Selasa, 25 Jun 2013

PUASA BUKAN SETAKAT MAKAN DAN MINUM....PATUT JUGA KITA MEMIKIRKAN SETIAP KETIKA PADA PUASA MELIHAT...MENGATA...DAN MENDENGAR PERKARA2 YANG MENDATANGKAN MAKSIAT SERTA PERKARA2 YANG BOLEH MEROSAKKAN IMAN

Puasa elak penyakit tingkatkan taqwa

Ahmad Baei Jaafar, 24 Jun 2013
Selalu kita dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.

Persoalannya berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori di atas.

Jawapan yang sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan Allah zahir dan batin.

Isu di atas ada kaitan dengan formula berikut, “Dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya dipraktikkan oleh umat Islam.

Oleh sebab kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.

Hubungan dengan Allah

Puasa adalah ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk ibadah zakat.  Bukan itu sahaja, malah semua ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya terpaut kepada manusia.

Berdasarkan formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.

Pada waktu malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan kita hadir awal dan solat Isyak berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.

Bayangkan jika semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas, tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak, sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.

Kalau begitu kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan dengan manusia

Dalam bulan Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga, bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri sendiri.

Seorang peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.

Selain itu jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita. Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.

Begitu juga kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah sebagai kebajikan.

Percayalah dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.

Ramadan menghampiri, jangan lupa kurma

selamatkanpahang.blogspot, 24 Jun 2013
Tujuh Khasiat Kurma yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.” (Surah al-Mukminah : ayat 19)


“Sesiapa yang memakan tuju biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu“
. Sabda Rasulullah SAW.

Manakala dari sudut sains pula mengatakan, kandungan protein dalam kurma adalah lebih kurang 2.5 peratus, serat 8.0 peratus manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63 peratus, majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4 peratus sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional kerana kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Apakah antara khasiat utama kurma?

1. Paling pantas diproses dan diserap, sekaligus memberikan tenaga segera. Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi daripada pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” Hadis riwayat Ahmad.

Makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus kerana pada waktu ini, kita perlukan tenaga segera, dan bukannya tenaga yang “lambat untuk dicerna” seperti yang terkandung dalam kebanyakan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

2. Kaya dengan serat dan potasium. Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.

Selain itu, kurma kaya dengan Potasium dan beberapa zat galian yang lain. Potasium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potasium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3. Penguat memori. Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ia amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4. Baik untuk wanita mengandung/bersalin. Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.

“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.” (Surah Maryam : ayat 25)

Dan menurut sebuah laman web, buah kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak serta akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.

5. Penawar Racun. Diriwayat oleh Aishah RA, “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6. Merawat penyakit. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ia direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7. Mengubati gangguan usus dan sembelit. Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini daripada berlaku.

http://selamatkanpahang.blogspot.com

Husam bebas dengan jaminan polis

Salmah Mat Husain, 24 Jun 2013

Husam diiringi isteri bersama pimpinan PAS Kelantan dan para penyokong bertemu Tuan Guru Nik Abdul selepas dibebaskan.

KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang ditahan sejak awal pagi semalam di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dibebaskan kira-kira jam 5.00 petang ini dengan jaminan RM3,000.

Menurut peguamnya, Hisham Fauzi, Husam dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.

Husam diiringi isteri, Datin Rohana Abdul Rahman dan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Nasaruddin Daud.

Laungan takbir bergema oleh lebih 300 penyokong yang menunggu sejak awal lagi.

Perasaan sebak juga turut dirasai oleh orang ramai apabila seorang lelaki tiba-tiba memeluk Husam sambil menangis tanda bersyukur dan terharu.

Sebelum ini, isteri beliau yang telah lama berada di ruang pekarangan IPD Kota Bharu untuk menyambut pembebasan dan kepulangan suami tercinta berharap Husam dibebaskan hari ini.

Sementara itu, Pertubuhan R Kelantan dan Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) akan menganjurkan program menyambut pembebasan Naib Presiden PAS itu malam ini.

Program berkenaan akan diadakan di Masjid Sekolah Menengah Ugama (Arab) Taqaddum Maarif Pasir Tumboh.

Presiden R, Nazri Deraman ketika menghubung Harakadaily berkata, program berkenaan bermula selepas solat Isyak berjemaah dan solat hajat.

Jelasnya, selepas itu juga ceramah daripada 15 orang pimpinan masyarakat juga akan diadakan malam ini.

“Semua dijemput hadir beramai-ramai dan sebarkan,” ujarnya.

Malam tadi, seramai 150 orang termasuk bekas Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Abdul Rahman Yunus, Adun Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim dan Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman membaca surah Yasin beramai-ramai di luar pagar IPD Kota Bharu.

Jerebu: Bencana Dukhan dan amaran Tuhan

http://saifulislam.com, 24 Jun 2013
Malaysia Haze
credit photo: .freemalaysiatoday.com
Kita mempunyai pilihan untuk sekadar melihat jerebu ini sebagai satu kejadian bencana alam yang penjelasannya berlegar pada laporan berita serta penerangan saintifik. Namun Allah SWT memberi peringatan bahawa bencana-bencana hasil perbuatan tangan manusia itu, adalah kejadian bermesej daripada-Nya.
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41]
Apa yang sedang Allah bicarakan dalam musibah?
Kerosakan itu hasil kerja tangan manusia sendiri. Dan bencana kerosakan yang dialami pula, baru sedikit. Tangan manusia mampu menghasilkan bencana yang berganda-ganda lagi. Bencana datang bukan untuk menghukum. Tetapi mahu menyedarkan.
Agar kita kembali.
Bagaimana pula dengan asap jerebu?
Langsung teringat kita kepada apa yang berlaku di zaman Nabi sallallahu alayhi wa sallam seperti yang disebut di dalam surah al-Dukhan:
dukhan
  • Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)
  • Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”.
  • (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”.
  • Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!
  • Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!”
  • Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar).
  • (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
BENCANA KAUM MUDHAR
bones
Berkenaan ayat 10 hingga 14, Al-Bukhari (hadith 4821) dan Muslim (hadith 2798) mendatangkan riwayat Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu bahawa sesungguhnya kaum musyrikin Mudhar apabila mereka berkeras mengingkari seruan Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam dan menentang baginda dengan segala bentuk keangkuhan dan kekejian, Baginda telah mendoakan mereka kemarau yang pedih seperti yang pernah menimpa umat manusia di hari-hari pemerintahan Yusuf alayhi al-Salam. Lalu mereka ditimpa dengan kemarau yang teruk hingga ke tahap menampung makan dengan menjamah tulang.
Ketika itu, langit mereka diselubungi asap tebal yang menyeksa. Kaum Mudhir mendatangi Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam merayu agar Baginda memohon kepada Allah agar diturunkan hujan untuk kaum Mudhar kerana sesungguhnya belenggu asap itu memusnahkan mereka.
Baginda telah memohon kepada Allah dan Allah memperkenankan permohonan baginda.
Hujan turun.
Al-Bukhari mendatangkan riwayat yang menyambung kisah tentang ayat ke 15 dan 16.
Setelah asap itu hilang, kehidupan kembali normal, mereka kembali kufur kepada Allah.
“Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar). (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).”
nilai
Datang musibah, ingat Tuhan.
Dilepaskan sedikit daripada kesusahan, kembali kufur dan lupakan Tuhan.
Duhai bangsaku, jangan sampai Tuhan ‘berdendam’ dengan kita!
Kembalilah!


 

سُوۡرَةُ الدّخان
بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
حمٓ (١) وَٱلۡڪِتَـٰبِ ٱلۡمُبِينِ (٢) إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةٍ۬ مُّبَـٰرَكَةٍ‌ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ (٣) فِيہَا يُفۡرَقُ كُلُّ أَمۡرٍ حَكِيمٍ (٤) أَمۡرً۬ا مِّنۡ عِندِنَآ‌ۚ إِنَّا كُنَّا مُرۡسِلِينَ (٥) رَحۡمَةً۬ مِّن رَّبِّكَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡعَلِيمُ (٦) رَبِّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَمَا بَيۡنَهُمَآ‌ۖ إِن كُنتُم مُّوقِنِينَ (٧) لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُ‌ۖ رَبُّكُمۡ وَرَبُّ ءَابَآٮِٕكُمُ ٱلۡأَوَّلِينَ (٨) بَلۡ هُمۡ فِى شَكٍّ۬ يَلۡعَبُونَ (٩) فَٱرۡتَقِبۡ يَوۡمَ تَأۡتِى ٱلسَّمَآءُ بِدُخَانٍ۬ مُّبِينٍ۬ (١٠) يَغۡشَى ٱلنَّاسَ‌ۖ هَـٰذَا عَذَابٌ أَلِيمٌ۬ (١١) رَّبَّنَا ٱكۡشِفۡ عَنَّا ٱلۡعَذَابَ إِنَّا مُؤۡمِنُونَ (١٢) أَنَّىٰ لَهُمُ ٱلذِّكۡرَىٰ وَقَدۡ جَآءَهُمۡ رَسُولٌ۬ مُّبِينٌ۬ (١٣) ثُمَّ تَوَلَّوۡاْ عَنۡهُ وَقَالُواْ مُعَلَّمٌ۬ مَّجۡنُونٌ (١٤) إِنَّا كَاشِفُواْ ٱلۡعَذَابِ قَلِيلاً‌ۚ إِنَّكُمۡ عَآٮِٕدُونَ (١٥) يَوۡمَ نَبۡطِشُ ٱلۡبَطۡشَةَ ٱلۡكُبۡرَىٰٓ إِنَّا مُنتَقِمُونَ (١٦) ۞ وَلَقَدۡ فَتَنَّا قَبۡلَهُمۡ قَوۡمَ فِرۡعَوۡنَ وَجَآءَهُمۡ رَسُولٌ۬ ڪَرِيمٌ (١٧) أَنۡ أَدُّوٓاْ إِلَىَّ عِبَادَ ٱللَّهِ‌ۖ إِنِّى لَكُمۡ رَسُولٌ أَمِينٌ۬ (١٨) وَأَن لَّا تَعۡلُواْ عَلَى ٱللَّهِ‌ۖ إِنِّىٓ ءَاتِيكُم بِسُلۡطَـٰنٍ۬ مُّبِينٍ۬ (١٩) وَإِنِّى عُذۡتُ بِرَبِّى وَرَبِّكُمۡ أَن تَرۡجُمُونِ (٢٠) وَإِن لَّمۡ تُؤۡمِنُواْ لِى فَٱعۡتَزِلُونِ (٢١) فَدَعَا رَبَّهُ ۥۤ أَنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ قَوۡمٌ۬ مُّجۡرِمُونَ (٢٢) فَأَسۡرِ بِعِبَادِى لَيۡلاً إِنَّڪُم مُّتَّبَعُونَ (٢٣) وَٱتۡرُكِ ٱلۡبَحۡرَ رَهۡوًا‌ۖ إِنَّہُمۡ جُندٌ۬ مُّغۡرَقُونَ (٢٤) كَمۡ تَرَكُواْ مِن جَنَّـٰتٍ۬ وَعُيُونٍ۬ (٢٥) وَزُرُوعٍ۬ وَمَقَامٍ۬ كَرِيمٍ۬ (٢٦) وَنَعۡمَةٍ۬ كَانُواْ فِيہَا فَـٰكِهِينَ (٢٧) كَذَٲلِكَ‌ۖ وَأَوۡرَثۡنَـٰهَا قَوۡمًا ءَاخَرِينَ (٢٨) فَمَا بَكَتۡ عَلَيۡہِمُ ٱلسَّمَآءُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَا كَانُواْ مُنظَرِينَ (٢٩) وَلَقَدۡ نَجَّيۡنَا بَنِىٓ إِسۡرَٲٓءِيلَ مِنَ ٱلۡعَذَابِ ٱلۡمُهِينِ (٣٠) مِن فِرۡعَوۡنَ‌ۚ إِنَّهُ ۥ كَانَ عَالِيً۬ا مِّنَ ٱلۡمُسۡرِفِينَ (٣١) وَلَقَدِ ٱخۡتَرۡنَـٰهُمۡ عَلَىٰ عِلۡمٍ عَلَى ٱلۡعَـٰلَمِينَ (٣٢) وَءَاتَيۡنَـٰهُم مِّنَ ٱلۡأَيَـٰتِ مَا فِيهِ بَلَـٰٓؤٌ۬اْ مُّبِينٌ (٣٣) إِنَّ هَـٰٓؤُلَآءِ لَيَقُولُونَ (٣٤) إِنۡ هِىَ إِلَّا مَوۡتَتُنَا ٱلۡأُولَىٰ وَمَا نَحۡنُ بِمُنشَرِينَ (٣٥) فَأۡتُواْ بِـَٔابَآٮِٕنَآ إِن كُنتُمۡ صَـٰدِقِينَ (٣٦) أَهُمۡ خَيۡرٌ أَمۡ قَوۡمُ تُبَّعٍ۬ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۚ أَهۡلَكۡنَـٰهُمۡ‌ۖ إِنَّہُمۡ كَانُواْ مُجۡرِمِينَ (٣٧) وَمَا خَلَقۡنَا ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ وَمَا بَيۡنَہُمَا لَـٰعِبِينَ (٣٨) مَا خَلَقۡنَـٰهُمَآ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ (٣٩) إِنَّ يَوۡمَ ٱلۡفَصۡلِ مِيقَـٰتُهُمۡ أَجۡمَعِينَ (٤٠) يَوۡمَ لَا يُغۡنِى مَوۡلًى عَن مَّوۡلً۬ى شَيۡـًٔ۬ا وَلَا هُمۡ يُنصَرُونَ (٤١) إِلَّا مَن رَّحِمَ ٱللَّهُ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلرَّحِيمُ (٤٢) إِنَّ شَجَرَتَ ٱلزَّقُّومِ (٤٣) طَعَامُ ٱلۡأَثِيمِ (٤٤) كَٱلۡمُهۡلِ يَغۡلِى فِى ٱلۡبُطُونِ (٤٥) كَغَلۡىِ ٱلۡحَمِيمِ (٤٦) خُذُوهُ فَٱعۡتِلُوهُ إِلَىٰ سَوَآءِ ٱلۡجَحِيمِ (٤٧) ثُمَّ صُبُّواْ فَوۡقَ رَأۡسِهِۦ مِنۡ عَذَابِ ٱلۡحَمِيمِ (٤٨) ذُقۡ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡڪَرِيمُ (٤٩) إِنَّ هَـٰذَا مَا كُنتُم بِهِۦ تَمۡتَرُونَ (٥٠) إِنَّ ٱلۡمُتَّقِينَ فِى مَقَامٍ أَمِينٍ۬ (٥١) فِى جَنَّـٰتٍ۬ وَعُيُونٍ۬ (٥٢) يَلۡبَسُونَ مِن سُندُسٍ۬ وَإِسۡتَبۡرَقٍ۬ مُّتَقَـٰبِلِينَ (٥٣) ڪَذَٲلِكَ وَزَوَّجۡنَـٰهُم بِحُورٍ عِينٍ۬ (٥٤) يَدۡعُونَ فِيهَا بِكُلِّ فَـٰكِهَةٍ ءَامِنِينَ (٥٥) لَا يَذُوقُونَ فِيهَا ٱلۡمَوۡتَ إِلَّا ٱلۡمَوۡتَةَ ٱلۡأُولَىٰ‌ۖ وَوَقَٮٰهُمۡ عَذَابَ ٱلۡجَحِيمِ (٥٦) فَضۡلاً۬ مِّن رَّبِّكَ‌ۚ ذَٲلِكَ هُوَ ٱلۡفَوۡزُ ٱلۡعَظِيمُ (٥٧) فَإِنَّمَا يَسَّرۡنَـٰهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمۡ يَتَذَڪَّرُونَ (٥٨) فَٱرۡتَقِبۡ إِنَّهُم مُّرۡتَقِبُونَ (٥٩)
Surah Ad-Dukhan
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Haa, Miim. (1) Demi Al-Quran Kitab yang menerangkan kebenaran. (2) Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (3) (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). (4) Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. (5) (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya). (6) Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu). (7) Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan; (Dialah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu. (8) (Mereka tidak meyakini kebenaran yang dijelaskan kepada mereka), bahkan mereka masih tenggelam dalam keraguan sambil bermain-main dengan perkara agama. (9) Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat), (10) Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata): Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan. (11) (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!. (12) Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Padahal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)! (13) Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila! (14) Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar). (15) (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya). (16) Dan demi Sesungguhnya! Sebelum mereka, Kami telah menguji kaum Firaun dan merekapun telah didatangi oleh seorang Rasul (Nabi Musa) Yang mulia; (17) (Yang memberitahu kepada mereka dengan katanya): Berikanlah kepadaku wahai hamba-hamba Allah (apa-apa yang menandakan kamu menerima kerasulanku); sesungguhnya aku ini seorang Rasul yang amanah, yang diutuskan kepada kamu. (18) Dan janganlah kamu berlaku sombong takbur terhadap Allah; sesungguhnya aku ada membawa kepada kamu mukjizat yang jelas nyata. (19) Dan sesungguhnya aku telah memohon perlindungan kepada Tuhanku dan Tuhan kamu, daripada kamu merejam (atau menyakiti) daku. (20) Dan sekiranya kamu tidak juga mahu berimankan kerasulanku, maka putuskanlah perhubungan kamu denganku (janganlah mengganggu daku). (21) (Setelah Nabi Musa berputus asa daripada iman mereka), maka dia pun merayu kepada Tuhannya lalu berkata: Sesungguhnya orang-orang ini adalah kaum yang berdosa, (yang telah sebati dengan kekufurannya dan berhaklah mereka menerima balasan yang seburuk-buruknya). (22) Lalu (diperintahkan kepadanya): Bawalah hamba-hambaku (pengikut-pengikutmu) keluar pada waktu malam, kerana sesungguhnya kamu akan dikejar (oleh Firaun dan orang-orangnya). (23) Dan tinggalkanlah laut itu dalam keadaan tenang terbelah, kerana sesungguhnya mereka (yang mengejarmu itu) ialah tentera yang akan ditenggelamkan (sehingga binasa). (24) Banyak sungguh kebun-kebun dan mata air, mereka tinggalkan, (25) Dan juga berbagai jenis tanaman serta tempat-tempat kediaman yang indah mulia, (26) Dan juga kemewahan hidup, yang mereka sekian lama menikmatinya. (27) Demikianlah keadaannya (hukum Kami ke atas orang-orang yang derhaka) dan Kami jadikan semua peninggalan Firaun dan orang-orangnya: Milik kaum yang lain (kaum Bani Israil). (28) Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi. (29) Dan demi sesungguhnya! Kami telah selamatkan kaum Bani Israil, dari azab yang menghina; (30) Dari penindasan Firaun, sesungguhnya dia adalah seorang yang sombong takbur lagi terbilang dari orang-orang yang melampaui batas (dalam keganasan dan kekejamannya). (31) Dan demi sesungguhnya! Kami telah memilih mereka dengan berdasarkan pengetahuan (Kami) menjadi lebih pangkatnya dari penduduk dunia (pada zaman itu), (32) Dan Kami berikan kepada mereka (melalui Nabi Musa) berbagai mukjizat yang mengandungi ujian yang jelas nyata (untuk melahirkan sikap mereka). (33) (Berbalik kepada kisah kaum musyrik penduduk Mekah, Allah berfirman): Sesungguhnya mereka ini akan berkata (kepadamu wahai Muhammad dan kepada pengikut-pengikutmu): (34) Mati, hanyalah mati kita yang pertama (di dunia) dan kita tidak sekali-kali akan dibangkitkan hidup lagi (sesudah itu); (35) (Jika tidak) maka bawakanlah datuk nenek kami (yang telah mati) kalau betul kamu orang-orang yang benar! (36) (Mengapa mereka masih berdegil dalam kekufurannya?) Adakah mereka yang lebih kekuatan dan kehandalannya atau "kaum Tubba`" dan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu semuanya Kami telah binasakan, kerana sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berdosa. (37) Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, secara main-main; (38) Tidaklah Kami menciptakan keduanya (serta segala yang ada di antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara-perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). (39) Sesungguhnya hari pemutusan hukum untuk memberi balasan, ialah masa untuk mereka semua berhimpun; (40) Iaitu hari seseorang kerabat atau sahabat karib tidak dapat memberikan sebarang perlindungan kepada seseorang kerabat atau sahabat karibnya dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (untuk menghapuskan azab itu), (41) Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. (42) (Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum; (43) (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam Neraka). (44) (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut; (45) Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya. (46) (Lalu diperintahkan kepada malaikat penjaga Neraka): Renggutlah orang yang berdosa itu dan seretlah dia ke tengah-tengah Neraka. (47) Kemudian curahkanlah di atas kepalanya (azab seksa) dari air panas yang menggelegak. (48) (Serta dikatakan kepadanya secara mengejek): Rasalah azab seksa, sebenarnya engkau adalah orang yang berpengaruh dan terhormat (dalam kalangan masyarakatmu) (49) (Kemudian dikatakan kepada ahli Neraka umumnya): Sesungguhnya inilah dia (azab seksa) yang kamu dahulu ragu-ragu terhadapnya! (50) Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa. (51) Dia itu di dalam beberapa taman Syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya, (52) Mereka memakai pakaian dari kain sutera yang halus dan kain sutera tebal yang bersulam; (mereka duduk di tempat perhimpunan) sentiasa berhadap-hadapan (di atas pelamin masing-masing). (53) Demikianlah keadaannya dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya. (54) Mereka meminta di dalam Syurga itu tiap-tiap jenis buah-buahan (yang mereka ingini), dalam keadaan aman sentosa. (55) Mereka tidak merasai kematian dalam Syurga itu selain daripada mati yang mereka rasai (di dunia) dahulu dan Allah selamatkan mereka dari azab Neraka; (56) (Mereka diberikan semuanya itu) sebagai limpah kurnia dari Tuhanmu (wahai Muhammad); yang demikian itulah kemenangan yang besar. (57) Maka sesungguhnya tujuan Kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu (wahai Muhammad), ialah supaya mereka (yang memahaminya) beringat dan insaf (untuk beriman dan mematuhinya). (58) (Kiranya mereka tidak berbuat demikian) maka tunggulah (wahai Muhammad akan kesudahan mereka), sesungguhnya mereka juga menunggu (akan kesudahanmu). / (59)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan