Sabtu, 22 Jun 2013

JANGAN KITA MELINDUNGI ORANG ENGKAR DAN MELAWAN ALLAH SWT...DENGAN TAK MAHU LAKSANAKAN HUKUM ALLAH SWT

Betul, betul ...ianya perlu ditulis semula.
Posted on Saturday, June 22 @ 01:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Oleh: tokpepijat

"Sekonyong-konyong Dr Mahathir mahu buku-buku sejarah Malaysia perlu ditulis semula agar mengandungi masalah yang dihadapi negara pada masa lampau dan langkah diambil kerajaan bagi menyelesaikan isu seumpama itu, supaya sejarah negara lebih difahami generasi muda.
Memang patut sejarah negara dibukukan semula dengan mengandungi permasalahan negara dan bagaimana UMNO menanganinya.Antaranya

i) Sejarah Memali. Sejarah ini perlu ditulis semula agar generasi Y memahami bagaimana UMNO dengan rakus bertindak lebih kejam berbanding menghadapi PKM di Baling 1955

ii) Sejarah royalti Terengganu tahun 2000. Sejarah ini juga perlu ditulis kembali untuk tatapan generasi Y agar mereka tahu betapa jahat dan zalimnya UMNO bertindak keatas bangsanya sendiri yang satu agama dengan merampas royalti Terengganu semata-mata kerana Terengganu diperintah PAS.

iii) Sejarah memalukan Raja-Raja Melayu. Sejarah ini perlu ditulis semula untuk generasi Y tahu "hebat"nya UMNO membela Raja-Raja Melayu hingga "menelanjanginya" . Itulah kerja UMNO yang diketuai oleh Dr Mahathir.

Itulah antara tiga contoh peristiwa sejarah yang perlu ditulis semula. Dalam buku sejarah tersebut perlu dinyatakan kedua peristiwa itu berlaku di zaman Mahathir. Generasi Y bakal tahu siapakah yang bertindak zalim terhadap bangsa sendiri.

Kita tidak mahu Generasi Y mengenali Mahathir sekadar melalui KLCC,LIMA dan Langkawi.
Kita juga mahu Mahathir dikenali melalui buku-buku sejarah sebagai pengkhianat bangsa Melayu,Raja-Raja Melayu dan Negeri-negeri Melayu ! 

Betul, betul ...ianya perlu ditulis semula.

  Ilmu -Kebal Tanpa Syahwat
Posted on Saturday, June 22 @ 00:00:00 MYT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Oleh: hishamahmad

"Abu Dubeis masih teringat cerita maklangnya, isteri bapa saudara sebelah ibu. Kisah mengenai ibu dan bapa maklang, selepas mereka balik Haji. Ibunya keturunan melayu manakala bapanya keturunan India-mamak. Cuma terlupa, terlupa sebelah mana. Malbari, agaknya. Entahlah. Ibu dan bapa Maklang ni, pernah ditemui satu atau dua kali.

Bapanya walaupun dari ketegori mamak, tapi kulitnya tidak hitam, tetapi lebih menghampiri putih. Perkahwinan dan cinta mereka terbukti hingga ke akhir hayat. 

Oh, Ya. Kisahnya ialah ibu Maklang bermazhab Syafie manakala bapanya bermazhab bukan Syafie. Seingatnya, mazhab Hanafi. Pada suatu hari di suatu ketika yang telah lama, Maklang bercerita dengan mengajuk semula, dengan gaya ala-ala mamak bagaimana bapanya bercakap perihal kisah mereka suami isteri semasa haji dalam isu wuduk dan sentuhan antara suami dan isteri, ”sini tak boleh pegang, sana boleh pegang. Ini macam. (Ditunjuk sambil memaut lengan)
[Bagi siisteri sentuhan antara suami dan isteri membatalkan wuduk berdasarkan mazhab Shafie, manakala bagi suami pula, tidak batal kerana mazhab berbeza].
Gelihati mendengarnya.  Seperti si suami merasa pandangan mazhabnya dalam hal ini lebih lebih sesuai diikuti. Tentulah bagi kita generasi muda merasa agak pelik apabila bersentuhan di Malaysia, wuduk menjadi terbatal tetapi di Mekah tidak pula batal. Di Mekah, si isteri menjadi kebal.
Lebih pelik, jika di tanah air, kesan sentuhan suami isteri itu hanya membatalkan wuduk si isteri. Tidak si suami. Kemudian si isteri berimamkan si suami. Kagum juga dengan sikap toleransi mereka. Bukti berlainan mazhab boleh berkompromi. Senanglah, suami dan isteri. Kalau berselisih, boleh ‘settle’ sendiri.
Terlupa pula ditanya, bagaimana pula dengan maklang saya. Mazhab mana pula yang diwarisinya?  Satu polemik menarik, juga.
Sebenarnya sebelum pergi haji, Abu Dubeis mendengar pelbagai pegangan dan aplikasi prinsip dalam hal wuduk jemaah Malaysia bagi tahun sebelum itu. Kalau didengar dari orang-orang yang telah pergi haji, macam-macam maklumat diberi. Bermakna masih ada ketidakjelasan dan keraguan.  Ada kata taklid mazhab hanafi, hambali dan sebagainya. Ada yang kata, bila sudah bertaklid mazhab Hambali, makan daging unta, batal wuduk.
Kemudian apabila tahun Abu Dubeis pergi pula, pendekatannya berbeza. Kaedah lain digunapakai untuk menangani isu wuduk, batal wuduk dan sentuhan.
Tidakkah isu ini telah wujud zaman berzaman? Masih tak diselesaikan?
Ketika tahun haji Abu Dubeis, pegangan dan pandangan hukum dipakai mungkin paling sesuai. Semua jemaah kebal di seluruh tanah haram, apabila melangkah keluar sahaja dari hotel penginapan. Kuasa kebal ini ini hanya sementara. Bila masuk hotel hilanglah kuasa. Diluar, tersentuh siapa sahaja, kulit ke kulit, tidak mengapa,  asal sahaja syahwat jangan terasa. Terasa apa? Kita dah dewasa. Awak tahu, saya pun tahu. Saya tahu awak tahu, awak pun tahu saya tahu. Jadi tak perlu beritahu, kita buat-buatlah tak tahu.
Apabila difikirkan semula… adakah kita benar-benar faham apakah yang dikatakan ‘…dengan syahwat’. Apakah definisi dan keluasan tafsiran. Adakah ia pada rasa atau keinginan pada emosi dan perasaan atau pada tindakan balas kimia dalam badan. Adakah sekadar ada ‘rasa’ atau ‘gerakan’ atau sampai merasa kelazatan. Kekadang rasa dan gerakan itu itu sekadar tindakbalas semulajadi (auto reaction) dan serta merta yang bukan bukan dikawal akal yang sedar tetapi minda bawah sedar (subconscious mind). 
Kebal. Had kebal.
Cuma saya dah lupa, tafsiran kebal iaitu tidak terbatal.  Adakah apabila disentuh dan menyentuh? Atau sekadar disentuh, tidak menyentuh? Sedangkan menyentuh termasuk juga (1) menyentuh secara tidak sengaja atau (2) menyentuh secara sengaja? Bagaimana pula secara sengaja tetapi perlu atau terpaksa? Begitulah polemik yang kita alami. Kesan jenis Fiqah yang kita pilih sendiri.
Semasa tawaf sunat kita boleh pakai jubah labuh, boleh pakai stoking, boleh tutup kepala untuk mengurangi risiko sentuhan. Namun bila berpakaian ihram untuk umrah atau haji, sebahagian tubuh kita begitu terdedah. Kaki, bahu, tangan, kepala. Siapa yang tidak pernah alami tumit kakinya ditendang atau dalam bahasa lembut, disentuh oleh jejari kaki kaum hawa khususnya dari daerah sekitar ‘bollywood’ sana.
Saya ingat lagi kata-kata seorang ustaz yang saya sukai, juga pembimbing umrah atau haji, Beliau meninggalkan sunnah ittiba’ dalam tawaf kerana tidak tertahan disentuh bahunya oleh gadis-gadis bukan mahram. Ini pengakuan kejujuran. ‘Don’t get me wrong’. Maksud saya bukan tidak tertahan syahwatnya, tetapi tidak tertahan terganggu khusyuk dan tawaduknya. Ustaz yang sentiasa setia jiwa dan hati dengan mazhab syafie, hal sentuh-sentuh begini, memang  sangat ‘allergic’. Syukur, kini saya dengar dia dah dapat nikmat berganda melalui poligami.  Saya harap dapat bergurau dengannya bila bertemu nanti. “Ustaz dah boleh ittiba kerana dah kurang geli’.
Begitulah apabila sebahagian daripada kita yang begitu setia untuk  berpegang kuat pada pandangan yang ketat, ditakuti kita sendiri yang tidak larat. Bukankah agama itu mudah dan bersifat memudahkan. Tidak dibebankan seseorang lebih dari kadar yang dia mampu. Mungkin niat dihati nak mematuhi amalan agama sedaya upaya,  sesungguh jiwa-raga. Baguslah kalau sunnah amalan itu begitu, bagaimana kalau sunnah itu sendiri membuka ruang dan pilihan yang memudahkan. Supaya amalan lebih khusyuk dan tenang. 
Ilmu dan Kefahaman
Marilah kita saksikan di sini antara maklumat terbaik yang saya temui hasil penulisan seorang tokoh sunnah di Malaysia dalam isu sentuhan ini supaya ilmu dan kefahaman kita ditahap terbaik dalam memahami sunnah dan melaksanakan sunnah. Insya Allah:-
Haram Menyentuh Perempuan Bukan Mahram
Bersalam atau menyentuh perempuan ajnabi (bukan mahram; keluarga terdekat yang haram dinikahi) dengan sengaja adalah satu perbuatan yang haram. Demikian juga seorang perempuan menyentuh lelaki ajnabi, ini berdasarkan sabda Nabi saw:
Maksudnya: “Kalau dicucuk dengan jarum dikepala salah seorang dari kamu adalah lebih baik daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya”. (Rujuk HR Tabarani 20/212, Sahih Al-Jami’ No. 4921)
Kedudukan Wuduk Atas Sentuhan Tidak Sengaja
Masalah yang akan dibincangkan ialah apabila tersentuh perempuan ajnabi secara tidak sengaja atau menyentuh isteri sendiri, adakah batal wuduk atau tidak? 
Terdapat beberapa pandangan para ulama’ tentang permasalahan ini. Ibnu Al-Munzir menyebut di dalam kitabnya (Al-Ausat) lima pendapat, tetapi yang masyhurnya adalah tiga:
Pendapat pertama:
Pertemuan/sentuhan diantara kulit lelaki dan perempuan yang ajnabi (sah dinikahi) atau isteri akan membatalkan wuduk, sama ada dengan syahwat atau tidak, sengaja atau tidak. Tetapi tidak batal jika berlapik walaupun dengan sesuatu yang nipis. Ini adalah pandangan Ibnu Masud, Ibnu Umar م . mazhab Syafei, mazhab Az-Zuhri, ‘Ata’ bin As-Sa’ib, Al-Auza’ie dan lain-lain . Dalil dan hujah mereka; firman Allah:
Ertinya: “… atau jika kamu menyentuh perempuan”. [An-Nisa’: 43]. Mereka berhujah bahawa yang dimaksudkan di dalam ayat ini ialah: “Al-Lams” iaitu sentuhan.
Hakikatnya sentuhan dari segi bahasa ialah menyentuh dengan tangan. Juga telah disabitkan bahawa Ibnu Umar menafsirkan ayat ini sedemikian. Kata Ibnu Umar: Maksudnya: “Kucupan seorang lelaki terhadap isterinya, menyentuhnya dengan tangan adalah dikira “mulamasah”, oleh itu sesiapa yang mengucup atau menyentuh isterinya dengan tangan maka hendaklah dia mengambil wuduk.”
Maka Imam Syafei menyatakan jika sesiapa yang menyentuh dengan tangannya perempuan yang sah dinikahinya, maka terbatal wuduk dengan sebab itu.
Manakala tentang hadith-hadith yang digunakan oleh pendapat kedua dan ketiga (disebut di bawah ini), mazhab Syafie menafsirkan samada sentuhan itu berlaku dengan berlapik ataupun khusus untuk Rasulullah s.a.w sahaja.
Pendapat kedua:
Tidak terbatal wuduk dengan menyentuh perempuan, sama ada dengan syahwat atau tidak. Ini adalah pendapat Ibnu Abbas dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Al-Lams” itu ertinya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh seperti pendapat kumpulan pertama tadi. Ini juga pendapat yang diriwayatkan daripada Thawus, Al-Hasan, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Sufyan Ath-Thauri.
Mazhab Hanafi serta satu riwayat dari Imam Ahmad juga berpendapat walaupun menyentuh dengan syahwat tidak terbatal wuduk kecuali dengan berjimak. Dalilnya:

 1) Ummul Mukminin Aisyah ra. berkata: Maksudnya: “Pada suatu ketika saya tidur di hadapan Rasulullah s.a.w yang sedang bersolat dan dua kaki saya di arah kiblatnya. Apabila Baginda bersujud (tangannya) mengenai (kaki) saya, lalu saya menarik kaki saya, (sedangkan Nabi meneruskan solatnya). Apabila Baginda bangun saya pun menghulurkan semula kaki saya. Kata Sayyidatina Aishah ra. lagi: “Dan rumah-rumah pada masa itu tidak berlampu”.

 2) Begitu juga sebaliknya, jika seorang perempuan menyentuh kulit lelaki, tidak batal wuduknya, sebagaimana riwayat daripada Aisyah r.a. Maksudnya: “Pada suatu malam, Rasulullah saw berenggang daripada saya, maka saya pun mencari beliau dengan tangan saya, tiba-tiba tangan saya tersentuh dua telapak kaki Baginda ketika Baginda sedang sujud”.

 3) Aisyah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah saw sedang bersolat manakala aku tidur di arah kiblatnya seperti jenazah. Apabila Baginda ingin bersolat witir, disentuhnya aku dengan kakinya.”

 4) Aishah ra. juga meriwayatkan: Maksudnya: “Rasulullah s.a.w mengucup salah seorang isteri Baginda, kemudian keluar menunaikan solat, sedangkan Baginda tidak pula mengambil wuduk” Sebahagian ulama’ (Al-Albani) mengatakan hadith ini sahih, tetapi ramai juga yang mengatakan hadith ini dhaif].
Para ulama di kala menghuraikan hadith ini mengatakan: “Ini juga merupakan satu dalil bahawa menyentuh perempuan itu tidaklah membatalkan wuduk kerana sesungguhnya perbuatan mengucup itu adalah termasuk menyentuh, sedangkan Nabi saw tidak pula memperbaharui wuduknya sebagai akibat perbuatannya itu. Ini adalah fahaman yang dipegang oleh Ibnu Abbas ra..”.
Kekuatan dalil mereka ini adalah kerana pada asasnya bersentuh adalah tidak batal wuduk, dan tidak terdapat pula dalil-dalil yang sahih dan jelas bagi mereka yang mendakwa terdapat perbezaan di antara sentuhan dengan syahwat dan sentuhan tanpa syahwat.

Pendapat ketiga:
Bersyarat, iaitu terbatal wuduk jika menyentuh dengan syahwat, tetapi jika tanpa syahwat, tidak akan terbatal wuduk. Ini adalah pendapat mazhab Hambali, Maliki dan ahli feqah (fuqaha’) penduduk Madinah. Pendapat ini juga berdasarkan hadith-hadith Ummul Mukminin Aisyah ra. di atas tadi. Nyata bagi mereka setakat menyentuh saja (tanpa syahwat) tidaklah membatalkan wuduk.
Perkataan “Ghamazni” dan “Massani birijli” itu adalah dimaklumi bahawa persentuhan sedemikian adalah tanpa keinginan syahwat. Kerana itulah sumber ini digunakan sebagai dalil bahawa menyentuh tanpa syahwat itu tidak membatalkan wuduk. Pengarang kitab “Al-Mughni” (1/256) mengatakan: “Sesungguhnya dengan hanya menyentuh semata-mata belumlah menghadaskan seseorang, kerana yang menjadikan seseorang itu berhadas ialah dengan keluarnya air mazi atau air mani, iaitu apabila berlakunya keinginan syahwat”.
Kesimpulan:
Perbandingan antara mazhab ini menunjukkan bahawa hanya mazhab Syafei sahaja yang agak berat dalam masalah ini, di mana hanya bersentuhan sahaja (samada sengaja atau tidak) telah membatalkan wuduk. Sedangkan Imam-imam mazhab lain lebih ringan dan terbuka.
Mazhab Hanafi berpendapat maksud bersentuh itu dengan bersetubuh. Manakala Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal pula mengatakan sentuhan yang membatalkan wuduk ialah yang menimbulkan keinginan syahwat.
Maka pendapat yang rajih (kuat) ialah Pendapat Jumhur
Iaitu tidak batal wuduk dengan sebab menyentuh perempuan sebagaimana yang telah ditafsirkan oleh Abdullah Ibnu Abbas ra (Turjuman al-Quran dan Habrul Ummah) dan Ali bin Abi Talib ra yang menafsirkan firman Allah Ta’ala: “Au Laamastum”, “Al-Lams” itu maksudnya bersetubuh atau jimak, bukan sekadar bersentuh. [Lihat Tafsir Ibnu Kathir].
Adapun dakwaan bahawa sentuhan di antara Rasulullah s.a.w dan Aisyah adalah dengan berlapik atau hanya khusus untuk Rasulullah sahaja, ramai ulama’ mengatakan bahawa dakwaan tersebut tidak mempunyai dalil yang jelas atau bukti yang menunjukkan sentuhan itu adalah berlapik. Kata ulama’: Satu hukum yang amat perlu diketahui oleh umat pasti dijelaskan oleh Rasulullah saw walaupun secara umum kemudian dinukil oleh generasi umat ini…
Dengan ini diketahui bahawa tidak wajib mengambil wuduk kerana bersentuh dengan perempuan… kerana seseorang itu sentiasa tersentuh isterinya dengan syahwat atau tidak, kemudian tidak ada pula riwayat yang menjelaskan bahawa Rasulullah saw mengarahkan agar mengambil wuduk kerananya. Al-Quran pula tidak menunjukkan maksud sedemikian, bahkan apa yang dikehendaki dengan mulamasah ialah jima’”. [At-Tarjih 73-74]
Namun bagi mereka yang menyentuh dengan syahwat, adalah lebih baik baginya untuk memperbaharui semula wuduknya, sebagaimana yang disarankan oleh sebahagian ulama’.
Pilihan Anda, Pilihan Saya. Mana Satu
Pilihan anda bagaimana? Terserahlah kepada anda. Namun bagaimana dengan saya. Pilihan saya, terserahlah pada saya.
Hasil ilmu dan kefahaman saya, semua pandangan mazhab adalah baik dengan hujah yang baik. Namun saya percaya semua mengetahui pandangan Hanafi lebih memudahkan khususnya semasa ibadah haji. 
Pandangan mazhab Syafie pula, tidak mudah untuk diamalkan semasa ibadah haji. 
Pandangan mazhab Maliki sekiranya yang saya fahami ialah ‘batal sekiranya ada syahwat’, mungkin inilah yang paling adil dan sesuai dalam mengimbangi antara kedua pandangan tadi. Ia masih praktikal dan sesuai tetapi meletakkan had batasan yang baik untuk pemakaian umat Islam supaya ada kesungguhan untuk berhati-hati dari mempermudahkan risiko sentuhan. 
Dalam pada itu, bagi yang memfokuskan kepada dalil dan hujah yang mendasari pandangan. Melihatkan kepada  beberapa hadith yang dirujuk oleh Mazhab Hanafi, zahir hadith secara jelas membuktikan bahawa sentuhan itu tidak membatalkan wuduk dan tanpa syarat.
Apabila ada 2 pendapat, dan pendapat mazhab lain disokong oleh dalil yg sahih dan dari sudut hujah paling kuat, manakala pendapat mazhab kita kurang disokong oleh dalil yang kuat, maka tidakkah sewajarnya kita perlu tunduk kepada pandangan yang berbuktikan dalil yang sahih dan hujah paling kuat sebagai menepati kehendak sunnah? Kehendak Allah dan Rasul-Nya? 
Apalagi kalau hujah yang paling kuat berdasarkan dalil hadith sahih itu paling mudah, praktikal dan sesuai untuk diamalkan?
Lalu apa pegangan saya? Mana satu pandangan yang menjadi pilihan.
Akhirnya, seperti prinsip yang telah diketahui sebelum ini, saya tentu memilih yang menepati sunnah atau yang paling menghampiri sunnah. Saya hanya menerima mazhab bagi tujuan ittiba’ Rasulullah s.a.w. 
Saya sangat sukakan maksud ayat di bawah ini. Ia sangat relevan dengan tujuan yang saya maksudkan.
Perdengarkan. 
“Maka gembirakanlah hamba-hambaKu, yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan mengikut apa yang terbaik ( Untuk diamalkan dalam urusan agama), mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang yang berakal sempurna”. ( al-Zumar (39) : 17-18)
Artikel ini telah lengkap bagi maksud paparan web tranungkite. Namun ikhlasnya terdapat perbahasan tambahan dan penjelasan lebih daripada saya dlm blog, bagi pencinta kepda perbahasan ilmu.
Artikel ini juga adalah sebahagian daripada permasalahan realiti yg dibincang di dalam salah satu bab, buku haji (2013) bertajuk Baitullah Aku Datang, Terbitan Karangkraf - karya seorang peguam sivil, syariah, berijazah  undang-undang sivil, diploma syariah dan ijazah sarjana muda pengajian Islam, Quran dan Sunnah. Terdapat kupasan kritis dan argumentatif beberapa isu yang beliau hadapi dan perhatikan semasa ibadah haji. Antara isu menarik, sensisitif dan kontroversi ialah isu kebal tanpa syahwat, solat diudara, wanita solat didepan lelaki dibelakang, kerana cinta (kisah ttg hajaral aswad), mahu susah atau muassasah dan lain-lain.  (Ingin membeli sms: 019-7272817, hishambp@yahoo.com.my)
 http://hisham-ahmad.blogspot.com

 Minta Izin Berzina- Kisah benar
Posted on Friday, June 21 @ 16:19:17 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: HishamAhmad

"Artikel saya telah tiada pada paparan utama dan tiada pada list artikel lama. Alasan, artikel tak lengkap (agaknya). Tak sangka itupun ada komen dpd pembaca. Walaupun alasan mereka tidak jelas, tapi saya terima, kerana itu kehendak mereka.Tetapi jika administrator kaji artikel saya betul-betul, saya percaya artikel saya disiarkan tidak terjejas kualiti dan sifatnya. Hanya mereka yang teringin untuk tahu extra yg terdorong utuk buka blog saya.
Bagaimanapun, saya tidak akan tulis lagi 'artikel tidak lengkap' atau seumpama. Artikel yg saya submit akan saya pastikan lengkap utuk maksud paparan Tranungkite walaupun ia mungkin saya sunting utk kesesuaian atau  pendekkan kerana panjang atau sebagainya.
Harap administrator  tuan siarkan balik. Nak siarkan kenyataan ini pun ok. Tiada masalah. Tkasih    
 Minta Iziin Berzina 
 "Pernahkah anak lelaki remaja atau anak perempuan remaja anda meminta izin untuk melakukan dosa? Ya, saya setuju, ini soalan gila. Apahal pulalah saya tiba-tiba utarakan persoalan sebegini. Kalau ditanya langsung depan seorang bapa, peluangnya agak cerah untuk saya… ‘makan’ penampar, jawabnya.

Bagi soalan yang lebih lembut, kurang bersifat ‘personal attack’, bagaimana kalau kita sebagai guru, ustaz, penghulu atau ADUN, tiba-tiba didatangi seorang anak muda meminta izin untuk melakukan zina? Jawabnya, yang bertanya itu pula yang berpeluang ‘makan’ penampar.

Tentu kita tidak terbayang soalan sebegini akan keluar dari mulut generasi muda Islam kita. Tetapi bagaimana 10, 20 30 tahun akan datang sekiranya generasi muda masih dialpa kan dengan segala macam bentuk godaan berunsur seksual. Di suatu zaman akan datang ktika mana generasi muda cetek ilmu dalam gelodak nafsu. Di suatu zaman futuristik di mana gejala keruntuhan akhlak golongan muda berada pada tahap paling kritikal.

Baiklah saya tidak memanjang perkara yang kita rasa amat tidak logick tidak rasional dan tidak masuk akal, so to speak.

Namun ketahuilah, percayalah, terdapat suatu kisah di zaman nabi mengenai seorang pemuda yang meminta izin untuk melakukan dosa. Dosa bukan sebarangan dosa. Dosa zina. Dosa yang sangat hina. Serasa saya, kisah ini mungkin berlaku di peringkat awal perkembangan Islam.

Mungkinkah pemuda ini telah terbiasa dan seronok melakukan zina semasa jahiliyah sebelum memeluk Islam? Mungkinkah, apabila turun ayat al-Quran memerintahkan zina diharamkan, pemuda ini menjadi resah dan gelisah, lalu mencuba nasib berjumpa nabi meminta kebenaran. Manalah tahu, kalau-kalau dapat kelonggaran dan pengecualian.

Kisah ini bukan nukilan dalam kitab hikayat tetapi bersumberkan hadis di Musnad Imam Ahmad [No Hadith 21185]

Maksudnya: “…dari Abu Umamah berkata: Sesungguhnya seorang pemuda menemui Nabi s.a.w. lalu berkata: Wahai Rasulullah s.a.w.! Izinkan aku untuk berzina. Orang ramai menghampiri lalu melarangnya, mereka berkata: “Jangan, jangan.” Rasulullah s.a.w. bersabda: "Marilah." Dia mendekati Baginda s.a.w. lalu duduk, kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai orang berzina dengan ibumu?" pemuda itu menjawab: Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah S.A.W., semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda lagi: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan ibu-ibu mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai orang berzina dengan anak perempuanmu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda: “Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan anak-anak perempuan mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukai untuk orang berzina dengan emak-emak saudara dari sebelah ayahmu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w. bersabda: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan emak-emak saudara mereka." Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apa kau menyukainya orang berzina dengan emak-emak saudaramu dari sebelah ibumu?" Tidak, demi Allah s.w.t. wahai Rasulullah s.a.w. Semoga Allah s.w.t. menjadikanku sebagai penebus Tuan. Nabi s.a.w bersabda: Orang lain juga tidak menyukai penzinaan dengan emak-emak saudara mereka." Kemudian Rasulullah s.a.w. meletakkan tangan Baginda s.a.w pada pemuda itu dan berdoa: "Ya Allah! Ampunilah dosanya, bersihkan hatinya, jagalah kemaluannya." Setelah itu pemuda itu tidak pernah mengerling mana-mana wanita pun.”

Sejak itu juga, zina adalah dosa yang paling dibencinya.

Wahai anak-anak muda lelaki dan perempuan sekelian,

Wahai bapa-bapa, ibu-ibu, kakak-kakak, abang-abang… kepada anak-anak muda ini. Ketahuilah!

Nasihat nabi s.a.w. kepada pemuda ini, meresap jauh ke dalam hati. Pada zaman ini disebut pendekatan psikologi. Sebahagian manusia moden menganggap ia idea dan kaedah baru. Padahal, nabi sudah laksanakan lebih 1400 tahun yang lalu.

Oleh itu, setiap ibu, kakak, adik perempuan atau setiap wanita bagi setiap keluarga, berilah pesanan dan peringatan kepada setiap lelaki di dalam rumahmu, dari kalangan ahli keluargamu, katakanlah;

“wahai anak lelakiku!”

“Wahai abangku!”

“Wahai adik lelakiku”

“Janganlah dikau lakukan zina dengan mana-mana wanita.

Sekalipun kau suka, dia pun suka!”

“Jangan kau tergamak merosakkan kesucian,

mana-mana perempuan,

sekalipun dirimu diberi keizinan,

secara rela atau dalam keterpaksaan.”

“Sanggupkah engkau, jikalau...

ibumu ini dirosakkan orang,

kakak mu dipermainkan,

adik perempuan mu dilarikan.”

“Sanggupkah dirimu, kiranya....

orang tersayang dari keluargamu diperdayakan,

direnggut kesucian,

dihancurkan kegembiraan,

masa depan kabur dan kelam,

dibayangi hukum dan pembalasan dosa,

di dunia dan di akhirat sana”

“Demi keredaan illahi

demi kasih kami selama ini

jauhilah dosa zina, jangan ia didekati

“wahai anak lelakiku!”

“Wahai abangku!”

“Wahai adik lelakiku”

Justeru…

tundukkan pandangan,

Jangan dilihat, disentuh dan diimaginasikan

yang tidak halal dan larangan

Nafsu, syahwatmu dan keinginan ...

jangan sampai luar kawalan,

hadith sahih ini jadikan ingatan;

“…dari Abu Hurairah dari Rasulullah s.a.w, baginda bersabda: "… Zina kedua mata adalah melihat, zina kedua telinga adalah mendengar, zina lidah adalah berbicara, zina kedua tangan adalah menyentuh, zina kedua kaki adalah melangkah dan zina hati adalah berkeinginan dan berangan-angan, sedangkan semua itu akan ditindak lanjuti (berkesudahan) atau ditolak (tidak berkesudahan) oleh kemaluan." [Muslim, Sahih Muslim. Kitab Takdir. No Hadith 4802]   Hisham-ahmad.blogspot.com"



 Kepada yang sudi menaja pelajar cemerlang ini ke Mesir
Posted on Friday, June 21 @ 16:22:11 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: rozmal

"
Adik Siti Nuratiqah bt Sufien dari Bandar Seremban Selatan telah mendapat keputusan cemerlang iaitu Pangkat Mumtaz Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012 semasa di Maahad Muhammadi Perempuan, Kelantan, sekolah terbaik peratus kelulusan STAM 2012.


Adik Siti Nuratiqah bt Sufien telah mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke University Zagazig, Mesir dalam Bidang Perubatan bermula September 2013.

Yuran pengajian untuk tahun pertama ialah USD2,000. Manakala untuk tahun kedua hingga tahun keenam ialah USD8,000 untuk setiap tahun.

Biasiswa atau tajaan pengajian hanya akan dapat diperolehi semasa tahun kedua pengajian. Oleh itu beliau amat memerlukan sumbangan untuk membantu untuk kos pendaftaran, kos pengajian tahun pertama serta lain-lain kos yang berkaitan.

Ibu beliau bekerja sebagai guru di sebuah sekolah rendah agama di Seremban.

Kepada mereka yang ingin menaja atau memberikan sumbangan sila salurkan ke akaun berikut :

Siti Nuratiqah bt Sufien
BSN : 0310041000177627

Noor Yati bt Hamdan
Bank Islam : 05012020412822
                       
Atau boleh menghubungi ibu beliau Puan Noor Yati bt Hamdan , 017-2748499 , nooryati8@gmail.com

Maklumat lanjut mengenai surat tawaran, sijil pelajar cemerlang STAM 2012 dan surat rayuan mohon sumbangan di http://yam-ns.blogspot.com/2013/06/kepada-yang-sudi-menaja-pelajar.html

LAPORAN KEPUTUSAN SIJIL TINGGI AGAMA MALAYSIA (STAM) 2012            

Seramai 1825 orang pelajar Yayasan Islam Kelantan telah mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2012.              

Peratus kelulusan penuh ialah 68.22% berbanding 66.61% pada tahun 2011, meningkat sebanyak 1.61%.              

Daripada jumlah calon 1825 orang, pencapaian mengikut pangkat sebagaimana berikut :-    
- Pangkat Mumtaz seramai 115 orang calon    
- Pangkat Jayyid Jiddan seramai 360 orang calon       
- Pangkat Jayyid seramai 629 orang calon       
- Pangkat Maqbul seramai 141 orang calon     
 ( Keseluruhan yang layak mendapat sijil seramai 1245 orang calon )             

Seramai 115 orang memperolehi pangkat mumtaz berbanding 97 orang pada tahun 2011 ( bertambah 18 orang)     

SEKOLAH TERBAIK (MENGIKUT PERATUS KELULUSAN)              
a.Sekolah Kawalan      
1. Maahad Muhammadi Perempuan   97.78%             
2.Maahad Muhammadi lelaki 90.77%             
3.Kolej YIK 80.23%    
                                     
b.Sekolah Kerajaan Negeri (Maahad)              
1.Maahad Pengajian Islam 85.56%      
2.Maahad Muhammadi Tumpat 82.61%          
3.Maahad Yaakubiah, Nipah   77.11%             
                         
c.Sekolah Bantuan Kerajaan (SMU(A))          
1.SMU(A) Meheliah Geting   72.58%             
2.SMU(A) Taqaddum Maarif 56.25%             
3.SMU(A) Tarbiah Mardhiah Panchor 53.51%           
                         
SENARAI PELAJAR YANG MENDAPAT PANGKAT MUMTAZ STAM 2012              
MAAHAD MUHAMMADI (P)                                             
20 . SITI NURATIQAH BT SUFIEN          



 Memburu Dosa
Posted on Friday, June 21 @ 16:23:09 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjagaKubur

Oleh: setisab

"kerajaanrakyatblog

Ya Allah Ya Rabb,
aku tersedar dari lamunan yang lama, buka cerita mendedah aib segala,
sedang firmanMu: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka adzab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Q.S. An-Nur: 19)

Aku tersedar
dari lamunan yang lama
berebut jari menekan kekunci
berbangga atas status sendiri
tidak cukup kata, gambar dihiasi
menayang tubuh dan segala harga diri
untuk tatapan sesiapa yang menyinggahi
tanpa sedar atau sengaja merongkai rahsia diri
kerajaanrakyatblog
Aku tersedar
dari lamunan yang lama
kekadang menitip melukai hati
hati pembaca yang amat aku kasihi

Aku tersedar
dari lamunan yang lama
aku membentang hamparan kata
bicara sosial politik dan harta dunia
bersilang kata bersulam caci cerca
maraklah pembaca tambah kata nista
dan.... akulah puncanya dosa tercipta

Ya Allah Ya Rabb,
aku tersedar
dari lamunan yang lama
buka cerita mendedah aib segala
sedang firmanMu: “Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka adzab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Q.S. An-Nur: 19)

Ya Allah Ya Rabb,
ampunilah dan redha'ilah kedua ibu bapaku,
ampunilah dan redha'ilah anak-anakku
ampunilah dan redha'ilah saudara-saudaraku
ampunilah dan redha'ilah sahabat-sahabatku
dan ampunilah aku serta redha'ilah aku sebagai hambaMu.

Ya Muhammad Rasulullah SAW,
aku menyalahi banyak sabdaMu
aku menyalahi banyak sunnahMu
sedang sabdaMu: “Siapa menutup aib seseorang Islam, maka Allah akan tutupkan aibnya di dunia dan di akhirat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

Selawat dan Salaam buatMu, Ya Muhammad Rasulullah SAW,
ampunilah dan redha'ilah kedua ibu bapaku,
ampunilah dan redha'ilah anak-anakku
ampunilah dan redha'ilah saudara-saudaraku
ampunilah dan redha'ilah sahabat-sahabatku
dan ampunilah serta redha'ilah aku sebagai umatMu.

KERAJAAN RAKYAT
Aku tersedar
dari lamunan yang lama
rupanya aku memburu dosa.

Sofi ~ Kerajaan Rakyat
Tropicana, Damansara.
05:56pm 20062013

Merintis hari menuju Barzakh yang hakiki
Dalam derita yang panjang "



 Sejarah Kartun di Malaysia
Posted on Friday, June 21 @ 19:43:39 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Blog Video-Kini



Hanya ingin berkongsi sedutan klip daripada program Majalah 3 berkenaan dengan sejarah kartun dan komik tanahair; sejak ia bermula sehingga penghujung tahun 80′an…

Semoga anda semua dapat khusyuk menonton klip ini. Usah hiraukan style jambul Wan Zaleha Radzi, style kolar baju, rambut dan spek hitam rayban para kartunis yang tersiar.

Oh ya, Al-Arqam masih belum diharamkan lagi ketika footage ini diambil. Datuk Seri Samy Vellu pun ada juga dalam klip ini – rugi kalau terlepas! :D

Diharap kita semua mendapat sesuatu dengan perkongsian ini. Selamat menonton dan mengutuk fesyen gaya 80′an (elakkan jikalau boleh…). - Oleh UBI


 


 KES - Mona Fandey
Posted on Friday, June 21 @ 19:40:37 MYT
Dilulus untuk paparan oleh PenjualCendol

Blog Video-Kini



Kronologi kes pembunuhan ahli politik Dato' Mazlan Idris yang dikaitkan oleh pasangan bomoh Mona Fandey dan suami serta pembantu mereka, Juraimi yang akhirnya disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Paparan lebih jelas




_________
http://video-kini.blogspot.com

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan