Khamis, 25 Julai 2013

JANGAN BERLAGAK DAN TUNJUK KUASA LAH...KALAU KITA MASIH TAK MAMPU MENANGGUH KEMATIAN UNTUK DIRI SENDIRI

Adun santuni masyarakat Bawean Gombak

Harakahdaily, 25 Jul 2013

GOMBAK: Beberapa buah surau dan kampung masyarakat Bawean di Gombak menerima beberapa jenis sumbangan dari Adun Gombak Setia, Ustaz Hasbullah Ridzwan semalam.

Majlis sumbangan tersebut diadakan bersempena Majlis Berbuka Puasa bersama masyarakat Bawean Surau Baburrahmah di Sungai Chincin, Gombak.

Antara surau yang menerima sumbangan semalam, Surau Hidayatussobyan, Kg. Kerdas 4, Surau Miftahulhuda, Pinggiran 3, Surau Baburrahmah, Pinggiran 1, Sg. Chincin dan Kampung Sri Harmonis.

Sumbangan Aidilfitri itu berupa barangan makanan termasuk wang bagi pembelian beberapa kelengkapan dan penyelenggaraan surau dan kawasan kampung.

Ianya termasuk permaidani, sistem pembesar suara, paip air, pembinaan longkang serta bagi tujuan pengindahan surau sempena menyambut 1 Syawal nanti.

“Kita berharap dengan sumbangan yang diberikan dapat meningkatkan lagi prasarana dan juga dapat mengimarahkan lagi surau-surau masyarakat Bawean.”

“Dengan sumbangan ini juga, dapatlah masyarakat Bawean Gombak menikmati kehidupan yang lebih baik dibawah Pakatan Rakyat Selangor” kata beliau ketika berucap di majlis berbuka puasa tersebut.

Dalam kesempatan itu juga, Hasbullah sempat melawat surau yang hampir siap dibina oleh masyarakat Bawean Pinggiran 4 dan masih memerlukan sumbangan.

Bawean merupakan satu kelompok kecil masyarakat Melayu yang berasal dari Pulau Bawean, Indonesia.

Contohi diet Rasulullah

Detik Islam, 25 Jul 2013
Kesempurnaan peribadi Rasulullah SAW sebagai kekasih Allah tiada tolok bandingnya dan menjadi ikutan para muslim seluruh  dunia.  Antara amalan Rasulullah SAW termasuklah cara  beribadah, menjaga kebersihan diri, hidup berkeluarga termasuk diet makanan cara baginda.  Jika kita menitik beratkan  diet yang  seimbang dan mengamalkan pemakanan yang sihat, tubuh akan terpelihara  daripada serangan penyakit. Hal ini penting kerana sebagai seorang muslim, badan yang sihat akan memudahkan kita beribadat kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW menjaga kesihatan rohani dan jasmani demi memudahkan baginda untuk menyampaikan seruan Allah kepada umatnya.  Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan melainkan apabila sudah terasa lapar dan apabila kami makan, tidak pernah sampai kenyang.”  Begitulah antara petua yang Rasulullah amalkan.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjelaskan amalan gaya hidup mewah manusia masa kini yang melebihkan pengambilan makanan tinggi lemak dan kurang bersenam.  Situasi ini menyebabkan peningkatan penyakit kronik seperti penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, diabetes serta kanser.

Cara Diet Rasulullah

Susu dan kurma antara makanan kegemaran Nabi Muhammad SAW

Antara lain diet cara Rasulullah SAW adalah makan makanan yang seimbang, makan perlahan-lahan, sederhana serta  berkongsi makanan. Rasulullah SAW juga suka minum susu, buah-buahan, tamar, daging, madu, sayur dan bubur kerana makanan itu mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan badan.

Dalam amalan baginda, selepas subuh Rasulullah SAW akan memulakan sarapannya dengan segelas air yang dicampur sesenduk madu asli. Jika dilihat dari ilmu kesihatan, madu berfungsi membersihkan lambung, mengaktifkan usus, menyembuhkan sembelit dan peradangan.

Setelah masuk waktu dhuha, Rasulullah SAW selalu makan tujuh biji kurma ajwa’ untuk menghindari keracunan. Ketika seorang wanita Yahudi meletakkan racun dalam makanan Rasulullah ketika perang Khaibar, bisa racun itu kembali tawar oleh zat-zat terkandung dalam kurma. Sebab itu Rasulullah SAW mengibaratkan orang yang rumahnya tiada kurma sebagai orang miskin.

Selain itu, Rasulullah SAW tidak akan  mengambil  dua jenis makanan panas atau dua jenis makanan dingin secara bersamaan. Beliau juga tidak makan ikan serentak dengan daging dalam satu waktu dan tidak tidur selepas makan kerana tidak baik untuk jantung.

Ada hikmahnya tidak meniup air panas untuk diminum


Rasulullah SAW juga melarang meniup atau menghembus nafas ke dalam bekas air (makruh) kerana akan berlaku tindak balas yang merubah kadar kealkalian (pH) air itu.

Sayur-sayuran menjadi pilihan Rasulullah SAW kerana secara umumnya sayur-sayuran memiliki kandungan zat dan fungsi memperkuat daya tahan tubuh dan melindungi daripada serangan penyakit serta mencegah penyakit berpunca daripada gula.

Rasulullah SAW makan cuka dan minyak zaitun yang dicampurkan dengan makanan asasi seperti roti. Ia bermanfaat mencegah lemah tulang, melancarkan sembelit, menghancurkan kolestrol, melancarkan pencernaan dan menjaga suhu tubuh pada musim sejuk.

Baginda melebihkan makanan berasaskan bijirin dan ubi kerana ia membekalkan karbohidrat kompleks, vitamin, mineral dan serat. Mengikut piramid makanan, kita disarankan mengambil 8 hingga 12 hidangan makanan berasaskan bijirin dan ubi dalam sehari.

Ini bermakna Rasulullah SAW meninggalkan tatacara makanan yang lengkap untuk diteladani seluruh umatnya. Namun begitu, umat Islam masih dibelenggu pelbagai penyakit yang menyebabkan perbelanjaan orang Islam dihabiskan untuk perubatan serta makanan tambahan. Oleh itu, untuk membentuk kesinambungan generasi Islam, maka tabiat dan cara makan harus mencontohi Rasulullah SAW.

Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang sedikit makan, maka perutnya akan sihat dan hatinya akan bersih. Sebaliknya barang siapa yang banyak makan, maka perutnya akan ditimpa sakit dan hatinya keras.” (Hadis riwayat Huzaifah).

Dalam memastikan tubuh kita sihat, seharusnya kita mencontohi amalan pemakanan yang baik sebagaimana yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW.  Jika tubuh sihat, ibadah yang dilakukan sehari-hari akan terasa mudah untuk dilaksanakan.  Apalagi, mari kita mulakan amalan yang baik ini kesihatan diri.

Mesej bahaya dari ucapan terbaru Al-Sisi

Abdul Malik, 25 Jul 2013

Saya melihat ucapan terbaru dari Menteri Pertahanan Abdul Fatah As-Sisi amat bahaya bagi masa depan negara dan demokrasi di negara Mesir.

Sisi dalam ucapannya meraikan graduan Fakulti Tentera Laut dan Udara bagi wilayah Kaherah hari ini berkata secara jelas:

"Saya meminta rakyat Mesir yang bebas dan mulia untuk turun ke jalanraya-jalanraya Jumaat ini bagi memberikan kepada saya (askar) satu kuasa dan arahan untuk menamatkan keganasan yang berlaku."

Apa yang anda faham dari petikan ucapan Sisi ini. Saya ringkaskan kepada beberapa noktah penting:

1) Kumpulan penentang Mursi terpaksa menggunakan As-Sisi sebagai pemberi arahan untuk kumpulan mereka turun selepas beberapa siri majlis berbuka puasa anjuran Tamarrud yang diadakan di Tahrir tidak mendapat sambutan sama seperti hari 30 Jun bagi menjatuhkan Mursi. Mereka terpaksa mengerahkan tenaga anggota polis yang berpakaian biasa untuk turun berbuka puasa di Tahrir. Itupun jumlah mereka sekitar 1,000 hingga 2,000 orang. Kemungkinan mereka tidak memiliki daya juang dan jihad yang tinggi tambahan berada dalam bulan Ramadhan seperti pejuang-pejuang di Raba'ah yang sanggup berdiri dan berpanas terik.

2) Arahan Sisi ini menunjukkan secara jelas siapa yang memerintah Mesir hari ini. Bukan Adli Mansour sebagai Presiden sementara tetapi As-Sisi. Mansour hanya boneka Sisi.

3) Ucapan Sisi ini membayangkan kebimbangannya kepada himpunan raksasa yang lebih besar kerana Ikhwan Muslimin dan gabungan Kerjasama Kebangsaan mengumumkan Jumaat ini bersamaan 17 Ramadhan adalah "Jumaat Furqan" bertepatan sambutan memperingati Nuzul Al-Quran. Mengimbau beberapa Jumaat sebelum ini telah menyaksikan hampir 10 juta rakyat keluar menolak rampasan kuasa kerana kebetulan Jumaat merupakan cuti minggu.

4) Apa yang paling bahaya petikan ucapannya ialah "...bagi memberikan kuasa kepada saya"..Maksudnya jika Tahrir mampu menghimpunkan angka jutaan Jumaat ini maka ia akan memberi isyarat sokongan kepada tentera untuk meleraikan himpunan di Raba'ah dan Nahdhah yang memasuki minggu ketiga walaupun terpaksa dibunuh dan diceroboh mereka yang berada di Raba'ah maka ia bakal menyaksikan lebih banyak korban. Himpunan di Tahrir kelak sebagai "lesen besar" bagi Sisi bertindak lebih kasar kepada rakyat di Raba'ah. Matlamat utama tentera kini hanya mahu meleraikan himpunan di Raba'ah dan Nahdhah kerana imej Sisi jatuh di mata dunia waktu ini dengan kewujudan rakyat di dua lokasi ini. Taktik menggunakan polis dan militia samseng sebelum ini juga gagal meleraikan himpunan ini.

5) Istilah "pengganas" akan terus digunakan oleh penyokong rampasan kuasa bagi memberikan sokongan padu apa jua tindakan tentera selepas ini. Jika dibunuh mereka yang berhimpun maka ia "bukan satu kesalahan" kerana tentera bertindak memerangi pengganas. Apa jua tindakan yang mungkin mengejutkan kita dan dunia selepas ini maka tentera akan bertindak demi atas nama "memerangi pengganas" sedangkan "pengganas" itu tidak dilabelkan kepada kumpulan asing yang lain melainkan sebahagian rakyat Mesir dari kumpulan-kumpulan Islam termasuk Ikhwan Muslimin.

Mesir: Al-Sisi seru pertembungan Jumaat ini

Harakahdaily, 25 Jul 2013


MESIR: Ketua Tentera Mesir Jeneral Abdul Fatah Al-Sisi semalam membuat kenyataan "ancaman" apabila menyeru rakyat Mesir untuk turun ke seluruh dataran pada Jumaat ini, iaitu esok bagi membantu beliau berhadapan dengan penyokong Dr Muhammad Morsi yang dilabelnya sebagai pengganas.

Al-Sisi yang juga Menteri Pertahanan dalam ucapannya ketika meraikan graduan Fakulti Tentera Laut dan Udara bagi wilayah Kaherah semalam secara jelas meminta mandat daripada rakyat untuk bertembung dengan penyokong Morsi.

"Saya mendesak orang ramai turun ke jalanan hari Jumat nanti untuk membuktikan tekad mereka dan memberi saya, tentara, dan polis sebuah mandat bagi menghadapi kemungkinan kekerasan dan terorisme."

"Dengan demikian dalam hal itu harus ada penghentiaan kekerasan serta terorisme dan tentara akan mendapat mandat untuk menghadapinya," katanya yang turut disiar secara langsung beberapa buah saluran televisyen milik tentera.

Ikhwan sifatkan ancaman

Sementara itu, Ikhwan Muslimin menyifatkan kenyataan Al-Sisi itu sebagai ancaman, dan yakin pihak penyokong Morsi yang telah berhimpun hampir tiga minggu lalu tidak akan berganjak.

Wakil Ketua Partai Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin Essam El-Erian berkata, kenyataan Al-Sisi itu juga cuba membuat pengesahan untuk terus menggunakan kekerasan termasuk membunuh peserta himpunan penyokong Morsi.

"Ancamanmu tidak akan menghentikan jutaaan orang untuk berkumpul," kata Essam.

Harga ayam sepatutnya ditetap sebelum puasa

Harakahdaily, 25 Jul 2013

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Pesekutuan menyifatkan tindakan kerajaan yang akhirnya menetapkan harga standard RM 7.70 sekilogram berkuatkuasa esok sebagai "lambat bertindak".

Setiausahanya Nurul Islam Mohamed Yusof berkata, pihak kementerian sepatutntya bertindak lebih awal kerana isu kenaikan harga ayam ini bukan baru, malah setiap tahun menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidil Fitri pasti akan berlaku.

"Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ingin mendesak pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang diketuai oleh menterinya, Datuk Hasan Malek untuk mengambil langkah drastik terhadap isu ini.

"Sewajarnya langkah ini sudah dirancang awal kerana musim perayaan berlaku setiap tahun, dan harga ayam ini naik mendadak pada tahun ini. Satu mekanisme kawalan mesti dilakukan oleh pihak kementerian," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, jika ketetapan harga dibuat awal, contohnya sebelum Ramadan lalu, iaitu ketika harga ayam hanya RM6.50 sekilogram, maka kenaikan mendadak sehingga RM9.00 sekilogram seperti disesetengah tempat tidak akan berlaku.

Malah, mungkin juga harga tersebut boleh dikurangkan dan tidak perlu mencecah RM7.70 sekilogram seperti yang diwartakan oleh kerajaan bermula esok, iaitu selepas 16 hari umat Islam sudah menjalani ibadah puasa.

"Kami juga berpendapat sekadar menetapkan harga kawalan tidak memadai tanpa ada pemantauan dan penguatkuasaan dari pihak Kementerian.

"Justeru, pihak DPPWP dengan tegas mendesak pihak kerajaan untuk membuat pantauan yang ketat dan konsisten khususnya terhadap pengusaha dan pembekal daging ayam bagi memastikan harga ayam berada dalam kawalan," katanya.

Mengapa Ramadan kita tidak berkesan

Ustaz Hasrizal Abd Jamil, 25 Jul 2013
“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?” soalan yang diamanahkan kepada saya untuk mengupasnya.

Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.

Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.

Mengapa?

Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan peringatan, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.

Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperoleh tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.

MASALAH INPUT


Andaikata masalah INPUT itu bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.

Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.

Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.

Jika ada sebuah pasar raya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalan raya dilapangkan menuju pasar raya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasar raya tersebut.

Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.

Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.

Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.

MASALAH PROSES

Ketidakberkesanan puasa dalam membentuk ketaqwaan diri, mungkin juga berpunca bukan daripada masalah INPUT, sebaliknya datang daripada kecacatan PROSES. Cara puasa itu dilaksanakan, sejauh manakah ia menepati kehendak Allah Subhanahu wa Ta’aala dan didikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.

Belajar tidak pernah habis.

Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.

Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.

Jika di usia 15 tahun, kita belajar bahawa musafir diharuskan berbuka puasa, mungkin di usia 21 tahun kita perlu memperincikan ilmu itu apabila buat kali pertamanya kita menaiki kapal terbang di bulan Ramadhan. Rukhsah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ada kalanya jelas dari segi fiqh, tetapi terhalang daripada perlaksanaan akibat daripada sentimen bahawa rukhsah itu ‘mengurangkan nilai’ ibadah, atau rukhsah itu menukar kebiasaan.

Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun, berapakah tempoh puasanya? 21 jam! (penerbangan KLIA – London)

Begitu juga dengan kaum wanita yang hamil atau menyusukan bayi, perlu baginya memahami aspek-aspek bersangkutan dengan pengurusan puasanya, bila keharusan berbuka berlaku dan apa kesannya dari segi Qadha’ dan Fidyah. Seorang muslimah, tatkala masuk ke alam perkahwinan dan mula menimang cahaya mata, perlu menyediakan diri dengan ilmu berkaitan hal ini. Suami pula, tatkala menyedari bahawa sang isteri mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak berpuasa, dan perlu melakukan qadha’ selepas Ramadhan nanti, hulurkanlah bantuan dengan berpuasa sunat meneman isteri yang berpuasa.

Ada pun panduan menyusukan bayi bagi wanita yang berpuasa, artikel yang disiarkan di UMMUSAIF.COM boleh membantu. Ia langkah proaktif agar pilihan berbuka puasa untuk menyusukan anak, boleh diminumkan.

Manakala persoalan membabitkan qadha’ puasa dan fidyah yang berkaitan, harus juga diberikan perhatian. Adakalanya, soal qadha’ dan fidyah bersifat teknikal dan tidak sulit untuk ia dilaksanakan. Namun, perbuatan menangguhkan qadha’ puasa tanpa sebarang sebab dan keuzuran hingga masuk Ramadhan yang berikutnya, ia adalah dosa. Bukan sahaja qadha’ dan fidyah yang perlu dilangsaikan, pelaku itu juga mestilah bertaubat dan menyesali kecuaiannya itu.

Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?

Pada tahun awal pensyariatan ibadah puasa ini (Tahun kedua Hijrah), umat Islam hanya dibenarkan makan dan minum bermula daripada waktu Maghrib hingga solat Isyak. Selepas Isyak, tidak boleh lagi makan dan minum sehinggalah waktu Maghrib hari yang berikutnya. Jika ada yang tertidur sebelum Isyak, beliau juga berpuasa bermula daripada tidurnya itu sehinggalah Maghrib keesokan harinya. Hal ini amat membebankan sahabat dan hukum ini kemudiannya dimansuhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh. Perbuatan makan siap-siap pada waktu tengah malam dan kemudian tidur hingga masuk ke waktu solat Subuh, tidaklah menghasilkan fadhilat sahur. Malah ia disinonimkan dengan amalan Ahli Kitab, termasuk dari aspek menyengajakan pemanjangan tempoh berpuasa selepas ia sudah dipendekkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.

Hindari perbuatan ini.

Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.

Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!

Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.

Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam telah bersabda: Setiap umatku masuk Syurga, kecuali yang tidak mahu. Mereka (para sahabat) bertanya: Siapa pula yang tidak mahu itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: siapa yang mendurhakai diriku, maka sesungguhnya dia itu yang tidak mahu (masuk Syurga).” [HR al-Hakim]

Salam Ramadhan.

http://saifulislam.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan