Jumaat, 7 Jun 2013

LACUR..CURI ROMPAK...ROGOL...BUANG ANAK...MINUM ARAK...TAK SOLAT DLL TAK KAN SELESAI SELAGI TAK LAKSANAKAN HUKUMA ALLAH SWT

Pegawai polis diburu dipercayai terlibat kematian Dharmenderan

7 Jun 2013
Khalid Abu Bakar
Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR - Polis sedang memburu seorang pegawai polis yang menghilangkan diri selepas disyaki terlibat dalam kes N. Dharmenderan yang ditemui mati dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, 21 Mei
lepas.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata usaha mengesan suspek sedang dipergiatkan selepas tiga anggota polis yang terlibat dalam kes tersebut didakwa di Mahkamah Majistret pada Rabu lepas.
"Kita akan kesan suspek, kerana suspek tersebut telah menjadi buruan polis dan diletakkan dalam senarai orang yang dikehendaki. InsyaAllah tidak lama lagi kita dapat (tahan) suspek," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di antara Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin yang sebelum ini menyandang jawatan tersebut kepada Datuk Hadi Ho Abdullah yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Pengarah (Risikan/operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sebelum ini, tiga anggota polis masing-masing seorang berpangkat sarjan dan dua koperal dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Dharmenderan, 32, di lokap tersebut.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu Khalid turut mengulas mengenai cadangan penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) polis dalam mengendalikan tahanan yang ditempatkan di lokap ekoran terdapat tiga insiden tahanan yang mati dalam tahanan polis baru-baru ini.
Khalid berkata cadangan penambahbaikan tersebut sedang dikaji pihak polis kerana ia melibatkan beberapa faktor yang perlu diteliti dengan sebaik-baiknya sebelum ia dilaksanakan.
"Kita sedang menyediakan satu pelan yang komprehensif, kita perlukan masa untuk siapkan SOP berkenaan kerana kita perlu kaji dengan sedalam-dalamnya sebelum dilakukan. InsyaAllah sebelum akhir Jun ini kita akan melaksanakannya (SOP baharu)," katanya.
Sebelum ini terdapat tiga kes membabitkan tahanan polis mati di lokap termasuk yang terbaru pada 1 Jun lepas apabila seorang lelaki berusia 42 tahun ditemui mati di lokap Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan. - Bernama
Polis minta individu hina Agong serah diri

7 Jun 2013
KUALA LUMPUR - Polis meminta individu yang membuat kenyataan berunsur menghina titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial, tampil menyerah diri bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang didapati berbuat demikian.
"Ini bukan budaya rakyat Malaysia. Guna perkataan yang tidak baik untuk menghina...polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu yang cuba biadab terhadap raja-raja Melayu mahupun pemimpin.
Polis akan ambil tindakan sewajarnya," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di antara Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin selaku penyandang kepada Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hadi Ho Abdullah.
Khalid berkata polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalah guna kebebasan media sosial untuk menghina institusi raja dan juga pemimpin.
Selasa lepas, seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu itu dan wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengulas mengenai perhimpunan yang mahu dianjur pembangkang pada 15 Jun ini,  Khalid berkata pihaknya telah menerima notis pemberitahuan daripada penganjur namun polis menolak notis itu kerana tidak memenuhi syarat.
"Ya, memang kita ada terima notis daripada mereka. Tetapi kita telah tolak kerana tidak memenuhi beberapa syarat seperti tidak meminta kebenaran daripada tuan punya kawasan...jadi mereka perlu memenuhi syarat dalam Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu mendapatkan kebenaran daripada pemilik kawasan dan pihak polis akan menerima kembali notis itu, " katanya.
Perhimpunan yang digelar "Black 505" itu dijangka diadakan di Padang Merbok di sini, yang terletak  di bawah bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. - Bernama
Anwar: Keangkuhan Umno akan terbalas
JAMILAH HAMZAH
7 Jun 2013
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa  penahanan semula aktivis dan seorang Ahli Parlimen pembangkang sebagai penghinaan kepada mahkamah.

Menurutnya, penahanan semula Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim menggambarkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak penguatkuasa.

"Peristiwa yang berlaku dengan penangkapan semula Tian Chua, Tamrin dan Haris selepas empat hari dibebaskan menunjukkan polis sedang menunjuk lagak melalui kuasa yang dimiliki," katanya yang dipetik di dalam kenyataan media, hari ini.

Mengikut satu laman portal berita, pada 3 Jun lalu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa nama beliau tersenarai bersama sebilangan individu yang dihalang daripada memasuki Sabah.

Dalam satu tulisan di Twitter, Kit Siang mendakwa Ketua Menteri Sabaha, Datuk Seri Musa Aman, mengarahkan namanya disertakan dalam senarai hitam Jabatan Imigresen Sabah itu.

“Saya baru dimaklumkan bahawa saya dalam senarai hitam imigresen Sabah, dihalang daripada memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Kit Siang juga mendakwa, turut tersenarai adalah Anwar, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga.

Dalam pada itu, Anwar, yang juga Ketua Umum PKR berkata, sekatan yang dilakukan terhadap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memasuki Sabah, adalah penyalahgunaan kuasa.

"...Izzah seolah-olah dia penjahat dan meletakkan Kit Siang, Ambiga dan saya dalam senarai halangan masuk ke Sabah adalah satu penindasan dan salah guna kuasa," katanya.
Suami belasah peragut
Wartawan Sinar Harian
7 Jun 2013
Suami belasah peragut
Keadaan suspek yang berjaya ditangkap orang ramai ketika cuba meragut wanita hamil lima bulan di Mentakab, kelmarin.
MENTAKAB – Tindakan pantas suami mangsa bergelut dengan seorang peragut dibantu orang ramai berjaya menangkap penjenayah tersebut di hadapan sebuah pusat membeli belah, di sini, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, kejadian berlaku semasa mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun yang mengandung lima bulan, baru tiba di pusat membeli-belah itu bersama suaminya dan berjalan masuk ke pintu utama.

Bagaimanapun katanya, tiga lelaki menaiki tiga motosikal menghampiri mereka dan seorang daripadanya bertindak meragut beg tangan mangsa.

“Mangsa bagaimanapun memegang beg tangan itu dengan kuat. Kemudiannya, suspek cuba menarik rantai leher mangsa, tetapi berjaya dihalang mangsa.

“Suspek menolak mangsa jatuh dan ketika itu juga, suspek jatuh. Suami mangsa kemudiannya bertindak bergelut dengan peragut terbabit dan menangkapnya dengan bantuan orang ramai serta pengawal keselamatan,” katanya pada sidang media, semalam.

Abdul Aziz berkata, siasatan lanjut mendapati suspek berusia 24 tahun yang berasal dari Batu Caves, Selangor itu sudah lama melakukan jenayah ragut di Kuala Lumpur dan pernah ditangkap atas kesalahan sama.

Menurutnya, polis akan menyiasat rakan-rakan suspek yang terlibat dalam jenayah itu untuk mengambil tindakan. sewajarnya.

Katanya, suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara 20 tahun dan sebatan atau denda jika didapati bersalah.

Beliau berkata, mangsa yang sudah menjalani pemeriksaan kesihatan itu mengalami pendarahan pada peranakan, namun keadaan dia dan kandungannya selamat.
Lacur diri demi dadah
Raiham Mohd Sanusi
7 Jun 2013
Lacur diri demi dadah
Janda anak satu (kanan) dan bekas penghuni pusat pemulihan wanita ini yang dipercayai melacurkan diri bagi mendapatkan dadah.
CHUKAI – Kegiatan dua wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapatkan bekalan dadah terbongkar apabila rumah sewa mereka diserbu polis, dengan salah seorang daripadanya yang berstatus janda dicekup bersama pelanggannya dalam keadaan berbogel.

Ketika serbuan di Flat Kampung Fikri, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, janda terbabit yang berusia 28 tahun bersama seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang lagi wanita berusia 20 tahun sedang dalam keadaan khayal.

Dalam serbuan yang dilakukan 10 anggota diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah dan seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Kemaman itu, polis turut merampas satu tiub dadah daripada janda berkenaan yang mempunyai seorang anak.

Berdasarkan rekod, polis mendapati suspek berusia 20 tahun itu baru sahaja keluar dari pusat pemulihan akhlak wanita di Negeri Sembilan.

Apabila masuk ke sebuah lagi bilik tidur, didapati janda terbabit dan pelanggannya sedang melakukan hubungan terlarang dan dalam kedua-dua bilik tidur itu turut berselerakan alat-alat yang digunakan untuk menghisap dadah.

Dipercayai kedua-dua wanita itu menetapkan syarat mana-mana lelaki yang mahu meniduri mereka perlu memberi dadah sebagai upah.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, selepas ujian air kencing dilakukan didapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine selain kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Suspek berusia 28 tahun dan lelaki yang berusia 37 tahun juga dipercayai pengedar dadah serta masing-masing mempunyai dua dan enam rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala wanita yang berusia 20 tahun mempunyai tiga rekod lampu termasuk turut memiliki satu waran tangkap kerana tidak hadir perbicaraan kes terdahulu,” katanya.

Sehubungan itu, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan janda terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah. Kesemua mereka dituduh di mahkamah semalam.

Pasangan itu juga turut diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kemaman dan akan didakwa mengikut undang-undang syariah kerana bersekedudukan.
Maut selepas jamu selera
Mohd Izzatul Izuan
7 Jun 2013
Maut selepas jamu selera
Mangsa yang berlumuran darah meninggal dunia selepas terpelanting kira-kira lima meter dari tempat kejadian.
SABAK BERNAM – Seorang pelatih Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Dusun Tua Hulu Langat terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta Proton Waja, di
Kilometer 42 Jalan Air Manis di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, mangsa, Nor Helmi Nor Hasim, 20, berasal dari Kota Tinggi Johor meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah di kedua-dua paha dan kaki.

Menurutnya, dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa yang menunggang Honda Wave dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sewanya di Taman Air Manis, di sini selepas berhenti menjamu selera di sebuah gerai makan berdekatan.

“Mangsa dalam perjalanan dari Bagan Nakhoda Omar menghala ke laluan Sabak Bernam cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya, namun belum sempat memotong kenderaan itu, mangsa gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh Proton Waja dari arah bertentangan,” katanya.

Noor Mushar berkata, akibat pelanggaran terbabit, mangsa yang merempuh Proton Waja itu dari arah bertentangan terpelanting kira-kira lima meter dari bahu jalan selepas gagal mengawal motosikal terbabit.

Menurutnya, mangsa yang sedang menjalani latihan praktikal di sebuah bengkel permotoran di sini sejak beberapa bulan lalu itu dipercayai memotong kenderaan terbabit di laluan gelap.

Menurutnya, pemandu Proton Waja itu tidak mengalami kecederaan manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk bedah siasat.

“Difahamkan, jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya dan akan dibawa ke Seri Andalas Klang untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Kota Tinggi, Johor,” katanya kepada Sinar Harian.
Kereta terhumban dalam parit
Khairil Anwar Mohd Amin
7 Jun 2013
Kereta terhumban dalam parit
Keadaan kereta mangsa yang terhumban ke dalam parit di Jalan Sempadan Kiri, Parit Buntar.
PARIT BUNTAR - Gara-gara pitam ketika memandu, seorang penjawat awam berhadapan detik cemas apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam sebuah parit di Jalan Sempadan Kiri, di sini, kelmarin.

Lebih mengejutkan, kereta yang dinaikinya baru digunakan sehari selepas dibaik pulih di sebuah bengkel di sini akibat dalam kemalangan tiga minggu lalu.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Izlan, 28, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 12.30 tengah hari, dia  dalam perjalanan dari rumahnya di Parit Kasa ke pekan Parit Buntar sebelum pitam secara tiba-tiba ketika memandu.

Menurutnya, dia langsung tidak sedarkan diri dan hanya menyedari dirinya terbaring di atas tanah berhampiran lokasi kejadian setelah diselamatkan seorang penduduk di situ.

“Seorang penduduk memberitahu kereta dipandu saya hilang kawalan secara tiba-tiba, terus memasuki laluan bertentangan dan akhirnya terhumban ke dalam parit di Kampung Batu Dua.

“Mujurlah tiada kenderaan berada di laluan bertentangan dan keadaan air dalam parit cetek akibat musim kemarau, jika tidak saya tidak dapat membayangkan perkara tidak diingini berlaku pada saya,” katanya sewaktu ditemui, di sini.

Izlan berkata, kejadian serupa berlaku kepadanya sebelum ini sehingga menyebabkan kereta dipandu bertembung sebuah kenderaan lain dalam kejadian kemalangan tiga minggu lalu.

“Mungkin selepas ini saya akan membuat pemeriksaan kesihatan dan lebih berhati-hati memandu bagi mengelakkan kejadian serupa berulang kembali,” katanya.

Sementara itu, saksi kejadian hanya dikenali sebagai Haris, 24, berkata, kenderaan jenis Proton Saga yang dipandu mangsa hilang kawalan secara tiba-tiba sebelum terhumban ke dalam parit.

Jelasnya, dia bersama beberapa penduduk lain segera meluru ke kereta itu untuk menyelamatkan mangsa dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Sejurus mangsa sedar, dia mengakui mengalami pitam sewaktu memandu dan mujurlah tiada perkara buruk berlaku,” katanya.

Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh seorang penduduk.
Maut ketika ambil madu
Mohamad Norzaharuddin Kasimon
7 Jun 2013
Maut ketika ambil madu
Mayat mangsa dibawa ke Balai Polis Labis sebelum dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat.
LABIS - Seorang pemungut madu lebah maut apabila terjatuh dari pokok di kawasan hutan Hulu Segamat, dekat sini, malam kelmarin.

Mangsa, Amran Kangkong, 28, maut serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah terjatuh pada ketinggian 50 kaki dari pokok yang dipanjatnya dalam kejadian jam 11 malam.

Mangsa yang tinggal di Kampung Orang Asli Ulu Juaseh difahamkan bertolak ke hutan tersebut bersama 14 rakannya pada jam 11 pagi dan berhenti rehat seketika pada jam 6 petang.

Menurut rakan mangsa, Hamzah Silam, 32, selepas berehat, dia dan rakan-rakannya yang lain meneruskan perjalanan jam 9 malam sebelum sampai ke lokasi yang dituju.

“Bila sampai saja ke pokok tersebut, kami terus panjat dan arwah adalah orang yang ketiga memanjat pokok itu yang menempatkan 27 sarang lebah.

“Kami memanjat melalui kayu yang telah dipaku pada pokok besar itu dan kami akan menggunakan rotan ketika memanjat,” katanya.

Katanya, ketika berada pada ketinggian 50 kaki dari tanah, rotan yang mengikat kayu pada pokok tersebut putus dan menyebabkan kayu yang menjadi tempat memijak arwah patah mengakibatkannya terjatuh serta merta.

“Akibat terkejut dengan kejadian itu, kami semua terus turun dari pokok. Tiga orang daripada kami keluar dapatkan bantuan sementara yang lain usung mayat arwah untuk dibawa keluar,” katanya.

Hamzah berkata, kejadian berlaku terlalu pantas, tambahan pula keadaan sekitar yang gelap menyebabkannya tidak nampak dengan jelas peristiwa yang berlaku.

“Apa yang pasti rotan dan kayu yang menjadi tempat arwah berpaut telah patah. Saya dan rakan-rakan ambil masa hampir enam jam untuk mengeluarkannya.

“Selepas ini mungkin kami akan berhenti sementara melakukan pekerjaan ini kerana masing-masing sedih dan trauma,” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Noraini, 36, berkata, dia terkilan kerana tidak dapat berjumpa dengan adiknya kerana tinggal di Muar.

“Kali terakhir saya berjumpanya dua minggu lalu ketika pulang ke kampung dan ketika itu tidak ada sebarang perubahan ditunjuknya.

“Cuma ketika itu dia sangat mesra dengan anak-anak saya dan anak saudaranya yang lain kerana sebelum ini arwah biasa-biasa saja dengan mereka,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat setelah laporan dibuat di Balai Polis Labis.

Usaha membawa keluar mangsa mengambil masa enam jam berjalan kaki berikutan tiada kenderaan yang boleh masuk ke kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan