Sabtu, 29 Jun 2013

NI HUKUMAN DIDUNIA...HUKUMAN AKHIRAT PEMUTUS DAN TEPAT DAN ADIL...TENTANG KETELUSAN...PIHAKNYA JUGA TIDAK TELUS DALAM BERITA

Pendaftaran pelajar ke IPGM mendukacitakan

Bapa Guru, Pulau Pinang.,
Minggu ini bermula daripada 24hb Jun 2013 adalah minggu pendaftaran pelajar-pelajar baru lepasan SPM 2012 ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM). Apa yang menyedihkan ialah bilangan pelajar yang mendaftar turun dengan mendadak di kebanyakan IPG Kampus. Sebagai bukti hanya 25 orang pelajar daripada 60 orang yang dipanggil mendaftar di salah sebuah IPG. Ini bermakna hanya 7-8 orang pelajar sahaja dalam satu kelas.

Kenapa ini berlaku?

Umum sudah mengetahui bahawa pelajar-pelajar IPG dikatakan tiada lagi jaminan kerja pada masa hadapan. Maklumat-maklumat ini disalurkan oleh pegawai dari IPGM sendiri kepada umum. Mereka kononnya perlu bersaing dengan pelajar-pelajar dari IPTA dan IPTS lain dalam pasaran terbuka. Untuk mendapatkan pekerjaan mereka perlu mendaftarkan diri dalam Job Malaysia dan berbagai lagi ancaman terdedah ke atas mereka. Fenomena ini sudah pasti menjadi kerisauan kepada ibubapa dan pelajar itu sendiri. Kenapa mereka perlu melabur dalam satu urusniaga yang tidak menjanjikan pulangan yang diharapkan? Kenapa mereka perlu bersusah payah memenuhkan IPGM yang tidak memberikan keyakinan terhadap peluang kerjaya? Sebagai ibubapa saya akan pastikan anak saya yang cemerlang tidak memohon IPGM jika benar apa yang sedang berlaku.

Lebih melucukan lagi apabila syarat kemasukan ke IPGM sangatlah ketat. Hanya pelajar yang mendapat 7A ke atas sahaja layak memohon. Manakala pelajar yang tidak sampai ke tahap itu hanya gigit jari dan meleleh air liur. Siapa yang merangka syarat-syarat sebegini rupa? Mereka adalah pegawai-pegawai di IPGM yang merasakan diri mereka orang-orang yang cerdik dan berpengalaman dalam pendidikan kononnya. Sebenarnya pegawai-pegawai ini adalah mereka yang tamak, gelojoh dan pendek akal atau kurang cerdik. Mereka lupa siapa diri mereka yang sebenarnya.

Kenapa dikatakan begitu kepada mereka?

Bagaimana mereka boleh meletakkan syarat “straight A” atau sekurang-kurangnya 7A hanya layak memohon. Sedangkan dalam masa yang sama mereka gagal menjanjikan kerjaya kepada produk mereka? Inilah yang sangat melucukan dan melambangkan kelembapan tahap pemikiran pegawai-pegawai pembuat dasar ini. Bagaimana mereka menilai kemampuan pelajar-pelajar ini? Apakah statusnya sama dengan kelulusan pangkat 3 SPM pada zaman mereka dahulu?

Pelajar-pelajar yang cerdik dan cemerlang sudah pasti tidak akan terpanggil untuk ke IPGM. Banyak lagi kerjaya lain yang lebih menarik dan glamor berbanding dengan perguruan. Kenapa mereka perlu mengorbankan masa, tenaga dan peluang untuk mencapai sesuatu yang tidak berdaya saing dan tidak menjanjikan masa depan yang lebih yakin? Inilah sebab utama kenapa pendaftaran pelajar ke IPGM merudum. Ia juga satu jawapan istimewa bagi para pembuat dasar di Kementerian Pelajaran dan IPGM khususnya. Akhirnya IPGM hanya akan dipenuhi oleh pelajar-pelajar kelas ketiga iaitu mereka yang tidak ada peluang ke mana-mana sama seperti yang berlaku sebelum ini. Wal asal balik asal….

Guna PRK Kuala Besut untuk tuntutan pru yang adil

Rizal Tahir, 28 Jun 2013
KOTA BHARU: Jawatankuasa Himpunan Aman Blackout 505 perlu mengkaji untuk menambah ruang tuntutan pada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk lebih telus sempena PRK Kuala Besut akan datang.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa (gambar), berkata sekiranya tuntutan itu tidak dilaksanakan sebelum PRK Kuala Besut, Husam  mencadangkan Himpunan Aman Blackout 505 meningkatkan lagi permohonan mereka sehingga akhirnya ia akan menjadi mercu tanda sebuah pilihanraya yang benar-benar bebas dan adil.

“Kita tidak mahu peristiwa PRU berulang lagi di sini pada pendapat saya tuntutan PRK yang adil lebih penting dari PRK itu sendiri," katanya.

Sambungnya, sekiranya tuntutan tetap tidak dilaksanakan, ada baiknya Pakatan Rakyat menolak untuk menyertai PRK itu.

Ini kerana katanya pembaikan sistem PRU lebih mustahak berbanding pilihanraya itu sendiri.

Bagaimanapun, jelasnya SPR perlu mengkaji untuk mengadakan teknik pengundian yang lebih telus berbanding perjalanan PRU lalu agar lebih bebas terhadap tentera.

Tegasnya, PAS perlu menjadikan tuntutan pilihanraya kali ini lebih bebas dari SPR melalui tentera dijadikan tuntutan penting sebelum PRK diadakan.

“Pada masa yang sama media sekali lagi kita tuntut supaya menjadi lebih bebas dan ini adalah ujian besar untuk SPR lebih telus dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Husam berkata demikian kepada Harakahdaily ketika diminta mengulas berhubung PRK Kuala Besut yang akan diadakan nanti selepas Adunnya meninggal dunia dua hari lalu.

Pada masa yang sama beliau berkata Pilihanraya Kecil Dun Kuala Besut adalah ujian serta ruang penting  pada Pakatar Rakyat khususnya dalam usaha untuk menawan negeri itu setelah gagal baru-baru ini.

Jelasnya, rakyat Terengganu juga berpeluang melalui PRK untuk memperbetulkan pentadbiran kerajaan Terengganu untuk mendapatkan faedah dari habuah Royalti di negeri itu yang lebih memihak pada rakyat.

“Sekiranya PAS memenangi PRK itu, iaitu akan memperolehi 16 kerusi DUN (kini 15), berpeluang menggunakan kuasa yang ada untuk menuntut royalti sangat memberi kesan,”ujarnya.
'Siasat Taib lama kerana banyak dokumen, saksi'
 
Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud berpanjangan ekoran jumlah dokumen dan saksi yang banyak untuk diteliti penyiasatnya.

"Terdapat banyak dokumen dan banyak pihak terlibat, begitu juga saksi di pelbagai tempat (di seluruh negara)," kata penolong pesuruhjaya bahagian siasatan SPRM Lim Bee Kean di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini.

Kata Lim, sehingga kini, SPRM meneliti 400 fail dan kenyataan dirakamkan daripada lebih 20 individu yang dipercayai berkaitan kes itu.

Berhubung video terkini Global Witness yang menunjukkan saudara Taib mendakwa dapat memperoleh tanah dengan mudah daripada ketua menteri dan cuba menjualnya kepada pelabur, Lim berkata, pasukan khas dibentuk selari dengan siasatan sedia ada.

Selepas video itu bocor di Internet, pasukan 10 penyiasat SPRM dibentuk bagi menjalankan siasatan.
Ketua Hakim: Singham bersara wajib 65 tahun
9:11AM Jun 29 2013  
Adalah wajib bagi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T. Singham bersara pada usia 65 kerana beliau telah memilih berbuat demikian ketika usia persaraan wajib bagi hakim dinaikkan kepada 66 tahun, kata Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.

Beliau berkata apabila umur persaraan wajib hakim dinaikkan, semua hakim diberi borang untuk membuat pilihan sama ada bersara pada usia 65 atau melanjutkannya sehingga 66 tahun.

Ariffin berkata perkara itu susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan beberapa tahun lalu yang menaikkan usia persaraan hakim daripada 65 tahun kepada 66.

"Semua hakim, kecuali V.T. Singham, memilih untuk bersara pada usia 66. Sehubungan itu usia persaraan wajib beliau ialah pada 65," kata Ariffin ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga menambah perkara itu merupakan proses biasa persaraan.

"Semua hakim diberi borang pilihan untuk menyatakan mereka mahu bersara pada usia 65 atau 66. Anda tidak boleh paksa mereka bersara pada usia 66," katanya mengulas mengenai persaraan Singham itu.

Singham bersara hari ini yang merupakan hari jadi ke-65 beliau.

Dua hari lepas beliau membuat penghakiman yang tidak memihak kepada polis dan kerajaan berhubung kes kematian tahanan A. Kugan pada 2009.

Ariffin berkata beliau telah menandatangani surat penghargaan yang disampaikan kepada Singham.

"Malah Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan beberapa lagi hakim mengadakan majlis perpisahan tertutup di kamar beliau (Singham)semalam," katanya menambah beliau tidak dapat hadir pada majlis itu.

Ariffin juga berkata komuniti badan kehakiman akan mengadakan jamuan perpisahan pada 8 Julai ini untuk meraikan sembilan hakim yang bersara baru-baru ini dan Singham juga dijemput.

- Bernama
Kerabat diraja, dua lagi dihukum penjara
3:54PM Jun 28 2013  
Mahkamah Sesyen di Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada seorang anggota kerabat diraja kerana dituduh mencederakan peninju negara Muhamad Farkhan Mohd Haron.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman terhadap Tunku Nick Tazuddin Izwan Syah Tunku Qadir, 28, Alex Foo Hee Wee, 42, dan Mohamad Arif Husin selepas mendapati ketiga-tiga individu tersebut bersalah kerana menyebabkan kecederaan kepada Farkhan.

Katiga-tiga individu tersebut diperintahkan menjalani hukuman bermula hari ini apabila hakim menolak permohonan mereka untuk menangguh pelaksanaan hukuman sebelum membuat rayuan.

Peguam Gobind Singh Deo bertindak sebagai peguam pemerhati bagi peninju kebangsaan tersebut, yang pernah memenangi pingat emas dalam temasya Sukan SEA.
Pembunuh Dirang dijatuhi hukuman mati
 
Buruh kontrak, Muidin Maidin dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu hari ini setelah didapati bersalah membunuh kanak-kanak Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang.

Hakim Datuk Abdul Halim Aman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Muidin, 27, dituduh membunuh Dirang, 5, di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai di Johor Baharu antara pukul 11.30 pagi, 1 Mac dan 12 tengah malam, 2 Mac 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Hakim Abdul Halim menyifatkan tertuduh sebagai penjenayah yang kejam, tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan kerana melakukan perbuatan tersebut ke atas Dirang yang merupakan insan kecil yang masih belum tahu apa-apa.

"Bukti DNA digabungkan dengan bukti cebisan kain pelikat tertuduh yang dijumpai pada mangsa, sampel tanah yang sama pada motosikal tertuduh dengan tanah tempat kejadian dan keterangan saksi menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan tersebut.

"Profil campuran DNA yang dijumpai dalam kemaluan dan dubur mangsa hanya melibatkan mangsa dan tertuduh. Kebarangkalian DNA itu disumbangkan oleh tertuduh dan si mati adalah 700 trilion," katanya.

Beliau berkata tidak soal timbul konspirasi di mana pihak tertentu meletakkan sampel darah (DNA) tertuduh pada mangsa kerana kedapatan DNA itu di dalam dubur dan kemaluan si mati hanya dapat diwajarkan dengan perlakuan atau perbuatan yang aktif.

Menurut beliau, pembelaan tertuduh bahawa dia tidak pernah ada apa-apa dendam pada keluarga si mati adalah hanya penafian semata-mata.

Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac tahun lalu, ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam sebelum disahkan meninggal dunia akibat dibunuh dan dibakar pada 12 Mac tahun lalu.

Misteri kehilangan Dirang terjawab apabila laporan Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai di sini pada 8 Mac tahun lalu adalah milik mangsa.

Sebaik hukuman dijatuhkan, Muidin yang mulanya berdiri dengan tenang terus terduduk dan terus menangis.

Tiga wanita yang dipercayai saudara perempuannya yang hadir di mahkamah turut dilihat menangis apabila mendengar keputusan tersebut.

"Ke tepi, ke tepi," jerit Muidin dalam tangisan sambil cuba menendang jurugambar-jurugambar akhbar yang mengambil gambarnya apabila dia diiringi polis ke lokap mahkamah.

Ibu Dirang, Roselyn Alan ketika ditemui berkata beliau berasa lega kerana kematian anaknya itu terbela.

"Perasaan saya pun legalah sebab kematian anak saya tak sia-sia. Akhirnya terbela juga. Saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak polis, pendakwa raya, yang tak putus bagi harapan dan doa untuk saya. Terima kasihlah kepada semua yang membantu saya selama lebih setahun ini," katanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Unit Pendakwaan Johor Umar Saifuddin Jaafar dan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Daud Ismail, Goh Tse Han dan Mohamad Abd Kadir.

Umar Saifuddin ketika ditemui berkata bukti forensik memainkan peranan besar di dalam kejayaan pendakwaan kes tersebut.

"Polis forensik telah bertungkus lumus mengumpulkan bukti dari rumah mangsa, kawasan persekitaran tempat tinggal mangsa sehinggalah ke tempat penemuan mayat mangsa. Pihak Jabatan Kimia juga telah menjalankan tugas mereka dengan baik," katanya.

Perbicaraan selama kira-kira empat bulan itu menyaksikan seramai 35 saksi pihak pendakwaan dan tiga saksi pihak pembelaan dipanggil memberi keterangan.
Wartawan Utusan protes, dakwa dihalang masuk DUN
2:02PM Jun 28 2013  
Seorang wartawan akhbar Utusan Malaysia mengadakan protes seorang diri selepas mendakwa dihalang daripada memasuki bangunan DUN Pulau Pinang untuk membuat liputan majis mengangkat sumpah jawatan ahli dewan.

Wartawan berkenaan, Mohd Firdaus Ismail, 27, berdiri di depan pintu pagar dewan dengan membawa plakad dengan slogan: “Ketelusan telah mati di sini”.

NONESementara itu, speaker DUN Law Choo Kiang berkata beliau tidak mengeluarkan apa-apa arahan untuk menghalang wartawan dari Utusan Malaysia.

ADUN Bukit Tambun itu berkata, anggota keselamatan tersebut mungkin bergantung kepada arahan semasa persidangan sebelum ini.

“Ini satu salah faham. Kami kesal kerana beliau dihalang, namun saya berjanji ia tidak akan berlaku lagi,” kata Law dalam satu sidang media.

DUN Pulau Pinang mengeluarkan arahan untuk menghalang wartawan Utusan daripada membuat liputan persidangan dewan itu pada 2011.

Arahan berkenaan menerima kritikan keras dari pemimpin BN yang menyifatkan kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang bersikap hipokrit dalam isu kebebasan media.

-Bernama
Jawatankuasa Fatwa Perlis haramkan shisha
 
Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding merokok.

Mufti Perlis Datuk Mursyid Diraja Dr Juanda Jaya berkata mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Bercakap kepada pemberita di Kangar hari ini, beliau berharap MPK dapat menghalang kegiatan penjualan shisha demi kepentingan masyarakat.

Dr Juanda berkata amalan menghisap shisha bukan sahaja membuang masa tapi memudaratkan kesihatan terutama bagi golongan belia dan remaja.

Menurutnya, langkah pengharaman itu dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009 dan Perlis juga menuruti jejak negeri itu kerana kegiatan itu didapati membawa kemudaratan yang besar.

Dr Juanda turut menyelar pihak yang memperdagangkan amalan tahlil arwah dan khatam al-Quran untuk mengaut keuntungan peribadi terutama menjelang Ramadan.

Menurutnya, ada pihak yang cuba mengutip wang kononnya untuk dana tertentu dengan menganjurkan majlis tahlil dan khatam al-Quran dengan memohon sumbangan daripada orang ramai.

Sambil menunjukkan contoh borang penyertaan program tahlil arwah dan khatam al-Quran anjuran sebuah badan tertentu, beliau berharap orang ramai tidak akan terpengaruh.

"Tidak salah bertahlil, berzikir dan khatam al-Quran tetapi bukan meletakkan syarat dengan mengenakan bayaran," katanya.

Beliau berharap pihak berkuasa menyiasat penganjur program seumpama itu dan meneliti ke mana wang yang dikumpulkan itu dibawa.

-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan