Ahad, 21 Julai 2013

BILA TIDAK SEPENDAPAT...SEBAB PEMIKIRAN MENJURUS KEPADA KEPENTINGAN...TIDUR SEKATIL...CARA TIDUR LAIN2

300 penduduk jadi mangsa dendam politik Umno BN

Aslani M, 21 Jul 2013

Abdullah (kanan) bersama Zaki dan Mohd Asri menunjukkan geran besar di lot baru di Padang Luas.

BESUT: Lebih 300 penduduk di Kampung Padang Luas dan Padang Landak hanya mampu berputih mata, selepas rumah yang dibina di atas tanah diberi lesen menduduki sementara (TOL) menjadi mangsa dendam politik Umno.

Seramai 65 penduduk di Kampung Padang Luas dan 250 penduduk di Padang Landak, Dun Jertih mengharap tanah yang diluluskan kerajaan negeri semasa di bawah pentadbiran PAS  pada 1999 menjadi tempat anak cucu berteduh.

Tanah tersebut dilulus Pejabat Tanah Besut selepas diajukan permohonan pada 1999, ketika itu PAS mentadbir Terengganu, di mana pada asalnya merupakan padang ragut seluas lebih tiga ekar.

Bekas pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), Abdullah Mohamed berkata, tanah tersebut dimohon rakyat memandangkan mereka belum memiliki sebarang tanah bagi membina rumah.

Katanya, penduduk melalui Adun Jertih, Tun Salleh Abbas mengajukan permohonan kepada Pejabat Tanah Besut.

“JSR memilih mana-mana penduduk yang layak terutamanya mereka yang tidak memiliki tanah dalam kalangan penduduk tempatan yang miskin,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, selepas mendapat kelulusan kakitangan Pejabat Tanah Besut datang menyukat lot dan menanam batu sempadan di setiap lot.

Kemudian pengundian dilakukan bagi menentukan lot yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Besut.

Kata beliau selepas penduduk mendapat lot ada kalangan mereka mulai membina rumah mengikut kadar kemampuan masing-masing.

Biar pun belum mendapat tol secara  hitam putih penduduk membina asas-asas rumah atau pagar bagi mengelakkan tanah itu kembali dirampas kerajaan kerana tidak mendirikan sebarang binaan dalam tempoh tiga tahun.

Di penempatan baru itu sebuah rumah telah siap dibina penduduk manakala sebahagian lagi dalam proses pembinaan struktur asas rumah.

Abdullah berkata, biar pun borang permohonan sudah lama diajukan kepada Pejabat Tanah Besut dan kerajaan hanya mengeluarkan kelulusan tol pada 2004.

Kata beliau permohonan hanya diproses Pejabat Tanah Besut selepas didesak kerajaan negeri dan wakil rakyat bekali-kali bagi membolehkan penduduk mendapat lesen menduduki sementara.

Manakala di Padang Landak pula kawasan seluas 70 ekar dipecah kepada 250 lot untuk diagih kepada penduduk yang layak.

Seorang penduduk, Mohd Asri Ismail, 49, beliau telah mendirikan rumah di situ sehingga 20 peratus siap, membabitkan kos lebih RM5,000.

“Saya tidak mampu untuk menyiapkan pembinaan rumah itu dapat tempoh singkat kerana tiada wang. Saya kumpul sedikit demi sedikit bagi membina struktur asas dahulu,”  ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Zaki Samad, 65, juga menyiapkan kira-kira 20 peratus rumahnya di atas lot baru di Padang Landak.

Selain itu ramai juga penyokong Umno dan 10 penduduk bukan Islam juga mendapat lot rumah di Padang Landak.

“Malangnya ketika penduduk di situ mahu menyambung tol bagi tahun kedua pada 2005, kerajaan negeri melalui satu surat menyatakan mesyuarat kerajaan negeri pada 23 November 2005 telah membatalkan tol tanah tersebut,” katanya.

Pembatalan tol sementara dibuat selepas Barisan Nasional (BN) berkuasa semula di Terengganu, kemungkinan ada kaitan dengan balas dendam politik.

Abdullah berkata, tidak lama selepas kerajaan BN kembali berkuasa, rumah-rumah dan binaan asas yang dibuat penduduk di Padang Luas dan Padang Landak disodok menggunakan jentera berat.

Beliau dimaklumkan kerja-kerja menyodok rumah terbabit dibuat atas arahan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Di tapak rumah yang dimiliki rakyat tersebut sekarang telah dibangunkan projek perumahan yang ada kaitan dengan pemimpin Umno.

Tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan BN, penduduk membawa kes berkenaan ke mahkamah, dan sehingga sekarang kes itu di peringkat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.


Projek perumahan dibina di Padang Luas dahulu tanah milik rakyat.

Pedang Salahuddin al-Ayubi paling tajam terhangat

Harakahdaily, 21 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Para pembaca Facebook dan Twitter Harakahdaily paling meminati artikel bertajuk 'Pedang Salahuddin al-Ayubbi paling tajam di dunia?' bagi minggu ke-29, 2013.

Berita bertajuk “Tok Guru Nik Aziz dilarang solat di Masjid TUDM” ialah artikel kedua paling diminati. Berita itu berkisarkan hasrat Tuan Guru Datuk Nik  Abdul Aziz Nik Mat menunaikan solat Maghrib di Masjid Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Gong Kedak Khamis lalu tidak kesampaian.

Di tempat ketiga pula ialah artikel bertajuk “Gambar Anwar Ibrahim tersebar lagi... saksikan!”

Berikut ialah 10 artikel pilihan pembaca Harakahdaily bagi minggu 14 hingga 20 Julai.

1        Pedang Salahuddin al-Ayubbi paling tajam di dunia?

2        Tok Guru Nik Aziz dilarang solat di Masjid TUDM

3        Gambar Anwar Ibrahim tersebar lagi... saksikan!

4        Komen isteri guru mati ditembak, terhangat

5        Guru mati ditembak perlu perhatian kerajaan

6        Padah muat naik video rompakan – dihukum gantung

7        Abby Abadi ke Kuala Besut dengan suami ‘orang jamaah’

8        TG Nik Aziz selar kenyataan MP Pasir Salak

9        Obama 'pujuk' Morsi 3 kali sebelum rampasan kuasa

10        Pemimpin Umno SMS suruh undi calon PAS

16:16 perkukuh fungsi amar makruf nahi munkar

Dr Azman Ibrahim, 21 Jul 2013
Kedudukan Dun Terengganu 16:16 akan memperkukuhkan lagi fungsi amar makruf nahi mungkar. Kerajaan yang baik memerlukan pembangkang yang kuat dan berkesan untuk fungsi ‘check and balance’. Keberkesanannya teguran dan pendedahan dari pembangkang terbukti berkesan dari tempoh kempen PRK ini lagi.

Contohnya, pendedahan PAS dalam isu kecuaian calon BN ketika berkhidmat sebagai Jurutera JPS Besut sehingga mengakibatkan rosaknya Empangan Pengkalan Nangka, natijahnya kira-kira 1,000 ekar tanah sawah yang menjadi punca rezeki 400 keluarga di empat buah kampung kering kontang. Kita meyakini isu ini sangat tepat dan benar sehingga tidak dapat ditangkis oleh kerajaan.

Akhirnya sebagai jawapan, semalam (Sabtu 20 Julai 2013) Timbalan Perdana Menteri mengistiharkan peruntukan RM35 juta untuk pembinaan empangan baru Pengkalan Nangka. Sama ada peruntukan tersebut memang benar-benar wujud atau sekadar janji kosong, kita bersangka baik dahulu tetapi persoalannya kenapa baru istihar dalam kempen PRK sedangkan sudah lebih 3 musim ribuan ekar sawah tersebut terbiar?

Kalau tiada PRK serta tanpa teguran dan pendedahan dari PAS, mungkin kerajaan akan terus senyap membisu dalam isu ini.

PAS perlu diberikan peluang untuk mencorakkan Kuala Besut menjadi ‘baldatun toyyibah warabbun ghafuur..’ bumi yang baik dengan mendapat keampunan Allah.

Setelah sebegitu lama BN diberikan peluang untuk mewarnai Kuala Besut dengan warna dan corak pilihan mereka, tetapi terbukti statistik PDRM menunjukkan Kuala Besut adalah lokasi kadar jenayah yang tertinggi di Daerah Besut terutamanya jenayah harta benda, kekerasan dan narkotik.

Tentu sekali adik kakak kita di Kuala Besut merasa malu dengan fakta ini. Bumi Kuala Besut tempat orang baik-baik. Mana mungkin laporan mendedahkan, majoriti jenayah rogol di Besut berlaku di sini.

Begitu juga tangkapan kes dadah. Kita tidak ingin menjadi juara dalam aspek sebegini. Faktornya pelbagai tetapi tentunya sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kepimpinan negeri dan setempat mesti mengambil saham yang terbesar dalam persoalan rumit ini.

Kalau selepas lebih 50 tahun BN diberikan peluang, masalah jauh sekali dari selesai malah makin membarah, tak salah rasanya kalau PAS diberikan peluang untuk menyambung semula kerja-kerja yang telah dirintis dan dilaksanakan dengan baik dari tahun 1999 – 2004 dulu.

Semua memaklumi bahawa Umno merantai pengundi dengan ‘pitih’. Inilah candu terbaik yang menjadi senjata Umno/BN. Sejarah China ada ada mencatatkan kisah ‘Peperangan Candu’ di mana candu digunakan sebagai senjata untuk melemahkan musuh.

Bantuan sara hidup nelayan, BR1M, bantuan awal persekolahan, dana hari raya, bantuan JKM serta pelbagai lagi bentuk agihan tunai. Khabarnya untuk Kuala Besut, bantuan JKM untuk bulan Ogos telah siap diagihkan! Hebat sekali! Berubahkan taraf hidup rakyat? Tidak! Semua agihan tunai ini diistilahkan oleh masyarakat setempat sebagai ‘buleh habih’. Maknanya dapat dan dihabiskan dalam tempoh singkat sahaja. Kadang-kadang dalam masa sehari, semuanya licin.

Apakah segala bantuan ini mampu mengeluarkan masyarakat Kuala Besut yang rata-rata masih berada di bawah paras kemiskinan?

Adik kakak di Kuala Besut yang masih boleh melihat, berfikir dan menilai mampu memberikan jawapan jujur dalam hal ini. Adik kakak ambillah apa yang dibagi kerana memang dia hak adik kakak semua dari pitih rakyat, bukannya harta pusaka tok nenek Umno. Cuma dengan ingatan, gunakanlah kebijaksanaan kita untuk makan umpan tanpa telan mata kail sekaligus.

Kalau menang PAS sekalipun, adik kakak tetap akan dapat duit ini. Jangan takut dengan ugutan. Malah mungkin bila Umno merasa kedudukan mereka makin terancam, bantuan akan dinaikkan lagi.

Untuk jangka panjang, kita memerlukan kerajaan yang mampu merancang dengan baik serta memanfaatkan bajet besar Negeri Terengganu yang mencecah RM2 bilion untuk kita ubah taraf hidup kita bersama. Ayuh! Kita jadikan Kuala Besut permulaannya…

Pengundi Cina teruja mahu melihat kedudukan 16:16

Salmiyah Harun, 21 Jul 2013
BESUT: DAP Terengganu menolak dakwaan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai bahawa 90 peratus orang Cina di Kuala Besut menyokong calon BN pada PRK ini.

Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hing berkata, senario politik Cina di Kuala Besut sebenarnya teruja untuk melihat kedudukan Dun Terengganu 16:16.

"Rata-rata masyarakat Cina di Kuala Besut tidak sabar untuk melihat kedudukan kerusi di Terangganu menjadi 16:16," katanya ketika ditemui membantu jentera kempen PAS di Kuala Besut hari ini.

Katanya, walaupun orang Cina di sini adalah ahli MCA tetapi tidak semestinya mereka mengundi calon BN pada PRK Kuala Besut.

"Daripada maklum balas yang saya terima rata-rata orang Cina tidak sabar untuk melihat 16:16," katanya.

PAS dalam kempen PRK Dun Kuala Besut menggunakan tema ‘16:16 Terengganu Baru’.

Terdahulu, Liow Tiong Lai dalam siri berkempen di Kuala Besut tiga hari lepas menyatakan 90 peratus orang Cina di sini akan kembali kepada BN.

Sementara itu, Ng Chai berkata calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman boleh dibatalkan daripada bertanding di Dun Kuala Besut kerana perbelanjaan melampaui had yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, di dalam peraturan pilihan raya SPR hanya menghadkan setiap calon yang bertanding di peringkat Dun sebanyak RM100,000.

Katanya, jumlah perbelanjaan yang besar melayakkan calon BN dibatalkan membenarkan calon PAS menang percuma.

"Sebelum penamaan calon, calon itu dah melakukan kesalahan kerana mengagih bantuan Bakti Remaja kepada pengundi yang berumur 21 tahun hingga 40 tahun pada PRK ini," katanya.

Justeru, beliau menyifatkan PRK Kuala Besut mencatat rekod sejarah politik Malaysia di Terengganu kerana dalam masa 10 hari hampir RM400 juta ditabur kepada rakyat.

"Tak marah nak bantu rakyat Kuala Besut, tetapi biarlah berterusan lepas PRK buat lagi projek untuk bantu rakyat miskin di sini," katanya.

SPR selaku pengadil di dalam pilihan raya ini, katanya jangan hanya memekakkan telinga dengan apa kesalahan yang dilakukan oleh kerajaan BN.

"SPR, ada mata tapi buta, ada mulut tapi bisu, ada telinga tapi pekak," katanya sinis.

Datuk calon BN pengasas PAS di Kuala Besut

Aslani M, 21 Jul 2013
BESUT: Ayah calon BN, Ku Abdul Rahman Ku Abdullah mungkin menyembunyikan sesuatu apabila mendakwa kira-kira 3,000 keluarganya merupakan penyokong kuat Umno sejak dahulu lagi.

Sedangkan menurut warga emas di Kuala Besut, Ku Abdullah merupakan antara pengasas PAS.

Omar Sulong, 80 (gambar) dari Gertak Seratus turut memberitahu seorang sepupu Tengku Zaihan pernah bertanding atas tiket  PAS pada pilihan raya sebelum ini, namun kalah.

“Memang Ku Dollah kuat PAS. Pada musim pilihan raya dia akan membuka pos PAS di hadapan rumahnya. Dia orang kuat PAS sehingga akhir hayatnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Malah menurutnya adik beradik Ku Dollah juga merupakan pendokong kuat PAS di Kuala Besut sehingga awal 1990-an.

Bagaimanapun beliau yang lebih dikenali sebagai Pakcik Omar berkata, situasi bertukar selepas Ku Dollah meninggal dunia dan Ku Abdul Rahman pula mulai berjinak dengan Umno.

“Pakcik memang kenal rapat dengan keluarga calon BN. Ku Abdul Rahman pernah memberitahu belajar seketika di Pondok Bunut Payong dan sekolah agama di Kuala Besut.

“Dan selepas tamat belajar dia  mengajar di sekolah agama rakyat di Kuala Besut. Selepas beberapa tahun mengajar di situ tiba-tiba berpindah ke Kemaman kerana khabarnya ada masalah tertentu.

“Lama keluarga dia tinggal di Kemaman. Dan anaknya yang jadi calon BN sekarang juga membesar di sana, sebab itulah orang ramai di sini tidak kenal siapa Tengku Zaihan,” ujarnya.

Sebelum ini Ku Abdul Rahman pernah memberitahu mempunyai  keluarga yang ramai di Kuala Besut sebagai kelebihan yang ada pada anaknya berbanding calon PAS.

Bagaimanapun Yang Dipertua PAS  Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa sebahagian keluarga Ku Abdul Rahman memberi komitmen menyokong PAS pada Rabu ini.

Pakcik Omar juga memberitahu ketika Ku Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Ustaz Man pulang semula ke Kuala Besut, dia ada datang untuk menyewa rumahnya.

Katanya, dia memberitahu hendak menyewa rumah pakcik kerana ditawarkan menjadi imam di Surau Kuala Besar.

“Pakcik minta notis tidak menjawab lagi sama ada setuju atau tidak. Kemudian pakcik menanyakan betulkah ada ditawar jawatan imam kepada Ustaz Man, namun  pihak surau menafikan tiada tawaran dibuat,” katanya.

Selepas itu kata beliau Ustaz Man menumpang di taman perumahan di Kampung Gertak Seratus dan tinggal di sana sehingga sekarang. 

Manakala penduduk di perumahan Gertak Seratus pula memberitahu ketika Ustaz Man mengajar di madrasah di kampung berkenaan, tidak ramai penduduk kampung yang datang.

“Sedangkan ketika ustaz lain mengajar, ramai pula ahli jemaah datang mendengar kuliahnya,” ujar beliau.

Kata pakcik Omar juga, Tengku Zaihan dilihat terpaksa menggunakan kedudukan ayahnya untuk meraih populariti, namun bagi warga emas di sini, sudah tahu siapa Ustaz Man sebenarnya.

Ditandingi atau tidak jawatan, Umno tetap sama

Aspan Alias, 21 Jul 2013
Ramai yang meminta saya memberikan komen tentang perhimpunan agung UMNO Oktober ini yang kini sudah sampai ke fasa kempen mengempen yang kuat diantara pemain politik UMNO hari ini. Tahun ini adalah tahun pemilihan parti dan tentulah ia mendapat tumpuan istimewa dari orang ramai.

Tumpuan ini di sebabkan ia berkait dengan UMNO. Pertamanya UMNO itu adalah parti pemerintah dan tidak hairan ia menjadi tumpuan ramai. Tumpuan terhadap parti itu lebih kuat lagi kerana parti itu telah menjadi isu besar kepada rakyat dan negara. Lagi pula UMNO baru sahaja selesai bersama dengan parti-parti lain melaksanakan tuntutan perlembagaan persekutuan untuk mengadakan pilihanraya setiap lima tahun.

Keputusannya sudah diketahui umum. UMNO mendapat kelebihan sedikit kerusi dari PRU ke-12 tetapi jika dihitung dari kemenangan yang diperolehi oleh ahli-ahli parti dalam BN, ‘coalition’ itu telah kekurangan sebanyak tujuh kerusi berbanding dengan PRU ke-12 dahulu.

Mahu tidak mahu kita terpaksa akui yang UMNO masih menjadi pilihan rakyat khususnya orang-orang Melayu. Orang Melayu yang keluar menyokong kempen pilihanraya yang begitu ramai sebelum PRU ke-13 itu diadakan, kembali berduyun-duyun memberikan sokongan kepada UMNO kerana orang di atas pagar terutamanya orang Melayu merasa kehilangan keyakinan yang kekal terhadap Pakatan Rakyat di saat-saat akhir.

Sebab kenapa mereka berkurangan keyakinan kerana ada parti dalam Pakatan Rakyat hanya dikuasai oleh kaum Cina sahaja. Maka perjuangan kita untuk mencapai matlamat perpaduan kaum yang hampir terjadi akhirnya tidak tercapai juga. ‘It crashed before taking off’. Jika dihitung-hitung dalam keadaan dan situasi sekarang ramai yang yakin UMNO akan tetap menang dalam pilihanraya yang akan datang walaupun dengan majoriti yang lebih kecil dari PRU 2008 dan 2013.

Jika dikira dari kemenangan parti secara individu UMNO merupakan parti yang akan menang lagi dalam PRU yang akan datang. Jika sekarang UMNO memenangi 89 kerusi, jika parti itu melalui pilihanraya sekali lagi UMNO mungkin memenangi 70 kerusi pula. Dari segi itu UMNO tetap akan memenangi jumlah kerusi yang terbesar.

DAP tidak mungkin memenangi 70 kerusi dan lagi pun hampir kesemua kerusi yang dimenangi oleh DAP sudah pun mereka menangi. Jika pada keseluruhannya BN kalah tetapi sebagai sebuah parti secara individunya UMNO akan tetap diminta menubuhkan kerajaan. Hanya apabila UMNO gagal menubuhkan kerajaan melalui rundingan-rundingan dengan parti-parti lain untuk menubuhkan kerajaan campuran, barulah Pakatan Rakyat dengan gabungannya mungkin mampu untuk menubuhkan kerajaan alternatif.

Itu sebabnya UMNO menjadi perhatian ramai terutamanya apabila pemilihan parti sampai. UMNO sudah hilang keyakinan ramai walaupun parti itu mungkin dapat bertahan dengan keadaan yang lebih lemah lagi pada masa yang akan datang.

Yang mendapat perhatian khusus ialah tentang pemilihan dua kerusi tertinggi parti itu. Ada pihak yang mahukan kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan dan ada yang mahu jawatan itu dipertandingkan. Tidak payah kita bersusah payah memberikan pandangan sama ada jawatan-jawatan itu patut dipertandingkan kerana samada ia ditandingi atau tidak ia tidak akan memberikan apa-apa faedah tambahan kepada parti itu.

Pertandingan selalunya dilakukan untuk mencari siapa yang paling layak untuk memimpin. Najib telah gagal dengan jelas maka ada suara-suara meminta Muhyiddin mengambil alih kedudukan Najib dengan beliau menandingi Najib dalam pemilihan ini. Tetapi apa kelebihan Muhyiddin dari Najib dan apakah nilai tambahan yang Muhyiddin boleh sumbangkan kepada parti?

Blog ini tidak lekang dari memberikan pandangan yang jika Najib diambil alih oleh mereka yang ada dalam Majlis Teringgi parti itu ia tidak akan membawa apa-apa perubahan. Muhyiddin atau mana-mana di antara Naib Presiden parti itu datangnya dari acuan yang sama. Nilainya sama, sikapnya sama dan imejnya sama. Jika kita hendak bukti yang Muhyiddin pun tidak akan dapat menyumbang kepada perubahan bolehlah UMNO menggantikan Najib dengan Muhyiddin.

Dalam tempoh yang sekejap sahaja akan terbukti keadaan akan sama sahaja kerana mereka adalah sama. Itu bukan perubahan namanya. Mereka dari resepi yang sama. Ibaratnya seperti kuih bahulu. Kuih bahulu itu rasanya sama sahaja walaupun ia berbeza bentuknya. Kalau dibuat kueh bahulu dengan bentuk ikan pula kali ini ia akan tetap sama rasanya dengan yang berbentuk buah manggis misalnya. Ia tetap bahulu. Rasanya tetap rasa bahulu.

Dari membazir masa berkelahi dan berpuak biarkan sahaja Najib terus menjadi pemimpinnya. ‘Consequence’ nya akan sama juga sama ada Najib atau Muhyiddin yang memerintah dan mengetuai kerajaan. UMNO akan terhempas juga akhirnya.

UMNO itu juga ibarat kereta tua yang selalu rosak dan terkandas. Kereta yang belum terlalu teruk kerosakannya boleh ditukar alat-alat ganti di bengkel. Tetapi jika hampir kesemua komponen dalam enjin kereta itu terpaksa diganti dengan ‘spare-parts’ nya maka lebih baik kereta itu dilakukan 'overhaul' samasekali. Atau ditukar kereta itu terus dengan kereta yang baru. Kalau sayang kepada ‘brand’ kereta itu, ditukar sahaja kereta dengan jenama yang sama yang baru.

Pendeknya jika dalam Perhimpunan Agung UMNO pemilihan dibuat di antara mereka dalam Majlis Tertinggi sekarang sebagai seorang yang memandang dari luar ini, elok dilupakan sahaja niat untuk menandingi jawatan tertinggi parti itu.

Kalau sekadar untuk bertanding semata-mata untuk bertanding sahaja bolehlah bertanding. Kalau bertanding pun elok juga kepada setengah penggiat parti itu. Setidak-tidaknya perwakilan mungkin dapat “BRIM” pemilihan UMNO.

Dapat juga mereka menukar kereta atau setidak-tidaknya dapat juga menukar ‘sport-rim’ kereta mereka. Perwakilan semasa pemilihan tinggi nilainya.

Setakat seramai 146,000 perwakilan sekarang pimpinan yang kaya raya masih boleh dan masih berupaya untuk ‘kawtim’ di sana sini. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Penahanan 14 aktivis bantah TPPA tidak wajar

Harakahdaily, 21 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Bagi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), persoalan yang paling jelas ialah mengapa perbincangan perjanjian TPPA berlangsung dengan penuh kerahsiaan.

“Jika benar rundingan dan perbincangan ini membawa seribu kebaikan terhadap rakyat Malaysia, sudah pasti rakyat dimaklumkan dari awal sebelum bermulanya perbincangan pertama,” ujar Penyelaras Hubungan Antarabangsa SAMM, Mohd Faizal Ab Rahman dalam satu kenyataan.

Justeru itu, ujarnya SAMM mendesak supaya kerajaan bertindak dengan lebih bertamadun dalam menghadapi siri bantahan TPPA yang lebih besar di masa akan datang.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutuk penahanan 14 aktivis Badan Bantah TPPA termasuk 11 aktivis yang ditahan ketika melakukan bantahan di hadapan Sutera Habour Kota Kinabalu, tempat di mana rundingan perjanjian TPPA yang penuh kerahsiaan berlaku. Manakala 3 lagi aktivis ditangkap di hadapan IPD Karamunsing ketika bersolidariti terhadap aktivis yang sedang ditahan.

SAMM melihat negara ini sudah kembali ke zaman pra-kemerdekaan apabila rakyat yang memegang sepanduk bantahan ditangkap dan diheret ke lokap. Lebih malang apabila diketahui, penahanan 14 aktivis ini adalah di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya dan OKT perlu menjalani ujian air kencing sebelum disoal siasat. Ini satu penghinaan terhadap rakyat khususnya di Sabah.

Dalam isu TPPA ini, apakah lagi caranya untuk rakyat menyatakan bantahan sedangkan rundingan perjanjian tersebut dilakukan secara rahsia. Di manakah saluran yang tepat ketika usul perbahasan di parlimen juga ditolak?

Sehari sebelumnya, SAMM turut berperanan menjayakan sebuah himpunan Bantah TPPA di hadapan Masjid Wilayah, Jalan Duta. Penerangan mengenai TPPA disampaikan oleh beberapa pimpinan NGO dan mahasiswa seterusnya satu perarakan menghantar memorandum kepada wakil MITI di Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Duta.

SAMM difahamkan, rundingan ke 18 perjanjian Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) sedang berlangsung di Sutera Habour, Kota Kinabalu. Walaupun rundingan berlangsung Kota Kinabalu yang bertujuan mengelak dari protes yang lebih besar, namun rakyat tetap menzahirkan bantahan sebagai petunjuk awal bahawa TPPA ditolak oleh rakyat Malaysia.

Masih ramai yang belum memahami sepenuhnya tentang bahana Perjanjian TPPA yang mampu menggoncang kedaulatan negara. Bagi SAMM, persoalan yang paling jelas di sini ialah mengapa perbincangan perjanjian TPPA berlangsung dengan penuh kerahsiaan?

Jika benar rundingan dan perbincangan ini membawa seribu kebaikan terhadap rakyat Malaysia, sudah pasti rakyat dimaklumkan dari awal sebelum bermulanya perbincangan pertama.

Justeru itu, SAMM mendesak supaya kerajaan bertindak dengan lebih bertamadun dalam menghadapi siri bantahan TPPA yang lebih besar di masa akan datang dan mengingatkan bahawa rakyat punya saluran dalam perlembagaan yang membolehkan perhimpunan dan protes berlaku secara aman.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan