanji oleh TPM segera di bayar dan perancangan yang lebih mapan perlu disusun dan dilaksanakan.

6.       16-16 akan mempastikan rakyat khasnya kelompok nelayan yang memerlukan akan diberikan tanah untuk kediaman dan menangani aspek gejala sosial khususnya di kalangan muda-mudi. Pendidikan dan persoalan kerjaya mereka ditangani secara berkesan. 16-16 tidak akan mengizinkan tanah tanah berharga seperti dipesisir pantai dan di pulau-pulau pelancongan di’anugerahkan’ kepada wakil-wakil rakyat seperti amalan lama sementara rakyat ternafi.

7.       16-16 akan dapat menjadikan Dewan Undangan Negeri sebagai pentas semak-imbang paling berkesan dalam perbelanjaan RM1.8 bilion wang ihsan dan dana khas dalam perbelanjaan ybajet negeri (RM2 bilion) yang akan dipertanggungjawabkan secara telus.

8.      16-16 akan menuntut ruang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya golongan muda dan wanita untuk dimajukan dalam pelbagai sektor pekerjaan khasnya mengambil berteraskan pelancongan.

9.       Secara kesimpulannya 16-16 akan memberikan ruang untuk persaingan lebih sihat dan sengit di dewan undangan negeri dalam memajukan sebuah pelan pembangunan untuk negeri Terengganu amnya dan daerah Kuala Besut khasnya.

Dr Dzulkefly Ahmad, Ahli JK Induk PAS dalam PRK N 01 Kuala Besut.

Jejantas bertingkat Pasir Hor-Kubang Kerian retak

Salmah Mat Husain, 20 Jul 2013
KOTA BHARU: Tahukah anda penyambung Jejambat Pasir Hor-Kubang Kerian, didapati tidak selemat apabila ianya didapati retak dan tergelincir sebanyak 54 cm di laluan menghala ke Pasir Hor.

Bagi mendapat gambaran yang jelas, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Ustaz Ahmad Baihaki (gambar) telah meninjau aduan yang dikemukakan Aktivis Kelantan (AK03) berkenaan perkara itu.

Dalam tinjauan itu, penyambung jejambat dengan jalan, retak dan tergelincir sebanyak 54 sentimeter di laluan menghala ke Pasir Hor dan ianya cukup membahayakan keselamatan pengguna.

Baihaqi ketika ditemui dalam tinjauan itu mengakui keretakan yang tergelincir itu  kelihatan sudah ditampal, tetapi tampalan itu tetap pecah dan retak.

“Ini menunjukkan berlaku pergerakan serius di jejambat berkenaan,”ujarnya.

Sehubungan itu, Baihaki menggesa pihak yang bertanggungjawab menyiasat tahap keselamatan jejambat tersebut kerana terlalu banyak kes keruntuhan infrastuktur awam berlaku dalam negara ini.

Beliau berharap perkara itu tidak berlaku di Kubang Kerian sebagaimana keruntuhan yang telah berlaku di negeri-negeri lain.

Sebelum ini keretakan yang sama telah berlaku di Jambatan Sultan Yahya Petra 2, berhampiran KB Mall.

Sementara itu, Penyelaras Aktivis Kelantan,  Aduka Taruna berkata, dalam tandaan garis lurus yang dibuat oleh aktivis pada 6 Julai lepas, berlaku pergerakan 3mm dalam masa 13 hari pada tarikh 19 Julai.

Turut hadir meninjau keadaan keselamatan jejambat tersebut ialah NGO ROYALTI, Ambang 13, SAMM Kelantan dan AMBO.

Mereka turut menggesa pihak berwajib menyiasat segera perkara ini kerana ianya melibatkan pengguna.

Beri cuti kepada pengundi Kuala Besut di perantauan

Harakahdaily, 20 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS mencadangkan agar semua pengundi Kuala Besut yang berada di luar kawasan pilihanraya diberikan cuti tanpa rekod 24 Julai ini untuk membolehkan mereka mengundi dengan mudah.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata kerajaan patut memberikan kemudahan ini untuk membolehkan mereka menjalankan hak demokrasi mereka sempena pilihanraya ini.

"Saya cadangkan kakitangan awam diberikan cuti tanpa rekod manakala kakitangan swasta pula kerajaan meminta majikan mereka memberikan hak yang sama," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai hari mengundi untuk pilihannya kecil Kuala Besut.

Tarikh itu jatuh pada hari Rabu iaitu hari bekerja dan berada pula di tengah minggu.

Ia amat menyusahkan lebih 1,000 pengundi kuala besut yang tinggal di luar dari daerah Besut.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini berkata, tindakan ini umpama menghalang pengundi luar dari pulang untuk mengundi dalam pilihanraya ini.

Mustafa mencadangkan kakitangan awam yang berada di dalam daerah diberikan kemudahan untuk keluar mengundi tanpa halangan dari majikan masing-masing.

"Mereka tidaklah perlu untuk cuti kerana mereka boleh keluar mengundi sekejap sahaja, " katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan