Jumaat, 26 Julai 2013

ALLAH TAK TANYA MENANG ATAU KALAH TAPI ALLAH AKAN TANYA KAMU BERJUANG ATAU TAK UNTUK AGAMA ALLAH SWT

Jumaat Furqan: Penyokong Morsi di Raba'ah, Al-Sisi di Tahrir

Harakahdaily, 26 Jul 2013
(Berpuluh-puluh ribu rakyat sedang bergerak dari Masjid Nur,Abbasiyah selepas solat terawih ke dataran Raba'ah sebagai persediaan "Jumaat Furqan")

MESIR: Dua himpunan besar-besaran akan berlangsung hari ini masing-masing bagi menyatakan sokongan satunya kepada Presiden sah Dr. Muhammad Morsi yang digulingkan tentera, dan satu lagi kepada jeneral tentera Abdul Fatah As-Sisi yang menjadi dalang penggulinagn Morsi.

Para penyokong Morsi akan menjadikan Dataran Raba'ah - yang diduduki mereka masuk minggu ketiga - sebagai pusat himpunan hari ini manakala penyokong Al-Sisi di Dataran Tahrir.

Bagi penyokong Morsi, himpunan selepas solat Jumaat hari ini digelar sebagai "Jumaat Furqan" atau "Jumaat pembeza" antara hak dan batil.

Sejurus selesai solat terawih malam tadi, berpusu-pusu penyokong Morsi bergerak ke Raba'ah bagi persediaan himpunan ini petang nanti.

Medan Raba'ah menyaksikan beberapa siri himpunan besar para penyokong Morsi sejak presiden itu digulingkan pihak tentera melalui rampasan kuasa awal Julai lalu.

Sementara itu, di Dataran Tahrir Barisan 30 Jun dan kumpulan Tamarrud yang menyokong pihak tentera juga merancang untuk berhimpun bagi menyatakan sokongan kepada Al-Sisi.

Himpunan ini ekoran seruan Al-Sisi semalam yang menggesa rakyat Mesir keluar beramai-ramai bagi memberi mandat kepada tentera bertindak ke atas penyokong Morsi yang digelar Al-Sisi sebagai "pengganas".

Sehingga hari ini, kumpulan penyokong tentera masih gagal mengumpul rakyat Mesir bagi menunjukkan sokongan kepada tentera yang telah merampas kuasa.

Kedua-dua himpunan ini hari ini sangat penting bagi kedua-dua pihak khususnya pihak tentera yang mahukan mandat rakyat untuk menggunakan kekerasan menyuraikan penyokong Morsi yang telah berhimpun di seluruh Kaherah sejak tiga minggu lalu.

Kuala Besut: ‘Kuala Ujian’

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 26 Jul 2013


Saya membaca keputusan Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut melalui akhbar tempatan hari ini yang menyaksikan PAS gagal menawan DUN Kuala Besut daripada penguasaan Umno/Barisan Nasional. Dalam erti kata lain, tawaran PAS kepada rakyat Kuala Besut untuk posisi 16 : 16 ditolak oleh rakyat DUN Kuala Besut yang mengambil keputusan untuk terus memangkah Umno kelmarin.

Saya secara peribadi tidak terkejut dengan keputusan ini. Pengalaman saya turun beberapa kali membantu calon PAS berkempen dalam pilihan raya kecil ini termasuk meninjau suasana hari pengundian memberikan gambaran kepada saya suasana kehidupan masyarakat di DUN ini. Kehidupan rata-rata rakyat Kuala Besut yang mencari pendapatan sebagai nelayan memberikan peluang yang cerah kepada Umno/Barisan Nasional menabur sebanyak mungkin projek dan habuan wang ringgit.

Inilah rahsia sebenar kekuatan Umno. Kesusahan dan kesempitan hidup rakyat diambil kesempatan sehabis mungkin bagi memberikan kemenangan kepada mereka. Perhatikan sahaja di seluruh Malaysia ini, kesemua ibu negeri ditawan oleh Pakatan Rakyat kecuali dua sahaja jatuh ke tangan Barisan Nasional. Secara logiknya, ibu negeri tentulah tempat berhimpunnya tenaga cerdik pandai dan berpendidikan tinggi. Dan di sinilah Umno/Barisan Nasional gagal kerana kekuatan wang dan kebendaan ada sempadannya.

Di sinilah letaknya tugas PAS selaku parti yang membawa mesej perjuangan Islam. Di Kuala Besut yang rata-rata penduduknya bergantung kepada pencarian mata pendapatan cara kampung berada dalam tekanan hidup yang tinggi dan sukar untuk membuat pilihan yang terbaik untuk taraf kehidupan mereka sendiri dalam jangka masa panjang. Apatah lagi untuk berfikir demi kepentingan agama. Pada saya, apa yang disebut sebagai penyakit ghaplah (lalai) merajai benak fikir rata-rata penduduk sehingga mengenepikan tanggungjawab terhadap agama mereka sendiri.

Inilah tugas gerakan Islam. Menyambung tugas Rasulullah SAW yang memikul tugas menghapuskan penyakit ghaplah ini. Firman Allah SWT yang bermaksud : “Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.” (Surah Yasin : ayat 6).

Perbezaan utama Kuala Besut dengan Pasir Puteh di Kelantan ialah budaya ilmu. Daripada budaya ilmu inilah akan lahirnya masyarakat yang sentiasa beringat-ingat tentang dosa dan pahala. Sebab itu di antara perkara terawal yang dilakukan di Kelantan setelah PAS mengambil alih teraju pemerintahan pada tahun 1990 ialah menubuhkan Unit Halaqat. Ini bukan satu kerja sambil lewa kerana hanya mahu mengharapkan peruntukan kerajaan. Ia sebenarnya misi kerajaan negeri untuk mendidik rakyat melalui pembudayaan ilmu di masjid-masjid yang dikendalikan oleh Unit Halaqat.

Manusia apabila berilmu akan menolak Umno/Barisan Nasional yang jelas dan terang melawan aspirasi perjuangan Islam. Bukan mereka menolak Umno/Barisan Nasional dengan emosi dan taksub, tetapi mereka menolak dengan pertimbangan ilmu yang dipelajari. Dengan ilmu, mereka membezakan intan dan kaca. Tanpa ilmu, jiwa akan kosong umpama tin kosong yang hanya dipenuhi oleh sampah sarap.

Lihat sahaja dakwah Rasulullah SAW di Mekah, ditolak habis-habisan oleh masyarakat Mekah yang rata-ratanya hidup dalam permusuhan panjang dan konflik sosial yang tinggi. Namun di Madinah yang agak maju sedikit dengan perkembangan ilmu dengan kehadiran ahli Kitab, Islam mudah diterima oleh penduduk di sana.

Nyata sekali Kuala Besut adalah ‘kuala ujian’. Ujian untuk penduduknya yang ditawarkan pembangunan ratusan juta yang akhirnya ramai yang lemas di ‘kuala ujian’ ini. Ia juga medan ujian kepada petugas-petugas parti PAS yang datang dari seluruh negara namun akhirnya terpaksa menerima keputusan tewas.

Hakikatnya, ini bukan kali pertama PAS tewas di dalam pilihan raya. Saya mendoakan kesemua petugas parti PAS yang berpenat lelah di bulan Ramadhan ini demi kemenangan calon mereka diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Inilah bekal kita yang paling berharga iaitu kita mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Perhatikanlah ayat al-Quran yang bermaksud: “Jangan kamu merasa hina (hilang semangat) memburu musuh kerana jika kamu merasa sakit mereka juga merasa sakit seperti kamu merasainya sedangkan kamu pula berharap kepada Allah apa yang mereka tidak harapkan.” (Surah al-Nisa’ : ayat 104).

Kita bertanding di dalam pilihan raya untuk menang. Kita mungkin sedih jika tewas, tetapi jangan sesekali kita kecewa. Segera bangkit dan meneruskan perjuangan kerana perjuangan Islam sekiranya berpijak di lantai ikhlas pasti dihadiahkan dengan pahala!

Salam hormat.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 16 Ramadhan 1434H bersamaan 25 Julai 2013M

Tahniah buat semua jentera PRK Kuala Besut

Harakahdaily, 25 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak diatas komitmen dan sumbangan yang diberikan kepada PAS sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil Dun Kuala Besut yang lalu.

Ketuanya, Nasrudin Hasan berkata, jentera PAS telah berjaya menggunakan PRK Kuala Besut N01 ini untuk menjuarai isu rakyat.

Ianya termasuk soal pemilikan tanah, mendalam muara sungai, pemuliharaan empangan sehinggalah mendedahkan kebobrokan pemerintah telah menjadikan UMNO-BN defensif sepanjang tempoh berkempen.

"Adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Walaupun agenda 16:16 Terengganu Baru tidak kesampaian buat masa ini, bagi pendokong gerakan Islam tiada istilah kekalahan hakiki," katanya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.


1. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan tahniah di atas komitmen dan kegigihan yang ditunjukkan oleh jentera pilihanraya PAS sepanjang kempen pilihanraya kecil Kuala Besut N01.

2. Disiplin dan keutuhan akhlak yang ditunjukkan sepanjang tempoh berkempen ditambah pula dengan cabaran ibadah berpuasa merupakan cerminan tarbiyah jamaah dan sesuatu yang amat menginsafkan.

3. Juga kepada penyokong parti, anak-anak Kuala Besut di perantauan dan para pemilih yang telah menunaikan tanggungjawab mengundi walau dihimpit waktu bekerja, terima kasih juga diucapkan.

Jazakallah khairan kathira. Barakallahu fikum.

4. Adat bertanding, ada yang menang dan ada yang kalah. Walaupun agenda 16:16 Terengganu Baru tidak kesampaian buat masa ini, bagi pendokong gerakan Islam tiada istilah kekalahan hakiki. Yakinlah, usaha bakti kalian telah dicatatkan melalui tinta emas dengan janji kemenangan di akhirat kelak.

5. Memandangkan pilihanraya kecil ini merupakan satu kewajipan dakwah. Maka segala amalan wajib yang dilaksanakan di dalam kemuliaan Ramadhan ini diangkatkan pula darjatnya sehingga 70 kali ganda!

6. Jadi apakah perlu kita gusar dan sedih dengan keputusan ini sedangkan kemenangan yang lebih agung telah disediakan Allah?

7. Malah tiada apa yang boleh digahkan oleh BN dengan mempertahankan kerusi Kuala Besut. Kenyataan sombong kononnya UMNO-BN akan menggandakan majoritinya sehingga 4000 undi ternyata hanyalah satu omongan.

8. Setelah menjanjikan projek-projek dengan nilaian hampir RM 400 juta dalam tempoh sesingkat 2 minggu ini ditambah pula wujudnya dakwaan politik wang pada hari pengundian, UMNO-BN sekadar mampu menambah 158 undi dari jumlah majoriti yang dicatatkan ketika PRU ke13 dahulu.

9. Ianya membuktikan sogokan parti pemerintah semakin hilang ampuhnya dan para pengundi luar bandar mula terdidik untuk memilih dengan kebebasan jatidiri masing-masing. Sekiranya senario ini boleh dikembangkan, maka kami di Dewan Pemuda cukup optimis dengan perubahan yang bakal melanda di dalam PRU ke14 kelak.

10. Dikala UMNO-BN kelihatannya ketandusan cara untuk memperdaya dan mengelirukan pemilih dengan sogokan "politik pembangunan" mereka, PAS perlu terus istiqamah menyampaikan mesej dakwah yang syumul dengan malar segar bagi mendidik pemilih untuk melakukan perubahan.

11. Dari satu segi yang lain, calon dan jentera PAS telah berjaya menggunakan PRK Kuala Besut N01 ini untuk menjuarai isu rakyat. Dari soal pemilikan tanah, mendalam muara sungai, pemuliharaan empangan sehinggalah mendedahkan kebobrokan pemerintah telah menjadikan UMNO-BN defensif sepanjang tempoh berkempen.

12. Hasilnya pemerintah terpaksa menawarkan projek-projek segera untuk kembali memenangi keyakinan pengundi. Saya doakan agar tawaran-tawaran tersebut segera menjadi kenyataan kerana ianya adalah bukti peri penting pembangkang yang kuat dalam proses semak-imbang demokrasi yang akhirnya manfaatnya sampai kepada rakyat.

13. Kepada YAB TPM, MB, YB Timbalan Menteri Pendidikan dan kroni-kroni mereka yang sepanjang waktu berkempen banyak menanam tebu dimulut - jangan jadikan Kuala Besut satu lagi Galas atau Kerdau. RM 400 juta adalah janji yang amat besar. Buktikan keikhlasan tanpa beralasan panjang. Sesungguhnya besar laknat Allah bagi kata yang tidk dikota.

14. Kepada Sdr. Tengku Zaihan, tahniah di atas pemilihan saudara sebagai YB. Sekadar peringatan kepada saudara dan diri saya sendiri; jawatan itu bukannya hadiah tetapi amanah. Kepada Abe Che Long, ketulusan tuan mendepani cabaran PAS dalam PRK ini adalah contoh terpuji buat pemuda jamaah.

Allahu Akbar!

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia
5 ibu pejabat negeri JPN ditutup hujung minggu
10:38AM Jul 26 2013  
Lima ibu pejabat negeri Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak lagi beroperasi pada setiap hujung minggu mulai hari ini.

Menurut kenyataan JPN, penutupan itu bagi membolehkan guna tenaga pekerja dimaksimumkan di pejabat yang mempunyai pejabat di Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang beroperasi tujuh hari seminggu.

Penutupan itu melibatkan JPN Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Jalan Seri Hartamas, JPN Melaka di Ayer Keroh, JPN Pahang di Kompleks KDN Indera Mahkota, Kuantan, JPN Perak di Kompleks KDN Ipoh dan JPN Kedah di Kompleks KDN Alor Setar.

JPN juga akan memberhentikan operasi pada waktu rehat tengah hari setiap Jumaat mulai 12.15 petang hingga 2.45 petang bagi menghormati waktu solat Jumaat.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi pejabat perkhidmatan pelanggan di talian 03-88808203/7077/7071/7067.

- Bernama
Kawasan kerap kemalangan turun kepada 146
10:17AM Jul 26 2013  
Kawasan kerap berlaku kemalangan di seluruh negara telah menurun kepada 146 tahun ini berbanding 183 kawasan tahun lepas, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Ismail Ahmad malam tadi.

Beliau berkata antara lokasi itu ialah antara KM 12 hingga KM 70 di Kuala Lipis menuju Merapoh, KM 14 hingga KM 15 di Kuala Lumpur menuju Ipoh dan KM 4 hingga KM 13 di Johor Baharu menuju Air Hitam.

"Daripada 146 kawasan itu, 72 adalah di bawah JPJ manakala 74 di bawah polis," katanya pada sidang media di Plaza Tol Puchong arah Selatan (menghala Putrajaya) dekat Kuala Lumpur.

Terdahulu, beliau menyertai praoperasi bersepadu sempena Aidilfitri yang dijalankan bersama oleh JPJ, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom Sdn Bhd di plaza tol itu.

Ismail berkata praoperasi itu akan dijalankan sehingga 31 Julai ini sebelum Operasi Bersepadu diadakan serentak di seluruh negara dari 1 hingga 18 Ogos depan.

"Operasi ini lebih ditumpukan kepada kenderaan motosikal dan bas ekspres kerana ia sebagai penyumbang utama kepada kemalangan jalan raya di seluruh negara," katanya.

Ismail berkata sebanyak 69 saman dan sembilan notis dikeluarkan oleh JPJ bagi pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen memandu, memasang cermin gelap melebihi tahap ditetapkan dan plat nombor tidak mengikut spesifikasi.

Beliau menasihatkan para pemandu dan penunggang motosikal supaya mengutamakan keselamatan menjelang hari raya berikutan peningkatan bilangan kenderaan di jalan raya.

- Bernama
Terima ugutan bunuh, guru besar SK Seri Pristana buat laporan polis
7:30PM Jul 25 2013  
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lepas.
  
Mohd Nasir Mohd Noor, 57,  berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.
  
"Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).
  
"Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan 'If I meet you, i will kill you' (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat ibunegara.
    
Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.
  
Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.
  
"Sebelum ini memang tidak ada aduan daripada  ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang  dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar," katanya.
  
Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.
  
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.
  
Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.
  
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.
  
Di majlis yang sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas.
  
- Bernama
Syiah: Kerajaan Negeri Kelantan selari keputusan
Datuk Ahmad Yakob
Datuk Ahmad Yakob
KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob selari dengan keputusan dan pandangan Pejabat Mufti Kelantan berhubung ajaran Syiah di negeri ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan beliau di laman sosial miliknya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini semalam.

“Pada saya, sikap Kelantan sentiasa jelas dalam isu yang melibatkan akidah seperti ini, bahkan Mesyuarat Jemaah Ulama’ Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sendiri telah membuat keputusan pada 30 Mei 1996 lalu bahawa ajaran Syiah jelas menyeleweng dari segi akidah, syariah dan akhlak.

“Mesyuarat yang sama juga menetapkan bahawa hanya akidah Ahli Sunnah wal Jamaah sahaja yang diterima sebagai amalan oleh rakyat negeri ini, maka dalam hal ini saya akan mengambil kira pandangan pejabat mufti yang dikira lebih berhak untuk menyuarakan cadangan penambahbaikan sebagaimana yang telah dinyatakan,” katanya.

Dalam masa sama, Ahmad Yakob yang juga Adun Pasir Pekan turut menegaskan kerajaan sentiasa komited untuk memerangi bukan hanya ajaran Syiah malah apa jua ajaran dan pemikiran yang menyeleweng daripada Islam.
Jakim nafi pengikut Syiah cecah 300,000
SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menolak dakwaan yang mengatakan pengikut Syiah di negara ini sudah mencapai angka 300,000 hingga sejuta orang.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Dan Penyelidikan (Seksyen dan Akidah) Jakim, Kamarul Saman Yaacub berkata, kenyataan itu lebih bersifat provokasi atau propaganda semata-mata.

“Angka itu tidak benar kerana Jakim sentiasa memantau pergerakan Syiah sejak awal pergerakan ini menular di negara ini, tetapi pergerakan ini tidak banyak seperti didakwa.

“Jakim turut turun padang menyampaikan penerangan kepada masyarakat mengenai bahaya Syiah,” katanya dalam satu sesi soal jawab bersama radio ikim.fm, semalam.

Kamarul menasihatkan individu yang curiga dengan usaha mana-mana pihak mendekatinya bagi menyebarkan ajaran Syiah supaya tampil kepada mana-mana pejabat agama untuk mendapatkan lebih penerangan.

“Syiah boleh menyesatkan, tampillah jika mendapati ada mana-mana pergerakan mencurigakan,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan dakwaan ketua kumpulan Syiah Malaysia, Mohd Kamil Zuhairi Abd Aziz yang mendakwa jumlah pengikut fahaman itu kini dianggarkan mencecah antara 300,000 dan sejuta orang.
Kantoi curang
Kantoi curang
Keng Siuk (kiri) menunjukkan gambar yang dirakam kepada Way Keng ( tengah) semalam.
AMPANG  - Seorang isteri yang masih dalam pantang selepas melahirkan anak terkejut apabila melihat suami separuh bogel bersama seorang perempuan warga Vietnam di atas katil biliknya.

Cheang Keng Siuk,31, berkata,dia tergamam dan terkejut apabila melihat suaminya sedang tidur bersama dengan perempuan lain dalam bilik tidurnya baru-baru ini.

Menurutnya, kejadian tersebut berlaku semasa dia pulang ke rumah untuk mengambil pakaian kerana tinggal di rumah emaknya apabila masih dalam tempoh berpantang melahirkan anak yang baru berusia 12 hari.

“Pada hari kejadian, saya dikejutkan dengan perkara yang tidak sepatutnya berlaku di rumah saya dan saya sempat merakam gambar mereka berdua dalam keadaan separuh bogel.

“Bagaimanapun, tindakan saya disedari oleh perempuan tersebut yang terus mengejutkan suami tetapi saya sempat keluar dari rumah dan menyelamatkan diri apabila cuba dikejar oleh suami” katanya kepada Sinar Harian pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Dun Teratai, semalam.

Keng Siuk berkata, dia berasa perkahwinannya tidak boleh diselamatkan lagi dan ingin berpisah dengan suaminya kerana hubungan mereka sudah tiada masa depan lagi.

Katanya lagi, dia sudah putus asa dan mahu berpisah serta menuntut nafkah yang setimpal bagi perbelanjaan dua anaknya setelah berhenti kerja apabila dipaksa oleh suami sebelum ini.

“Suami saya juga tidak mahu bersama dengan saya lagi dan mahu memberi duit nafkah sebanyak RM500 tetapi saya tidak bersetuju dengan jumlah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Adun Teratai, Tiew Way Keng berkata, sebelum ini, kedua-dua pihak tersebut telah berjumpa dengannya dan berbincang berhubung masa depan perkahwinan mereka.

Katanya, isu di sini adalah campur tangan oleh pihak ketiga iaitu perempuan warga asing dalam rumah tangga pasangan ini dan kedua-duanya mahu berpisah setelah tiada kepercayaan lagi antara satu sama lain.

“Bagaimanapun, saya menasihati pasangan ini supaya bertenang dan tidak mengambil keputusan terburu-buru kerana mereka mempunyai anak yang kecil,” katanya.

Way Keng berkata lagi, dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan pusat supaya menggariskan satu panduan atau undang-undang berhubung isu sosial yang semakin berleluasa terutamanya kehadiran warga asing ke negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan