Rabu, 31 Julai 2013

MASALAH LAMA TAK SELESAI...MASALAH BARU DATANG

Isu Syiah untuk alih perhatian kes jenayah

Abdul Aziz Mustafa, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Menggembar-gemburkan isu Syiah untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu-isu yang menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah dan kenaikan harga barang tidak akan berjaya, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Tindakan menggembar-gemburkan isu Syiah semakin kelihatan seperti tindakan terancang untuk mengalihkan perhatian orang-orang Melayu dari isu-isu yang lebih menekan mereka seperti kenaikan kadar jenayah yang semakin menakutkan dan kenaikan harga barangan.

"Tetapi tindakan itu pasti tidak akan berjaya kerana rakyat sudah semakin tahu dengan taktik mengalihkan perhatian itu," katanya.

Salahuddin juga melihat apa yang dilakukan itu sebagai lanjutan untuk "mengepung penyokong dan sokongan".

"Boleh dikatakan orang-orang Melayu adalah satu-satu pasaran yang masih terbuka untuk kepentingan politik Umno.

"Umno tahu ia tidak akan dapat menipu semua orang. Tetapi apa yang terus dilakukan oleh parti itu adalah semata-mata untuk mengepung penyokong dan sokongan sedia ada dari terlepas kepada pihak lain.

"Penyokong dan sokongan yang sedia ada perlu dilalaikan dengan perkara-perkara yang sensasi supaya mereka tidak sensitif langsung dengan isu-isu lain yang lebih menekan kehidupan rakyat," katanya.

Malah, katanya lagi, sering kali berlaku apa yang disensasikan untuk  mengepung penyokong dan sokongan itu bukannya berasaskan kebenaran tetapi sengaja untuk menimbulkan keraguan.

"Sudah terlalu kerap kita melihat isu-isu yang disensasikan itu hanyalah semta-mata bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan akhirnya terbuktikan tidak benar sama sekali," kata beliau.

Salahuddin berkata, isu Syiah tidak perlu diapi-apikan kerana enakmen dan undang-undang yang sedia ada boleh digunakan untuk menanganinya.

"Kalau kerajaan pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap pengikut-pengikut Syiah, mengapa tidak digunakan enakmen dan undang-undang yang sudah lama ada.

"Mengapa sengaja membuat bising seolah-olah tidak ada enakmen dan undang-undang yang boleh menangani perkara itu?" beliau mempersoalkan.

Sistem pemilihan baru Umno transformasi palsu

Shahbudin Husin, 31 Jul 2013
UMNO sudah menetapkan tarikh pemilihan pucuk pimpinannya tahun ini pada 5 Oktober depan. Kali ini pemilihan pemimpin di peringkat bahagian akan diadakan serentak dengan pemilihan pemimpin di peringkat nasional. Ia sesuai dengan kaedah pemilihan baru yang diperkenalkan Najib sebaik mengambil alih teraju kepimpinan UMNO pada 2009 lalu dengan tujuan menjadikan ruang demokrasi dalam parti menjadi lebih subur dan supaya UMNO lebih diminati oleh lebih ramai orang Melayu.

Sebelum UMNO diharamkan pada 1988, sesiapa yang ingin bertanding hanya memerlukan dua pencalonan daripada bahagian-bahagian UMNO tetapi sejak Mahathir menang hanya dengan kelebihan 43 undi di tangan Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987 dan kemudian menubuhkan UMNO Baru, beberapa peraturan untuk mengetatkan pertandingan telah diperkenalkan.

Antaranya ialah dengan memperkenalkan kouta pertandingan di mana mereka yang ingin bertanding apa-apa jawatan diperlukan melepasi kouta tertentu terlebih dahulu sebelum dibenarkan bertanding. Kouta pencalonan bagi jawatan Presiden ialah 30 peratus, Timbalan Presiden 25 peratus, Naib Presiden 20 peratus manakala Ahli MT 10 peratus. Bagi jawatan lain di peringkat sayap dan bahagian juga ada peratusan tertentu yang ditetapkan sebelum layak bertanding. Itulah yang menjadi antara sebab Mahathir mampu kekal selama 22 tahun sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri.

Berikutuan keputusan buruk pilihanraya 2008 yang kemudian diikuti dengan pengunduran Pak Lah dan Najib mengambil alih teraju parti dan negara, beliau telah memperkenalkan peraturan baru dengan menghapuskan sistem kouta dan memberi ruang kepada lebih ramai ahli UMNO di peringkat bawahan hak memilih pemimpin. Ia sebahagian daripada transformasi politik Najib yang diperkenalkan oleh Najib.

Jika dulu pemilihan pemimpin hanya ditentukan oleh kira-kira 2,500 perwakilan sahaja tetapi kini ia lebih meluas dengan melibatkan seramai 146,500 perwakilan cawangan dari seluruh negara. Pemilihan juga diadakan serentak di seluruh negara untuk menjadikannya lebih adil dan tidak saling mempengaruhi antara satu sama lain.

Pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya Najib sering menjaja sistem baru ini menunjukkan keterbukaannya terhadap pertandingan serta pendirian yang tidak takut terhadap cabaran, selain sebagai usaha untuk menjadikan UMNO sebuah parti yang lebih inklusif dan subur sistem demokrasinya.

Ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bawahan pula bagaikan tidak sabar untuk melaksanakan sistem baru kerana sebelum ini sebahagian besar mereka hanya menjadi golongan tumpang tengok saja dalam pemilihan pucuk pimpinan, malah ada yang hanya mengenali pemimpin melalui tatapan wajahnya di akhbar dan tv saja.

Dengan sistem pemilihan baru yang diperkenalkan Najib, ramai yang tidak sabar untuk menggunakan hak mengundi masing-masing, selain merasakan inilah masanya untuk mereka mengenali pemimpin kerana percaya ramai pemimpin atasan akan turun ke peringkat bawahan atau cawangan untuk melobi undi serta sokongan daripada perwakilan.

Soalnya benarkah sistem baru ini menjadikan demokrasi dalam UMNO lebih subur dan pewakilan seramai 146,500 itu benar-benar bebas memilih pemiimpin?

Apakah 146,500 itu boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka sebagaimana tanggapan ramai?

Jika ditanya kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO peringkat cawangan mengenai sistem pemilihan baru itu, ramai di antaranya yang masih kabur, keliru dan tidak pasti bagaimanakah kaedah pemilihan baru itu berfungsi. Apa yang mereka tahu, kali ini bukan lagi 2,500 perwakilan yang menentukan kedudukan pemimpin di atas tetapi sudah menjadi 146,500. Kebanyakannya hanya mempunyai pengetahuan setakat itu saja.

Walaupun UMNO telah mengadakan siri taklimat ke negeri-negeri mengenai sistem pemilihan baru ini tetapi tidak semua ketua-ketua cawangan menghadirinya. Yang hadir pula kadangkala mempunyai pemahaman yang terbatas, lalu usaha untuk menerangkannya dengan lebih jelas kepada ahli-ahli menjadi terhalang.

Media-media pula seperti tidak memberi liputan atau huraian yang sejelas-jelasnya mengenai sistem baru ini. Pemimpin UMNO juga tidak bercakap banyak mengenainya, sekadar suka menyebut angka 146,500 perwakilan sebagai bukti keterbukaan dan transformasi yang mahu dibawa oleh Najib.

Hakikatnya, ramai yang tidak sedar bahawa walaupun 146,500 perwakilan diberi ruang mengundi atau memilih pemimpin dalam sistem baru ini tetapi mereka bukanlah boleh mengundi secara langsung pemimpin pilihan mereka. Meskipun mempunyai 146,500 perwakilan kali ini tetapi sistem yang digunakan ialah satu bahagian satu undi dan bukannya undian langsung perwakilan cawangan-cawangan.

Ini bermaksud jika sekiranya calon A dan B bertanding jawatan Presiden UMNO dan sebagai contoh UMNO Bahagian Pekan mempunyai perwakilan seramai 500 orang, sekiranya calon A memperolehi 400 undi manakala calon B memperolehi 100 undi, bermakna calon A telah memperolehi satu undi. Begitulah seterusnya berlaku di semua 191 bahagian-bahagian UMNO.

Sistem baru ini dikatakan adalah campuran daripada sistem pilihanraya di Amerika Syarikat dan United Kingdom atau dipanggil "electoral college".

Difahamkan juga, sistem baru ini hasil daripada beberapa pencarian serta pengubahsuaian dan hanya dimuktamadkan baru-baru ini sahaja. Yang nyatanya, sistem ini tetap memberi ruang kepada Ketua Bahagian melakukan kawalan dan Presiden atau sesiapa yang ingin kemenangan pula hanya perlu menjaga tembolok ketua-ketua bahagian untuk memastikan survivalnya terjamin.

Isunya ialah adakah kaedah satu bahagian satu undi ini benar-benar menunjukkan keterbukaan dan keinginan melihat demokrasi lebih subur atau sekadar transformasi palsu sedangkan matlamatnya tetap untuk melindungi mereka yang diatas terus kekal sebagai pemimpin.

Melalui satu bahagian satu undi, kawalan oleh mereka yang berjawatan lebih mudah terhadap bahagian-bahagian. Untuk mempertahankan jawatannya, Presiden atau Timbalan Presiden misalnya, perlu menemui semua 146,500 perwakilan cawangan-cawangan untuk mendapatkan undi tetapi cukup sekadar menjaga dan memberi jawatan atau habuan kepada Ketua-Ketua Bahagian saja.

Itulah antara sebabnya, walaupun tarikh pemilihan hanya tinggal kira-kira 2 bulan saja lagi tetapi kemeriahan dan kesibukan pemimpin turun ke peringkat bawahan masih tidak kelihatan lagi. Hanya ketua-ketua bahagian yang sibuk turun naik ke Kuala Lumpur menemui pemimpin atasan sambil diberikan pelbagai jenis habuan, kontrak dan jawatan.

Walaupun sistem ini dikatakan untuk memberi keadilan kepada bahagian-bahagian kerana jumlah cawangan setiap bahagian adalah berbeza-beza tetapi hakikat yang nyata ialah sistem "electoral college" ini juga bertujuan melindungi penyandang jawatan daripada digugat kedudukannya.

Kaedah ini nampak macam terbuka tetapi sebenarnya bukaannya hanya kecil saja. Ia tidak terbuka sepenuhnya sebagaimana yang disangka. Di sebalik transformasi dan keterbukaan yang dijaja, maksud tersiratnya untuk melindungi kepentingan sendiri nampaknya tetap lebih utama. - http://shahbudindotcom.blogspot.com

Sampel kes jenayah pistol dan pedang samurai

Nasrudin Hassan, 31 Jul 2013
1. Meskipun kerajaan menjadikan agenda pengurangan jenayah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara, namun statistik dan laporan pendedahan jenayah di media akhir-akhir ini menunjukkan sebaliknya.

2. Daripada data sampel yang dikumpul dari paparan media sejak 1 April 2013 hingga 30 Julai 2013, sebanyak 15 kes jenayah melibatkan senjata api, pedang dan parang telah berlaku. Mangsa jenayah pula meliputi golongan berstatus tinggi hingga ke status rendah. Tambahan lagi, kejadian-kejadian yang berlaku adalah di pekarangan umum seperti di tepi jalan, tempat parkir kereta dan berdekatan sekolah pada waktu pagi, petang dan malam.

3. Ekoran daripada kes-kes tersebut, timbul beberapa persoalan;

a)    Bagaimana penjenayah-penjenayah bersenjatakan pistol dan pedang samurai begitu mudah menembak serta menetak mangsa di lokasi-lokasi awam?

b)    Adakah senjata-senjata seperti pistol dan pedang samurai senang
diperolehi di pasaran serta tidak terkawal?

c)    Benarkah dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan wujud banyak kumpulan samseng/mafia yang mempelopori sindiket-sindiket haram seperti pembunuh upahan berprofil tinggi di negara ini?

4. Saya menyeru kepada semua pihak termasuk daripada Parti Islam
Se-Malaysia (PAS) agar turut sama berganding bahu untuk membantu pihak polis dalam membanteras jenayah di negara ini menggunakan kapasiti kemampuan masing-masing. Mewujudkan persekitaran negara yang aman dan selamat merupakan agenda serta komitmen seluruh rakyat.

5. Saya juga menggesa agar saksi-saksi kejadian tidak gentar malah segera tampil ke hadapan untuk membantu pihak polis menyelesaikan kes-kes jenayah yang berlaku. Malah, pihak kerajaan khususnya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dapat mempertingkatkan usaha-usaha seperti sentiasa mengaktifkan keberadaan anggota-anggota polis di lokasi-lokasi panas, memperbaiki CCTV di kawasan awam dan memperkemaskan gerak kerja risikan agar sindiket jenayah dapat ditumpaskan.

6. Berikut adalah data sampel kes-kes jenayah bersenjatakan pistol dan pedang samurai dari 1 April 2013 hingga 30 Julai 2013.

a].    1 April 2013
Kejadian tembak dan tetak seorang lelaki di Taman Seri Timah, Balakong

b].    26 April 2013
Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Shaharuddin Ibrahim ditembak
mati dengan jarak dekat di Lebuh Sentosa, Putrajaya

c].    7 Mei 2013
Kejadian tembak di sebuah kedai cuci kereta di Kampung Keliang, Kalumpang, Hulu Selangor

d].    25 Mei 2013
Seorang peraih ikan ditembak mati selepas keluar daripada Masjid Nurul
Anuar, Mukim Dalam Rhu, Pasir Puteh

e].    27 Mei 2013
Seorang lelaki yang sedang berkebun di kawasan rumahnya cedera parah selepas ditembak di Jalan Melati, Nilai

f].    28 Mei 2013
Kes menetak, mengikat dan menembak pekerja kontrak Petronas di Dungun

g].    2 Jun 2013
Seorang pemandu bas sekolah cedera ditembak lima das tembakan di hadapan rumahnya di Taman Rembau, Butterworth

h].    7 Julai 2013
Polis Kelantan mengesan tiga kumpulan besar pengedaran dadah yang menyebabkan beberapa kes tembakan.

i].    8 Julai 2013
Pembunuhan seorang guru Sekolah Kebangsaan Beris Panchor, Kota Bharu selepas terkena tiga das tembakan

j].    13 Julai 2013
Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun menjadi mangsa akibat tembakan yang disasarkan oleh penjenayah tidak menepati sasaran di Pangsapuri Golf View Bukit Jambul, Georgetown

k].    17 Julai 2013
Seorang guru ditembak mati di Simpang Empat Keladi, Kulim dalam
perjalanan ke sekolah

l].    24 Julai 2013
Seorang lelaki yang baru selesai dari berjoging cedera parah selepas
ditembak di kawasan letak kereta Taman Rekreasi Gunung Lambak, Kluang

m].    26 Julai 2013
Seorang pemandu lori Pertubuhan Peladang Kawasan Temerloh cedera
setelah ditembak dalam perjalanan ke Jerantut

n].    28 Julai 2013
Pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch cedera parah setelah ditembak di persimpangan jalan Taman Cempaka, Bahau.

o].    29 Julai 2013
Pengasas Arab Malaysian Bank maut dan isterinya ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur

7. Jika negara buntu dan pihak berkuasa mati kutu untuk menangani jenayah yang meningkat mendadak secara luar biasa, saya sekali lagi mahu mengulangi pendirian saya yang pernah saya lontar satu masa dulu betapa perlunya perlaksanaan undang-undang Syariat Islam dikuatkuasakan sebagai alternatif dari kegagalan teruk sistem yang ada pada hari ini.

8. Berilah peluang kepada Islam membuktikan keupayaan dan kemampuannya menangani dan membanteras jenayah yang semakin membarah. Islam pasti sahaja akan memastikan keadilan dan kesaksamaan  kepada semua kaum dan bangsa tetutama insan tertindas dan mangsa jenayah serta Islam menurunkan berkat dan rahmat Allah swt tuhan yang Maha Mencipta.

9. Pada masa yang sama, insyaallah DPPM akan turun padang mengedarkan risalah untuk meniup kesedaran rakyat betapa perlunya "Bersama Perangi Jenayah" di pertengahan syawal selepas ummat Islam menyambut hari lebaran Aidil Fitri yang bakal menjelma tidak berapa hari sahaja lagi.

10. Institut Pemikiran Fadhil Noor [INFO] sebagai sebuah agensi di bawah lajnah Penerangan DPPM akan diaktifkan sebagai agen yang akan bekerjasama dengan pihak PDRM, menyampaikan kesedaran ini kepada masyarakat menerusi forum dan wacana awam "Bersama Perangi Jenayah" .

Ketua DPP Malaysia merangkap Ahli Parlimen Temerloh
23 Ramadhan 1434 / 31 Julai 2013

Tembak: Apa motif di sebalik pembunuhan?

Anis Nazri, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas perlu diwujudkan bagi mengenal pasti punca berlakunya pembunuhan menggunakan senjata api yang begitu kerap berlaku kebelakangan ini.

Langkah tersebut dilihat perlu bagi memastikan bagaimana senjata api yang digunakan begitu mudah memasuki negara ini, selain mencari pembekal senjata api tersebut.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss, berkata insiden jenayah membabitkan penggunaan senjata api yang berlaku kebelakangan ini menimbulkan pelbagai persoalan, khususnya tentang mudahnya senjata pembunuh itu digunakan penjenayah untuk menembak sesiapa yang diingini mereka.

Ia juga memperlihatkan gambaran keselamatan di negara ini masih longgar apabila insiden itu berlaku dalam tempoh yang begitu singkat antara satu kejadian dengan kejadian lain.

"Persoalannya, siapakah yang menjadi pembekal senjata api dan motif pembunuhan di dalam negara ini? Apakah pembekal senjata api itu berada di Malaysia atau mereka juga dilindungi oleh pihak tertentu?" soal beliau dalam kenyataannya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau yang melahirkan kerisauan dan curiga dengan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api ini mengharapkan pihak polis menjalankan tugas mereka agar isu keselamatan di dalam negara ini tidak mencemaskan kebanyakan rakyat yang dilihat mampu membawa kesan negatif terhadap industri pelancongan dan keyakinan pelabur.

Dalam pada itu, Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata suasana tersebut menunjukkan para penjenayah sudah tidak gentar dengan kehadiran pasukan keselamatan, lebih-lebih lagi apabila kejadian tersebut berlaku di tempat terbuka, selain berlaku pada waktu siang.

"Kamera litar tertutup yang dipasang dilihat seolah-olah tidak berfungsi untuk membendung kejadian jenayah membabitkan penggunaan senjata api. Kehadiran polis juga tidak berjaya mematahkan strategi dan modus operandi penjenayah dalam menjayakan misi pembunuhan mereka," tegas beliau.

Tambah beliau, insiden ini menunjukkan bahawa Malaysia bukan lagi satu destinasi aman dan selamat bagi rakyat, malah sesiapapun apabila ia mirip seperti negara Amerika Selatan, Afrika atau sebahagian negara yang sedang berkonflik perang serta memiliki rangkaian kartel dadah terbesar hingga samseng, kongsi gelap atau pembunuh upahan mampu bermaharajalela.

Isu ini, tegas Khairul Faizi perlu ditangani serta-merta dengan tindakan bersepadu agar insiden ini tidak berulang ke atas mana-mana mangsa lain.

"Golongan korporat, usahawan, ahli politik dan profesional dan rakyat biasa sekalipun sudh tentu berasa terancam dengan keadaan muktahir ini yang memerlukan satu pasukan khas bagi membanteras jenayah ini hingga ke akar umbi," tegas beliau lagi.

RPT Perwira: Bekas tentera menanti janji ditepati

Harakahdaily, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: PAS Perak mendesak kerajaan negeri pimpinan BN agar mengotakan janji mereka untuk memberikan lot kediaman kepada bekas tentera dan polis bagi projek Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Perwira dengan segera.

Menurut, Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, kerajaan negeri dikatakan akan membangunkan tanah seluas 268 hektar yang membabitkan 11 lokasi di seluruh Negeri Perak untuk tujuan itu.

Pada tahun lepas sahaja katanya, sejumlah 7,000 permohonan daripada bekas tentera dan polis telah diluluskan oleh kerajaan negeri dengan jumlah 7,849 unit lot kediaman telah ditawarkan.

"Persoalan kini, adakah semua permohonan daripada bekas tentera dan polis telah diberikan? Yang turut menjadi persoalan, daripada tanah seluas 268 hektar yang disediakan, berapa pula untuk projek Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Perwira khas?

"Kami persoalkan perkara ini kerana bimbang kerajaan negeri akan menawarkan harga RPT Perwira Khas yang tidak mampu dimiliki oleh bekas tentera dan polis walaupun dikatakan rumah-rumah yang bakal dibina lebih murah 30 peratus daripada harga pasaran," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau lagi, ketika ini sudah terdengar rungutan daripada golongan bekas tentera dan polis yang masih tertunggu-tunggu bilakah janji kerajaan negeri itu akan ditunaikan.

"Kami mendesak agar BN mengotakan janji mereka pada PRU13 yang lalu dan memberikan jaminan akan menyelesaikannya secepat mungkin," katanya.

50 hari berkhemah, flat retak tiada penyelesaian

Harakahdaily, 31 Jul 2013
PUTRAJAYA: Kecewa dan marah. Itulah perasaan yang boleh menggambarkan emosi penduduk Taman Permata Dengkil semalam di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Setelah berkhemah selama 50 hari di sebelah flat yang retak dan selepas tiada perkembangan dan usaha konkrit untuk menyelesaikan masalah perumahan mereka, semalam lebih kurang 100 wakil penduduk mengadakan protes di hadapan KPKT.

Walaupun KPKT menggunakan pelbagai helah untuk membatalkan protes tersebut, penduduk yang hampa dengan respons pihak kerajaan setakat ini, tetap turun demi meneruskan perjuangan mereka.

Pada protes semalam mereka turut membawa kain rentang dengan tulisan "50 hari dalam khemah, Apa Perkembangan Masalah Kami?".

Kehadiran mereka kemudian membawa kepada pertemuan wakil penduduk dengan pegawai KPKT.

Mesyuarat bermula lebih kurang jam 11 pagi dengan dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Datuk Yusoff Ghazali.

Menurut NGO Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT), apa yang menghairankan, KPKT seperti tidak mempunyai sebarang laporan tentang keadaan bangunan sekarang.

Lebih mengecewakan apabila KPKT mendakwa mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana tidak mendapat jawapan terhadap surat yang dihantarnya kepada Kerajaan Negeri Selangor pada 4 Julai yang lalu.

"Apabila ditanya tentang komitmen Kerajaan Persekutuan dalam pembinaan rumah bagi penduduk Taman Permata Dengkil, Datuk Yusoff gagal memberikan satu jawapan yang konkrit dan gagal memberikan komitmen Kerajaan Persekutuan, sebaliknya beliau menuding jari kepada Kerajaan Negeri dan kondisi tanah yang akan diperuntukkan," kata NGO itu dalam satu kenyataan.

Jenayah tidak terkawal, rakyat semakin bimbang

Harakahdaily, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Jenayah yang berlaku dalam beberapa hari ini dilaksanakan dengan nekad di tempat awam pada hari siang.

Bagi Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid, ini bermakna sudah ada keberanian untuk melakukan jenayah berat terang-terangan seolah-olah penjenayah yakin di Malaysia mudah terlepas dari menerima hukuman.

“Kami sangat khuatir jika dipihak KDN pula dijangkiti dengan sindrom penafian dan bersikap bebal apabila orang awam melahirkan rasa tidak yakin dengan tahap kecekapan pihak polis menjaga keselamatan awam.” Ujarnya dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Melihat kepada jenayah bunuh nekad di negara ini, kami berpandangan pihak KDN harus jujur menilai semula tahap keselamatan awam di negara ini.

Dalam beberapa kes tembak mati di waktu siang yang berlaku di negara ini, ia bukan lagi masa untuk kita saling menuding tetapi hendaklah membuat penilaian menyeluruh kenapa penjenayah semakin nekad melakukan jenayah berat di negara ini.

Kami melihat kes tembak mati yang berlaku dalam jangka masa yang dekat selang sehari menunjukkan bukan sahaja penjenayah tidak gerun dengan pihak polis namun pihak polis juga mula kelihatan kurang berkesan menjaga keselamatan awam.

Jenayah yang berlaku dalam beberapa hari ini dilaksanakan dengan nekad di tempat awam pada hari siang. Bermakna sudah ada keberanian untuk melakukan jenayah berat terang-terangan seolah-olah penjenayah yakin di Malaysia mudah terlepas dari menerima hukuman.

Kami sangat khuatir jika dipihak KDN pula dijangkiti dengan sindrom penafian dan bersikap bebal apabila orang awam melahirkan rasa tidak yakin dengan tahap kecekapan pihak polis menjaga keselamatan awam.

Dengan berlakunya jenayah tembak mati dalam hanya beberapa hari ini, tidak mengejutkan jika pihak awam tertanya-tanya kenapa tahap keselamatan awam menjadi semakin tidak terkawal.

Kami kesal bila rumusan untuk menubuhkan Suruhanjaya Bebas Salah Laku dan Aduan Polis (IPCMC)  untuk menambahbaik peranan pihak polis, ditentang sendiri oleh KPN sejak ia dicadangkan pada 2007 lagi.

Sedangkan IPCMC adalah  salah satu daripada 125 cadangan pembaikan pasukan polis yang dikemukakan Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia pada tahun 2005.

Suruhanjaya yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaidin Abdullah itu mencadangkan IPCMC ditubuhkan sebelum 31 Mei 2007.

Sehingga kini, IPCMC masih belum terlaksana dan penangguhannya terus didesak oleh rakyat.

Kami berpendirian bahawa apabila rekod jenayah dikatakan sudah menurun di negara ini, jelas insiden jenayah berat yang berlaku dalam masa hanya beberapa hari ini menunjukkan bahawa tahap keselamatan negara masih sangat merisaukan.

Kesan dari situasi ini bukan sahaja akan menjejaskan pelabur dan pelawat luar untuk datang ke Malaysia, malah rakyat negara ini juga akan sukar mengharapkan agensi polis untuk menjaga keselamatan awam dengan baik.

Kami dengan itu mengesa suatu penilaian semula seluruh tahap keselamatan awam hendaklah dilancarkan. Suatu dialog nasional mengenai isu keselamtan awam perlu diadakan. Tujuannya adalah untuk mendengar pelbagai pendapat mengenai bagaimana keselamatan awam dapat terjamin melalui sistem pengawasan dan pengawalan pihak polis.

Pelbagai pihak masyarakat perlu dilibatkan untuk menjadi rakan dialog yang inklusif demi menghasilkan pelan tindakan yang terbaik.

Diesel: Penguatkuasaan kita masih lemah

Hazayani Zakaria, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Kelemahan kerajaan mengendalikan krisis kekurangan bekalan diesel menyebabkan kepentingan pengguna tidak dapat diutamakan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan harus jelas punca sebenar kekurangan bekalan diesel yang berlaku hampir setiap tahun dan meningkatkan penguatkuasaan berhubung penjualan diesel agar tidak berlaku penyalahgunaan subsisi diesel.

Beliau yang merupakan Pengerusi Lajnah Pengguna PAS Pusat bimbang subsisi 20 juta liter yang diberikan kerajaan disalahgunakan oleh syarikat-syarikat tertentu dengan menjual diesel kepada rakyat asing dengan harga yang murah.

"Ada pihak yang cuba untuk eksploitasi diesel ini untuk menjual ke pasaran asing dengan harga subsisi atau pun ada pihak yang membeli lebih daripada kuota.

"Isunya ialah penguatkuasaan daripada kementerian yang gagal untuk melihat masalah sebenar. Akhirnya pengguna jadi mangsa dan yang dapat layanan mesra ialah industri besar," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut dekat sini, semalam.

Menurut beliau juga menggesa kerajaan menyelesaikan segera krisis bekalan diesel ini menjelang musim perayaan dan tidak bertindak menaikkan harga diesel sewenang-wenangnya.

"Pengguna sangat memerlukan bekalan diesel pada musim perayaan ini dan kerajaan jangan mengambil kesempatan dnegan menaikkan harga disesel dengan asalan kekeurangan bekalan," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Sokong saringan ketat pemandu bas ekspres

Harakahdaily, 31 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) bersetuju dengan cadangan agar mewajibkan semua pemandu bas ekspres menjalani pemeriksaan kesihatan, termasuk saringan air kencing sebelum memulakan perjalanan mereka pada musim Aidilfitri ini.

Ketua peneranganya Riduan Mohd Nor berkata, langkah itu sangat wajar dalam usaha memastikan semua faktor yang boleh menyumbang kepada kemalangan khususnya membabitkan bas ekspres dapat dicegah semaksima mungkin.

"Pemandu bas ekspres adalah penentu selamat atau tidaknya penumpang yang mereka bawa. Nyawa penumpang berada di tangan pemandu, sekiranya pemandu cuai atau memandu dalam pengaruh alkohol atau dadah, tiada jaminan penumpang akan berada dalam keadaan selamat.

"Apa yang diharapkan agar hanya pemandu yang benar-benar cergas, sihat serta bebas dari pengaruh alkohol dan dadah sahaja dibenarkan memandu bas di musim perayaan seperti ini. Ia bagi mengelakkan kemalangan jalan raya terutama yang melibatkan bas ekspres dapat dikurangkan pada tahun ini," katanya.

Beliau juga bersetuju dengan pertauran bahawa hanya pemandu yang mempunyai rekod bersih dibenar membawa bas sepanjang musim perayaan ini.

Selain itu, beliau mengharapkan agar pemandu bas ekspres agar mengikut segala peraturan yang ditetapkan termasuk memandu pada tahap kelajuan yang dibenarkan.

"Pemandu bas tidak harus mengejar waktu dengan memandu bas terlalu laju sehingga mambahayakan keselamatan penumpang. Faktor kelajuan selalunya menjadi sebab bas hilang kawalan dan menyumbang kepada kemalangan.

"Faktor keletihan dan kepenatan kerana berjaga malam atau terlalu lama memandu juga boleh menjejaskan pemanduan. Oleh itu, pemandu diharapkan agar sentiasa memastikan mereka memandu dalam keadaan cergas, sihat, tenang dan sentiasa peka dan awasi jalan yang dilaluinya," uajarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan